Yang Ikut

Sunday, 18 October 2009

Otak serabut, tangan gatal!

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
'Otak serabut, tangan gatal'. Itu falsafah Abang Ben Krenmaut.

Tapi, hari ini otak aku juga serabut. Entah apa yang menyebabkan otak aku jadi serabut. Aku terasa semacam hendak pergi bercuti sahaja. Aku terasa macam hendak ke Melbourne jumpa kawan aku di sana, atau mungkin juga mengubah arah ke Sydney. Aku tidak tahu lagi. Aku masih berangan-angan. Duit dalam bank pun tidak banyak. Dua tiga hari lagi sewa rumah AUD 880 mesti dibayar.

Kali terakhir aku berjalan-jalan dengan jarak yang agak jauh di Australia ini hampir setahun yang lalu. Waktu itu ke Philips Island dan beberapa tempat lagi.

Selepas itu, tidak ada lagi trip 'jarak jauh' yang aku buat.

Sebenarnya, fikiran aku agak serabut selain memikirkan tempoh aku belajar di Australia ini sudah kian pendek. Kutipan data yang sedang dibuat di Malaysia juga tidak seindah seperti yang sudah dijangka. Aku kalau boleh hendak siap kutipan data dalam seminggu sahaja, seminggu analisis, dan seminggu menulis. Tapi itu mustahil. Lebih mudah naik roket mengelilingi bulan.

Juga ada sekeping lagi kertas hendak ditulis sekarang ini. Sebenarnya itulah yang sebabkan aku serabut. Bukan serabut hendak menulis. Tetapi serabut membaca, mencari segala macam teori dan ilham. Masalah sekarang, masih tidak tahu apa yang hendak dibaca. Ada berjuta artikel. Itu pun masalah juga.

Sebab itu - aku terasa semacam hendak bercuti. Semacam bercuti sabatikal. Aku akan bawa semua segala jurnal dan buku, jadi aku akan melakukan perjalanan di waktu siang. Malamnya, singgah di mana-mana tempat, cari cottage yang murah. Membaca dan menulis. Esoknya jalan lagi. Malam - berhenti dan menulis.

Tapi semua itu hanyalah ilham yang keluar dari otak aku yang sedang serabut. Ia boleh jadi tidak jadi, atau sebaliknya. Tunggu dan lihat

Saturday, 17 October 2009

Aku dan teh tarik

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pagi Sabtu. 17/10/09

Pagi-pagi seperti ini alangkah indahnya kalau dapat menghirup secawan teh tarik dan makan sekeping roti canai. Itu yang biasa aku lakukan semasa di Changlun dulu. Budaya teh tarik sebenarnya hanya ada di Malaysia. Di tempat lain, sebagaimana bagus sekalipun teh tarik, tanpa suasana riuh dan hiruk pikuk seperti di tempat kita, menikmati teh tarik sepertinya tidak terasa.

Semalam, aku singgah di kedai Azam untuk mengimbau teh tarik.

Di Indonesia dulu, ada dua kedai yang menyediakan teh tarik. Satunya di Penang Bistro, dan satu lagi di kedai Pakistan - kedua-duanya di sekitar Jakarta Selatan. Tetapi harga roti canainya sekitar RM6 sekeping! Di Perth, kedai Pak Abu mungkin antara yang terbaik menyediakan teh tarik. Di Thailand, jarang-jarang boleh bertemu dengan teh tarik. Mereka hanya minum teh o sahaja.

Sebenarnya, kerja membuat teh tarik ini antara kerja paling awal yang aku lakukan. Ketika di tahun akhir universiti dahulu, aku bekerja sebagai pembancuh teh tarik di Sungai Tangkas, Kajang. Gajinya tidaklah banyak. Sekitar RM 10 ke RM 15 sahaja.

Kerja itu aku lakukan apabila tidak ada kelas, atau di celah-celahnya. Walaupun gajinya tidak banyak, tetapi cukuplah untuk hidup ketika itu. Lagi pula, aku diberi makan percuma. Boleh makan beberapa kali yang aku suka.

Selepas tidak lagi di Sony dua tahun kemudiannya, aku melanjutkan pengajian peringkat sarjana. Sekali lagi aku meneruskan hidup dengan melakukan kerja-kerja membuat teh tarik di kedai yang sama. Itulah yang membolehkan aku hidup sambil belajar. Kadang-kadang ke kelas lewat kerana banyak pelanggan yang datang.

Hanya setelah aku mendapat kerja tetap, aku berhenti kerja sebagai pembancuh teh tarik. Kerja itu pula aku perolehi setelah aku ditemuduga di sebuah kedai makan di Taman Maluri sambil menghirup teh tarik bersama penemuduga. Dua hari kemudiannya, aku diminta hadir lagi ke sebuah restoran di Bandar Baru Bangi untuk temuduga lanjutan. Kali ini oleh seorang pengarah syarikat. Sekali lagi teh tarik berada di atas meja ketika ditemuduga.

Sebenarnya beberapa tahun yang lalu, ketika aku bertukar kerja, aku juga ditemuduga di kedai makan McCurry, tidak jauh dari Chow Kit. Temuduga di kedai makan sebenarnya tidaklah formal. Orang jarang bertanya apa yang boleh kita lakukan. Mereka bertanya apa yang bakal kita lakukan dan berapa banyak gaji yang kita mahu. Itu sahaja.

Beberapa tahun lalu, sebelum ke Adelaide, aku juga jadi pembuat teh tarik di warung bapa mertua aku. Seperti biasa, pekerjaan membancuh teh tarik mendedahkan kita dengan banyak cerita orang kampung. Kita tahu hampir semua cerita.

Teh tarik - bukan sekadar teh. Ia sebahagian budaya kita. Ia mungkin sebahagian dari cerita hidup kita.

Friday, 16 October 2009

Ini pesan agama

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku bukan ingin berceramah agama di sini. Aku bukan orang yang pandai akan hal itu.

Tetapi, sebagai pelayar internet, anda sesekali tentu juga melayari laman-laman lain. Anda juga mungkin melayari laman berbahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Anda juga sesekali singgah di laman politik.

Sekarang ini, laman politik adalah antara laman popular di Malaysia. Semua orang meminati politik. Semua orang ingin tahu cerita-cerita kontroversi politik Malaysia. Semua orang ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Aku tidak kisah dengan pandangan politik mana-mana aliran sekalipun.

Bagaimana pun, anda perlu berhati-hati apabila membacanya. Seperti juga tatkala anda membaca blog ini, anda jangan mempercayai kesemuanya. Akal anda diperlukan bagi menafsirnya.

Aku lihat ada beberapa laman politik yang seolah-olahnya begitu sekular dan sosialis. Mereka adakalanya menganggap semua agama adalah sama.Walaupun tidak menyebut secara langsung, ada yang melihat Lailatul Qadar atau api neraka seolah-olah dongeng cerita. Begitu juga ada beberapa laman lain yang ditubuh atas nama perjuangan dan emansipasi komuniti Islam - jelas sekali bertentangan dengan apa yang disarankan oleh Islam.

Adakah Islam sama dengan yang lain?

Hakikatnya tidak. Apabila beranggapan semua agama adalah sama, maka kita sebagai orang Islam telah menjatuhkan martabat dan kesucian Islam. Islam adalah satu-satunya agama untuk kita dan untuk semua manusia. Sampai bila-bila pun ia tidak akan berubah. Itulah yang menjadi tunjang akidah dan kepercayaan kita.

Jangan sesekali anda berkata, "Ah, semua agama sama sahaja. Semuanya menyuruh kebaikan". Jangan anda berkata begitu. Kita tidak boleh menganggap agama orang lain sama dengan kita. Ia boleh mencederakan akidah anda.

Bagi mereka yang menulis, itu hal mereka. Ini dunia demokrasi. Bagi yang membaca, anda perlu berhati-hati.

(Nota: sekiranya anda ingin memberikan komen, jangan sebutkan nama laman atau individu berkaitan. Ia bagi mengelakkan kontroversi. Cukuplah sekadar ia menjadi pengetahuan kita bersama).

Thursday, 15 October 2009

Berhati-hati apabila menulis

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sepanjang minggu ini - aku telah menulis di blog ini hampir setiap hari. Tidakkah aku ada kerja lain?

Sebenarnya, aku juga sedang menulis jurnal. Hari ini, ia sudah selesai. Sama ada berkualiti atau tidak, ia bergantung kepada penilai anynomous yang akan menyemak dan membaca makalah yang dihantar. Selepas itu, mereka jugalah yang akan membuat cadangan sama ada tulisan kita itu ditolak, diperlukan pembetulan dibuat atau diterima sepenuhnya. Biasanya jarang yang akan diterima sepenuhnya. Jika tidak ditolak, tentu diperlukan pembetulan tertentu.

Sudah menjadi tabiat aku untuk duduk di rumah apabila menulis. Tidak menjadi kebiasaan aku menulis di atas meja. Aku lebih suka di duduk di mana sahaja yang aku rasakan sesuai dan ilham turun. Di rumah juga, kita lebih mudah merokok sambil menghirup teh tarik buatan sendiri. Kita juga boleh berkali-kali keluar ke belakang rumah untuk mengambil angin. Jadi, dengan cara itu, aku akan lebih santai menulis.

Jadi - walaupun aku kerap menulis di blog, bukanlah maknanya tidak ada kerja menulis akademik yang dibuat. Menulis blog kerja yang mudah. Tidak sampai 10 minit. Adakalanya cuma beberapa minit. Ia tidak perlukan rujukan. Ia hanya pandangan berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pembacaan lampau. Jika ada rujukan sekalipun, ia hanya sesekali.

Sebenarnya menulis juga adalah hobi yang aku miliki. Sedikit waktu dahulu, aku juga berkerja sebagai penulis. Aku dan beberapa teman lain menulis untuk buku pelancongan. Sesekali juga diminta untuk mengadili peraduan menulis. Jadi, menulis sudah menjadi hal biasa, selain penulisan juga banyak dilakukan ketika masih di bangku universiti lagi.

Cuma agak berbeza kini, kerana penulisan dalam bahasa Inggeris diperlukan. Bagaimana pun, sekiranya ada berupaya menulis dalam bahasa Melayu, ini bermaksud anda juga berupaya menulis dalam bahasa lain. Kerana menulis itu adalah satu bentuk pemikiran. Pemikiranlah yang menjadikan sesebuah tulisan itu terbentuk. Bahasa hanya alat menyampaikan pemikiran.

Jadi kerana itu berhati-hatilah apabila anda menulis sesuatu. Ada orang yang sedang memerhatikan pemikiran anda. Mereka akan berupaya mengetahui kelebihan dan kekurangan anda lebih baik daripada apa yang anda tahu mengenai diri sendiri.

Jangan menangis!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sepanjang usia aku 37 tahun ini, aku telah mendengar banyak cerita mengenai rumahtangga. Ada cerita ada isteri diterajang suami hingga meninggalkan trauma. Ada pula yang tatkala mengunjungi suami yang sakit di hospital, tiba-tiba terserempak dengan 'orang lain' yang juga mengunjungi suami yang sama. Cerita-cerita suami bermain kayu tiga bukan lagi asing dalam banyak cerita rumahtangga.

Beberapa tahun lalu, aku sendiri pernah diminta untuk memberikan pandangan untuk beberapa orang isteri yang menanggapi mereka sedang dihadapkan dengan masalah. Bagi aku, dalam banyak cerita ini - tentulah ia sesuatu yang tidak menyeronokkan. Ia cerita yang merumitkan masalah rumahtangga.

Bagaimana pun, aku akan selalu berpandangan, tatkala kita dilanda masalah, tentu ada sejuta orang lagi yang sedang dibebani dengan masalah lain yang lebih besar. Ketika kita sedang menangis kesedihan, tentu lebih banyak air mata orang lain yang tumpah sebelum kita.

Jadi untuk semua pasangan yang sedang kesedihan - jangan menangis!

Rumahtangga sebenarnya bukanlah cerita dalam drama. Ia cerita betul. Ia kisah benar. Ia kisah hidup kita.

Banyak berlaku masalah dalam rumahtangga ialah kerana berlaku terlalu tinggi jangkaan terhadap pasangan. Ada isteri yang mengharapkan suami menjadi sempurna seperti Superman. Suami boleh menjadikan apa sahaja dan menyediakan apa sahaja. Ini kadang-kadang menyebabkan suami juga tertekan.

Akhirnya, dengan andaian mereka akan mendapatkan baju baru yang lebih baik - mereka menjalinkan hubungan di luar. Mereka terlupa sesuatu. Adakalanya baju baru mungkin lebih teruk berbanding baju lama yang sedia ada di dalam rumah. Ia mungkin compang camping di sana sini.

Biasanya juga, masalah konflik rumahtangga berlaku pada tahun-tahun awal rumahtangga. Ini kerana, semasa bercinta atau bertunang, semuanya baik belaka. Mereka boleh menjanjikan bulan bintang, dan berenang di lautan api. Hakikatnya, perkahwinan lebih besar cabarannya. Perkahwinan bukanlah dongeng berenang di lautan api - tetapi realiti bernafas dalam sesak asap dapur kehidupan.

Tahun-tahun awal perkahwinan ini jugalah pasangan akan bertemu ada yang tidak kena. Ada isteri yang tidak melaksanakan tanggungjawab sepertinya, dan suami pula kelihatannya tidaklah sebaik seperti semasa percintaan. Tentulah ini boleh berlaku. Ketika bertunang, kita boleh bercakap apa sahaja.

Waktu itu belum ada tanggungjawab. Setiap hari boleh berdating di kedai makan, tidak perlu masak di rumah. Tidak perlu membasuh kain baju. Tidak perlu memikirkan hutang bank atau sewa rumah. Jadi semuanya boleh kelihatan baik.

Apabila berkahwin, semuanya berubah. Suami atau isteri tiba-tiba melihat ada banyak beban baru yang perlu dihadapi. Berhadapan dengan cerewet mertua, rengek anak-anak, konflik keluarga kedua-dua belah pihak dan sebagainya. Semua ini adalah cerita baru yang tidak ada ketika alam percintaan. Semua ini adalah bau baru yang tidak seharum seperti ketika mengalunkan lagu cinta sebelum perkahwinan.

Ada pula suami yang berasa tertipu apabila mengetahui isterinya pernah menjalinkan hubungan dengan orang lain sebelum perkahwinan. Semua ini menyebabkan rumahtangga terus dilanda bayang-bayang silam.

Seharusnya, setelah memulakan perkahwinan, buku lama ditutup. Ia wajar dilupakan. Seperti satu pesan kepada seorang gadis yang dirogol dalam Keluarga Gerilya, 'dara itu hanya sesaat'. Maksudnya, yang membezakan hal itu hanyalah sesaat, jadi tidaklah perlu ia diperbesarkan lagi. Anggaplah ia satu sejarah. Kerana setiap orang tentu ada sejarah silam. Setiap orang tidak boleh mengandaikan mereka adalah makhluk suci yang tidak pernah melakukan dosa.

Akibatnya, kerana konflik yang berpanjangan, baik suami, baik isteri - mereka berfikir untuk mencari pasangan baru. Dengan harapan ia akan mendapatkan yang terbaik. Mereka tentu tidak pernah menjangka, mereka akan sekali lagi dilanda masalah yang sama nantinya. Bahkan, mungkin lebih teruk dan menakutkan.

Kerana cerita rumahtangga itu tetap begitu jalan ceritanya. Ia sama sahaja di mana-mana sekalipun.

Jangan menangis!

Wednesday, 14 October 2009

Bila hujan turun lebat

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hujan memang memberikan rahmat.

Di Australia, sekarang ini sudah bertukar dari musim bunga yang nyaman kepada musim hujan yang sejuk. Pagi hujan, petang hujan, malam hujan. Nasib baik, tidak ada yang menoreh. Kalau tidak tentu banyak yang merungut.

Empangan di seluruh negeri sudah hampir melimpah airnya. Australia, negeri yang kering kini sedang merayakan peningkatan jumlah air.

Parti pembangkang kini mula bising-bising. Mereka mula mendesak. Mereka mula meminta. Mereka mula mengharapkan sesuatu untuk kebaikan rakyat.

Apa yang mereka minta?

Mereka minta air percuma.

Inilah sebenarnya kerja wakil rakyat untuk kita. Mendesak untuk kebaikan kita. Meminta untuk kesejahteraan kita.

Wakil rakyat kita bila lagi?

Bila lagi hendak bercakap untuk kami?

Ahli politik bukan dipilih untuk bermain politik, tetapi dipilih untuk menjadi suara rakyat.

Tuesday, 13 October 2009

Ini kempen bahasa

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku sedang sibuk menulis jurnal. Aku menulis dalam bahasa Inggeris. Ia bukan bahasa besar. Ia cuma bahasa ketiga besar dunia selepas Mandarin dan Sepanyol. Aku tidak marahkan sesiapa jika perlu menulis dalam bahasa Inggeris, kerana aku tahu aku kini sedang berada di bumi penutur bahasa Inggeris.

Aku juga tidak marah untuk menulis dalam bahasa ini kerana aku perlu menghantarkan artikel ini ke jurnal yang berpangkalan di Amerika, juga bumi penutur bahasa Inggeris. Bagi aku, itu hal yang tidak pelik. Profesor aku - anak jati Australia yang nenek moyangnya berasal dari Ireland juga tidak pernah membuangkan manuskrip aku ke dalam tong sampah kalau ada kesalahan bahasa.

Malah, seumur hidup aku di sinilah aku mula menulis tulisan akademik dalam bahasa Inggeris. Tulisan sulung aku itu - diterima masuk ke satu jurnal antarabangsa.

Teman-teman sebilik aku tidak ada lagi berbangsa Melayu. Semuanya orang yang berbahasa Inggeris. Mereka selalu berkata, aku lebih baik daripada mereka kerana aku tahu dua bahasa, sedangkan mereka cuma tahu satu bahasa.

Mereka salah.

Aku juga boleh bertutur 3 bahasa (mungkin 4 kalau dihitung bahasa Indonesia). Aku boleh bertutur bahasa Siam dengan baik, walaupun mungkin tidak cemerlang. Di sini aku ada 3 orang anak dara Siam yang akan bercakap dengan ramahnya apabila mereka terserempak dengan aku. Mereka baik dengan aku bukan kerana aku satu fakulti dengan mereka. Aku baik dengan mereka kerana mereka tahu aku boleh berbahasa mereka.

Aku juga boleh menukarkan loghat bahasa Indonesia secara automatik apabila berjumpa dengan pelajar Indonesia. Mawar, seorang pelukis - wanita Sunda - adalah seorang kawan baik aku. Pak Adie - seorang Jawa - juga kawan baik aku.

Tetapi, aku marah kalau di negara aku ada orang memandang kerdil bahasa Melayu. Aku sebak kalau ada yang berkata bahasa ibunda aku ini cuma untuk orang kelas bawahan. Aku gelisah kalau ada sesiapa yang tanpa apa-apa sebab menukarkan polisi bahasa yang dirancang dengan sebegitu elok oleh mereka yang terdahulu.

Aku akan lebih marah kalau yang berkata itu pula - sedari kecilnya terdidik di negara luar yang tidak tahu pun perit jerihnya kita mengekalkan bahasa ibunda.

Bagaimana orang-orang ini boleh mengkerdilkan bahasa Melayu sedangkan mereka lahir di London, bersekolah di Leeds, dan kemudiannya belajar di Cambridge. Hanya kerana ibunya orang Melayu, dan bapanya orang Melayu - maka dia seolah-olah mahu bercakap mewakili orang Melayu. Berdarahkan Melayu belum tentu menjiwainya Melayu.

Bagaimana mereka boleh bercakap hal yang mereka tidak tahu. Seperti orang yang tidak pernah ke laut cuba mengajar nelayan menangkap ikan.

Aku juga marah kalau orang memandang rendah lulusan UKM yang terdidik dengan bahasa Melayu. Jangan hanya kerana kebolehan bahasa Inggeris anda, anda lebih pandai dari orang lain. Tatkala mereka sakit dan dirawat oleh doktor di HUKM, tidak pernah pula mereka bertanya "Adakah anda belajar perubatan dalam bahasa Melayu?"

Bagi aku - belajar bahasa tempatnya bukan di sekolah. Bahasa perlu dipelajari dari persekitaran. Aku boleh bercakap bahasa Siam kerana aku membesar di sempadan. Aku boleh faham bahasa Indonesia kerana aku pernah tinggal di Jakarta. Aku baik sedikit bahasa Inggeris kerana aku terpaksa singgah kedai membeli rokok Dunhill di Foodland, atau terpaksa berborak-borak dengan kawan-kawan aku yang berbahasa Inggeris.

Jadi, jangan ada sesiapa menghina bahasa ibunda aku. Jangan ada sesiapa cuba berlakon kononnya cintakan bahasa Melayu dengan hanya menggantungkan kain rentang atau menganjurkan kempen itu dan ini. Walaupun retorik itu sebahagian sifat bahasa, tetapi kita tidak bermain retorik dalam hal-hal yang berkaitan hala tuju bahasa.

Mencintai bahasa Melayu - bermakna kita perlu tegas dalam segala hal berkaitan dasar bahasa. Jangan sampai ada memperkecilkannya, apatah lagi menghinanya. Jika ada yang tersilap, maka kita kembalikannya kepada yang asal.

Itulah maknanya kita mencintai bahasa.


Monday, 12 October 2009

Hey. Tolong buka pintu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini aku hendak kritik.

Aku seboleh-bolehnya mahu menulis dengan nada tanpa tapisan, tanpa segan silu dan ayat sekasar batu semacam http://swingingbowlsatay.blogspot.com/ atau http://makantido.blogspot.com/. Tapi akhirnya aku tahu - aku tidak ada kepakaran itu. Ia kepakaran istimewa yang hanya mereka yang ada.

Aku nak kritik orang-orang kaya yang miskin nuraninya. Aku hendak kritik tauke kaya atau orang besar yang hidup di Bukit Damansara, atau yang tinggal di apartment mewah Sungai Buloh yang lengkap dengan kolam renang dan jaga. Mereka ini mungkin sebangsa dengan aku,walaupun banyaknya bukan.

Ann, tuan punya blog http://jomnaikapalselam.blogspot.com/ mengadu tentang hal susahnya untuk orang-orang ini mengisi borang soal selidik. Ada yang tidak mahu buka pintu pun. Ada yang banyak songeh. Soalan aku panjang. Tak faham. Macam-macam lagi. Yang aku hairan, orang-orang kampung di Sabak Bernam yang tak sekolah tinggi faham pula soalan yang ditanya.

Bagi aku, ini sebahagian masalah kajian di Malaysia. Orang-orang ini tentu sangat sibuk. Orang-orang ini tentu banyak wang. Mereka tidak hairan sedikit pun dengan soal selidik aku yang berjela-jela panjang itu. Mungkin respons mereka lain kalau Ann mulakan salam dengan ayat seperti ini: "Uncle, nak projek tak?". Atau, "Saya ini anak menteri. Bapa minta saya datang sini".

Aku tidak marahkan orang-orang itu yang tidak mahu menjawab soal selidik aku. Tetapi aku rasa, ini adalah gejala prejudis (nanti aku tulis secara akademik hal ini). Apabila ada orang Melayu mengetuk pintu rumah orang lain, mereka tidak akan memandang pun walaupun dengan cuma suku biji mata. Sebaliknya, apabila orang kita melihat ada lori jual tilam atau surat khabar lama, kita bukan sekadar membuka pintu, malah kalau boleh nak menjamu dengan air kopi. Di kampung, kalau ada yang datang mahu beli ayam, kita bukan sekadar tidak berani meletakkan harga, malah kalau boleh mahu beri percuma.

Baik sungguh orang kita.

Aku jadi hairan. Bila kita singgah ke kedai, mereka ini sangat mesra. Sangat friendly. Mereka puji kita sana sini. Kita yang kerja tukang kebun pun dia panggil bos. Kita sangat suka. Lebih teruk dari kera mendapat bunga. Sama hebatnya kegembiraan kita itu seperti kaki judi yang 5 daunnya dapat nilai 21. Yang tak pernah main judi, pergi balik tanya orang yang tahu. Nanti dia akan ajar banyak benda lagi. Ada sat, ham, tan dan macam-macam lagi.

Tidak perkaumankah masyarakat Malaysia? Bukankah kita ini OneMalaysia?

Realitinya semua itu dusta. Bila kita bercakap hal bahasa, mereka kata kita ini perkauman. Bila kita berbincang hal kouta biasiswa JPA, mereka bising-bising ini penindasan. Bila kita hanya benarkan orang kita masuk MRSM, mereka kata kita tidak tahu makna meritokrasi. Mereka akan bising itu dan ini. Mereka kata jangan jadikan mereka warga kelas dua. Ini zaman merdeka. Semua orang sama sahaja tarafnya.

Kalau macam itu - hey bukalah pintu. Barulah kita sama sahaja statusnya. Baru kita tidak perkauman. Jangan layan Ann semacam penjual pen Montblanc tiruan Made in China. Dia ada Ijazah tau! Dia lulusan luar negara yang pandai bahasa orang putih lebih baik dari warga Australia keturunan Greek!

Sunday, 11 October 2009

Adelaide Bloggers!

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku percaya di Adelaide ini terdapat banyak anak Malaysia yang mempunyai blog masing-masing. Setiap orang mempunyai alasan dan tujuannya sendiri membaangunkan blog. Ada yang mungkin ingin berkongsi berita dengan keluarga, mencurahkan rasa dan derita, berkongsi pengetahuan, melempiaskan rasa marah dan banyak lagi.

Namun, blog juga sebenarnya memberikan lebih banyak manfaat daripada itu. Ia menjadikan kita bersahabat dengan banyak orang. Ia menjadikan kita mengetahui apa yang sedang dialami oleh teman-teman kita di luar sana. Bentuk persahabatan mungkin sekadar maya, dan bukan fizikal. Tetapi, itu tidak mengapa. Yang penting, aspek positifnya.

Jadi - aku terasa seperti perlu diwujudkan satu komuniti Adelaide Bloggers yang mana kita sesekali boleh berjumpa atau mengadakan aktiviti bersama untuk kebaikan anak bangsa. Atau mungkin sekadar makan-makan dan minum kopi berbual-bual kosong.

Kita juga mungkin boleh merancang untuk menulis tema yang sama pada setiap hujung bulan, misalnya berkaitan pendidikan, politik, atau apa sahaja. Setiap orang boleh menulis dengan cara masing-masing, berdasarkan pandangan masing-masing. Yang utama, satu hari bagi setiap bulan kita menyumbangkan sesuatu untuk bangsa dan negara.

Semua orang yang mempunyai blog bebas untuk menyertainya tanpa mengira aliran politik, ideologi atau usia. Kita tidak perlu membataskan penyertaan semata-mata kerana ada yang senior atau ada yang lebih muda. Semua orang sama sahaja. Komuniti ini pula perlu bergerak secara informal sahaja, agar kita tidak terlalu terikat dengan banyak peraturan dan undang-undang.

Kita juga tentunya perlu mengadakan link bagi semua ahli komuniti.

Azam tentunya perlu dilantik menjadi Presiden kerana dengan cara itu setiap kali pertemuan membolehkan kita minum percuma.

Amacam? Ada komen?

Saturday, 10 October 2009

Mahu jadi pemimpin?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Mereka sedang berbincang. Mereka tidak tahu apa yang aku sedang perhatikan.
 
Tengahari tadi, berakhirlah Siri 1: Sanggar Karya - Program Bengkel Kepimpinan anjuran Lingkaran Sahabat Sastera. Nampaknya, menarik juga diadakan program seumpama ini untuk mendedahkan anak-anak muda dengan banyak hal dalam menguruskan manusia dan organisasi. Aku tidak tahu keberkesanan dan kefahaman mereka dalam memahami konsep yang cuba aku terapkan dalam latihan tadi. Itu kena tunggu komen peserta.


 Mereka sedang membincangkan projek perumahan terbengkalai!
Cuma yang pasti - pemimpin tidak boleh beraksi dengan cara yang sama dengan pengikut, dan mesti tahu cara bermain psikologi dengan orang bawah. Pemimpin mesti tahu cara berkomunikasi dalam kumpulan, mesti tahu helah apabila berinteraksi dengan individu yang berbeza. Sebab tidak semua individu sama tret personalitinya, dan tidak pula sama kehendaknya.


Apa yang sedang mereka fikirkan
 
Dalam apa keadaan sekalipun, pemimpin mesti sanggup berkorban demi orang bawahnya. Ingatan aku untuk mereka - jangan sewenang-wenangnya menjual syarikat! Bagaimana pun, jika mereka adalah peniaga tulen, jangan pedulikan orang bawah. Itu terlebih baik dalam iklim perniagaan dunia moden. Semuanya tergantung dalam situasi apa mereka berada.

Terima kasih untuk semua anak muda. Aku sekadar menjalankan tugas. Nanti kita bermain-main lagi. Game yang lain pula tentunya.

Semua gambar adalah sumbangan Saudara Teja - http://janjilaxamana.blogspot.com/

Next:
Bagaimana memanipulasi bos dan orang bawah anda!
Tunggu iklan yang bakal disiarkan. Jumlah peserta tetap sama, jangan lebih 10 orang.

Friday, 9 October 2009

Mencari warna sebenar politik Melayu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak era reformasi politik tahun 1998-1999, lanskap politik Melayu telah mengalami perubahan besar. Pengundi Melayu yang selama ini taat kepada UMNO dan Barisan Nasional berpecah kepada dua. Satunya menyokong PAS, dan satu lagi menubuhkan Parti Keadlilan Rakyat (PKR). Jika selama ini parti DAP dianggap sebagai sangat memusuhi Melayu dan Islam, kini ia dijadikan rakan kongsi bagi menjatuhkan Barisan Nasional.

Pengundi Melayu yang selama ini begitu setia dengan UMNO, kini melihat PAS dan PKR sebagai parti alternatif baru yang mampu memberikan harapan kepada mereka, walaupun kadang-kadang mereka berasa curiga juga. Ini khususnya apabila ada kepentingan Melayu yang dirasakan bakal terhakis.

Jadi - jangan berasa terkejut jika sekiranya ada sesekali perkahwinan PAS, PKR dan DAP itu dipukul gelombang, misalnya seperti kritikan Ronnie Lim terhadap tindakan PAS di Selangor dalam cadangan menghapuskan penjualan arak. Begitu juga tindakan Datuk Hassan Ali mempertikaikan perjalanan SELCAT di Selangor.

Sebenarnya bukan hanya di Selangor - perkahwinan di antara ketiga-tiga parti ini mengalami masalah. Tindakan lompat parti 2 Adun PKR, dan satu Adun DAP di Perak misalnya telah melenyapkan harapan Pakatan Rakyat untuk menguasai Perak. Hanya disebabkan dominasi PAS di Kedah dan Kelantan, tidak terlihat sebarang halangan besar untuk Pakatan Rakyat menunjukkan keupayaan mereka memerintah negeri.

Namun - satu persoalan yang berbangkit kini - apakah warna sebenar politik Melayu? Adakah mereka benar-benar begitu marahkan UMNO sehingga tidak ada peluang untuk mereka memaafkan kesalahan UMNO? Bagaimana pula dengan persepsi mereka dengan kepincangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, khususnya kecurigaan terhadap sentimen kurang taat di kalangan ahli politik PKR?

PAS walaupun dari segi kredibilitinya, lebih diyakini - melihat kepada perjalanan perjuangannya yang panjang - ahli-ahli yang tidak memandang kepada pulangan wang ringgit dan peluang perniagaan, tetapi dilihat seolah-olah 'adik kecil' berbanding PKR dan DAP, walaupun mereka adalah di antara parti tua dan dominan dalam percaturan politik negara. Tidak semua ahli PAS sendiri yang senang melihat keadaan ini.

Semua ini adalah antara dilema baru politik Melayu. Krisis politik di Perak misalnya, dengan kritikan terhadap institusi istana, sedikit sebanyak menyentuh hati orang Melayu. Raja bukan sahaja institusi penting perlembagaan negara, tetapi ia juga antara simbol kekuatan Melayu yang tetap kekal walaupun dari segi sejarahnya negara telah dijajah oleh pelbagai kuasa. Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan peranan Istana sebagai manifestasi ketuanan Melayu.

Kesilapan besar UMNO ialah membiarkan budaya politik wang, kuasa dan kekayaan menguasai parti. Mereka yang ingin memiliki kekayaan dan kuasa perlu menjadi ahli UMNO. Maka, mereka yang mungkin tidak pun memiliki sentimen cintakan bangsa dan agama - asalkan berhasrat untuk kekayaan dan kuasa, telah mula menghimpit parti.

Mereka ini adalah kelompok baru yang menguasai parti - ahli-ahli perniagaan dan broker projek, dan bukan lagi kakitangan kerajaan dan para pendidik seperti mana di awal perjuangan UMNO. Ini menjadikan UMNO dilihat parti elit. Ia menjadikan UMNO dilihat sarang para pencari wang, dan bukannya pejuang atau nasionalis bangsa. Setiap kali menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO, orang akan mula bercakap yang pemimpin bertanding memberikan 'wang kopi' sebanyak itu dan ini bagi meraih undi. Semua ini bukan lagi rahsia. Walaupun apa alasan yang diberikan, tetapi inilah persepsi para pengundi.

Ini ditambah, ada tindakan yang dilakukan oleh UMNO yang mungkin menjadikan ia tidak disenangi. Isu bahasa Melayu misalnya, menjadikan UMNO tidak dilihat sebagai memperjuangkan hak istimewa orang Melayu. Semua ini telah membuka ruang untuk parti terus diserang oleh Pakatan Rakyat - yang kemudiannya berjaya memanipulasi isu ini begitu berkesan.

Dalam keadaan sekarang, apakah parti yang benar relevan bagi orang Melayu? PAS yang dahulunya menyalahkan UMNO kerana bersekongkol dengan parti bukan Islam, kini tidak jauh bezanya juga kerana mereka juga kini bersahabat baik dengan DAP. PKR mungkin diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh yang dianggap pemimpin karismatik Melayu. Tetapi ia bukanlah parti yang menjadi milik mutlak orang Melayu.

Ada yang mungkin berkata, dalam era moden ini - persoalan ketuanan dan hak istimewa Melayu tidak lagi isu yang penting. Mungkin benar jika pandangan itu dicetuskan masyarakat kota, ahli korporat dan profesional yang mungkin tidak bergantung kepada parti politik dalam meneruskan kehidupan mereka.

Bagaimana pula halnya dengan masyarakat luar bandar yang masih miskin. Politik yang dianggap sebagai 'apa, siapa dan bagaimana?" oleh H.D Laswell itu adalah manifestasi kewujudan politik dalam memenuhi kehendak manusia. Politik tetap diperlukan bagi menunaikan harapan mereka. Politik tetap dianggap satu-satunya jalan yang boleh mengubah nasib mereka.

Apatah lagi dalam situasi pelbagai isu yang melibatkan orang Melayu yang masih belum selesai, bahkan ada yang bertambah rumit. Isu ekonomi orang Melayu misalnya, masih dalam keadaan yang sangat lemah. Tatkala bangsa lain sudah memiliki aset dan harta yang melimpah ruah, orang Melayu masih kelam kabut memohon rumah PPRT.

Begitu juga dalam hal yang melibatkan pendidikan. Tanpa biasiswa kerajaan, berapa ramai orang Melayu yang mampu menyambung pengajian di luar negara seperti bangsa lain? Malah, tanpa adanya pinjaman PTPTN misalnya, mungkin hanya beberapa kerat sahaja anak Melayu yang mampu ke menara gading. Semua ini menunjukkan betapa kusutnya persoalan orang Melayu.

Ini belum termasuk isu-isu sosial lain. Penagihan dadah, gejala sosial, keciciran pengajian dan sebagainya.

Jadi - manakah parti Melayu yang mampu merungkaikan semua ini jika tidak ada satu pun yang dominan, atau mempunyai wadah perjuangan yang sama? Semua ini mencetuskan dilema baru orang Melayu.

Kita mungkin tidak sebijak orang lain yang berpecah untuk bersatu, tetapi kita bersatu untuk berpecah.

Untuk semua ahli politik Melayu - jangan hanya sibuk berpilihanraya. Sesekali fikirkanlah apa yang terbaik untuk bangsa ini.

Ahh, hang ini. Lokus kawalan luaran sungguh!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kembali berbincang hal psikologi.

Kita orang Melayu akan selalu mendengar peribahasa ini "beras secupak tak akan jadi segantang" apabila usaha kita tidak menjadi. Atau apabila kita berkali-kali ditimpa musibah, kita akan berkata, 'mungkin aku ini sentiasa berada dalam nasib buruk'.

Dalam psikologi, hal ini ada dibincangkan. Ia dibincangkan dalam topik Lokus Kawalan. Diandaikan ada dua kategori manusia - iaitu lokus kawalan dalaman, dan lokus kawalan luaran. Orang yang tinggi lokus kawalan dalaman, akan lebih percaya kepada diri sendiri. Dia yakin, dialah yang mengawal persekitarannya. Dialah yang mengawal kejayaan dan kegagalannya.

Sebaliknya, orang yang tinggi lokus kawalan luaran, akan selalu cenderung menyalahkan orang lain apabila ada sesuatu terjadi dalam hidupnya. Mereka selalu menyalahkan takdir. Menyalahkan pihak lain yang mungkin tidak ada kaitan pun dengan kejayaan atau kegagalannya. Yang penting, mereka percaya apa pun yang terjadi dalam hidup adalah kerana orang lain, bukan salah diri sendiri.

Bagaimana orang kita?

Masyarakat kita lebih cenderung dengan lokus kawalan luaran. Sebab itu, kita banyak membincangkan hal salahnya pihak-pihak lain, berbanding dengan kemalasan atau buruknya sikap kita. Apabila ada anak sekolah yang gagal, kita membangkitkan kegagalan guru mengajar. Tetapi, bila anak kita berjaya, nama guru jarang disebut.

Di universiti pun sama. Bukan sekadar pelajar muda, pelajar PhD juga. Apabila ada hal-hal buruk yang terjadi dalam pengajian kita, penyelia akan menjadi mangsa. Mereka disalahkan. Mereka dijadikan kain buruk untuk mengelap semua kekotoran yang kita lakukan.

Bagaimana pun, ada hal-hal yang konsep lokus kawalan ini tidak boleh kita terima sepenuhnya. Dalam kondisi apabila berlaku satu-satu kejadian, orang Barat tidak akan pernah bercerita hal takdir. Bagi orang Islam, kita perlu percaya kepada takdir. Jadi, apabila ada hal yang diingini atau tidak berlaku dalam hidup seseorang, apabila dia berkata - itulah takdir aku. Itu yang ditentukan Tuhan. Kita jangan sembarangan berkata, "Ahh, hang ini. Lokus kawalan luaran sungguh!".

Ia mungkin mencederakan akidah kita. Kerana kita memang diajar dan dididik untuk yakin bahawa apa yang sudah berlaku adalah takdir Tuhan.

Bagaimana pun, kita juga diasuh untuk tidak menjadi puak Jabariah yang menanggapi hidup manusia ibarat kapas yang dibawa angin. Manusia langsung tidak ada kuasa mengawal diri. (Nota: Untuk hal ini, ada baiknya anda pergi mencari guru untuk berbincang-bincang hal Tauhid. Ada banyak puak, ada Muktazilah, ada Syiah dan bermacam-macam lagi dalam membicarakan konsep kejadian yang berlaku atas manusia. Jangan pula mencari guru yang tidak bertauliah dalam membicarakan hal-hal tauhid. Ia bakal membingungkan. Mungkin boleh hadirkan diri di sini. Aku hanya ingin berbincang hal psikologi di sini).

Apa-apa pun, konsep lokus kawalan itu perlu kita fahami. Agar kita tidak selalu menyalahkan orang lain. Agar kita lebih percayakan diri sendiri. Jangan semata-mata meletakkan kegagalan di bahu orang, walaupun dalam banyak masa kita cenderung untuk berbangga setiap kejayaan itu datangnya dari diri kita sendiri.

Thursday, 8 October 2009

Mengimbau Sekolah.Com

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ada orang tanya, siapa yang membaca blog aku.

Aku tidak tahu. Yang aku tahu, beberapa orang kawan. Itu pun aku tahu mereka tidak membacanya selalu. Selebihnya aku tidak tahu. Mungkin pelajar di Adelaide. Mungkin mereka yang sudah tidak lagi tinggal di Adelaide.

Mungkin juga teman-teman lama aku di Kuala Lumpur atau Alor Setar. Mungkin juga mereka yang tidak tahu untuk berbuat apa, lalu terserempak dengan blog ini lalu membacanya. Atau mungkin juga 'orang-orang lain' yang sedang memerhatikan apa yang pelajar Malaysia sedang buat di luar negara. Kita tidak tahu. Aku juga tidak begitu mahu ambil tahu.

Aku mula menulis laman internet lama dahulu. Seingat aku tahun 2000 atau 2001. Waktu itu masih di Sekolah.Com. Jangan cuba menggoogle laman ini, ia sudah pupus ditelan kalahnya persaingan. Ia cuma bertahan sehingga 2004. Aku diberi satu kolum, Bila Pena Diasah. Ada juga penulis lain yang menulis dari UK. Seorang lagi ialah penulis wanita, dia menulis dalam bahasa Inggeris.

Hanya kami orang bahasa dalam Sekolah.Com. Yang lain, semuanya orang IT dan grafik. Mereka juga bermain dengan bahasa. Tetapi bahasa yang tidak kita fahami. Bahasa HTML, PHP, C++ dan entah apa lagi. Aku sudah lupa.

Sekolah.Com waktu itu mendapatkan wang dengan membangunkan laman web sekolah seluruh negara. Jadi, semua sekolah akan disatukan dalam laman kami. Di situ juga terdapat forum, soalan peperiksaan, bimbingan pelajaran dan banyak lagi. Keahliannya juga besar.

Selain menulis, aku juga terpaksa bergerak dari satu negeri ke satu negeri, dari satu sekolah ke satu sekolah untuk mempromosikan perkhidmatan kami. Kami juga menyediakan perkhidmatan latihan untuk webmaster, kebanyakannya yang berminat dengan PHP dan MySQL server.

Dengan bantuan ahli-ahli yang mendaftar, kami juga melakukan kerja amal seperti melawat rumah anak yatim. Kebanyakan ahlinya, selain pelajar sekolah termasuklah juga orang dewasa yang sering menggunakan perkhidmatan forum kami. Jadi terdapat kombinasi orang muda dan orang dewasa. Umur aku baru 28 tahun ketika Sekolah.Com dibangunkan.

Aku kemudiannya dipindahkan ke jabatan lain. Tetapi aku masih menulis. Tatkala aku di Indonesia pun, aku masih menulis sehinggalah ia ditutup dengan rasminya.

Aku pun tidak pasti ke mana perginya banyak teman-teman lain di Sekolah.Com. Selain Aca yang kini dengan syarikat grafiknya di Kajang, Zarita yang kini menjadi pensyarah bahasa Inggeris, atau Hisham yang kini di Duisburg, Jerman aku tidak tahu lagi di mana mereka.

Kalau masih ada mantan pembaca Sekolah.Com yang singgah ke sini, aku ucapkan hey, selamat datang.

Wednesday, 7 October 2009

Catatan 2 tahun

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
2 Oktober 2007 - aku menjejak kaki ke Adelaide. Itu dua tahun dulu. Hari ini 7 Oktober 2009. Masa begitu cepat meninggalkan kita. Sudah 2 tahun aku di sini. Terasa seperti aku baru sampai sahaja ke sini. Waktu itu, Luqman Hakiem masih kecil.

Dalam tempoh 2 tahun itu, sudah 3 kali kajian aku lakukan di Malaysia. Ada hal-hal yang baik untuk pengajian aku sepanjang tempoh itu. Kertas aku diterima jurnal. Aku pernah juga membentangkan kertas di Sabah. Pernah juga di Sydney. Juga di Kuala Lumpur.

Kenangan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Kali pertama memijak kaki ke Sabah. Satu-satunya negeri yang tidak pernah aku jejak sebelum ini.

Aku juga pernah dua kali ke Victoria. Pernah juga dua kali singgah di Perth dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Juga pernah ke beberapa tempat sekitar South Australia.
Posing serius di Perth Airport.

Bagusnya, di Adelaide ini banyak teman-teman yang baik. Aku perlu rakamkan nama mereka - Nizam & Liza (bekas kelasi, ex-nurse), Abang Zul & Kak Ros (seangkatan dengan group Cromox di Brisbane dulu), Fahmi & Zara (foreman amatur), Lokman & Ida (foreman,sudah balik ke Malaysia), Sidi & Salina, Dr Kamarul & Kak Nana (doktor pakar tangan, ex-staff nurse), Nizam dan Mashitah. Terbaru datang Zainol & Miza dan Azam & Naila. Banyak lagi sahabat lain yang tidak dapat aku senaraikan. Semua mereka telah menjadi sebahagian dari keluarga kami.

3 hari lagi, teman baik aku di Centre for Applied Psychological Research selama 2 tahun ini, Kak Ton akan balik Malaysia setelah tamat pengajian PhD. Dia seorang yang baik. Pensyarah yang cerdik. Dia banyak mengajar aku hal-hal penulisan dan statistik. Hebatnya Kak Ton, dia boleh menulis satu-satu artikel dalam masa 1 minggu sahaja, dan biasanya diterima untuk penerbitan jurnal. Aku cuba menjadi dia, tetapi gagal.

Apa yang hendak aku ceritakan?

Masa adalah teman dan musuh diam dalam kehidupan kita. Ia sering mengekori kita, dan kemudian meninggalkan kita dengan begitu cepat. Ia memaksa kita untuk mengejar sesuatu, ia juga melalaikan kita. Jadi, sebelum sampai kepada sesuatu, lebih baik bersedia dengan sesuatu. Ia lebih baik dari bila sampai waktunya, kita sangat keliru.

Selamat pulang Kak Ton. Moga-moga bertemu lagi di ruang yang lain. Terima kasih.

Tuesday, 6 October 2009

Update research - part yang stress

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Survey aku sedang berjalan. Memandangkan tajuk survey aku stress kerja, aku rasa orang yang terlibat juga stress. Mereka yang berkunjung dari rumah ke rumah seperti Cik N akan juga rasa tertekan. Dia akan stress bila responden tidak ada di rumah, atau berkunjung ke rumah tauke bermuka toya. Kawan aku di UM stress sebab aku akan call dia setiap hari untuk update perkembangan.

Nampaknya seperti aku tidak buat apa-apa. Kelihatannya semacam aku hanya berlepak di bawah panas musim bunga di Australia. Terasanya seperti mudah untuk buat PhD sebab semua kerja boleh dipajak kepada orang lain.

Sebenarnya tidak. Aku lebih stress. Dulu aku bayar RM 10 satu borang. Kini aku bayar RM15 satu borang. Aku harap dengan cara itu akan dapat pembantu penyelidik yang lebih berintegriti, lebih faham maksud kajian. Tidak ada lagi yang cuba isi borang sendiri. Mereka tidak tahu, software AMOS aku boleh trace kecenderungan itu.

Jadi - apa yang aku stress? Cubalah ambil kalkulator dan darabkan upah RM15 dengan 1,200 responden. Tapi aku tak jangkakan semua orang menjawab. Mungkin hanya 40% orang Selangor akan memberikan kerjasama, sekitar 500 orang. Jadi jumlahnya kira-kira RM7,500. Itu belum termasuk upah lain seperti fotostat, pengurusan dan lain-lain. Kajian ini akan berjalan dua kali. Maksudnya dalam RM15,000 untuk kajian ini sahaja. Ini belum termasuk kajian lain yang telah dibuat sebelum ini.

Aku ada duit sebanyak itu? Itu yang sedang aku fikir sekarang ini. Duit sebanyak itu memungkinkan aku kahwin 3 orang sekaligus di Siam. Dengan riaknya, aku boleh beli kereta Wira second-hand tanpa pinjaman bank. Duit sebanyak itu kalau aku sedekahkan ke masjid di kampung aku, mereka dengan mesranya mendoakan aku setiap kali lepas sembahyang. Aku juga mungkin akan sangat sibuk dijemput orang kampung merisik anak dara mereka.

Jadi itulah yang aku sedang stress sekarang ini. Tapi, untuk semua para pembantu, jangan bimbang. Jangan tolong fikir macam mana aku boleh dapatkan wang. Fikirkan kerja anda. Hal biaya, biarkan aku yang stress. Untuk hal upah anda, pergi minta kepada kawan aku di UM. Aku sudah sediakan wang upah yang anda perlukan.

Stress mencari wang - itulah pekerjaan rasmi aku suatu waktu dulu.

Monday, 5 October 2009

Bila senja berlabuh

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Bila senja tiba - diambil 4 October 2009 di Aldinga Beach. Daylight saving.

Bila senja tiba, bukan sekadar menukar siang menjadi malam. Ia juga mengubah usia kita. Ia menghakis sisa umur yang ada. Bila matahari berlabuh, maka kita akan semakin tua. Kita tahu kita semakin tua hanya setelah kita mengingati kisah silam kita tinggal nolstalgia. Bagaimana cerah sekalipun siang anda, tatkala malam tiba, siang yang cerah tidak akan kembali lagi.

Kumpulan kanak-kanak - dari kiri Hilya, Hilman, Hilal, Helmi dan Luqman. Kita tidak akan kembali ke usia mereka. Diambil di depan rumah kami menginap, berhadapan Aldinga Beach.

Ketika kanak-kanak dulu, aku selalu berlari di batas bendang waktu senja begini. Kami juga bermain tembak-tembak dan masak-masak. Kadangkala bermain layang-layang atau wau lepek. Layang-layang kami bina sendiri, dan kami berlari melawan angin. Banyak teman kanak-kanak yang terus bersahabat hingga kini, ada yang tidak. Ada yang hilang, ada yang telah kembali menemui Tuhan.

Waktu itu, kita selalu berangan-angan untuk menjadi dewasa. Bila dewasa, kita menjadi takut dengan usia tua.

Sunday, 4 October 2009

Musim bunga tiba lagi - Pesan untuk Luqman

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Gambar ini dirakamkan di Happy Valley, dalam perjalanan ke Aldinga Beach.

Luqman Hakiem.
Ini musim bunga. Bunga tumbuh meliar di mana-mana. Di bukit, di hutan atau di padang. Semua pohon mewarnakan ruang. Ia mewangikan alam. Ia menyinari kehidupan. Bunga, pokok dan alam adalah kehidupan yang membahagiakan. Tangan manusialah yang merosakkannnya. Kejahatan manusialah yang menghancurkan kehidupan.

Bunga ini sangat disukai kaum wanita. Aku terlupa nama bunga ini.

Luqman Hakiem,
Aku tidak tahu mengapa wanita sukakan bunga. Mungkin warnanya. Mungkin harumnya. Atau, memang bunga itu sendiri adalah perlambangan wanita. Seperti biasa, kalau begitu sifatnya - bunga akan sentiasa ditipu kumbang. Ia akan singgah pada setiap kuntum bunga. Dan, akan ditinggalkannya. Jangan kau menjadi begitu. Ingat, setiap bunga yang gugur tidak akan tumbuh kembali.

Ini gambar anak aku Luqman Hakiem. Dia sentiasa mahu memberikan posing yang melucukan.

Ingat Luqman Hakiem,
Hidup ini bukan lucu Luqman. Hidup ini keras. Hidup ini padang perburuan. Hidup ini sentiasa memilukan. Kadang-kadang meriangkan. Hidup ini bukan sekadar musim bunga yang indah. Ia juga bercampur musim dingin, panas dan gugur. Berselirat di antara panas alam dan marah manusia. Bercampur di antara suka dan duka. Bercampur aduk antara realiti dan mimpi. Kau akan tahu jawapannya bila dewasa nanti.

Saturday, 3 October 2009

Update jam 3.49 pagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 3.49 pagi waktu Adelaide.

Aku tiba-tiba terjaga tengah malam. Tak boleh tidur. Bakar rokok dua batang. Bakar dan bakar.

Esok jam 9 pagi - kami akan memulakan perjalanan ke Aldinga Beach, dan akan menginap di sana dua malam. Tempat ini tidaklah jauh dari Adelaide. Dalam 30 minit, dah boleh sampai. Ia tempat yang cantik. Sesuai untuk pemancing. Sesuai untuk berehat. Sesuai untuk menulis jurnal. Sesuai untuk mereka yang tidak tahu kemana arah long weekend ini (Isnin cuti Labour Day).

Tadi - jam 3 petang, supervisor aku ada tanya kalau-kalau aku mahu ke Jerman. Dia sedang cari orang untuk bersabatikal sebulan dua di Maintz University, di bawah seliaan Prof Christian Dormann di sana. Ia pakar dalam bidang stress juga. Aku kenal dia. Dia pernah lepak di center aku selama sebulan dulu. Masih muda. Berpakaian simple dan berkasut Converse. Kasut yang pernah aku pakai zaman aku bujang.

Aku rasa, aku mahu pergi. Harap-harapnya jadi. Boleh jalan Eropah. Sana pun aku ada seorang kawan. Seorang wanita Jerman.

Harap-harap aku boleh cari tempat yang lebih baik dari Adelaide untuk mengupdate blog!

Friday, 2 October 2009

Update Research - Edisi Puji + Marah

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kawan baik aku - Bro Saiful sedang dalam perjalanan dari Bandar Baru Bangi ke Putrajaya. Dia akan menguruskan urusan pengambilan peta kajian dari Jabatan Statistik. Petang nanti, anak saudara aku yang umurnya hampir sebaya aku 15 tahun dulu, akan menghantarnya ke Universiti Malaya. Di Universiti Malaya, Maizatul akan cuba mengedarkan borang soal selidik kepada beberapa orang pembantu penyelidik. Kebanyakannya aku tidak kenal. Dia yang akan uruskan. Jadi terima kasih semua.

Esok, harapnya kajian aku akan dapat dimulakan. Aku tidak mampu nak balik Malaysia lagi. Banyak duit kena pakai. Harapnya juga, percubaan kali ini akan mampu mendapat jumlah responden yang banyak. Kalau tidak, ia bakal menimbulkan masalah lagi.

Sepanjang aku di Adelaide ini, sudah 2 kali aku balik kampung. Kali pertama tahun 2008 ketika mengadakan beberapa sesi temuduga dengan 48 orang. Macam-macam orang aku jumpa. Macam-macam tempat aku redah. Aku masuk HUKM, aku singgah kilang SMART-Modular, aku pergi sekolah, aku jumpa orang di Syabas. Macam-macam aku dengar. Macam-macam aku tanya.

Bayangkan berapa banyak duit minyak dan tol untuk semua hal itu.

Beberapa bulan lalu, aku balik lagi. Waktu itu untuk survey dari rumah ke rumah. Sepatutnya, perlu dapat 300 orang lebih. Malangnya cuma dapat 138 orang sahaja. Tidak cukup banyak. Orang Malaysia tidak berminat untuk berkongsi cerita. Mereka cuma minat Akademi Fantasia dan Juara Lawak. Mereka minat SureHeboh. Mereka tak minat dengan kajian. Walaupun soalan yang aku tanya hanya nak tahu mereka stress atau tidak. Itu sahaja.

Bukan orang awam sahaja yang tidak minat. Agensi kerajaan pun tak minat. Aku ada jumpa banyak agensi untuk minta bantuan kewangan untuk buat research. Tak ada satu pun yang boleh bantu. Aku bukan minta banyak. Sikit sahaja. Tapi tak boleh. Ini bukan projek buat duit!

Banyak lagi orang lain yang tak mahu bantu. Ada orang aku emel minta soal selidik dari mereka. Mereka pensyarah cabuk macam aku juga. Tapi mereka tak mahu jawab. Aku jadi hairan. Aku emel orang putih yang hebat seperti Prof Spielberger dan Robert Karasek di US atau Prof Schaufeli di Belanda, emel pagi - petang reply. Mudah. Siap bantu dari segi teknikal dan statistik lagi. Itu profesor besar. Nak tahu mereka besar atau tidak, boleh google nama mereka di internet.

Masalahnya orang kita yang namanya hanya dikenal oleh mak ayah dia tak boleh nak bantu. Aku jadi hairan. Aku jadi musykil.

Dalam banyak-banyak orang yang bantu aku - penghargaan istimewa patut aku beri kepada Bro Din yang telah menolong aku dalam hal mendesign soal selidik. Dia juga mendesign poster aku untuk presentation di Sydney dulu. Aku rasa dia tahu perjalanan PhD aku sebab dia terlibat sejak mula lagi. Dalam banyak kerja yang dia buat, aku rasa ini kerja yang paling mencabar untuk dia. Kerja ini tidak berbayar! Nantilah, aku balik Malaysia nanti - aku belanja teh tarik.

Kalau sesiapa yang ingin mendesign sesuatu - boleh contact Bro Din. Dia memang bagus. Dia boleh design kad kahwin, business card, poster, buletin, billboard, buku dan macam-macam. Dia boleh lukis dengan tangan, juga pandai Apple. Boleh kesemua itu. Tapi kena bayar la.

Ada sesiapa kawan aku yang kat luar tu yang boleh bagi job dekat Din? Aku jamin dia paling bagus dalam hal-hal grafik.

Thursday, 1 October 2009

Last Call!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini last call yang tak begitu penting untuk sesiapa yang tak berminat.

Sabtu (10 Oct 2009) - Lingkaran Sahabat Sastera bercadang untuk mengadakan bengkel untuk kumpulan pelajar undergraduate (bukan underground!). Seperti biasa, ia free. Seperti biasa, pengendalinya (yakni aku) kalau boleh tak mahu ramai orang. 10 orang kira maksimum!

Antara skop utama yang akan diberikan tumpuan:

Apa yang beza pemimpin dan bukan pemimpin?
Mengapa kadang-kadang komunikasi tak tercapai?
dan banyak lagi benda-benda lain.

Tapi aku taklah bercadang nak berkuliah dalam kelas nanti. Aku tak berminat hal kuliah menguliah ni. Aku ingat nak buat praktikal . Ingat nak bermain-main dengan game organisasi. Jadi, program ini akan dikendalikan dalam bilik dan luar bilik. Mungkin kena ronda-ronda satu Adelaide. Tengok pemandangan? Taklah. Ada hal-hal yang patut kita teliti bersama.

Ada sijil? Orang besar LSS kata ada. Dah design? Kalau belum, boleh bincang dengan pakcik ye.

Apa sebab aku berminat nak terlibat dalam program ini. Banyak sebab. Salah satunya, aku perhatikan pelajar luar negara ini banyak dengan aktiviti agama. Ia bukan sekadar di sini, di UK pun sama. Tidaklah aku nak komplain dengan hal itu. Itu benda baik. Tetapi, rasanya ada hal-hal lain yang patut ada juga.

Jadi bila orang ajak aku, aku rasa tak kena pula, kalau aku tak bantu. Aku banyak kutuk sana, kutuk sini dalam blog. Tapi aku sendiri pun tak buat apa pun. Jadi sebab itu aku nak terlibat. Bukanlah maknanya aku ini pandai sangat. Cuma aku sekadar nak tolong apa yang boleh ditolong. Ingat nak ajak Krenmaut join juga tolong aku. Bro, nak ke? Nanti kita boleh buat projek joint venture FakirFikir dan Krenmaut. SwingingBowl patut sponsor makan! Baru boleh tajuk "Bila 3 Blogger Bersatu Hati' nanti.

Next program:
1. Bengkel Kaedah Menghafal Untuk Moderator
2. Bengkel "Bagaimana Memanipulasi Bos dan Orang Bawah Anda?"

Nanti kita bincang kemudian.

Wednesday, 30 September 2009

Apa khabar kawan?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiga belas tahun dulu, aku kerja kilang. Itulah kerja pertama aku selepas keluar universiti. Aku terasa baru beberapa bulan lalu aku di situ. Aku masih dapat membayangkan hari temuduga dengan baiknya. Penemuduga - En Mukhtar cuma bertanya soalan yang mudah sahaja. "Apa kamu buat di waktu lapang?". Aku dengan penuh keyakinan memberikan jawapan penuh skema, kononnya aku minat membaca dan bermain komputer. Dia membalas, "Tak payahlah. benda-benda lainlah'. Akhirnya aku beri jawapan paling jujur, "Memancing". Rupanya itulah jawapan yang sangat digemarinya. Bertanyalah lagi sang penemuduga tentang ikan, lubuk dan umpan. Aku ingat tidaklah merasa aku dengan kerja itu. Rupanya tidak. Sang penemuduga adalah pemancing tegar.

Jadi bermulalah aku dengan kesibukan hidup manusia kilang. Manusia robot. Pergi sebelum subuh, pulang sesudah isyak. Keluar selepas zuhur, balik selepas subuh. Berlegar-legar dalam kilang melihat anak-anak dara lepasan SPM memasang pelbagai skru dan gris. Setiap saat menanam propaganda kualiti dan kuantiti. Itulah rumus yang diulang-ulang. Setiap waktu setiap saat. Lebih banyak dari jumlah kita berdoa kepada Tuhan.

Tapi - dari sisi yang lain, kerja kilang itu juga mendedahkan aku sebagai manusia pasca-universiti. Tidak ada lagi teori. Tidak ada lagi assignment. Tidak ada lagi exam. Masih lagi jelas di ingatan aku membonceng Rx-Z merah aku ke sana ke sini, pergi kerja pulang kerja. Dapat gaji, bayar hutang.

Tiga belas tahun yang dulu itu juga aku masih lagi muda. Baru 24 tahun. Masih tenggelam dalam keasyikan hidup orang bujang. Tetapi tidaklah pula aku termasuk dalam kategori orang yang buas, walaupun kadang-kadang aku merempit juga dengan kelajuan 140-150 km/jam dengan motosikal merah itu dari Sungai Dua ke Changloon. Malam kadang-kadang singgah juga di karaoke Seberang Jaya. Waktu itu masih lagi layan lagu Manowar - Courage. Kadang-kadang cuba melayan lagu Michael Jackson - You Are Not Alone. Waktu itu lagu Awie - Tragedi Oktober tengah hot.

Ah, tiga belas tahun bukanlah tempoh yang pendek. Sekarang aku sudah 37 tahun. Sudah tua. Bila jumpa budak-budak, mereka panggil aku pakcik walaupun siang malam aku berdoa agar aku dipanggil abang. Tapi itulah hakikatnya. Tahun berubah, usia berubah. Wajah dan rambut juga berubah. Yang boleh kita simpan hanya kenangan. Yang boleh kita imbau hanyalah nolstalgia. Ia tak akan berulang lagi. Ia menjadi sejarah.

Sesudah tiga belas tahun - tadi -aku terserempak dengan seorang kawan baik yang sama-sama kerja dengan aku di kilang dulu dalam ruang internet. Seperti aku -umurnya juga tidak akan kembali muda. Hidupnya pula tentu sibuk dengan rumahtangga, kerja dan anak-anak. Cuma aku harap dia tidak punya banyak hutang seperti aku!

Apa khabar kawan! Selamat berjumpa lagi pada usia yang lain di ruang hidup yang lain.

Gendang pilihanraya dipalu lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Gendang pilihanraya dipalu lagi. Kali ini di Bagan Pinang, Port Dickson.

Seperti biasa - akan berkeliaranlah politikus, penyokong yang taat, pengikut yang mengharap, pengkritik yang berbisa dan peniaga yang pintar.

Malam akan disajikan dengan ceramah. Disulam dengan puji dan kata nista, menelanjangkan yang buruk, menutup yang baik. Siang dipenuhi acara rasmi merasmi. Orang kampung kembali menjadi disayangi. Orang susah mula dicari.

Sorak-sorak gendang pilihanraya. Siapa yang menang, siapa yang kalah - moga-moga semuanya akan merakyatkan kehidupan. Semoga semuanya memberikan harapan.

Selamat berpilihanraya. Jangan jadikan rakyat boneka!

Tuesday, 29 September 2009

Surat cinta kepada isteri

9 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
(Sempena 10 tahun perkahwinan)

Isteri,
Masih ingatkah lagi - aku pernah tuliskan sebuah sajak tentang perahu, pendayung dan gelombang. Kini sudah sepuluh tahun lamanya. Bukanlah rumahtangga kalau hidup ini tidak bercampur dengan manis, masam, pahit dan payau pengalaman. Bukanlah perkahwinan kalau hidup ini tidak ditimpa gelombang yang menyebabkan sesekali perahu bergoncang. Tapi, seperti biasa - kita tetap meneruskan pelayaran ini. Kita semua berada dalam satu perahu yang sama, di lautan luas kehidupan - menuju ke satu pulau yang sama - pulau kematian. Moga bukan sekarang.

Isteri,
Terima kasih kerana dalam tempoh sepuluh tahun ini kau telah menjadi teman bercerita, berkongsi payah. Tentu kau masih ingat tempoh sulit kita - tahun 2000. Tahun yang membuka lembaran baru hidup kita. Pada satu tengahari, aku tiba-tiba menjadi lelaki ketakutan. Bimbangkan kematian, takutkan neraka dan meragui syurga. Aku tiba-tiba pulang kerja dengan wajah cemas. Aku tiba-tiba menangis tatkala hari menjelang senja, takutkan kegelapan dan bimbangkan besok pagi. Aku tiba-tiba berprasangka buruk dengan diri sendiri. Kalau bukan engkau yang menjadi temanku, tentu aku tidak menjadi aku lagi.

Isteri,
Kita tentu sangat bersyukur kerana dikurniakan banyak teman yang baik. Mereka merentas darjat dan taraf manusia. Mereka banyak berkongsi cerita hidup kita. Din - walaupun waktu itu cuma penagih, Ustaz Marwan - yang sering datang melagukan salawat Shifa, arwah Abang Li yang sering berjenaka menghibur luka, Abang Usop - yang ke hulu ke hilir mencari ramuan ubat terbaik. Allahyarham Haji Umar yang tiba-tiba menjadi guru - bercerita tentang banyak hal-hal yang tidak kita tahu. Tidak lupa tentunya penghargaan kepada kedua-dua keluarga yang menyokong. Banyak lagi teman lain yang membantu - Lid, Rahman, Hasni atau sesiapa sahaja.

Isteri,
Hari ini kita di Adelaide. Siapa pernah menduga, siapa pernah meramal. Tahun 2003 - ketika di Perth, kita menaiki bot merentas Sungai Swan ke Freemantle, aku berangan-angan agar satu hari nanti akan datang lagi ke Australia untuk menyambung PhD. Tahun demi tahun berlalu. Siapa sangka - pada satu malam tahun 2007 - tiba-tiba ada deringan telefon bertanyakan sama ada aku mahu berkerja sebagai pensyarah? Siapa sangka rupa-rupanya itulah kurniaan Tuhan untuk kita yang membawa kita sampai ke sini. Benarlah, Tuhan sentiasa memberikan kita rezeki yang tidak terduga.

Isteri,
Banyak lagi episod hidup kita yang sebenarnya lebih baik dari teman-teman yang lain. Siapa pernah menduga kita berkelana di Jakarta, hidup di apartment mewah - dengan kolam renang dan pengawal keselamatan, gaji yang baik dan pekerjaan yang menyenangkan. Siapa sangka aku - lelaki yang jarang memakai stokin - dan baju bersterika, tiba-tiba menjadi ketua organisasi. Semuanya adalah anugerah besar dari Tuhan.

Isteri,
Kita juga banyak diberikan pertolongan Tuhan pada setiap waktu. Setahun sebelum ke Adelaide - kita sekali lagi ditimpa kesulitan - apabila tiba-tiba sahaja hilang pekerjaan. Tetapi Tuhan tetap mengasihi kita. Bayangkan ketika masuk ke UKM, tiba-tiba bertemu dengan teman lama yang menawarkan pekerjaan. Dua hari selepasnya, tatkala mencari buku untuk mengajar - aku ditawarkan lagi dengan pekerjaan mengajar di tempat lain pula. Mungkin - pengalaman terserempak dengan pekerjaan tidak diperolehi banyak orang. Tatkala kita kesempitan, tiba-tiba ada Lid, Hasni dan Mat Yie yang membantu tanpa banyak bertanya. Terima kasih teman.

Isteri,
Tentu banyak sekali pengalaman hidup kita. Kita mempunyai banyak teman. Rumah kita tiba-tiba menjadi tempat berteduh untuk mereka yang lain juga. Fairuz, Man dan Timi - semuanya pernah hidup bersama kita. Mereka tiba-tiba menjadi sebahagian dari keluarga dalam diari cerita kita. Walaupun kita tidak mungkin melakukan apa-apa - tetapi sekurang-kurangnya semua mereka kini berjaya. Kita harap - mereka juga akan menyambung tradisi hidup kita juga. Membantu mereka yang payah, berkongsi yang gundah.

Isteri,
Aku tidak pasti, kalau bukanlah engkau orangnya - sanggupkah menerima Din - untuk tinggal bersama selama 3 bulan. Tatkala orang lain memandang sinis dengan hidupnya, kita cuma diam tanpa pandangan. Kita selalu percaya dia adalah manusia baik. Yang pada saat tibanya - menceritakan derita hidupnya sebagai penagih. Dia menggigil kesejukan. Dia kemuntahan. Badannya pucat. Din juga - kini telah kembali normal. Walaupun bukan kita yang merawatnya, tetapi kita juga telah menjadi sebahagian dari cerita hidupnya, sebagai mana dia juga telah menjadi sebahagian dari kita.

Isteri,
Kini 10 tahun kita mendayung di lautan bergelombang ini. Kita mungkin akan berkali-kali lagi dipukul ribut, dihentam badai. Ia mungkin sama banyaknya dengan kemungkinan untuk kita menemui banyak rezeki dalam laut bergelora ini. Seperti biasa, hidup manusia akan dirangkumkan dengan dua sisi - tatkala ada derita, tentu ada rahmat. Tatkala ada suka, tentu ada payahnya juga. Tetapi semuanya tentulah tidak mudah kalau kita melaluinya sendiri. Kita perlu bersama-sama untuk terus berlayar. Biar ribut, biar gelombang - kita akan sampai juga ke pulau itu.

Isteri,
Terima kasih kerana 10 tahun ini menjadi teman berkongsi cerita. Moga-moga kita akan terus bercerita lagi. Seperti biasa - cerita hidup kita bukan satu filem. Ia bukan dongeng. Ia nyata. Ia tidak mampu kita jangkakan jalan ceritanya. Moga-moga kita tetap kuat, tabah dan kental menempuh kehidupan ini.

Monday, 28 September 2009

Selamat malam Adelaide

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat malam Adelaide.

Bunga sudah mengembang. Dauh tumbuh kembali. Matahari mula bersinar. Hari yang dingin mula berlalu perlahan-lahan. Maka semakin tua usia kita menanti musim gugur datang. Begitulah cepatnya perjalanan masa.

10 tahun lalu - tahun 1999 - aku menaiki pesawat pertama ke kota Dhaka. Tahun itu juga aku memiliki passport antarabangsa pertama. Tahun itu juga aku kemudiannya memulakan hidup rumahtangga. Waktu itu juga - gerakan reformasi sedang bernyala. Pertembungan di antara ideologi lama dengan ideologi anak muda yang menggerakkan laungan keadilan dan ketelusan. Di mana-mana sahaja, ceramah mula menjadi medium maklumat baru. Internet diwarnai dengan suara-suara politik kemarahan. Demontrasi sudah menjadi alat baru melaungkan harapan.

Tahun demi tahun, hidup diteruskan. Kita melewati peralihan iklim politik dari satu warna ke satu warna lain. Politik sudah menjadi sesuatu yang sukar dijangkakan - kembali kepada definisi asalnya - seni serba mungkin. Hari ini kawan tidak lagi selamanya kawan yang baik, tetapi musuh penuh muslihat. Musuh paling keji kembali menjadi sahabat satu selimut.

Seperti berlalunya musim dingin, dan tibanya musim bunga - kita tiba-tiba tidak menjadi anak muda lagi. Kita sudah menjadi orang lain. Tibanya musim panas dan kemudiannya musim gugur, alam sekali lagi bertukar warna. Kita juga bertukar rupa tanpa kita sedar.

Tuhan - ampunilah aku. Aku bimbang, aku tidak sempat berubah diri tatkala musim baru tiba lagi.

Ini bukan iklan pembantu penyelidik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu depan, kalau tidak ada aral - rencananya akan diadakan lagi kajian stress di negeri Selangor. Bagaimana pun, kali ini tidak ada lagi pengambilan pembantu penyelidik seperti kebiasaannya.

Hendak tahu mengapa?

Ada yang tanda sendiri. Ada yang mungkin tanda atas bonet kereta. Ada yang tolong tandatangan bagi pihak respondent. Macam-macam.

Macam mana aku tahu? Hah, ketika pembantu penyelidik ini baru belajar merangkak, aku sudah lama lahir ke bumi ini. Sebelum mereka berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah membuat survey, aku sudah berpuluh-puluh kali membuat survey. Aku pernah berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah di Siam, naik dari satu tangga ke satu tangga. Ada penduduk yang menyimpan pistol di atas para dapur, di belakang rumahnya pula ada ditanam beberapa pokok ganja. Ada ketikanya mereka mencincang daun ganja dengan pisau dapur, dan bukan lagi dengan gunting. Menunjukkan betapa banyaknya ganja yang mereka miliki. Menunjukkan betapa ganas dan bahayanya kita untuk mencari data.

Jadi - dunia penyelidikan bukan lagi baru untuk kami yang berumur 30-an ini. Kebanyakan kami bermula dari jejak yang sama.

Jadi - apabila kita membuka sahaja kertas soalselidik, melihat flow jawapan, melihat warna pen, melihat bentuk tulisan - kita sudah tahu bahawa kita sedang ditipu. Jadi - untuk pembantu penyelidik yang masih muda remaja - tak perlulah amalkan selalu budaya pecah amanah ini. Tidak mengapalah kalau dapat satu borang, asalkan betul. Lebih baik dari sejuta borang yang ditanda sendiri.

Aku tidak kisah pun dengan wang yang akan aku bayar, kalaupun aku tidak kaya raya. Cuma aku pantang, kalau ada manusia muda yang memulakan kisah hidup mereka dengan topeng kepuraan - hanya sekadar untuk mendapatkan RM10 satu borang!

Sebab itu aku tidak terkejut kalau Intan cuma mendapat beberapa borang sahaja - dan dia lebih banyak bercerita tentang susahnya membuat kajian. Itulah realiti melaksanakan kajian lapangan. Sebab dia telah melakukan kajian dengan cara yang betul dan tidak terpesona pun dengan wang upah aku yang kecil itu.

Terima kasih untuk Intan. Untuk Intan, kalau masih berminat - boleh tolong lagi.

Tidak terima kasih kepada yang mengisi sendiri soalselidik. Jangan hubungi lagi!

Saturday, 26 September 2009

Siapa nak join?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sabtu yang sejuk.

Hari ini cuma duduk di rumah. Due date untuk upload journal ke dalam sistem sebelum besok malam. Seperti biasa, hujung minit baru hendak membuat apa yang patut. Mungkin itulah yang beza manusia dengan haiwan. Haiwan tidak ada due date macam kita. Mereka bergerak ikut naluri, ikut cuaca. Tidak ada tarikh. Tidak perlu plan.

Seminggu dua lagi - kalau tak ada ribut debu - aku rencananya akan adakan satu bengkel leadership untuk satu group pelajar. Seperti biasa, ia program free of charge. Ia juga program kecil-kecilan sahaja. Sekadar berkongsi cerita suka duka kepimpinan organisasi. Siapa yang berhajat nak jadi assistant boleh beritahu aku.

Aku juga ada plan nak conduct program "Kaedah Menghafal" di Adelaide ini. Tapi bukanlah motifnya untuk membolehkan budak-budak kita di Adelaide cekap menghafal dan boleh lulus periksa. Ia tidak ada kaitan. Ia tidak relevan dengan silibus peperiksaan universiti. Rencananya, bila tahu kaedah itu - nanti bila balik Malaysia - kita sama-sama boleh buat kerja amal. Kita masuk kampung, masuk sekolah bantu budak-budak luar bandar - agar lebih pandai. Boleh buat di kampung masing-masing. Boleh buat di Cherok Tok Kun, di Kupang, di Kuala Kelawang atau di mana-mana kampung tempat tinggal kita.

Ia sesuai untuk undergraduate yang nak habis belajar. Sambil berkeliling kota cari kerja, sambil dengar leteran mak ayah bila tak ada kerja, bolehlah sesekali conduct program "Kaedah Menghafal" di kampung masing-masing. Sambil-sambil itu bolehlah merisik anak dara kampung, atau budak bujang yang banyak harta. Sambil menyelam, sambil tenggelam!

Jadi bengkel ini lebih kepada melatih moderator. Itu sahaja. Ingat, ini kerja amal.

Untuk cari wang kita cari ikut jalan lain. Itu kena pandai cara-cara merasuah dan dirasuah.

Thursday, 24 September 2009

Kenapa blogger menulis?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bila Krenmaut tuliskan berita ini, aku mula terfikir kenapa orang menulis blog? Aku dan dua orang lagi kawan aku itu juga tidaklah ternama seperti dalam tajuk posting Krenmaut. Tajuk itu hanya bagi menyelindungkan wajah kami yang kian tua, khusus untuk aliran pembaca versi Iron Maiden, aliran yang langsung tak mampu menerobos pencinta lagu Ebiet G Ade seperti aku, atau 4U2C SwingingBowl!

Adakah orang menulis blog untuk populariti? Tidak semestinya juga. Banyak orang yang menulis tidak popular pun. Cuma ada beberapa kerat sahaja yang popular. Yang popular itu pun mungkin kerana dia sudah ada 'nama'. Blog seperti CheDet, Kadir Jasin atau TukarTiub mungkin menjadi popular kerana ditulis orang yang popular di kalangan khalayak mereka. Tapi ingat, orang yang popular pun belum tentu juga mempopularkan blog mereka.

Orang menulis blog untuk menjadi kaya raya? Hah, jarang kedengaran penulis blog yang kaya raya. Yang banyak kaya raya di dunia ini kerana rasuah, membaham harta, mempolok projek atau sebab lain. Sekadar menulis blog, orang tidak mungkin jadi jutawan. Bahkan, yang menulis blog mungkin terpaksa berulang alik menjual ikan di pasar setiap hari.

Kalau begitu - penulis blog ingin mencari perhatian? Tidak juga. Tidak semua yang menulis blog kisah pun sama ada orang akan membaca atau tidak. Malah, ada yang hanya dibuka untuk kenalan terdekat sahaja.

Penulis blog terkongkong dengan tafsirannya sendiri? Jadi, mereka merasakan merekalah yang betul, dan orang lain salah. Mungkin ya, tetapi tidak selalu betul. Penulis blog tidak kisah pun dengan apa yang orang lain rasa. Orang yang tidak berpuas hati boleh membuka blog mereka sendiri - dan tulislah apa yang mereka ingin suarakan.

Jadi - apa sebab orang menulis blog? Ada orang kerana minat. Ada orang ingin menyuarakan apa yang mereka rasa. Ada orang yang rasa suaranya dikongkong, jadi lebih baik dia bualkan sahaja monolog jiwanya dalam dunia maya. Ada orang yang tidak pandai berkata, jadi lebih baik dituliskan sahaja ceritanya.

Sebab apa aku menulis blog? Aku menulis sejak zaman budak-budak lagi. Tidak pernah sekalipun aku tidak mendapat A1 dalam hal tulis menulis. Jadi, aku kena menulis - kerana ini sahaja yang aku tahu. Aku juga minat melukis, tetapi tidak pernah menjadi. Jadi - lebih baik aku menulis.

Apa tulisan yang masih diingati. Ketika di Tingkatan 3, aku menulis satu borang. Borang ini aku tulis bagi membantu seorang kawan (nama tidak dapat disebutkan). Ini bukan borang biasa. Borang ini ditujukan kepada seorang awek dan ditinggalkan ke dalam meja kelas. Sekiranya awek itu bersetuju untuk menerima lamaran cinta kawan aku ini, maka dia akan memotong kepilan borang tersebut yang menyatakan "SAYA BERSETUJU" dan tinggalkan kembali ke dalam meja.

Adakah misi ini berjaya? Belum ada lagi anak dara yang sudi ber'balak'kan orang gila!

Apa tulisan yang dihargai orang lain. Surat cinta aku kepada isteri aku sekarang (yang ketika itu masih girlfriend). Isteri aku masih menyimpannya baik sekali di dalam album. Aku rasa itu tulisan yang dihargai orang lain. Pernah beberapa kali ibu mertua aku membacanya. Bayangkan, kalaulah surat-surat cinta itu tercicir, dan dibaca oleh janda anak tiga, boleh jadi isteri aku sudah bermadu sekarang ini! Dan aku pula mungkin terpaksa mendapat tiga anak tiri secara tidak sengaja.

(Aku jadi hairan kenapa orang tidak begitu boleh menulis surat cinta kepada isteri sendiri. Aku sudah mencubanya berkali-kali. Tidak menjadi juga. Isteri aku - setiap kali tiba hari jadinya, meminta aku menghadiahkan dia sekeping surat cinta sahaja. Dia masih ingin membacanya. Aku rasa ingin sahaja belikan dia sebotol madu sebagai hadiah).

Jadi mengapa aku menulis blog? Aku menulis kerana sekadar berkongsi cerita. Sesekali aku berkongsi pengetahuan. Sesekali kerana aku sedang marah pada sesuatu. Itu sahaja.

Kenapa orang lain menulis blog. Itu kena tanya mereka.

Sunday, 20 September 2009

Senario hari raya di luar negara

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sambutan Aidilfitri di Adelaide tentulah tidak sehebat di Malaysia. Tetapi bukanlah bermakna perayaan di sini hambar dan sepi. Ia memang seperti 'hari yang lain', tetapi kami pelajar Malaysia menghidupkannya seperti di Malaysia juga.

Penentuan hari raya adalah sesuatu yang paling menarik di sini. Berbeza dengan Malaysia, atau negara Islam lain, tentulah tidak ada pengumuman hari raya secara sistematik. Tidak ada Pemegang Mohor Besar Di-Raja untuk mengumumkan hari raya. Tidak ada saluran televisyen bagi mengumumkan bila akan bermulanya puasa atau raya.

Jadi - bagaimana menentukan raya? Biasanya masjid akan membuat pengumuman. Tetapi itu bukanlah sesuatu yang boleh kita pegang dan pakai. Kita juga mungkin perlu mendapatkan maklumat lain - misalnya melihat kepada sumber dari Internet untuk menentukan sama ada anak bulan kelihatan atau tidak. Kerana Australia bukanlah negara kecil, jadi kita juga perlu berhubung dengan teman-teman pelajar di negeri lain untuk mendapatkan maklumat sama ada anak bulan kelihatan di negeri mereka. Sebahagiannya anda boleh rujuk di blog Krenmaut.

Semalam - tercetus kontroversi kecil. Masjid Al-Khalil tempat kami biasa bersembahyang sudah mengumumkan hari raya. Sedangkan, pada waktu tersebut - di kebanyakan tempat termasuk Adelaide, Sydney dan Brisbane sudah memaklumkan yang anak bulan tidak kelihatan. Kerana perbezaan waktu - hanya dua tempat iaitu Perth dan Darwin yang belum melihat anak bulan. Ini menyulitkan. Masjid lain - seperti Masjid Adelaide tidak mengumumkan akan berlakunya hari raya. Bahkan, sudah memulakan sembahyang terawih. Sepatutnya pengumuman raya hanya patut diumumkan kalau semuanya sudah dipastikan.

Bagaimana boleh kita beraya kalau tidak nampak anak bulan? Pertelingkahan ini akan menjadikan kita bingung. Ini bukan Malaysia. Ini negara kafir. Puak mana harus kita ikut. Jadi ikutlah kaedah fekah dalam hal-hal seperti ini - untuk memasuki ibadat, ikutlah puak yang kata tarikh yang lebih awal. Untuk keluar ibadat, ikutlah puak yang kata hari yang lebih lambat. Itu keterangan Allahyarham Haji Umar. Keterangan lanjut, sila tanya orang alim di tempat tinggal anda.

Cuma sekitar jam 9.40 malam baru ada kepastian apabila ada makluman yang anak bulan kelihatan di Western Australia. Jadi - selesailah segala masalah yang membelit. Kekacauan yang menggusar. Sekurang-kurang kontroversi tarikh raya sudah selesai.

Kami di beberapa tempat - ada juga mengadakan takbir raya di rumah teman-teman pelajar.

Menyambut raya - kami mulakannya dengan bersembahyang di beberapa masjid yang ada. Uniknya, raya di sini kita akan bertemu dengan macam-macam manusia pelik. Ada lelaki bertatoo di lengan, ada wanita berskirt seksi berpaha putih, bertudung di kepala. Jangan jadi bingung. Manusia ini memang macam-macam.

Takbirnya pula tidak mendayu-dayu seperti Malaysia. Dalam kata lain, air mata anda tidak akan menitis setitik pun kerana kesyahduan takbir. Anda menangis mungkin sebab lain.

Selepas beraya - ada beberapa teman akan adakan rumah terbuka. Jadi semua warga pelajar menuju ke sana. Makanannya mungkin dimasak oleh beberapa keluarga. Rumah lain jangan bimbang. Boleh tutup pintu serapatnya. Tidak akan orang yang datang mengetuk pintu rumah untuk bertanya ketupat atau rendang. Sekiranya anda mengadakan rumah terbuka secara kecil-kecilan, tetamu hanya akan datang kalau diundang.

Oh, di sini kami juga tidak memberikan sebarang duit raya. Jadi segala jenis budak-budak tidak tahu hal itu. Budak-budak tidak tahu yang mereka patut dapat duit raya. Jangan beritahu mereka! Juga tidak ada mercun. Yang ada cuma bunga api.

Adakah aku bersedih atau syahdu beraya di rantau orang? Jawapan paling jujur - TIDAK! Aku tidak kisah pun dengan semua hal ini.

Satu hari nanti - mungkin anda boleh datang ke sini untuk merasakan nikmatnya Aidilfitri di rantau orang.

Saturday, 19 September 2009

Pengumuman Raya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat hari raya Aidilfitri.

Untuk warga Australia, confirm esok, 20 September, raya. Anak bulan kelihatan di Port Hedland, Western Australia. Sumber, sms dari Krenmaut. Dah boleh buka baju Melayu berlipat dalam almari, cari kopiah yang tersorok bawah katil, dan minyak wangi yang lama tak pakai.

Update 9.59 pm.

Salam Aidilfitri

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca, yang kenal dan tidak kenal.

Sambil makan rendang ayam, ingatlah nasib yang makan maggie.
Sambil bermain mercun, ingatlah bom di Iraq.
Sambil membawa kekasih ke Sungai Tekala, ingatlah emak dan ayah di rumah.
Sambil bergaduh dengan suami/isteri, ingatlah raya ini lebih teruk kalau sendiri.
Sambil menghitung untuk pulang kampung atau tidak, ingatlah ibu dan ayah tak ada silih ganti.
Sambil menziarahi kubur saudara mara, ingatlah di mana kubur kita.
Sambil memandu kereta, ingatlah teman-teman di hospital.
Sambil memberi wang raya, ingatlah hutang yang banyak lagi.
Sambil singgah kaki ke masjid, ingatlah ada orang kita yang sudah ke gereja.
Sambil menziarahi rumah tunang, ingat dia bukan pasangan sah kita.
Sambil melihat kanak-kanak bergembira, ingatlah ia sebagai nolstalgia.
Sambil beraya, ingatlah sesuatu.


Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua.
Satu raya, sejuta ingatan.
Kekal di bawa selama-lama.


Maaf zahir dan batin dari kami sekeluarga.
FakirFikir.Blogspot

Thursday, 17 September 2009

Apa yang seronoknya raya?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hangat kekalutan musim raya sudah tiba. Ini waktu yang ditunggu. Orang bandar dan orang kampung sama sahaja kalutnya. Tidak ada yang beza. Yang tidak sama mungkin kuasa beli dan jenis barang. Nafsu berahinya tetap sama sahaja. Tidak ada beza antara pengguna Viagra dan peminum kopi Tongkat Ali! Ini musim perayaan kita bersama.

Segala yang bernama jalan - jalanraya dan lebuhraya sudah jadi medan perang. Orang tua, orang muda, anak-anak kecil, anak-anak dara dan anak-anak bujang - semuanya ada - memenuhi bas, kereta, van dan lori. Mereka bergerak ke satu arah yang sama, sama ada ke utara atau selatan. Di celah-celahnya - ada berita kematian motorsikal terlanggar lori, van terjatuh gaung atau bas ekpress jatuh longkang. Yang mati akan diuruskan van jenazah, yang hidup perlu terus berfikir soal kegembiraan raya.

Raya hanya sekali. Itu ungkapan yang kita dengar setiap tahun. Itu ungkapan motivasi. Itu ungkapan penuh keramat. Itu ungkapan yang lahir dari hati - bukan dipaksa-paksa oleh salur tv dan media massa. Ini kata bistari, kata falsafah. Plato, Socrates, Ibn Khaldun, Marco Polo semua tidak tahu ungkapan ini.

Di tengah bandar besar seperti Kuala Lumpur - Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman, anda akan melihat begitu banyak manusia. Orang Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal pun ada sama di celah keriuhan itu. Yang kudung, yang buta, yang berkudis, semuanya ada. Menteri, pegawai bank, supir, office boy, pelacur, tokan ganja semuanya ada di sana. Tapi ingat jangan tanya mereka apa-apa, atau ceritakan mereka itu dan ini. Ini musim raya. Semua orang hanya ingin dengar cerita raya. Bukan hal kerja.

Mat pau, mat ragut, orang jahil - tiba-tiba berlagak warak, berkopiah putih duduk di depan stesen LRT Masjid Jamek - sambil di depannya ada sekampit beras dan sekalung tasbih. Dia sangat mengharapkan akan ada wang fitrah yang masuk. Dia mungkin tidak berpuasa seumur hidupnya. Tetapi - dosa pahala, syurga neraka itu milik Tuhan. Sekarang ini yang dia mahu ialah wang. Ini musim raya. Jangan bersirah soal dosa pahala. Kalau mahu bersyarah, tunggu nanti ketika di atas tebing kubur. Pergilah bacakan talkin.

Ini juga musim fesyen baru muncul. Ada akan juga melihat tudung fesyen baru sudah muncul. Kain baju yang berwarna warni akan membeliakkan mata isteri - dan menakutkan sang suami yang gajinya tidak naik sepanjang setahun yang lalu. Kuih raya tiba-tiba jadi seperti candu yang dibualkan orang di mana-mana. Ia dicari dan direbut. Kalau tidak ada tudung baru, baju baru, kuih raya yang mengiurkan - itu kenduri arwah. Bukan raya namanya.

Orang yang berkerja pejabat - sudah mula menghilangkan diri sejak tengah hari. Yang biasanya berkerja di luar, mungkin tidak akan masuk lagi. Yang dulunya rajin berkerja, kini kehilangan mood. Semua tugasan baru ditunda sehingga selepas raya. Sekarang ini, kepala sedang sibuk berfikir raya nanti mahu ke mana, berapa wang hendak diguna, hutang lama hendak dikorek di mana. Ini semua adalah mood raya. Mood ini hanya datang setahun sekali. Kalau ada apa-apa fasal kerja, jangan emel sekarang. Tunggu habis raya.

Hah. Semua ini memenatkan.

Manusia tiba-tiba bertukar jadi sangat sibuk. Sibuk dengan banyak hal yang tidak terduga. Perlu kelam kabut ke bank menukarkan siling dan mencari sarung angpau raya. Karpet baru, langsir baru, kereta baru dan tentunya hutang baru. Ke hulu ke hilir ke sana sini. Petrol terasa lebih murah dari air telaga. Walaupun penat, inilah kemeriahan. Inilah keseronokan.

Di kampung juga tidak jauh bezanya. Yang menoreh - berdoa agar tidak ada hujan sehari dua ini. Sekerap perlu terus dikutip dan dijual - kalau tidak para penyamun akan beraya. Penyeludup lembu, kerbau, beras, mercun dan bunga api juga begitu sibuk bermain mata dan lari-sembunyi dengan para penguatkuasa. Kalau terlepas, beraya sakan. Kalau gagal, nanti kita bincang-bincang. Ini musim raya. Ini musim bermaaf-maafan. Semua orang boleh berdiplomasi. Semua orang mencari wang raya.

Kalau tidak ada wang, raya ini akan kacau bilau. Rumahtangga boleh bersepai. Ayah dan ibu mertua tidak boleh dibodek lagi. Anak-anak pula terus memaksa - seperti along dengan peminjam. Mereka terus bertanya baju baru, stokin baru, kopiah baru, kasut baru. Mereka terus bercerita anak jiran telah membeli itu dan ini. Isteri juga terus bertanya langsir baru, cat rumah baru dan meja makan yang baru. Cuma para suami sahaja yang tersipu-sipu malu - tidak berani bertanya - tentang isteri baru. Kalau boleh dia pun hendak juga.

Untuk seketika, Pekan Rabu di Alor Star lebih popular dari Hard Rock Cafe atau Planet Hollywood. Pekan Changlun sudah seperti New York bagi orang kampung. Siang dan malam, bunyi bising deru kereta - letup mercun dan bunga api - dan hoo haa anak-anak muda merempit menjadikan suasana hari raya memang sangat kita nantikan.

Inilah seronoknya raya di Malaysia. Anda mungkin tidak akan bertemu di dunia yang lain. Jadi - teruslah tersenyum panjang untuk seminggu ini.

Wednesday, 16 September 2009

Mari kita alihkan kelesuan ini

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini kita berkongsi cerita psikologi lagi. Anda boleh membacanya, atau tidak membacanya.

Kita bercerita tentang simptom burnout dan engagement. Ia dua hal yang sama, tapi duduk pada tempat berbeza.

Semalaman aku tidak tidur selepas simptom depression. Fikiran terganggu. Jiwa kacau. Akhirnya, aku ambil keputusan membaca beberapa keping jurnal, menulis dan mengarang. Dari petang sampai malam. Dari malam sampai pagi berikutnya. Jam bergerak cepat. Hari ini depression sudah hilang. Datang pula burnout.

Apa itu burnout? Burnout ialah satu simptom kelesuan emosi yang melampau. Simptomnya sama seperti orang kepenatan memandu dari Kuala Lumpur ke Gua Musang, berhenti 30 minit memandu dari Gua Musang ke Bukit Kayu Hitam.Tapi itu kelesuan fizikal. Kelesuan burnout juga dalam bentuk seperti itu.

Itu hal yang negatif. Ia tidak bagus. Ia merosakkan.

Namun, ada pula simptom positifnya. Engagement. Ini jarang kita dengar. Engagement juga kelesuan mental. Tapi kita teruja dan asyik. Kita bersungguh-sungguh. Teruja. Walaupun penat, kita rasa hendak siapkan juga. Kita rasa patut capai matlamat. Kalau tanya Aini, yang penat melayan tikus-tikusnya, dari satu hari ke satu hari - dari satu malam ke satu malam - mungkin dia sebenarnya diserang penyakit burnout positif ini. Dia sedang engagement. Teruja dan asyik.

Jadi, untuk semua orang - mari kita alihkan kepenatan mental dalam bentuk yang positif.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails