Yang Ikut

Saturday, 2 October 2021

Sekeping surat tanpa alamat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Semalam petang, aku lewati rumahmu. Tanpa pagar tanpa dinding. Tanpa diri kamu juga tentunya.

Ingin sekali aku menyambung bicara banyak persoalan falsafah yang belum selesai. Setiap kali berkopi hingga dinihari kita berbual panjang tentang politik, tentang alam, malah tentang roh juga.

Tapi kini, tak jauh dari kubur itu - surau tua yang mereput itu kian condong meroboh. Dan di seberang jalan itu, kamu diam bersemadi di situ setahun yang lalu. Lalu semalam tatkala aku melalui jalan itu, ku lihat di kiri jalan rumah engkau yang kian sepi. Tiada lagi kopi panas yang berasap di waktu dinihari. Di kanan jalan kuburmu yang tanahnya tak lagi merah. Apa khabar?

Setahun ini terasa begitu panjang sebenarnya. Tak ada teman berbual. Tak ada rakan berkongsi angan. Dalam bahasa yang lain - aku juga kehilangan diri. Rasa seperti kesejukan berdiri dalam gurun pasir seorang diri.

Rumah mak aku - yang selalu kau sebut sebagai monumen kematian - begitu jugalah ia. Tiada tamu. Tiada suara. Diam kaku. Aku rasa tak ada sesiapa lagi yang singgah di situ. Bukan untuk beberapa tahun mendatang ini, juga mungkin untuk selamanya. 

Aku singgah semalam. 

Sekadar mengimbau kenangan. Betapa dunia ini padang singgah penuh misteri. Dan aku terus bercerita walau aku tahu aku seorang yang mendengarnya.

Ah. Dunia ini padang kosong yang menguji kita dengan kekosongan hidup. Sibuk di luar, dalamnya meronta kehilangan semua yang pernah ada.

Kasihan sekali bukan?


Saturday, 12 June 2021

Lolong malam

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

tatkala malam menyembunyikan cahaya,dalam rintik embun dingin yang menikam tulang, lalu berdoalah memanjat ampun atas dosamu yang bertimbun,yang kau longgokkan di setiap lorong keji yang sedang memaki dirimu.

Oh Tuhan,

aku tak pernah menghitung pahala amalku,tak juga ku membilang nodaku yang membuih,kerana aku takut timbanganku tak pernah berlebihan,untuk menolong aku di depan azabmu.

Oh Tuhan,

aku hanyalah hamba yang tak pernah terdaya,terlalu kerdil untuk berlebihan meminta syurga,tapi janganlah kau matikan aku sebelum aku sempat meminta,jangan kau hinakan aku di sana.

kerana di sini aku sudah cukup terhina,menjadi orang papa yang tak pernah ada apa-apa.


FF 11 Jun 2021

x

Tuesday, 11 May 2021

Selamat hari raya kepada diri sendiri

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tiada yang lebih indah diucapkan di musim begini selain selamat hari raya. Biarpun tak boleh melintas negeri atau daerah, menziarahi ibu bapa yang tua di kampung, tak mengapalah. Kita semua sama sahaja. Kita diamlah lagi dalam rumah untuk sekali lagi.

Indahnya hidup ini bukan kerana kita beraya setahun sekali. Indah hidup kita kerana kita ada sesuatu untuk dirayakan. Kita boleh beraya kerana kita masih mampu menghirup secawan kopi. Kita masih bergembira ada orang yang masih mengirim salam bertanya khabar tatkala kita mungkin sudah hilang semua. Kita beraya dengan apa yang kita miliki, bukan menyesali dengan apa yang kita tiada.

Rasa gembira itu ada dalam diri kita sendiri. Tak guna kita berpesta jika hati kita gundah gulana. Tak perlu bertemasya jika hutang tinggi menggunung. Raya itu ialah perasaan diri yang bahagia, sekalipun kita mungkin sedang dipenjara.

Selamat beraya. Teruslah bergembira walaupun kita hanya mengucapkannya kepada diri sendiri.

Monday, 10 May 2021

PKP 3.0 - Raya tak bersambut

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

PKP 3.0 secara rasmi mula diumum. Suka atau marah, tidak banyak pilihan yang ada. Yang berniaga merungut tiada pelanggan. Yang sihat merungut penyakit kian menyeramkan. Yang nak beraya marah tak boleh berziarah. Yang tak nak beraya marah keadaan tak dikawal.

Begini sahajalah. Kita hadapilah keadaan yang sukar ini. Semua orang tak gembira. Waktu yang normal sekalipun, manusia terus merungut. Apatah waktu yang tak normal.

Kita diibarat sedang berperang. Suasana tak menentu. 

Kita jaga sesama kita. Moga-moga kita mampu bertahan.

Selamat hari raya yang tak bersambut.

Sunday, 9 May 2021

Ramadhan hujung - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
 Ramadhan hujung

Ramadhan telah berada di kaki langit 
Sangat jauh sudah kita menyusur waktu
Sayu melihat bayang remaja kita di langit timur
Ia begitu kecil dan sayup kelihatan
Yang ada di cermin bayang kita
Hanyalah wajah orang-orang tua kita
Tatkala mengatur adab kita berbuka yang begitu gelojoh
berebut makanan sesama adik beradik
Juga sabarnya ibu kita membangunkan kita bersahur
Sesekali memangku menyuap nasi agar kita tak kelaparan berpuasa
Dan ia hanyalah sekadar bayangan yang tercatat
Agar kita tak pernah melupakan ibu bapa kita


Tadi petang
Ku terima khabar
'Pak Su, Tok dah meninggal'
Ia pesan betapa kita semua berada di hujung
Ibu saudaraku yang usianya 80 tahun lebih,
Teman akrab arwah ibuku
Selalulah dia ada di serambi rumah kami
Berbual tentang macam-macam dengan ibuku,
Kini juga telah melewati dunia yang baru,
Meninggalkan kita untuk sekadar terus bernostalgia
Kisah dulu-dulu menyambut Syawal tiba

Bayang Ramadhan hujung,
adalah usia kita,
yang terus gigih berusaha mencari bekal,
sebelum dipanggil pulang,
seperti bunyinya beduk dipalu di surau tua,
memanggil kita pulang ke rumah.
Selamat pulang tok wa,
Berabadilah di sana,
Kami di sini terus menatap senja di langit yang memudar,
Menyambut syawal yang semakin hilang girang.


FF
9 may 2021

Saturday, 8 May 2021

Ramadhan hujung

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kita kian di hujung Ramadhan. 

Dulu, ketika budak-budak, kita berkira-kira rumah untuk dikunjungi untuk mengumpul wang raya.  Sekitar tahun 80-an, ada satu rumah, ketika zaman itu biasanya diberi wang 10 sen atau 20 sen, tuan rumah sekadar memberi 5 sen. Waktu itu, dapat mengumpul RM 5 sudah dianggap wira. Lalu rumah yang agak sengkek, terus termasuk dalam senarai blacklist.  

Budak-budak biasanya tak ambil peduli sangat untuk nasib tuan rumah. Dia terus dilabel kedekut. 

Kini, walaupun ada lagi budaya wang raya, tetapi perasaannya sudah tak sama lagi. Banyak orang sudah berduit, walaupun hutang bank tetap juga banyak. Mak ayah sudah mampu memberi wang raya yang banyak untuk anak-anak sendiri.

Anak-anak juga tak begitu peduli lagi dengan feel beraya. Semua orang sibuk dengan telefon di tangan.

Malah pergi beraya juga sudah menjadi kerja yang memenatkan.

Raya di musim PKP ini menghambarkan lagi perasaan beraya yang sedia hambar. Apatah lagi jika sudah tidak ada lagi mak ayah di kampung.

Tahun ini beraya di hotel mana?

Friday, 7 May 2021

Jangan sangsi dengan Internet!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Mungkin penyakit yang ada dalam dunia ini bernyawa seperti manusia juga. Ia seperti berakal. Setiap kali diberitahu ada vaksin ditemui, atau orang ramai mula menyuntik vaksin, ia berubah pula menjadi lebih perengus. Ia sepertinya anak nakal menguji marah orang tuanya.

Di Malaysia, kita sedang bertarung dengan dua ketakutan. Ketakutan virus, dan keduanya ketakutan vaksin. Takutnya orang pada vaksin sama takutnya dengan virus juga. 

Banyak sebab orang menjadi takut. Sejak puluhan tahun kebelakangan ini, internet menjadi guru untuk kita semua. Orang lebih percaya dengan internet daripada yang diberitahu orang pandai. Sebab itu, kini mungkin lebih ramai doktor internet daripada doktor di hospital. Seperti juga halnya muncul banyak ustaz update status di bulan Ramadhan ini, yang  bersyarah itu halal dan ini haram, lebih ramai daripada ustaz yang bersyarah mengguna kitab. Ironisnya, pakar dan alim internet ini lebih banyak diikuti. Malah Imam Ghazali yang alim boleh disanggahinya. Apalah sangat doktor vaksin.

Akhirnya, kita semua menjadi ghairah keterlaluan mengaku lebih tahu dalam banyak hal. 

Mungkin sebab itu, apabila universiti atau sekolah ditutup, kita semua seperti tidak bimbangkan apa-apa sangat. Internet menjadi guru yang boleh mengajari kita lebih baik daripada mereka yang dilatih 6 atau 7 tahun umtuk menjadi doktor di hospital. 

Internet ini sempurna bukan?

Anda tahu apa vaksin terbaik? Updatelah juga status facebook anda agar kita semua pakat-pakat tahu.

Oh terlupa juga. Semalam banyak orang kata ada Lailatul Qadar. Ah, rahsia Tuhan pun Internet juga tahu!

Wednesday, 5 May 2021

Tanda pagar marah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Esok sekolah di Selangor mula ditutup. Jika ditanya banyak orang, mereka gembira atau tidak? Mungkin ada yang tidak gembira. Tapi dalam situasi yang tak keruan sejak dua tahun ini, tutup dan buka sudah menjadi biasa.

Bagi yang gembira, ada juga banyak sebab. Jawapan yang paling skema mungkin untuk menghindar Covid-19. Tapi jawapan lain yang lebih jujur, ibu bapa tak perlu bersesak di waktu pagi menghantar anak ke sekolah. Jadi belum tentu ada yang suka sekolah ditutup ini kerana mengelak penyakit sahaja. Manusia ini banyak sebab peribadi yang disembunyikan di balik sebab umum.

Anda semua marah kerana tak boleh beraya dan melintas negeri? Ya, ramai yang marah.

Tapi dalam diam-diam ada sukanya juga. Berapa ramai daripada kita yang gelisah tak sempat menukar wang raya di bank?  Berapa ramai juga yang tak lena tidurnya kerana tak sempat membeli baju raya? Dan kita juga tak begitu banyak bercakap tentang wang tak cukup untuk beraya tahun ini.

Jadi kita sebenarnya marah atau tidak?

Kita perlu tunjuk rasa marah. Agar orang tak nampak sangat kita sedang bergembira.

Tak begitu?

Selamat berbuka.


Tuesday, 4 May 2021

Tanda pagar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Berita yang ditunggu-tunggu banyak orang, dengan penuh sabar, sesekali berbisik dalam hati, akhirnya datang menjelma. Itulah PKP 3.0. Ia datang dengan juga beberapa tanda pagar lain, #KerajaanGagal. 

Sebenarnya tak ada satu negara pun lagi yang berjaya melawan Covid-19 ini, termasuklah juga negara yang menghasilkan vaksin itu sendiri. Tak ada satu pun formula yang dianggap bijaksana. Menutup sekolah, ibu bapa bising bertanya bila sekolah mahu dibuka? Sekolah dibuka, demam maut merebak, ahli politik pula marah bertanya bila sekolah mahu ditutup?

Pasar malam ditutup, peniaga merungut mereka hilang pendapatan. Bila dibuka, ia dirungut pula pihak lain ia punca penyakit. Masjid ditutup, semua orang merungut, termasuk yang tak pernah ke masjid, marah kerana supermarket pula boleh dibuka. Imam pun tentu keliru juga hendak menyuruh makmum merapatkan saf. Saf yang merenggang, dikata pula mengikut mazhab WHO.

Lalu apa cara yang semua orang ada?

Memang mudahlah ahli politik mana pun menuding jari mencari salah. Tetapi yang termasuk berkunjungan makan kenduri pun mereka juga. Tetapi hendak disalah mereka juga salah. Tak berkunjung, lalu dikata makan gaji buta. Lalu apa dan bagaimana, melainkan kita letak sahajalah tanda pagar apa pun yang menawan agar ia jadi trendy.

Lalu apa dan bagaimana kita ini?

Selagi kita yang tak bertemu caranya, kita semua adalah rakyat yang gagal. Ia tanggungjawab kita semua. 

Melainkan kita semua, termasuk anak-anak kita diberi wang ratus ribu dan duduk diam di rumah. Pasti tak akan ada penyakit merebak.

Sebab semua orang sudah ada wang, lalu jangan pula nanti merungut tak ada orang menjual nasi lemak. Atau merungut semua pemandu Grab sudah tak lagi melayan pesan kita.

Lalu bagaimana harus kita?

Melainkan kita letak sahajalah tanda pagar, #TuhanPanjangkanNyawaku.



Sunday, 2 May 2021

Menjual angin

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tatkala aku menjual angin
aku dikata berniaga mimpi
sedang berapa banyak orang tertipu
digoda warga seberang benua
hanya menjual kata-katanya
berapa yang ada diberi semuanya.

Tatkala aku berkata kebenaran
aku dinistai sebagai pemalsu
sedang saban hari mereka juga berbohong
dengan pintar berselindung di balik warak
lalu akukah yang terhukum kerana memperdaya
sedang mereka akan terampun dosa,
kerana ramai sang idola akan terus berdoa

Menjual angin
dan menyata kebenaran
itu sama sahaja
ia bukan kerana siapa yang akan membelinya
atau berapa mahal harganya
tapi siapa engkau yang menjualnya.

FF 2 Mei 2021


Saturday, 1 May 2021

Bila lilin yang nyalanya tiada bercahaya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Angin raya telah mula berhembus. Terasa sepertinya kita sedang mula berkira-kira memacakkan api pelita di keliling rumah. Mula juga berfikir tentang baju raya baru untuk dipakai tahun ini. Dan rumah kita mula penuh dengan adik beradik yang pulang beraya.

Puluhan tahun dulu, biasanya aku ke masjid untuk berteraweh. Sebenarnya bukan sangat teraweh itu. Masjid jadi tempat berkumpul, berborak dan bermoreh. Moreh itulah yang menyatukan warga muda dan tua di kampung.

Tetapi, bukanlah juga selalu. Banyaknya dihabiskan masa di atas tandop air, tak jauh dari rumah aku. Sebungkus rokok, sebungkus kacang dan sebatang lilin menemani aku dan arwah Din. Kadang-kadang kerana kami tak banyak berbual, jadi kami hanya berbual hal penting sahaja.

Bila hampir raya tiba, kami mula berkira-kira mencari kuih raya di pekan Jitra. Tetapi bajet kami budak remaja, taklah banyak. Tak harus lebih RM30. Itupun jenuh juga nak dicari.

Biasanya kuih raya itu kami juga yang memakannya.

Tahun ini, seperti tahun sebelumnya, raya ini tak ada warna serinya lagi. Semua orang sibuk update angka pesakit dan angka mati. Kini mati di mana-mana. 

Tapi jika tanpa Covid pun, aku tak rasa raya pada musim tatkala bunga gugur dan daun jatuh, ia akan membangkitkan rasa riang juga. 

Ia ibarat nyala lilin yang tak beri cahaya.

Selamat berpuasa. Moga kita semua masih lagi bernyawa.

Selamat hari buruh

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kita semua adalah buruh. Banyak orang bersangka buruk bahawa buruh ialah kerja kuli bangunan atau mereka yang kerja membancuh simen sahaja. Sebenarmya tidak. Kita semua adalah buruh. Pekerja hanyalah istilah lain untuk buruh. Ia terlihat lebih baik daripada buruh, hakikatnya ia tetaplah benda itu juga. Ia juga merujuk kepada buruh atau kuli.

Aku tidak begitu suka kita dipanggil pekerja. Bagi aku, buruh membawa makna yang lebih jujur menceritakan diri kita yang sebenarnya. Bukan buruh apa jika setiap hari berkerja, kita tak pernah juga kaya. Bukan buruh apa, jika kita tak habis-habis merungut tentang hidup, lebih banyak dari merungut tentang mati. Kita adalah buruh apabila puluhan tahun berkerja di kilang, tetapi tak mampu membuka kilang sendiri. Kita adalah buruh jika puluhan tahun berkerja di hospital, dengan segala kepandaian, tak juga mampu membangun hospital kita sendiri.  Kita adalah buruh bila menjadi pegawai yang berkemeja cantik yang tetap sahaja tak mampu menaikkan gaji sendiri. Kita tetap perlu menjadi kuli orang. Siang dimarah, malam diherdik. Kita jadi sangat takut kehilangan kerja sebab ia akan buatkan dapur rumah tak berasap. Jika perlu membodek, kita bodeklah. Jika perlu memanggil orang lain boss, seribu kali sehari pun, biarlah.

Bukan buruh apa jika kita begitu?

Yang berbezanya kita, sama ada kita sedar diri atau tidak sahaja. Bezanya kita, sama ada kita merasa terhormat dipanggil tuan, atau merasa hina dipanggil buruh. Itupun gelar itu diberi menyembunyikan hakikat sebenar kita sahaja. Hakikatnya kita hanyalah kuli.

Jadi tak perlulah kita berperasaan besar diri. Selagi nama kita tak pernah tersenarai sebagai manusia kaya di Forbes, kita besar kemungkinan adalah buruh. Sebab buruh itu akhirnya perlu berkerja untuk kekayaan  orang lain, dan tetap merungut dengan wang yang tak pernah cukup.

Anda bukan buruh?

Selamat hari buruh untuk orang lain, dan bukan anda.


Friday, 30 April 2021

Menulis di medium langka

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Langka bila ada lagi orang menulis di blog zaman ini. Benar. Tak ada lagi orang menulis di blog. Blog ialah dunia belasan tahun dulu. Sebenarnya sebelum munculnya blogspot, terlebih dahulu muncul blog. Tapi ia tak bertahan lama. 

Blogspot juga tak bertahan. Munculnya facebook, WA, youtube kian menghilangkan bisa blogger. Yang mungkin kekal ialah mereka yang ada profil seperti Tun Mahathir, A Kadir Jasin atau Hishamuddin Rais. Selainnya kian lama kian tergusur hilang.

Aku juga agak lama meninggalkan dunia blog ini. Beberapa hari ini muncul kembali. Sekadar mengisi ruang yang sangat membosankan. Teman-teman blogger yang aku kenal belasan tahun dulu juga tak wujud lagi. Mungkin berusia dan sibuk dengan banyak hal. Atau menjadi Youtuber yang boleh membuat banyak wang.

Yang pasti, seperti banyaknya hal baru yang beransur menjadi lama, kita juga akhirnya menjadi manusia langka. Seperti sebiji nangka di celah ratusan buah durian Musang King.





Tuesday, 27 April 2021

Apa khabar Aussie?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku lama di Australia. Kali pertama ketika sambung PhD, 4 tahun. Kali kedua, ketika sambung post doctorate, 2 tahun. Apa yang berubah? Pokok gum tree tetap terpacak tegak begitu. Bumi Australia tetap kering dan berdebu. 

Sebenarnya alam tetap begitu. Binatang tidak juga membina tamadunnya. Politik tetap juga begitu. Kotor dan sukar dipercayai, apatah untuk diramal. 

Manusia berubah? Dalam banyak hal, manusia tetap begitu sifatnya. Ustaz yang masih gigih berceramah akan bercakap hal yang sama sehinggalah matinya. Datang yang baru, ustaz akan bercakap hal yang sama. Yang berbeza mungkin sifat ustaz itu sendiri yang berubah. Ada yang warak, ada yang selebriti, ada yang biasa-biasa. 

Kita berubah? Kita semua hanya tahu kita berubah bila kita tak segagah dulu. Kita tak sekuat dulu. 

Aku lama di Australia. Apa yang aku rindukan.

Aku rindukan masa silam. Bila hari menjelang malam aku menelefon emak dan bertanya 'apa khabar mak?'

Aku tahu jika sekali lagi aku ke Australia pun, walaupun kanggaru tetap terus melompat, dan kaola terus malas di pohon gum tree, aku tak akan menemukan masa lalu. Masa lalu adalah diri kita yang sedang beranjak pergi. Masa lalu adalah kisah duka yang menjadi hiburan hari ini, atau hiburan yang kini menjadi hamparan duka untuk dikenang.

Apa khabar Australia?

Sunday, 25 April 2021

Berdamailah dengan takdirmu - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku selalu menulis begini kepada Addin,
Adakalanya kita perlu memilih untuk tidak terpilih,
Waktu itu usia kami masih sekitar awal 20an,
Yang masih lagi tidak begitu faham antara makna ujian dan percubaan,
Kami kira ia sama sahaja celakanya yang hanya bersembunyi dengan kelainan bunyi dan morfologi,
Yang masih tak begitu jelas antara kesedapan dan nikmat,
kerana bagi kami apalah sangat nikmat jika ia tidak memberi kesedapan,
Seperti banyak orang-orang baik yang begitu tekun berkerja dengan sangat jujur,
Tapi di hujungnya hanya membawa pulang upah yang tak mampu pun membeli seikat pisang.

Tetapi Addin selalunya memilih untuk tidak kisahkan apa yang aku tulis,
dia harungi juga derum bingit ujian hidup yang aneh-aneh,
menjadi orang yang jahat sebahagian, baik sebahagian,
Berboyong dia dari satu lorong ke satu lorong,
Sesekali aku mengikut sama walaupun tak pernah memilih jalan yang sama.
Tapi takdir memilih dia sebegitu,
Takdir juga memilih aku sebegini, 
Dan takdir memilih kami berdua masih merindui cahaya bulan yang sama.

Katanya
Aku rasa kesilapan aku yang terbesar kerana memilih barang kepunyaannya,
kerana tak terdaya terlalu dahagakan ranum nikmat yang telah tertulis ia hanyalah lomba uji,
Lalu aku tersungkur tersangkut pada dahan berduri ini.

Dan pada hari dia pergi aku juga tak sempat menziarahi pusaranya,
entahkan wangi entah busuk,
Entah cukupkah doa yang dititip dari penduduk dunia,
agar disambut mesra oleh warga akhirat yang tak pernah jemu menunggu sesiapa pun yang mahu bersama di sana,
lalu aku berkata
kita sedang diuji takdir pada saat kita terpaksa merasa kehilangan seorang sahabat,
untuk bermain tali kecapi yang tiada lagi akan berbunyi walaupun digosoknya dengan dawai besi.

Tapi seperti mana engkau tak pernah memilih untuk tidak dipilih,
aku juga mungkin sedang dipilih untuk tidak memilih jenis takdirnya Tuhan,
kerana aku perlu selalu merasa bahagia,
dan berdamai dengan takdirku.

Takdir yang memilihku
takdir memilihmu
Takdir memilih kita.


FF 25 april 2021


Saturday, 24 April 2021

Berdamailah dengan takdirmu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Berdamailah dengan takdirmu,
Berpesanlah dengan sabarmu,
Jangan kau jadi marah sebagai senjatamu,
Jangan kau jadi kesedihan sebagai padang hidupmu,
Sejenak renunglah ke langit,
Kita ini hanya manusia kecil,
Sejenak perhatikan burung yang terbang,
Bukan hanya kamu yang berseteru dengan hidup,
Setiap hari kita diuji,
dengan takdir yang tak engkau ketahui.

Berdamailah dengan takdirmu,
Maafkan dirimu jika terkhilaf merencanakan hidup,
Maafkan juga dirinya yang golojoh,
Dia juga dilamar takdir,
Untuk pernah ada dalam dirimu.

Berdamailah dengan takdirmu,
kita hanya manusia kecil,
Sebisanya kita ingin memilih semuanya,
apa sahaja yang menjadi kesukaan,
berdamailah dengan takdirmu,
Yang tak memilihmu untuk beberapa hal,
Yang telah engkau rancangkan.

Berdamailah dengan takdirmu.
Jika aku pernah menjadi musuhmu.
Aku juga seperti kamu,
Terus mencuba untuk mendamaikan,
Diriku yang tak pernah mahu berserah,
Bahawa aku hanya seorang manusia,
yang hanya dicoba dan diduga,
Dalam tinta takdir yang tak pernah kering.

FF
24 April 2021

Kita tak akan pulang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Dalam dunia ini, tak ada sedikit pun harapan untuk kita pulang ke masa silam. Masa silam hanya untuk dikenang. Itu pun jika kita mahu. Semakin hari kita semakin pulang ke dunia yang satu lagi.

Belasan tahun dulu aku memetik epal di Adelaide Hill. Ia zaman kita masih bergembira. Aku rasa, ia sekitar tahun 2009. Epal yang aku petik dan makan sudah lama lenyap. Jaket yang aku pakai itu masih ada. Ia baju yang aku beli di sebuah kedai di Jalan Melawai Raya, Indonesia sekitar tahun 2003. Ia sudah begitu lama.



Jika aku boleh kembali, aku akan kembali ke zaman anak-anak. Tapi ia hanya mimpi yang tak akan pernah berlaku.

Monday, 19 April 2021

Semoga terpilih ke syurga

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketika PKP 1.0 sedang mengurung kita hampir setahun yang dulu, temanku menelefon bercerita betapa beruntungnya dia telah dipilih untuk bersolat Jumaat. Waktu itu hanya yang dipilih sahaja boleh bersolat Jumaat, selebihnya bersolat Zohor di rumah.

Dia merasa seperti diberi senarai nama ke syurga. Betapa terujanya dia, kerana dalam ramai-ramai orang di kariah kami, namanya dipilih. Tentulah juga banyak yang dipilih itu kerana ada rekod baik dalam hal berjemaah juga. Orang seperti aku tentu tak akan tersenarai kerana bukan sahaja tidak ada rekod buruk, tetapi rekod berjemaah pun mungkin tak ada di mana-mana masjid. Yang aku ada hanya rekod panggung wayang.

Beberapa bulan lalu temanku pulang ke dunianya.

Moga dia memang di syurga. Dia memang terkenal sebagai orang yang baik.

Saturday, 17 April 2021

Sajak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Di celah dinding berusia

Hari ini
Seperti hari-hari kelmarin jugalah
Di celah-celah dua dinding yang usianya begitu tua
Aku duduk sambil menghirup secawan kopi panas
Dan merenung pohon kacang yang aku tanam tiga bulan yang lalu
yang tak pernah berbuah

Setahun dulu
kau juga duduk di sini
sambil kita bercerita orang itu dan orang ini
jiran-jiran kita di kampung
yang kemabukan air biak
yang dulunya orang-orang tua kita
menampal daunnya di kepala anak kecil
yang kembung perutnya

Di celah dinding batu berusia ini
kita bercerita tentang konspirasi dunia
tentang mujtahid yang lahir setiap seratus tahun
aku kira
kau tak pernah sempat melihatnya
kau pergi sebelum lahirnya juga
aku pula berkira-kira jikalah mujtahid itu muncul
dengan siapa akan aku kongsi cerita ini

Tak jauh dari celah dinding batu berusia itu
kau bina sebuah sangkar kayu yang cantik
kau kata nanti jika ia rosak
kau bangunkan yang baru
dan ternyata kau tak akan datang lagi
lalu aku belikan beberapa potong kayu
dan bangunkannya sendiri

Di celah dinding yang berusia ini
aku bercerita dengan seseorang yang dulunya
pernah ada dan tiba-tiba pergi
tetapi ku harap kau masih ada
mendengar omongku

Di celah dinding yang berusia ini
terasa benar aku keseorangan
membilang usia
yang kian menuju senja
menjadi begitu tua

FF
17 Apr 2021

Thursday, 15 April 2021

Selamat malam kawan

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Beberapa tahun ini aku hidup dalam ruang yang sangat membosankan. Aku dulunya menulis blog ini, kira-kira 14 tahun lalu juga kerana bosan. Tapi bosan ketika aku hanya berumur 35 tahun. Sekarang aku berumur 49 tahun.

Pembaca blog ini pun jika dilahirkan pada tahun 2008, kini juga remaja. Tapi yang membuat aku kian terasa kosong kerana banyak pembaca blog ini, manusia yang penting telah mati. Ada yang pulang beberapa tahun dulu. Ada yang setahun dua ini. Malah temanku, pencipta heading blog ini, juga telah tiada. Dulu-dulu aku ada juga berangan angan menambah baik design blog ini. Tapi temanku yang baik itu juga tak panjang usianya.

Aku bosan juga dengan banyak hal lain. Aku menuliskannya dulu, kerana aku tahu banyak teman baikku membacanya. Ada hal yang aku tulis kerana mereka menyuruhnya juga. Kini tak ada seorang pun dari mereka yang masih hidup.

Hidup ini adakalanya begitulah. Anda boleh menyuruh orang lain ketawa. Tapi kita tak mampu menggeletek diri sendiri untuk tersenyum sekalipun.

Aku tahu juga, aku tidak kian muda. Kita semua akan ke sana juga. Tapi tentulah teman-teman kita itulah yang membahagiakan kita sebelum singgah di dunia sana. 







Ramadhan telah bermula. Sebulan lagi kita beraya. Kegembiraan apakah yang cuba kita ceritakan? Siapakah pula yang akan mendengarnya.

Menulis memang tak pernah mudah. Tapi menulis yang kita tahu teman-teman terbaik kita tak akan membacanya lagi tentulah tidak akan menjadi lebih mudah.

Selamat malam kawan. Itupun jika masih ada yang tersisa di mana-mana.

Itu jugalah alasan terbaik untuk aku selalu berfikir untuk berhijrah.


Puasa tiga

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Hari ini ke pasar ramadhan Pantai Dalam. Ini kali pertama aku sampai ke pasar ini. Aku tak pernah ke pasar ini dulu juga pun. Tak sangka ia begitu besar. Tapi jalan ke lokasi sesak. Penuh kereta.

Aku naik motor. 

Mudah. Tapi hujan. Basah pula.

Dari jualan, pasar ini lebih ramai penjual. Aneka makanan. Pembeli juga ramai. Ia seperti di musim normal. Tiada penjarakan. Aku beli sebungkus laksa Kedah. Anakku seketul roti John. Air tebu yang aku beli semalam masih ada lagi.



Selamat berbuka

Wednesday, 14 April 2021

Puasa Dua

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Puasa 2

Hari ini ke Bangsar. Dalam angan-angan aku, akan selalu ada pasar ramadhan di sini. Setelah berpusingan,yang ada hanya gerai tepi jalan. Ah tak berwarna warni. Lalu dengan motosikal LC dan hujan rintik2, lalu aku minta anakku nyalakan Google Map. Kami mencelah antara rumah orang kaya dan kaya, menuju ke Pasar Ramadhan Taman Tun Ismail. Ini baru pasar ramadhan, walaupun tak semeriah tahun 2019.Macam-macam ada. Aku cuma beli sebungkus air tebu, dan Luqman 5 keping otak-otak, lalu kami balik.


Selamat berbuka.

Tuesday, 13 April 2021

Puasa pertama

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Hari pertama puasa. Cuaca nyaman sepanjang hari. Cuma aku gelisah. Kopi dan rokok sudah jadi candu dalam hidup aku. Lalu datang sakit kepala dan mengantuk.

Tiada banyak cerita. Petang tadi ke pasar ramadhan. Tiada apa-apa di situ. Aku terjumpa tapai daun getah. Aku beli selonggok buah mempelam. Nampak macam sedap. Aku berbuka dengan mempelam. Ah masamnya mematikan selera.

Hujan masih merintik sejak petang tadi. Sesekali berhenti. Sesekali turun.

Jangan ketawa sepanjang hari. Kerana tatkala ia berhenti, kita tak mampu menghimpun senyum.

Selamat berpuasa.

Selamat datang Ramadhan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Ramadhan datang lagi. 

Maknanya kita hidup lagi. Kita sempat lagi bercerita tentang sahur dan berbuka, walaupun kita mungkin tidak begitu sibuk untuk tahu bahawa puasa bukan sekadar tidak makan.

Dulu-dulu, bulan puasa ini bulan yang meriah. Kita berangan-angan balik ke kampung untuk menjengah orang tua. Sambil petangnya sibuk pula ke pekan mencari juadah. Tapi bila orang tua sudah tak ada, motivasi pulang juga mati. Teman-teman bercerita juga ramai yang tiada. Lalu, kampung menjadi tempat singgah yang sangat jauh dan usang.

 Dulu-dulu aku selalu bersama Din. Kami membeli seorang sebungkus nasi, lalu berbuka di atas pangkin di belakang rumah. Lalu setelah berbuka, kami merokok lama-lama dan berbual panjang. Kami berkisah tentang bermacam hal. Lalu malamnya berkopi lagi di kedai.

Ah itu dulu. Kini Din sudah menjadi arwah. Tahun ini sudah masuk 5 tahun. Biliknya di rumah aku masih lagi tergantung sehelai baju kurung dan gambar Tuan Guru Nik Aziz. Ia seolahnya dia masih ada di situ.

Aku pun jarang balik. Jadi bilik itu kini hanya jadi bilik nostalgia.

Rahman selalu berkata, rumah pusaka aku di kampung ialah monumen kematian. Sebab ia sudah menjadi usang dan tiada manusia.

Ah itu juga dulu. Tahun lepas Rahman juga sudah pulang. 

Puasa tahun ini memang tak lagi meriangkan. 

Monday, 1 March 2021

Selamat pulang alam baru

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kematian Teman 

(Dedikasi untuk teman-teman yang telah pulang)

Kematian teman itu tidaklah sekadar hilangnya seseorang yang pernah ada, tapi menghilangkan juga rasa percaya dan mematikan cita-cita

Seolah berdiri sendiri di sebuah gurun yang tiada penghuni

Dan paling menyakitkan

Tatkala dilanda kecewa, tiada lagi tempat bercerita

Tatkala germbira tiada lagi tempat berkampung untuk bertemasya, seolah kita sedang melewati jalan panjang yang tak berpenghujung

Secawan kopi panas yang kau hirup menjelang lewat dinihari

Terasa nikmatnya bukan kerana rasa pahitnya menyerap ke celah gigi, atau manisnya yang melekat di celah bibir yang bergetah

Ia hanya terasa begitu girang kerana secawan kopi itu disulam dengan cerita yang teman kita selalu mengangguk percaya

Walau pun dia sendiri tahu bahawa kita hanya sekadar menambah rasa

Kematian teman seolah kematian diri sendiri, lalu terkurung dalam kubur kesepian yang paling menakutkan

Terasa sakitnya seolah secawan kopi panas tertumpah di kaki dan tak siapa lagi yang ambil peduli rasa malu dan sakit hati

melainkan kita sendiri bertanya 

temanku adakah kau sedang tersenyum melihat aku?

_______

Sudah lama tak menulis sebab banyak yang baru telah menjadi lama. Yang lama pula telah banyak yang tiada.

Selamat pulang teman-teman lama yang istimewa. Tak berapa lama sebelum PKP 1.0 Sdr Din, pencipta grafik blog ini telah pulang.



Setelah berakhirnya PKP 1.0, teman yang lain pula telah pergi. Mereka antara watak utama yang selalu dicerita dalam blog ini.

Bila semua telah tiada, aku juga merasa tiada mood menulis. 

Berbahagialah hidup di alam sana. Alam destinasi kita semua sama ada kita suka atau tidak. Ia rumah kosong untuk kita semua.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails