Kita semua adalah buruh. Banyak orang bersangka buruk bahawa buruh ialah kerja kuli bangunan atau mereka yang kerja membancuh simen sahaja. Sebenarmya tidak. Kita semua adalah buruh. Pekerja hanyalah istilah lain untuk buruh. Ia terlihat lebih baik daripada buruh, hakikatnya ia tetaplah benda itu juga. Ia juga merujuk kepada buruh atau kuli.
Aku tidak begitu suka kita dipanggil pekerja. Bagi aku, buruh membawa makna yang lebih jujur menceritakan diri kita yang sebenarnya. Bukan buruh apa jika setiap hari berkerja, kita tak pernah juga kaya. Bukan buruh apa, jika kita tak habis-habis merungut tentang hidup, lebih banyak dari merungut tentang mati. Kita adalah buruh apabila puluhan tahun berkerja di kilang, tetapi tak mampu membuka kilang sendiri. Kita adalah buruh jika puluhan tahun berkerja di hospital, dengan segala kepandaian, tak juga mampu membangun hospital kita sendiri. Kita adalah buruh bila menjadi pegawai yang berkemeja cantik yang tetap sahaja tak mampu menaikkan gaji sendiri. Kita tetap perlu menjadi kuli orang. Siang dimarah, malam diherdik. Kita jadi sangat takut kehilangan kerja sebab ia akan buatkan dapur rumah tak berasap. Jika perlu membodek, kita bodeklah. Jika perlu memanggil orang lain boss, seribu kali sehari pun, biarlah.
Bukan buruh apa jika kita begitu?
Yang berbezanya kita, sama ada kita sedar diri atau tidak sahaja. Bezanya kita, sama ada kita merasa terhormat dipanggil tuan, atau merasa hina dipanggil buruh. Itupun gelar itu diberi menyembunyikan hakikat sebenar kita sahaja. Hakikatnya kita hanyalah kuli.
Jadi tak perlulah kita berperasaan besar diri. Selagi nama kita tak pernah tersenarai sebagai manusia kaya di Forbes, kita besar kemungkinan adalah buruh. Sebab buruh itu akhirnya perlu berkerja untuk kekayaan orang lain, dan tetap merungut dengan wang yang tak pernah cukup.
Anda bukan buruh?
Selamat hari buruh untuk orang lain, dan bukan anda.
No comments:
Post a Comment