Yang Ikut

Saturday, 26 June 2010

Edisi khas hari ulangtahun

Reactions: 
Hari ini harijadi aku. Tidak perlulah aku rahsiakan umur aku. Aku bukan artis. Aku sekarang sudah 38 tahun. Aku lahir hari Selasa, jam 10.00 pagi. Kata emak - badan aku dulu kecil. Tak cukup zat gamaknya. Aku sepatutnya anak yang ke tujuh. Tapi dua orang lagi meninggal semasa kecil. Tapi, dengan takdir Allah - aku sempat survival sehingga ke umur 38 tahun.

Aku tidak begitu ingat apa yang berlaku dalam hidup aku semasa masih kecil. Yang aku ingat, aku selalu tidak memakai baju. Perut pun mungkin buncit. Mungkin buncit cacing. Dulu-dulu, aku selalu minum air sirap sahaja. Emak aku bancuh dalam botol susu. Kata emak, susu mahal. Sebenarnya bukan harga susu yang mahal - tetapi hidup kami susah. Itu realitinya.

Tapi aku membesar juga. Otak aku pun tak juga mandul. Di sekolah rendah dulu, aku selalu dapat hadiah. Aku rasa, sepanjang di sekolah rendah - aku tidak pernah dapat nombor lebih banyak dari tiga. Cuma sekali sahaja aku dapat nombor empat. Cuma di sekolah menengah, sebab aku masuk sekolah yang baik - tidak lagi aku merasa nombor baik itu.

Aku tidak dapat bayangkan - apa yang pembaca muda dapat bayangkan. Ia mungkin pelik bagi sesetengah orang. Di rumah aku - tidak ada sterika baju pun. Zaman itu - yang ada sterika mungkin orang berada. Itu pun sterika pakai arang kayu lagi. Untuk tampal lencana sekolah ke poket baju - emak aku panaskan tudung periuk. Kemudian tekan tudung periuk itu ke lencana baju. Baru melekat. Ia sama fungsi dengan sterika juga.

Rumah aku tidak ada elektrik. Cuma pakai pelita. Yang kaya sedikit pakai api gasoline. Itulah hebatnya hidup aku semasa kecil dulu.

Rumah aku hanya beratap rumbia. Lantainya dibuat dari batang pinang yang dibelah. Kita boleh nampak ayam yang berjalan-jalan di bawah rumah. Dindingnya pula dibuat dari buluh yang dianyam. Dapurnya masih pakai kayu api. Ada pelantar di bahagian belakang. Itulah tempat kita buang air kecil. Aku lihat ayah aku buat rumah waktu itu. Orang kaya waktu itu tidak banyak. Semuanya lebih kurang sahaja. Jadi - tidaklah hina sangat hidup kalau dibandingkan dengan realiti pada masa itu.

Televisyen juga tidak ada. Jadi apa hiburan kami. Aku pun tidak tahu apa yang menghiburkan sangat. Cuma setiap malam, ayah aku selalu mengajar muqaddam. Sangat garang dia. Dia bukanlah orang alim - bukan guru agama juga. Tetapi dia pandai tajwid. Segala huruf iqfak, izhar, iqlab dan mat asli kena hafal. Mungkin itulah hakikat orang zaman dulu. Sambil mengajar - dia menggertak dengan sebilah bulu landak. Aku sangat takut.

Sekali sekala - kami mengunjungi rumah orang kaya untuk menonton. Siri Combat dan BJ and The Bear antara yang terkenal waktu itu. Filem Melayu masih banyak berkisar dengan cerita pendekar - lakonan E.D Osmera atau Husin Abu Hassan. Filem Harimau Berantai antara yang masyur waktu itu. Semua ingin jadi hero.

Takdir ayah meninggal muda. Tahun 1980. Bulan Ogos kalau aku tidak silap. Abang aku pula yang menjadi ketua kami. Tetapi, tahun lepas dia juga pulang. Tak mengapalah. Masih ada empat adik beradik dalam keluarga kami. Kami menelesuri jalan panjang cerita keluarga.

Semasa kecil - tidak pernah aku berangan-angan akan sampai ke Adelaide. Aku pasti, emak aku juga tidak berangan-angan tinggi. Dia sekadar untuk melihat kami hidup sahaja. Itu kejayaan yang besar untuk emak aku. Kejayaan untuk abang aku juga. Sebelum datang ke Australia - waktu itu aku tidak begitu pasti lagi - aku ada beritahu emak yang aku mungkin akan luar negara lagi. Kali ini untuk sambung belajar. Emak aku semacam tidak begitu percaya sangat. Lagi pula - aku bukan kerja kerajaan. Siapa nak taja aku belajar.

Satu waktu dulu - ada seorang tua pegang jari aku. Dia lihat jari aku. Dia kata, 'jari ini tidak akan pegang cangkul'. Maksudnya - melihat kepada jari aku, aku tidak akan kerja kampung. Aku akan kerja makan gaji. Kerja di bandar. Mungkin takdir Tuhan - telahannya itu betul. Setakat hari ini. Hari mendatang tidak tahu lagi. Mungkin aku kena buang kerja. Aku berubah jadi pemandu lori atau tukang gunting rambut.

Sekarang - aku sudah 38 tahun. Aku hanya orang kampung sahaja. Jangan bimbang kalau ada sesiapa jumpa aku di mana-mana. Aku tidak pernah percaya perlu ada protokol dalam hidup. Aku semacam dulu juga. Tetap semacam itu. Semasa aku mengendalikan bengkel menghafal di sebuah sekolah, bekas guru aku kata - sebagaimana dia lihat aku dulu, seperti itulah dia lihat aku sekarang.Kalau di kampung, aku tetap tidak kisah tidak memakai baju sambil menaiki motor ke kedai. Aku tidak kisah kalau perlu meminta sebatang rokok dari pelajar semasa aku mengajar. Sebab bagi aku - hidup ini perlu ringkas sahaja. Kalau tidak, nanti cepat mati!

Itulah sebahagian cerita aku. Cuma setelah berusia 38 ini, isteri aku selalu bimbang aku akan kahwin lagi. Aku pun bimbang juga. Takut-takut aku jatuh cinta lagi.

6 comments:

ismadiyusuf said...

bila aku baca cerita ni, seperti cerita aku juga tapi tetap tak serupa...

mangkuk statik said...

Allah Selamatkan Kamuuu
Allah Selamatkan Kamuu...
Allah Selamatkan, Tuan Fakir Fikir
Allah Selamatkan Kamuuuu

38 yo, life belum bermula. Kau masih di dalm perancangan. Belum di dlm rahim lagi pon.Life begin at 40.
Nice story. Tapi kau kurus bukan sebab tak cukup susu. Anak kau yg tak terpaksa minum sirap tu pon sekeping gak aku tgk.
Semoga kau maintain cool, maintain kepalaotak berpusing dan maintain hensem sehingga ke bini2 yg seterusnya.Amin.
Err.."menelesuri" tu pekebende?
Wassalam

ajaq said...

belum masuk 40 lagi, kata org tua kalau dah 40 masih tidak berubah, sampai bila pun tak akan berubah...pe pendapat mu

Nurul Afna Akma Zakaria said...

salam..
suka sgt saya kalau baca cerita ttg kampung dan kehidupan, kalau shahnon bercerita pasal kehidupan dan kampung banggul derdapnya di sik beginilah;seperti cerita saudara..kesusahan adalah kehidupan yang harus pula disenangi..

selamat ulang tahun..

Abang Ben said...

selamat jadi tua bro...

Anonymous said...

Salam

Selamat Ulang Tahun yang ke 38... sorry for not being the first one to wish, sibuk masak untuk awak. Tapi ayat perenggan paling bawah tu paling best, cayalah... cumanya jatuhlah cinta pada saya setiap hari, dan lagi dan lagi ok..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails