Yang Ikut

Tuesday, 8 June 2010

Kampung Baru - Kekal atau bongkar?

Reactions: 
Cadangan pembangunan Kampung Baru yang diumumkan oleh pihak Kerajaan menimbulkan polemik yang patut diberi ruang untuk diperdebatkan.

Kampung Baru yang mula ditubuhkan sejak 1900 - mungkin satu-satunya kampung Melayu paling mahal di dunia. Sesuai dengan lokasi strategiknya - ia menjadi lokasi mengiurkan.

Dengan pembangunan mega di sekelilingnya - kewujudan Kampung Baru bagi sesetengah orang mungkin menyakitkan mata. Ia seolah-olah 'dunia' lain di tengah bandar. Ia sepertinya hutan belukar di dalam taman yang cantik. Dengan latar belakang KLCC, Menara Kuala Lumpur dan pelbagai bangunan cantik sekitar Jalan Pinang, Jalan Tun Razak atau Jalan Bukit Bintang, kewujudan Kampung Baru sepertinya sangat melucukan.

Apatah lagi - susun atur kawasan kediaman yang padat, diselang seli antara rumah dan gerai jualan, bercampur baur di antara warga tempatan dan masyarakat pendatang - menjadikan Kampung Baru seperti tidak sesuai berada di situ. Ia mencacatkan penglihatan. Sewajarnya sesuatu boleh dilakukan bagi mengindahkannya, dan pada masa yang sama memberikan pulangan ekonomi sesuai dengan kedudukannya di tengat pusat tumpuan.

Itu pandangan bagi mereka yang melihat Kampung Baru perlu dibangunkan semula. Ini pandangan manusia kapitalis yang mungkin berpegang dengan dogma Adam Smith. Siapa Adam Smith? Google dan cari tahu.

Bagaimana pun - aku selalu pesimis, anti-klimaks dan jarang melihat sesuatu dengan pemikiran yang waras.

Apa pun pandangan orang lain, bagi aku - Kampung Baru perlu dikekalkan. Itulah sebenarnya imej Melayu. Pergilah ke mana kampung sekalipun, itulah imej kita. Mengapa harus malu. Menyembunyikan wajah sebenar kita, tidak akan menjadikan kita lebih cantik. Membuang jerawat batu, tidak bakal menjadikan kita menang Miss Universe.

Alasan bahawa Kampung Baru patut dibangunkan bagi tujuan ekonomi mungkin ada benarnya. Tanah berharga itu patut dimajukan agar ia mampu menjana ekonomi negara.

Tetapi siapa yang dapat menjamin pembangunan itu memberikan pulangan kepada orang Melayu dan pemilik tanahnya?

Apatah lagi - apabila awal-awal lagi disebutkan kouta 60:40 - yang mana 40 peratus dibuka kepada orang asing. Mengapa pula diberikan kepada orang asing? Apakah kaitan mereka. Itu adalah tanah orang Melayu. Sekiranya ingin membangunkannya, berikanlah kepada orang Melayu - mengapa dijemput orang lain yang tidak ada kena mengena?

Sejarah menunjukkan kita begitu baik. Kita memang suka membahagikan tanah pusaka kepada orang lain. Bayangkan, tanah itu bukan kepunyaan orang Melayu. Sanggupkah mereka memberikannya kepada kita. Percayalah, bukan sahaja kouta 60:40, seinci pun belum tentu. Tidak perlulah pergi terlalu jauh. Berjalanlah ke Jalan Petaling. Ada orang kita yang berniaga di situ? Pergilah ke Jalan Imbi. Ada orang kita di sana? Tidak - janganlah membuang masa anda mencarinya, anda tidak akan melihat kelibat orang kita - melainkan orang Bangladesh, Indonesia atau orang Nepal yang menjadi pekerja gerai.

Orang Melayu di Pulau Pinang sudah lama terusir keluar ke tanah besar. Kini mereka sedang digusur keluar lagi. Sedikit demi sedikit. Yang boleh orang Melayu banggakan di Pulau Pinang ialah tanah kuburnya. Itupun, mayatnya ditanam secara bersusun rapat. Liang lahatnya sama besarnya dengan tubuh mayat sahaja. Batu nesannya berselang tidak sampai seinci.

Sebenarnya tidak ada cacat celanya mengekalkan Kampung Baru. Itulah keunikan yang kita ada. Itulah 'ruh' bangsa kita di tengah nadi negara. Jangan bimbang kalau ia dilihat huduh sekalipun. Tidak guna cantik kalau ia milik orang. Tidak guna dilihat gah, kalau kita hanya sekadar mampu melihatnya sahaja. Terlopong terngaga seperti kucing melihat ikan di dalam akuarium kaca. Orang lain mengaut untung, kita sekadar 'syok sendiri' sambil menyapu air liur yang meleleh.

Yang patut dilakukan ialah mewujudkan badan khusus bagi menguruskan keindahan Kampung Baru. Ia berfungsi seperti Dewan Bandaraya. Pada masa yang sama - Kampung Baru juga patut digazetkan sebagai salah satu perkampungan warisan. Ia menceritakan banyak sejarah silam kita. Kalau kita tidak sayangkan Kampung Baru pun tidak mengapalah, tetapi sayangilah sejarah silam kita.

Percayalah - sebaik sahaja gigi jentolak meranapkan Kampung Baru - bangunan baru yang naik tidak akan menjadi milik kita lagi. Buat selama-lamanya. Ia akan menjadi milik orang lain. Ia akan menjadi milik pemodal yang setiap hari sedang menjeling setiap perubahan yang akan berlaku ke atas Kampung Baru.

Kita boleh lihat bandar baru yang wujud di seluruh negara. Lihatlah, siapakah yang memilikinya kini, walaupun dulunya merupakan tanah kebun orang Melayu. Kita bukan bersikap prejudis, tetapi kita perlu menerima realiti. Kita boleh gembira dengan jutaan ringgit wang pampasan, tetapi wang itu akan habis membeli barang dari dalam kedai yang didirikan di atas tanah yang dahulunya adalah milik kita.

Memusnahkan Kampung Baru - sama ada akan dibangunkan semula atau tidak, sebenarnya akan hanya melengkapkan kisah Melayu yang semakin hilang dimamah masa di bumi sendiri.

Satu saat nanti - kita akan menjadi kucing yang terliur melihat ikan dalam akuarium kaca yang menjadi milik orang lain. Itupun mungkin kalau kita bernasib baik tidak menjadi seekor kucing kurap!

2 comments:

ismadiyusuf said...

aku dah 5 hari buat keja kat kpg baru , hari ni tadi baru habis, kat kpg baru tu peniaganya semua org melayu tapi tak asli lagi, ada juga pembangunan dan org melayupun dah berniaga terutamanya kedai makan..dan banyak juga kompeni org melayu di situ...1 perubahan dari sudut ekonomi walaupun sikit

Othman Juliana said...

dulu time keje-lunch kat kg baru mmg rasa tak muat pinggan. semua nak tibai. ya, nafsu serakah betul.

klu mlm, tak jauh dari nasi lemak antarabangsa kg baru (yang glamer je lebih, x sedap mana pun), ada nasi air (moi)-perghhh, 'edisi' tambahan untuk dimakan dengan nasi air tu mmg kelasssssss~ oh, ok-mcm kena pg mkn kt kg baru mlm ni. ngeh3x.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails