Aku selalu menulis begini kepada Addin,
Adakalanya kita perlu memilih untuk tidak terpilih,
Waktu itu usia kami masih sekitar awal 20an,
Yang masih lagi tidak begitu faham antara makna ujian dan percubaan,
Kami kira ia sama sahaja celakanya yang hanya bersembunyi dengan kelainan bunyi dan morfologi,
Yang masih tak begitu jelas antara kesedapan dan nikmat,
kerana bagi kami apalah sangat nikmat jika ia tidak memberi kesedapan,
Seperti banyak orang-orang baik yang begitu tekun berkerja dengan sangat jujur,
Tapi di hujungnya hanya membawa pulang upah yang tak mampu pun membeli seikat pisang.
Tetapi Addin selalunya memilih untuk tidak kisahkan apa yang aku tulis,
dia harungi juga derum bingit ujian hidup yang aneh-aneh,
menjadi orang yang jahat sebahagian, baik sebahagian,
Berboyong dia dari satu lorong ke satu lorong,
Sesekali aku mengikut sama walaupun tak pernah memilih jalan yang sama.
Tapi takdir memilih dia sebegitu,
Takdir juga memilih aku sebegini,
Dan takdir memilih kami berdua masih merindui cahaya bulan yang sama.
Katanya
Aku rasa kesilapan aku yang terbesar kerana memilih barang kepunyaannya,
kerana tak terdaya terlalu dahagakan ranum nikmat yang telah tertulis ia hanyalah lomba uji,
Lalu aku tersungkur tersangkut pada dahan berduri ini.
Dan pada hari dia pergi aku juga tak sempat menziarahi pusaranya,
entahkan wangi entah busuk,
Entah cukupkah doa yang dititip dari penduduk dunia,
agar disambut mesra oleh warga akhirat yang tak pernah jemu menunggu sesiapa pun yang mahu bersama di sana,
lalu aku berkata
kita sedang diuji takdir pada saat kita terpaksa merasa kehilangan seorang sahabat,
untuk bermain tali kecapi yang tiada lagi akan berbunyi walaupun digosoknya dengan dawai besi.
Tapi seperti mana engkau tak pernah memilih untuk tidak dipilih,
aku juga mungkin sedang dipilih untuk tidak memilih jenis takdirnya Tuhan,
kerana aku perlu selalu merasa bahagia,
dan berdamai dengan takdirku.
Takdir yang memilihku
takdir memilihmu
Takdir memilih kita.
FF 25 april 2021