Yang Ikut

Friday, 31 December 2010

Kita juga boleh menipu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari kita mendengar kisah orang diperdaya dengan banyak cara. Ada yang diperdaya kerana wang. Ada yang diperdaya untuk menjadi mangsa nafsu. Ada yang diperdaya untuk apa sahaja.

Orang yang memperdaya orang lain ini ialah mereka yang menipu atau sedang berbohong.

Tidakkah boleh kita tahu seseorang itu berbohong atau tidak?

Sebenarnya boleh. Kaedah paling konvensional ialah melihat gerakan tangan.

Pembohong yang tidak cekap didapati banyak menggerakkan tangannya. Mengapa berlaku banyak gerakan?

Sebenarnya kerja memperdaya bukanlah hal mudah. Orang yang sedang berbohong juga sebenarnya secara automatiknya akan tertekan (stress). Ini disebabkan oleh perasaan bersalah. Ia juga mungkin disebabkan kebimbangan akan ditangkap. Jadi, secara automatiknya akan mengubah sistem nervous diri - misalnya kelam kabut, tidak fokus dan sebagainya.

Jadi - bagi mengurangkan keadaan kebimbangan ini, pembohong amatur biasanya cuba melakukan lebih banyak gerakan fizikal bagi menyembunyikan kebimbangannya.

Sekiranya anda didatangi seseorang yang tidak dikenali dan cuba memperdaya anda, perhatikan tangan mereka. Jangan lupa perhatikan tepat ke mata mereka juga. Jadi ia akan menyebabkan mereka yang berbohong ini akan serba salah dan melakukan gerakan tangan lebih kerap.

Golongan kutu rayau dan penagih dadah mungkin dalam kategori ini. Mereka penipu amatur.

Bagaimana pula kalau mereka itu ialah mereka yang pintar. Misalnya individu yang tahu mengenalpasti perspektif atau pemikiran orang lain. Atau mereka yang pandai mengawal tingkahlaku? Mereka ini ialah penipu profesional. Mereka ini banyak berlakon.

Didapati kumpulan ini mampu mengawal gerakan tangan mereka. Mereka mengurangkan gerakan. Ini kerana mereka tahu sekiranya mereka melakukan lebih banyak gerakan, orang akan tahu mereka sedang menipu. Jadi mereka tidak mendedahkan tingkahlaku yang boleh menjebakkan mereka dari dikenalpasti.

Untuk manusia seperti ini, bagaimana pula anda ingin menghindarkan diri?

Jangan layan mereka. Usah mendengar cerita keluh kesah atau bisnis juta-juta. Katakan sahaja anda sibuk dan sedang menunggu rakan anda, seorang Inspektor polis yang bertugas di balai polis berdekatan. Bagi memudahkan lakonan anda, angkat telefon dan mulakan dengan perkataan - Inspektor di mana? Jangan banyak melakukan gerakan tangan. Nanti mereka pula tahu anda juga seorang penipu!

1-1-11

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Esok 1 hb Januari 2011. Ia hari biasa sahaja. Tidak ada apa-apa yang istimewa melainkan berubahnya kalendar tahun. Ada negeri yang bercuti, ada yang tidak. Ia hari biasa. Tiada yang luarbiasa. Kalau istimewa pun, hanya angka 1-1-11.

Tetapi - lihatlah bagaimana warga manusia akan menghabiskan jutaan ringgit menyambut hari biasa ini.

Tatkala orang susah seperti kita susah hati dengan kenaikan harga barang - atau hutang yang bertimbun - pasti akan ada banyak bunga api dibakar. Ia bukan bunga api musim raya. Ia bunga api yang harganya menjangkau puluhan ribu. Orang susah hanya berbahagia sebentar melihat sinar bunga api - besoknya dia tahu hidupnya belum tentu bersinar. Ia seperti abu bunga api.

Hari biasa ini juga disambut dengan banyak kerosakan moral. Anak-anak muda akan berpesta pora seperti besok hari dunia dijadikan Tuhan. Kondom akan bertebaran di merata tempat. Penagih pil akan berkhayal sepanjang malam. Pesta dan konsert adalah bidaah baru umat manusia.

1-1-11 angka yang ganjil. Angka ini juga mungkin akan menjadi nombor rasmi para kaki judi yang mengharapkan agar diri menjadi jutawan segera. Tauke kedai nombor ekor pasti akan tersenyum riang melihat kebodohan manusia. Tidak ada dalam dunia ini orang menjadi kaya kerana nombor ekor. Tetapi jutaan manusia telah papa kedana kerana nombor. Kalau anda tidak percaya, besok anda tikamlah nombor 1-1-11 - ia pasti tidak bakal naik.

1-1-11 orang akan bertanya azam baru. Orang menyenaraikan segala bentuk harapan dan mimpi.

Kita terlupa - 1-1-11 hanya angka. Dunia tidak berubah dengan perubahan angka. Orang kecil seperti kita tetap begitu. Kita tetap begitu sekalipun angka itu bertukar beberapa kali lagi. Kalau kita malas, kita akan susah. Kalau kita rajin, tetapi diperas, kita tidak juga bakal senang. Kita tetap hamba manusia dan para tauke. Kita hamba orang yang ada kuasa dan banyak bersuara.

Thursday, 30 December 2010

Datanglah ke Adelaide!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Banyak orang yang berhajat belajar di luar negeri. Di zaman dulu, orang yang boleh belajar di seberang laut dianggap manusia hebat. Mereka dianggap orang yang pandai dan bijak. Setiap kali gambar pelajar luar negara terpampang di dalam ruangan ucap selamat hari raya, banyak orang melihat mereka sebagai watak yang luar biasa. Aku salah seorang yang beranggapan begitu.

Satu waktu dulu - aku selalu berangan-angan menyambung pengajian ke luar negara. Aku sebenarnya terpengaruh dengan satu siri kartun yang dilukis oleh Ujang dalam majalah Gila-Gila. Aku terlupa nama siri kartun itu.

Pelajar di luar negara dianggap ada kelasnya yang tersendiri. Mungkin sebab waktu itu luar negara adalah bumi yang sangat jauh untuk dicecah.


Kini - dengan banyak pesawat tambang murah, aku tidak fikir orang menganggap belajar di luar negara itu satu yang hebat. Ia biasa sahaja.

Luar negara juga - adakalanya dianggap bumi kafir yang penuh dengan kejahatan. Orang bimbang anak-anak akan pulang bersubang di telinga dan berambut merah. Orang bimbang ada anak-anak akan pulang dengan isteri berambut blonde dan bermata biru. Itu adalah anasir-anasir negatif yang selalu dikaitkan dengan bumi orang Barat.

Hakikatnya - bumi asing orang kafir ini lebih baik dari bumi Islam. Kasut anda tidak akan hilang kalau diletakkan di pintu masjid. Kereta anda tidak semestinya perlu berkunci - aku sudah melakukannya sejak 3 tahun ini. Anda juga tidak perlu bimbang kalau ada pintu rumah yang lupa dikunci, atau ada tingkap yang lupa ditutup. Tidak juga ada orang yang akan meragut anda di jalanan. Tidak juga ada orang akan meminta anda $10 membeli dadah. Setiap kali anda mengeluar wang di mesin ATM - mata anda tidak perlu curiga menjeling ke kiri dan kanan.

Anda boleh berjalan jam 2 pagi seorang diri kalau anda mahu. Di bumi kafir ini, tidak ada orang yang peduli dengan anda.

Cuma pastikan anda tidak membuat bising ketika jam lebih dari 10 malam. Nanti ada polis akan menjenguk rumah anda. Pastikan anda tidak memandu lebih 50 km/jam di tengah bandar. Ada surat saman menanti di pintu. Jangan merokok di dalam kereta kalau ada budak-budak kecil bersama. Anda akan disaman polis atau dimaki masyarakat.

Hidup mereka mudah sahaja. Ikut peraturan dan berlaku jujur. Jangan mengganggu orang lain. Anda akan bahagia.

Kalau anda berasa ingin mabuk todi - pergi ke bar, dan bukan di tempat awam. Kalau anda berasa ingin mewarnakan rambut, lakukanlah. Tidak ada sesiapa yang menghalang. Jangan sesekali cuba merasuah, pintu penjara memang sentiasa terbuka.

Yang mengawal diri anda ialah diri anda sendiri.

Jadi - kalau ada sesiapa yang mampu - atau ditaja untuk belajar di luar negara - datanglah. Ia tidak akan mengubah iman anda, melainkan anda sendiri ingin mengubahnya. Tidak akan ada gadis berambut blonde dan bermata biru cuba menggoda anda, melainkan anda sendiri yang memulakannya. Tidak ada juga mubaligh Kristian menjemput anda ke gereja, melainkan anda sendiri sudah tidak yakin dengan agama sendiri.

Wednesday, 29 December 2010

Siri Kuliah Psikologi 2011

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tahun baru bakal tiba beberapa hari lagi.

Aku sepertinya sudah diberikan isyarat untuk pulang ke Malaysia menjelang September 2011. Seperti yang diilhamkan, aku sepertinya perlu mengajar subjek pengantar psikologi. Ia subjek asas yang mudah, tetapi semua pelajar-pelajar psikologi perlu faham hal asas dahulu sebelum boleh memahami perkara lain.

Jadi - sebagai pembaca blog, anda juga boleh mengikuti subjek ini secara online di blog ini bagi topik-topik tertentu. Aku cuba menulisnya di blog ini terlebih dahulu. Aku cuba sesuaikan tulisan agar dapat difahami pembaca yang mungkin dari latarbelakang yang pelbagai. Sesiapa yang berminat boleh membacanya.

Ia akan ditulis Januari nanti. Bagaimana pun, tarikhnya tidak dapat dipastikan lagi kerana aku perlu melancong dulu bermula 4 Januari. Tunggu aku balik dulu.

Tuesday, 28 December 2010

Review FakirFikir

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak blog ini aku tulis tahun 2008 dulu - banyak perkara yang aku sudah tuliskan. Adakalanya aku tuliskan hal aku, dan banyak juga aku tuliskan hal orang lain. Sesekali aku membayangkan aku masih berumur 19 tahun dengan menulis hal cinta. Sesekali aku berlagak seperti pakar psikitiari dengan menulis hal histeria. Aku sebagai manusia yang boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, boleh juga bercerita hal dadah.

Kalau hal pengurusan dan kepimpinan - aku juga boleh tuliskan kerana ia sebahagian dari pekerjaan aku. Sesekali aku berasa tidak senang, aku mengkritik masyarakat yang percaya dengan hal karut. Sesekali aku berasa jengkel, aku tuliskan hal nasionalisme dan bahasa. Sesekali aku cuba menjadi penganalis politik. Apa sahaja yang aku rasa aku patut tulis, aku tuliskan.

Ada juga tulisan aku tidak menyenangkan. Aku pasti hal itu.

Sesekali aku hanya cuma cerita hal hidup aku sahaja. Kadang-kadang aku cerita hal keluarga aku, termasuk cerita kematian abang aku dan juga nenek sebelah isteri aku.

Ada cerita suka, ada cerita duka. Ada cerita rasional untuk berkongsi pengetahuan, ada cerita yang tidak ada faedah untuk dibaca. Aku tulis apa sahaja yang aku rasa aku mahu tulis.

Tetapi - aku tidak pernah menulis hal lucah. Aku cukup berhati-hati dengan hal ini.

Tahun 2011 bakal mendatang. Aku tidak tahu apa lagi yang patut aku tulis.

Selamat tahun baru untuk semua pembaca - tua dan muda, baru dan lama, yang pandai dan yang tidak, yang suka dan benci.

Semuanya kerana mata

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selalu kita mendengar ayat ini daripada orang yang sudah berkahwin atau bercinta.

Awak sudah berubah?

Menggunakan alasan, awak sudah berubah, orang ingin mencari cinta baru, malah ada yang ingin bercinta dengan orang gaji sahaja.

Adakah benar pasangan kita sudah berubah, atau tatkala berjumpa dahulu kita gagal memahami pasangan kita? Yang kita sangka sebagai berubah itu mungkin hanya persepsi sahaja, sedangkan realitinya personaliti dianggap sebagai antara perkara yang sukar berubah. Mereka mungkin tidak berubah sedikit pun. Cuma ia dianggap berubah kerana ada orang gagal memahami pasangannya sejak dari mula lagi.

Ada suami yang dianggap sebagai buaya darat setelah beberapa tahun berkahwin. Mereka mungkin sudah lama menjadi manusia mesra wanita sejak lama lagi, cuma tidak difahami isterinya. Ada isteri yang dianggap kuat cerewet dan banyak membebel. Mungkin ini sifat sejak anak dara lagi - cuma kerana waktu itu kita sangat hendakkan gadis membebel itu menjadi isteri kita - pasangannya diam sahaja. Cuma setelah beberapa tahun berkahwin, hal ini ditimbulkan semula.

Jadi apa yang berubah?

Mungkin terjadi kerana kita tersalah menggunakan deria bagi memahami pasangan ketika memulakan perhubungan.

Apakah deria yang paling kuat dalam memulakan sebuah percintaan?

Kajian mendapati mata ialah deria paling kuat, berbanding sentuhan tangan.

Jadi - ketika anda sedang belajar memahami pasangan anda, gunakanlah mata - maksudnya memerhatikan mata pasangan anda ketika berbual. Ia lebih berguna dari hanya berjalan berpegangan tangan di Tasik Titiwangsa.

Kajian juga mendapati eye contact ini hanya berguna bagi pasangan berlainan jenis sahaja. Ia tidak bermanfaat kalau permainan mata ini digunakan untuk orang yang sama jenis. Tidak juga bermanfaat kalau ia melibatkan ahli keluarga sendiri.

Kalau begitu - tahun baru ini kita semua mula bermain mata.

Pastikan juga ketika itu pasangan atau isteri anda tidak ada di sebelah. Sebab jelingan mata isteri anda itu akan melemahkan semua prinsip psikologi yang baru kita pelajari ini!

Thursday, 23 December 2010

Selamat datang 2011

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Cepat masa berlalu. Tirai tahun 2010 bakal ditutup.

Tidak tahulah apa isu yang paling menonjol dalam ruang lingkup masyarakat kita. Liberalisasi agama dan penularan ajaran Syiah mungkin hal baru (juga menakutkan) dalam konteks kehidupan kita beragama. Dulu, orang-orang tua kita mengambil pendekatan paling konservatif dalam hal beragama. Hinggakan belajar di sekolah orang putih pun dilarang. Pastilah - ia bertujuan menjaga hal beragama.

Hari ini - tidak boleh lagi. Agama juga diasak dari pelbagai sudut. Pelbagai fahaman muncul. Semua pihak mengaku mereka betul. Semua pihak ada memegang nas dan dalil. Yang menyokong pula, akan meng'copy' dan 'paste' hujah yang mereka dapatkan dari mana-mana. Semakin hari, semakin banyak hujah. Hakikatnya, yang pergi belajar dan beguru mungkin kian kurang.
Siapa yang benar? Seperti kata tuan ladang cherry - Pick Your Own - This Row. Jangan pilih jalan yang lain.
Tahun 2010 - kita juga dibimbangi dengan keganasan dan berita bunuh. Ia bertitik tolak dari berahi dunia dan kurangnya penghayatan agama. Semakin banyak manusia tidak peduli lagi - kalau perlu meragut hingga ada orang mati, sekalipun hanya untuk $50. Orang juga tidak peduli lagi kalau perlu merasuah dan menyamun. Semakin besar pangkatnya, semakin besar peluangnya.

Dunia politik kita juga semakin caca merba. Jarang kita berpeluang melihat ahli politik mendebatkan hal polisi, melainkan mereka mencaturkan rakyat di mana-mana. Sepatutnya kita sudah berubah. Kita menjadi wira negara dunia ketiga. Tetapi sepertinya tidak. Negara dunia ketiga tetap begitu mentalitinya. Kita perlu mengakuinya.

Tahun 2010 kian berlalu. Aku juga sedang beransur-ansur meninggalkan bumi Adelaide. Apa kejayaan aku? Banyak juga. Aku berjaya mencukupkan syarat 3 kertas jurnal. Ada juga beberapa kertas lain yang ditulis, ada yang ditolak - ada yang tidak tahu apa ceritanya. Aku juga sudah melakukan 7 kajian sepanjang tempoh 3 tahun. Ia hal yang aku tidak duga. Tahun 2010 aku menutup segalanya.

2011 akan datang. Kita tidak pasti apa lagi yang bakal terjadi. Apa nasib kita? Yang pasti, kalau umur kita panjang, umur kita juga akan bertambah.

Selamat datang 2011.

Wednesday, 22 December 2010

Kalau aku masih budak

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semua orang sedang bercuti. Supervisor aku juga mula bercuti. Semalam dia memberikan aku kad ucap tahun baru. Tidak ada Krismas di dalamnya. Dia tahu aku. Di depan namaku, dia tuliskan perkataan "Dr." Aku kata, jangan tulis 'Dr.', aku belum siap PhD. Dia kata - tidak ada bezanya. Tahun depan aku sudah balik, dia tidak sempat memberikan kad itu lagi.
Semalam anak aku bertanya: "Bila dia akan jadi besar seperti aku". Aku jawab: "Bila aku sudah tua". Dia tidak tahu, sebenarnya menjadi orang dewasa sangat menakutkan. Takut tua dan takut mati. Takut banyak hal yang tidak pasti. Dia tidak tahu - alam anak-anak ialah saat terindah dalam hidup manusia.

Semua orang kalau boleh ingin jadi anak-anak semula. Tiada hutang bank. Tiada girlfriend. Tiada musuh. Tiada tanggungjawab. Tiada handphone. Paling nikmat - tiada dosa.

Aku ingat hendak kutip buah cherry hari ini. Itu sahaja rencana aku. Kalau aku masih budak, tentu aku tidak perlu merancang. Aku ikut sahaja.

Tuesday, 21 December 2010

Bila kita seperti cuaca

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekarang musim panas. Di Adelaide - musim panas tahun ini sangat pelik. Kita masih perlu memakai baju tebal. Suhu sejuknya menikam sampai ke tulang. Tidak pastilah ini musim panas atau musim sejuk.

Cuaca seperti juga manusia. Berubah-ubah. Seperti cuaca, manusia juga kian janggal. Ada kes budak sekolah dibunuh - oleh rakan sebayanya. Ada yang melakukan hubungan seks sesama adik beradik - budak sangat lagi. Ada bapa menyimbahkan asid ke muka anak-anak sendiri. Ada ibu mengandung ditikam di perut.

Seperti cuaca yang sukar dijangka - perangai manusia juga sukar diduga. Kita cuma perlu berhati-hati dan berdoa.

Ada orang bertanya, mengapa orang yang tahu dia melakukan kesalahan masih tetap juga melakukannya. Jawapannya mudah. Banyak orang yang sudah rosak hati. Susah membeza antara yang baik dan buruk. Ada orang yang memang tidak diberikan hidayah.

Ada orang yang hidupnya seperti cuaca. Sudah tidak betul lagi.

Monday, 20 December 2010

Aku dan menulis

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini post aku yang ke 627. Kalau aku buat buku, sudah tentu ia antara buku paling tebal. Ia juga mungkin antara buku yang tidak laku di pasaran.

Sudah beberapa tahun aku menulis. Tetapi, pastilah aku tidak akan sepopular Hanis Zalikha yang menjadi orang nombor 6 di Malaysia yang banyak digoogle orang, lebih popular dari Siti Nurhaliza.

Kini, aku sudah sampai ke tahap tidak tahu apa lagi aku patut tulis. Sekitar awal tahun 2000, ketika aku menulis di Sekolah.Com - ada saatnya aku juga mengalami situasi writer block. Tidak tahu apa yang hendak ditulis. Tetapi kerana waktu itu - menulis kerana menjadi pekerjaan aku - aku tulis juga apa yang ingin aku tulis. Ia hanya kerja sampingan aku waktu itu. Ada hal pekerjaan lain yang aku kena buat. Aku dibayar RM 1,000 hanya bagi tujuan menulis itu sahaja. Bukanlah setiap hari aku menulis. Jadi, kira aku mempunyai upah yang banyak juga. Untuk hal lain, aku diberi gaji yang lain.

Hal menulis yang lain yang sukar ialah menulis teks ucapan. Ia kerja sambilan aku lama dahulu. Ia sukar kerana kerana kita perlu berfikir bagi pihak orang lain. Kita perlu membayangkan yang kitalah pengucap itu. Kita perlu tahu siapa yang menjadi khalayak pendengar. Semakin tinggi tahap pendidikan khalayak pendengar, semakin tinggi bahasa yang kita perlu gunakan. Semakin banyak buku yang perlu dibaca.

Menulis tesis juga sukar. Ia sukar kerana kita perlu bermain dengan bahasa tinggi orang lain. Kita perlu mengandaikan yang kita tahu lebih baik dari orang lain. Kita perlu memahamkan orang lain. Ada pula bahagian-bahagian tertentu, bahasa teknikal perlu digunakan.

Berapa lama masa digunakan bagi menulis satu makalah jurnal? Bergantung kepada keadaan. Bergantung juga kepada pengetahuan kita. Biasanya aku mengambil masa 10 hari untuk menyiapkan draft. Ia menjadi panjang apabila proses pembetulan dan refineable dengan penyelia. Ia mungkin menjadi dua bulan lagi.

Menulis blog mungkin antara yang paling mudah. Bagaimana pun, ada hal lain perlu dijaga. Penulis blog - kecil atau besar, sentiasa berisiko dalam setiap tulisannya. Kalau ada ideanya yang songsang, dibaca dan dipercayai orang - ia akan merosakkan orang lain. Salah menulis bagi hal tertentu - ia menimbulkan kemarahan. Jadi - semua penulis perlu berhati-hati.

Aku sudah menyediakan kotak pertanyaan - Tanya FakirFikir di sebelah kanan. Ia mungkin membantu aku untuk menulis.

Apocalypto

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dua hari lalu, aku menonton filem Apocalypto yang disiarkan di kaca televisyen. Filem keluaran tahun 2006, arahan Mel Gibson ini antara filem beliau yang baik. Ia mengisahkan epik purba suku kaum asli di zaman Mayo. Ia mengisahkan pertembungan di antara dua suku. Suku yang dominan - penguasa kerajaan purba itu telah memburu orang dewasa di serata kampung untuk dijadikan korban kepada sang dewa. Orang wanitanya pula dijual seperti dalam kisah P. Ramlee. Anak-anak terus dibiarkan hidup di kampung tanpa orang dewasa.

Aku tidak mahu bercerita hal filem ini. Filem ini patut ditonton sendiri.

Yang aku mahu ceritakan hal penamat filem ini. Dalam usaha memburu hero filem ini - Jaguar Paw, yang terselamat dari menjadi mangsa korban - kejar mengejar berlaku. Ia kisah sang pemburu dan pelarian. Seperti cerita sekumpulan pemburu mengejar seekor babi hutan. Episod cemas dan pertarungan juga menarik. Senjata utama ialah lembing, anak panah, dan pisau. Banyak watak jahat akhirnya mati dalam usaha itu sama ada dibaham harimau kumbang, dipatuk ular atau kalah dalam pertarungan. Untuk survival dan selamat dari terus dibunuh, hero terus berlari. Penjahat pula terus mengejarnya.

Akhirnya, Jaguar Paw berhenti di depan pantai. Tidak ada lagi ruang untuk dia berlari lagi. Hanya tinggal hanya 2 lagi watak jahat yang hidup. Mereka yang tadi mengejarnya juga berhenti. Terdiam dan tidak berbuat apa-apa dengan Jaguar. Semua mereka - termasuk Jaguar Paw teruja.

Mereka teruja dengan kehadiran kapal perang Sepanyol yang dilengkapkan dengan senapang dan meriam yang baru sampai dan mendarat masuk ke gigi pantai. Mereka terdiam kaku.

***************

Begitulah juga kehidupan kita orang Melayu. Kita memang kuat. Beradu tenaga di antara satu sama lain. Begaduh sesama sendiri. Kita memusnahkan sesama sendiri untuk menjadi yang paling kuat dan paling berkuasa. Memburu dan diburu sesama kita sudah menjadi epik cerita kita.

Sampai saatnya - kita pasti akan terdiam - dan terduduk. Kita bukan teruja dengan kehadiran kapal perang. Kita teruja tatkala kita tahu bahawa semasa kita bertarung sesama sendiri, di tepi pantai itu sudah ada orang menanti untuk membaham kita semua. Tidak kira siapa kita, yang memburu atau yang sedang diburu.

Jadi - berhentilah bergaduh sesama kita. Ia lebih baik.

Sunday, 19 December 2010

Ini cinta yang menyakitkan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada apa yang patut aku tulis hari ini. Aku terbaca berita dari akhbar Harian Metro berkaitan hal nafsu ganas seorang suami. Walaupun si suami juga tahu perbuatannya itu bukanlah sesuatu yang wajar, tetapi dia juga tidak mampu menahan dari berkelakuan begitu.

Malah, katanya: "Saya difahamkan juga ada kemungkinan nafsu pelik yang saya miliki ini adalah disebabkan keturunan atau saka. Saya tidak pasti mengenainya, tetapi tidak salah berubat".

Sebenarnya ini ialah antara penyakit psikologi yang dihadapi banyak orang. Mungkin kita tidak tahu mengenainya. Ia bukan hal yang senang untuk dimaklumkan kepada orang lain. Apatah lagi dalam konteks budaya Melayu. Kisah ranjang adalah hal yang sangat sensitif.

Penyakit ini dinamakan sadism. Ia juga mungkin dikenali dengan pelbagai nama lain, bergantung kepada sifat dan caranya. Bagaimana pun, untuk orang awam - gejala sexual ganas ini sebenarnya ialah bagaimana seseorang mendapat kepuasan seks dengan cara melihat kesakitan yang dihadapi oleh pasangannya. Ia bukan penyakit saka, tetapi ia merupakan masalah yang berlaku dalam mental manusia. Ia simptom psikologi mental yang perlu diubati. Sesetengah orang, mereka mempunyai personaliti ini - yang dibawa dan menjadi sebahagian dirinya.

Bagaimana untuk menanganinya. Ada terapi khusus bagi hal-hal seperti ini. Bagaimana pun, kerana ia melibatkan hal yang sangat sukar dilihat dengan mata kasar, maka sesetengah orang tidak ada pilihan. Kita tidak tahu pasangan kita ini mempunyai penyakit ini atau tidak, selagi kita belum melayari bahtera perkahwinan. Semasa bercinta mereka ini seperti orang normal sahaja. Hakikatnya, memang mereka normal. Cuma dalam keadaan hubungan seks, mereka berubah.

Sekiranya anda masih bujang - patutkah anda bertanya kepada pasangan anda :"Adakah anda seorang sadism?

Kalau ada masa, nanti kita bincang hal ini. Ini bukan hal ranjang. Ini hal yang patut diketahui kita semua.

Saturday, 18 December 2010

WikiLeaks - realiti hidup kita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebaik sahaja laman WikiLeaks mendedahkan lebih 251, 784 komunikasi yang dihantar oleh 264 pejabat kedutaan Amerika Syarikat di seluruh dunia, dunia tiba-tiba menjadi gelisah. Ia bukan sekadar membongkar rahsia sulit diplomatik, tetapi juga mendedahkan betapa manusia ini sebenarnya ialah makhluk yang hipokrit. Bukan sekadar membongkar kekejaman Amerika di Iraq dan Afghanistan, tetapi juga membongkar rahsia Arab Saudi yang selama ini dianggap sebagai kiblat umat Islam dalam komen pemerintahnya terhadap negara Arab yang lain. Ia juga menceritakan bagaimana Kevin Rudd menyinggung perasaan kerajaan China.

Semua ini adalah cerita kehidupan manusia - kehidupan yang penuh hipokrit. Komen Lim Kuan Yew terhadap kisah liwat Anwar Ibrahim mungkin hal kecil sahaja. Banyak lagi kisah lain yang dibongkar. Kini lebih 2,000 mirror web baru tumbuh bagi menggantikan laman WikiLeaks asal yang cuba dilumpuhkan. Di Adelaide, di beberapa simpang lampu trafik ada tertampal poster bagi menggerakkan sokongan terhadap WikiLeaks. Semua ini adalah imej baru warga dunia.

Sama ada maklumat yang tersiar di WikiLeaks itu fakta, atau hanya sekadar pandangan hipotetikal, ia isu yang lain. Isu utamanya, dalam dunia hari ini - tidak ada apa lagi yang boleh disembunyikan. Siapa pun anda, kebal atau tidak - akan ada ruang untuk mereka yang bijak mendedahkan kelemahan anda.

Kerajaan Amerika mungkin kuasa besar yang dianggap paling bijak menjaga rahsia keselamatan negaranya. Ia menguasai teknologi. Malah, mereka jugalah yang memulakan peradaban teknologi maklumat. Malangnya, akhirnya teknologi itu kini sudah kembali memakan tuannya.

Dulu - ketika kita masih kecil, ibu bapa kita selalu mengingatkan - 'cakap siap, pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar'. Semua ini adalah antara usaha bagi memastikan ada hal yang tidak bocor. Ada maklumat yang patut dijaga dan dirahsiakan.

Tetapi itu dulu. Sekarang tidak lagi. Setiap panggilan telefon kita mungkin sedang direkodkan. Kita mungkin tidak mengetahuinya. Sampai masanya, apabila kita terkenal - orang akan mendedahkannya bagi menjatuhkan kita. Pergerakan kita mungkin telah divideokan. Kalau kita mempunyai nilai berita - apa yang telah kita lakukan itu akan tersebar dalam dunia internet.

Jadi - sama ada rahsia kita akan terbongkar atau tidak - bukan bergantung bagaimana baiknya kita menjaga rahsia diri. Ia bergantung siapa kita. Kalau kita sekadar orang biasa, yang tidak ada nilai berita - orang mungkin akan menyimpan semua maklumat yang mereka miliki. Hubungan sulit Ariel Peter Pan dan Cut Tari mungkin tidak akan menjadi satu berita besar, kalau kedua-duanya hanya orang biasa, para pengamen jalanan di kota Jakarta. Tetapi kerana mereka artis ternama, video itu ada nilainya.

Apa yang tersiar di WikiLeaks - juga mencerminkan itulah realiti dunia kehidupan kita. Yang kita sangka sebagai sahabat, mungkin musuh utama. Yang kita jangka sebagai musuh, mungkin sahabat yang sempurna.

Realitinya - semua kita berpura-pura sahaja. Hari ini kita ketawa dengan orang lain. Esok, mungkin kita pula akan diketawakan.

Friday, 17 December 2010

Susah sangatkah PhD ini?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan, setelah satu kertas jurnalnya ditolak bertanya, susah sangatkah PhD ini?

PhD tidaklah semudah yang dijangka. Ia tidak semudah membeli sekeping kertas tertera atasnya kelayakan tertentu di tepi jalan. Ia cerita panjang yang sesekali menyeronokkan, sesekali menakutkan. Tetapi ia juga bukanlah sepayah cerita rumahtangga yang berantakan yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Ada orang - yang hanya datang tidak sampai setahun - perlu pulang ke Malaysia. Ia bukan cerita dongeng. Ia selalu terjadi.

Ada orang - yang perlu menghabiskan 4 atau 5 tahun menyiapkan sebuah buku yang entah siapa yang akan membacanya.

Bagi sesetengah yang lain, mampu menyelesaikannya dalam tempoh 3 tahun. Ia tempoh yang paling baik, walaupun bukanlah jangka waktu yang ideal.

Apa yang menjadikan PhD ini agak sukar untuk diceritakan. Ia bercampur baur dengan dunia teori dan akademik. Ia juga berselirat dengan bagaimana mengendalikan penyelia. Kadang-kadang, ia ditambah pula dengan pertentangan ideologi pemeriksa. Semua inilah yang menjadikan PhD hanyalah sekeping kertas nasib - yang ada orang yang mampu memilikinya dengan mudah, ada yang sukar. Ada yang pulang hampa - semua usaha ibarat menuang air ke daun keladi.

Kalau orang bertanya aku - aku akan katakan - sebagaimana anda telah memilih jalan anda sendiri, gunalah cara anda sendiri mengendalikannya.

Thursday, 16 December 2010

Cerita hujung tahun

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari ini aku tidak menulis. Aku tidak tahu apa yang hendak ditulis.

Di Australia - sekarang ini semua orang sedang dalam mood Krismas. Semua orang seperti kita juga, ketika menjelangnya musim raya.

Tadi supervisor aku minta aku bercuti. Dia kata aku tak patut selalu datang ke ofis lagi. Sekarang ini musim cuti sekolah. Dia kata, aku sepatutnya duduk di rumah bermain dengan anak, atau bawa keluarga bercuti. Tahun depan mulakan buku baru.

Tidak ada orang yang ada supervisor yang baik seperti itu.

Beberapa hari ini - aku sibuk menguruskan hal seorang kawan yang ingin melanjutkan pengajian PhD di sini. Seperti biasa, aku menggunakan kabel supervisor aku mendapatkan dia penyelia yang baik. Aku rasa ini hal yang patut diketahui juga untuk semua orang yang bercadang melanjutkan pengajian luar negara. Kabel bukan hanya untuk kegiatan projek kelas F di Malaysia. Kabel juga sesekali diperlukan untuk melanjutkan pengajian.

Tadi - aku berborak-borak dengan Prof de Jonge. Aku bertanya sebagai ketua editor, berapa jurnal yang dia tolak. Dia kata, 8 out of 10. Berapa banyak dia kena baca. Dia beritahu, dalam setahun dia ada 400 manuskrip untuk dibaca. Dia akan melakukan screening. Yang lepas akan direview, yang tidak - akan ditolak.

Mengapa ditolak. Dia kata - kajian yang sudah diketahui oleh banyak orang. Tidak ada penambahan kepada ilmu baru. Aku rasa inilah antara masalah yang berlegar di kalangan ahli akademik kita. Kita selalu mengulang-ulang benda yang sama. Adakalanya kita menghadiri beberapa persidangan setahun - dengan menggunakan data yang sama. Isunya ialah kerana kita lebih suka bersidang dari menjalankan kajian.

Aku beritahu dia - kalau begitu aku perlu hantar kertas ke tempat lain. Dia gelak sahaja.

Tapi - aku sudah ada projek survey baru tahun depan. Kali ini dengan Prof de Jonge. Kami sudah berbincang tadi. Biarkan mereka semua bercuti Krismas dan tahun baru dulu.

Sebenarnya aku sedang dilanda sakit. Sakit aku - aku kalau boleh ingin menjalankan survey setiap hari!

Saturday, 11 December 2010

Ketuanan Melayu - Isu yang tak akan padam

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Entah siapa yang memulakan istilah ini. Ia istilah yang adakalanya menyusahkan. Tatkala kita bercakap tentang ketuanan, orang lain merasa kecil hati. Mereka merasa seolah kita meminggirkan mereka. Hakikatnya, banyak yang hidup di kediaman setinggan di pinggir bandar dan jalan keretapi ialah orang kita.

Banyak yang terpaksa menebal muka meminta pinjam di sana sini apabila ada anak masuk universiti orang kita juga. Tatkala orang lain sudah tersenarai sebagai orang terkaya dunia, senarai panjang orang yang meminta bantuan jabatan masyarakat orang kita juga.

Istilah itu - ketuanan Melayu - lebih banyak menjerat diri kita.

Kita tidak mungkin mampu menukar sejarah. Tidak juga dapat menukar kembali jarum jam yang sudah berdetik. Kalaulah nama Tanah Melayu tidak ditukar, kacau bilau ketuanan Melayu tidak akan timbul. Tapi orang kita - sejak dari dulu sampai kini, tidak pernah berubah. Kita ingin menjadi moden. Kita ingin menjadi lain. Bertukar identiti tidak mengapa. Asalkan kita dilihat moden.

Sekarang - inilah isu pokoknya.

Generasi baru yang lahir di era moden, tidak lagi mengusung bersama identiti Tanah Melayu dalam jiwanya. Tatkala negara bangsa di seluruh dunia tidak bertukar nama - Itali, Bosnia, Thai, India, China, Jepun, Korea - kita memilih jalan singkat untuk mencipta kelainan. Entah mengapa harus ditukar nama Tanah Melayu? Apakah faedahnya kita tidak begitu tahu. Sejarawan mungkin boleh menjawabnya dan menceritakan kembali.

Katakanlah - kita perlu menamakan negara kita sebagai Malaysia kerana proses menyatukan Sabah dan Sarawak di dalamnya, tentulah tidak wajar pula kita menukar nama Semenanjung Tanah Melayu menjadi Semenanjung Malaysia.

Sekarang ini kita tahu - sesuatu langkah yang kita rasakan pintar - mungkin sangat naif pada zaman yang lain. Langkah yang kononnya maju itu, bukan sahaja tidak nasionalis, tetapi mengkucar kacirkan orang lain.

Sayang, sejarah hanya proses yang berulang-ulang. Ia tidak dapat berpatah balik.

Kita sama-sama mempelajarinya sekarang.

Sekarang ini - kita jangan sesekali menyeru agar kita diberikan keistimewaan. Ia akan menyebabkan kita hilang semakin banyak perkara lagi. Setiap kali kita menyebut istilah itu, nanti orang akan mempertikaikan kita itu dan ini juga. Orang mula meminta biasiswa - walaupun hakikatnya biasiswa yang orang kita dapat itu mungkin bukan kerana keistimewaan, sebaliknya kerana kita miskin. Tatakala kita mahu meminta pinjam wang berniaga, orang lain bertanya mengapa mereka tidak ada hak untuknya. Sedangkan pinjaman itu mungkin bukan satu keistimewaan pun. Kita hanya ingin berniaga warung. Orang lain sudah lama ada empayar di Hong Kong.

Semua ini hanya kerana kita banyak sangat bercakap hal ketuanan Melayu. Kita sendiri tidak yakin, apakah bentuk tuan kita ini.

Kerana slogan ketuanan Melayu ini sangat sakti - muncul pula kumpulan yang menggelarkan mereka pejuang. Kita pun tidak tahu dengan pasti bentuk perjuangan kumpulan ini - kalau setiap hari kita mendengar ada aporan polis di sana sini. Setiap kali ada sahaja orang berasa istilah ini tidak betul - akan ada demontrasi dan emosi.

Semua ini tidak menguntungkan kita juga. Orang akan ketawakan kita sahaja. Orang melihat betapa bodohnya orang kita.

Apa tidaknya - tidak ada bangsa di dunia ini yang setiap hari cuba memperjuangkan hak hidupnya - di tanah yang telah dibuang nama bangsanya.

Kalaulah setiap orang jujur - berpolitik bukan untuk berniaga, tetapi untuk bangsa, kita tidak akan seteruk sekarang. Itulah perjuangan yang sepatutnya.

Istilah keramat ketuanan Melayu, sesekali menakutkan - ini akan muncul lagi di masa depan. Ia akan hilang dan muncul lagi. Akhirnya, kita hanya mampu mendapatkan satu istilah - yang kita tidak tahu apa lagi istimewanya kita ini kalau anak-anak kita banyak yang masuk pusat serenti, melucah di hotel, dan meragut di jalan. Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang istimewa. Apakah pula yang membolehkan kita perlu mengaku sebagai tuan.

Ketuanan Melayu - ibarat kokok ayam jantan di waktu pagi. Kelihatannya gah dan hebat. Tetapi musang tetap meratah juga.

Thursday, 9 December 2010

Aku harap aku begini, dan bukan begitu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa lama dulu, aku menulis betapa tidak perlunya untuk pelajar ijazah pertama dihantar ke luar negara bagi bidang tertentu.

Bagaimana pun, untuk mereka yang melanjutkan pengajian dalam ijazah lanjutan, khususnya bagi mereka yang membuat penyelidikan, ia hal yang berbeza. Banyak manfaat yang kita perolehi. Aku tidak ceritakan pengalaman orang lain. Aku ceritakan hal aku sendiri.

Sepanjang aku di sini, aku sudah berkenalan dengan beberapa orang profesor besar dari Eropah. Seperti dijangka, profesor besar ini tidaklah besar kepala. Mereka orang biasa sahaja. Mereka tidaklah gilakan kuasa atau menunjuk pandai seperti banyaknya profesor dari 'tempat' itu. Mereka menulis berpuluh buku, dan menghasilkan ratusan jurnal. Tetapi mereka tetap orang biasa dengan gaya sedikit 'rock'.

Tadi - di ofis aku didatangi seorang lagi profesor terkenal. Orang yang belajar bidang stres tentu pernah mendengar nama de Jonge. Beliau seorang pencipta teori. Dalam bidang kami, beliau adalah pencipta mazhabnya sendiri. Anda boleh membaca profail beliau di sini.

Tempat duduk aku memang selalunya membawa tuah, kerana di sebelah aku akan ada satu komputer kosong. Ia hanya untuk pelawat sahaja.

Profesor de Jonge duduk di sebelah aku. Untuk 10 hari mendatang, beliau akan duduk di sebelah aku. Aku selalu menggunakan kebolehan aku beramah mesra dengan bahasa Inggeris yang menakjubkan bertanya banyak soalan. Pastilah soalan killer aku ialah hal-hal statistik yang aku tidak begitu fasih. Seperti biasa, profesor besar ini dengan senang hati menjawabnya. Diberikan aku beberapa nota. Katanya, besok pagi dia akan melihat hasil kerja aku. Menjadi satu stres yang lain pula untuk aku.

Menjadi lebih banyak faedah belajar di luar negara - khususnya bagi pensyarah yang datang dari universiti tempatan yang begitu berahikan penulisan jurnal ISI - anda mungkin berpeluang menulis bersama profesor besar ini. Peluang untuk artikel anda diterima ke jurnal ternama juga besar. de Jonge - juga seorang ketua editor bagi sebuah jurnal A*.

Tadi, de Jonge dan supervisor aku berbincang, untuk kami bertiga menulis satu artikel. Pastilah mereka akan menggunakan data aku yang sedang dikutip sekarang.

Satu hari nanti - aku harap akulah profesor seperti mereka. Hidup dalam blues dan biasa sahaja. Jangan bimbang, aku tidak pernah berhasrat untuk menjadi manusia skema dan gila kuasa.

Aku harap aku akan begini juga. Setelah 38 tahun, bagi orang yang kenal dengan aku sejak remaja - mereka tahu aku tetap begini. Aku harap aku terus begini, dan bukan begitu.

Monday, 6 December 2010

Aku tahu aku bahagia

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah. Bukanlah aku ingin mengulas hal Khir Toyo dan cerita kekayaannya. Kita tidak patut menjadi hakim yang menjatuhkan hukum. Kita pun tidak tahu apa yang akan kita hadapi pada masa depan.

Bagaimana pun, melihat kepada nama hakim Mahkamah Sesyen itu - ia mengingatkan zaman ketika aku masih muda dulu. Hakim itu sebenarnya ialah teman lama aku di universiti dulu. Ketika di tahun pertama, bilik asramanya berada di depan bilik aku. Jadi kami selalu melepak. Waktu itu, dia tentu tidak tahu pun yang dia akan menjadi hakim. Ketika di tahun dua, kerana aku pelajar yang tidak aktif, aku tidak boleh lagi menetap di universiti. Sekarang ini, sesudah sekian lama - sejak kali terakhir aku melihat dia tahun 1995, tahun akhir kami di universiti, aku tidak pernah bertemunya lagi. Tidaklah tahu bagaimana rupanya sekarang.

Kawan-kawan aku yang melepak di bilik asrama aku itu banyak yang berjaya. Ada juga yang jadi pegawai kanan polis. Ada juga menjadi orang besar di stesen televisyen dan akhbar. Ada yang aku tak tahu di mana mereka. Ada juga yang sedang di 'pool' kerana rasuah. Semua jenis manusia ada. Seorang teman aku yang lain, aku mendengar berita menjadi tidak keruan.

Aku pun - tidaklah aku tahu sama ada berjaya atau tidak. Aku rasa kehidupan aku ini turun naik. Ada masanya aku berkerja, ada waktunya aku menganggur. Ada waktunya menjadi bos, ada waktunya berkerja sebagai pembancuh teh tarik. Ada ketikanya memakai tali leher semacam orang kaya, banyak waktunya memakai selekeh dan serabut. Tetapi aku tidak kisah sangat.

Tetapi - aku rasa, aku orang yang bahagia. Tidak semua orang memilikinya, aku pasti. Seperti mana yang mungkin sedang dihadapi Khir Toyo sekarang ini.

Friday, 3 December 2010

Teman - pilihlah risiko!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan lama aku, berkerja bersama untuk sekian lama di Kuala Lumpur. Dia berkerja sejak tahun 1995 atau 1996 aku tidak berapa pasti. Aku mula berkerja bersamanya tahun 1998. Kini, dia sedang dalam keadaan yang kacau membuat keputusan sama ada untuk berhenti atau tidak, setelah ditawarkan kerja di tempat lain dengan gaji yang lebih baik.

Dia bertanya aku apakah yang harus dia buat? Berhenti dan memilih kerja baru, atau terus kekal di tempat kerja lama.

Untuk manusia seusia aku - adakalanya gaji bukanlah hal nombor satu lagi. Kami sesekali perlu memilih untuk berhenti bagi mendapatkan pengalaman baru. Selebih sedekad berkerja di satu-satu syarikat menjadikan kita serba tahu. Kita juga menjadi manusia yang tidak begitu disentuh lagi - kerana kita antara yang lama. Kita boleh memilih datang jam berapa, dan pulang pada waktu yang kita suka. Orang tidak ambil tahu lagi. Kita sendiri menyusun kerja yang hendak kita lakukan. Kita tahu di mana hendak bermula, dan di mana hendak berakhir. Dalam istilah lain - kita adalah 'bos kecil' di syarikat yang dimiliki orang lain.

Kerana aku ditanyakan pandangan, aku memilih memberikan jawapan - memilih risiko adalah satu keberanian. Orang yang berjaya ialah orang yang berani memilih risiko.

Kalau dia tidak berhenti, dia akan selamat. Setiap bulan dibayar gaji. Kalau syarikat terpaksa membuang pekerja, teman aku antara orang paling akhir dibuang. Itupun kalau dibuang. Biasanya tidak.

Tetapi kalau dia berhenti, dia akan mendapat pengalaman baru. Dia akan kenal dengan persekitaran baru, orang baru, dan gaji yang baru tentunya. Tetapi dia tidak selamat. Dia tidak tahu lagi permainan politik syarikat. Dia tidak tahu adakah pada masa depan syarikat bakal stabil, atau dia juga mungkin orang pertama akan dibuang. Tetapi, itulah risiko.

Dulu, aku juga memilih risiko. Tahun 2005, aku berhenti. Kalau aku tidak memilih risiko itu, aku mungkin tidak memijak Adelaide. Semasa berkerja di tempat baru - ia serba menakutkan. Aku menjadi pengurus yang tidak ada kuasa. Semua keputusan ditentukan tuan punya syarikat, seorang lelaki berpangkat "Datuk' yang begitu kuat menggengam wang. Pengurus tanpa kuasa menentukan alir perbelanjaan, adalah pengurus yang mandul. Ia ibarat tentera yang diberikan senapang yang tidak ada peluru. Soldadu dan musuh akan melihat kita sambil ketawa. Kita tidak mampu membuat keputusan apa pun.

Enam bulan di tempat baru - aku berhenti. Aku menyesal kerana berhenti di tempat kerja sebelumnya. Tetapi, rahmatnya ada di situ. Kerana aku berhijrah itulah, aku kemudiannya mendapat kerja lain pula. Aku juga sempat melarat hidup tanpa kerja, hanya bergajikan kerja separuh masa mengajar di dua buah universiti. Tetapi kerana itu jugalah, mungkin takdir Tuhan memudahkan aku diterima masuk ke sebuah universiti awam - dan kini dihantar ke luar negara untuk sambung belajar. Ia sebahagian cerita indah di balik tabir risiko yang dipilih.

Sekarang ini - aku sekali memilih risiko. Aku memilih membuat 'PhD by publications'. Ia juga risiko. Aku perlu memastikan sebahagian besar manuskrip aku diterima sebelum boleh menghantar tesis PhD. Orang lain mungkin menyiapkan dahulu semua kerja, kemudian menghantar tesis yang telah dijilidkan untuk diberi markah. Aku pula perlu 'lulus' dahulu dan diberikan markah, sebelum boleh menjilidkan tesis. Tidaklah kedua-duanya itu mudah. Cuma jalan yang aku pilih lebih berisiko. Tanpa sekurang-kurangnya 3 kertas jurnal yang diterima, aku tidak boleh menghantar apa-apa.

Tapi - itulah sebahagian risiko. Risiko itulah jalan hidup kita. Kita mungkin selamat, dan mungkin tidak. Tetapi, kalau semua risiko itu dapat kita tempuh dengan sempurna, kita akan lebih bahagia di masa depan.

Pilihlah jalan risiko - kalau anda fikir ia sesuatu yang sesuai dengan jiwa anda!

Update PhD: Apa kata mereka?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari dulu, aku menulis hal proses penulisan jurnal akademik.

Pagi tadi, sebaik bangun tidur, aku membuka emel. Aku tahu beberapa hari ini aku sepatutnya mendapat maklumbalas memandangkan ia sudah menghampiri 3 bulan sejak aku menghantar artikel ini semasa hari raya Aidilfitri lalu.

Salah seorang penilai berkata - "This is a wonderful and rare paper" - mungkin menjadikan artikel aku ini tidak ditolak pada peringkat ini. Salah seorang lain berkata: "It has been very interesting, informative, challenging, and fun". Entah apa yang 'fun' aku tak tahulah.

Kesimpulannya, kertas ini
'There was consensus among the reviewers to invite this manuscript for resubmission after revision'.

Apa maknanya? Ia tidak ditolak, tetapi belum diterima. Masih ada pembetulan dan keterangan lain yang patut dimasukkan. Biasanya proses ini akan berlaku sekali atau dua kali lagi sebelum diterima. Ia akan mengambil masa 45 hari untuk pembetulan, dan 3 bulan lagi untuk keputusan selanjutnya.

Adakah aku bergembira? Sekurang-kurangnya aku tidak kecewa. Kertas yang tidak ditolak sudah boleh dijadikan sebahagian dari bab PhD aku. Peluang untuk kertas ini diterima lebih banyak dari ditolak - walaupun berlaku juga beberapa kali pembetulan dilakukan, akhirnya ditolak juga!

Thursday, 2 December 2010

Tidak semuanya indah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ketika kecil - kita suka berebut barang permainan kanak-kanak lain. Kita akan bersusah payah mendapatkannya. Kalau tidak mampu mendapatkannya, kita akan meminta orang tua kita membelikannya untuk kita. Sesudah mendapatkan barang yang direbutkan itu - beberapa minit kita membuangnya begitu sahaja. Kita mencari barang lain pula.

Di masa remaja - kita terbeliak melihat model telefon bimbit baru. Kita perlu memilikinya. Kita berusaha dengan segala macam untuk mendapatkannya. Kalau tidak ada wang, kita sanggup berhutang. Asalkan apa yang kita hajati itu akan dapat digenggam. Beberapa hari setelah itu, kita tahu telefon kita itu tidaklah sebagus mana. Walaupun cantik, tetapi ia biasa sahaja. Ia hanya sekadar sebuah telefon. Sama seperti model yang lain juga.

Setelah dewasa, kita berasa alangkah indahnya menaiki kereta besar. Ia seolah-olah menjadikan kita raja di jalanraya. Semua orang akan memerhatikan kita. Setelah membeli kereta besar, dan duduk di dalamnya beberapa kali - kita sedari ia seperti kereta yang lain juga. Tidak ada sesiapa pun memerhatikan kita. Ada kereta lain yang lebih baik. Ada milik orang lain yang lebih hebat.

Apakah yang ingin aku ceritakan?

Anda tentu telah membaca berita seorang pelajar IPTA cuba membuang bayi di Perlis. Ia hanya satu cerita daripada ribuan cerita seks sebelum nikah remaja kita. Ada yang dilapor, ada yang tidak.

Bagi aku - seks bebas ini seperti cerita merebut barang mainan tadi juga. Ia seperti halnya kita ingin memiliki telefon bimbit model terbaru. Tidak ubahnya seperti berahi kita ingin memiliki kereta baru.

Setelah mendapatkannya, kita tahu ia tidak ada apa-apa pun. Ia hanya indah semasa kita belum mendapatkannya.

Bagaimana pun, ia tidak sama seperti barang mainan. Barang mainan boleh ditukarganti. Tetapi tidak apabila kehilangan 'hal' itu - khususnya untuk remaja wanita, ia tidak berganti lagi. Ia hilang buat selamanya. Kegembiraan yang didongengkan itu hanyalah cerita nafsu sahaja. Keseronokan beberapa minit membuatkan kita merana seumur hayat. Banyak yang kemudiannya menanggung malu - membuang anak di sana sini. Kita mungkin dihukum mati kerana menjadi pembunuh pula. Sanak saudara membuang kita. Mereka juga menanggung malu. Tambah buruk - teman lelaki pergi mencari 'barang mainan' yang lain. Tinggallah diri sendiri berfikir masa depan yang kelam, dan masa silam yang muram. Yang hilang tak berganti. Yang mendatang belumlah pasti.

Kerana itu - untuk semua anak remaja, berhati-hatilah. Dalam hidup - setiap hari kita belajar dari apa yang kita alami. Kita hanya mengejar sesuatu sebelum kita mendapatkannya. Setelah mendapatkannya, kita tahu tidak ada satu pun yang benar-benar indah. Yang menjadikan ia indah hanyalah kerana nafsu kita menutup penglihatan akal.

Konsep psikologi mudah

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak ada apa yang hendak ditulis. Kita tulis hal mudah.

Orang lain betepuk tangan, kita bertepuk juga - keakuran.

Orang lain mengarah, kita mengikut - pengikut.

Semua orang lain ketawa riang, kita bermuram durja - kemurungan.

Banyak hal harus difikirkan, runsing dan kacau bilau - tekanan.

Kepala kita sahaja yang betul, orang lain semua salah - autoritarian.

Was-was, sudah gosok gigi atau belum, berulang-ulang - obsessive compulsive.

Akan gagal periksa, pasti, kalau membaca pun tidak menjadi - pesimis.

Berasa malu, rendah diri, orang lain hebat, kita tidak, berasa tidak cantik - low self esteem.

Dia kelihatannya sombong, lebih baik jangan bercakap dengan dia - nujuman penyempurnaan kendiri.

Air penawar ini boleh menyebabkan lulus dengan cemerlang, hakim pun boleh menjatuhkan hukum yang menyebelahi kita - lokus kawalan luaran

Orang lain menulis, kita membaca - pembaca.

Orang lain menulis, kita 'copy and paste' - itu kurang idea!

Tuesday, 30 November 2010

Bahasa bukan isunya, pengetahuan itu kuncinya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan, telah diminta oleh universitinya untuk melanjutkan pengajian PhD di luar negara. Bagaimana pun, dia bimbang dengan penguasaan bahasa Inggerisnya.

Kalau orang bertanya aku - aku akan katakan bahasa bukan isunya, pengetahuan itulah kuncinya. Bahasa hanya alat penyampaian. Tanpa pengetahuan yang memadai, tidak apa yang dapat ditulis dalam apa bentuk bahasa sekalipun. Tanpa ilmu yang mencukupi, bahasa yang baik sekalipun tidak akan menjadi alat penulisan.

Berapa banyak orang kita yang arif dalam bahasa Melayu. Sejak lahir hingga ke liang kubur terus bercakap bahasa Melayu. Bagaimana pun, mereka tidak mampu menulis hal pengetahuan. Bukan kerana mereka tidak tahu menulis dalam bahasa Melayu. Sebaliknya mereka tidak ada pengetahuan. Itulah halangan utamanya.

Bagi orang yang belajar di luar negara, tidak semua orang pandai bahasa Inggeris. Salah seorangnya ialah aku. Bagaimana pun, aku tidaklah sedikit pun merasa ragu atau bimbang baik menulis atau bercakap dalam bahasa ini. Kerana aku tahu, kalau aku bercakap atau menulis salah sekalipun, ia bukan bahasa aku. Penyelia aku pun tidak pernah ambil 'port' kalau ada tatabahasa aku yang salah. Tapi, akan selalu kisah kalau pengiraan statistik aku salah, atau penghujahan teori aku tidak betul. Bahasa boleh diperbetulkan kemudian, tetapi isi di dalam minda tidak ada sesiapa boleh membantu mentafsirkannya.

Sebab itu - kepada mereka yang takutkan dengan kelemahan bahasa Inggeris - jangan berasa ragu. Bahasa bukan halangan utama. Ada banyak editor yang boleh memperbaiki ayat. Ada banyak orang yang boleh membantu anda menyampaikan mesej anda. Tetapi, tidak ada sesiapa pun tahu bidang anda. Itulah penguasaan yang patut anda lebihkan. Bukan bahasa, tetapi pengetahuan.

Di Australia - setiap hari kita terserempak dengan warga Vietnam, China, Korea, Jepun, Filipina atau Thai yang mungkin tidak pernah pun mendengar patah Inggeris ketika mereka bersekolah dulu. Tetapi mereka hidup juga. Malah, sekarang ini mereka sedang menguasai ekonomi Australia. Siapa yang peduli bahasa Inggeris mereka. Orang hanya peduli apa kelebihan mereka.

Monday, 29 November 2010

Bila kita dilanda kacau

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada berita hari ini.

Aliph al-Turkistani telah datang ke rumah aku membawa bersama 3 orang ahli jemaah tabliqh dari Kedah. Tidaklah mereka mensurahkan aku apa-apa. Kami sekadar bercakap hal beberapa orang ustaz di Kedah. Bercerita juga tentang orang itu dan orang ini yang aku kenal.

Lama juga sebenarnya aku tidak mendengar loghat Kedah tulen seperti yang dibualkan oleh 3 orang ahli jemaah itu. Sekurang-kurangnya, bolehlah aku mendengar nada suara orang Kedah. Kebetulan salah seorangnya dari Jitra.

Sebetulnya dari semalam - aku menulis satu kertas baru. Sudah 1,000 patah perkataan. Pagi tadi aku mengirimkan emel kepada penyelia aku menyatakan hal yang aku tidak akan ke universiti. Dia tahu kalau aku menulis artikel, aku biasanya menulis di rumah.

Balasan emelnya membuatkan aku kembali stress. "Given that you have more time, I think we should revise the strategy and aim for getting the best possible publications. Dia menyuruh aku berhenti dulu menulis. Dia tahu aku akan mempunyai banyak masa. Beberapa hari dulu, aku memberitahu yang permohonan perlanjutan mengaji PhD untuk 6 bulan mungkin diluluskan.

Itu yang menyebabkan dia ada idea lain. Dia kalau boleh mahu aku menambah lagi penyelidikan. Juga mahu menambah soal selidik. Strateginya ialah mahu menghasilkan penyelidikan terbaik untuk dihantar ke jurnal terbaik. Semua ini pasti memerlukan masa.

Strateginya itu selalu membuatkan aku dilanda kacau. Mungkin aku patut ikut Aliph al-Turkistani pergi membuat ziarah!

Friday, 26 November 2010

Opening Soon!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan - yang berada di peringkat akhir penulisan PhD bertanya adakah kebimbangannya itu satu penyakit? Atau, dia juga berada dalam situasi terlebih yakin.

Dalam psikologi, ini bukanlah penyakit. Ia dialami oleh semua orang. Ia dibincangkan dalam konteks optimistik vs. pesimistic dalam hal penyelesaian masalah.

Kita selalu melihat papan tanda "Opening Soon!" di bangunan kedai yang hampir siap. Apakah ini? Mengapa mereka menulis 'soon' sedangkan mereka tidak tahu bila ia akan siap sepenuhnya. Inilah yang dikatakan optimistik. Andaian akan siap diramalkan berdasarkan progres yang berlaku sekarang.

Dalam konteks seperti ini, manusia biasanya cenderung untuk mengabaikan kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi yang menyebabkan berlaku kelewatan. Mereka mungkin mengabaikan faktor cuaca yang menyebabkan kedai tidak dapat dibuka seperti dijangkakan. Banyak projek pembinaan rumah - yang walaupun telah ditulis 'soon' - akhirnya menjadi projek terbengkalai.

Banyak pengkaji PhD ada kecenderungan ini. Kami selalunya meletakkan sasaran - dengan andaian semuanya akan berlaku dengan sempurna. Kami selalu mengabaikan kemungkinan akan sakit, atau penyelia tiba-tiba melancong ke luar negara menyebabkan banyak proses tergendala.
Kami juga seolah-olah terlupa bahawa kajian makmal sering tidak menghasilkan apa-apa, atau analisis akan berdepan hal kucar kacir.

Apakah yang telah dijadikan petunjuk untuk meramal masa depan? Sebenarnya kita hanya menggunakan petunjuk berdasarkan apa yang ada sekarang. Misalnya, apabila kerja kita hari ini semuanya berjalan lancar, kita meramalkan pada masa hadapan semuanya akan berjalan sempurna. Sedangkan hakikat sebaliknya mungkin boleh terjadi. Kita meramalkan Barcelona akan menang bola dalam perlawanan berikutnya berdasarkan kemenangan sekarang. Hakikatnya, Barcelona juga boleh kalah apabila berlawan dengan kelab kecil, Hercules yang baru dipromosikan ke La Liga.

Bagi sesetengah orang - walaupun mereka optimis terhadap apa yang bakal berlaku, tetapi pada masa yang sama memasukkan unsur-unsur pesimistik dalam jangkaan depan mereka. Unsur-unsur pesimitik ini, diharapkan menjadikan ramalan lebih tepat. Ia telah mengambil kira kemungkinan lain. Misalnya, walaupun kita yakin akan siap PhD pada tempoh masa yang ditetapkan, kita juga memasukkan kemungkinan lain yang akan berlaku. Ini menyebabkan sasaran kita dipanjangkan sedikit.

Ada pula orang, dalam meletakkan jangkaan, sudah mengaku kalah sejak awal lagi. Mereka ini ialah orang pesimistik dengan masa depan. Mereka tidak melihat akan berlakunya kejayaan pada masa depan.

Siapakah manusia yang terlebih baik. Banyak kajian dalam hal ini. Tetapi hari ini aku berasa pesimitik untuk menulis hal ini.

Mengapa kawan aku bimbang? Dia telah meramal masa depannya secara optimistik, tetapi pada masa yang sama telah memasukkan unsur-unsur kemungkinan negatif di dalamnya. Dia meramal akan siap dengan sempurna, dan akan lulus dengan cemerlang. Tetapi dia juga telah memasukkan kebarangkalian lain mungkin terjadi.

Nota untuk penyelidik - kajian bagi hal ini banyak dijalankan oleh Kahneman & Tversky.

Thursday, 25 November 2010

Inilah bisnis putar alam

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda tentu telah membaca berita muka depan Utusan Malaysia berkaitan 13 orang yang ditahan kerana menyeleweng diesel bersubsidi.

Aku ingin menceritakan hal diesel, tetapi ia diesel yang lain.

Tahun 2006, seorang kawan baik aku - seorang pesara tentera telah mengajak aku ke satu hotel di Ampang - kerana katanya ada orang mengajaknya melakukan bisnis diesel. Diesel ini kononnya diambil dari lebihan kapal dagang dari tengah laut.

Tugas aku bukanlah untuk berniaga diesel. Kawan aku kata, kerana aku orang psikologi - aku patut membantunya memberikan penilaian aku terhadap perbincangan yang diadakan itu, sama ada benar atau palsu.

Sesampai di hotel jam 8 malam, sudah ada beberapa orang di sana. Aku tidak begitu ingat jumlahnya. Mungkin lebih 10 orang. Ada juga seorang dua tauke Cina. Juga beberapa orang lain, sepertinya orang yang ada wang. Tidak pastilah mereka ini benar-benar ada wang, atau hanya berlakon sahaja. Dunia bisnis selalunya penuh dengan muslihat dan penyamaran.

Aku duduk di celah-celah mereka. Sambil menyedut beberapa batang rokok. Tetapi, aku tidak bercakap dengan mereka, kerana aku tahu, aku tidak ada wang berjuta-juta seperti yang mereka bincangkan itu. Aku hanya memerhatikan mereka bercakap. Aku memerhatikan bibir dan mata mereka.

Dari apa yang aku dengar, untung dari pembelian dan penjualan diesel ini hanya beberapa sen sahaja per liter. Tetapi memandangkan ia melibatkan jumlah yang besar, maka setiap orang mungkin akan mendapat ratusan ribu ringgit. Takut aku mendengarnya.


Lebih kurang pukul 11 malam, mesyuarat berakhir. Kawan aku bertanya pandangan aku.

Aku membuat kesimpulan yang mudah - semua ini karut. Semua ini hanya bisnis putar alam untuk mengaut wang orang lain.

Aku berhujah bahawa bisnis minyak ini antara yang paling tua dalam dunia. Jarang ada orang yang rugi kerana bisnis minyak. Jadi - kalaulah benarlah peluang bisnis diesel ini wujud - mengapa perlu diajak orang lain, apatah orang kecil seperti kawan aku. Semua orang yang sudah berniaga dalam sektor ini tentu tidak akan melepaskannya kepada orang lain.

Lebih mencurigakan aku apabila setiap yang ingin terlibat perlu mengeluarkan modal. Adakah tauke-tauke dan pelobi bisnis ini tidak ada wang?

Kalau juga bisnis diesel ini untungnya besar, bukanlah manusia yang tidak tahu apa-apa pasal minyak pula yang diajak berniaga. Dalam Malaysia - kita ada berpuluh-puluh syarikat minyak. Mereka inilah yang akan berniaga. Mengapa diajak bekas tentera seperti kawan aku berkongsi modal. Kerana bisnis minyak ini bernilai jutaan ringgit, apalah sangat modal beberapa puluh ribu. Ia ibarat mencurah tahi telinga ke dalam tandas sahaja.

Tapi - inilah helah manusia untuk hidup. Inilah helah untuk memerangkap orang lain. Mereka memberitahu kita berita indah dahulu. Inilah helah kaki sebelah pintu seperti yang aku tulis dulu. Mereka menjanjikan memberikan paha, sebab itu mereka minta kita korbankan sedikit dengan sebatang jari.

Kawan aku bersetuju. Dia tidak menjerumuskan dirinya untuk menjadi manusia yang kaya lebih awal.

Lama sesudah itu - aku terfikir hal lain pula. Aku terasa bisnis diesel ini mungkin wujud. Tetapi ia bukanlah dari lebihan kapal dagang seperti yang dikatakan itu. Ia mungkin dari sumber diesel bersubsidi ini. Ia boleh jadi. Aku tidak tahu.

Aku juga tidak tahu apa kesudahan bisnis putar alam itu. Aku tidak pernah kenal mereka, dan tidak akan berhasrat untuk kenal mereka.

Kalau anda juga - diajak berniaga berlian atau intan, atau mutiara - yang kononnya menjadikan anda kaya lebih cepat, berhati-hatilah. Kalau ia perniagaan yang akan menjadikan seseorang itu kaya lebih cepat, mereka tidak perlu mengajak anda. Mereka sendiri akan melakukannya. Siapakah manusia yang bodoh untuk berkongsi kekayaan dengan anda?

Anda mahu menulis?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini entry aku yang ke 609. Aku tidak tahu berapa banyak lagi tulisan aku yang akan muncul. Kalau boleh, semua perkara dalam dunia ini aku cuba tulis. Tetapi, nampaknya ia hal mustahil. Aku juga mungkin akan lama lagi di bumi Adelaide ini. Kian hari, kian membosankan. Kian hari, kian tidak membahagiakan.

Apa lagi yang patut aku tulis. Aku kalau boleh - ingin menjemput orang lain yang menulis di blog ini. Menulis hal psikologi. Misalnya, 'apa yang anda faham dengan perasaan anda?. Setiap hari, perasaan kita berubah. Ada waktunya, ia gembira. Dalam beberapa minit kemudian ia berubah menjadi sedih. Adakalanya takut. Pada saat yang lain, ia tiba-tiba terasa tenang. Mengapa perasaan kita boleh jadi seperti itu.

Siapa yang mahu menulis bab perasaan? Ceritakan perasaan anda sepanjang sebulan atau beberapa hari ini. Ia mungkin terkait dengan beberapa peristiwa lain. Itu sahaja.

Nnati kita cuba lihat apa sebenarnya persamaan atau perbezaan perasaan manusia. Adakah perasaan ini wujud disebabkan dorongan luar (misalnya tekanan, putus hubungan), atau sememangnya itulah perasaan kita. Ia akan turun naik setiap hari.

Ada berani?

Nanti selepas itu kita kuliahkan bab perasaan atau feeling.

Wednesday, 24 November 2010

Apa sudah jadi dengan PKR

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seseorang bertanya aku, apa sudah jadi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Sebagai orang tidak berparti - aku tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Parti yang tertubuh sejak era reformasi lewat tahun 1990-an, yang kelihatannya begitu menonjol dalam pilihanraya 2008, kini kelihatan sebaliknya. Ia seolah-olah sedang ditimpa badai dengan satu demi satu cerita yang tak kunjung padam. Cerita lompat parti beberapa ahli dewan undangannya di Perak - menutup terus harapan Pakatan Rakyat memerintah di negeri itu.

Ia kemudiannya disusuli pula dengan beberapa orang kanan parti - yang kebanyakan ahli parlimen, bertukar haluan menjadi ahli politik bebas. Yang terbaru, salah seorang pemimpin kanannya, Datuk Zaid Ibrahim keluar dari parti yang baru disertainya. Ia keluar dengan beberapa kenyataan akhbar yang sedikit sebanyak menjejaskan reputasi PKR.

Apa sebenarnya yang berlaku. Kita tidak tahu. Kita juga tidak perlu ambil tahu.

Sebenarnya, itulah hakikat yang perlu dilalui oleh hampir semua organisasi yang ada di dunia ini. Proses ini sebahagian dari sifat organisasi sebelum mencapai kestabilannya.

Dalam psikologi - Kurt Lewin adalah orang yang banyak bercakap hal ini. Dikatakan setiap organisasi akan melalui proses unfreeze-->change--->freeze. Keadaan yang tidak stabil itu diperlukan bagi membolehkan perubahan atau penstrukturan dilakukan. Lama kelamaan, sebagai satu proses, ia akan menyebabkan sesebuah organisasi stabil (freeze).

Sebab itu - dalam organisasi moden hari ini - penstrukturan syarikat sering dilakukan. Dalam keadaan yang stabil, tiba-tiba kita dikejutkan dengan pertukaran pegawai kanan, atau pengurangan pekerja. Apa sebabnya?

Kadangkala, ia bukan disebabkan kegagalan organisasi. Ia dilakukan bagi membolehkan organisasi lebih cekap, dengan idea baru. Sebelum ini dalam keadaan yang stabil, semua orang sudah berada dalam zon selesa. Orang tidak mahu berusaha lebih kuat lagi. Dengan membuat sedikit kejutan (unfreeze) - ia akan menyebabkan organisasi berubah dengan lebih cekap.

Bagaimana dengan PKR?

PAS dan UMNO mungkin tidak bakal menjadi parti utama kalau ia tidak melalui proses ini. Ada yang presiden partinya keluar dan menubuhkan parti lain. Ada pula yang terpaksa berhenti di tengah jalan. Semua ini, menjadikan parti kian kuat. Bagaimana pun, dalam masa panjang, kedua-dua parti ini perlu melakukan kejutan agar ia tidak selalu berasa selesa.

Begitu juga PKR. Begitu juga kehidupan kita sebenarnya. Kita tidak boleh selamanya beku. Perlu dicairkan dengan kejutan tertentu.

Update PhD - versi hujung tahun II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kajian aku yang terakhir - yang ke 7 sedang berjalan. Aku harap tidak ada lagi kutipan data selepas ini. Banyak masa yang telah digunakan. Wang juga tentunya tidak sedikit. Begitulah mungkin sedikit sebanyak cerita panjang untuk mendapatkan PhD. Kalau satu hari nanti, anda terasa untuk membeli PhD ini - mungkin cerita dari blog ini boleh digunakan untuk menutup rahsia anda itu.

Orang boleh beli PhD? Banyak caranya. Anda boleh menggoogle. Membuat PhD secara online, tanpa tahu di mana lokasi universiti - dan siapa pula penyelianya, itu mungkin sebahagian caranya. Ijazahnya pula boleh dikeluarkan oleh mana-mana universiti. Kalau orang pun boleh dijual beli, apa sangat dengan sekeping ijazah PhD.

Pagi tadi, aku membuka email. Satu kertas aku yang dihantar ke satu jurnal, sudah siap dibaca. Aku ingat, dalam sehari dua ini aku akan tahu keputusannya. Aku tidak lagi mengharapkan apa-apa. Kalau diterima, aku bersyukur. Kalau ditolak, ia sebahagian dari kehidupan orang yang sedang belajar seperti aku.

Untuk anda yang mungkin tidak perlu menulis jurnal, yang tidak ada kena mengena dengan pekerjaan atau kehidupan anda, tidak perlulah menulis jurnal. Ia memakan masa, dan menuntut kekuatan emosi yang tinggi.

Tapi, kalau anda orang awam - yang sesekali terasa ingin menulis sesuatu yang anda rasa ada manfaatnya, ia sesuatu yang sangat baik. Menulis jurnal tidak semestinya anda perlu berkerja di universiti. Asalkan anda tahu sedikit sebanyak hal metodologi, statistik dan latar teori - atau dalam kata lain, anda berjiwa penyelidik - tetapi berada di luar universiti - mungkin sesekali boleh mencuba.

Setiap kali menghantar makalah - kertas kita lazimnya akan dinilai oleh 3 orang - editor dan dua orang penilai yang tidak kita kenali. Kecuali editor, dua orang penilai itu juga tidak tahu siapa kita. Adakalanya ada 3 penilai. Ia seperti sistem juri. Jika seorang menolak, dan seorang menerima, maka editor yang akan membuat 'check-mate' di situ. Kalau kedua-duanya menolak, maka berakhirlah cerita jurnal tadi. Boleh mencuba lagi di tempat lain, walaupun biasanya keputusan tidak begitu banyak berubah - sebab kemungkinannya orang yang sama juga akan menilai kertas kita. Dalam satu-satu bidang, biasanya hanya beberapa orang sahaja yang pakar. Mereka ini jugalah akan diminta menilai kertas, walaupun mungkin untuk jurnal yang lain.


*********************************

The history of manuscript number XXXX, submitted to International Journal of Stress Management, is as follows:

Date
Action
11/23/2010
Reviews Returned
10/26/2010
Review Reminder Sent
10/01/2010
Assigned to Action Editor (Glazer)
10/08/2010
Reviews Requested
10/08/2010
Desired Reviewers Identified
09/20/2010
Assigned to Action Editor, Needs Desired Reviewers (VandenBos)
09/13/2010
Manuscript File Created
09/11/2010
Manuscript Submitted

Tuesday, 23 November 2010

Selamat datang ke Dannork!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebahagian dari berita yang tersiar di Berita Harian hari ini.

********************
Pekerja seks berkahwin lelaki tempatan untuk kesenangan

DANOK, THAILAND: Segelintir lelaki Malaysia yang kemaruk beristeri lebih, dikesan menjadikan pekerja seks dan tukang urut Thailand sebagai sasaran untuk dijadikan isteri mereka sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, kebanyakan lelaki terbabit berkunjung ke sini untuk berfoya-foya di pusat hiburan yang banyak di sini dan berlagak sebagai orang kaya sebelum mengajak pekerja tempat berkenaan berkahwin.

Imam Masjid Fathuislami yang juga Jurunikah Bertauliah selatan Thailand, di sini, Sufian Ismail, berkata kebanyakan wanita terbabit berkahwin semata-mata kerana mahukan kemewahan dan tidak pernah memeluk Islam sepenuh hati.
Bagaimanapun, katanya, apabila menyedari suami mereka itu bukanlah orang kaya dan tidak mampu menampung kos sara hidup mereka, ramai dikalangan wanita terbabit kembali kepada pekerjaan dan agama asal selepas bercerai.

Apabila bercerai, wanita itu kembali kepada agama asal mereka atau murtad serta bekerja semula sebagai pekerja seks. Bekas suami itu juga hanya membiarkan bekas isteri mereka itu murtad, katanya ketika ditemui, di sini.

*************************

Sebenarnya itu adalah realiti kehidupan yang tidak diketahui oleh banyak orang baik. Dannork, ialah pekan kecil di selatan Thailand, sangat dekat dengan rumah aku. Jaraknya sekitar 8 kilometer. Ketika aku kecil - aku selalu sahaja berbasikal dari rumah ke Bukit Kayu Hitam yang letaknya bersebelahan dengan pekan Dannork.

Aku tidak begitu pasti apa maknanya Dannork - mungkin berasal dari patah kata 'darn'' - sempadan, 'nork' - luar. Ia mungkin membawa maksud sempadan luar.

Di pekan kecil itu - rata-rata masyarakatnya boleh berbahasa Melayu. Ia menempatkan deretan kedai yang menjual buah-buahan dan barangan lain. Selain itu - bandar itu hidup kerana ia menempatkan begitu banyak rumah pelacuran. Ia mungkin pelacur kelas bawah sahaja. Tetapi, kalau dibandingkan dengan pelacur di Lorong Haji Taib, pelacur di sini lebih muda. Banyak daripadanya tidak memilih menjadi pelacur. Khabarnya ia dijual oleh keluarga mereka bagi mendapatkan wang.

Kalau kita melalui lorong-lorong di situ - pelacur ini berkeliaran di depan rumah urut dan disko. Bertubuh putih, gebu dan berpakaian seksi seperti orang barat. Itu mungkin sifat pekerjaan mereka. Di celah-celah itu - terdapat sebuah masjid. Ia menggunakan bahasa Siam. Banyak juga kedai makan yang bagus di pekan itu.

Aku tidak begitu pasti sudah berapa kali aku pekan Dannork. Mungkin banyak kali juga. Untuk warga setempat seperti kami - walaupun pasport atau 'border pass' diperlukan, sesekali kami boleh memasuki pekan itu dengan selamat tanpa perlu mempunyai dokumen itu. Kita perlu membayar RM5 kepada pegawai imigresen Thailand, dan memberitahu mereka kita cuma ke pekan itu. Lebih mudah, kalau kita berbahasa Siam.

Banyak anak-anak muda di kampung aku - membesar dengan cara hidup dan angin budaya Dannork. Banyak daripada mereka lebih memuja kumpulan rock Carabao, berbanding dengan kumpulan rock tempatan. Gaya berpakaian pun sepertinya mengikut rentak orang Thailand.

Ada di antaranya yang hidup dan matinya di pekan itu. Mereka menoreh getah sehari dua, atau berburuh beberapa hari dan kemudiannya melangkah sempadan bermalam beberapa hari di sana. Ada yang pergi pagi pulang malam. Besok pagi pergi lagi. Ada yang hidup terus di sana, menunggu kalau-kalau ada sesiapa yang bakal menaja mereka semalam dua. Dalam bahasa Siam - kita menyebut hal ini sebagai 'liang'. Ia sudah menjadi budaya bagi kebanyakan anak muda pinggir sempadan. Wang mereka banyak dihabiskan untuk mendapatkan berahi wanita seks di pekan Dannork itu. Ada yang baru sahaja berusia belasan tahun - 15 tahun atau 16 tahun, mungkin ada yang lebih muda lagi sudah mengenal selok belok rahsia wanita dari pekan kecil itu, tatkala teman mereka yang lain sedang sibuk menghafal sifir di sekolah.

Selain wanita, ada di antaranya yang menghabiskan hidup di situ dengan meneguk arak '
Mekhong', pil kuda, ganja dan bermacam-macam lagi.

Dannork bukan pekan untuk anda menyampaikan khutbah. Ia pekan untuk anda menghidupi alam muda serba menyeronokkan.

Ramai di antara anak-anak muda ini - yang kemudiannya jatuh hati dengan gadis pelacur ini. Mereka berkahwin. Satu hal yang baik - mereka membawa keluar pekerja seks ini ke dunia nyata. Yang tidak Islam, menjadi manusia baru yang baik. Mereka ini mampu mengislamkan orang bukan Islam.

Bagaimana pun, banyaknya yang gagal. Gagal bukan kerana wanita bekas rumah urut itu tidak mahu menghidupi kehidupan normal. Gagal kerana suami - yang bukanlah seorang baik-baik - yang hidupnya tidak banyak berkira hal hukum hakam - seorang pelanggan seks tegar, gagal memandu kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka. Mereka tidak boleh mengajar isteri saudara baru bersembahyang. Ada yang tidak tahu bagaimana caranya mandi wajib. Ada yang tidak ambil 'port' hal puasa dan keagamaan yang lain.

Apa yang hendak kita katakan? Mereka bukan orang alim. Mereka manusia yang jiwa kacau. Lelaki yang hidupnya bertemankan gadis yang menawarkan cinta yang berbayar.

Takdir mereka - pelanggan seks, kemudiannya menghawini wanita yang hidupnya memenuhi berahi nafsu manusia. Tetapi tentulah kehidupan akan lebih baik kalau mereka sedikit berubah. Tidak mengapalah kalau ditakdirkan mereka mengahwini wanita itu. Ia lebih baik dari mereka melangganinya. Ada hal halal dan haram dalam dua perkara itu. Buku lama sepatutnya ditutup, buku baru patut dibuka.

Ada beberapa orang - wanita dari rumah seks ini yang aku lihat menjadi manusia suci, lebih murni dari suaminya orang tempatan. Mereka ini bertudung menutup aurat. Ada yang mencari jiran-jiran untuk mengajari mereka hal agama. Ada yang kematian suami - tetapi tetap terus hidup di kampung kami sebagai manusia Muslim yang baik. Ada dua orang seperti ini di kampung aku. Mereka seolah-olahnya menjadi manusia baru. Tabik untuk mereka.

Cuma sayangnya - ada yang suaminya tetap terus mengunjungi Dannork dan mencari perempuan lain. Mereka tetap menjadi manusia lama yang jauh dari agama. Akhirnya, isteri mereka lebih terdorong untuk terus hidup dengan budaya dan kepercayaan lama, walaupun hakikatnya mereka sudah diIslamkan. Ada yang melarikan diri dan kembali ke tanah air mereka. Tidak pastilah sama ada mereka kembali ke agama asal atau tidak.

Ada pula yang dihinggap wabak HIV.


Ini hal yang sedikit malang.

Selamat datang ke Dannork. Kota syurga yang membawa ke pintu neraka!

Monday, 22 November 2010

Siapa yang mampu meramal hidup?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Musim panas sudah tiba. Suhu sejuk tiba-tiba menjadi panas. Inilah keadaan di negara 4 musim. Sesuatu yang aku tidak pernah bayangkan ketika aku masih kecil. Sama seperti tidak pernah aku impikan untuk singgah di Adelaide. Kini, sudah 3 tahun lebih aku di sini. Bagaimana dengan tahun-tahun mendatang? Tidak siapa yang bakal tahu apa yang bakal terjadi dalam hidup kita. Kita hanya menulis mimpi dalam kotak fikir kita.

Sebelum aku ke sini - aku memohon beberapa buah universiti. Banyaknya di UK. Aku tidak ambil tahu pun sama ada ia universiti besar atau kecil. Antara yang aku ingat ialah Sheffield University. Tetapi ia sepertinya banyak kerenah. Ia universiti yang baik dalam bidang aku. Aku juga memohon di Leeds. Tetapi ditolak. Antara yang menerima aku ialah University Manchester. Masalah lain pula timbul. Tiba-tiba penaja sepertinya tidak lagi membenarkan kami ke UK. Juga beberapa buah universiti besar di New Zealand. Tetapi banyak yang menolak. Maka pilihan yang aku ada ialah di Australian National University dan University of South Australia.

Mengapa aku ke sini? Sebenarnya selisih masa 3 hari yang membawa aku ke sini. Aku menerima tawaran dari universiti ini cepat 3 hari dari universiti yang satu lagi. Itu sahaja yang menyebabkan aku sampai ke sini. Sebelum itu juga, supervisor aku (waktu itu belum) mengirimkan aku beberapa artikel untuk aku baca. Jadi aku anggap beliau orang baik yang boleh dibawa berbincang. Setelah 3 tahun di sini, memang sangkaan aku benar. Beliau orang baik.

Itulah kehidupan. Masa berlalu begitu pantas setiap hari. Sehebat mana pun kita, siapa pun kita - tidak ada seorang pun tahu apa yang bakal berlaku dalam kehidupan depan kita.

Orang sangka dengan ada PhD bakal menjadikan manusia itu bijak dan dihormati. Belum tentu lagi. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi dalam kehidupan kita. Siapa yang mampu meramal kehidupan? Tidak ada. Kita hanya berharap sahaja. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Ulangtahun ke-11

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Malam semalam, isteri aku tanya: mana hadiah? Aku tanya: hadiah apa pula? Dia tanya balik: Tau tak ini hari apa? Aku bertanya balik: Hari apa pula?

Baru aku tahu yang aku kian tua untuk mengingat banyak perkara penting dalam hidup.

Rupanya kelmarin genaplah 11 tahun perkahwinan aku. Aku terasa baru beberapa hari dulu. Semasa hari perkahwinan, rombongan aku bertolak dari Changlun ke Pantai Remis, di Perak. Perjalanan yang agak jauh. Melewati lebuhraya. Melalui jalan berliku ladang kelapa sawit sebaik sahaja memasuki jalan susur tol Changkat Jering. Berjumpa dengan 3 pekan kecil dan bangunan kayu lama.

Dalam setengah jam lagi ke rumah pengantin - baru aku teringat, aku tidak memakai stokin. Baju Melayu juga tidak berbutang. Maklumlah, ini perkahwinan pertama aku. Aku berjanji, kalau aku diberi peluang mempunyai satu lagi isteri - aku pasti tidak mengulangi kesilapan kecil itu!

Kalau orang bertanya aku - apa maknanya perkahwinan, aku hanya boleh menjawab dengan cara yang mudah. Perkahwinan itu tidak akan sama dengan alam percintaan. Perkahwinan ialah hakikat sebuah kehidupan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails