Yang Ikut

Showing posts with label PhD. Show all posts
Showing posts with label PhD. Show all posts

Monday, 8 July 2013

Kajian filem Hindi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku mengadakan bengkel SEM-AMOS di Bandar Baru Bangi.

Sebab ia berkait dengan penyelidikan,  mungkin ada baiknya kita mulakan tulisan kali ini dengan tajuk seumpama itu.

Apa yang selalu kita jangkakan daripada filem Hindustan?

Biasanya hero akan kalah dahulu, dan menang kemudian. Dalam filem Hindi juga, ia diplotkan dengan jalan cerita yang sama, menari, sari, keretapi, bunga dan hero yang susah untuk mati. Ia akan berakhir dengan happy ending

Ia adalah plot cerita sejak berpuluh tahun lamanya.

Fokus. Fokus. Fokus. Apa yang fokus?

Ringkasnya, jalan ceritanya sudah sedia difahami dan dijangkakan. Tiada pembaharuan. Semuanya sudah boleh mengagak apa yang berlaku dan apa yang bakal berlaku. Kalau ada yang berubah pun, hanya pelakonya sahaja.

Begitulah analoginya kalau penyelidikan kita juga menggunakan pendekatan yang sama. Plotnya mudah difahami. Walaupun masa tayangnya panjang, keputusannya sudah boleh dijangkakan. Tiada perubahan yang mengkagumkan. 
AMOS tidaklah merupakan software yang susah. Tidak juga canggih. Pada akhirnya, ia hanya sekadar alat pemprosesan data. Ia tidak akan menambah apa-apa kalau kaedah kutipan data dan metodologi yang digunapakai tetap menggunakan pendekatan lama.

Apakah plot penyelidikan kita?

Cross-sectional. Menambah beberapa pembolehubah baru. Mengulang-ulang kajian lama. Tebal. Bagaimana pun, apa yang kita tulis dan kaji mungkin sudah boleh dijangkakan dan diketahui ulang. Pelakonnya (aka. responden) mungkin berlainan. Tetapi, ceritanya sama sahaja. 

Ia seperti filem Hindustan. Penat ditonton, tetapi membosankan. 
Ini pelajar aku yang sudah menjadi pelakon utama dalam kebanyakan workshop yang aku adakan. Yulita, seorang pelajar Ph.D - Bright Sparks, dan Fiza, seorang pelajar master. Kedua-duanya menggunakan analisis longitudinal dan multi-level.
Begitulah berakhirnya sebuah penyelidikan kalau kita tidak berani berubah. 

Siapakah yang patut menjadi agen perubahan?

Sunday, 30 June 2013

Bagaimana kalau?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

*Gambar dipinjam daripada Sharon. Yang mana satu Sharon?

Bagaimana kalau? Penyelidikan adalah berkisar pelbagai kemungkinan. 

Inilah antara topik bengkel statistik yang aku adakan 26-27 Jun lalu di UM. 

Minggu hadapan aku di Unimas. Kali ini hal yang lain. Isu berkaitan 'Mediation vs Moderator'. Ada banyak perdebatan mengenai hal ini. Ia banyak diulas oleh Baron & Kenny, dan juga McKinnon. 

Kemudiannya aku di Bangi. Ia hanya berkisar statistik AMOS. Kemudiannya di UM. Kali ini hal menulis pula.

Apakah yang lebih utama? Software statistik yang hebat atau tajuk yang ganas?

Kedua-duanya tidaklah terlebih utama daripada kaedah kutipan data. 

Nanti aku ulas kalau ada masa.

Monday, 25 February 2013

PhD: Metodologi atau topik?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mana yang patut diketahui terlebih dahulu, topik atau metodologi? Tanya seorang pelajar.

Ia soalan yang saling berkait. Ia seperti bertanya apa yang patut kita miliki terlebih dahulu, buah tembikai atau pisau. Kalau buah tembikai ialah topiknya, metodologi itulah pisaunya. Buah tembikai tanpa pisau untuk memotong menjadikan buah tadi mungkin hancur terburai. Pisau tanpa ada benda hendak dipotong mungkin tidak berguna juga.


Bagaimana pun, dengan pisau yang baik, kita boleh memotong banyak perkara. Tidak hanya buah tembikai, tetapi juga daging dan ikan. Semakin tajam pisau yang kita ada, banyak perkara yang boleh kita lakukan. Semakin banyak pisau yang kita ada, semakin banyak buah yang boleh kita kupas.


Sebagai pengkaji, tidak hanya buah sahaja yang patut menjadi topik tumpuan kita. Kita sesekali mungkin cuba mencari jalan lain yang lebih baik. Kita mungkin berkata bahawa pisau yang sedia ada, yang banyak diguna orang mungkin tidak relevan. Kita boleh mencadangkan agar pisau jenis lain pula yang patut digunakan untuk memotong buah tembikai.


Dalam konteks seperti ini, topik kajian kita tidak lagi tertumpu kepada buah, tetapi pisau. Ini hal yang jarang diambil kira dalam banyak kajian kita. Misalnya, kalau kita katakan kajian mengenai pelajar sekolah selama ini hanya berkisar kepada soal selidik, adakah tidak mungkin kalau kita gunakan kaedah experimen. Kita boleh berhujah bahawa sekalipun keputusan yang ditemui dalam banyak kajian selama ini sebenarnya hanya menggunakan kaedah survey. Dapatan berbeza mungkin diperolehi kalau menggunakan experimen.


Trend penyelidikan sains sosial sekarang sebenarnya tidak lagi berkisar hal topik atau responden. Tetapi banyak daripadanya telah berubah kepada penghujahan berkaitan metodologi. Kaedah diari misalnya, antara kaedah yang klasik dan telah hampir dilupakan. Mutakhir ini, ia nampaknya muncul kembali dalam banyak jurnal besar.


Kenapa? Sebab kelihatanya ia mampu mengulas isu 'dyad' dan menapis isu 'common-methods variance". 


Begitu juga dengan cara mengutip data pada peringkat individu. Banyak pengkaji terkenal sudah mempertikaikan masalah data tahap individu. Mereka ini mempopularkan kaedah multi-level pula.


Jadi, isu topik sebenarnya sudah tidak menjadi perdebatan yang hangat. Metodologi itu sendiri sudah boleh menjadi satu 'kelompangan' kajian yang boleh diterokai.


Itulah juga memungkinkan seseorang boleh dianggap sarjana atau tidak.

Saturday, 9 February 2013

Kepuasan ahli akademik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Satu hari aku bertanya kepada pelajar aku, "Apakah yang yang paling menyeronokkan hidup sebagai pensyarah?". Mereka memberikan beberapa jawapan. Semuanya tidak betul.

Aku katakan: "Aku sangat merasa puas kalau pelajar aku menjadi pandai, dan lebih baik dari kebanyakan orang'.

Ia kepuasan yang sangat indah. 

Sekarang ini, beberapa orang pelajar aku sudah boleh menjadi mentor kepada orang lain, bahkan kepada pelajar ijazah tinggi juga. Mereka ini boleh mengajarkan orang lain hal statistik. 

Setiap kali kalau aku terserempak dengan mereka yang sedang mengajarkan pelajar lain tentang statistik, aku merasa itulah antara keindahan seorang ahli akademik. Sekurang-kurangnya kita tahu, kita sudah memberikan manfaat kepada pelajar kita. Pelajar kita pula memberikan manfaat kepada orang lain.

Bayangkanlah guru yang mengajar kita di sekolah rendah? Mereka ini antara manusia terhebat yang sering kita lupakan.

Sekarang ini, selain melakukan pekerjaan rutin sebagai pengajar, aku sedang merangka program melatih pelajar menjadi pengajar. Mereka akan memberikan latihan statistik kepada pelajar yang memerlukan.  Aku masih akan berada di dalam kelas, kerana aku perlu mengajar mereka bagaimana untuk mengajar.

Untuk Siri 1 ini, kami akan mengadakan Bengkel AMOS. Kemungkinannya di hujung Februari nanti. Ia bakal dikendalikan oleh pelajar PhD aku, Yulita. Siri berikutnya ialah HLM. Tarikhnya belum dipastikan. Pengajarnya juga belum dipastikan.

Anda yang berminat boleh datang. Seperti biasa, hubungi aku dulu. Anda berkemungkinan diminta untuk membayar sedikit 'token' bagi membolehkan mereka membiayai penyelidikan mereka.


Saturday, 15 December 2012

Ayat pertama dengan bakal penyelia?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
"Saya sangat berminat dengan bidang ini. Saya berharap dapat berjumpa Tuan untuk membincangkan hasrat saya menyambung pelajaran peringkat Sarjana". 

"Psikologi, saya rasa bidang yang sangat relevan dengan kerja saya. Saya ingin sekali menceburi bidang psikologi. Kalau boleh, saya ingin bertemu dengan pihak Tuan".

Inilah adalah bentuk-bentuk email yang selalu aku terima. Bagaimana pun, ada hal yang patut diketahui oleh para pelajar yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Surat, atau hasrat seperti ini tidak memberikan apa-apa.

Anda perlu tahu dengan siapa anda berhubung. Daripada situ, anda perlu tahu apa minat dan bidang mereka. Sekalipun anda berminat dengan bidang kejuruteraan misalnya, anda tidak boleh merasakan tajuk yang berkaitan kimia organik sesuai untuk dikemukakan kepada mereka yang pakar dalam bidang kejuruteraan sivil. 

Anda juga sepatutnya tahu bidang spesifik orang yang anda hubungi. Kalau seseorang menghubungi aku untuk melakukan kajian dalam bidang psikologi kanak-kanak misalnya, aku tidak berhasrat melayannya. Ia bukan bidang yang aku ketahui.

Berbincang hal secara umum juga adakalanya tidak membantu. Sebaiknya bacalah beberapa artikel berkaitan dengan bidang yang bakal anda terokai. Jadi, ia akan menjadi mukadimah yang baik untuk anda menghubungi bakal penyelia anda. Misalnya, "Saya ada membaca beberapa kajian oleh Bakker & Demerouti berkaitan burnout. Saya dapati kajian mereka masih tidak memadai. Ini kalau diasaskan kepada kajian Zapf & Dormann, misalnya, ditunjukkan bahawa burnout akan hanya menyebabkan kemurungan hanya setelah beberapa tahun seseorang mengalami burnout. Jadi, saya ingin ...."

Membaca email seperti ini menjadikan bakal penyelia akan 'teruja' dengan anda. Begitulah cara yang sepatutnya anda memperkenalkan diri dengan orang yang tidak mengenali anda.

Ia seolah-olah menunjukkan anda telah mula menyelongkar bidang yang ingin dikaji, dan bukan hanya sekadar menunjukkan minat sahaja. Ia juga memudahkan orang seperti kami mencadangkan apa yang sepatutnya dibaca lagi, atau apa topik kajian yang boleh dilakukan.

Minat sahaja tidak memberikan apa-apa makna. Mesti ada bukti bahawa anda seorang yang berminat. Bukti itu mestilah datang dari pembacaan, dan bukannya angan-angan.


Wednesday, 12 December 2012

Mengapa manuskrip ditolak?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Malam ini, sekali lagi kertas aku ditolak. Ia merupakan kajian cross-sectional. Kajian yang sememangnya popular di tempat kita. Sebab itulah, aku tidak mahu membenarkan pelajar aku membut kajian cross-sectional. Anda boleh menghantar ke 50 jurnal sekalipun, ia ditolak juga. Anda mungkin mahu membaca alasannya. Anda juga mungkin ingin belajar sesuatu daripadanya.

Mengapa aku tidak menghantar kertas kajian menggunakan longitudinal data? Ada. Tetapi aku menghantarnya ke tempat lain.


Dear Dr Idris

Thank you for your submission of "XXXXX" to the Journal of Occupational and Organizational Psychology (JOOP).  I read through the paper carefully and have decided not to send it out for further review.  In my reading of the paper, I have reservations regarding its consistency with JOOP's policy and its eventual success in the review process.  I outline my major concerns below.

1.  It is JOOP policy to consider papers based on cross-sectional data only in rather unusual circumstances (please see our notes for contributors as well as editorials in Volume 80 part 1 and Volume 84 part 4).  Your paper is based on such, correlational, data, despite its very interesting sample.  The hurdle for making a significant new contribution is therefore quite high. Of course, the cross-sectional nature of the data makes it difficult to identify likely causal directions and explanations. You suggest some interesting possible causal connections between variables in your paper, but on the whole I don't think your data are able to establish whether these are correctly specified.  Some element of longitudinal data could be an enormous help in developing a paper that could make a stronger contribution.

2.  Related to the former point, mediational processes may be examined using procedures such as proposed by Baron and Kenny (1986), MacKinnon et al. (2002) or Preacher et al. (2004; 2007), but in the absence of real longitudinal data the concepts of interest can be shuffled around in a random fashion, similar to what happens in the shell games played by swindlers attempting to separate unsuspecting tourists from their money.  Results of the cross-sectional version of the mediation game are about as trustworthy as those of the infamous shell game; you may think you know where the ball is, but chances are that you are completely wrong.
This is different when one has access to a longitudinal data set. Two-wave studies will give some indication of the presence and direction of a potential mediational process (cf. Cole & Maxwell, 2003). Ideally, the full mediation model can be tested when at least three or more waves are available, yielding the best estimate of the strength of a mediational process (cf. Taris & Kompier, 2006).

Since we value novelty, these are important limitations, especially in the light of the fact that we currently receive so many submissions that we must be very selective in deciding which papers should progress to the reviewing stage (i.e., which papers are potentially promising enough to be candidates for publication).

I understand that this is likely to be a disappointing decision; however, I felt it best to act more quickly in giving you a chance to submit this to another journal rather than waiting on a review process that was unlikely to lead to a favorable outcome.  I wish you the best of luck as you seek to publish this paper in another outlet and look forward to reading more of your work submitted to JOOP.

Warm Regards,

Friday, 7 December 2012

Bagaimana untuk gagal PhD?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ada seseorang bertanya, adakah yang gagal PhD?

Kita selalu bercakap hal indah. Ada juga hal yang buruk.

Banyak dari kes kegagalan PhD bukanlah kegagalan dalam istilah sebenarnya. Kegagalan ini dalam erti kata tidak sempat siap, sedangkan tempoh maksimum pengajian sudah tamat. Ia selalu berlaku di kalangan pelajar sains apabila experimen tidak mahu menjadi. 

Ada yang tidak dibenarkan untuk meneruskan pengajian setelah gagal 'candidature defence'. Panel merasakan tajuk atau topik atau skop kajian tidak relevan dan mencapai tahap kesarajanaan PhD. Hal seumpama ini banyak berlaku di luar negeri.

Ada juga pelajar yang tidak sehaluan dengan penyelianya. Penyelia tidak memberikan sokongan untuk meneruskan pengajian. Ada yang lain, yang penyelianya menghantarkan surat kepada penaja bahawa pelajar tidak layak untuk belajar.

Semua ini menjadikan mereka ini gagal.

Ada pula yang memang gagal mutlak. Calon telah menghantar tesis untuk dibaca pemeriksa, dan pemeriksa memberikan markah gagal.

Mengapa gagal?

Aku sesekali menjadi pemeriksa dalaman. Aku pernah membaca tesis dalam kategori gagal ini. Apabila membaca, biasanya aku akan membelek dahulu bibliografi di belakang tesis tersebut. Apabila tidak ada bahan utama, atau rujukan yang ditulis oleh mereka yang mendominasi bidang yang dikaji, besar kemungkinan tesis ini akan menjadi entah apa-apa.

Sebabnya calon mungkin tidak cuba menguasai topik, sebaliknya menulis mengikut suara hati atau 'cakap dengar' sahaja. Topik kajian mungkin baik, tetapi malangnya telah tertangkap muat segala teori dan metodologi yang digunakan. Ia bukan untuk memudahkan mereka menjalankan kajian, tetapi untuk membolehkan tesis dilihat tebal.

Sususan ayat dan para tidak ada kesinambungan.

Ini menjadikan kami merasa sedang berlaku plagiat dalam tesis ini, ditambah pula tidak ada citation untuk menguatkan hujah.

Apa kesudahannya?

Gagal.

Pernah aku bertanya kepada Prof Maureen Dollard, mengapa ada yang gagal sedangkan sudah ada penyelia? Penyelianya tidak membacakah?

Dia menjawab - Tidak. Pelajar tidak mendengar cakap.

Tuesday, 4 December 2012

Jangan rosakkan diri anda kerana PhD

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bulan Disember ini aku agak kesibukan.

Aku dijemput oleh sekumpulan komuniti penyelidikan dari Fakulti Perubatan untuk bercakap hal 'tekanan kerja'.  Setelah setahun aku balik ke Malaysia, inilah kali pertama aku diminta bercakap hal yang menjadi topik penyelidikan aku. 

Tidak ada sesiapa pun yang memintakan aku bercakap hal yang aku suka.

Malah, aku juga diminta untuk mengajar topik statistik dan metodologi. Ia juga bidang yang lain.

Selama ini, apabila dijemput, aku banyak bercakap hal yang lain.

Aku juga diundang sebuah universiti tempatan untuk memberikan ceramah motivasi kepada pelajar PhD mereka. Aku tidak tahu lagi apa yang hendak aku ceramahkan, dan apa yang hendak aku motivasikan. 

Aku percaya, banyak pelajar PhD sebenarnya memiliki motivasi yang sangat membara. Ini khususnya ketika proses mencari penyelia dan universiti yang hendak dituju. Semangat membara ini terlihat jelas dengan idea-idea yang datang ketika mula menulis proposal yang hendak digunakan bagi tujuan permohonan.

Pada hari pertama mendaftar diri, semangat yang sama ini masih jelas terlihat.

Cuma ia mula merosot dari hari ke hari apabila bertemu dengan halangan di sana sini. Ada yang dimasalahkan dengan kualiti penyeliaan. Ada pula yang tergapai-gapai dengan tajuk dan metod yang hendak digunakan. Ada yang dimasalahkan dengan hal-hal keluarga, ada yang tersampuk dengan isu kewangan.

Ada kes pelajar yang bercerai berai kerana PhD. Suami hilang ke mana, isteri pula tak jumpa jalan pulang. Akhirnya, ada yang pulang tanpa mendapat apa-apa. Yang dikendong jatuh terbarai, yang dikejar menjadi bayang.

Ada pula yang dirosakkan setelah mendapat PhD. Tenggelam dalam puja dan puji. Akhirnya merasa besar diri. Ini pun merosakkan juga.




Ada orang yang rosak sepanjang perjalanannya mendapatkan PhD. Ada pula yang dirosakkan selepas mendapatkannya.

Janganlah hendaknya PhD ini merosakkan diri anda.

Wednesday, 28 November 2012

Apa yang saya belajar di luar negeri

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Satu tengahari, saya singgah di Felda Sungkai Timur. Bertemu dengan saudara mara di sana.

Satu soalan telah ditanya. Apakah yang telah dipelajari selamat 4 tahun di luar negeri?

Banyak sebenarnya. Saya tidaklah menjawab kesemuanya.

Daripada banyak yang saya belajar, saya rasa banyak daripada kami belajar hal ini. Belajar untuk menjadi ular yang menyusur akar, tetapi tidak hilang bisanya.

Di luar negeri, kita akan dapati profesor dan pensyarahnya mempunyai lagak seperti biasa sahaja. Tidak ada formaliti. Tidak ada puja dan puji. Kita berbual seperti teman lama sahaja. Mereka tidak pedulikan pangkat dan profil mereka. Nama mereka mungkin terkenal di seluruh dunia kerana banyaknya buku dan kajian, tetapi mereka merendah diri.

Sepertinya, mereka tidak tahu pun mereka terkenal.

Banyak pelajar kita belajar di sana. Banyak daripada kita belajar daripada mereka yang berjiwa besar ini. Ada yang pulang menjawat jawatan tinggi di agensi kerajaan, ada yang menjadi ahli akademik.

Sayangnya, tidak pula kesemuanya menjadi seperti itu.

Ada yang apabila berbual - merasa begitu gah dan besar kerana belajar di luar negara. Ada yang caranya lebih orang putih dari Inggeris.

Bagaimana pun, kelihatannya kelompok ini tidaklah banyak lagi. Hanya ada segelintir dua sahaja. Mungkin itulah yang mereka belajar di luar negeri. Belajar untuk menjadi orang biasa sahaja.

Tetapi saya terkesan satu perkara yang sedikit aneh. Ada segelintir manusia yang cara mereka melayan pelajar, cara mereka bercakap hal akademik sangat menggerunkan. Mereka seolah-olahnya ular yang paling bisa di kalangan segala jenis ular.

Mereka ini pula biasanya bukanlah produk dari UK, Australia atau kota Inggeris yang lain. Bukan juga produk dari Jepun atau Korea.

Mereka ini produk tempatan.

Sesekali saya berfikir adakah mereka memang begitu? Atau sistem pendidikan kita sedang mengajar mereka dengan gaya 'jarak kuasa' yang patut dilakonkan.

Entahlah.

Saya tidak begitu tahu, dan malas untuk ambil tahu.

Tuesday, 30 October 2012

Update kajian sains sosial

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Satu kertas kajian saya baru sahaja ditolak oleh Journal Organizational Behavior. Saya memang menjangkanya, walaupun saya tidaklah mengharapkan ia ditolak secepat itu.

Mengapa ditolak?

Ia menjadi isu yang patut dipelajari bersama oleh semua penyelidik dan pelajar PhD dalam aliran sains sosial. Saya perlu menulisnya, kerana saya tahu tidak ada orang akan menulisnya. Malah, kalau anda membaca buku sekalipun, anda mungkin tidak akan menemuinya. Saya harap, pelajar PhD yang mempunyai Twitters dan Facebook dapat memanjangkan isu ini.

Kertas saya ditolak kerana faktor bias dan common method variances. Anda patut menggoogle akan hal ini.

Common method variances berlaku apabila diandaikan bahawa orang yang menjawab soalan berkecederungan ada naluri yang sama untuk menjawab soalan yang lain bagi skala yang lain. Misalnya, katakan seseorang itu menjawab tinggi pada skala marah, mereka juga cenderung untuk menjawab tinggi bagi skala yang bersifat negatif, misalnya stres, murung dan sebagainya. Kecenderungan untuk berlaku perkongsian variance inilah dinamakan sebagai common method variances.

Sebab itu, biasanya kajian-kajian yang dilakukan secara cross-sectional ditolak mentah-mentah di kebanyakan jurnal besar yang disenaraikan di ISI. Jawapannya mudah, ia tidak melambangkan apa-apa, sekalipun kajian anda menemui hal yang hebat sekalipun.

Di masa lalu, salah satu cara untuk mengurangkan gejala common method variance ini ialah dengan menjalankan kajian longitudinal.

Bagaimana pun, dalam konteks Malaysia, kajian cross-sectional ini telah mendominasi aliran kajian kia. Malah, ada orang bertanya apa perlunya longitudinal. Mereka bertanya kerana mereka tidak tahu apa puncanya. Malah, ada penyelia di universiti tempatan tidak menggalakkan pelajarnya melakukan kajian longitudinal dengan alasan bahawa masa yang panjang digunakan.

Saya tidak begitu memahami perkara ini. Saya tidak faham adakah mereka tidak faham sebabnya, atau mereka beranggapan kaedah longitudinal ini sesuatu yang mustahil dilakukan, sedangkan jeda masa di antara kajian pertama dengan kajian berikutnya boleh jadi hanya selang 6 minggu, walaupun ada yang mengambil masa bertahun-tahun. Umumnya, selang masa 3 bulan adalah yang selalu dilakukan, walaupun kaul dhaif mengatakan boleh dengan hanya 6 minggu.

Dengan andaian bahawa kajian yang sedang anda lakukan sekarang bersifat cross-sectional, maka bolehlah kita anggap bahawa kajian tersebut sudah ketinggalan satu tahap di belakang kajian yang dilakukan penyelidik antarabangsa. Kita masih menjalankan kajian cross-sectional, tetapi orang lain sudah sampai ke tahap kajian longitudinal.

Kajian saya yang ditolak ini ialah kajian longitudinal, dan menggunakan kaedah multi level. Logiknya, kajian ini sudah mengambil kira faktor common method variances ini.

Mengapa ditolak?

Dalam kajian saya, saya menggunakan satu skala mengukur prestasi. Editor memaklumkan bahawa prestasi tidak sepatutnya diukur dengan self-rated questionnaire. Ia mesti diukur dengan mendapatkan data sebenar mengenai prestasi, misalnya borang penilaian prestasi yang diisi oleh majikan, atau ukuran-ukuran objektif yang lain.

Apa maksudnya?

Maksudnya, kalau kita menggunakan kaedah cross-sectional, kita sebenarnya telah ketinggalan dua tangga di belakang. Tatkala kita masih lagi melopong bertanya apa perlunya kajian longitudinal, orang lain sudah lama ke hadapan dengan menggunakan kaedah yang baru.

Sejauh manakah kualiti penyelidikan kita?

Anda pasti tahu jawapannya.

Kalau kita tidak melakukan sesuatu, mungkin kajian yang sedang kita lakukan akan dianggap sebagai kajian zaman batu yang akan ditertawakan orang.

Wednesday, 10 October 2012

Bengkel penulisan journal ISI

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Penyelidikan dan penerbitan adalah dua hal yang berbeza, tetapi sama.

Penyelidikan yang teruk tidak akan menghasilkan tulisan baik walau sebaik mana pun keindahan bahasa seseorang. Penulisan yang teruk tidak akan mampu menggambarkan kehebatan satu-satu kajian. 

Seorang pembaca - berkata kita boleh melakukan sesuatu untuk mengubah tradisi penyelidikan.

Bagaimana?

Kita semua perlu sama-sama menyumbang. 

Sekiranya anda seorang pelajar dalam aliran sains sosial, anda boleh datang ke Bengkel 'How to Write A Winning Introduction for ISI Journal' yang akan aku anjurkan awal bulan November nanti. Untuk keterangan tarikh dan tempat, hubungi aku. Ia percuma.

Aku tidak boleh selalu mengkritik sahaja tanpa melakukan apa-apa. Tetapi melakukan banyak perkara juga tidak mengubah apa-apa kalau tidak ada yang datang.

Tuesday, 2 October 2012

PhD: Kalau anda bagaimana?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku menerima email daripada seorang pembaca. 

Assalamualaikum, 

Encik FakirFikir. Saya merupakan pelajar PHD. Saya baru je beberapa minggu memulakan pengajian. Saya ada sedikit kecelaruan kerana saya dapat buat PHD ni secara ekspres dimana saya tidak perlu buat master. Masalahnya ialah, saya adalah jugak bertanya dengan pensyarah saya tentang PHD ni. Patut ke saya buat master dulu atau teruskan sahaja PHD saya ni. Ada yang tak bagi dan ada yang bagi, jadi saya nak bertanya lah En.Fikir. Kalau En. Fikir jadi saya la, En Fikir buat PHD terus atau bagaimana. Cuma nak pendapat sahaja. Semoga pendapat En.Fikir akan beri sesuatu yang positif untuk saya.

------------------------------

Kalau anda bagaimana?

Sebenarnya trend terus melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD bukanlah hal baru. Ia biasanya ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang. Bagaimana pun,mengikut pengamatan aku,  isu ini muncul kerana trend mutakhir ini juga menunjukkan pelajar ijazah sarjana muda sebenarnya tidak begitu banyak membaca. Ada pula yang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Walaupun ada yang mendapat CGPA yang baik, aku tidak pernah percaya itu kayu ukur yang sempurna. Banyak yang mempunyai CGPA yang baik sebenarnya tidaklah semestinya mereka itu manusia terbijak yang terhasil oleh universiti.

Jadi, ada pandangan yang meminta mereka mendapatkan ijazah sarjana dahulu. Sekurang-kurangnya mematangkan mereka. Mereka yang memiliki ijazah sarjana sekalipun, malah yang sudah ada PhD juga adakalanya masih ada kelompangan kersarjanaan. Mereka ada masalah di sana sini. Ada yang gagal menguasai pengetahuan, ada pula yang gagal menguasai metodologi. Ada yang tidak memiliki kedua-duanya. Apatah pula kalau sekadar ada ijazah sarjana muda.

Aku tidak berminat berdebat mengenainya. Sekarang ini ia menjadi tugas kami para akademik muda untuk mengubah semua ini. Kerana akhirnya, kamilah juga yang menjadi guru mereka.

Menjawab soalan pembaca ini, bagi aku ia bergantung kepada dirinya sendiri. Kemampuan yang kita miliki, kitalah yang mampu mengukurnya. Pelajar-pelajar muda ini mungkin akan lebih bijak daripada mereka yang lain, kalau kena caranya. Mereka juga mungkin akan menjadi bertambah buruk kalau tersalah jalannya.

Tidak semua pelajar dewasa yang menyambung PhD yang bijak. Jadi, adakalanya usia bukanlah penentu. Orang muda juga ada kelemahan, tetapi ada kekuatan lain. Tetapi kerja keras dan 'nasib' itulah kriteria yang selalu bersangkutan dalam pengajian PhD.

Idealnya, mereka yang bijak ini sepatutnya diselia oleh manusia yang bijak juga. Katakanlah mereka ini yang sebenarnya masih tersangat muda, diselia oleh mereka yang sebenarnya lebih mementingkan 'CV' demi untuk mendapatkan jumlah pelajar yang ramai, tetapi hakikatnya 'tidak' menyelia, mereka akan menghadapi masalah yang besar.

Apatah kalau penyelia mereka ini datangnya dari aliran pelajar PhD ialah mereka yang bebas terbang di langitnya sendiri, berenang di lautan ilmu yang terbuka. 

Bagaimana pun, biasanya untuk mendapatkan penyelia yang serba sempurna tidaklah selalunya berlaku. Dalam kelok normal hidup manusia, ada yang baik, ada yang kurang. Ia bukan salah sistem. Ia hal yang semulajadi.

Sebaliknya, kalau pelajar tadi memang mampu menerobos dunia PhD, sekalipun tanpa perlu penyeliaan yang ketat, itu memang hebat. PhD ialah pemikiran. Adakalanya tidak bergantung kepada siapa yang menyelia, dan apa yang diselia. Tidak ramai pelajar seperti ini sebenarnya. Apatah dalam budaya pendidikan 'spoon feeding' yang bermula di sekolah dan kini menular di universiti. Sampai ke peringkat PhD pun, nampaknya 'spoon feeding' ini terus berlaku. 

Aku sendiri sebenarnya memiliki pelajar 'genius' yang menyambung PhD tanpa perlu melakukan ijazah sarjana ini. Aku akui mereka melalui jalan yang sedikit mencabar berbanding pelajar yang lebih 'dewasa'. Mereka kekurangan idea dan pemikiran tidak begitu tajam.

Bagaimana pun, aku berpandangan mereka perlu didewasakan. Aku telah merancang agar mereka menjadi dewasa. Mereka perlu menjadi tutor agar mereka terdedah dengan pembacaan. Aku juga bercadang agar merekalah yang mengendalikan bengkel latihan aku selepas ini, dan aku hanya sekadar menjadi jurutunjuk sahaja. Mereka juga 'wajib' mengikuti siri latihan akademik yang aku kendalikan. Mereka juga bakal menjadi 'penyelia' untuk pelajar ijazah sarjana muda.

Ia sedikit teruk dan memenatkan. Sekurang-kurangnya itulah jalan yang mampu menjadikan mereka dewasa. 

Bagaimana pun, tidak semestinya itulah caranya. Setiap orang ada jalannya sendiri. 

Ada yang tidak perlu didewasakan. Tetapi mereka perlu banyak membaca. Membaca lebih banyak dari orang lain. Sebab mereka ini tidak ada pengalaman dalam hidup. Dengan hanya membaca, mereka mendapat pengalaman baru.

Kepada pembaca tadi, kalau dia tidak mendapat penyelia yang membantunya menjadi dewasa, dia perlu berkerja lebih kuat. Tidak ada sesiapa yang akan menolongnya. 

Bagaimana pun, jangan ditakutkan akan kekurangannya. Mereka yang ada ijazah sarjana pun tidak sesempurna mana. Aku tahu. Aku telah bertemu dengan bermacam jenis pelajar. 

Cuma, apabila kita telah melangkah - jangan berpatah balik. Teruskan. Peluang hanya datang sekali. Tetapi ubahlah cara kita mengharunginya. Kalau dahulu berjalan, sekarang berlari. Kalau dahulu membaca tanpa ambil tahu maknanya, sekarang mulalah belajar dari mereka yang pakar bagi satu-satu hal yang anda tidak tahu.

Keterukan itulah yang menjadikan anda seseorang.


Wednesday, 26 September 2012

Penyelidikan: soalan yang patut dijawab

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini dan esok di universiti tempat aku berkerja sedang diadakan pameran penyelidikan. Ia pameran poster. Bagi aku, ia sesuatu yang baik. Bukan hanya untuk penyelidik dan pelajar berkongsi hasil kajian mereka kepada umum, tetapi juga kepada pelajar-pelajar sarjana muda yang baru mengenal dunia penyelidikan.

Aku tugaskan pelajar kursus penyelidikan untuk melawat tapak pameran. Mereka telah disediakan 7 soalan untuk ditanya kepada para peserta. Ia sebahagian daripada tugasan tutorial untuk kursus ini. Soalan itu ialah:

1. Mengapa anda memilih topik ini?
2. Apa perbezaannya kajian anda dengan kajian yang lain?
3. Apakah kekuatan kajian anda?
4. Apakah kelemahan/batasan kajian anda?
5. Apakah 'gap' kajian anda?
6. Mengapa anda memilih metod ini?
7. Cadangan anda untuk kajian pada masa hadapan.

Mengapa soalan ini ditanya? Inilah sebenarnya soalan yang sewajarnya selalu ada dalam pemikiran setiap penyelidik. Sekiranya kita meragui dengan jawapan bagi setiap soalan tadi, besar kemungkinannya kajian kita tidak diterima untuk penerbitan jurnal ISI.

Sebagai penilai, inilah juga isu yang akan selalu dilontarkan kepada penyelidik.

Banyak daripada kajian kita yang telah mengabaikan soalan-soalan ini, menjadikan kita mengulang semula kajian yang pernah dibuat orang. Kita beranggapan bahawa kajian ilmiah hanyalah sekadar mempunyai data dan metodologi tertentu. Hakikatnya tidak. Kajian ilmiah ialah bagi memastikan semua soalan yang ditanya tadi mampu dijawab.

Sebab itu kajian itu bermula dengan patah kata 'Re' dan "Search".

Kita membongkar kelemahan lalu dengan membuka ruang untuk kajian baru.  

Wednesday, 8 August 2012

Free AMOS training

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siri Bengkel 1: Pengenalan AMOS
Tarikh: 10 August 2012
Jam: 9.00 am - 12.30 pm
Tempat: Bilik komputer, Jabatan Antropologi & Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM.
Yuran: PERCUMA
Terbuka untuk pelajar pasca siswazah sahaja.

(Masih ada 2-3 tempat kosong).

Untuk hadir, email dahulu.

Friday, 3 August 2012

Selamat datang ke dunia PhD yang menyeronokkan!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Petang tadi, saya berpeluang bertemu dengan beberapa pelajar yang sedang mengikuti pengajian Ph.D di IPTA. Saya mendengar cerita-cerita mereka. Banyak yang tidak menarik, menjadikan PhD ini jalan yang tidak indah.

Bayangkan mereka menyediakan proposal setebal lebih 100 halaman. Bagi saya, ini bukan proposal. Proposal sepatutnya pendek sahaja. Yang patut diutamakan ialah beberapa siri kajian, atau berapa banyak 'kelompangan (gap)' yang sepatutnya ada dalam kajian.

Bayangkan, kalau proposal sudah setebal ini, maka berapa lama masa yang telah digunakan? Lama bukan.

PhD bukanlah proposal. PhD ialah kajian bagi menemukan sesuatu. Kalau terlalu banyak masa dihabiskan untuk proposal, sangat sukar untuk menjalankan kajian yang mantap. Dengan masa yang tinggal sekitar 2 atau 3 tahun, bilakah pula waktunya mereka akan menjalankan kajian?

Saya tidak setuju dengan aliran yang berpandangan bahawa proposal yang tebal itulah menjadikan sesuatu kajian itu mantap. Sebagai pelajar PhD, mereka harus diberikan peluang meneroka dan banyak kepercayaan. tugas penyelia ialah menunjukkan jalan yang betul. Bukan menyiksa pelajar dengan hal yang bukan-bukan.

Saya datang dari persekitaran kerja swasta. Saya mempunyai personaliti A. Maknanya, setiap pelajar saya perlu berkerja dengan cepat dan berfikir dengan pantas. Sekiranya mereka mampu menyediakan proposal setebal 15 halaman, itu pun sudah memadai. Yang utama, mereka tahu di mana kelemahan kajian lalu, dan ada sedikit sebanyak pengetahuan mengenai teori yang digunakan.

Setelah data dikutip, barulah perjalanan PhD sebenar akan bermula. Saya akan 'menyiksa' pelajar saya dengan pertanyaan tak kunjung henti. Saya tidaklah mahukan mereka merasakan siksaan itu. Saya mahu mereka menyelesaikan kutipan data secepat mungkin, kerana kalau nanti ada kesalahan di sana sini, dengan baki masa 3 tahun mereka boleh menutupnya dengan kajian yang lain. Jadi, lebih baik berkerja keras dahulu, dan senang kemudian.

Saya tidak sedikit pun teruja dengan proposal yang tebal. Itu adalah buku. Saya teruja dengan siri kajian beberapa kali, atau statistik yang agak kompleks, dan menulis dengan cara yang betul.

Bagaimana kalau mereka tidak mampu. Saya akan mengajarnya. Lebih baik menjadi Yuna yang menyanyikan banyak lagu, daripada seniman agung yang mengambil masa 3 tahun menuliskan lirik, tetapi tidak pernah sempat dinyanyikan. Orang lain sudah menghasilkan banyak album, sedang anda masih mencari apakah lirik terbaik. Ia pekerjaan bodoh.

Selamat datang ke dunia PhD yang menyeronokkan!

Sunday, 29 July 2012

Siri bengkel AMOS bermula

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mulai Khamis ini, aku akan memulakan siri bengkel AMOS.

Terima kasih kepada beberapa orang yang memberi respons.

Aku bercadang akan cuba melakukannya sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan jumlah peserta yang kecil sahaja. Alasan peserta yang kecil kerana bilik komputer di jabatan kami memang kecil, sesuai menempatkan 12 orang. Bagaimana pun untuk tujuan latihan hands-on, aku perlu berjalan-jalan di dalam bilik.

Jadi hanya maksimum 6 orang paling ideal.

Mengapa tidak cari bilik lain?

Alasan mudahnya ialah inilah satu-satu tempat yang percuma. Jadi, apabila ia percuma, maka pelajar juga boleh datang belajar secara percuma.

Di masa hadapan, aku bercadang untuk terus mengadakan mini workshop ini. Antara yang aku sedang rangka ialah penulisan jurnal. Juga mungkin software statistik yang lain termasuk HLM dan NviVO.

Nanti aku iklankan.

Ia termasuk dalam rangka kerja-kerja kebajikan FakirFikir. Sekiranya anda berhasrat membayarnya, anda boleh membayar wang berkenaan kepada mana-mana badan kebajikan. Tidak membayar pun tidak mengapa.

Sekarang ini aku pun sebenarnya sangat sibuk. Aku perlu menghadirkan diri untuk bengkel universiti setiap hari dari jam 8.30 pagi sampai jam 12.30 tengahari. Sebab itulah aku tidak ada banyak masa untuk merancang bengkel.

Minggu hadapan aku dijemput oleh sebuah Fakulti untuk menjalankan bengkel menulis jurnal. Selepas itu akan bercuti panjang untuk penyelidikan.

Selamat datang peserta mini bengkel!

Saturday, 28 July 2012

PhD - Biarlah logik

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita selalu bercakap tentang buruknya penyelia dalam penyeliaan pelajar.

Kali ini kita bercakap tentang pelajar pula.

Mutakhir ini, aku mempunyai beberapa pelajar. Aku harus memuji mereka ini. Muda dan bertenaga. Ada fikiran positif.

Dua daripadanya ialah pensyarah, seorang di universiti tempatan, dan seorang lagi di universiti swasta. Seorang lagi ialah bekas pelajar aku sendiri. Dia adalah pelajar cemerlang di jabatan kami, jadi dia terus melompat ke program PhD tanpa melalui ijazah sarjana di bawah program Bright Sparks.

Tatkala aku mempunyai mereka yang bernas, sesekali aku didatangi juga orang dari luar dunia akademik. Agak berusia. Mereka ada pengalaman yang banyak dalam dunia pekerjaan. Ada jawatan besar.

Mereka ini agak bermasalah. Bukan kerana tidak bijak. Tetapi mereka gagal memahami tujuan PhD itu sendiri. Mereka gagal menyelami konsep teoretikal kajian.

Mereka sepertinya terkeliru di antara penulisan akademik dan penulisan popular. Inilah yang membezakan dunia akademik dengan tidak.

Tanpa pengetahuan mengenai asas penyelidikan, kajian tidak mungkin boleh dilakukan. Tanpa pengetahuan mengenai apakah yang dikatakan 'akademik', mustahil untuk menyudahkan PhD. Ia akan menjadikan tajuk kajian sepertinya datangnya daripada mimpi, dan kemudiannya cuba diterapkan dalam kajian.

Ia hal yang salah.

Sesiapa sahaja yang memilih untuk melakukan PhD, mereka sebenarnya memilih dunia untuk bermimpi dengan teori. Mereka berangan-angan hal yang tak mampu terjangkau orang biasa. Bukan kerana PhD itu susah, tetapi kerana itulah rentaknya permainan orang akademik. Ia dunia dongeng yang penuh dengan idealisme. Ia kemungkinan tidak mampu pun diterapkan dalam dunia nyata.

Mereka ini datang dengan artikel yang entah siapa yang menulisnya. Ia bukan jurnal. Ia bukan buku. Ia tulisan biasa sahaja.

Mereka juga tersalah anggap bahawa penyelidikan haruslah apa yang 'belum dilakukan orang'. Konsep 'belum dilakukan orang' yang salah itulah yang selalu ada kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian pasca siswazah.

'Belum dilakukan orang' tidak bermakna anda cuba menguji 'kesan biji batu dengan stress'. Ia tidak ada dalam landasan teori yang boleh kita mengajukan tajuk sebegitu. Kecualilah kalau 'batu' itu ingin menguji 'stres' dalam bidang kejuruteraan seperti yang dikaji oleh Dr Ben. Batu itu mungkin ada landasan teorinya.

"Belum dilakukan orang' tidak bermakna anda ingin mengkaji tekanan kerja di kalangan mereka yang tidak berkerja. Ia tidak berasas melihat kepada topiknya.

Sebab itulah, sebagai pelajar, sebelum berjumpa dengan penyelia, harus bersedia. Tidaklah penyelia itu mengharapkan yang terbaik, tetapi tentu juga tidak mengharapkan sesuatu yang tidak berasas.

Lebih malang, mereka ini bertanya pun adakah mereka boleh menyiapkan dalam tempoh masa yang pendek kerana matlamat mereka ialah untuk mendapatkan PhD.

Cara termudah untuk mendapatkan PhD ialah dengan membelinya secara online!

Thursday, 26 July 2012

Anda mahu jadi doktor?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
IKLAN:
Untuk pelajar/mereka yang menetap di luar negara yang ingin mengirimkan Salam Aidilfitri berserta gambar kepada keluarga/saudara mara etc melalui akhbar Kosmo!, bolehlah menghubungi saya di email. Nanti saya berikan email mereka yang berkaitan di Kosmo! Selamat bergambar!


----------------------------
Sejak beberapa minggu terakhir ini, kita disajikan dengan berita-berita kegilaan orang membeli ijazah palsu. Termasuk antaranya ialah ijazah PhD yang bakal membawa gelar 'Dr" di pangkal nama seseorang.

Hebat bukan gelar 'Dr" ini. Banyak orang sanggup menipu kerananya. Banyak orang sanggup menjual maruah untuk meletakkan gelar Dr dipangkal namanya.

Siapakah manusia-manusia yang teruja sangat dengan gelar ini?

Pastilah bukan Pak Mat yang paginya bercerita tentang harga getah yang selalu merudum jatuh. Bukanlah juga makcik Timah di Felda Sungkai yang bercakap tentang tandan sawit dicuri orang. Tidak juga Husin yang menjual ikan di pasar malam, atau Tony pemungut sampah bandaraya. Tidak juga mat rempet yang membonceng cikaro di malam hari.

Orang-orang biasa ini, mereka tidak bernafsu dengan gelar. Mereka hanya bernafsu dengan apa yang mampu mengenyangkan perut.

Bagaimana pun, mereka yang bernafsu dengan gelar ini pelik orangnya.

Mereka yang gila dengan gelar menggelar ini biasanya orang yang ada nama. Biasanya orang yang ada wang. Menaiki kereta besar. Selalu memakai tali leher. Bila berbual di telefon, galaknya sangat sibuk. Projeknya berjuta-juta.

Mereka mahu tunjukkan bahawa mereka bukan sahaja kaya, tetapi juga bijak. Bukan orang biasa, tetapi mampu bersyarah panjang hal-hal yang orang kampung tidak pandai. Bila melobi projek di agensi kerajaan, para pegawai dan kerani akan melopong.

Orang selalu terlupa, gelar boleh dibeli, tetapi tidak pengetahuan.

Ia samalah seperti seekor kera yang memakai cincin emas dan kemudiannya melompat-lompat sambil mendakwa dirinya raja. Awalnya kera-kera lain mungkin terpedaya kerana kepelikan kera ini. Lama-kelamaan, seluruh warga kera akan menyedari bahawa sekalipun dipakaikan 10 cincin emas di setiap jari, kera itu tetaplah seekor kera.

Orang tahu kerana bulunya tetap seperti kera. Cara dia melompat tetaplah juga sebagai kera. Malah, cara dia menggaru juga tetaplah seperti kera.

Gelar semata-mata dengan membonceng rasa sombong tidak akan membawa ke mana.

Menguji mediator dalam AMOS

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini hal teknikal statistik. Mungkin tidak berkaitan dengan anda yang bukan penyelidik.

Seorang teman memberitahu, dalam satu persidangan salah seorang penulis buku tempatan mengenai statistik AMOS telah memandang sinis dan berkata kepada seorang pelajar lain bahawa 'no such thing' apabila ada pelajar menguji kesan mediator menggunakan bootstrapping.

Pandangan beliau ini salah.

Apakah mediator? Mediator ialah pembolehubah yang menerangkan proses bagi satu-satu hubungan. Misalnya terdapat hubungan di antara rajin datang kelas ---> lulus periksa. Ini kita katakan kesan langsung di antara IV dan DV. Mediator pula ialah pembolehubah baru yang masuk di celahnya. Misalnya rajin baca buku (M). Jadi hubungan tadi ialah rajin datang kelas (IV) -->rajin baca buku (M) ---> lulus periksa (DV).

Hubungan di antara IV ke DV tidak lagi menjadi signifikan dengan kemasukan M. Ini bermakna hubungan tadi hanya berlaku dengan adanya M. Inilah dikatakan mediator.
Sebenarnya, ada beberapa cara untuk menguji sama ada pembolehubah mediator mempunyai kesan yang signifikan atau tidak.

1. Menggunakan Sobel test. Bagaimana pun, Sobel test hanya sesuai dalam keadaan jumlah responden yang besar. Kaedah ini juga sebenarnya telah banyak dikritik oleh ahli metodologi baru. Untuk pelajar PhD, anda masih boleh menggunakannya. Tidak menjadi masalah. Biarkan ahli metodologi berdebat sesama mereka.

2. Menggunakan analisis bootstrapping. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan software AMOS dengan mengubah beberapa kali nilai seed.

3. Menggunakan Monte Carlo test. Ia hampir sama dengan bootstrapping, tetapi hanya berbeza kerana ia menggunakan calculator online di dalam komputer.

Untuk nota, dalam software SPSS, anda juga boleh menguji kesan mediator dengan menginstall makro untuk kiraan ini.

Itu sahaja. Banyak yang tidak faham hal ini. Ia hanya akan difahami kalau anda pelajar PhD yang menggunakan analisis ini.

Monday, 16 July 2012

Sisi tidak indah pelajar PhD - 1

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seoranng pelajar mengirimkan email meminta aku membacakan proposal PhDnya.

Katanya sudah 3 bulan dia menghantarkan proposal kepada penyelianya. Sayangnya, ia tidak dibaca dan diberikan sebarang maklumbalas.

Inilah sebenarnya realiti yang terpaksa dihadapi oleh sebahagian kecil pelajar kita. Sekalipun anda telah berhenti kerja, kembali hidup sebagai pelajar untuk memberikan komitmen kepada pengajian anda, bagaimana pun adakalanya ia tidak memadai.

Komitmen penyelia juga ada sumbangan yang besar sejauh mana anda bergerak dengan lebih cepat, atau merangkak seperti kura-kura. PhD bukan sekadar membaca buku, belajar statistik, menjalankan kajian atau menulis tesis, tetapi ia adalah interaksi manusia.

Aku agak bernasib baik kerana penyelia aku seorang yang sangat rajin. Walaupun dia sibuk, dia akan membaca juga setiap tulisan yang aku hantar. Kalau dia lambat, aku diminta untuk selalu memberitahunya baik melalui sms atau email. Katanya dia tidak kisah kalau pelajar 'push' dirinya. Dia juga manusia.

Bagaimana pula rentaknya dalam keadaan budaya 'jarak kuasa' di tempat kita? Tidak semua pensyarah memberikan ruang ini kepada pelajarnya. Apatah lagi kalau anda baru setahun jagung dalam dunia akademik, dan dia pula sudah ada nama dan pangkat.

Hakikatnya begitulah. Anda jangan mudah mengalah. Carilah seribu jalan dan sepenuh daya agar orang lain boleh membantu anda. Apakan daya, itulah sebahagian cerita tidak indah dunia pelajar PhD.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails