Yang Ikut

Showing posts with label kritik sosial. Show all posts
Showing posts with label kritik sosial. Show all posts

Thursday, 26 July 2012

Anda mahu jadi doktor?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
IKLAN:
Untuk pelajar/mereka yang menetap di luar negara yang ingin mengirimkan Salam Aidilfitri berserta gambar kepada keluarga/saudara mara etc melalui akhbar Kosmo!, bolehlah menghubungi saya di email. Nanti saya berikan email mereka yang berkaitan di Kosmo! Selamat bergambar!


----------------------------
Sejak beberapa minggu terakhir ini, kita disajikan dengan berita-berita kegilaan orang membeli ijazah palsu. Termasuk antaranya ialah ijazah PhD yang bakal membawa gelar 'Dr" di pangkal nama seseorang.

Hebat bukan gelar 'Dr" ini. Banyak orang sanggup menipu kerananya. Banyak orang sanggup menjual maruah untuk meletakkan gelar Dr dipangkal namanya.

Siapakah manusia-manusia yang teruja sangat dengan gelar ini?

Pastilah bukan Pak Mat yang paginya bercerita tentang harga getah yang selalu merudum jatuh. Bukanlah juga makcik Timah di Felda Sungkai yang bercakap tentang tandan sawit dicuri orang. Tidak juga Husin yang menjual ikan di pasar malam, atau Tony pemungut sampah bandaraya. Tidak juga mat rempet yang membonceng cikaro di malam hari.

Orang-orang biasa ini, mereka tidak bernafsu dengan gelar. Mereka hanya bernafsu dengan apa yang mampu mengenyangkan perut.

Bagaimana pun, mereka yang bernafsu dengan gelar ini pelik orangnya.

Mereka yang gila dengan gelar menggelar ini biasanya orang yang ada nama. Biasanya orang yang ada wang. Menaiki kereta besar. Selalu memakai tali leher. Bila berbual di telefon, galaknya sangat sibuk. Projeknya berjuta-juta.

Mereka mahu tunjukkan bahawa mereka bukan sahaja kaya, tetapi juga bijak. Bukan orang biasa, tetapi mampu bersyarah panjang hal-hal yang orang kampung tidak pandai. Bila melobi projek di agensi kerajaan, para pegawai dan kerani akan melopong.

Orang selalu terlupa, gelar boleh dibeli, tetapi tidak pengetahuan.

Ia samalah seperti seekor kera yang memakai cincin emas dan kemudiannya melompat-lompat sambil mendakwa dirinya raja. Awalnya kera-kera lain mungkin terpedaya kerana kepelikan kera ini. Lama-kelamaan, seluruh warga kera akan menyedari bahawa sekalipun dipakaikan 10 cincin emas di setiap jari, kera itu tetaplah seekor kera.

Orang tahu kerana bulunya tetap seperti kera. Cara dia melompat tetaplah juga sebagai kera. Malah, cara dia menggaru juga tetaplah seperti kera.

Gelar semata-mata dengan membonceng rasa sombong tidak akan membawa ke mana.

Wednesday, 25 July 2012

Janji politik baru

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Cadangan Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kereta mungkin satu saranan yang baik. Selama ini, kita selalu sahaja dihadapkan dengan kempen pilihanraya yang sangat 'ideal' yang sukar untuk dilakukan dalam dunia realiti.

Perjuangan PAS mengenai hukum hudud ada asasnya dalam menegakkan hukum Islam. Tetapi, tentulah ia bukan hal yang mudah. Ia sukar kerana realiti politik di negara kita yang majoritinya bukanlah beragama Islam. Hudud boleh mengurangkan kadar jenayah. Itu kita akui.

Bagaimana pun, punca jenayah itu juga perlu dibanteras dahulu.

Kemiskinan, pengangguran dan pendidikan rendah mungkin antara punca berlakunya jenayah. Kemiskinan boleh berlaku kerana berbagai sebab. Lulusan universiti yang baru berkerja, walaupun kelihatannya segak bertali leher bukanlah mereka yang kukuh kedudukan ekonominya. Bayangkan, dengan gaji sebanyak RM 3000 sebulan, mereka sebenarnya masih dalam kategori miskin. Mereka perlu membayar harga kereta (RM600), sewa rumah (RM 500), petrol (RM300), makan (RM 1000), bil (RM 400) dan belum termasuk belanja yang lain. Mereka hanya akan ada lebihan RM 200 sebulan. Itupun kalau ada.

Belum lagi termasuk kalau mereka mempunyai kad kredit atau hutang yang lain, termasuk pembayaran balik pinjaman pendidikan. Sebab itu, ramai anak muda kita yang muflis, walaupun tidak pernah berniaga pun.

Bayangkan kalau mereka bukan lulusan universiti, dan hanya lepasan sekolah menengah atau diploma yang bergaji kurang daripada RM 2000?

Salah satu hutang besar yang tidak dapat kita lari ialah hutang kereta. Kita membayar harga kereta yang mahal semata-mata kerana cukai kereta yang tinggi. Sedangkan, semua kita sedia maklum, kereta nasional kita masih belum setanding teknologinya dengan kereta import. Bayangkan, dengan mengisi petrol sebanyak RM 70, kita boleh memandu dari Kuala Lumpur hingga ke Gurun dengan kereta buatan Jepun. Ini mustahil dengan kereta buatan kita, melainkan kalau kita menggunakan Viva. Tetapi, kalau bilangan ahli keluarga yang ramai, kereta kecil tidak mampu menampung jumlah penumpang yang banyak.

Tidak perlulah kita bercakap hal cermin tingkap automatik yang terpaksa ditolak dengan tangan, atau ada yang jatuh dengan sendiri. Ia bukan hal rahsia lagi.

Sebab itu, idea kereta murah ini tidak wajar ditolak begitu sahaja. Di Australia, kita boleh membeli kereta yang buruk untuk dipakai setahun dua dengan harga bawah AUD1,000 (lebih kurang RM 3,500). Adakah kita mampu mendapatkan kereta berharga seperti ini di tempat kita?

Idea-idea politik seperti inilah yang patut dipertimbangkan pada masa hadapan. Ia idea berkaitan polisi. Mungkin, ramai yang bimbang pekerja kilang kereta nasional kehilangan pekerjaan. Bagaimana pula nasib rakyat terbanyak? Ini juga yang perlu dipertimbangkan sama.

Pembuat kereta nasional juga tidak boleh selama-lamanya bergantung dengan pasaran Malaysia semata-mata. Mereka juga tidak patut hanya bergantung dengan dasar kerajaan. Mereka perlu terbuka. Ia sudah wujud sejak 1983 lagi. Sepatutnya mereka mampu berdikari.

Sama ada Pakatan Rakyat mampu atau tidak, ia hal lain. Sekiranya mereka gagal, kita sama-sama mencari parti yang mampu menjaga kita semua. Walaupun tetap relevan, tetapi zaman ini bukan lagi zamannya kita bercakap tentang politik berasaskan etnik - seperti yang telah dibincangkan oleh K.J Ratnam sejak tahun 1960-an lagi. Sekarang ini kita perlu mendebatkan politik survival anak semua bangsa. Ia politiki kehidupan di zaman Ipad dan Androit.

Saya masih ternanti-nanti, adakah parti yang sanggup menjanjikan jenayah paling minima. Ia janji yang tidak pernah kita dengar, sedangkan setiap hari kita hidup dalam ketakutan. Samun, simbah asid, culik, dadah, bunuh, rogol adalah kosa kata yang sangat menakutkan.

Kita menanti janji politik baru yang lebih segar, kalau pun bukan untuk dikotakan, tetapi sedap untuk didengar.

Tuesday, 17 July 2012

Politik adalah wang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Politik adakalanya menakutkan.

Tidak hanya kerana ia melibatkan permainan kuasa, tetapi juga ia membelanjakan begitu banyak wang. Politik tanpa wang adalah kata kosong. Wang tanpa kuasa tidak menambah populariti.

Sejak berakhirnya pilihanraya tahun 2008, lihatlah begitu banyak 'kempen' yang telah dilakukan oleh kedua-dua belah pihak. Di satu pihak, tanpa wang yang banyak, menggerakkan rakyat dalam demontrasi mungkin satu kempen yang sangat berkesan.

Benarlah, dari satu sisi demontrasi boleh menjadi signal yang sangat kuat untuk membawa perubahan.

Bagaimana pun, berapa banyak wang yang telah habis kerananya. Pihak berkuasa diperlukan untuk menjaga keamanan, atau kos lain yang tidak kelihatan bagi memastikan kesan demontrasi dapat dikurangkan.

Di satu pihak yang lain, bagi memenangi hati rakyat, banyak wang yang telah dilaburkan, termasuklah memberikan tunai RM 500 untuk kepala keluarga. Entah berapa banyak wang yang telah dilaburkan. Katakan ada 2 juta penerimanya, ini bermakna telah RM10 juta dibelanjakan. Pastilah jumlah penerima ini lebih banyak lagi

Aku bukan penganalisis ekonomi, bukan juga peramal politik.

Tetapi aku tidak percaya bahawa pemberian wang secara individu itu menguntungkan. Adalah lebih baik jika pemberian secara kolektif diberikan.

Misalnya daripada wang sebanyak itu, ia mungkin disalurkan untuk kemudahan pengangkutan awam percuma. Yakni, orang awam boleh menaiki bas secara percuma. Atau, di setiap kampung katakan ada 500 penduduk, maka wang sebanyak RM250,000 digunakan bagi tujuan membangunkan ladang ternak berkelompok atau ladang pertanian yang lain. Jadi penduduk mendapat hasilnya daripada dividen tertentu. Atau sekurang-kurangnya ada di kalangan mereka yang menganggur boleh berkerja di situ.

Dengan memberikan RM 500 ia akan hilang begitu sahaja. Ia tidak mampu memberikan pulangan ekonomi yang besar. Ia juga tidak mengubah apa-apa.

Ia mungkin menambah populariti. Tetapi, populariti akan selalu naik dan turun. Patutkah kita memberi lagi selepas ini. Patutkah kita berdemontrasi lagi kalau tidak berpuas hati?

Sedangkan hakikatnya, yang lebih utama untuk ahli masyarakat ialah survival hidup.

Tetapi begitulah politik. Ia selalu melibatkan wang.

Jangan lupa, pada akhirnya kitalah yang menanggungnya.

Tuesday, 10 January 2012

Hentikan politik ludah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Abad terakhir ini, kalau kita perhatikan - politik Melayu banyak ditenggelamkan dengan gejala politik ludah meludah.

Apa politik ludah meludah?

Politik mengaibkan musuh untuk menunjukkan kita terlebih baik. Politik mencerca dan menghina pihak yang satu lagi, sampailah kepada hal-hal di dalam kain. Politik kita telah menjadi bahan ketawa yang menjengkelkan, dan busuknya tersebar ke seluruh dunia.

Mengapa politik ludah meludah ini terus berkembang biak?

Jawabnya mudah sahaja. Kuasa dan wang.

Ia berlaku dalam di mana-mana sahaja. Baik yang memegang kuasa, atau yang sedang menjeling kuasa.

Kadang-kadang, apabila kita membaca berita, kita rasa tidak ada lagi berita yang membuatkan kita gembira. Kita berasa rimas dan resah. Kita semakin resah kerana politik ludah meludah ini hanya berlaku di kalangan bangsa kita, dan bukan orang lain.

Mungkin tidak ada satu negara pun yang telah menjadikan hal-hal dalam kain ini tema utama perjuangan politik. Bill Clinton pernah jatuh kerana skandal seks. Tetapi hal ini tidak dijaja sekian lama. Kita lain. Kita menjajanya berkali-kali. Sama ada benar atau tidak dilakukan atau tidak, ia hal lain. Tetapi menjadi pokok segala cerita. Ia menggelikan. Ia memalukan.

Politik ludah meludah ini tidaklah pula menguntungkan sesiapa pun. Ia jatuh dan terpercik ke muka kita semua, baik yang berada di pihak kanan, atau di pihak kiri. Ia jatuh tepat atas kepala kita semua, dan leleh malunya kita usung ke mana-mana.

Orang bertanya, apakah agenda sebenar politik Melayu ini? Ekonomi, pendidikan, sains atau hanya hal dalam kain?

Tatkala orang lain sudah lama ke bulan, kita masih sibuk membelek kain sarung. Harapnya dapat bertemu kurap untuk dibisingkan lagi.

Sudahlah. Aku sudah jelik. Harap tidak ada lagi selepas ini.

Wednesday, 21 December 2011

Moral - bukan sekadar ucapan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari kita mendengar banyak berita mengenai kecurangan moral manusia. Mereka sama ada memberi atau menerima habuan. Semakin besar pangkatnya dalam masyarakat, jumlah kecurangan ini semakin besar.

Sayang sekali, kita juga akan membaca berita-berita yang mereka ini menafikannya dengan sekeras-kerasnya.

Mengapa menafikannya apabila terperangkap. Jalan terbaik ialah jangan mulakan apa sahaja yang mendekatkan kita dengan hal-hal tidak bermoral. Ia sama ada orang tahu atau tidak. Itu tidak penting.

Itulah integriti. Itulah moral. Jangan hanya pandai mengucapnya sahaja.

Sayang juga, mereka ini bukanlah orang biasa. Mereka ini ialah orang yang ada nama dan status dalam masyarakat.

Mengapa kita memilih jalan pendek ke neraka, sedangkan kita juga berpeluang untuk memilih jalan ke syurga?

Semuanya kerana kita telah hilang nilai moral. Kita telah menganggap bahawa apa yang kita lakukan itu bukanlah hal yang salah. Ada orang lain melakukannya. Setiap orang juga berkemungkinan akan melakukannya kalau ada peluang.

Apabila ada orang lain melakukannya, bukanlah bermakna kita juga boleh melakukannya. Apatah kalau kita seorang yang ada status dalam masyarakat. Apatah kita ini dianggap sebagai pemimpin.

Peliknya, hal tidak bermoral ini dilakukan di kalangan orang Islam yang masih sangsi adakah makan di dalam pinggan di rumah orang Cina itu perlu disamak atau tidak. Kita sangsi takut-takut mereka telah makan babi sebelumnya. Sedangkan isu samak atau tidak ini hal mudah sahaja kalau mereka belajar ilmu fekah.

Kita sangsi dengan hal yang lain, kerana kononnya kita ingin menjaga kesucian.

Sayangnya, dalam hal lain, kita tidak pula merasa sangsi sama ada kita perlu samak dahulu atau tidak. Bolehkah kita menerima wang hadiah oleh seseorang kalau kita masih memegang jawatan dan orang itu pula kita tahu ada tujuan lain. Mengapa hal seperti ini kita tidak semak dahulu, kalaupun tidak perlu disamak.

Tahun 1995, ketika saya masih belajar di universiti, saya ditahan oleh agensi penguatkuasa di pekan Kajang kerana saya menunggang motosikal tidak berlesen. Seorang anggota meminta saya wang bagi mengelakkan saya dari disaman. Saya katakan saya cuma ada RM 20 dan mahu makan sate. Kerana berahinya dengan wang, dia memintakan saya Rm 10. Mungkin bagi anggota tadi, wang yang lebih itu cukup untuk saya memakan sate.

Mengapa rendah sangat harga diri manusia di abad mutakhir ini?

Kita mungkin manusia Islam. Tetapi kita sedang melakukan banyak kerosakan yang tidak dilakukan orang kafir.

Yang membezakan kita dengan orang kafir hanya kerana sepotong ayat - yakni mengucap dua kalimah. Selebihnya, kita mungkin lebih teruk lagi.

Seorang tok guru begitu sinis apabila banyak manusia mengaku sebagai hamba Allah. Sedangkan kita tidak tahu sama ada Allah mengiktiraf kita sebagai hambanya dengan banyaknya kerosakan yang sedang kita lakukan.

Jadi, apa ayat terbaik untuk itu. Kita patut mengaku kita hanya makhluk Allah. Itu hal yang cukup pasti. Kita belum lagi seorang hamba, kalau tidak melakukan pekerjaan hamba.

Tuesday, 20 December 2011

Buah cabai yang menjadikan aku manusia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Teringat satu ilmu yang paling besar yang diajarkan oleh ibu lebih 30 tahun dulu. Aku masih di sekolah rendah. Ia bukan ilmu biasa. Ia ilmu mendidik kita menjadi manusia. Ia ilmu integriti. Ia tidak diajarkan di universiti.

Ketika kecil dulu, aku adalah budak kampung tulen. Aku memang suka menyerkap ikan di bendang. Badan penuh lumpur. Berjemur panas dan hujan. Setiap lubuk aku teroka. Motifnya satu. Mencari ikat darat. Selalunya misi aku berjaya.

Satu tengahari, ketika pula menyerkap ikan, aku singgah di satu kampung yang dah ditinggalkan. Tidak ada sesiapa di tanah itu. Ada sepohon cabai yang rimbun. Aku memetik buahnya satu demi satu. Aku mahu berikan ia kepada emak aku di rumah. Apa tidaknya. Ia cabai yang percuma. Tumbuh pula di kampung yang ditinggalkan orang. Tidak tahu siapa tuan punyanya.

Pulang di rumah, aku berikan buah cabai tadi kepada emak. Emak bertanya, di mana aku ambil. Secara jujur, terus terang dan yakin, aku beritahu aku ambil di kampung tinggal di tepi bendang itu. Ia agak jauh dari rumah aku.

Emak meminta aku pulangkan buah cabai tadi ke pohonnya. Ia bukan milik kami. Walaupun tidak diketahui siapa tuan punya pohon cabai itu, tetapi ia tetap bertuan.

Sebenarnya, apalah sangat dengan beberapa biji buah cabai.

Berapa sen sangat harganya.

Setelah dewasa, aku sedar - tidak ada satu apa pun harta orang lain yang patut kita idamkan. Apatah lagi mengambilnya tanpa kebenaran. Sama ada ia berharga atau tidak, ia bukan soalnya. Soalnya, tidak ada satu pun kepunyaan orang lain yang patut kita jadikan ia seperti milik kita sendiri.

Dengan kecewa, aku berjalan kaki semula ke kampung di hujung bendang untuk meletakkan buah cabai tadi di bawah pohonnya.

Itulah integriti. Jujur dan amanahlah. Sama ada orang melihat atau tidak, sama ada berharga atau tidak, jangan terliur dengan apa yang bukan milik kita.

Terima kasih emak kerana menjadikan aku manusia - walaupun kuliahnya hanyalah sekadar beberapa biji buah cabai.

Kini - aku akan selalu berkata - kerana kami mengajarnya, kami akan mempertahankannya.

Kita mungkin tidak mampu mengubah sistem yang sakit. Tetapi jangan biarkan sistem yang sakit mengubah kita.

Kami mengajarnya, kami akan mempertahankannya

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya selalu menulis betapa dalam dunia kita hari ini, tidak banyak lagi manusia yang boleh dipercayai. Sebaik mana pun kita memakai pakaian, pakaian yang terbaik ialah kejujuran. Itulah integriti bagi hidup seorang manusia.

Kami ahli akademik akan juga selalu bercakap hal ini di bilik kelas. Pelajar yang meniru, atau melakukan kerja-kerja plagiat dianggap manusia yang hilang integriti. Moral manusia seperti ini akan dianggap sebagai terlalu hina. Ia lebih rendah dari taraf seorang pengemis.

Akademik mungkin pekerjaan yang memberi kami banyak ruang untuk menghindarkan diri dari banyak kecurangan. Anda yang berkerja di perkhidmatan awam, akan selalu melihat atau mendengar bagaimana banyaknya manusia memberi dan menerima rasuah. Ia mungkin kawan-kawan anda juga.

Kita juga selalu mendengar, sesekali terpaksa menghadapinya, apabila kita diminta membayar wang kopi bagi urusan tertentu. Kita tidak perlu menafikannya. Kita berada dan hidup dalam sistem yang sama.

Ahli akademik mungkin boleh mengelak diri dari banyak kerja tidak bermoral ini. Salah satu sebabnya, kami tidak ada kuasa seperti penjawat awam yang lain. Kami hanya mengajar, membuat penyelidikan, dan sesekali memberi ceramah. Itu sahaja. Ruang untuk kami membusukkan diri dalam sistem kecurangan moral setidak-tidaknya dapat dielakkan.

Ternyata, telahan saya tidak selalu benar.

Sebenarnya, kami juga ada ruang untuk dinodai dalam sistem yang busuk ini. Dana penyelidikan yang kami terima besar jumlahnya, adakalanya sampai mencecah jutaan ringgit. Banyak mata yang sedang memerhatikan. Walaupun hakikatnya, wang itu tidak pun sampai ke tangan kami, kecuali sedikit upah kepakaran. Selebihnya ialah kos penyelidikan, membeli alatan, dan upah pembantu penyelidik.

Orang mungkin berkata saya merekayasa cerita ini.

Tidak. Saya sedang hampir ditusuk dengan bilah kejahatan ini.

Saya mendapat satu geran dari sebuah agensi (bukan universiti). Bagaimana pun, surat tawarannya belum lagi dikeluarkan. Tidak mengapa. Ia hal birokrasi.

Bagaimana pun, apabila ada bisik-bisik dari dalam kantor agensi itu (bukan universiti), agar saya segera membuat tuntutan, dan harap-harap mereka akan mendapat sedikit habuannya, saya mula berasa curiga. Saya tidak kisah kalau mereka adalah sebahagian daripada co-researcher, yang sama-sama berpenat lelah berfikir dan melakukan penyelidikan. Itu hal lain.

Tetapi, saya tidak dapat menerima hakikat ada 'sleeping researcher', apatah ia datangnya dari dalam agensi yang mengeluarkan dana. Mereka ini sepatutnya membantu penyelidik, bukannya mengharapkan habuan. Bagi saya, ia hal yang tidak bermaruah.

Kami mengajar masyarakat untuk melakukan kebaikan. Kami mendidik orang lain untuk menolak segala bentuk kecurangan. Kerana kami yang mengajarnya, kami jugalah yang akan mempertahankannya.

Kalau pun nanti semua sistem yang ada rosak, kami para akademik akan tetap menjadi benteng mempertahankannya. Kami tidak lagi akan menjadi ilmuan, kalau kami hilang integriti.

Saya menghubungi mereka, bahawa saya tidak lagi berminat dengan dana tersebut, dan menarik diri dari memulakan penyelidikan.

Sebelum ia bermula, lebih baik saya menamatkannya. Semua dari kita akan terselamat. Saya mungkin telah mencemarkan nama baik saya dengan tidak mengotakan janji. Tetapi saya telah mengotakan janji saya kepada masyarakat.

Kami mengajarnya, kami jugalah mempertahankannya.

Thursday, 8 December 2011

Budaya memberi wang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Asas kepada sitem meritokrasi yang diperkenalkan pada zaman Tun Dr Mahathir dahulu ialah untuk menggalakkan budaya bersaing dan tidak terlalu bergantung. Mentaliti subsidi dan tongkat perlu disisihkan agar rakyat mampu menjadi manusia yang lebih kuat.

Ya, kita tidak boleh sangat bergantung. Budaya subsidi sedikit sebanyak menghancurkan kita. Kalau boleh, kita ingin diberikan subsidi dalam segala hal. Selain baja, kita ada subsidi beruk. Adakalanya, kita memberi subsidi kepada orang yang tidak berhajat pun. Mereka inilah yang selalunya menjualkan baja kepada orang lain.

Tidak mengapa. Kita tutup cerita subsidi.

Sekarang ini, muncul pula budaya memberi wang. Anak sekolah diberi RM 100. Ketua isi rumah pula mendapat RM 500.

Apa semua ini?

Benarlah, sesiapa pun tidak akan menolak wang yang diberikan.

Tetapi, budaya memberi wang ini mewujudkan amalan hidup yang tidak sihat. Kita membentuk orang untuk selalu berharap. Lainlah, kalau bantuan wang itu diberikan kepada masyarakat yang ditimpa musibah, seperti banjir atau kebakaran. Itu cerita lain.

Memberikan wang RM 100 atau RM 500 tidak mengubah apa-apa dalam zaman ini. Anak-anak sekolah menghabiskan RM 10 sehari untuk membeli topup kredit pra bayar. Kita menghabiskan RM 100-200 seminggu untuk duit minyak dan tol.

Maknanya, wang sebanyak itu tidak mengubah apa-apa pun. Tetapi, ia mewujudkan budaya yang lain pula. Kita sedang membentuk manusia peminta sedekah yang sangat hina. Sedangkan, wang itu boleh dimanfaatkan untuk hal lain yang boleh memberi manfaat jangka panjang. Membaiki jalanraya di kampung-kampung atau menyediakan surau yang lebih cantik. Boleh juga menyediakan perpustakaan di setiap kampung. Ia tidak akan habis, selagi tidak dimakan anai-anai.

Sebenarnya, yang perlu dikurangkan ialah kos sara hidup. Kita buka import gula agar harga gula lebih kompetetif. Kita basmi penyeludupan beras di sempadan agar harga beras orang kampung lebih tinggi, dan dengan ini kehidupan mereka lebih senang.

Sekarang ini, kalau anda tinggal di sempadan, anda akan dengar ada PBB di sana. Semua orang tahu mengenainya. Termasuk anak-anak sekolah. Apa itu PBB? Itulah 'Penyeludup Beras Berlesen'. Kalau orang awam tahu mengenainya, mustahil pihak penguatkuasa tidak tahu.

Semua ini adalah gejala-gejala ketirisan ekonomi yang mungkin ada kaitannya dengan rasuah. Semua inilah yang menyebabkan kos yang ditanggung oleh rakyat kian meningkat.

Ketirisan ini ada di mana-mana. Ia bukan rahsia yang disimpan di dalam gua lagi. Ia rahsia yang dibincangkan secara terbuka.

Tidak perlulah kita memberikan wang RM 100 atau RM 500. Kita jangan ajar rakyat dengan hal-hal yang tidak baik.

Sekarang ini, setiap kali hari raya kita jadi gelisah kerana ada banyak budak-budak yang datang meminta wang, tetapi tidak mahu pun masuk ke dalam rumah. Banyak daripada mereka ini pula kita tidak kenal dan datang dari jauh, semata-mata untuk mendapatkan wang raya.

Tidak mengapalah. Itu budak-budak.

Jangan kita ajar orang tua hal yang sama. Takut nanti, tidak ada apa lagi yang boleh kita beri.

Kalau setiap hari raya ada anak-anak meminta wang, setiap kali pilihanraya orang tua juga akan meminta wang. Akhirnya, amalan demokrasi itu tidak ada lagi.

Yang perlu kita bendung ialah ketirisan ekonomi yang menyebabkan kos sara hidup kian meningkat. Itulah subsidi yang lebih besar nikmatnya.


Bukan memberi wang yang tidak mampu mengubah apa-apa.

Saturday, 10 September 2011

Barang basi pun kita akan membelinya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ada ura-ura syarikat telekomunikasi ingin menaikkan caj perkhidmatan pra bayar sebanyak 6 peratus. Sebulan dua yang lalu, syarikat televisyen berbayar juga cuba membuat perkara yang sama, yakni menaikkan caj perkhidmatan mereka.

Sebenarnya, banyak lagi perkara yang sudah naik di Malaysia ini. Sampai ke satu tahap, kita tidak ambil peduli lagi.

Kita mungkin tidak begitu kecewa kalau kenaikan ini mengambil kira kenaikan mutu perkhidmatan.

Di rumah aku di Changlun, seorang teman aku merungut kerana siaran televisyen berbayarnya tidak dapat menerima saluran TV1. Dia cuba membuat aduan. Dia mengadukan masalahnya. Seorang kakitangan menjawab bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kerja mereka hanya mengutip bil.

Setelah pergi ke satu pejabat, dia diminta pergi ke pejabat lain di Kangar. Sampai di sana, dia diminta pula untuk mengadukan masalahnya dengan menelefon bahagian khidmat pelanggan. Dia menjadi seperti bola, di tolak ke sana sini. Akhirnya, dia membuat keputusan memotong sahaja perkhidmatan itu. Tetapi, dia diminta untuk membayar lagi bagi pemotongan.

Rungutan juga selalu kedengaran apabila siaran tidak diterima apabila hari hujan atau mendung. Tetapi pengguna tetap juga membayar harga yang sama, sedangkan pada hari atau bilangan jam yang siaran tidak dapat diterima, ia perlu diberikan rebet.

Di kampung aku di Changlun, tidak semua perkhidmatan broadband Internet dapat diterima. Hanya satu sahaja 'line' yang boleh mengakses Internet. Itupun, dengan syarat kita perlu mencari beberapa lokasi tertentu di luar rumah, dan bukannya duduk di dalam rumah. Ini hal yang janggal dan pelik.

Sepatutnya, hal inilah yang perlu ditingkatkan dulu. Bukannya hanya mencari peluang dengan menaikkan caj dan harga.

Kelajuan internet juga kita sebenarnya tidak selaju mana. Ia begitu lembap.

Di Australia, perkhidmatan telekomunikasinya secara relatifnya murah. Pengguna juga ada banyak pilihan kerana terdapat begitu banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan. Dengan $10, anda boleh menelefon ke Malaysia selama 200 minit. Sekiranya anda melakukan topup sebanyak $30, anda akan menerima kredit sebanyak $150. Ia cukup untuk anda bercakap selama sebulan.

Bagi sesetengah syarikat telekomukasi, anda boleh membuat panggilan percuma ke talian telefon yang lain. Sesetengahnya pula menawarkan sms atau panggilan percuma kepada talian yang sama. Ia bergantung kepada pakej yang anda langgan.

Begitulah cara mereka bersaing. Kerana ada banyak syarikat, kita boleh memilih yang terbaik dan sesuai dengan corak penggunaan kita.

Dengan melakukan topup sebanyak $10, anda akan mendapat 1.8 GB akses internet. Ia lebih dari cukup kalau sekadar mengakses Internet biasa. Anda juga tidak perlu menggunakan komputer, cukup diakses internet melalui telefon bimbit sahaja - kerana ia tetap laju.

Bagaimana pun, kalau kita menggunakan perbandingan ini, nanti akan ada yang berhujah bahawa $10 itu ialah RM30. Jadi ia masih mahal. Sebenarnya, ini hujah yang selalu digunakan bagi menunjukkan negara kita masih memberikan harga yang murah.

Sebenarnya tidak. Gaji yang diterima oleh pekerja biasa - seperti tukang cuci dan pekerja kilang lebih kurang $550-650 seminggu. Jadi, nilai $10 itu sebenarnya masih kecil. Pekerja biasa kita mungkin hanya bergaji RM550-650 sebulan. Jadi nilai RM 10 itu sudah boleh dikira mahal.

Sebab itulah telefon Blackberry tidak terkenal pun di Australia sebab orang boleh mengakses Internet dari apa sahaja jenis telefon bimbit.

Tetapi, apa yang pengguna biasa boleh lakukan? Kita tidak boleh berbuat apa kalau dinaikkan apa caj sekalipun. Kita tidak ada banyak pilihan.

Pemerintah perlu melakukan sesuatu agar monopoli ini dapat dipecahkan.

Mereka yang terlibat juga perlu prihatin bagi menjaga nasib pengguna.

Seorang ahli politik apabila diajukan soalan berkaitan kenaikan caj televisyen berbayar, berkata bahawa kalau tidak ada wang, janganlah dilanggan. Ini satu komen yang sangat mengecewakan. Mereka sepatutnya memberi reaksi yang memihak pengguna, kerana mereka kita pilih untuk menjaga kita.

Kalau tidak, satu hari nanti - barang basi pun terpaksa kita beli kerana tidak ada banyak pilihan lagi. Sekarang ini pun, kita selalu menonton rancangan yang diulang-ulang.

Apa boleh kita buat?

Wednesday, 7 September 2011

Bapa borek, anak rintik

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam, aku berjalan-jalan di sekitar kampung. Pohon ketum tumbuh merata-rata. Warga dewasa dan anak mudanya juga sudah menjadikan air ketum seperti wine baru orang Melayu.

Apa parahnya air ketum ini?

Sebenarnya tidaklah ia membawa kematian kalau diminum sebaldi sekalipun. Tidaklah juga ia seperti heroin yang bakal menjadikan manusia sanggup menyamun dan mencuri. Tidak juga akan menjadikan manusia khayal seperti menagih ice yang menyebabkan orang terjatuh longkang. Ia tidak sehebat itu. Ia biasa sahaja. Ia bukan dadah dalam erti kata sebenarnya.

Bagaimana pun, ada kesan sosial yang jarang dilihat orang. Ada musibah yang lebih besar yang sedang menanti.

Bayangkan begini. Bapanya menjadi penagih tegar air ketum. Diminum pagi dan petang. Duduk berkumpul dan menghabiskan masa. Seluruh masyarakat sudah tahu siapa yang menjadi peminum tegar. Semuanya bukan orang jahat. Mereka orang kampung berhati mulia. Sayangnya, tabiat menagih air ketum ini sedang membentuk tabiat baru yang sedang diperhatikan anak-anak.

Satu hari - ada anak lelaki mereka menjadi penagih ganja atau ice. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana bapanya mampu mengur anak lelakinya?

'Ali, ayah dengar awak dah mula berjinak-jinak dengan ganja ni. Betul ke? Soal ayah.

'Kita ini sama je ayah. Saya menagih ganja, ayah menagih ketum. Tak ada beza ayah. Yang berbeza ialah bahannya saja'. Jawab anak.

Sebenarnya itulah kesan sosial yang lebih bahaya. Ia proses jangka panjang yang berlaku tanpa kita sedar.

Dalam hidup kita ini, 'bapa borek anak rintik' inilah yang sedang memerangkap masyarakat Melayu. Apabila ibu bapa tidak bersolat, mereka tidak boleh menegur anaknya yang tidak bersolat. Apabila ada ibu bapa yang berlaga ayam, mereka tidak boleh menegur anaknya yang berjudi. Kuasa menegur itu hilang apabila kita sendiri terlibat sama dengan hal yang yang kita rasa tidak patut.


Tidak pastilah, apakah orang Melayu ini hanya berfikir untuk tempoh yang pendek sahaja. Tidak seperti bangsa Cina. Mereka sudah merangka masa depan generasi mereka sejak dilahirkan lagi. Ada yang dilatih menjadi tukang, ada yang dirangka menjadi pakar. Ada pula yang dilatih menjadi peniaga.

Kita pula - kalau boleh ingin menjadikan anak kita manusia berjaya. Tetapi kita pula jarang melihat ke dalam diri kita sendiri. Kita jarang melihat kegagalan kecil kita yang sedang membina kecelakaan yang lebih besar untuk generasi depan kita.

Sayang, tidak ada seorang pun peminum air ketum yang akan membaca blog ini.

Memurnikan minda masyarakat

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Antara yang paling susah dalam hidup ialah mengubah rutin hidup.

Aku kini di Changlun. Ia pekan kecil yang biasa sahaja. Lima belas tahun dulu, tiada internet di sini. Sekarang ada beberapa buah cyber cafe. Ada beberapa buah kedai mamak yang bernyala 24 jam. Ada juga kedai serbaguna 24 jam. Ada sebuah KFC yang baru sahaja dibuka.

Ia sepertinya sedang mengalami krisis identiti.

Masa seperti ini, jam 11.16 malam - masih ramai warganya sedang minum kopi dan teh tarik. Cyber cafenya masih jenuh dengan budak sekolah bawah umur - sepertinya masih bersekolah rendah yang sedang bermain game. Siapa ibu bapa mereka? Tidakkah ibu bapa mereka mencari mereka - atau ibu bapanya sedang kalut mencari wang pada jam seperti ini?

Di Adelaide - jam 11 malam - aku sudah lama bermimpi. Anak muda yang dikatakan kafir juga sudah lama lena. Yang dikatakan negeri pengeluar wain terbesar juga tidak ada lagi yang merayau dan berlegar di sana sini. Tetapi di negara yang setiap hari orang sedang sibuk dengan pemurnian agama - yang sedang sibuk dengan mencari siapa yang paling baik dalam mengikuti ajaran agama - mencari tajdid baru - anak-anak sekolahnya pula sedang sibuk bermain games.

Sepatutnya, anak-anak sekolah inilah yang dimurnikan cara hidupnya. Anak-anak yang leka inilah yang patut dikejutkan dari mimpi kelamnya. Bukan menambah kusut lagi perdebatan agama yang tidak kunjung padam. Bukan mencari siapa yang terlebih sesat di antara kita. Anak-anak dan masyarakat yang sedang 'sesat' inilah yang patut dimurnikan.

Changlun satu waktu dulu hanyalah pekan kecil yang tidak ada apa-apa. Sekarang ini, ia bukan lagi Changlun yang dulu. Ia kota para penagih ice, heroin, ganja dan ketum. Ia kota anak-anak muda belasan tahun merempit. Beberapa hari dulu, ada seorang pelajar sekolah menengah mati terlanggar kereta ketika sedang menunjukkan aksinya.

Krisis identiti ini sedang lahir di mana-mana. Tatkala Universiti Utara Malaysia menjadi destinasi para ilmuan berbincang teori dan ilmu pengetahuan baru, nampaknya ia tidak mengubah apa-apa terhadap minda warga masyarakatnya. Bahkan, ia menyebabkan Changlun berubah menjadi kota yang asing untuk warganya sendiri. Ia membangun dengan cepat - hingga ada di kalangan kita tidak sempat mempersiapkan diri.

Kasihan anak-anak muda ini.

Mereka terperangkap dalam pembangunan fizikal yang pantas, tetapi sayangnya ia tidak sama-sama membangun minda mereka.

Sebab itulah - para pembuat polisi perlu bertanya sedikit nasihat para pemikir sosial dalam merangka pembangunan fizikal. Kita tidaklah perlulah sangat begitu cepat untuk menubuhkan bandar baru, menyediakan lebuhraya atau membangunkan rumah mewah - kalau masyarakatnya tidak pula dibekalkan dengan sedikit bekal untuk hidup dalam pentas baru. Minda masyarakat setempat perlu dikaji terlebih dulu.

Sayangnya, ia kini sedang menjadi masalah untuk kita semua. Sebab itulah, kalau anda melihat kewujudan rumah pangsa yang menempatkan warga setinggan yang dipindahkan - walaupun rekabentuk rumah sangat cantik, tetapi ia sangat kotor. Kain baju digantung di sana sini. Sampah dibuang sesuka hati. Anak-anak masih kecamuk.

Sebabnya mudah sahaja - kita hanya memajukan fizikal kota, dan bukan 'mengotakan' minda masyarakat. Kita hanya berharap untung wang ringgit, tetapi mengabaikan untung nilai masyarakat. Pembangunan Kampung Baru juga mungkin berhadapan dengan masalah yang sama kalau profil sosial warganya tidak dikaji terlebih dulu.

Krisis identiti ini sedang berlaku di mana-mana.

Changlun juga tidak terkesamping. Ia sedang berdepan dengan kekusutan dan krisis identiti yang mungkin lebih parah dari kota New York.

Saturday, 12 March 2011

Kita tidak harus tahu menyebutnya sahaja

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Terdapat bantahan beberapa NGO terhadap cadangan pembinaan tapak pelupusan tanah jarang di Pahang. Baca sini.

Secara jujurnya, adakah orang awam seperti kita faham apa yang dimaksudkan radiasi. Fahamkah kita juga dengan apa yang dikatakan sebagai sisa pepejal. Tahukah kita juga dengan apa sebenarnya yang dikatakan sebagai nuklear.

Kita hanya selalu mendengar cerita bom yang dijatuhkan di Hiroshima, Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Itu pun cerita yang sama yang diulang-ulang. Kita hanya bercerita tentang orang yang mati terbakar kerana ledakan bom. Cerita ini sesekali akan muncul apabila duduk berbual dengan orang kampung di kedai kopi.

Tetapi apakah radiasi? Apakah orang kita tahu apa maknanya. Tentu tidak ada seorang pun di kampung kita yang tahu dengan cerita tragedi besar di Chernobyl tahun 1986. Tidak juga pernah disebutkan oleh guru sekolah kita di sekolah. Tidak ada siapa ambil peduli dan ambil tahu.

Sebab itu - dalam banyak hal - masyarakat kita hanya diam apabila dibawakan pembangunan berisiko tinggi ke tempat kita. Tidak ada siapa pun yang ambil peduli. Kita mungkin merasa berbangga kerana di kampung kita dibangunkan bangunan baru, dan ada beberapa anak kampung diambil berkerja sebagai jaga. Itu sahaja yang kita tahu untuk dijadikan modal bercerita.

Kita tidak tahu cerita risikonya. Kita tidak tahu bahayanya. Kita tidak ambil peduli apa bakal terjadi kalau sesuatu yang buruk berlaku. Kerana bagi kita istilah 'radiasi' dan 'sisa pepejal' hanyalah patah kata yang tidak ada maknanya. Ia mungkin sama nilainya dengan pembuangan besi buruk sahaja.

Kalaulah kita tahu - tentu kita akan membaca dan banyak berfikir.

Jepun sedang dilanda tsunami. Sistem penyejuk salah satu loji nuklearnya tiba-tiba tidak berfungsi. Tidak ada siapayang tahu apa puncanya. Semua orang sedang kelam kabut. Sesuatu yang lebih buruk dari tsunami bakal berlaku kalau masalah teknikal ini tidak dapat diatasi. Hari ini, salah satu tiang konkrit loji pula patah. Ia menakutkan bagi orang yang tahu makna radiasi. Tetapi bagi orang yang anggap radiasi hanya sama maknanya dengan besi buruk - ia mungkin tidak ada apa-apa.

Kalau Jepun, negara yang semaju itu dalam dunia teknologi - dengan sistem dan budaya keselamatan tempat kerja antara yang terbaik dunia - tidak menduga yang sistem loji nuklearnya tidak mampu berfungsi dalam keadaan yang tidak terduga, bayangkanlah pula senario di negara dunia ketiga.

Radiasi dan sisa pepejal - jangan hanya tahu menyebutnya sahaja. Kita patut membaca dan mengkajinya juga. Kalau kita tidak sayangkan diri kita pun, kasihanilah generasi depan kita yang kini mungkin belum lagi bersenyawa. Radiasi mungkin boleh menjejaskan mereka.

Monday, 28 February 2011

Fenomena pelik, atau kita yang pelik?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Fenomena pelik, atau kita yang pelik?

Entah mengapa, Kepala Batas sering menjadi lokasi fenomena aneh. Beberapa tahun dulu, ada pokok pinang yang mempunyai pelepah muka manusia. Yang terbaru, pokok petai mengeluarkan air mata. Seperti biasa, kedua-dua fenomena ganjil ini akan menjadi perhatian manusia.

Banyak lagi fenomena pelik yang sedang membuatkan kita menjadi begitu kagum. Setahun dulu, ada kisah sejadah sembahyang. Di Kuala Terengganu, mereka sedang sibuk ingin mengadakan pameran hantu.

Apabila anak lari dari rumah, kita katakan mereka dilarikan hantu. Kita tidak mampu berfikir secara rasional kerana minda kita tidak disuapkan dengan pengetahuan dan kemahiran ilmu.

Apakah yang sedang melanda masyarakat kita. Fenomena pelik, atau kita yang pelik?

Selagi mana masyarakat kita tidak berminat membaca buku atau berfikir secara rasional, maka selama itulah kita akan menjadi manusia pelik melihat fenomena alam.

Sebab itulah kini, filem hantu dan puaka banyak menghiasi stesen televisyen dan wayang. Pembikin filem tahu - itulah tema terbaik mendapatkan untung. Mereka tahu, sejauh itulah tahap pemikiran masyarakat kita.

Kasihan kita.

Kita menjadi manusia pelik di sebalik tabir alam yang tidak pelik.

Wednesday, 29 September 2010

Budi Bahasa Budaya Kita

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tertarik membaca tulisan anak muda, Teja berkaitan mutu perkhidmatan awam kita, walaupun apa yang diceritakannya itu bukanlah sesuatu yang menarik. Beliau yang baru sahaja lulus universiti di luar negara, di tempat yang semua kakitangan awam telah melayannya dengan begitu baik - tentulah terkejut dengan apa yang ditemukannya di dalam negara yang menggunakan slogan 'Budi Bahasa Budaya Kita'.

Slogan itu tidak akan ditemukannya walaupun dia berjalan dari Kutub Utara sehingga ke Kutub Selatan.


Sebenarnya - itulah persembahan budaya perkhidmatan kita. Aku sebenarnya tidak sedikit pun terkejut dengan proses 'birokrasi' yang diciptakan sendiri oleh segelintir kecil manusia yang berasa dirinya sebagai tuan. Dan orang yang berurusan dengan mereka tidak akan lebih pandai daripada mereka.

Mereka merasakan mereka majikan, sedangkan mereka terlupa rakyat yang menjadi pelanggan itulah yang membayar gaji mereka. Kesombongan ini berakar umbi betapa mereka tidak akan boleh dibuang pekerjaan dengan mudah, dan mereka akan selalu betul.
Budaya menjadi 'tuan' segelintir manusia ini menyebabkan sistem perkhidmatan awam kita hilang budinya, rosak bahasanya.

Pernah sekali aku ke pejabat pos di Changlun untuk memperbaharui lesen. Aku biasanya akan memperbaharui lesen untuk tempoh dua atau tiga tahun. Jadi aku tidak perlu beratur panjang untuk urusan yang tidak produktif itu.

Satu hari, aku pergi ke pejabat pos. Duduk di kaunter khidmat pelanggan itu ialah seorang wanita. Aku pun bertanya: "
berapa bayaran untuk setahun". Dia tidak menjawab soalan yang ditanya, sebaliknya dengan garang bertanya aku semula: "Itu pun tak tahu ka?". Aku jadi pelik. Sepatutnya dia hanya perlu menjawab berapa jumlah wangnya sahaja, bukan menengking pelanggan tidak tahu fasal.

Tidak tahu jumlah bayaran bukanlah satu kesalahan di negara yang menggunakan slogan
"Budi Bahasa Budaya Kita". Yang menjadi salahnya ialah apabila tidak membayar lesen.

Tetapi begitulah yang terjadi.

Aku belum pernah menjadi penjawat awam. Cuma beberapa tahun terakhir ini, aku mula belajar memahami sistem perkhidmatan kita yang 'menarik' lagi berbudi bahasa itu. Aku sudah tidak kecewa lagi kalau aku menghantar emel kepada jabatan kerajaan bertanyakan hal yang penting, dan tidak seorang pun akan menjawabnya. Malah, pernah aku mengirimkan emel kepada seorang timbalan menteri juga tidak dijawab. Aku berasa begitu bahagia apabila timbalan menteri yang baru dilantik itu hanya kekal tidak sampai sepenggal.

Malah, aku juga tidak akan berasa kecewa juga kalau setiap kali telefon, talian kita itu diarahkan kepada pegawai tertentu sebagai kononnya urusan kita itu di tangan pihak berkenaan. Kemudiannya, apabila kita menelefon kakitangan terbabit, mereka pula menjawabnya itu bukan urusan mereka. Sebaliknya urusan orang yang kita telefon sebentar tadi. Apabila kita menelefon semula, pegawai tadi menjawabnya, '
Oh ya ke. Nanti saya semak".

Ini bukanlah hal yang lama terjadi. Baru seminggu yang lalu aku mengalaminya.

Begitulah peliknya tatacara birokrasi yang tentulah tidak ada dalam 'standard operation procedure (SOP)' ISO siri apa pun. Di tempat kerja aku dulu, aku salah seorang yang merangka SOP ini. Ketika berkerja di kilang, aku juga sudah terbiasa dengan SOP ini.

Cuma aku berasa hairan mengapa di tempat kita, semua organisasi begitu ghairah untuk mengaplikasikan ISO kalau akhirnya hasil yang serupa juga yang pelanggan dapatkan. Di negara Barat, jarang kita melihat ada logo sistem kualiti ini. Tetapi kualiti mereka begitu baik. Ia tidak bergantung kepada sistem, tetapi manusianya.


Di negara luar, kita tidak perlu telefon atau bersemuka bagi hal tertentu. Emel sudah cukup bagi menerangkan masalah kita, dan jangan bimbang tidak lebih 24 jam emel kita akan dijawab. Kalau tidak dijawab pun, ada respon automatik menunjukkan mereka bercuti atau berada di luar pejabat. Borang hanyalah bagi tujuan rasmi setelah semua perbincangan kita melalui emel berlaku.

Lain pula caranya di tempat kita. Kita perlu mengisi borang dahulu. Emel ialah bagi tujuan follow-up. Itu pun kalau ada yang menjawabnya. Kalau tidak, kita perlu berulangkali bertanya melalui telefon. Itu pun kalau ada yang ingin membantu.

Tidak pastilah sama ada kakitangan awam kita semakin sibuk dengan pekerjaan, atau semakin terbeban dengan ISO sehingga mereka tidak mampu melayan kerenah pelanggan. Kita juga, sebagai pelanggan - tidak selalu mampu melayan kerenah penjawat awam yang bersifat 'tuan' ini.

Jadi - ada baiknya kita jangan marahkan sesiapa, kerana itulah Budi Bahasa Budaya Kita!

Semua anak muda yang baru lulus universiti dan kini berkerja dalam sistem perkhidmatan awam, patut mengubah hal ini. Kita tidak perlu menukar sistem, tetapi tukarlah manusianya.

Sunday, 29 August 2010

Teruk sangatkah Islam ini?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di penghujung tahun 1990-an dulu, ketika itu ramai pembaca blog ini mungkin masih remaja atau masih di sekolah rendah. Ada satu cerita yang tersebar dengan begitu meluas - bagaimana seorang manusia Islam telah mati dan kemudian mayatnya berubah menjadi seekor babi. Cerita itu menjadi sangat kontroversial dan menjadi buah mulut. Tidaklah pula diketahui sama ada cerita itu benar atau tidak, tetapi ceritanya dijaja di mana-mana. Ia kononnya diceritakan oleh seorang pembantu imam masjid di sebuah negeri.

Kita berhenti sejenak berfikir cerita ini.

Cerita ini mungkin benar, dan mungkin tidak. Tidakkah cerita ini sangat menakutkan. Ia menakutkan kita orang Islam, dan tentulah juga orang bukan Islam. Bagaimana pun, pada hemat aku yang tidak pintar ini - cerita ini yang telah diperbesarkan tidaklah pula membantu meningkatkan iman manusia. Ia hanya menakutkan orang bukan Islam mendekati Islam. Ia membuatkan mereka bertanya, mengapa mati sebagai kafir tidak menjadi babi. Tetapi mati sebagai orang Islam yang jahat berubah rupa pula sebagai babi.

**************************

Inilah bahayanya apabila hal mengenai Islam disensasikan menjadi topik melariskan akhbar, atau meningkatkan populariti ahli politik.

Sebenarnya dalam adab belajar agama - ada hal yang tidak boleh diceritakan kepada umum, dan ada yang digalakkan. Ada yang hanya boleh dibincangkan dalam majlis ilmu, dan ada yang boleh diceritakan kepada orang ramai.

Apa perkara yang tidak boleh. Tidak boleh bukan kerana pandangan itu tidak kuat. Tidak boleh kerana bimbang orang menyalahgunakannya.

Antaranya pandangan kuat mazhab Syafie yang menyatakan wanita yang berkahwin dan mengandung selama 6 bulan, dan kemudiannya melahirkan anak tadi, anak yang dikandungnya itu akan menjadi anak kepada bapa yang mengahwinkan wanita tadi dengan syarat perkahwinan itu berlaku dalam tempoh 6 bulan itu.

Mengapa tidak boleh dibincangkan kepada umum? Takutnya ada orang yang jahil menyalahgunakan pengetahuan ini. Mereka melakukan penzinaan dahulu. Kemudiannya setelah mengandung, beberapa hari cukup 3 bulan, baru berkahwin. Sebab itu, hal seumpama ini hanya diajar di dalam perbincangan agama.

Banyak juga hal-hal berkaitan agama - hanya boleh dibuat amal kepada diri sendiri, dan tidak boleh dipetuakan (fatwa) kepada orang lain. Ini kerana ada hal-hal yang mungkin dibawa dari pandangan yang lemah dari mazhab yang lain, atau dari hadis yang kurang kuat. Hal-hal ini juga jangan diperdebatkan. Kalau orang berdebat, kita diam sahaja kerana ia tidak akan menyelesaikan cerita.

Banyak hal berkaitan sembahyang jamak atau kelebihan berpuasa pada hari tertentu ada dalam kategori ini.

***************************

Dua tiga hari ini - heboh satu Malaysia berkaitan doa untuk Lim Guan Eng dan juga seorang ahli exco sebuah negeri, sebagai kononnya memberikan 'tazkirah' di dalam surau. Cerita ini terjaja dalam suratkhabar dan televisyen. Cerita ini diberikan ulasan oleh ahli politik dan tokoh agama. Ia sensasi. Ia menakutkan. Muncul di celah-celah ada surau disimbah cat, dan seorang pengetua mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Kejam sangatkah orang Islam ini. Tidak progresifkah kita?

Orang mula sangsi dengan kita - tatkala exco tidak dibenarkan bercakap hal pekerjaannya di dalam surau (bukan masjid) - tetapi kita membuka pula Masjid Putrajaya untuk lawatan kepada orang bukan Islam. Bukan sekadar hanya untuk orang bukan Islam di negara kita, tetapi orang Jepun yang beragama Shinto juga boleh melawatnya. Orang yang athies tidak beragama pun boleh juga.

Mengapa Masjid Putrajaya boleh, dan tidak surau kecil di Kajang.

Sepatutnya - ada papan tanda memberitahu hal yang boleh dan tidak kepada orang bukan Islam di dalam rumah ibadat kita. Biar ada prosedur yang jelas. Bukan setakat menghukum sahaja. Jangan ada tempat yang boleh, dan ada tempat yang tidak.

Sama ada boleh atau tidak orang bukan Islam didoakan, atau orang bukan Islam memasuki rumah ibadat kita sebenarnya bukanlah hal yang besar sangat bagi orang yang belajar agama.

Masalahnya hal ini sengaja disensasikan untuk menjatuhkan maruah indidividu lain. Mungkin juga bagi menunjukkan kita lebih alim, atau barangkali ada kepentingan politik tertentu. Ia sama seperti cerita mayat orang Islam mati menjadi bangkai babi.

Tidakkah ini telah tidak menjadikan Islam itu sangat ditakuti, anti persaudaraan dan sangat suka bermusuhan. Jangan hanya gembira mendengar cerita Cat Steven masuk Islam. Sesekali marilah kita berdukacita betapa kerana banyak perbuatan kita itu telah tidak mempromosikan orang untuk masuk Islam.

Sebab itulah agaknya orang sangat prejudis dengan Islam. Sebenarnya ketakutan itu bukan kerana ajaran Islam itu - tetapi cara kitalah membuatkan Islam itu telah dipandang serong.

Semuanya bermula kerana kita ingin mencari sensasi. Kita berfikir perut kita sahaja, tetapi tidak berfikir hal besar yang lebih utama.

Katakanlah Lim Guan Eng tidak boleh didoakan sekalipun, atau Exco wanita itu tidak boleh masuk ke surau - mengapa harus disensasikan.

Kita boleh bertindak secara diam-diam sahaja. Ia hal yang mudah sahaja. Ia tidak sebesar masalah menyelesaikan kemelut rasuah dan kemiskinan di kalangan umat Islam. Ia tidak sekalut cerita di Afghanistan, Palestin dan Iraq yang setiap hari bersahur dengan peluru, dan berbuka puasa dengan serpihan bom.

Sunday, 20 June 2010

Selamat tidur Penjara Pudu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sedih sekali mendengar berita, Penjara Pudu yang berusia 100 tahun - salah satu tinggalan sejarah yang menceritakan tamadun bangsa - akan dirobohkan. Memang benar, ia bukan tempat orang baik. Tetapi inilah tempat yang mengajar manusia untuk menjadi mulia. Sayangnya, kerana dunia hari ini - tidak ada sesiapa lagi yang sibuk untuk mempertahankan warisan, kita membiarkan Penjara Pudu dirobohkan begitu sahaja.

Semuanya kerana kita tidak lagi diasuh untuk sayangkan warisan budaya kita. Orang lebih rela mendengar pandangan ahli ekonomi yang menyusun rumus jutaan untung, dari mendengar sirah ahli sejarah bagaimana sesebuah bangsa itu jatuh. Tidak banyak negara yang bertindak seperti kita. Di Australia - rumah buruk yang ada nilai sejarah akan digazetkan sebagai bangunan warisan. Pemiliknya tetap boleh tinggal di dalamnya, tetapi tidak ada sesiapa yang boleh merubahnya. Apatah lagi merobohkannya.

Aku menemui banyak rumah seperti ini. Satunya di Melbourne Street di North Adelaide. Satu lagi hanya tinggalan rumah runtuh di atas Adelaide Hill di Warrawong. Ada juga sebuah rumah seperti ini di Innes National Park, York Peninsular.

Ikon sejarah lain - seperti tempat perhentian keretapi sekalipun tidak boleh dipinda atau dirubah sesuka hati. Semuanya ditinggalkan untuk menceritakan salur galur perjalanan bangsa.

Inikan pula penjara besar negara yang ada sejuta cerita manusia di dalamnya. Ia menceritakan bagaimana penjajah memenjarakan anak bangsa kita. Ia juga mencatatkan cerita kejam manusia. Tentu sahaja - sebagai penjara ia telah banyak menyelamatkan masyarakat di luarnya dengan mengurung manusia kejam dan tiada berbudi bahasa.

Sayang - bagi kita semua itu tidak ada makna. Penjara buruk seperti itu tidak akan setanding dengan gedung membeli belah atau hotel mewah yang membawa pulangan wang ringgit. Sayang, tidak ramai yang sedih dengan berita perobohan ini. Orang lebih kecewa kalau England bakal tewas dalam pertandingan seterusnya, dan bakal melenyapkan impian mengejar Piala Dunia. Tetapi orang tidak kisah pun penjara warisan penjajah Inggeris itu musnah begitu sahaja.

Apakah dosa Penjara Pudu? Dosanya bukan kerana pernah menjadi tempat menggantung manusia. Juga bukan kerana ia pernah mengurung penjenayah kejam. Dosanya ialah kerana ia letak di tengah bandar. Dosanya kerana ia tidak mendatangkan pulangan wang ringgit. Maka - kalau dulu ia menjadi tempat menghukum manusia - kini Penjara Pudu sedang dihukum.

Apa salahnya kalau kita kekalkan ia sebagai warisan sejarah bangsa. Kita boleh menjadikannya sebagai pusat latihan penjara. Kita juga boleh menjadikannya sebagai pusat tumpuan pelancong bagi menginsafkan masyarakat. Kita juga boleh menghidupkannya sebagai pusat latihan forensik atau pencegahan jenayah. Semuanya boleh kita lakukan.

Syaratnya - kita ada keazaman politik yang kuat. Syaratnya kita tidak melihat semua perkara dengan rumus untung rugi pulangan ringgit.

Apakan daya kita. Kini subjek sejarah pun sudah lama dianggap sebagai teks menceritakan mitos sahaja. Tidak ada sesiapa memandangnya. Apatah lagi ingin mempelajarinya.

Sampai satu saat nanti - tidak ada apa satu pun yang akan ditinggalkan lagi untuk tatapan generasi akan datang. Anak-anak kita bakal menepuk dada mendongak bangunan tinggi dan gedung mewah, tetapi terlupa di mana sebenarnya dia berdiri! Dia terlupa sejarahnya sendiri.

Selamat tidur Penjara Pudu. Teruslah bermimpi pemimpin bangsaku.

Wednesday, 21 April 2010

Krisis 'harga' politik kita

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mungkin tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mana ahli politiknya melompat parti setiap bulan. Mungkin juga tidak ada satu pun ahli politik dalam dunia ini yang mengamalkan budaya lompat parti. Mungkin juga tidak ada lagi perbendaharaan kata dalam teori sains politik bagi menceritakan budaya lompat parti.

Tetapi semua itu ada di Malaysia. Ia menjadi fenomena baru politik kita. Ia menjadikan kita sama jenakanya cara berpolitik dalam filem Hindustan. Kita mungkin tidak tahu bahawa orang luar sedang ketawa berdekah-dekah melihat cara kita bermain politik.

Kedangkalan kita bermain politik itu sama teruknya dengan caragaya kita berkempen. Kita masih bermain dengan isu lapuk. Kita masih bercakap hal yang bodoh. Menjadikan orang tidak tahu apakah misi utama yang dibawakan oleh bakal wakil rakyat kita.

Sebab itu kempen pilihanraya di Malaysia kini dianggap satu pesta. Ia menjadi 'funfair' tempat orang berhibur melepaskan duka. Orang kita suka mendengar hal-hal kecil. Hal-hal lawak. Bukan lagi hal polisi. Bukan hal yang membawa kebaikan negara jangka panjang.

Berbondong-bondong orang pergi mendengar ceramah politik - sama seronoknya seperti kegilaan anak muda kita ingin menonton konsert Wings atau XPDC di tahun 90-an.

Kedangkalan bermain berpolitik - dan juga cara pengundi kita memilih calon - sama-sama menjadikan korpus politik Malaysia semakin menggelikan. Orang kita sangat mudah memberikan undi. Kita mudah memberikan undi dengan hanya diberikan sebotol air mineral. Dengan kerana hanya ada orang datang ke rumah kita, duduk bersila dan sembang-sembang, kita dengan cepat menjadi manusia baik hati.

Kita terlupa bahawa orang yang sama itulah yang datang 4 atau 5 tahun dahulu. Percayalah, dia tidak akan datang lagi selepas hari mengundi. Tetapi kerana kebaikannya menepuk belakang bahu kita, kita terlupa semuanya. Kita hanya menjadi 'raja' untuk berberapa minit. Sedangkan, selepas mereka menang, mereka akan menjadi 'maharaja' untuk beberapa tahun.

Sebab harga undi kita semakin murah, dan alasan kita mengundi juga semakin mudah - maka ahli politik tidak hairan lagi untuk melompat parti. Undi bukan lagi sesuatu yang ada harga. Ia sama tidak bernilainya dengan harga diri pemimpin yang telah kita pilih.

Semakin jenakanya politik kita dari hari ke sehari - menjadikan ada sebab untuk kita berfikir cara baru mengendalikan pilihanraya. Kita mungkin perlu berfikir cara lawak politik yang lebih bodoh lagi pada masa hadapan. Kita mungkin boleh mengundi secara sms, dan ahli politik pula boleh menjajakan lawak mereka di kaca tv - seperti yang dibuat dalam program idola hiburan masa kini.

Ia pasti bakal mencipta rekod baru dunia. Bukankah kita ini suka menjadi yang pertama dalam semua hal?

Biar orang bising-bising dengan cara kita. Biar orang tersenyum sumbing melihat keunikan kita.

Kita ada alasan kukuh bagi menjawab semua kritikan orang.

Inilah makna demokrasi. Kita boleh berbuat apa sahaja. Politik kita, cara kita.

Wednesday, 7 April 2010

Kita memang sentiasa menjengkelkan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau kita melihat kepada senario politik tanahair sejak beberapa tahun terakhir ini - terdapat dua perkara utama yang sering dilaporkan. Pertamanya kes saman di antara satu sama lain. Keduanya, kes laporan polis bagi sesuatu isu.

Walaupun dunia demokrasi membenarkan hal itu - saman dan laporan polis, tetapi kecenderungan dua perkara itu bukanlah sesuatu yang baik. Tatkala negara sedang mengalami banyak masalah kes tertunggak yang tidak sempat diselesaikan mahkamah, kita ditimbunkan lagi dengan masalah kes saman.

Begitu juga dengan laporan polis. Negara sedang menghadapi banyak masalah lain. Masalah jenayah, penculikan, masalah sosial dan segala macam isu yang wajar ditangani oleh pihak polis. Bagaimana pun, mereka kini diberatkan pula dengan laporan polis bagi isu yang adakalanya remeh sahaja. Adakah patut kita membuat laporan polis hanya kerana ada ahli politik tersalah cakap atau menyatakan pandangan mereka bagi sesuatu perkara. Sedangkan, banyak hal lain lagi yang patut ditangani.

Sewajarnya - jika benar kita ingin menyaman seseorang atau membuat laporan polis - sewajarnya ia melibatkan isu yang menjejaskan masyarakat. Mengapa tidak ada orang yang menyaman peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati. Atau, kenapa tidak ada orang yang membuat laporan polis melihat ada anak muda merempit siang dan malam dan mengganggu ketenteraman penduduk.

Kini - undang-undang telah dijadikan medium baru mencari populariti. Penyakit sebenar masyarakat tidak sempat kita selesaikan.

Nampaknya kecenderungan bagi kedua-dua hal ini telah dilakukan oleh orang yang ada nama dan berada. Mereka yang berkedudukan ini bijak menggunakan segala ruang yang ada.

Ia adakalanya menjengkelkan.

Saturday, 27 March 2010

Persatuan Blog Melayu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tajuk itu tidak ada kena mengena dengan catatan di bawah ini.

Aku merasa perlu menulis tajuk itu - kerana setiap hari akan ada sahaja orang yang tiba-tiba terbangun dari tidurnya, dan membisingkan seantero dunia bahawa mereka adalah pejuang. Mereka berseminar. Mereka menubuhkan persatuan. Mereka membincangkan permasalahan Melayu.

Aku kagum dengan para pejuang-pejuang ini. Dahulu mereka berparti. Mereka terjun dari satu pasukan ke satu pasukan yang lain. Mereka tetap bercakap hal Melayu. Mereka sungguh berani. Suara mereka lantang. Mereka sangat terkenal.

Bila mereka hilang jawatan, hilang kuasa - mereka mencari bahtera yang lain. Dari satu kapal ke satu kapal, mereka merentas samudera perjuangan Melayu. Kerana mereka pejuang tulen, yang beranu, mereka mudah tersingkir. Biasalah, mana ada pejuang tulen yang disukai oleh manusia hari ini.

Kerana mereka ini pejuang tulen, mereka tetap melawan. Mereka berpersatuan pula. Bagus. Niat mereka murni. Mereka ingin membela Melayu. Mereka ingin memajukan orang Melayu. Mereka berforum dan berseminar lagi. Masalah orang Melayu dibentangkan lagi. Satu demi satu. Panjang masalah orang Melayu ini mungkin sudah sampai ke bulan.

Anehnya, walaupun banyak pejuang, masalah orang Melayu yang bertimbun tak selesai juga.

Salah satu dari masalahnya ialah ialah terlalu ramai di kalangan kita yang ingin menjadi jagoan bangsa. Setiap orang ada agendanya. Setiap orang ada mimpinya.

Semuanya ingin jadi pemimpin. Semua ingin jadi presiden. Kita ada begitu banyak persatuan. Ada juga banyak NGO. Ada persatuan pelajar. Ada persatuan usahawan. Ada persatuan nelayan. Ada pertubuhan politik. Ada yang membela bahasa. Semuanya menggunakan perkataan Melayu di hujungnya. Sekarang mungkin beratus, bahkan beribu.

Persatuan yang banyak ini sekarang ini sudah menjadi satu lagi senarai permasalahan orang Melayu. Ia memecahkan lagi kita.

Kadang-kadang aku jadi curiga. Aku jadi tidak percaya lagi dengan semua ini. Adakah nama Melayu itu digunakan bagi tujuan populariti, atau itu memang niat yang murni.

Bagi aku - kalau semua orang ikhlas berjuang, tanpa mahukan nama, tanpa mahukan populariti - kita akan berjaya. Perjuangan orang Melayu bukanlah pentas Akademi Fantasia yang perlukan orang menyebut nama tanpa henti.

Aku pun - mungkin bakal jadi manusia terkenal juga jika aku tubuhkan Persatuan Blog Melayu. Aku jadi presidennya. Masalah orang Melayu tak akan selesai juga. Kerana aku hanya inginkan populariti.

Jangan bimbang - kalau gagal, nanti aku tubuhkan persatuan baru. Aku tetap juga presidennya.

-----------------------
NOTA
Sebab itu juga - mungkin generasi hari ini tidak begitu kenal dengan Pak Sako, Ahmad Boestaman, Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Mereka tidak terkenal. Tetapi mereka yang tidak terkenal inilah pejuang tulen.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails