Yang Ikut

Showing posts with label penyelidikan. Show all posts
Showing posts with label penyelidikan. Show all posts

Monday, 8 July 2013

Kajian filem Hindi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku mengadakan bengkel SEM-AMOS di Bandar Baru Bangi.

Sebab ia berkait dengan penyelidikan,  mungkin ada baiknya kita mulakan tulisan kali ini dengan tajuk seumpama itu.

Apa yang selalu kita jangkakan daripada filem Hindustan?

Biasanya hero akan kalah dahulu, dan menang kemudian. Dalam filem Hindi juga, ia diplotkan dengan jalan cerita yang sama, menari, sari, keretapi, bunga dan hero yang susah untuk mati. Ia akan berakhir dengan happy ending

Ia adalah plot cerita sejak berpuluh tahun lamanya.

Fokus. Fokus. Fokus. Apa yang fokus?

Ringkasnya, jalan ceritanya sudah sedia difahami dan dijangkakan. Tiada pembaharuan. Semuanya sudah boleh mengagak apa yang berlaku dan apa yang bakal berlaku. Kalau ada yang berubah pun, hanya pelakonya sahaja.

Begitulah analoginya kalau penyelidikan kita juga menggunakan pendekatan yang sama. Plotnya mudah difahami. Walaupun masa tayangnya panjang, keputusannya sudah boleh dijangkakan. Tiada perubahan yang mengkagumkan. 
AMOS tidaklah merupakan software yang susah. Tidak juga canggih. Pada akhirnya, ia hanya sekadar alat pemprosesan data. Ia tidak akan menambah apa-apa kalau kaedah kutipan data dan metodologi yang digunapakai tetap menggunakan pendekatan lama.

Apakah plot penyelidikan kita?

Cross-sectional. Menambah beberapa pembolehubah baru. Mengulang-ulang kajian lama. Tebal. Bagaimana pun, apa yang kita tulis dan kaji mungkin sudah boleh dijangkakan dan diketahui ulang. Pelakonnya (aka. responden) mungkin berlainan. Tetapi, ceritanya sama sahaja. 

Ia seperti filem Hindustan. Penat ditonton, tetapi membosankan. 
Ini pelajar aku yang sudah menjadi pelakon utama dalam kebanyakan workshop yang aku adakan. Yulita, seorang pelajar Ph.D - Bright Sparks, dan Fiza, seorang pelajar master. Kedua-duanya menggunakan analisis longitudinal dan multi-level.
Begitulah berakhirnya sebuah penyelidikan kalau kita tidak berani berubah. 

Siapakah yang patut menjadi agen perubahan?

Friday, 7 December 2012

Bagaimana untuk gagal PhD?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ada seseorang bertanya, adakah yang gagal PhD?

Kita selalu bercakap hal indah. Ada juga hal yang buruk.

Banyak dari kes kegagalan PhD bukanlah kegagalan dalam istilah sebenarnya. Kegagalan ini dalam erti kata tidak sempat siap, sedangkan tempoh maksimum pengajian sudah tamat. Ia selalu berlaku di kalangan pelajar sains apabila experimen tidak mahu menjadi. 

Ada yang tidak dibenarkan untuk meneruskan pengajian setelah gagal 'candidature defence'. Panel merasakan tajuk atau topik atau skop kajian tidak relevan dan mencapai tahap kesarajanaan PhD. Hal seumpama ini banyak berlaku di luar negeri.

Ada juga pelajar yang tidak sehaluan dengan penyelianya. Penyelia tidak memberikan sokongan untuk meneruskan pengajian. Ada yang lain, yang penyelianya menghantarkan surat kepada penaja bahawa pelajar tidak layak untuk belajar.

Semua ini menjadikan mereka ini gagal.

Ada pula yang memang gagal mutlak. Calon telah menghantar tesis untuk dibaca pemeriksa, dan pemeriksa memberikan markah gagal.

Mengapa gagal?

Aku sesekali menjadi pemeriksa dalaman. Aku pernah membaca tesis dalam kategori gagal ini. Apabila membaca, biasanya aku akan membelek dahulu bibliografi di belakang tesis tersebut. Apabila tidak ada bahan utama, atau rujukan yang ditulis oleh mereka yang mendominasi bidang yang dikaji, besar kemungkinan tesis ini akan menjadi entah apa-apa.

Sebabnya calon mungkin tidak cuba menguasai topik, sebaliknya menulis mengikut suara hati atau 'cakap dengar' sahaja. Topik kajian mungkin baik, tetapi malangnya telah tertangkap muat segala teori dan metodologi yang digunakan. Ia bukan untuk memudahkan mereka menjalankan kajian, tetapi untuk membolehkan tesis dilihat tebal.

Sususan ayat dan para tidak ada kesinambungan.

Ini menjadikan kami merasa sedang berlaku plagiat dalam tesis ini, ditambah pula tidak ada citation untuk menguatkan hujah.

Apa kesudahannya?

Gagal.

Pernah aku bertanya kepada Prof Maureen Dollard, mengapa ada yang gagal sedangkan sudah ada penyelia? Penyelianya tidak membacakah?

Dia menjawab - Tidak. Pelajar tidak mendengar cakap.

Tuesday, 30 October 2012

Update kajian sains sosial

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Satu kertas kajian saya baru sahaja ditolak oleh Journal Organizational Behavior. Saya memang menjangkanya, walaupun saya tidaklah mengharapkan ia ditolak secepat itu.

Mengapa ditolak?

Ia menjadi isu yang patut dipelajari bersama oleh semua penyelidik dan pelajar PhD dalam aliran sains sosial. Saya perlu menulisnya, kerana saya tahu tidak ada orang akan menulisnya. Malah, kalau anda membaca buku sekalipun, anda mungkin tidak akan menemuinya. Saya harap, pelajar PhD yang mempunyai Twitters dan Facebook dapat memanjangkan isu ini.

Kertas saya ditolak kerana faktor bias dan common method variances. Anda patut menggoogle akan hal ini.

Common method variances berlaku apabila diandaikan bahawa orang yang menjawab soalan berkecederungan ada naluri yang sama untuk menjawab soalan yang lain bagi skala yang lain. Misalnya, katakan seseorang itu menjawab tinggi pada skala marah, mereka juga cenderung untuk menjawab tinggi bagi skala yang bersifat negatif, misalnya stres, murung dan sebagainya. Kecenderungan untuk berlaku perkongsian variance inilah dinamakan sebagai common method variances.

Sebab itu, biasanya kajian-kajian yang dilakukan secara cross-sectional ditolak mentah-mentah di kebanyakan jurnal besar yang disenaraikan di ISI. Jawapannya mudah, ia tidak melambangkan apa-apa, sekalipun kajian anda menemui hal yang hebat sekalipun.

Di masa lalu, salah satu cara untuk mengurangkan gejala common method variance ini ialah dengan menjalankan kajian longitudinal.

Bagaimana pun, dalam konteks Malaysia, kajian cross-sectional ini telah mendominasi aliran kajian kia. Malah, ada orang bertanya apa perlunya longitudinal. Mereka bertanya kerana mereka tidak tahu apa puncanya. Malah, ada penyelia di universiti tempatan tidak menggalakkan pelajarnya melakukan kajian longitudinal dengan alasan bahawa masa yang panjang digunakan.

Saya tidak begitu memahami perkara ini. Saya tidak faham adakah mereka tidak faham sebabnya, atau mereka beranggapan kaedah longitudinal ini sesuatu yang mustahil dilakukan, sedangkan jeda masa di antara kajian pertama dengan kajian berikutnya boleh jadi hanya selang 6 minggu, walaupun ada yang mengambil masa bertahun-tahun. Umumnya, selang masa 3 bulan adalah yang selalu dilakukan, walaupun kaul dhaif mengatakan boleh dengan hanya 6 minggu.

Dengan andaian bahawa kajian yang sedang anda lakukan sekarang bersifat cross-sectional, maka bolehlah kita anggap bahawa kajian tersebut sudah ketinggalan satu tahap di belakang kajian yang dilakukan penyelidik antarabangsa. Kita masih menjalankan kajian cross-sectional, tetapi orang lain sudah sampai ke tahap kajian longitudinal.

Kajian saya yang ditolak ini ialah kajian longitudinal, dan menggunakan kaedah multi level. Logiknya, kajian ini sudah mengambil kira faktor common method variances ini.

Mengapa ditolak?

Dalam kajian saya, saya menggunakan satu skala mengukur prestasi. Editor memaklumkan bahawa prestasi tidak sepatutnya diukur dengan self-rated questionnaire. Ia mesti diukur dengan mendapatkan data sebenar mengenai prestasi, misalnya borang penilaian prestasi yang diisi oleh majikan, atau ukuran-ukuran objektif yang lain.

Apa maksudnya?

Maksudnya, kalau kita menggunakan kaedah cross-sectional, kita sebenarnya telah ketinggalan dua tangga di belakang. Tatkala kita masih lagi melopong bertanya apa perlunya kajian longitudinal, orang lain sudah lama ke hadapan dengan menggunakan kaedah yang baru.

Sejauh manakah kualiti penyelidikan kita?

Anda pasti tahu jawapannya.

Kalau kita tidak melakukan sesuatu, mungkin kajian yang sedang kita lakukan akan dianggap sebagai kajian zaman batu yang akan ditertawakan orang.

Tuesday, 9 October 2012

Kualiti penyelidikan kita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak terjun ke dunia akademik, aku berpeluang bertemu banyak orang. Aku juga berpeluang memberikan penilaian terhadap beberapa kertas akademik antarabangsa yang dihantar ke jurnal. 

Benarlah, tidak semua orang mampu menjadi yang terbaik. Tetapi, semua orang mampu mencuba menjadi yang terbaik.


Beberapa hari ini, aku dikirimkan 2 kertas persidangan yang dianjurkan oleh sebuah universiti tempatan. Setelah berkali-kali membacanya, aku mengambil keputusan untuk mengirimkan email kepada penganjur memaklumkan yang aku tidak berhajat untuk meneruskan pembacaan. Sebaliknya, aku meminta penganjur memberitahu kepada penyelidik, sekiranya mereka ialah pelajar, minta mereka menghubungi aku.


Aku rasa itu jalan terbaik untuk dunia akademik kita.


Teruk sangatkah penyelidikan kita?


Tidaklah semua. Tetapi ada yang sampai ke tahap tidak layak untuk dinilai. Mereka tidak serius. Tidak serius dengan kaedah menulis. Tidak serius dengan pengetahuan. Bahkan, tidak serius untuk mendapatkan cara yang betul bagaimana selayaknya makalah akademik ditulis.


Tidak hanya sekadar cara menulis, ada yang menghumbankan semua pembolehubah dalam satu kolam menjadikan kita tidak tahu apakah yang mahu dikaji dan apakah yang dikatakan lompang kajian.


Mereka memilih subjek secara semberono tanpa mengikut hukum metodologi yang betul. 


Menjadikan aku bertanya, apa yang terjadi dengan dunia pendidikan kita ini?


Aku mungkin terdidik di Barat. Aku mungkin terpengaruh dengan orang Barat. 


Tetapi, harus diingat bukan jugalah semua penyelidik di Barat menulis secara yang baik. Ada kertas akademik yang perlu ditolak juga. 


Tetapi penolakan itu bukanlah atas dasar 'tidak layak dibaca'. Ia ditolak kerana tidak sampai ke tahap kredibiliti kersarjanaan tertentu. 


Bagaimana kalau kita membiarkan kertas ini diterima? 


Ia akan menyebabkan orang merasa bahawa apa sahaja kajian boleh diterima begitu sahaja. Lambat laun, mereka ini bakal pula mengajar anak-anak kita di universiti dengan hal yang salah. Anak-anak kita pula yang dibesarkan dalam iklim pengetahuan yang salah, akan terus mengulang dosa yang sama.


Kalau begitu, mengapa tidak membantu membaca dan menilainya sahaja. Ia membantu pengkaji.


Tidak juga sebenarnya. Mereka ini perlu dibantu dengan cara yang betul dalam penyelidikan dan penulisan. Mereka perlu dibantu di tahap asas lagi. Membantu mereka dengan komen-komen tidak akan memastikan budaya penyelidikan kita dapat diubah.


Teruk sangatkah kita ini? Hakikatnya tidak. Kita perlu belajar berubah dan lebih serius. Hidup bukan sekadar bersidang. Akhirnya kita hanya pulang kekenyangan buah tembikai dan makanan lazat di hotel.


Tatkala kita riuh bersidang, ada baiknya kita bertanya wang siapakah yang sedang kita belanjakan. Apatah lagi, kalau yang kita bentangkan itu adakah penyelidikan yang hakikatnya tidak pun layak untuk dibaca.


Aku tidak pernah peduli kalau orang mahu memanggil aku Dr atau tidak. Tetapi aku sangat peduli kalau ada yang mendakwa mereka adalah penyelidik, sedangkan hakikatnya tidak.

Saturday, 28 July 2012

PhD - Biarlah logik

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita selalu bercakap tentang buruknya penyelia dalam penyeliaan pelajar.

Kali ini kita bercakap tentang pelajar pula.

Mutakhir ini, aku mempunyai beberapa pelajar. Aku harus memuji mereka ini. Muda dan bertenaga. Ada fikiran positif.

Dua daripadanya ialah pensyarah, seorang di universiti tempatan, dan seorang lagi di universiti swasta. Seorang lagi ialah bekas pelajar aku sendiri. Dia adalah pelajar cemerlang di jabatan kami, jadi dia terus melompat ke program PhD tanpa melalui ijazah sarjana di bawah program Bright Sparks.

Tatkala aku mempunyai mereka yang bernas, sesekali aku didatangi juga orang dari luar dunia akademik. Agak berusia. Mereka ada pengalaman yang banyak dalam dunia pekerjaan. Ada jawatan besar.

Mereka ini agak bermasalah. Bukan kerana tidak bijak. Tetapi mereka gagal memahami tujuan PhD itu sendiri. Mereka gagal menyelami konsep teoretikal kajian.

Mereka sepertinya terkeliru di antara penulisan akademik dan penulisan popular. Inilah yang membezakan dunia akademik dengan tidak.

Tanpa pengetahuan mengenai asas penyelidikan, kajian tidak mungkin boleh dilakukan. Tanpa pengetahuan mengenai apakah yang dikatakan 'akademik', mustahil untuk menyudahkan PhD. Ia akan menjadikan tajuk kajian sepertinya datangnya daripada mimpi, dan kemudiannya cuba diterapkan dalam kajian.

Ia hal yang salah.

Sesiapa sahaja yang memilih untuk melakukan PhD, mereka sebenarnya memilih dunia untuk bermimpi dengan teori. Mereka berangan-angan hal yang tak mampu terjangkau orang biasa. Bukan kerana PhD itu susah, tetapi kerana itulah rentaknya permainan orang akademik. Ia dunia dongeng yang penuh dengan idealisme. Ia kemungkinan tidak mampu pun diterapkan dalam dunia nyata.

Mereka ini datang dengan artikel yang entah siapa yang menulisnya. Ia bukan jurnal. Ia bukan buku. Ia tulisan biasa sahaja.

Mereka juga tersalah anggap bahawa penyelidikan haruslah apa yang 'belum dilakukan orang'. Konsep 'belum dilakukan orang' yang salah itulah yang selalu ada kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian pasca siswazah.

'Belum dilakukan orang' tidak bermakna anda cuba menguji 'kesan biji batu dengan stress'. Ia tidak ada dalam landasan teori yang boleh kita mengajukan tajuk sebegitu. Kecualilah kalau 'batu' itu ingin menguji 'stres' dalam bidang kejuruteraan seperti yang dikaji oleh Dr Ben. Batu itu mungkin ada landasan teorinya.

"Belum dilakukan orang' tidak bermakna anda ingin mengkaji tekanan kerja di kalangan mereka yang tidak berkerja. Ia tidak berasas melihat kepada topiknya.

Sebab itulah, sebagai pelajar, sebelum berjumpa dengan penyelia, harus bersedia. Tidaklah penyelia itu mengharapkan yang terbaik, tetapi tentu juga tidak mengharapkan sesuatu yang tidak berasas.

Lebih malang, mereka ini bertanya pun adakah mereka boleh menyiapkan dalam tempoh masa yang pendek kerana matlamat mereka ialah untuk mendapatkan PhD.

Cara termudah untuk mendapatkan PhD ialah dengan membelinya secara online!

Friday, 9 December 2011

Kalaulah dunia tiada pagar formaliti

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pagi tadi, aku mengirimkan email kepada Prof Sharon Glazer, seorang ahli akademik yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Beliau salah seorang tokoh penyelidik besar dalam bidang 'tekanan kerja', yang namanya aku mula dengar ketika aku di bangku universiti lama dahulu.

Aku tidak kenal beliau secara langsung. Aku hanya kenal bahan tulisan beliau. Antara yang terkenal ialah kajian mengenai pengaruh budaya dan tekanan kerja di kalangan jururawat.

Cuma, setahun lalu aku mula berkomunikasi dengan beliau secara email. Aku bernasib baik kerana beliau menjadi Ketua Editor di salah satu jurnal terkenal, keluaran American Psychological Association. Jadi, dari situlah, kami mula berkomunikasi kerana ketua editor juga tugasnya memberikan komen terhadap tulisan yang kita hantar ke jurnal.

Beliau banyak memberikan komen terhadap makalah yang aku tulis. Aku rasa, aku juga banyak belajar dari beliau.

Tidak lama setelah itu, aku dua kali dijemput untuk menjadi penilai bagi makalah di bawah seliaannya. Dari situ, kami berhubungan lagi. Aku seorang pelajar PhD menjadi penilai tulisan orang lain. Aku rasa itu hal yang besar dalam hidup aku. Kalaulah mereka tahu aku dahulunya hanya pembancuh teh tarik, tentu dunia ini akan jadi keliru.

Pagi tadi, aku mengirimkan email bertanya sama ada beliau ada projek penyelidikan yang aku boleh kongsi. Katanya ada. Nanti aku cerita di bawah topik yang lain. Ia masih lagi agenda rahsia.

Aku juga memberitahunya aku sudah habis PhD.

Dia menjawabnya 'Congratulations, Dr. Idris!'

Apa yang hendak aku ceritakan ini.

Sebenarnya itulah budaya dunia akademik di Barat. Mereka ini biasa sahaja. Semakin besar mereka, semakin mudah kita dekati mereka.

Kalaulah kita begitu juga - tanpa banyak pagar formaliti, tanpa pintu birokrasi, ia akan menjadikan dunia ini lebih indah.

Pelajar kita akan tentu mendapat lebih banyak manfaatnya.

Tuesday, 6 December 2011

Saya tahu mereka tidak tahu saya

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Petang tadi, saya didatangi dua pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak untuk berbincang hal proposal mereka. Seorangnya pelajar PhD dan seorang lagi pelajar sarjana. Kedua-duanya bukanlah pelajar saya. Seorangnya ialah pelajar yang diselia teman baik saya semasa belajar di Australia dulu, dan seorang lagi pelajar yang diselia oleh seorang teman saya semasa belajar sarjana di UKM dahulu. Saya pasti, seorang lagi teman saya itu tidak tahu pun kewujudan saya dalam dunia akademik kerana mereka terlebih dahulu menjadi pensyarah, sedangkan saya sudah berpindah randah di banyak organisasi.

Seperti biasa, kebanyakan pelajar akan cuba bersifat formal. Mereka menyapa saya dengan panggilan Dr. Saya beritahu mereka, saya tidak suka disapa dengan Dr. Bagi saya, biarlah gelar 'Dr' hanya menjadi gelar saya dalam urusan rasmi surat menyurat. Selebihnya, saya hanya menjadi seperti saya juga.

Saya meminta mereka melukiskan model kajian. Saya hanya mendengar apa masalah mereka. Sesekali saya menyampuk.

Apakah isu pelajar ini. Isu utama mereka, seperti kebanyakan pelajar lepasan ijazah lain ialah mencari persoalan kajian, dan apakah topik yang ingin dikaji.

Ia sudah menjadi isu sejagat bagi kebanyakan pelajar.

Mengapa isu seumpama ini timbul. Saya rasa pokok utama ialah kita kurang terdedah dengan pembacaan dan pengetahuan yang mencukupi. Kita tidak dapat lari dari berfikir di luar kotak kerana akal kita tidak mampu menerobos ke ruang yang lain.

Isu lain yang selalu timbul ialah kerana kita bimbang dengan tajuk kajian. Saya katakan kepada salah seorang pelajar tadi, jangan bimbangkan dengan tajuk. Tulis dan siapkan proposal dahulu. Kalau kita berfikir dengan tajuk dahulu, ia akan menghalang otak kita berfikir lebih jauh. Masa akan digunakan untuk berfikir di sepanjang tajuk itu sahaja.

Isu yang lain ialah kita berfikir siapa yang akan menjadi sampel kajian dahulu. Akhirnya, kita cuba hanya mencari pembolehubah yang berlingkar di sebalik subjek kajian. Cara terbaik ialah mendapatkan model kajian dahulu. Model kajian yang baik dapat digunakan untuk semua jenis subjek kajian. Tetapi, kalau kita berfikir subjek dahulu, fikiran kita akan menjadi sempit.

Saya memberikan mereka sedikit kuliah berkaitan 'job design' dan 'job characteristics'. Saya harap mereka faham asal usul teori dan ini akan memudahkan mereka melakukan kajian dengan lebih baik.

Seperti biasa, saya percaya bahawa kajian longitudinal yang digabungkan dengan metod multi-level adalah cara yang terbaik untuk menjadi pelajar lepasan ijazah. Sekurang-kurangnya kita dapat lari dari tradisi lama penyelidikan yang akan menyusahkan kajian kita diterbitkan di jurnal antarabangsa yang baik.

Saya pasti kedua-dua mereka itu tidak tahu bahawa mereka sedang berbincang dengan FakirFikir, kerana mereka bukanlah pembaca blog saya!

Selamat menempuh dunia penyelidikan saya ucapkan.

Saturday, 3 December 2011

Apakah kajian longitudinal?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Katakan hari ini kita dilanda kegawatan ekonomi. Kita mahu melihat kesannya terhadap kuasa beli pengguna. Kita melakukan survey. Hasilnya menunjukkan kesan terhadap kuasa beli.

Apakah hasil kajian kita tepat?

Begitu juga kita ingin mengkaji kesan burnout terhadap depression. Kita dapati tidak terdapat sebarang hubungan di antara burnout dan depression.

Apakah respondent tidak menjawab dengan betul?

Mungkin tidak.

Sama ada keputusan kita signifikan atau tidak secara statistiknya, adakah keputusan tadi tepat?

Mungkin juga tidak.

Kita melakukan kesalahan dalam metodologi penyelidikan. Kita telah melakukan kajian secara cross-sectional (CS).

Kajian CS ialah kajian sekali sahaja bagi menyelidik sesuatu fenomena. Dalam bahasa mudah, ia kajian sekali harung.

Kajian CS ialah kajian yang paling banyak mendominasi penyelidikan sains sosial. Kajian ini walaupun popular, tetapi dapatan kajian mungkin tidak relevan.

Sebabnya, orang yang menjawab soal selidik cenderung untuk memberikan markah positif bagi sesuatu perkara, dan negatif bagi satu-satu perkara lain. Misalnya mereka akan menilai diri mereka tertekan dalam soalan selidik tekanan kerja, dan menilai mereka kurang puas bagi soal selidik 'job satisfaction'. Ini kerana mereka menjawab pada waktu yang sama. Manusia cenderung melakukan ralat.

Sebab itu, banyak kajian CS kita akan dapati banyak keputusan adalah signifikan secara statistiknya. Ia bertambah tinggi kalau menggunakan jumlah sampel yang besar.

Bagi mengatasi masalah ini, kajian longitudinal dilakukan. Orang menggunakan soalan yang sama dan menguji orang yang sama lebih dari sekali. Selang masa yang diambil biasanya lebih dari 3 bulan, 6 bulan dan sebagainya. Ada yang hanya menggunakan 16 minggu. Misalnya kita melakukan kajian kegawatan ekonomi dan kesannya terhadap kuasa beli.

Kalau kita menggunakan CS, kesan kegawatan tidak dirasai kerana pada waktu kita menyelidik, orang masih ada wang. Bagaimana pun, orang cenderung memberitahu ia ada kesan. bagaimana pun, kesan sebenarnya mungkin lama setelah itu. Misalnya, 6 bulan kemudiannya, kegawatan menyebabkan harga barang naik dan sebagainya. Begitu juga kesan kempen anti rokok. Kesannya tidak akan dirasai dalam tempoh beberapa hari. Tetapi kajian kita mungkin akan bertambah baik kalau kita menilainya semula 6 bulan setelah kempen.

Begitu juga kesan burnout terhadap depression. Orang yang burnout tidak semestinya murung. Bagaimana pun, orang yang mengalami burnout dalam tempoh yang lama, akhirnya akan mengalami kemurungan.

Rumus biasanya T1-->T2.

Bagaimana dengan kajian anda?

Sekiranya anda seorang pengkaji CS, jangan sesekali mencari pengkaji longitudinal untuk memeriksa kertas kajian anda. Mereka ini tidak akan yakin dengan dapatan anda.

Jadi apakah kajian yang akan dianggap baik.

Ia baik kalau anda menggunakan longitudinal. Ia bertambah baik kalau anda munggunakan multi-level dan longitudinal serentak.

Friday, 2 December 2011

Apakah multi level analysis?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini kita berbincang tentang hal akademik. Ia hanya sesuai untuk mereka yang berminat mengenainya.

Secara umumnya, kajian-kajian psikologi di Malaysia tidak begitu begitu 'familiar' dengan kajian multi level. Kajian kita masih agak terkebelakang dalam hal ini. Banyak dari kajian kita masih berorientasikan 'individual' data.

Apakah yang dikatakan individual data?

Misalnya, anda melakukan kutipan data survey ke atas 600 subjek daripada 60 buah syarikat. Data kemudiannya dianalisis dengan menggunakan jumlah 600 orang tadi. Hasil kemudiannya dilaporkan. Misalnya gaya kepimpinan dan prestasi pekerja.

Adakah keputusan ini tepat?

Sama ada ya atau tidak. Ia bergantung kepada aliran statistik dan metodologi yang anda ikuti.

Bagaimana pun, bagi penganut aliran multi-level, keputusan yang didapati ini salah. Alasannya mudah sahaja. Setiap organisasi mempunyai gaya dan corak kepimpinan yang tersendiri. Jadi membungkuskan semua dapatan dari 600 individu (yang sebenarnya dipengaruhi oleh corak kepimpinan yang berbeza) akan menyebabkan dapatan kajian telah menyimpang.

Sebab itulah, di Barat - kajian-kajian yang berdasarkan kepada fahaman bahawa sesuatu fenomena psikologi adalah sesuatu yang bersifat 'persepsi yang dikongsikan oleh individu dalam satu-satu organisasi' dikaji secara multi-level.

Selain kepimpinan, ada beberapa hal lagi yang diandaikan perlu dianalisis secara multi level. Misalnya iklim organisasi. Ini kerana setiap organisasi ada iklimnya yang tersendiri. Jadi, adalah salah kalau data dari 600 individu dari 60 buah organisasi itu digabungkan bersama.

Sebab itulah, multi level kini sudah menjadi trend terbaru kajian psikologi pekerjaan. Alasannya mudah sahaja. Setiap organisasi mempunyai fenomena psikologinya yang tersendiri.

Data yang ada (misalnya 60 buah organisasi) akan diaggregatekan dan dianggap sebagai data Level 2 (data aras atas), manakala 600 pekerja (data individu) menjadi data aras bawah (level 1). Dengan menggunakan sofatware tertentu, misalnya HLM atau Mplus, kita akan mengarahkan statisitik mengira kesan pengaruh kepimpinan (level 2) terhadap data prestasi (level 1).

Hanya dengan cara ini keputusan yang diperolehi akan memberi keputusan yang lebih tepat kerana perbezaan variance setiap organisasi.

Kita juga boleh menggunakan alasan ini sebagai salah satu gap kajian, kerana banyak kajian lalu hanya menggunakan analisis di peringkat individu, dan bukannya multi level.

Nanti kita sambung dengan hal lain pula - apa perlunya longitudinal.

Harapnya, dengan memberikan pertimbangan kepada ideologi baru penyelidikan, disiplin ilmu sains sosial kita akan berkembang.

Sunday, 20 November 2011

Apakah proposal kajian?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku menulis hal yang tidak semuanya relevan untuk pembaca. Ia mungkin hanya sesuai untuk pelajar.

Proposal kajian sangat ditakuti oleh pelajar. Apatah lagi pelajar tahun akhir yang sebelumnya tidak terbiasa dengan penyelidikan. Sebenarnya bukan hanya pelajar tahun akhir, pelajar yang ingin membuat PhD juga bimbang dengan proposal kajian.

Hakikatnya, proposal hanyalah cadangan sahaja. Ia akan berubah sedikit, atau berubah seluruhnya setelah anda melakukan kajian lapangan.

Apakah pokok utama proposal kajian. Orang sangkakan tajuk yang hebat dan menggerunkan.

Sebenarnya tidak. Kita bukan mahu anugerah Nobel. Kita hanya mahukan topik kajian sahaja.

Perkara pertama yang patut dilihat ialah apakah 'gap' atau kelompangan kajian. Kajian bermula dengan kajian-kajian lalu, atau apa yang pernah dihuraikan penyelidik lain berdasarkan teori tertentu.

Apa yang belum dilihat dari perspektif teori atau kajian lalu itulah yang dikatakan 'gap'. Itulah yang ingin kita lakukan kajian.

Setiap kali pelajar datang bertemu dengan penyelianya, walaupun pelajar mungkin akan menghuraikan pelbagai masalah untuk mendapatkan tajuk yang sesuai, hakikatnya penyelia sudah tahu apakah 'gap' bagi kajian yang akan dilakukan oleh pelajar. Ini khususnya bagi hal yang dikuasai oleh seseorang ahli akademik.

Kalau penyelia sudah mengetahuinya, mengapa mereka tidak memberitahu pelajar? Bukankah tugas pensyarah itu membantu pelajar?

Sebenarnya itulah sebahagian proses pembelajaran. Proses mencari tajuk dan maklumat itulah yang membentuk tradisi ilmu di kalangan mahasiswa. Proses itu melibatkan pemikiran, kemahiran menaakul dan ketahanan emosi. Inilah yang sebenarnya cuba dibentuk dalam penyelidikan. Itulah sebabnya mereka yang masuk universiti sepatutnya berbeza dengan mereka yang tidak.

Bukan ijazah yang kita cari. Keupayaan menjadi manusia berfikir itulah yang kita mahukan.

Jadi, apakah yang dikatakan proposal penyelidikan.

Ia hanya nota mengajar anda berfikir.

Itupun kalau anda merasakan anda pelajar universiti yang luarbiasa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails