Yang Ikut

Showing posts with label update research. Show all posts
Showing posts with label update research. Show all posts

Wednesday, 26 September 2012

Penyelidikan: soalan yang patut dijawab

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini dan esok di universiti tempat aku berkerja sedang diadakan pameran penyelidikan. Ia pameran poster. Bagi aku, ia sesuatu yang baik. Bukan hanya untuk penyelidik dan pelajar berkongsi hasil kajian mereka kepada umum, tetapi juga kepada pelajar-pelajar sarjana muda yang baru mengenal dunia penyelidikan.

Aku tugaskan pelajar kursus penyelidikan untuk melawat tapak pameran. Mereka telah disediakan 7 soalan untuk ditanya kepada para peserta. Ia sebahagian daripada tugasan tutorial untuk kursus ini. Soalan itu ialah:

1. Mengapa anda memilih topik ini?
2. Apa perbezaannya kajian anda dengan kajian yang lain?
3. Apakah kekuatan kajian anda?
4. Apakah kelemahan/batasan kajian anda?
5. Apakah 'gap' kajian anda?
6. Mengapa anda memilih metod ini?
7. Cadangan anda untuk kajian pada masa hadapan.

Mengapa soalan ini ditanya? Inilah sebenarnya soalan yang sewajarnya selalu ada dalam pemikiran setiap penyelidik. Sekiranya kita meragui dengan jawapan bagi setiap soalan tadi, besar kemungkinannya kajian kita tidak diterima untuk penerbitan jurnal ISI.

Sebagai penilai, inilah juga isu yang akan selalu dilontarkan kepada penyelidik.

Banyak daripada kajian kita yang telah mengabaikan soalan-soalan ini, menjadikan kita mengulang semula kajian yang pernah dibuat orang. Kita beranggapan bahawa kajian ilmiah hanyalah sekadar mempunyai data dan metodologi tertentu. Hakikatnya tidak. Kajian ilmiah ialah bagi memastikan semua soalan yang ditanya tadi mampu dijawab.

Sebab itu kajian itu bermula dengan patah kata 'Re' dan "Search".

Kita membongkar kelemahan lalu dengan membuka ruang untuk kajian baru.  

Thursday, 26 January 2012

Apakah kajian yang baik?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tulisan ini mungkin tidak relevan dengan anda.

Musim peperiksaan di universiti sudah berakhir. Kini kebanyakan pelajar sedang bercuti.

Saya agak sibuk juga kebelakangan ini. Selain menulis kolum mingguan di suratkhabar Kosmo, saya juga ada 3 kajian yang sedang dijalankan.

Minggu hadapan (2 Feb), saya diminta untuk mengendalikan bengkel penyelidikan di universiti tempat saya berkerja. Antara fokus utamanya ialah penulisan untuk penerbitan jurnal, apa yang dilihat penilai, dan jurnal-jurnal yang penyelidik patut menghindarkan diri dari menghantarkan artikel mereka.

Mengapa patut kita menghindarkan diri dari menghantar artikel ke jurnal tertentu, walaupun ia diterbitkan di Barat. Banyak sebabnya. Antaranya, pembaca yang biasanya juga merupakan penyelidik akan menjadikan kita objek senyum sinis. Dalam patah kata yang lain - kita akan dilihat sebagai 'funny'.

Kalau ada pembaca aliran sains sosial yang kini sedang mengikuti pengajian lepasan ijazah dari universiti tempatan yang lain, anda yang juga boleh datang mengikutinya. Bagaimana pun, sila emel saya dahulu.

Teman baik saya, ada rencana untuk menjemput saya ke universitinya di Sarawak bulan Mac nanti. Fokus utama ialah apakah yang dikatakan kajian yang baik.

Sebenarnya, saya pun tidaklah pandai dengan apa yang dikatakan kajian yang baik. Bagaimana pun, kesempatan bertemu dengan beberapa pengkaji luar, menyediakan saya sedikit pengalaman dengan hal itu.

Kalau selama ini kita teruja dengan kajian cross-sectional, pengkaji luar sudah mengubah kajian kepada kajian-kajian longitudinal. Kita juga mungkin masih terpengaruh dengan penggunaan soal selidik. Di Barat, dengan hadirnya teknologi - mereka mengkaji manusia dengan menggunakan diari. Misalnya melihat perubahan emosi manusia dari pagi hingga ke petang.

Semua ini memungkinkan kajian kita mudah diterima di jurnal yang berkualiti.

Sudahkah kita bersedia?

Tuesday, 17 January 2012

Tidak ada berita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak balik Malaysia, tidak ada satu artikel pun yang telah aku hantar ke jurnal.

Petang ini, aku menghantar satu manuskrip ke satu jurnal yang agak besar, yang potensi untuk ditolak juga sangat besar, yang mana semua orang ingin menghantar artikel ke jurnal ini.

Jurnal ini ialah Personnel Psychology. Aku menggunakan data multi-level dan juga longitudinal. Aku tidak tahu sama ada mereka akan gembira atau tidak dengan manuskrip ini. Tetapi kerana sekarang tiada lagi keperluan untuk seperti dulu, maka aku tidaklah berasa hampa kalau sekalipun ditolak. Dulu aku perlu memastikan manuskrip aku diterima kerana ia sebahagian syarat untuk aku mendapat Ph.D.

Aku sedang sibuk dengan satu projek penyelidikan sekarang ini. Harapnya, aku akan memperolehi data dengan cepat - dan ini akan menjadikan aku sibuk semula.

Kepada mereka yang sedang menjalankan penyelidikan, selamat menyelidik.




Sunday, 15 January 2012

Update hujung minggu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya baru sahaja menyiapkan dua artikel bagi ruangan kolum di dalam "Psikologi & Masyarakat" untuk suratkhabar Kosmo edisi Jumaat. Asalnya saya mahu menulis hal cinta warga Nigeria, tetapi nampaknya sepanjang menulis, tajuk lain yang datang dulu. Sesiapa yang ingin membacanya, belilah suratkhabar Kosmo setiap Jumaat.

Saya menulis hal pendidikan anak-anak dan juga hal jenayah. Saya rasa ia hal yang penting untuk saya maklumkan pandangan saya kepada ahli masyarakat dengan menggunakan pandangan psikologi saya.

Sebenarnya, mutakhir ini saya agak sibuk. Saya ada beberapa projek proposal penyelidikan. Antaranya telah saya hantar kepada
Dr Ben yang tujuan kami mengenalpasti punca kemalangan di tempat kerja. Projek saya yang lain ialah peranan stress dan kemalangan jalanraya. Saya juga merangka satu projek kajian 'contagion' effect.

Seperti biasa, saya selalunya membuatnya sendiri. Saya tidak begitu menjalankan kerja-kerja secara kumpulan bagi hal seperti ini. Pertamanya, saya takut kerja menjadi lambat kalau ada banyak tangan. Keduanya, saya memang suka menulis secara berseorangan.

Ada seorang pelajar PhD mengirimkan email untuk bertanyakan hal structural equation modelling. Kerana ia hal statistik dan melibatkan data, saya memintanya datang bertemu saya. Sebenarnya, saya tidak kisah sangat pun sesiapa yang mahu datang bertemu saya. Saya tidak mengamalkan sebarang protokol. Sesiapa yang berhajat boleh datang.

Saya mungkin sedikit sibuk. Tetapi bagi saya, apabila ada orang menghubungi kita, tentulah mereka sedang menghadapi hal yang sedikit sukar.

Apa rencana saya selepas ini?

Saya ingin menulis buku akademik. Tapi prosesnya mungkin agak lambat.

Ada sesiapa yang ingin melakukan penyelidikan master atau Ph.D. Saya ada banyak ilham yang boleh membantu anda.


Friday, 2 December 2011

Apakah multi level analysis?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini kita berbincang tentang hal akademik. Ia hanya sesuai untuk mereka yang berminat mengenainya.

Secara umumnya, kajian-kajian psikologi di Malaysia tidak begitu begitu 'familiar' dengan kajian multi level. Kajian kita masih agak terkebelakang dalam hal ini. Banyak dari kajian kita masih berorientasikan 'individual' data.

Apakah yang dikatakan individual data?

Misalnya, anda melakukan kutipan data survey ke atas 600 subjek daripada 60 buah syarikat. Data kemudiannya dianalisis dengan menggunakan jumlah 600 orang tadi. Hasil kemudiannya dilaporkan. Misalnya gaya kepimpinan dan prestasi pekerja.

Adakah keputusan ini tepat?

Sama ada ya atau tidak. Ia bergantung kepada aliran statistik dan metodologi yang anda ikuti.

Bagaimana pun, bagi penganut aliran multi-level, keputusan yang didapati ini salah. Alasannya mudah sahaja. Setiap organisasi mempunyai gaya dan corak kepimpinan yang tersendiri. Jadi membungkuskan semua dapatan dari 600 individu (yang sebenarnya dipengaruhi oleh corak kepimpinan yang berbeza) akan menyebabkan dapatan kajian telah menyimpang.

Sebab itulah, di Barat - kajian-kajian yang berdasarkan kepada fahaman bahawa sesuatu fenomena psikologi adalah sesuatu yang bersifat 'persepsi yang dikongsikan oleh individu dalam satu-satu organisasi' dikaji secara multi-level.

Selain kepimpinan, ada beberapa hal lagi yang diandaikan perlu dianalisis secara multi level. Misalnya iklim organisasi. Ini kerana setiap organisasi ada iklimnya yang tersendiri. Jadi, adalah salah kalau data dari 600 individu dari 60 buah organisasi itu digabungkan bersama.

Sebab itulah, multi level kini sudah menjadi trend terbaru kajian psikologi pekerjaan. Alasannya mudah sahaja. Setiap organisasi mempunyai fenomena psikologinya yang tersendiri.

Data yang ada (misalnya 60 buah organisasi) akan diaggregatekan dan dianggap sebagai data Level 2 (data aras atas), manakala 600 pekerja (data individu) menjadi data aras bawah (level 1). Dengan menggunakan sofatware tertentu, misalnya HLM atau Mplus, kita akan mengarahkan statisitik mengira kesan pengaruh kepimpinan (level 2) terhadap data prestasi (level 1).

Hanya dengan cara ini keputusan yang diperolehi akan memberi keputusan yang lebih tepat kerana perbezaan variance setiap organisasi.

Kita juga boleh menggunakan alasan ini sebagai salah satu gap kajian, kerana banyak kajian lalu hanya menggunakan analisis di peringkat individu, dan bukannya multi level.

Nanti kita sambung dengan hal lain pula - apa perlunya longitudinal.

Harapnya, dengan memberikan pertimbangan kepada ideologi baru penyelidikan, disiplin ilmu sains sosial kita akan berkembang.

Thursday, 17 November 2011

Jangan membuang masa melakukan kajian

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apabila saya menulis mengenai "Tea Room Sex Study', saya pasti tidak ramai pembaca di luar yang tahu apakah sebenarnya yang ingin saya sampaikan. Ia sebenarnya menerangkan betapa asas utama dalam penyelidikan sains sosial atau apa sahaja yang berkaitan manusia, kita mestilah mempunyai etika.

Dalam konteks hari ini - di banyak negara maju, menjalankan kajian berkaitan manusia tanpa mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Etika, bermakna anda sedang melakukan jenayah dan boleh dipenjara.

Apa sebabnya? Sebabnya kajian yang kita lakukan mungkin memberikan implikasi buruk terhadap subjek kajian. Ia juga boleh menyebabkan implikasi buruk terhadap diri kita juga - misalnya diserang ketika melakukan kajian atau disaman di kemudian hari. Tanpa mendapat persetujuan Jawatankuasa Etika, kajian kita juga berkemungkinan bias, tidak bermoral dan tidak pada landasan yang betul.

Bagaimana di Malaysia?

Kajian sains sosial di Malaysia masih berada pada tahap yang mundur. Sepanjang yang saya tahu, kecuali sebuah universiti, tidak ada universiti lain yang mensyaratkan setiap kajian mengenai manusia mesti mendapatkan kelulusan etika. Setakat ini juga, kelulusan Jawatankuasa Etika hanya disyaratkan dalam bidang perubatan sahaja.

Sila update saya jika saya salah.

Di Malaysia, terdapat begitu banyak suara yang mendesak agar akademik menerbitkan kajian mereka di jurnal ISI. Ia seperti juga kecenderungan masyarakat kita untuk membina perumahan indah di atas bukit. Kita sangat teruja untuk mendapatkan hasil yang indah dalam masa yang cepat.

Itu cara kita. Ia budaya kita.

Sayangnya, tidak ada sesiapa pun yang ambil tahu untuk memastikan semua kajian ini melalui penilaian Jawatankuasa Etika. Etika penyelidikan ini ibaratnya menanam cerucuk besi di dalam tanah sebelum bangunan dibina. Tanpanya, buatlah sebaik mana pun bangunan, lama-kelamaan bangunan akan runtuh.

Bagi penerbitan di jurnal antarabangsa yang besar, ada sesetengahnya meminta nombor rujukan kelulusan Jawatankuasa Etika. Ada pula yang meminta surat yang menyatakan kajian kita sudah mendapat penilaian oleh Jawatankuasa ini.

Tanpanya, buatlah sebaik mana pun kajian, tulislah secantik mana pun ayat dan gunalah analisis yang komplikated sekalipun, kajian anda akan ditolak lebih awal lagi.

Dalam erti kata lain, janganlah membuang masa anda melakukan kajian kalau tidak ada kelulusan Jawatankuasa Etika. Ia sama seperti menabur benih padi ke padang rumput.

Untuk semua rakan akademik muda yang lain, marilah kita bersama berjuang untuk hal ini. Kita sedarkan universiti kita akan hal ini, kerana inilah ibu segala penerbitan jurnal ISI.

Wednesday, 19 October 2011

Ceritalah lagi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ceritalah!

Saya telah kembali memasuki ke dunia akademik. Apa yang saya lihat mengenai bidang saya?

Terus terang, tanpa berselindung - boleh saya katakan disiplin psikologi kita tidak berkembang banyak sejak saya meninggalkan universiti tahun 1995. Ia masih berkisar cara dan olahan yang sama.

Sepanjang tempoh itu, memang saya bukan orang akademik. Tetapi, saya terus membeli buku psikologi, dengan diselang seli dengan buku pengurusan. Buku paling mahal yang saya beli berharga lebih RM400, dan kedua mahal berharga RM 379.80. Saya membeli buku ini kerana saya ingin membacanya. Pada masa yang lalu, saya mempunyai sedikit kelebihan wang. Jadi saya mampu membelinya. Tetapi tidak sekarang.

Saya terus membeli buku ketika saya di Jakarta. Saya perlu membeli buku kerana saya takut saya ketinggalan dalam pengetahuan mengenai psikologi. Saya tidak kisah walaupun saya bukan ahli akademik. Bagi saya, membaca ketika di luar dunia akademik lebih menyeronokkan. Saya membaca tanpa paksaan pekerjaan saya. Saya membaca kerana minat.

Dalam dunia akademik, membaca buku sudah menjadi sebahagian pekerjaan. Jadi, membaca adakalanya sudah menjadi beban tugas yang baru.

Bagaimana dunia psikologi kita?

Kita masih berpegang dengan ideologi lama. Saya tidak tahu mengapa. Adakah kerana kita tidak ada banyak waktu untuk meneliti kajian terbaru di luar, atau psikologi dalam konteks masyarakat kita hanya sekadar bidang sahaja. Ia hanya bidang yang ujud di universiti, tetapi tidak di alam pekerjaan.

Hanya sebulan yang lalu, saya bertemu dengan dua orang anak muda yang berkerja sebagai ahli psikologi di jabatan polis. Sebelum ini, jarang kita mendengar ada jawatan ahli psikologi. Saya rasa ia pekerjaan menarik - walaupun menurut dua anak muda ini, kerja mereka bukanlah seperti yang dilakukan oleh ahli psikologi dalam erti kata sebenarnya. Tidak mengapalah.

Dahulu, kajian eksperimen adalah 'core' bidang kami. Sekarang ini tidak lagi. Banyak yang menggunakan soal selidik. Tidak salah menggunakan soal selidik. Tetapi, kekurangan kita ialah method pengumpulan data yang tidak berubah. Kaedah persampelan juga tidak kemas, menjadikan psikologi menjadi bidang yang agak terasing.

Saya tidak pulang ke Malaysia untuk melakukan perubahan. Tetapi, saya ada bertemu dengan banyak orang di universiti. Saya akan cuba ceritakan masalah saya kepada mereka, agar masa depan psikologi akan dapat diangkat.

Antaranya, kajian di Malaysia tidak perlu mendapat kelulusan ethic committee. Ini menjadi masalah untuk kajian itu diterbitkan dalam jurnal yang baik. Cara kita berhujah juga masih menggunakan lenggok tempatan. Misalnya, kajian di Kota Bahru - atau kajian di Sekolah Menengah Sekinchan - semua ini menjadi bidang psikologi kita tidak mampu mencapai tahap global.

Apa yang boleh saya buat?

Saya hanya mampu bercerita. Ceritalah. Ceritalah hakikatnya.

Friday, 20 May 2011

Nota penyelidikan untuk graduan - part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini tiada apa yang hendak ditulis. Kita tulis hal akademik.

Orang selalu bertanya, apa beza persoalan kajian dengan 'research gap'?

Persoalan kajian ialah apa yang hendak dikaji. Misalnya, melihat kepada segelintir kecil kes pembulian terhadap pelajar oleh guru misalnya, maka kita mula bertanya apakah ini disebabkan oleh depression. Jadi kita andaikan bahawa depression -->tingkahlaku membuli.

Bagaimana pun, memandangkan banyak sudah kajian yang dilakukan bagi menilai depression, dan juga tingkahlaku membuli misalnya, kita perlu melihat apakah gap kajian sebelum ini. Kita mungkin memantapkan kajian kita dengan mengaitkan dengan beberapa teori lain. Misalnya mencari punca guru ditimpa depression. Jadi kita bina model kajian yang baru.

Beban kerja -->depression --->tingkahlaku membuli

Kita boleh memantapkan kajian kita ini berpandukan kepada teori sedia ada. Umumnya, teori-teori yang lama mengandaikan bahawa beban kerja ialah sesuatu yang negatif. Tetapi, kini ada pandangan yang menyatakan tidak semua beban kerja adalah negatif, ada juga yang positif. Misalnya kerja-kerja yang mencabar mungkin tidak membawa kepada depression, tetapi kepada engagagement.

Jadi, daripada gagasan ini, kita membina model yang lebih baik.

beban kerja positif --->engagement --->tingkahlaku membuli
beban kerja negatif --->depression --->tingkahlaku membuli

Hasil kajian kita nanti boleh menyimpulkan guru patut diberikan dengan beban tugas positif misalnya menggalakkan budaya berfikir, dan bukannya dibebankan dengan beban negatif seperti menyusun kerusi di dewan misalnya.

Bagaimana pun, kajian tadi masih banyak kelemahannya, terutamanya kalau hanya guru yang dijadikan sampel kajian. Jadi, kita perlu mengambil sampel pelajar yang menilai guru mereka. Merekalah yang patut menilai 'tingkahlaku membuli' oleh guru, dan bukannya guru yang menjawab sendiri soalan kajian.

Rekod-rekod lain (misalnya data disiplin) yang boleh didapati dari jabatan pelajaran misalnya mungkin lebih tepat mengukur tingkahlaku membuli. Data ini kita namakan sebagai pengukuran objektif.

Dengan melakukan kajian ini, kita bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kajian, tetapi juga telah mengisi 'gap' kajian lalu yang kita andaikan tidak lengkap dan sempurna.

Selamat melakukan penyelidikan.

Friday, 26 March 2010

Senyum mesra jiwa parah

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Fikiran serabut, jiwa kacau. 

Sudah dua hari, analisis statistik tidak menjadi. Ini data survey pertama aku dulu terhadap 185 orang pekerja di negeri Selangor. Puas aku cuba memanipulasi coding. Tidak berhasil juga.

Ada dua sebab utama. Satunya, mungkin sebab data yang sedikit. Sebab lebih besar ialah data ini berkemungkinan telah cuba diisi sendiri seperti yang aku ulas sebelum ini.

Dalam statistik, biasanya terdapat hubungan di antara satu fenomena dengan fenomena lain. Misalnya 'suka' dengan 'gembira". Orang yang suka tentu akan gembira, atau orang yang gembira besar kemungkinan akan suka.

Bagaimana pun, dalam kes data aku ia pelik. Ia seolah-olahnya,  'suka' berhubungan secara positif dengan 'marah'.  Sepatutnya ia negatif. Sebab itulah aku mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan kutipan data peringkat pertama dahulu. Pertamanya aku terkesan dengan tulisan yang sama dalam setiap borang soal selidik. Keduanya warna pen pun sama juga. Ketiganya, jawapan di antara setiap responden juga sama. Keempatnya - dalam satu kawasan yang didiami penduduk Cina, mereka dapat hampir semua responden!

Nasib baik kerja yang tidak jujur ini tidak dilakukan pembantu penyelidik yang lain. Kalau tidak tentu keadaan akan lebih parah.

Untuk kajian peringkat 2 dan 3, masalah seperti ini tidak ada. Terima kasih untuk Ann, Su dan rakan-rakan mereka.

Jadi apa yang patut aku buat? Mungkin kita patut bernyanyi 'senyum mesra jiwa parah, walau luka ketawa jua"!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails