Yang Ikut

Showing posts with label graduan muda. Show all posts
Showing posts with label graduan muda. Show all posts

Friday, 20 May 2011

Nota penyelidikan untuk graduan - part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini tiada apa yang hendak ditulis. Kita tulis hal akademik.

Orang selalu bertanya, apa beza persoalan kajian dengan 'research gap'?

Persoalan kajian ialah apa yang hendak dikaji. Misalnya, melihat kepada segelintir kecil kes pembulian terhadap pelajar oleh guru misalnya, maka kita mula bertanya apakah ini disebabkan oleh depression. Jadi kita andaikan bahawa depression -->tingkahlaku membuli.

Bagaimana pun, memandangkan banyak sudah kajian yang dilakukan bagi menilai depression, dan juga tingkahlaku membuli misalnya, kita perlu melihat apakah gap kajian sebelum ini. Kita mungkin memantapkan kajian kita dengan mengaitkan dengan beberapa teori lain. Misalnya mencari punca guru ditimpa depression. Jadi kita bina model kajian yang baru.

Beban kerja -->depression --->tingkahlaku membuli

Kita boleh memantapkan kajian kita ini berpandukan kepada teori sedia ada. Umumnya, teori-teori yang lama mengandaikan bahawa beban kerja ialah sesuatu yang negatif. Tetapi, kini ada pandangan yang menyatakan tidak semua beban kerja adalah negatif, ada juga yang positif. Misalnya kerja-kerja yang mencabar mungkin tidak membawa kepada depression, tetapi kepada engagagement.

Jadi, daripada gagasan ini, kita membina model yang lebih baik.

beban kerja positif --->engagement --->tingkahlaku membuli
beban kerja negatif --->depression --->tingkahlaku membuli

Hasil kajian kita nanti boleh menyimpulkan guru patut diberikan dengan beban tugas positif misalnya menggalakkan budaya berfikir, dan bukannya dibebankan dengan beban negatif seperti menyusun kerusi di dewan misalnya.

Bagaimana pun, kajian tadi masih banyak kelemahannya, terutamanya kalau hanya guru yang dijadikan sampel kajian. Jadi, kita perlu mengambil sampel pelajar yang menilai guru mereka. Merekalah yang patut menilai 'tingkahlaku membuli' oleh guru, dan bukannya guru yang menjawab sendiri soalan kajian.

Rekod-rekod lain (misalnya data disiplin) yang boleh didapati dari jabatan pelajaran misalnya mungkin lebih tepat mengukur tingkahlaku membuli. Data ini kita namakan sebagai pengukuran objektif.

Dengan melakukan kajian ini, kita bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kajian, tetapi juga telah mengisi 'gap' kajian lalu yang kita andaikan tidak lengkap dan sempurna.

Selamat melakukan penyelidikan.

Wednesday, 17 December 2008

Bingkisan untuk graduan muda

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kelmarin, ketika aku lalu di celah-celah bangunan Universiti Adelaide, para pelajar sedang bergambar, bertemasya dan bersuka ria menyambut majlis graduasi mereka. Aku tidak begitu pasti ada orang Malaysia atau tidak di celah-celah kelompok yang berseronok itu. Aku sudah lama melewati zaman keseronokan itu. Tahun 1995 lagi.

Masa itu kita beranggapan dengan lulus ijazah pertama, kita adalah raja yang boleh menakluk dunia. Apa tidaknya - itulah dongeng yang diajar oleh banyak orang sejak kita mula tahu makna kata. Masuk universiti adalah segala-galanya. Aku tidak bersetuju dengan label ini walaupun aku juga masuk universiti beberapa kali. (Lihat sini)

Mereka yang baru bergraduasi ini juga sewajarnya menghabiskan masa seminggu dua ini untuk terus bermimpi. Tidak akan ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini. Ulang - tidak ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini. Banyak sebabnya. Sekalipun anda mungkin akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, tetapi waktu itu usia anda sudah tidak remaja lagi. Anda akan merasakan betapa anda banyak kehilangan teman-teman. Berfoya-foya, membuat lawak bodoh dan hidup 'happy go lucky' tidak lagi boleh diterima.

Pada waktu anda melanjutkan pengajian ke universiti untuk kali keduanya - anda akan merasa begitu janggal dan terhina untuk meminta wang poket dari ibu bapa. Apa tidaknya, anda sudah dewasa. Anda akan merasa bersalah pula meminta wang. Sebab itulah, anda patut menghabiskan masa seminggu dua ini untuk bersuka ria dan bertemasya. Tidak ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini.

Ada juga yang akan berkahwin. Ini bermakna anda akan menjadi isteri atau suami orang. Keseronokan orang bujang akan segera tamat dalam riwayat hidup anda. Anda akan menghadapi pelbagai simptom rumahtangga seperti yang pernah aku tulis di sini. Ada juga yang akan memulakan kerja. Anda juga akan dihadapkan dengan banyak cerita yang pelik dan aneh. Sebahagiannya sudah aku paparkan di sini. Semua ini akan menjadikan kehidupan anda di luar universiti begitu janggal sama sekali.

Ada satu ingatan besar untuk mereka. Jangan mudah terpedaya dengan dunia 'sang buaya' di luar sana. Banyak graduan muda yang telah terperangkap. Mereka ditawarkan dengan jawatan besar dan gaji lumayan. Ia memang mengiurkan. Tetapi lihatlah apa yang berlaku? Mereka diperangkap dengan 'tugasan luar negara', dan akhirnya ditangkap dan dipenjarakan. Kasihan mereka. Moga-moga mereka diberikan kesudahan yang baik.

Semua ini kerana kita percaya dengan ijazah universiti - kita dibayar dengan gaji yang mahal dan mendapat kerja yang bagus. Semua 'kepercayaan' ini telah memerangkap sebahagian besar graduan. Logiknya, siapakah anda untuk dibayar dengan gaji yang begitu besar dengan tugasan "mission impossible" seperti hero James Bond itu. Ia bukan tugas untuk graduan muda seperti anda.

Ada baiknya mulakan apa sahaja pekerjaan - biar murah gajinya - asal ia memberikan tapak untuk kita berjalan lebih jauh. Graduan muda yang berkerja juga jangan lupa untuk menghulurkan gaji mereka kepada kedua ibu bapa mereka. Tidak perlu besar - biar kecil tetapi memberi. Memang, ibu bapa anda orang berada. Mereka tidak mengharapkan sedikit pun wang anda.

Hakikatnya - dengan wang anda itu - ibu bapa akan tahu status ekonomi anda. Sekiranya ada waktunya anda tidak menghulurkan wang seperti lazimnya, mereka akan tahu kehidupan anda tidaklah begitu menyeronokkan. Pastilah - wang itu juga akan mengingatkan mereka dengan anda - dan mereka akan terus mendoakan kebahagian anda sepanjang masa.

Apabila anda pulang semula ke tempat anda nanti, janganlah pula anda melihat diri anda seperti helang yang terbang tinggi. Jangan bongkak dan sombong diri. Letakkan diri anda pada tempat yang paling rendah - sesuai dengan persekitaran anda. Mereka tidak akan melihat anda sebagai orang yang hina. Bahkan, mereka akan lebih menghormati anda.Jangan sesekali melihat mereka sebagai orang yang tidak tahu apa-apa. Benar, mereka mungkin tidak ke universiti. Tetapi mereka belajar lebih banyak makna perit hidup dari universiti pengalaman. Dengan merendah diri -itulah caranya anda akan dilihat sebagai manusia berilmu.

Itu sahaja bingkisan untuk anda. Sebab itulah tajuk ini bukannya 'pesan untuk graduan muda', sebab anda sememangnya terlalu bijak untuk diberi pesan.

Dan untuk seminggu dua ini, teruslah berseronok dan bersuka ria. Bermimpilah. Kerana selepas itu, tidak ada waktu untuk bermimpi lagi untuk anda. Pagi anda akan diterangi matahari realiti - panas, bersilau dan menakutkan. Tidak akan ada lagi keseronokan selepasnya. Tahniah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails