Yang Ikut
Thursday, 20 December 2012
Apa indahnya menjadi ahli psikologi?
Kelihatannya macam indah bukan?
Ada masanya mungkin begitu. Tetapi tidak pada setiap waktunya.
Melibatkan dengan pekerjaan ini, kita terlibat dengan masalah manusia. Masalah orang lain. Masalah orang lain ini bermacam-macam. Ada yang biasa sahaja, ada yang sangat peribadi.
Setiap kali orang lain mengajukan masalah, kita perlu mendengarnya. Kita perlu mencadangkan caranya.
Orang yang dilanda masalah psikologi ini pula tidak sama dengan mereka yang demam atau sakit fizikal. Fikiran mereka bercelaru. Setiap hari, otak mereka berdebat dengan hal tidak rasional. Mereka berperang di antara hal yang nyata dan tidak. Mereka berperang untuk terus berlawan, atau merasa kecewa dan putus asa.
Biasanya, tahap mereka yang diserang isu psikologikal ini berbagai. Ada tahap pasang dan tahap surut. Pertama sekali apabila dilanda musibah, mereka akan cuba menafikannya. Mereka akan bertanya, 'mengapa aku, dan kenapa bukan orang lain'. Mereka bertanya 'mengapa aku dilahirkan menjadi manusia, dan bukan burung'. 'Mengapa aku dipilih dengan beban ini". Syurga, neraka, dosa dan pahala semua ada di sini.
Itu soalan putus asa dan kecewa. Ia pertikaian yang sangat teruk.
Inilah masa yang paling kritikal. Tidak banyak yang kami boleh lakukan waktu ini. Hanya bercakap dan mendegar. Itu pun kalau mampu. Sebabnya, mereka yang dilanda masalah akan menolak apa juga yang kita sarankan. Mereka berperang dengan diri mereka sendiri. Banyak daripada mereka yang mengambil jalan singkat mencederakan diri, atau melakukan tindakan yang tidak terduga akal berlaku di tahap ini.
Tahap kedua ialah penerimaan. Ketika ini, mereka sudah mampu menerima hakikat. Inilah kenyataan yang perlu mereka lalui. Mereka tidak boleh mengalah. Bagaimana pun, sesekali akan datang isu yang sulit ketika tahap pertama tadi. Ia datang menerawang.
Lama atau pendek bergantung sejauh mana pesakit bertahan dan berlawan.
Lama kelamaan, kalau pesakit mengambil jalan yang betul, masalah akan selesai dan hilang. Ia keluar dari kotak minda yang kacau. Mereka akan rasional kembali.
Apa yang ahli psikologi lakukan?
Tidak. Kami hanya mendengar dan memberikan pandangan. Itupun kalau mereka mendengar. Masalah diselesaikan oleh mereka yang sakit.
Ia tidak sama dengan sakit fizikal. Masalah psikologikal berada di minda.
Hanya pesakitlah yang tahu apa yang ada di minda mereka.
Tetapi, kami yang mendengar ini pun sebenarnya terdorong untuk menyerap dan berfikir hal yang difikirkan pesakit. Kita berfikir untuk mematahkan hujah tidak rasional pesakit. Ia membuatkan kita menyerap masalah pesakit. Kami, adakalanya tidak tidur malam juga. Menjadi manusia resah. Menjadi manusia tidak normal.
Sebab itu - dari segi profesionalismenya, kami dididik untuk tidak terlalu 'get involved'. Maksudnya, kami tidak boleh meletakkan diri sebagai pesakit juga. Kami tidak boleh memikul semua beban pesakit.
Bagaimana pun, kami pun manusia juga. Hujah mengatakan bahawa emosi manusia berpindah kepada manusia lain mungkin selalu benar kepada mereka yang terlibat dalam bidang seperti ini.
Ia menyakitkan. Ia memeritkan. Ia tidak indah. Ia adalah kehidupan ahli psikologi.
Kami juga berperang dengan diri kami sendiri.
Monday, 24 September 2012
Mengajari hal konsep kepada anak-anak
Setiap kali ke pasaraya Maidin, dia akan cuba membeli itu dan ini. Kalau boleh apa yang terasa ingin dimakannya, akan diambilnya.
Aku memberitahunya itulah nafsu. Kita inginkan semuanya. Tetapi apabila telah mendapatkannya, kita tidak berminat lagi dengannya. Setiap kali selepas berbuka puasa, apabila dia hanya menjamah sedikit dan meninggalkannya, aku mula bertanya - Apakah itu? Dia mula tahu itulah nafsu, walaupun kadang-kadang dia menyebutnya 'nasfu'.
Semalam - aku ke Bagan Lalang. Di sana dijual bermacam-macam mainan. Dia seperti biasa, ingin membelinya. Aku membisikkan ke telinganya, 'masih ingat apa itu nafsu'. Dia mengangguk. Dia tahu, dia hanya ingin mendapatkannya sahaja, walaupun dia tidak patut membeli pun mainan itu.
Percubaan kali ini berjaya.
Aku beritahu hero sebenar ialah mereka yang berjaya melawan nafsu. Superman sepatutnya boleh membunuh semua semua orang kerana dia kuat. Tetapi dia mengawal nafsunya dengan hanya membunuh manusia jahat sahaja.
Sebenarnya tidak mudah mengajar hal berkaitan konsep kepada anak-anak. Ia sesuatu yang tidak kelihatan. Bagaimana untuk memberitahu mereka apakah yang dikatakan iman atau apakah yang dikatakan kesetiaan. Ia tidak sama memberitahu mereka apakah yang dikatakan basikal atau kereta.
Bagaimana pun, pada usia mereka inilah, kita patut mengajarkan mereka konsep. Mereka lebih mudah menerimanya. Usia mereka ini, mereka ingin tahu semua perkara. Sebab itulah mereka bertanya hal yang pelik-pelik.
Bagaimana pun, ia tidak boleh diberitahu sekali lalu seperti kita mengajar pelajar dewasa di universiti. Kanak-kanak ini daya imaginasinya sangat tinggi.
Apabila kita berjumpa sesuatu perkara yang ada kaitannya, mungkin itulah waktu yang sesuai untuk mengajar mereka.
Satu hari, ketika menaiki motosikal masuk ke dalam hutan tidak jauh di kampung aku, anak aku bertanya "Ayah, Tuhan ada di dalam hutan kan?". Aku tanya balik, 'Siapa yang beritahunya? Katanya dia cuma mengagak sahaja.
Bayangkan, mereka sudah mula bertanya hal ketuhanan walaupun masih sangat kecil. Siapa kata kanak-kanak tidak bijak berfikir.
Aku beritahunya Tuhan berada di mana-mana. Kita tidak melihat Tuhan, tetapi Tuhan melihat kita.
Satu hari - di dalam kereta, sepupunya yang sebaya usia dengannya bertanya pula, "Uncle, Tuhan ada atas langit kan?"
Anak aku menjawab: "Tak ayah kan.. Tuhan ada kat mana-mana kan".
Saturday, 28 July 2012
Bagaimana menghindar rasa rendah diri?
Friday, 23 March 2012
Awas helah psikologi!
Wednesday, 23 November 2011
Pelajar master dicari
Ini untuk mereka yang berminat dengan bidang job stress, prestasi kerja dan organizational climate.
Mengapa saya membuat iklan ini, atau Dr Ben mengiklannya di blog, tetapi tidak bagi kebanyakan orang lain. Banyak sebab. Salah satunya, kami adalah penulis blog. Keduanya, kami mungkin sedikit sebanyak sudah tercicir dari aliran mainstream dunia akademik.
Saya ingin mencari pelajar baru kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baru. Saya mahu pelajar terdedah dengan kajian yang lebih kompleks, menggunakan analisis yang sedikit tinggi, dan menulis dengan cara yang baru. Tidak ada lagi kajian mencari sebab tekanan kerja di Sekolah Menengah Sekinchan.
Itulah harapan saya.
Saya mahu pelajar psikologi kita dapat dipisahkan dengan aliran lama yang hanya ingin menguji hubungan di antara satu-satu perkara (aka korelasi). Saya mahu generasi baru kita dilatih dengan cara yang lain. Saya mahu pelajar menganalisa fenomena yang ujud bagi satu-satu perkara. Saya mahu pelajar kita mengkaji sesuatu yang belum diketahui oleh pengkaji dunia yang lain.
Oh ya. Saya juga tidak menggunakan SPSS dalam analisis.
Hubungi saya di fakirfikir at gmail dot com.
Seperti biasa, saya bukan Professor!
Wednesday, 19 October 2011
Ceritalah lagi
Saya telah kembali memasuki ke dunia akademik. Apa yang saya lihat mengenai bidang saya?
Terus terang, tanpa berselindung - boleh saya katakan disiplin psikologi kita tidak berkembang banyak sejak saya meninggalkan universiti tahun 1995. Ia masih berkisar cara dan olahan yang sama.
Sepanjang tempoh itu, memang saya bukan orang akademik. Tetapi, saya terus membeli buku psikologi, dengan diselang seli dengan buku pengurusan. Buku paling mahal yang saya beli berharga lebih RM400, dan kedua mahal berharga RM 379.80. Saya membeli buku ini kerana saya ingin membacanya. Pada masa yang lalu, saya mempunyai sedikit kelebihan wang. Jadi saya mampu membelinya. Tetapi tidak sekarang.
Saya terus membeli buku ketika saya di Jakarta. Saya perlu membeli buku kerana saya takut saya ketinggalan dalam pengetahuan mengenai psikologi. Saya tidak kisah walaupun saya bukan ahli akademik. Bagi saya, membaca ketika di luar dunia akademik lebih menyeronokkan. Saya membaca tanpa paksaan pekerjaan saya. Saya membaca kerana minat.
Dalam dunia akademik, membaca buku sudah menjadi sebahagian pekerjaan. Jadi, membaca adakalanya sudah menjadi beban tugas yang baru.
Bagaimana dunia psikologi kita?
Kita masih berpegang dengan ideologi lama. Saya tidak tahu mengapa. Adakah kerana kita tidak ada banyak waktu untuk meneliti kajian terbaru di luar, atau psikologi dalam konteks masyarakat kita hanya sekadar bidang sahaja. Ia hanya bidang yang ujud di universiti, tetapi tidak di alam pekerjaan.
Hanya sebulan yang lalu, saya bertemu dengan dua orang anak muda yang berkerja sebagai ahli psikologi di jabatan polis. Sebelum ini, jarang kita mendengar ada jawatan ahli psikologi. Saya rasa ia pekerjaan menarik - walaupun menurut dua anak muda ini, kerja mereka bukanlah seperti yang dilakukan oleh ahli psikologi dalam erti kata sebenarnya. Tidak mengapalah.
Dahulu, kajian eksperimen adalah 'core' bidang kami. Sekarang ini tidak lagi. Banyak yang menggunakan soal selidik. Tidak salah menggunakan soal selidik. Tetapi, kekurangan kita ialah method pengumpulan data yang tidak berubah. Kaedah persampelan juga tidak kemas, menjadikan psikologi menjadi bidang yang agak terasing.
Saya tidak pulang ke Malaysia untuk melakukan perubahan. Tetapi, saya ada bertemu dengan banyak orang di universiti. Saya akan cuba ceritakan masalah saya kepada mereka, agar masa depan psikologi akan dapat diangkat.
Antaranya, kajian di Malaysia tidak perlu mendapat kelulusan ethic committee. Ini menjadi masalah untuk kajian itu diterbitkan dalam jurnal yang baik. Cara kita berhujah juga masih menggunakan lenggok tempatan. Misalnya, kajian di Kota Bahru - atau kajian di Sekolah Menengah Sekinchan - semua ini menjadi bidang psikologi kita tidak mampu mencapai tahap global.
Apa yang boleh saya buat?
Saya hanya mampu bercerita. Ceritalah. Ceritalah hakikatnya.
Saturday, 13 November 2010
Persidangan psikologi
Anda ada banyak kajian? Boleh join persidangan ini. Ia antara yang bagus. Proses peer reviews yang ketat, sekeras review journal. Boleh cuba sambil makan angin di Australia. Kalau bernasib baik boleh jumpa aku!
CALL FOR SUBMISSIONS NOW OPEN
9th Industrial and Organisational Psychology Conference
23 – 26 June 2011
Brisbane Convention Centre
www.iopconference.com.au
|
Thursday, 28 October 2010
Siri Mengenal Diri - Part 2
Jadi, apakah hal yang menjadikan kita ini berbeza. Kita gembira, orang lain juga ketawa. Kita bersedih, orang lain juga bersedih.
Yang membezakan kita dengan orang lain ialah - kita mempunyai 'teras' - core - sifat tertentu, dan orang lain mempunyai teras sifat yang lain. Ada orang yang cepat marah hanya kerana perkara yang kecil, ada orang yang tidak kisah pun sekalipun dicerca orang. Orang seperti Mbah Maridjan tidak juga berpindah sekalipun tahu gunung berapi akan meletus. Mbah Maridjan mungkin ketawa seperti kita. Juga mungkin bersedih seperti kita. Tetapi keberaniannya, atau mungkin juga tekal dengan pandangannya sendiri adalah personaliti yang menjadi teras miliknya. Itulah yang membezakan satu manusia dengan manusia lain. Ada sifat yang dimiliki semua orang, ada yang tidak.
Apakah 'core' personaliti anda? Anda mungkin tahu, tidak tahu bagaimana menghuraikannya. Tetapi, itulah diri anda. Orang lain mungkin tidak sebijak anda bagi menghuraikan siapa diri anda.
Siapakah pula yang dikatakan manusia? Ada dua pandangan utama dalam hal ini. Ada yang menyatakan bahawa manusia itu ialah makhluk yang rasional. Setiap tindakan dan perlakuan kita diasaskan kepada pertimbangan tertentu. Dalam kata lain - ada timbang tara yang menjadikan tidak semua perlakuan atau sifat yang kita zahirkan. Kita mungkin berasa ingin marah. Tetapi dalam keadaan tertentu, kita terpaksa melupakannya.
Pandangan yang lain - menyatakan manusia ini mempunyai naluri seperti binatang. Tindakannya sama seperti binatang - yakni untuk survival. Kita mungkin kurang bersetuju. Bagaimana pun, cuba kita perhatikan mengapa orang telah membunuh begitu banyak manusia dalam peperangan. Kalau orang bersifat rasional, orang tidak membunuh orang lain. Banyak juga para peragut yang sanggup membunuh pejalan kaki hanya untuk mendapatkan beberapa ringgit sahaja. Kes pembunuhan korporat wanita di ladang kelapa sawit - adalah antara berita terbaru membuktikan bahawa pandangan ini betul.
Tetapi apakah yang mendorong perlakuan kita. Adakah kerana faktor luaran, atau kerana apa yang sedia ada dalam diri kita? Adakah orang merompak kerana wang, atau orang yang menyamun itu mempunyai personaliti tertentu. Tidakkah personaliti boleh diubah?
Kita sambung.
Wednesday, 27 October 2010
Siri mengenal diri - Part 1
Setiap hari kita melihat diri sendiri. Kita juga melihat orang lain. Begitu juga dengan orang lain. Mereka melihat diri mereka. Mereka juga memerhatikan gerak geri kita. Kita selalu bertanya, mengapa kita berbeza? Bukan sahaja kita dengan orang lain, di kalangan adik beradik kita pun, ibu atau ayah kita selalu berkata bahawa anak-anaknya itu berbeza. Setiap orang ada perbezaan tersendiri.
Ayat yang selalu digunapakai dalam psikologi - yang selalu anda dengar juga - nature vs., nurture. Adakah personaliti manusia ini terbentuk secara semulajadi atau disebabkan faktor persekitaran? Kalau begitu - siapakah yang patut kita persalahkan kalau ada personaliti kita yang tidak betul? Mungkin kedua-dua ibu bapa kita. Merekalah yang mewariskan genetik kepada personaliti kita itu. Mereka jugalah yang menyediakan persekitaran dalam kehidupan kita.
Dikatakan manusia berbeza dalam hal tertentu kerana fungsi otak (untuk pembaca yang ada asas fisiologi: baca frontal cortex dan limbic system) yang diwariskan melalui genetik. Sebab itu, ada orang yang mempunyai sifat takut, ada yang tidak. Begitu juga dengan sifat malu.
Persekitaran pula menyumbangkan sama ada meneguhkan atau mengurangkan hal ketakutan ini. Anak-anak yang diasuh di tadika misalnya, yang terdedah dengan banyak kanak-kanak lain didapati semakin berkurang rasa malunya, dibandingkan dengan anak yang diasuh di rumah. Ini cuba menunjukkan bahawa persekitaran juga menyediakan asas penting dalam pembinaan personaliti manusia.
Sebab itu - apabila anda mengasuh anak - jangan takutkan mereka dengan hantu puchong kalau mereka tidak mahu tidur malam. Carilah alasan lain yang lebih wajar. Sebab itu banyak cerita hantu lebih banyak muncul di kampung-kampung. Itulah modal yang selalu digunapakai bagi menidurkan anak. Apabila anak ini besar, cerita hantu ini terus dibawa dalam hidup sekalipun mereka hanya melihat plastik putih yang terbang dibawa angin di waktu malam. Di Australia ini - jarang orang bercakap fasal hantu. Di mana pun kita berjalan, kita tidak pernah membayangkan akan ada hantu muncul di depan kita.
Jangan juga malukan mereka. Misalnya kalau ada budak lelaki berkawan dengan budak perempuan - dan kita berkata: "oo..nak kahwin ya". Ini membuatkan mereka menjadi pemalu. Kita tidak tahu apa personaliti yang ada dalam genetik mereka. Cara kita mendidik mungkin akan memperteguhkan sifat yang tidak elok.
Bagaimana pun, dalam beberapa tahun terakhir ini - ada pandangan baru. Pandangan ini menyatakan kedua-dua fator genetik dan persekitaran saling bergantungan. Pengalaman yang kita lalui mengaktifkan mekanisme genetik yang sedia ada dalam diri.
Itulah yang membentuk diri kita.
Friday, 6 August 2010
Jangan katakan aku gila.
Kali ini kita bincang penyakit-penyakit psikologi.
Sebenarnya, adakah orang gila di dalam dunia ini?
Bagaimana jawapan anda.
Di zaman silam - di Eropah, manusia yang dianggap gila telah dimasukkan ke dalam bot khas, yang dinamai 'ships of fools' dan kemudiannya diletakkan jauh di tengah lautan.
Sekarang ini pun - orang yang dianggap gila tetap diasingkan dari manusia. Kalau anda ke Hospital Taiping atau Alor Setar, akan ada wad orang gila. Hospital Tampoi dan Tanjung Rambutan antara yang popular. Mereka yang dirawat di hospital ini ialah manusia yang tidak normal.
Yang banyak masuk ke hospital ini biasanya bukanlah mereka yang datang secara sukarela. Misalnya, kalau kita berasa kita seperti manusia yang gila, patutkah kita ke hospital menawarkan diri untuk duduk di sana. Pasti tidak. Kita mungkin tidak gila kalau begitu. Jadi yang banyak masuk ke sana biasanya setelah kes mereka dirujukkan ke pakar atau pihak autoriti tertentu.
Di kampung aku - ada seorang kakak, namanya disamarkan sebagai Kak H - mungkin 20 tahun lebih tua dari aku. Dia selalu berbasikal keliling kampung. Singgah ke sana sini. Dia wanita yang agak cantik ketika mudanya. Bergincu. Kadang-kadang bertopi. Sejak aku mula kenal dunia, dia sudah begitu. Dia singgah ke rumah orang kampung yang baik dengannya. Dia singgah berbual. Beberapa topiknya yang awal mungkin betul. Apabila berbual lebih panjang, ia akan jadi keliru.
Kata orang kampung - dia sakit akibat buatan orang. Sejak remaja lagi.
Dia agak baik dengan aku. Dia selalu bercerita yang dia kerap mendukung aku ketika aku kecil dulu. Aku percaya katanya, kerana ibuku juga berkata begitu. Sampai sekarang, kalau aku balik kampung dia akan singgah. Katanya ingin melihat aku bagaimana rupanya sekarang.
Dia agak normal sedikit sekarang ini.
Agak malang, dalam budaya kita, dalam budaya mana pun jua - orang gila dianggap sebagai manusia pariah. Tiada harga. Seolah-olahnya mereka ini tidak wujud. Seolah-olahnya mereka ini tidak tahu apa-apa.
Berbalik kepada soalan awal tadi, adakah ada manusia gila di dunia ini?
Pandangannya yang paling masyur - yang paling kontroversial dan aku sealiran dengan pandangan ini, datangnya dari Scheff (1966) - mereka ini bukan gila. Mereka ini ialah manusia yang sakit.
Jadi, sama ada seseorang itu kita anggap sebagai gila atau tidak, bukan letaknya pada pesakit. Letaknya pada pandangan dan tanggapan kita sendiri. Seperti kita melihat seseorang itu cantik atau tidak. Ia tidak bergantung kepada empunya diri, tetapi siapa yang melihatnya.
Hakikatnya, tidak ada orang gila. Mereka hanya pesakit. Mereka menjadi mangsa penafsiran orang yang melihatnya, dengan menyatakan mereka gila. Mereka menjadi mangsa kerana kelakuan mereka yang bertentangan dengan budaya setempat.
Orang yang berkaki ayam berjalan di tengah kota Kuala Lumpur pasti akan dianggap gila. Ia tidak pernah berlaku. Bagaimana pun, di kebanyakan kota Barat, warganya selalu sahaja berkaki ayam berjalan keliling bandar. Mereka tidak dianggap gila. Kerana ia tidak bertentangan dengan norma setempat.
Gila atau tidak seseorang - letaknya pada penafsiran kita. Itu sahaja.
Friday, 21 May 2010
Ahli psikologi boleh tahu orang?
Dia bertanya: "Betul ke, orang psikologi boleh tahu (tafsir) orang".
Aku rasa inilah satu mitos yang selalu ada dalam minda kebanyakan orang. Orang mengandaikan ahli psikologi boleh mengetahui orang lain. Ahli psikologi kononnya boleh membaca pemikiran manusia lain.
Hakikatnya tidak. Dengan sepintas pandang, mustahil kita boleh tahu orang lain. Mustahil sebagai manusia kita boleh membaca minda orang lain. Ia hijab yang sangat tinggi.
Sebenar apa yang berlaku, ahli psikologi hanya meramalkan tingkahlaku atau perwatakan seseorang berdasarkan apa yang dipelajari. Misalnya, jika dikatakan bahawa banyak orang Cina cenderung membunuh diri dengan cara terjun dari bangunan tinggi, maka apabila ada kejadian seperti itu, kita akan meramalkan tentulah orang Cina yang membunuh diri. Apatah lagi berlaku di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Maka telahan itu akan menghampiri kebenarannya.
Seperti juga halnya apabila kita meramalkan seseorang itu alim atau tidak. Kalau kita melihat seseorang itu selalu memakai kopiah putih dan kerap berulang-alik ke masjid, andaian kita tentulah orang seperti ini alim. Itu logik pengetahuan. Hakikatnya belum tentu lagi. Ada yang hanya berlakon sahaja. Banyak yang menagih dadah di tepi jalan di Masjid Jamek juga berkopiah, bahkan ada yang bersorban dan memegang tasbih.
Sebenarnya - ahli psikologi menafsir seseorang berdasarkan simptom atau gelagat.
Misalnya simptom penyakit jiwa. Biasanya orang yang sakit mental akan selalu berjalan berlegar-legar. Matanya juga tidak begitu jernih dan cara gerak mata mereka berbeza dengan orang normal. Jadi - apabila melihat orang seperti itu, tentulah yang pertama kali dijangkakan, orang tersebut mungkin sakit.
Jadi - apa sebenarnya yang diketahui ahli psikologi?
Mereka sebenarnya hanya meramalkan tingkahlaku berdasarkan kajian lalu atau pengetahuan yang ada. Pengetahuan itu didasarkan kepada apa yang dilaporkan dari kejadian yang berlaku di seluruh dunia. Seperti juga doktor. Mereka juga meramalkan pesakit berdasarkan simptom.
Sebab itulah, seperti doktor, ahli psikologi juga perlu menjalankan ujian susulan. Ujian susulan ini boleh jadi dalam bentuk temuduga, sesi kaunseling atau ujian psikologikal lain. Ujian susulan ini pula berdasarkan kepada tanda-tanda sedia ada. Ujian-ujian inilah yang boleh mengesahkan ramalan awal tadi.
Jadi itulah kerja ahli psikologi. Mereka meramal tingkahlaku. Mereka bukannya membaca minda manusia.
Ahli psikologi bukan bomoh. Mereka juga orang biasa seperti kita. Lainlah, kalau ahli psikologi itu memelihara jin yang boleh membisikkannya sesuatu. Itu pun tergantung pula kalau jin itu tidak menipu.
Friday, 30 April 2010
Siri kuliah psikologi II - agressive shooting behaviour
Sebenarnya - kejadian pihak penguatkuasa tersalah tembak orang awam bukanlah perkara baru. Ia dilaporkan dalam banyak laporan. Antaranya seorang kulit hitam yang tidak bersalah telah ditembak oleh polis kulit putih di Amerika tahun 1999. Juga dilaporkan bahawa ada kecenderungan untuk menembak banyak berlaku dalam situasi persekitaran budaya masyarakat yang tidak selamat dan banyak jenayah.
Dalam kes pemuda kulit hitam tertembak mati - ia berkemungkinan berlaku kerana otak menggelintar dengan teruk. Orang kulit hitam sering dikaitkan dengan jenayah. Otak mungkin perlu memproses banyak hal termasuk prejudis yang mengaitkan jenayah orang kulit hitam. Dalam persekitaran yang banyak jenayah - otak kita juga mungkin terpaksa memproses banyak maklumat lain. Ia memproses situasi bahaya yang terpaksa dihadapi.
Bahasa yang mudah untuk difahami orang awam - kalau anda ke masjid, anda berasa tenang kerana anda tahu tiada siapa yang akan memeras ugut anda. Ia berbeza kalau anda berjalan di Lorong Haji Taib - ada seolah-olahnya hal yang tidak kena. Ada ancaman di situ. Inilah pekerjaan WM memproses situasi.
Semua ini adalah proses membuat keputusan - yang diasaskan oleh WM. Dan semua kejadian tersalah tembak ini dimasukkan dalam kategori 'agressive shooting behaviour'.
Berasaskan kepada andaian ini Kleider & Parrot (2009) membuat satu kajian berkaitan dengan tindakan agressif menembak. Mereka membuat kajian makmal. Orang yang tinggi dan rendah WM diukur dengan satu ujian yang ditadbir komputer. Subjek kajian ditunjukkan slide menunjukkan orang yang memegang senjata - sebagai bahaya, dan orang yang tidak - sebagai tidak bahaya. Kerana slide ini diubah-ubah secara pantas, subjek kajian juga perlu membuat keputusan dengan cepat sama ada menekan butang 'tembak' atau 'tidak menembak'.
Apa hasilnya?
Didapati orang yang rendah keupayaan WM mengambil keputusan untuk menembak. Ia bukan berlaku secara automatik - tetapi pada peringkat kognitif. Keputusan untuk menembak juga tidak membezakan sama ada keadaan itu terancam atau tidak. Walaupun tidak terancam, mereka menembak juga.
Sebaliknya, ini tidak berlaku kepada orang yang tinggi WM.
Apa yang anda faham dari kajian ini? Apa yang cuba anda simpulkan dari kejadian-kejadian tersalah tembak.
Pada masa depan - bagi agensi yang berkaitan, selain lulus akademik atau ujian fizikal, seseorang yang akan diterima berkerja patut juga lulus ujian WM. Ia melibatkan hal dalam otak. Hal pemprosesan maklumat dan membuat keputusan.
Kerana tugas polis berbeza dengan pekerjaan lain, yang setiap hari berhadapan dengan bahaya, autoriti dan 'suspicious' - pemprosesan maklumat pada akhirnya ibu kepada segala tindakan.
Kuliah tamat. Sedikit sebanyak anda juga tentu faham apakah kerja ahli psikologi. Mereka bukan hanya ingin mendengar masalah rumahtangga, mereka juga berminat dengan banyak hal masyarakat lain.
Rujukan
Kleider, H.M & Parrott, D.J. 2009. Aggressive shooting behavior: How working memory and threat influence shoot decisions, Journal of Research in Personality, Vol. 43.
Tuesday, 27 April 2010
Kuliah Psikologi: Personaliti polis
Sebelum kita mulakan, ada baiknya kita tahu dulu apa yang dikatakan 'personaliti polis'. Hal ini sebenarnya banyak dibincangkan oleh ahli psikologi dan sosiologi apabila merujuk kepada kerja-kerja anggota polis. Kerja polis berbeza dengan pekerjaan lain.
Polis dikatakan mempunyai dua jenis 'personaliti kerja' - iaitu autoriti dan bahaya - merasa tidak selamat. Autoriti merujuk kepada taat dan patuh kepada arahan, dan juga merujuk kepada ketekalan mereka untuk menegakkan undang-undang. Keduanya - mereka juga sentiasa berhadapan dengan bahaya dan perasaan tidak selamat. Ia bukan hanya pada waktu kerja. Di luar waktu kerja pun mereka merasa tidak selamat.
Bagi memenuhi sifat kerja itu (penegak undang-undang dan hidup dalam bahaya), mereka sentiasa menjadi manusia yang suspicious. Suspicious ini bukanlah hal tidak baik. Anggota polis yang cekap perlu sentiasa menjadi manusia yang curiga. Kalau semua orang dilihat sebagai orang baik - sukar untuk mereka menegakkan undang-undang. Curiga juga merujuk kepada situasi dan tempat. Sifat suspicious ini mungkin tidak diperlukan dalam pekerjaan lain.
Selain curiga, polis juga dikatakan lebih autoktarik, tidak terbuka dan konservatif. Mereka tidak mudah menerima pandangan orang lain. Ia mungkin logik. Kalau semua anggota polis bertingkahlaku seperti pekerja khidmat sosial yang hanya tersenyum berhadapan dengan orang ramai, tidak ada orang yang akan takutkan mereka. Bahkan, perompak juga akan menyamun setiap minit di hadapan mata.
Terkait dengan sifat pencuriga itu - ialah 'cues' atau isyarat bagi mengenal pasti orang yang bersalah. Latihan dalam hal 'cues' ini dikenali sebagai 'Reid Method'.
Sebenarnya - dalam bidang kepolisan ada satu latihan yang diberikan bagi membolehkan mereka mengesan kesalahan seseorang. Latihan ini dinamakan 'Reid Method'. Metod ini berasaskan kepada andaian bahawa manusia yang melakukan kesalahan atau bersalah boleh dikesan dengan melihat bahasa tubuh mereka - 'non-verbal cues'. Anggota tubuh ini termasuklah senyuman, pertuturan, pergerakan mata, pergerakan tangan dan sebagainya.
Dikatakan orang yang bersalah akan menunjukkan kelakuan yang pelik. Misalnya senyum yang lebih kerap, atau senyum dalam bentuk yang bukan dalam kebiasaannya. Apabila bercakap, mereka berhenti (pause) dalam tempoh yang lebih lama. Orang bersalah juga bercakap tanpa mahu memandang mata. Semakin kerap tingkahlaku ini, semakin besar potensi seseorang itu dianggap sebagai 'suspek'.
Bahasa tubuh ini diyakini dan digunapakai oleh banyak anggota polis di seluruh dunia. Ia banyak digunapakai dalam penyiasatan. Di Amerika, anggota polis mengenal pasti pesalah dadah dengan menggunakan kaedah ini di jalanraya. Aku tidak pasti di Malaysia. Itu kena tanya rakan-rakan kita yang berkerja sebagai polis.
Bahasa tubuh ini juga digunakan oleh orang awam dalam menilai manusia. Bagaimana pun, kita mungkin tidak begitu terlatih.
Inilah yang sedang hangat dibincangkan dalam kajian psikologi mutakhir ini. Kajian-kajian mendapati bahawa 'bahasa tubuh' manusia adalah tidak sama. Tidak semestinya orang yang 'bercakap-berhenti-bercakap semula' itu orang yang salah. Tidak semestinya juga orang tersenyum dengan cara yang pelik itu penjenayah. Kerana ada orang yang memang berkelakuan begitu.
Ada orang yang apabila dalam keadaan tertekan, akan menunjukkan reaksi ini - walaupun dia bercakap benar. Begitu juga pengaruh budaya. Orang Afrika misalnya - didapati bercakap dengan cara banyak tersenyum dibandingkan dengan orang kulit putih.
Jadi, 'Reid Method' atau penilaian berdasarkan reaksi tubuh mungkin sesuatu yang bukan selalu betul. Dalam psikologi - hal ini dinamakan 'confounding effect'. Hal-hal lain yang menggangu proses penilaian kita.
Sebab itu, sebagai kakitangan awam yang diberikan kuasa dan senjata, mereka perlu lebih berhati-hati. Salah tanggap dalam menilai bahasa tubuh, atau mentafsir petunjuk (cues) boleh menyebabkan kejadian tidak diingini.
Sebagai orang awam pula, kita juga perlu lebih adil walaupun ada hal yang mungkin kita tidak setuju. Kerana kecurigaan itu merujuk juga kepada situasi, masa dan tempat, pelajar itu mungkin tidak menjadi bahan berita kalau mereka melewati jalan itu pada jam 8 pagi, dan bukannya lewat pagi. Mungkin tidak juga menjadi isu besar kalau remaja itu menaiki motosikal dan bukannya kereta. Kemungkinan juga tidak akan ada hal yang berlaku kalau kereta itu dinaiki seorang diri dan bukan berkumpulan.
Kerana semua petunjuk ini mungkin akan melengkapkan penafsiran bahawa remaja tadi mungkin seorang penjenayah, bagi anggota yang tidak cekap dan tidak berpengalaman menilai situasi.
Rujukan
***************************************
1. Skolnick dalam tajuk 'A Sketch of the Policemen's Working Personality' dalam buku Race, Ethnicity & Policing, eds. Rice & White, 2010.
2. Johnson, R.R. 2006. Confounding influences on police detection of suspiciousness, Journal of Criminal Justice, Vol. 34.
3. Robert W. Balch. 1972. "The Police Personality: Fact or Fiction?. The Journal of Criminal Law, Criminology, and Police Science, Vol. 63,
Monday, 15 March 2010
Pedophilia - Simptom yang perlu anda tahu
Satu hari anda didatangi oleh seseorang yang mungkin kelihatan warak. Dia meminang anak gadis anda yang masih di bawah umur. Berhati-hatilah. Kelihatan warak belum tentu sempurna. Kelihatan alim belum tentu mereka tidak sakit.
Adalah tidak masuk akal untuk kita - ada orang yang tertarik dengan anak gadis kita yang masih di bawah umur. Ia mungkin hal pelik bagi orang normal. Hakikatnya, hal yang jarang-jarang berlaku ini adalah satu penyakit psikologikal. Ada kemungkinan apa yang berlaku itu bersabit dengan simptom yang selalu dibincang dalam bidang psikologi.
Ia mungkin berkait dengan simptom Pedophilia. Anda boleh membaca di wikipedia hal ini. Aku tidak akan mengulas apa yang telah ditulis di dalam wikipedia itu. Sila baca agar anda faham.
Secara umumnya - pedophilia -ialah kecenderungan manusia tertarik secara seksualnya dengan kanak-kanak, atau dalam bahasa mudah 'ingin menjadikan kanak-kanak sebagai sahabat'. Walaupun penyakit ini boleh jadi menimpa sesiapa sahaja, tetapi ia biasanya merujuk kepada kesukaan orang dewasa terhadap kanak-kanak.
Bagaimana pun, simptom ini tidak semestinya seksual, walaupun banyak dari kecenderungan ini berasas kepada seksual. Ada juga perlakuan yang mungkin untuk menyakiti kanak-kanak misalnya merosakkan barang permainan mereka.
Secara puratanya penyakit ini selalu menimpa lelaki pertengahan umur, walaupun ada kajian menunjukkan wanita juga mungkin ada gejala ini.
Kajian-kajian yang dilakukan (misalnya Gebhard, 1965) menunjukkan pelaku atau pesakit pedophilia ini biasanya kenal dengan mangsa, misalnya mengenali keluarga mereka, hidup sebagai jiran atau sahabat keluarga. Kajian-kajian juga menunjukkan 10-15 peratus kanak-kanak terdedah dengan perlakuan sumbang ini.
Aku tidak begitu pasti dengan isu ini di Malaysia. Ia bukan bidang kepakaran aku. Bagaimana pun, isu-isu penderaan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak ada kemungkinan bersabit dengan masalah pedophilia ini.
Sebenarnya, yang patut kita utamakan ialah bagaimana kita dapat mengubati atau menghindar gejala pedophilia ini. Ini bukan masalah mana-mana kumpulan agama. Lainlah, kalau semua ahli jemaah itu tertarik dengan perkara yang sama, yakni mengahwini gadis bawah umur. Bagi aku, apa yang berlaku ini lebih merupakan masalah personaliti manusia. Ia penyakit psikologi yang perlu disedari oleh masyarakat dan ditangani bersama.
Sudah tiba masanya juga - pihak berkuasa khususnya memberikan juga kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit-penyakit psikologikal dan mental yang ada dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya kita dapat menghindar dan mengambil langkah yang patut.
Jadi aku harap - dengan penjelasan ini - sedikit sebanyak membantu Ziarah76 dalam cuba memberikan isyaratnya dalam topik nila setitik di laman blog beliau.
Takut nanti akan ada orang awam cuba mencadangkan agar kumpulan tertentu diharamkan, sedangkan isu utama bukanlah kumpulan ini. Takut nanti lain yang sakit, lain yang diubat.
Saturday, 13 March 2010
Alam sedar vs. separa sedar
Soalan BAHAGIAN 1
Soalan 1: Siapakah nama anda?
Soalan 2: Di manakah negeri tempat tinggal anda?
Soalan 3: Apakah jantina anda?
Sekarang cuba jawab pula soalan BAHAGIAN 2 di bawah:
Soalan 1: Apakah nombor telefon keluarga anda di kampung?
Soalan 2: Berapakah poskod kampung anda?
Soalan 3: Siapakah yang duduk di belakang anda ketika di tingkatan 3 dahulu?
Soalan 4: Berapakah nombor plat kereta jiran anda?
Lihat bagaimana caranya otak kita berfungsi. Ia menggelintar maklumat.
Soalan bahagian 1, kita mampu menjawabnya secara pantas. Soalan bahagian 2, walaupun kita tahu jawapannya, tetapi ia sedikit mengambil masa - walaupun mungkin tidak lebih dari 30 saat.
Inilah yang kita katakan alam sedar (Bahagian 1) vs. alam separa sedar (Bahagian 2). Banyak maklumat kita sebenarnya telah disimpan pada alam separa sedar menjadikan kita pelupa dan tidak lulus periksa. Walaupun sebenarnya kita boleh menyimpannya di alam sedar.
Maklumat yang disimpan pada bahagian alam sedar biasanya akan lebih cepat diingat semula. Bagaimana pun, maklumat-maklumat tertentu telah kita simpan pada alam tidak sedar. Kita tahu, tetapi ia lambat untuk diingat semula. Kita tahu bahawa itu kereta jiran kita apabila melihat nombor platnya, tetapi kalau diminta memberitahu apakah nombor plat kereta jiran, kita mungkin tidak mampu.
Dalam peperiksaan, inilah masalah yang selalu dihadapi pelajar. Mereka tahu, tetapi lambat mengimbas semula. Dalam keadaan tertekan oleh masa, mereka mungkin langsung tidak mampu mengingat semula apa yang pernah dibaca.
Thursday, 11 March 2010
Apa beza cinta, suka dan minat
Apa definisi cinta sebenarnya? Apa bezanya suka, cinta dan minat?
Aku sebenarnya ingin menutup perbincangan cinta ini. Bagaimana pun, Ainishamsi telah mengajukan soalan ini. Jadi, aku rasa perlu menjawabnya. Takut nanti dia terkeliru pula apabila memberitahu emaknya yang dia cintakan Mawi, sedangkan dia mungkin sekadar meminati penyanyi muda itu sahaja.
Topik cinta ini sebenarnya sebahagian dari bidang kajian ahli psikologi. Mereka juga berselisih pandangan akan hal ini. Secara umumnya, cinta didefinisikan dengan dua cara:
1. An intense feeling of strong liking or affection for some specific thing or person.
2. An endurancing sentiment toward a person producing a desire to be with that person and a concern for the happiness and satisfactions of that person' (The Penguin Dictionary of Psychology).
Bagaimana pun, ahli psikologi lebih merujuk kepada definisi 2 apabila membincangkan hal cinta. Ini bermaksud kita mempunyai perasaan yang kuat terhadap seseorang, dan ingin berkongsi segala suka duka kita dengan orang tersebut. Kita juga berangan-angan untuk sehidup semati bersama orang yang kita sayangi. Dalam erti kata lain, orang sanggup berkorban apa sahaja dengan orang yang dicintai. "Buang emak, buang saudara. Kerana kasih, hamba turutkan'.
Adakah cinta dan seks dua benda yang berkaitan - atau berasingan? Itu aku tak akan ulas di sini. Anda boleh menggoogle Z.Rubin, salah seorang ahli psikologi yang gemar mengkaji topik cinta.
Suka pula - hanya sekadar perasaan senang dengan seseorang yang mungkin menarik, atau mempunyai personaliti, watak atau lain-lain persamaan dengan kita. Bagaimana pun, kita tidak semestinya sanggup berkorban apa sahaja dengan orang yang kita suka. Kebanyakan orang yang kita suka ini boleh jadi merupakan sahabat kita, dan kebanyakan sahabat kita ialah mereka yang kita suka. Bagaimana pun, ada hal-hal yang tidak kongsi dengan orang yang kita suka.
Kita juga mungkin tidak gamak menyebut untuk mati bersama dengan orang yang kita suka.
Jadi, apa pula yang dikatakan minat? Adakah suka dan minat hal yang sama. Ia mirip, tetapi tidak sama. Kita perlu suka dahulu, baru boleh minat. Walaupun sesuatu yang kita suka belum tentu menimbulkan minat. Minat pula biasanya lebih merujuk kepada hubungan perasaan kita dengan seseorang - dan boleh jadi hubungan ini secara jarak jauh sahaja. Mereka ini pula biasanya orang yang mempunyai bakat atau karektor tertentu.
David Beckham diminati peminat bolasepak di seluruh dunia. Dia mungkin juga disukai, tetapi tidak diminati. Bagaimana pun, orang yang membencinya tidak akan menyukainya, tidak juga meminatinya. Apatah ada angan-angan mencintainya.
Mawi diminati oleh ramai orang, tetapi hanya dicintai oleh isterinya. Peminatnya pula perlu menyukainya sebelum boleh meminatinya. Jarang kita meminati seseorang yang tidak kita suka.
Bagaimana pun, ada individu tertentu yang merangsang perasaan kita untuk sangat menyukainya. Mereka ini ada keistimewaan tersendiri yang hanya kita yang tahu. Orang lain mungkin tidak menyukainya pun. Ini juga kita katakan minat (admire). Ini selalu berlaku zaman kita di sekolah. Kita terasa kita bukan sekadar suka, tetapi ingin lebih dari itu. Sebab itu, ada orang sanggup meletakkan surat cinta atau bunga dalam meja orang yang diminati itu. Hal minat inilah yang mungkin ditanya oleh Ainishamsi. Anda boleh dengar lagu ini untuk tahu maknanya.
Jadi - apa beza cinta, suka dan minat?
Jadi - untuk mencintai seseorang anda perlu terlebih dahulu mempunyai perasaan suka. Kalaupun anda suka atau minat seseorang, tidak semestinya anda perlu menyintainya.
Wednesday, 10 March 2010
Update research
Seingat aku - aku tidak merancang pun untuk melakukan kajian sampai 5 kali. Ketika di Malaysia, sebelum aku datang ke Australia, aku ingat untuk hanya melakukan kajian sekali lalu sahaja. Itu yang ada di fikiran. Nampaknya, PhD tidaklah semudah itu. Mungkin menjadi trend kajian psikologi di luar negara - mereka tidak lagi teruja dengan 'cross-sectional' (kajian sekali), sebaliknya mereka lebihkan 'longitudinal' (kajian follow-up). Alasannya mudah - setiap kajian perlu diterbitkan di jurnal. Sekarang ini, banyak jurnal besar tidak lagi melayan kajian cross sectional.
Mereka juga tidak lagi berpegang kepada kajian kuantitatif (survey) semata-mata. Sebaliknya mereka mahukan mix-method, yakni kajian yang melibatkan kualitatif (interview, fokus group) dan kuantitatif. Ini telah menyebabkan perjalanan PhD aku di sini lebih panjang dari dijangkakan. Bermula dengan interview, fokus group, survey 1, survey 2 dan terakhir survey 3.
Tentulah - semua ini melibatkan wang. Bagi orang yang tidak banyak wang seperti aku - tentu ia sukar juga. Hutang segenggam sudah jadi seguni.
Tapi tak mengapalah - ini mungkin maklumat berguna untuk mereka yang berminat untuk melakukan PhD di Australia.
Dalam semua kerja tidak siap lagi - jika semuanya berjalan dengan baik - aku ada merancang untuk melakukan satu lagi kajian di sempadan Thailand. Harapnya menjadi.
Thursday, 4 March 2010
Mari berbincang hal emosi
Pengurus: Selamat pagi Lia! Bagaimana perasaan awak hari ini?
Lia: Baik.
Pengurus: Mulai sekarang, apabila saya bertanya bagaimana perasaan awak, saya mahu awak berkata, 'menakjubkan"!
Lia: Ok
Pengurus: Jadi, bagaimana perasaan awak hari ini?
Lia: Menakjubkan.
Perbualan di atas merujuk kepada pekerja di restoran McDonald. Lihat, bagaimana dengan hanya mengubah ayat dari 'baik' kepada 'menakjubkan', orang terpaksa mengubah raut wajah agar selari dengan perkataannya. Perkataan baik mungkin tidak begitu ceria. Tetapi apabila berkata menakjubkan atau memberangsangkan - secara tidak langsung berlaku perubahan emosi.
Sebab itu - apabila kita berurusniaga dengan perkhidmatan kaunter syarikat antarabangsa, mereka selalunya menggunakan ayat-ayat yang positif. Jarang mereka berkata, 'bolehlah', 'nantilah', 'boleh je' atau kata-kata lain yang melemahkan. Anda boleh membandingkannya apabila anda berurusan dengan sistem kaunter di sektor awam.
Semua ini kerana manusia dilatih untuk merautkan wajah yang 'manis' apabila berurusan dengan pelanggan. Sektor penerbangan misalnya, pramugarinya dilatih agar sentiasa senyum sekalipun marah. Mereka dilatih untuk berinteraksi secara positif* (Lihat Nota)
Dengan mengubah ayat, kita mungkin mampu mengubah motivasi diri. Misalnya, apabila kita dihadapkan dengan masalah, jangan sesekali menggunakan perkataan masalah. Lebih baik kita tukar 'masalah' itu kepada 'cabaran'. Ia menjadikan kita sangat suka dengan 'cabaran' itu, walaupun hakikatnya ia tetap masalah.
Kepada teman-teman yang sedang mengaji PhD, apabila ada orang bertanya - "Bagaimana PhD?". Maka kita jawablah - "Hah. Luarbiasa. Progress sangat menakjubkan!".
-----------------------------
*bagaimana pun, kajian terkini mendapati bahawa pekerjaan seperti ini sangat tertekan. Bayangkan kita terpaksa tersenyum sekalipun kita marah. Kita terpaksa memberi layanan yang baik walaupun kita tidak suka. Jadi, mengawal perasaan yang terpendam ini menjadikan manusia sakit. Kita istilahkannya sebagai emotional demands).
Nota - perbualan itu dipetik dan diadaptasi dari Fineman, S, Emotions and organizational control, dalam Payne, R.L & Cooper, C.L (eds), 2001, Emotions at Work: Theory, research and applications in management, John Wiley & Sons Ltd.
Saturday, 28 November 2009
Anda di tahap mana?
Dikatakan terdapat 8 tahap perkembangan manusia. Ada yang mengatakan ada 5 tahap atau 4 tahap. Bergantung kepada aliran pemikiran psikologi itu sendiri. Yang kita bincangkan hari ini lebih kepada apa yang dikemukakan Eric Erikson.
Tahap 1 - Percaya dan Tidak Percaya - lahir sehingga 1 tahun
Tahap ini lebih kepada tahap permulaan manusia. Bayi sudah dapat mengenalpasti sentuhan mesra dan tidak. Sudah ada konsep percaya dan tidak percaya. Mereka akan merasa selamat kalau dibelai dengan manja. Sebaliknya, kalau menunggu terlalu lama, atau disentuh dengan kasar - mereka akan berasa terganggu - atau dalam kata lain - merasa tidak selamat dan tidak percaya.
Tahap 2 - Autonomi vs Ragu-ragu - 1 hingga 3 tahun.
Tahap ini, kanak-kanak sudah mempunyai keupayaan mental. Sebab itu, pada usia ini mereka sudah ada hasrat untuk memilih atau tidak satu-satu perkara. Misalnya barang permainan. Autonomi akan terhasil kalau ibu bapa memberikan mereka pilihan membuat sesuatu. Sebaliknya mereka akan muncul sebagai manusia yang ragu-ragu kalau setiap percubaan mereka dilarang. Pada tahap ini juga satu masalah untuk ibu bapa. Kita asyik melarang, sebab takutkan bahaya. Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak mahu mereka hilang keyakinan diri.
Tahap 3 - Inisiatif vs rasa bersalah - 3 - 6 tahun
Waktu ini - kita sudah boleh melihat watak sebenar, atau apa personaliti dan karektor manusia. Kanak-kanak membuat pelbagai eksperimen dalam perhubungan dan pergaulan mereka. Kita wajar memberikan mereka peluang menerokai sesuatu yang baru - agar dengan cara ini kanak-kanak akan lebih cenderung untuk menjadi manusia yang inisiatif dan berdayausaha. Bagaimana pun, perlu ada pemantauan. Takut-takut mereka terlebih daya usaha, dan ini membahayakan mereka.
Tahap 4 - Industri vs Rasa Rendah Diri - 6 - 11 tahun
Industri dalam konteks ini ialah kemahiran anak-anak ini untuk berkerja dalam kumpulan dan berkerjasama dengan orang lain. Maksudnya, mereka seolah-olah prototaip manusia dewasa. Sebaliknya waktu ini juga, ada sebahagiannya berhadapan dengan kesulitan apabila mereka berasa rendah diri dan ini menyebabkan mereka gagal bersosial. Sebab itu - waktu ini kita kerap melihat muka di cermin. Kita bimbang diri kita tidak menarik. Atau membandingkan diri dengan orang lain. Orang lain bawa bekal lauk daging, kita cuma bawa ikan tamban goreng. Semua ini pengalaman yang pernah kita lalui.
Tahap 5 - Identiti vs Keliru - Remaja
Ini tahap paling kritikal. Anak-anak mula bertanya 'Siapa Aku?" dan apa identiti sebenar mereka. Ingin jadi orang alim, rockers, liar, baik, belia dan sebagainya. Zaman aku dulu kami mungkin confius sama ada untuk menjadi Amy Search atau Man Kidal. Role model orang alim kami tidak kenal. Sebab itu ada remaja yang terjebak dengan banyak hal yang tidak baik. Bagi mereka itu mungkin hal baik, sebab itulah identiti mereka. Sedangkan kita yang dewasa ini melihat sebaliknya. Dahulu ketika remaja, aku ingat merokok cukup hebat. Sekarang ini bila kena beli rokok sekotak AUD 12 @ RM 36 sehari - baru aku tahu kenapa merokok itu memang benda tak berguna pun.
Tahap 6 - Intimacy vs Isolasi - Awal dewasa
Ini tahap budak-budak universiti. Ia zaman peralihan dari remaja kepada dewasa. Umur peringkat Ihsan HuHu atau N Kecik. Waktu ini tidaklah kritikal sangat, melainkan kalau ada yang gagal pada tahap sebelumnya. Waktu ini, ada yang berjaya dalam menjalinkan hubungan dengan masyarakat dan kumpulan sosial. Ada pula yang gagal. Yang gagal, mereka mengasingkan diri. Yang gagal mungkin merasa mereka tidak begitu matang lagi, atau mungkin menjangkakan diri mereka masih remaja. Yang berjaya pula kerana merasa percaya diri. Aku rasa aku berjaya dalam tahap ini. Aku boleh berkawan dengan banyak orang, baik orang tua atau orang muda. Tetapi, ada juga kawan-kawan di kampung aku yang gagal - jadi mula mencuba hal lain. Misalnya menagih dadah atau bermalam di Dannork.
Tahap 7 - Generativity vs Stagnation - Pertengahan dewasa
Ini tahap umur seperti aku, Azam Swinging Bowl atau Krenmaut. Genarativity maksudnya kita tidak begitu melihat diri kita lagi seperti tahap sebelumnya. Sebaliknya kita mula melihat masa depan generasi seterusnya, misalnya anak-anak kita. Kita banyak berfikir hal mereka, bukan hal kita. Mereka yang tidak mempunyai peluang ini mungkin merasa sedikit kecewa. Misalnya orang yang belum berkahwin. Tapi jangan bimbang, tahap ini panjang. Ia sampai umur anda menjelang tua. Jadi ada banyak masa lagi.
Tahap 8 - Ego integrity vs. Dispair - Tua
Ini tahap hujung. Tahap senja. Usia orang pencen. Kalau sepanjang tahap sebelumnya, manusia berjaya melalui dengan baik, maka tahap ini akan memunculkan apa yang diistilah integriti. Tahap kesempurnaan diri dan ketenangan. Sebaliknya, kalau banyak tahap sebelumnya asyik gagal dan tersungkur, tahap ini akan menyebabkan manusia berasa kecewa. Rasa takut nak mati atau nak cepat mati pun ada.
Begitulah. Anda di tahap mana?
Wednesday, 11 November 2009
Adakah kita lebih baik dari orang lain?
Dalam hidup ini kita cenderung untuk melihat kita lebih baik dari kebanyakan orang. Apabila kita dipuji majikan, atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik - kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk - kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap.
Banyak pemain bolasepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan off-side, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Kita seolah-olah percaya bahawa kita memang selalu betul, dan apabila orang lain mengesahkannya ia menjadikan kita semakin yakin.
Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak ada merasa ada cacat celanya dengan soalan peperiksaan. Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik peperiksaan. Inilah bias balik diri.
Adakah anda selalu bias balik diri - atau dalam kata yang mudah, selalu berperasaan sebagai manusia yang baik berbanding dengan kebanyakan orang lain
Kajian mendapati:
1. Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul. Hakikatnya belum tentu.
2. Di Australia, 86% pekerja menilai prestasi mereka lebih baik dari kebanyakan orang. Hanya 1 % sahaja menilai diri sebagai bawah purata.
3. Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding dengan purata pelajar lain.
4. Kebanyakan pemandu - bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalanraya - merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding dengan purata pemandu lain.
5. Banyak orang percaya - bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis, dan merasakan diri mereka menarik berbanding purata ahli masyarakat lain.
Adakah apa yang sedang dirasai oleh manusia ini betul. Hakikatnya ia hanya ilusi. Ia hanya perasaan. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari. Ini menjadikan kita berasa kitalah manusia paling hebat dalam dunia ini - hatta dalam keadaan kita mungkin sedang duduk dalam penjara sekalipun.
Bagaimana pula anda sebagai blogger?
Nanti kita bincang Ilusi kekebalan.