Yang Ikut

Showing posts with label psikologi perubahan. Show all posts
Showing posts with label psikologi perubahan. Show all posts

Saturday, 28 July 2012

Bagaimana menghindar rasa rendah diri?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang pelajar matrikulasi mengirimkan aku email bertanya bagaimana menghindar rasa rendah diri? Atau dalam bahasa Inggerisnya inferiority complex.

Ia soalan yang mudah, tetapi susah dijawab.

Rasa rendah diri bergantung kepada siapa anda, dari mana anda, dan di mana anda berada.

Otak kita selalu membuat perbandingan setiap kali bertemu dengan manusia lain. Kita tidak berfikir demikian kalau berdiri di hadapan binatang. Tetapi, perasaan itu selalu ada apabila kita membandingkan apa yang kita ada dengan orang di sekeliling kita, walaupun orang lain mungkin tidak menilai anda sebagai apa pun.

Perasaan ini semakin teruk kalau remaja yang datang dari kampung, dan kemudiannya mula menghidupkan diri dalam suasana baru di asrama yang dikelilingi dengan orang yang status lebih tinggi. Ketika aku di sekolah rendah, setiap kali membuka nasi bekal yang hanya ada lauk ikan haruan kering, sedangkan orang lain membawa bekal daging atau ayam, hati kita mula gelisah.

Inilah rasa rendah diri. Ia perasaan yang diciptakan oleh akal kita sendiri.

Bagaimana menghilangkannya?

Banyakkan berkawan dan begaul. Jangan peduli siapa pun mereka. Pada akhirnya, semakin kita mengenal orang lain, dan semakin orang tahu siapa diri kita, kita akan mula tahu itulah kita yang sebenarnya. Kita tidak perlu merasa rendah diri semata-mata ingin menjadi orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Begitu juga kita.

Rasa rendah diri ini akan kian menghilang sesuai dengan usia kita. Pada peringkat remaja, ketika kita masih mencari identiti, perasaan ini akan selalu ada. Ia dinamakan konflik identiti - di mana kita masih cuba mencari siapa diri kita yang sebenar.

Semakin kita dewasa, apabila kita mula merasai cabaran sebenar kehidupan, kita tidak begitu peduli lagi untuk merasa rendah diri ini. Kita tidak peduli status orang lain. Yang kita utamakan survival hidup kita sahaja. Perasaan rendah diri ini akan mengurang dengan sendirinya.

Bagaimana pun, untuk menghilangkan semua ini, kuncinya ialah banyak pergaulan.

Semakin kita merasa rendah diri, semakin kita menjadi pemalu dan tidak mahu berkawan dengan orang lain. Kita merasa kita tidak cantik atau miskin. Kita merasa lemah dan kekurangan. Perasaan ini juga boleh menyebabkan kita tidak mempunyai banyak teman yang boleh membantu kita.

Sebaiknya, lawanlah perasaan rendah diri ini. Tidak ada sesiapa pun di dalam dunia ini yang lebih besar daripada Pencipta. Kita semua hanya orang biasa sahaja. Yang menjadikan ada darjat, ialah diri kita sendiri. Kita yang menciptakannya. Kita juga yang membiarkannya merosakkan diri kita.

Adanya rakan-rakan juga menyebabkan perasaan rendah diri itu sepertinya telah dikongsi bersama orang lain. Kita tidak lagi melihat kita sebagai insan sepi, tetapi kita menjadi hebat dengan adanya banyak teman-teman yang lain.

Percayalah - tidak ada seorang doktor atau bomoh yang boleh menghilangkan penyakit rendah diri ini. Hanya diri kita sendiri yang mampu mengubatnya.

Kita juga tidak akan berjaya dalam hidup dengan perasaan ini. Cuba perhatikan. Banyak orang terkenal sebenarnya tidaklah begitu hebat penampilan mereka. Mereka biasa sahaja. Orang politik misalnya, bukanlah mereka yang tampan atau cantik. Tetapi keyakinan yang ada dalam diri mereka itulah menjadikan mereka kelihatannya seperti ada karisma tersendiri.

Percayalah, jadilah diri anda sendiri. Dengan menjadi diri sendiri, kita tidak perlu merasa rendah diri kerana itulah diri kita, walaupun siapa kita.

Berubahlah!

Thursday, 4 March 2010

Mari berbincang hal emosi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini kita berbincang hal mengubah diri kita dengan perkataan. Ia hal emosi manusia. Ia hal motivasi. Kalau anda seorang ketua dalam organisasi - ia mungkin sangat sesuai.

Pengurus: Selamat pagi Lia! Bagaimana perasaan awak hari ini?
Lia: Baik.
Pengurus: Mulai sekarang, apabila saya bertanya bagaimana perasaan awak, saya mahu awak berkata, 'menakjubkan"!
Lia: Ok
Pengurus: Jadi, bagaimana perasaan awak hari ini?
Lia: Menakjubkan.

Perbualan di atas merujuk kepada pekerja di restoran McDonald. Lihat, bagaimana dengan hanya mengubah ayat dari 'baik' kepada 'menakjubkan', orang terpaksa mengubah raut wajah agar selari dengan perkataannya. Perkataan baik mungkin tidak begitu ceria. Tetapi apabila berkata menakjubkan atau memberangsangkan - secara tidak langsung berlaku perubahan emosi.

Sebab itu - apabila kita berurusniaga dengan perkhidmatan kaunter syarikat antarabangsa, mereka selalunya menggunakan ayat-ayat yang positif. Jarang mereka berkata, 'bolehlah', 'nantilah', 'boleh je' atau kata-kata lain yang melemahkan. Anda boleh membandingkannya apabila anda berurusan dengan sistem kaunter di sektor awam.

Semua ini kerana manusia dilatih untuk merautkan wajah yang 'manis' apabila berurusan dengan pelanggan. Sektor penerbangan misalnya, pramugarinya dilatih agar sentiasa senyum sekalipun marah. Mereka dilatih untuk berinteraksi secara positif* (Lihat Nota)

Dengan mengubah ayat, kita mungkin mampu mengubah motivasi diri. Misalnya, apabila kita dihadapkan dengan masalah, jangan sesekali menggunakan perkataan masalah. Lebih baik kita tukar 'masalah' itu kepada 'cabaran'. Ia menjadikan kita sangat suka dengan 'cabaran' itu, walaupun hakikatnya ia tetap masalah.

Kepada teman-teman yang sedang mengaji PhD, apabila ada orang bertanya - "Bagaimana PhD?". Maka kita jawablah - "Hah. Luarbiasa. Progress sangat menakjubkan!".

-----------------------------
*bagaimana pun, kajian terkini mendapati bahawa pekerjaan seperti ini sangat tertekan. Bayangkan kita terpaksa tersenyum sekalipun kita marah. Kita terpaksa memberi layanan yang baik walaupun kita tidak suka. Jadi, mengawal perasaan yang terpendam ini menjadikan manusia sakit. Kita istilahkannya sebagai emotional demands).

Nota - perbualan itu dipetik dan diadaptasi dari Fineman, S, Emotions and organizational control, dalam Payne, R.L & Cooper, C.L (eds), 2001, Emotions at Work: Theory, research and applications in management, John Wiley & Sons Ltd.

Tuesday, 29 December 2009

Tahun berubah, adakah manusia berubah?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahun 2010 bakal mendatang. Umur anda akan bertambah. Umur kita semua akan berubah. Adakah kita akan berubah? Ini bukan persoalan sama ada anda akan berubah menjadi kaya, atau bertambah miskin. Juga bukan pertanyaan sama ada anda akan bertambah alim, atau bertambah jahil.

Kali ini kita berbincang hal psikologi personaliti. Kita mulakan soalan sama ada personaliti manusia akan berubah dengan perubahan umur?

Banyak pandangan mengenai hal ini. Ada yang berkata bahawa personaliti manusia kekal tidak berubah. Ada yang berkata bahawa dengan perubahan umur, personaliti manusia akan mengalami perubahan.

Salah satu pandangan yang masyur dalam personaliti manusia ialah Big Five Personality. Anda boleh menggogle kalau anda berminat dengannya. Dikatakan bahawa manusia itu dilahirkan dengan beberapa type personaliti. Kita akan dominan dengan salah satu daripadanya:

i) Neuroticism (N)- Orang yang tinggi dengan personaliti jenis ini biasanya mempunyai emosi yang tidak stabil, bimbang, rasa tidak selamat, celaru dan seumpamanya. Orang yang rendah personaliti ini pula lebih tenang, rasa selamat dan relaks.

ii) Extraversion (E) - Orang yang suka bersosial, suka bercakap, mementingkan manusia, optimis dan sebagainya. Sebaliknya, mereka yang rendah type ini lebih menyendiri, pendiam dan mementingkan tugas.

iii) Openess (O) - suka meneroka, kreatif, berimaginasi, minat yang pelbagai dan tidak tertutup. Sifat terbalik untuk personaliti ini ialah tertutup, konvensional, kurang analitikal, tidak mempunyai pandangan luas dan sebagainya.

iv) Agreeableness (A)- Orang jenis ini lebih berhati lembut, suka memaafkan, menolong, lebih dipercayai dan berterus terang. Ia berbeza dengan sifat yang terbalik dengannya, lebih sinikal, ragu-ragu (suspicious), tidak dapat memberikan kerjasama, suka memanipulasi dan sebagainya.

v) Conscientiousness (C) - manusia yang berorganisasi, kuat berkerja, disiplin diri yang kuatbercita-cita tinggi dan sebagainya. Sifat yang bertentangan dengannya ialah tiada matlamat hidup, malas, lalai, suka berfoya-foya dan sebagainya.

Apa sifat anda? Anda sendiri yang tahu mengenai diri anda. Anda mungkin memiliki beberapa personaliti ini. Bagaimana pun, ia akan bergantung kepada sama ada anda tinggi atau rendah bagi personaliti tertentu. Itu sahaja.

Walaupun sering dikatakan "the child is father of the man" - atau dalam erti kata lain, manusia dilahirkan dengan personaliti tertentu - yang dibawakan langsung oleh biologi, tetapi kelihatannya personaliti manusia berubah juga.

Mungkin ada trait tertentu yang dibawa sepanjang hayat, tetapi kajian menunjukkan bahawa personaliti manusia hanya kekal dalam jeda masa yang pendek, tetapi dalam tempoh yang panjang ia boleh mengalami perubahan.

Personaliti juga kelihatannya lebih stabil apabila kita semakin meningkat usia, berbanding ketika kita remaja. Kajian-kajian misalnya mendapati manusia berusia muda lebih cepat pemarah berbanding dengan orang yang berumur, yang lebih cool dan relaks. Remaja belasan tahun dan awal 20-an misalnya dikatakan lebih beremosi, memberontak dan sebagainya. Tetapi, dengan peningkatan umur, personaliti manusia kelihatannya beransur berubah.

Satu kajian ke atas kumpulan wanita telah dilakukan pada tahun 1960 di California, dan ia diulang lagi ke atas kumpulan yang sama pada tahun 2000. Didapati bahawa kumpulan ini mengalami perubahan pada personaliti A dan C. Ini membuktikan bahawa sifat manusia berubah dengan pertambahan umur.

Adakah anda sudah berubah? Adakah rakan-rakan anda juga sudah berubah?

Sebab itu, kadang-kadang apabila berjumpa dengan teman-teman lama, kita cuba menegur mereka dengan membuat lawak bodoh seperti zaman kita masih bersekolah. Malang sekali, mereka memandang kita dengan cara yang aneh sekali, menjadikan kita kelihatan sangat bodoh. Kita sangka mereka masih orang yang sama. Nampaknya tidak.

Ada pula yang sejak kita kenal mereka dari sekolah rendah, sampai kita dewasa dan beranak-pinak, cara mereka melayan kita masih seperti dulu. Masih menunjukkan sikap brutal dan tanpa skema. Kita anggap ini manusia hebat apabila masih boleh menyepak punggung mereka sekali dua walaupun mereka sudah menaiki BMW dan berbini cantik. Ini sahabat sepanjang zaman yang mungkin tidak banyak yang kita miliki lagi.

Ada pula sahabat kita yang tidak mengalami perubahan. Masih cool dan blues. Tetapi kita pula yang berubah menjadi sombong, berasa besar diri dan hebat sangat. Walaupun gaji bulanan yang kita perolehi hanya RM 1400 - tidak cukup pun untuk membeli seekor kerbau jantan.

Jadi jangan marahkan sahabat anda, atau diri anda - tetapi itu mungkin sebab perubahan personaliti. Kita harus bersangka baik.

Jadi kita tunggu tahun 2010. Adakah kita akan berubah. Adakah orang sekeliling kita juga berubah.

Aku? Aku tetap semacam ini.

Thursday, 5 November 2009

Membuka soalan

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Memandangkan tidak ada perkara lagi untuk ditulis, kali ini aku buka peluang untuk para pembaca bertanyakan soalan. Jadi aku akan cuba menulis berdasarkan soalan yang dikemukakan. Bagaimana pun, sekiranya ada soalan-soalan yang tidak boleh aku jawab, maka akan aku jawab - tidak tahu, atau tidak relevan. Ia mudah, tidak menyebabkan ada sesiapa menunggu jawapan.

Soalan boleh berkisar dengan isu psikologi sahaja. Bagaimana pun, aku akan memberikan jawapan umum sahaja - sekadar pandangan aku. Mungkin tidak sesuai diterapkan untuk semua manusia.

Bidang pengajian aku sekarang banyak berkisar dengan psikologi pekerjaan. Aku juga mungkin boleh memberikan pandangan berdasarkan pengalaman aku selama 12 tahun dalam dunia pekerjaan di beberapa tempat.

Aku juga mungkin boleh membantu dalam bidang psikologi sosial yang merupakan minat utama aku sebenarnya. Hal-hal yang berkaitan dengan psikologi sosial seperti kelompok, kepemimpinan, hubungan manusia, persahabatan - dan apa sahaja yang anda rasa sesuai dengan istilah manusia sebagai makhluk sosial.

Para pelajar mungkin boleh mengajukan soalan berkaitan metodologi penyelidikan, penyediaan proposal atau yang berkaitan dengan hal ehwal belajar.

Soalan yang berkisar dengan psikologi umum juga boleh diajukan.

Peluang bertanya soalan hanya dibuka selama 5 hari (5-10 September) sahaja. Sekiranya soalan berbentuk dengan hal yang sangat pribadi, ada baiknya anda menggunakan anynomous, dan bukannya nama blog anda.

Harap maklum dan selamat bertanya soalan.

Thursday, 29 October 2009

Stres - menghadapi ketidakpastian

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siri Kempen MINGGU TANPA STRES

Semalam kami semua dari Work & Stress Research Group makan besar. Supervisor aku dan seorang lagi pensyarah lain baru sahaja berjaya mendapat geran penyelidikan dari Australia Research Council yang jumlahnya menghampiri AU 400,000. Banyak tu. Sebab itu mereka ketawa besar.

Kami semua pakat-pakat makan di Adelaide Club. Mereka yang makan sebenarnya. Aku cuma minum Coke. Sudah habis minum beberapa gelas wine, mereka minum lagi kopi pula. Aku pun order juga secawan kopi. Jangan bimbang, aku tak pernah lagi minum mabuk di Australia ini - di mana-mana tempat juga!

Sungguhpun dalam meraikan kejayaan itu, mereka juga sedang stres. Pusat kami khabarnya akan dipindahkan ke kampus yang satu lagi - di Magill Campus. Jadi selepas ini aku kena naik dua bas. Atau, pilihan lain - aku cuma duduk di rumah.

Mereka stres - sebab pusat kami sekarang berada di port yang paling menarik. Berada di tengah bandar. Lokasinya pula strategik. Tingkat 2, tidak jauh dari surau. Aku juga suka, sebab cuma bersebelahan dengan kawasan Universiti Adelaide. Jadi, senang aku keluar masuk merokok di universiti jiran itu.

Sampaikan ada yang cadangkan - agar kami semua - termasuk aku - akan menjadikan rumah masing-masing sebagai ofis. Semua kerja dilakukan dari rumah. Cuma jika ada mesyuarat, kami akan berjumpa di Adelaide Club. Sebab supervisor aku ada duit geran, dia secara spontan berkata dia akan sewa bangunan lain di sebelah railway station!

Mengapa orang stres bila diminta berpindah? Mereka yang berminat dengan teori perubahan, perlu google nama Kurt Lewin, bukan Kurt Corbain. Sebenarnya orang tidak suka perubahan kerana ia juga merupakan satu ancaman ketidakpastian. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di tempat baru. Kita risau-risau kalau kita mungkin kehilangan kuasa. Kita bimbang kalau kita hilang keselesaan.

Ketika mengajar topik ini dulu - ketika masuk kelas - aku tiba-tiba meminta semua pelajar berpindah tempat duduk. Yang depan ke belakang, yang belakang ke tepi, yang kanan ke kiri. Mereka mula bising-bising. Mereka kehilangan rakan kamceng yang sentiasa ada di sebelah. Mereka terpaksa mengangkat beg dan buku. Semua ini menjadikan kacau bilau.

Kemudian aku tanya - apa yang anda rasa? Mereka menjawab hal-hal ketidakpuasan. Setelah mereka menjelaskan rasa psikologi mereka - aku pun mula bersyarah hal teori Kurt Lewin.

Sebab itu - bagi setiap orang - apabila terpaksa berpindah ke tempat baru (misalnya, kerja), ke alam baru (misalnya, perkahwinan), ke posisi baru (jawatan) - manusia akan stres. Kita tidak mampu menjangkakan apa yang akan berlaku. Kita takut tidak mampu mengadaptasi diri dengan tekanan baru.

Ini dihadapi semua orang - termasuk ahli psikologi yang kononnya arif dan tahu hal jiwa manusia!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails