Yang Ikut

Showing posts with label work stress. Show all posts
Showing posts with label work stress. Show all posts

Friday, 30 December 2011

Update research

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kerja telah menggangu emosi manusia. Itu hakikat yang banyak dibincangkan dalam kajian-kajian akademik.

Bagaimana pun, realiti pekerjaan kita tidak ada sesiapa mengambil tahu mengenainya. Tidak ada sesiapa ambil peduli sama ada anda sakit atau tidak. Ia berlaku di setiap sudut negara sedang membangun. Punca utamanya lambakan pekerja dan kurangnya ruang pekerjaan.

Sama ada anda sakit atau tidak, masih banyak lagi orang yang sedang menunggu peluang.

Hari ini, aku mendapat email dari Ketua Editor - artikel aku terpilih dalam spotlight research untuk American Psychological Association.

Lihat di sini dan juga di sini.

Friday, 23 December 2011

Stress dan kesihatan - Part 1

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita mungkin berkata bahawa hidup kita ini bahagia sahaja. Tidak langsung mengalami stres. Pergi kerja dan pulang kerja seperti biasa. Tidak ada masalah.

Hakikatnya, cuba kita perhatikan betul-betul hidup kita.

Ada hari yang kita merasa sangat tenang sekali. Seolah-olahnya kita bangun pagi dan berada di tengah pergunungan hijau. Tidak ada langsung perkara yang digusarkan.

Pada hari lain, kita merasa seperti ada yang tidak kena. Tetapi, kita tidaklah pula seperti orang yang kebingungan. Ia seperti normal. Kita seperti orang lain juga.

Hakikatnya, itulah hal yang tidak kita sedari. Mengapa ada hari yang kita sangat tenang, dan ada hari yang kita rasa ada 'sesuatu' yang tidak kena. 'Ada sesuatu yang tidak kena' itulah sebahagian stres yang sedang kita alami. Kita tahu ada sesuatu, tetapi kita tidak tahu apa sesuatu itu.

Kita andaikan ia hal yang kecil sahaja. Ia sepertinya tidak akan membunuh kita.

Hakikatnya, itulah yang sedang membunuh kita.

Anda boleh melakukan ujikaji ini. Ambil sebotol air mineral yang kecil. Pegang dengan dua jari anda sahaja (gunakan ibu jari dan jari telunjuk). Ia ringan dan anda mampu memegangnya. Tidak ada apa-apa pun beban yang dirasai. Bagaimana pun, ia kelihatannya semakin berat apabila anda memegangnya dengan lebih lama, walaupun berat air di dalam botol tidak bertambah.

Anda orang yang mampu memegangnya 5 minit. Ada yang mampu memegangnya 10 minit. Ada yang lebih lama lagi. Ada yang mampu 30 minit. Tetapi, pada akhirnya anda akan dapati bahawa botol itu bakal menjadi terlalu berat dan terpaksa dilepaskan.

'Prolong' benda yang ringan inilah yang akan menyebabkan banyak daripada kita ditimpa masalah pada hujungnya. Kita membawa masalah yang tidak kita sedari.

Banyak daripada beban yang hadapi di tempat kerja ini sebenarnya menjurus kepada masalah keletihan emosi. Keletihan emosi inilah sesuatu yang sangat berat, sebab kita tidak tahu berapa banyak beban yang kita bawa. Tidak juga tahu berapa lama kita menanggung beban ini. Ia beban tidak kelihatan. Ia sepertinya normal, hakikatnya tidak.

Ia berbeza dengan keletihan fizikal seperti kerja mencangkul. Ia akan hilang apabila kita rehat, mandi atau tidur. Tetapi keletihan emosi tidak akan hilang dengan hanya mandi atau tidur. Ia dibawa lagi hingga keesokan hari, bahkan memakan masa bertahun-tahun. Sebab itu kita dapati ada orang yang mati terkejut, walaupun kelihatan seolah-olahnya mereka sihat.

Kajian klasik yang terkenal, oleh Dormann dan Zapf (1999) misalnya, perlu menunggu selama 3 tahun untuk membuktikan bahawa keletihan emosi ini menyebabkan kemurungan. Maksudnya, keletihan emosi hari ini tidak menunjukkan kesan pada tahun pertama atau kedua. Tetapi, setelah terlalu lama, didapati orang yang mengalami keletihan emosi yang berpanjangan akan menanggung risiko kemurungan.

Kajian-kajian juga menunjukkan hal yang sama terhadap penyakit fizikal.

Nanti kita sambung.

Sunday, 22 May 2011

Maksud stress

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Tulisan ini hanya sesuai untuk penyelidik dan mereka yang berkaitan.

Tekanan kerja ditanggap dalam pelbagai bentuk. Sebahagiannya telah dibincangkan dalam tulisan sebelum ini.

Bagaimana pun, ada teori terkini yang dikemukakan oleh Arnold B Bakker dan isterinya, Evangelia Demerouti dari Belanda, yang dikenali sebagai Job Demands Resources (JD-R) model. Job demands - mengikut teori ini ialah sesuatu yang perlu dilakukan oleh pekerja misalnya pekerjaan yang banyak, berulang-ulang, lebih masa, atau situasi kerja yang dihadapi - misalnya konflik peranan, tuntutan emosi dan sebagainya. Walaupun demands ini tidak semestinya negatif, tetapi banyak pengkaji model ini lebih memberikan aspek negatif.

Job resources pula ialah persekitaran kerja yang menggalakkan/menyokong misalnya teman kerja yang bagus, ketua yang mengambil berat, maklumbalas dari organisasi dan sebagainya. Dalam kata lain, ia sifat kerja yang positif.

Jadi, andaian teori ini ialah job demands lebih menyebabkan pekerja menghadapi kesan psikologi yang negatif seperti burnout atau depression. Sebaliknya, job resources pula menyebabkan pekerja lebih produktif dan bermotivasi (dalam istilah pengkaji JD-R ialah engagement dan flow).

Di Malaysia, belum banyak kajian menggunakan model ini. Setahu aku, hanya ada dua orang pelajar PhD (yang kini sudah tamat) dari universiti di New Zealand menggunakan model ini. Selainnya aku tidak berapa tahu. Aku juga menggunakan model ini, tapi menggunakan pendekatan yang lain. Pengkaji job stres di Malaysia mungkin boleh mencuba model ini. Setakat ini, model ini hanya banyak diuji di negara Eropah terutamanya di Scandivania, dan tidak di Kanada atau Amerika.


Walaupun kajian model JD-R ini sudah banyak dijalankan, kini muncul satu lagi model yang pada asasnya lebih kepada kritikan kepada model JD-R. Model yang terbaru ini ialah Demand-Induced Strain Compensation (DISC) model oleh Jan De Jonge dan Christian Dormann. Yang pertamanya ialah orang Belanda, dan keduanya dari German. Nanti aku akan ulas model ini. Model ini belum banyak diuji dan dalam peringkat percubaan.

Aku bernasib baik belajar di luar negara. Sekurang-kurangnya aku berpeluang berjumpa dan minum kopi dengan pembuat teori DISC ini. Dengan Arnold Bakker, aku tidak pernah lagi berjumpa tetapi pernah beberapa kali mengirim dan menjawab email kerana beliau menjadi ketua editor dan mengulas kertas aku setahun dulu.

Friday, 18 March 2011

Maksud stres

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari, pasti ada pengunjung yang masuk ke blog ini dengan kata pencarian 'maksud stres'. Tidak pastilah pelayar itu mereka yang stres, atau mungkin juga pelajar universiti yang ingin tahu maksud stres. Bagi pengkaji di universiti, seperti pensyarah misalnya, tentulah mereka akan mencari bahan tersebut menggunakan google scholar.

Apakah maksud stres? Sebenarnya aku telah tuliskannya di dalam blog ini lama dahulu. Itu untuk pengetahuan orang awam. Untuk mereka yang bergelumang dengan dunia akademik, aku telah tuliskannya dalam satu jurnal. Anda boleh mencarinya di internet.

Tapi sejak dua hari ini aku sedang dilanda stres yang baru. Tinggal enam bulan lagi aku di Adelaide. Banyak barang sudah dimasukkan ke dalam kotak. Aku juga sudah siap menulis chapter terakhir. Aku hanya sedang memperbaiki satu kertas jurnal lagi.

Tiba-tiba supervisor aku meminta aku menjalankan kajian longitudinal. Maksudnya kutipan data dua kali berselang 3 bulan. Ia akan menjadikan aku mengutip data sebanyak 9 kali sepanjang aku mengaji PhD ini.

Aku tanya dia minta kepastian. "I only have another six months". Dia pula menjawabnya, "Yes, I know. You have enough time to make it within six months".

Aku tidak menjawabnya lagi. Aku tahu aku sedang dilanda stres yang baru. Itulah maksud stres bagi pelajar seperti aku.

Tapi aku tahu, seperti biasa - aku boleh melakukannya. Dan aku sudah memulakannya.

Saturday, 13 November 2010

Persidangan psikologi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Anda ada banyak kajian? Boleh join persidangan ini. Ia antara yang bagus. Proses peer reviews yang ketat, sekeras review journal. Boleh cuba sambil makan angin di Australia. Kalau bernasib baik boleh jumpa aku!


CALL FOR SUBMISSIONS NOW OPEN

9th Industrial and Organisational Psychology Conference
23 – 26 June 2011
Brisbane Convention Centre
www.iopconference.com.au

About the Conference

The 9th Industrial and Organisational Psychology Conference will deliver an outstanding program and bring together prominent researchers and psychologists under the banner of ‘Connectivity in a dynamic world – Human connection in a world of rapid change’.

Submissions – Call for Papers closes 1 February 2011

The Conference Organising Committee invites you to contribute to the conference through:

  • Individual Research Papers
  • Posters
  • Symposia
  • Practice-Oriented Forums
  • How to Sessions
  • Doctoral Consortium

Full details and information about online submissions is available on the Conference website: www.iopconference.com.au/submissions

Sunday, 28 February 2010

Mereka tidak mati kerana jin tanah

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengapa manusia stres?

Di Jepun - setiap tahun dianggarkan 10,000 orang mati kerana tekanan kerja. Ia dihuraikan dalam dua fenomena. Karoshi - kematian kerana kerja yang terlalu banyak. Karu-Jisatsu - manusia membunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan di tempat kerja.

Di Malaysia - kita tidak pasti berapa orang yang mati kerana kerja kerana tidak ada badan khusus bagi memantau situasi ini. Tidak ada agensi khusus bukanlah bermakna tidak ada situasi itu.

Sebab sekarang ini, kita melihat banyak orang muda yang sakit mental. Bagaimana pun, kerana kita sering menanggapinya sebagai 'disampuk hantu', dan bomoh pula menafsirkannya sebagai penyakit 'saka', maka punca sebenar tidak kita ketahui. Mereka mungkin sedang menjadi mangsa tekanan kerja.

Walaupun banyak data tekanan kerja dilaporkan di Barat, tetapi hakikatnya kita mungkin sedang mengalami keadaan yang lebih teruk dari kebanyakan negara lain. Kilang-kilang dari Jepun sangat memaksakan 'kuantiti' dan 'kualiti', tetapi tidak siapa pun yang cuba mengkaji gaji minima untuk para operator. Sesuaikah gaji RM 350.00 kalau mereka berkerja shift 12 jam sehari? Jangan sekadar melihat mereka ini tidak berpelajaran tinggi, maka gaji tidak harus besar. Gaji sepatutnya diberi melihat kepada jumlah kerja, dan bukannya kerana pendidikan mereka.

Tekanan kerja diburukkan lagi dalam situasi peluang pekerjaan semakin terbatas. Orang yang tertekan tidak ada pilihan lain. Mereka terpaksa berkerja juga. Kalau mereka berhenti, mereka mungkin tidak akan berkerja lagi buat selama-lamanya. Jadi, akhirnya mereka mungkin ditimpa sakit.

Kalau kita melihat teman-teman sekerja yang tiba-tiba prestasi kerjanya tidak konsisten, tidur sepanjang hari, murung, selalu naik angin - mereka ini mungkin sudah diserang penyakit stres. Itu simptom psikologikal. Simptom darah tinggi, sakit jantung, kencing manis - jugalah akibat daripada kerja. Semua ini juga membawa kematian.

Malang - di negara kita - tidak ada siapa pun yang ambil peduli. Tidak ada polisi yang memberikan peluang untuk orang tertekan berkerja bercuti. Tidak juga ada majikan bertanya kepada pekerja sama ada kita tertekan atau tidak. Tidak ada rakan-rakan yang memberikan ruang untuk kita mengurangkan tekanan, kerana mereka pun stres juga. Hasilnya, kita menjadi orang yang hilang punca dan tiada tempat mengadu.

Jangan terkejut - inilah juga punca anak-anak didera, penceraian atau pembunuhan. Orang yang tenang jiwanya tidak akan melakukan hal-hal yang pelik.

Setelah 20 tahun berkerja, seorang pekerja kilang zink di Tasmania, Australia membunuh diri kerana kemurungan. Dalam tempoh 10 tahun antara 1989-2000, terdapat 109 kes bunuh diri kerana tekanan kerja di Victoria.

Kita mungkin berkata bahawa mereka ini tidak ada agama. Kerana itu mereka membunuh diri. Kita anggap begitu kerana kita anggap hanya kita sahaja yang alim dan faham agama.

Realitinya, sama ada kita faham agama atau tidak, kita perlu ada polisi dalam hal stres kerja. Kita tidak boleh menggunakan isu agama untuk melakukan sesuatu yang baik untuk para pekerja. Sampai masanya, setiap organisasi tidak hanya mengupah pegawai sumber manusia untuk mencari bakat baru, atau pengurus yang bijak membuat untung - tetapi kaunselor dan ahli psikologi juga diperlukan.

Tidak selamanya kita boleh bergantung kepada andaian bomoh semata-mata apabila melihat ada orang yang bercakap seorang diri di tepi jalan. Mereka mungkin tidak disampuk jin tanah, atau kencing di atas busut. Mereka mungkin sedang menjadi mangsa tekanan kerja kerana berahi organisasi membuat untung.

Monday, 22 February 2010

Mari kita bicara hal kerja

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Manusia sejak dilahirkan ke mukabumi - telah menjadikan pekerjaan sebagai satu rutin hidup. Sejak kita mula mengenal batang rokok - kita mula berfikir untuk mencari wang sendiri. Sejak tamat universiti atau sekolah - kita mula berfikir tentang kerja idaman yang memberikan kita banyak wang dan kesenangan. Setidak-tidaknya ada wang dalam poket untuk dibelanjakan.

Aku mula berkerja menebas kebun getah di Felda Laka Selatan tahun 1987 semasa menunggu keputusan Sijil Rendah Pelajaran. Gaji waktu itu tidak banyak. Cuma RM8 sehari - kerja menebas dari jam 8 pagi sampai 1 tengahari. Di celah-celah perdu getah itulah aku belajar membalut rokok daun dengan cara paling bagus. Waktu itu - aku masih tidak mampu membeli rokok kotak. Cuma aku beli beberapa batang. Harga sekitar 30 sen dua batang.

Tahun 1989 - menunggu Sijil Pelajaran Malaysia aku kerja di ladang tembakau Malaysia Tobbaco Company. Gajinya bergantung kepada berapa ban tembakau yang kami berjaya keringkan daunnya. Jadi upahnya bermula dari proses mengangkat daun tembakau hijau ke dalam ban, menjaga dan menyalainya, sehinggalah ke proses mengeluarkan daun dari ban yang telah kering. Aku terlupa gajinya.

Tahun 1990 - cuti sekolah - aku kerja mengecat paip bomba dalam kilang di Sungai Petani. Kerja jam 9 pagi sampai 5 petang. Gajinya cuma RM 25 sehari.

Selepas tamat STPM - sebelum ke Kuala Lumpur berkerja kilang sarung tangan - aku sempat kerja kontrak membina empangan sungai di kampung aku. Kerja kami membuat konkrit dan membancuh simen. Kadang-kadang mengikat besi. Kerja bermula jam 9 pagi. Jam pulang tidak penting - yang penting simen sempat keras. Gaji aku terlupa. Mungkin RM 19.00 sehari.

Banyak lagi kerja buruk lain yang pernah aku buat. Aku pernah menanam rumput di UUM. Pernah juga menebas kebun getah Risda, di Bukit Kayu Hitam. Semasa cuti semester universiti, aku pernah kerja kontrak di Merlimau Melaka.

Cuma selepas aku ada ijazah universiti - kerja aku bagus sedikit. Duduk dalam bangunan berhawa dingin, ada kerusi dan meja, juga ada komputer. Gaji pun bagus sedikit dari kerja kuli kontrak atau menebas hutan.

Bila aku berumur sedikit - mungkin sebab orang bosan - aku dinaikkan pangkat sedikit. Gaji naik lagi sedikit. Boleh claim handphone RM300 sebulan. Semasa di Jakarta, ada elaun tambahan separuh dari jumlah gaji. Sewa rumah ditanggung. Jadi hidup aku senang sedikit.

Sekarang ini - dalam persekitaran kami - ramai orang sedang complain tentang gaji tidak cukup. Ada juga yang tidak puas hati, sebaik sahaja kami tamat PhD - kami tidak dinaikkan pangkat secara automatik. Juga ada banyak isu lain yang selalu aku dengar. Semuanya berkisar hal kerja. Hal tidak persetujuan.

Beginilah - dalam dunia pekerjaan hanya ada dua perkara. Majikan dan kuli. Majikan dan kuli akan selalu berkonflik. Kuli selalu meminta lebih, majikan pula kurang memberi. Tidak boleh kuli meminta kurang, majikan ingin memberi lebih. Tidak akan pernah terjadi begitu.

Tetapi - kalau dulu-dulu aku selalu sebut dengan eksekutif yang baru lulus universiti - "kalau tidak suka, berhenti. Selagi kita berkerja, selagi itulah kita kuli'. Itu pesan aku untuk mereka. Pesan untuk aku juga. Sebab itu - aku pun akhirnya berhenti juga walaupun sudah lama kerja.

Jadi - kali ini, aku sebutkan lagi ayat itu. Kalau tidak suka berhenti. Habis cerita. Jangan bersusah payah berpolemik sampai sakit tekak. Dunia perkerjaan ini bukan milik kita. Kita hanya kuli.

Dalam dunia ini hanya agama yang tidak boleh kita buang. Selainnya, kalau kita tidak suka atau tidak berasa selesa, jangan tunggu lama-lama. Sebab itulah, aku tidak berminat berpolemik dengan hal ini.

Selamat berjuang untuk yang ingin.

Saturday, 7 November 2009

Menjawab soalan 1 - menangani stres

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lanjutan daripada Membuka Soalan.

Inah bertanya:
1. I tend to compare myself dengan student lain yang sudah menyiapkan penulisan bab tesis and selalu rasa diri ketinggalan. Bagaimana mengendalikannya? And I have a problem too when I always tend to compete with myself .

2. How to handle stress bila eksperimen tak jadi atau paper rejected??

Ada dua soalan yang dikemukakan oleh Inah. Kedua-dua soalan ini saling berkaitan. Ia melibatkan kognitif manusia. Maksudnya tafsiran kita terhadap sesuatu perkara. Ia mungkin bukan kesan sebenar yang sedang menimpa kita, tetapi lebih kepada tafsiran semata-mata.

Membandingkan orang lain yang lebih dahulu menyiapkan tugasan menjadikan kita berasa ketinggalan. Itu benar dari pandangan sekali imbas. Perbandingan ini sebenarnya hal yang positif, sekurang-kurangnya akan menjadikan kita lebih kuat berusaha.Tetapi kita juga perlu melihat bentuk bidang pengajian yang mereka lakukan, dan sejak bila mereka mereka memulakan pengajian.

Kita juga harus adil dengan diri kita. Kita tidak boleh membandingkan dua perkara yang tidak sama. Seperti seorang operator pengeluaran membandingkan gajinya dengan pengurus. Sampai bila-bila pun tidak akan berlaku keseimbangan.

Perbandingan yang patut dibuat seharusnya dengan orang yang sama bidang dengan kita, kalau pun tidak dapat mencari orang yang melakukan kajian yang sama sifatnya. Kalau kita ketinggalan kerana itu, mungkin boleh kita selidiki kelemahan kita.

Cuba sesekali kita bertanya dengan orang lain. Masalah mereka mungkin lebih menakutkan. Apa yang kita lihat hanya seorang dua yang lebih baik dari kita. Itu pun, kita tidak tahu pun masalah besar mereka yang lain. Mereka juga mungkin bimbang juga dengan keupayaan kita. Itu kita tidak tahu kerana kita hanya melihat sisi positif mereka.

Sebenarnya, tidak ada masalah pun kalau kita ingin mengejar dan mendahului mereka. Misalnya, ada teman-teman yang telah mendahului kita. Mereka mungkin lebih bijak dalam hal-hal tertentu, misalnya menulis dengan cepat, atau menganalisa satu-satu perkara dengan lebih pantas. Mereka mungkin menyiapkan penulisan 10,000 patah perkataan dalam masa 5 hari. Kita mungkin tidak mampu melakukannya. Kita mungkin mengambil masa 10 hari. Dalam hal begini, jika kita terasa ingin memintas mereka, kita perlu menambah jumlah masa menulis. Misalnya dari 4 jam sehari kepada 6 jam sehari. Itu pun kalau mampu dilakukannya.

Tetapi sebenarnya, yang menjadikan kita lambat menulis atau menyiapkan satu-satu perkara ialah kerana stres. Kita menggunakan begitu banyak masa dan tenaga untuk menangani stres, dan bukannya perkara yang patut kita tangani. Kita berfikir dengan perkara yang tidak berkaitan dengan masalah. Kita berfikir kenapa orang lain lebih cepat, dan bukannya apa yang harus kita lakukan untuk lebih cepat. Kerana stres adalah perkara yang berkaitan dengan pemikiran, maka banyak masa yang telah kita habiskan untuk berfikir dengan perkara lain yang mungkin tidak ada kena mengena. Kita berfikir hal A, sedangkan masalah sebenar kita mungkin B. Inilah yang menjadikan otak kita begitu letih dan tidak mampu berfikir dengan lebih baik. Hasilnya, kita benar-benar ketinggalan.

Soalan kedua beliau - menangani ekperimen gagal atau kertas ditolak.

Sebenarnya ia hal yang dialami semua orang, termasuklah penyelia kita yang bergelar profesor. Kita tidak akan menjadi manusia sempurna. Ini masalah semua penyelidik. Experimen gagal, jumlah respons tidak mencukupi bagi soal selidik, penilai tidak berasa gembira dengan kertas laporan dan sebagainya adalah sebahagian daripada perkara lazim bagi ahli akademik. Dalam kata lain, ia adalah makanan harian kita. Kita tidak boleh menjangkakan semua perkara akan berlaku dengan sempurna. Apatah lagi kita hanya pelajar, bukan ahli akademik besar.

Bagi menangani hal ini - ada baiknya setiap kali kita memulakan kajian atau menulis, kita juga bersiap-sedia dengan pola yang satu lagi - yakni gagal. Sebab dalam hidup hanya ada dua pola sahaja, baik dan buruk, lulus dan gagal atau kalah dan menang. Peluang untuk lulus sama banyak dengan gagal. Jadi, dengan persediaan ini, kita sudah mencipta mekanisme bela diri di dalam minda kita.

Sebab itu - bagi orang biasa menghantar kertas artikel, mereka tidak kecewa sekalipun ditolak. Mereka sudah membina hueristik di dalam minda mereka. Mereka terlebih dahulu bersedia dengan hal itu. Orang yang mengalami kemalangan untuk kali kedua misalnya, tidak begitu trauma dibandingkan dengan orang yang pertama kali mengalaminya. Maksudnya, minda kita sudah tahu apa yang patut dilakukan bagi menangani hal yang tidak pasti itu.

Bagaimana pun, tidak bermakna kita hanya bersedia untuk gagal atau ditolak semata-mata. Dengan andaian bahawa kemungkinan kertas kita ditolak misalnya, kita perlu menyiapkan kertas itu lebih awal. Ini bagi membolehkan kita menghantar kepada penerbit yang lain, atau bersedia dengan pembetulan tertentu. Misalnya, target asal menyiapkan kertas ialah Januari, jadi kita anjakkan lebih cepat kepada Disember. Sekurang-kurangnya kita ada buffer zone untuk bersiap dengan segala kemungkinan.

Sekiranya kertas kita diterima, atau experimen menjadi, anggaplah ia sebagai satu bonus. Itu terlebih baik dari terlalu mengharap.

Yang boleh kita lakukan ialah melakukan yang terbaik. Selebihnya kita serahkan kepada Tuhan.

Nota: Ia hanya pandangan. Tidak semestinya berkaitan. Harap dapat membantu.

Thursday, 29 October 2009

Stres - menghadapi ketidakpastian

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siri Kempen MINGGU TANPA STRES

Semalam kami semua dari Work & Stress Research Group makan besar. Supervisor aku dan seorang lagi pensyarah lain baru sahaja berjaya mendapat geran penyelidikan dari Australia Research Council yang jumlahnya menghampiri AU 400,000. Banyak tu. Sebab itu mereka ketawa besar.

Kami semua pakat-pakat makan di Adelaide Club. Mereka yang makan sebenarnya. Aku cuma minum Coke. Sudah habis minum beberapa gelas wine, mereka minum lagi kopi pula. Aku pun order juga secawan kopi. Jangan bimbang, aku tak pernah lagi minum mabuk di Australia ini - di mana-mana tempat juga!

Sungguhpun dalam meraikan kejayaan itu, mereka juga sedang stres. Pusat kami khabarnya akan dipindahkan ke kampus yang satu lagi - di Magill Campus. Jadi selepas ini aku kena naik dua bas. Atau, pilihan lain - aku cuma duduk di rumah.

Mereka stres - sebab pusat kami sekarang berada di port yang paling menarik. Berada di tengah bandar. Lokasinya pula strategik. Tingkat 2, tidak jauh dari surau. Aku juga suka, sebab cuma bersebelahan dengan kawasan Universiti Adelaide. Jadi, senang aku keluar masuk merokok di universiti jiran itu.

Sampaikan ada yang cadangkan - agar kami semua - termasuk aku - akan menjadikan rumah masing-masing sebagai ofis. Semua kerja dilakukan dari rumah. Cuma jika ada mesyuarat, kami akan berjumpa di Adelaide Club. Sebab supervisor aku ada duit geran, dia secara spontan berkata dia akan sewa bangunan lain di sebelah railway station!

Mengapa orang stres bila diminta berpindah? Mereka yang berminat dengan teori perubahan, perlu google nama Kurt Lewin, bukan Kurt Corbain. Sebenarnya orang tidak suka perubahan kerana ia juga merupakan satu ancaman ketidakpastian. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di tempat baru. Kita risau-risau kalau kita mungkin kehilangan kuasa. Kita bimbang kalau kita hilang keselesaan.

Ketika mengajar topik ini dulu - ketika masuk kelas - aku tiba-tiba meminta semua pelajar berpindah tempat duduk. Yang depan ke belakang, yang belakang ke tepi, yang kanan ke kiri. Mereka mula bising-bising. Mereka kehilangan rakan kamceng yang sentiasa ada di sebelah. Mereka terpaksa mengangkat beg dan buku. Semua ini menjadikan kacau bilau.

Kemudian aku tanya - apa yang anda rasa? Mereka menjawab hal-hal ketidakpuasan. Setelah mereka menjelaskan rasa psikologi mereka - aku pun mula bersyarah hal teori Kurt Lewin.

Sebab itu - bagi setiap orang - apabila terpaksa berpindah ke tempat baru (misalnya, kerja), ke alam baru (misalnya, perkahwinan), ke posisi baru (jawatan) - manusia akan stres. Kita tidak mampu menjangkakan apa yang akan berlaku. Kita takut tidak mampu mengadaptasi diri dengan tekanan baru.

Ini dihadapi semua orang - termasuk ahli psikologi yang kononnya arif dan tahu hal jiwa manusia!

Wednesday, 28 October 2009

Stress kerja - apa puncanya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sambungan siri Kempen MINGGU TANPA STRES

Sebagai memenuhi permintaan Isuzu Aizu yang ingin aku menulis hal stres di tempat kerja.

Mengapa orang yang berkerja selalunya stres?

Dalam bidang kami, ada beberapa teori besar bagi menghuraikan hal ini. Para pengoogle yang ingin mencari maksud stress perlu tahu teori ini - Effort Reward Imbalance, Job Demand Control dan yang terkini, yang sedang aku pakai - Job Demands-Resources.

Aku tidak berapa ambil port untuk yang pertama itu. Tetapi yang kedua dan ketiga itu aku tahu. Malah sekiranya anda pengkaji, anda boleh menghantar emel kepada pembuat teori itu. Mereka dengan senang hatinya akan menjawab pertanyaan anda. Jangan bimbang. Mereka tidak banyak protokol.

Aku tidak membincangkan teori-teori ini. Ini cuma blog. Ini bukan jurnal.

Mengapa orang berkerja stres? Jawapan paling mudah - anda kuli!

Pakailah teori apa pun, kuli sentiasa tidak boleh mengawal pekerjaannya. Kuli tidak pernah merasa dibayar setimpal dengan usaha. Kuli sentiasa diarah itu dan ini. Kuli sentiasa dianggap sebagai hamba untuk memenuhi matlamat organisasi (dalam banyak keadaan - matlamat orang atas).

Sebab itu orang yang berkerja stres. Hal bertambah buruk kalau berkerja dengan bos yang tidak pernah merasa menjadi kuli, atau terlupa mereka pernah bergelar kuli, atau terlupa mereka juga sebenarnya kuli kepada orang di atasnya.

Bos yang buruk - biasanya lebih menjaga reputasi perutnya, berbanding logik pekerjaan orang bawahnya. Dalam istilah lain - seperti jurulatih tenis - mereka hanya mementingkan angka di atas papan, berbanding teruknya pemain di atas gelanggang.

Bos yang buruk ini ada di mana-mana. Mereka ini, apabila menghadiri mesyuarat lembaga pengarah - akan cuba menunjuk merekalah manusia hebat. Mereka mahu melaporkan yang baik sahaja. Semuanya kononnya merekalah yang buat.

Mereka akan memaksa kuli untuk melaksanakan tugasan yang kadang-kadang tidak masuk akal. Misalnya, mencatatkan semua panggilan telefon ke atas pelanggan yang telah dibuat, dan laporkan mengapa ada yang tidak mahu membeli barang. Mereka juga ingin kita melaporkan semua aktiviti sepanjang 8 jam kerja dalam format every 15 minutes. Malah, ada yang ingin memasukkan gambar aktiviti yang kita lakukan. Kononnya inilah yang dinamakan Balance Score Card. Kalaulah pencipta sistem ini, Kaplan & Norton tahu hal ini - dia juga mungkin akan pengsan.

Semua ini menjadikan dunia pekerjaan sangat tidak menggembirakan.

Sebagai kuli - kadang-kadang kita dilayan seperti manusia yang tidak ada akal. Kita dianggap seperti tidak tahu apa-apa. Mungkin benar banyak yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu memanipulasi buku lejar agar balance. Kita mungkin tidak bijak dengan hukum pareto 20:80. Ini menjadikan kita walaupun baru lulus dari universiti ternama di Adelaide, tetapi dilayan seperti budak sekolah baru lulus SPM. Ini semua menjadikan kita sangat terhina dan merasa sangat tertekan.

Dalam banyak situasi -kelemahan utama para kuli, kita tidak tahu cara membodek bos. Kita tidak mahu membodek bos, dengan anggapan bahawa kita bukan kuli. Kita tidak merasa diri kuli kerana kita ada ijazah universiti, ada anugerah dekan dan pernah digelar pelajar terbaik Asia Tenggara. Kita silap. Selagi kita berkerja dengan orang, kita bukan bos. Kita masih kuli.

Kebodohan kuli ini pun banyak juga. Mereka mengetuk bilik bos pada jam 9.00 pagi untuk mencerita hal buruk, hal masalah. Ingat, bos tidak suka mendengar berita buruk pada waktu pagi. Apatah lagi waktu itu mereka sedang sibuk membaca e-mel dan menggoogle portal politik.

Jadi, sebagai kuli - anda kena bijak. Kalau ingin bertemu juga dengan bos, mulakan dengan berita baik dahulu. Tunjukkan bahawa anda telah siap melakukan 50 kerja petang kelmarin, dan balik jam 2.50 pagi. Bos suka mendengarnya.

Kalau ingin menceritakan hal buruk yang tidak urgent, anda sepatutnya memberitahu pada jam 5.00 petang, pada waktu orang sedang kelam kabut hendak balik. Dengan cara ini, bos anda akan memberitahu - oklah, esok kita bincang. Ia lebih baik daripada anda memberitahu hal buruk jam 9.00 pagi, dan dia akan moody sepanjang hari.

Satu lagi perkara yang menyebabkan kuli selalu stres. Walaupun dia berkerja 7 hari seminggu selama 24 jam, tanpa orang mengetahui anda berkerja kuat, anda tidak akan dinaikkan pangkat. Jadi - rajin-rajinlah tunjukkan muka anda. Rajin-rajinlah bertanya bos anda hal yang anda sebenarnya sudah lama tahu - sebab ini akan menjadikan anda seolah-olah seorang yang kuat berusaha. Bos juga merasa dia seorang yang pandai.

Dengan cara itu - anda akan lebih mudah naik ke atas. Anda pula bakal menjadi sumber stres kepada pekerja lain.

Contagion effects - ilmu baru yang patut anda tahu

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebagai menyambung Kempen MINGGU TANPA STRES


Anda pernah dengar istilah ini - "Contagion Effects"? Anda mungkin jarang mendengarnya, walaupun anda selalu melaluinya. Melainkan anda memang terdidik dalam bidang yang berkaitan dengannya.

Tahukah anda bahawa stres atau apa sahaja penyakit psikologi lain (misalnya kemurungan, kebimbangan) sebenarnya boleh dipindahkan kepada orang lain tanpa disedari. Seorang isteri yang tertekan di tempat kerjanya akan pulang ke rumah dengan muka masam, mulutnya bising-bising, dan tingkahlaku yang janggal. Hal ini dilihat oleh suami dan anak-anaknya. Mereka tidak berani untuk menegur melihat kepada wajah yang muram dan tingkahlaku yang pelik itu. Tanpa disedari, suami dan anak-anak di rumah juga menanggung stres.

Begitu juga - tatkala di pejabat. Ada rakan anda yang baru sahaja dimarahi pengurus. Mukanya masam. Mulutnya kumat kamit merungut. Dia menghentakkan fail. Dia bercakap dengan suara yang kasar. Anda di sebelahnya juga akan stres. Inilah yang kita namakan sebagai 'contagion effects'.

Kajian makmal yang dilakukan telah menempatkan seorang remaja normal dengan sekumpulan remaja yang ada kecenderungan membunuh diri. Selepas beberapa hari tinggal bersama, pelajar normal tadi diuji. Nampaknya dia juga akhirnya ada kecenderungan membunuh diri.

Ini hal pelik. Tapi kepelikan itulah yang menjadikan bidang psikologi itu muncul.

Jadi, sekiranya anda stres, cubalah sedaya mungkin yang boleh mengawal riak wajah dan perlakuan anda. Agar ia tidak menjangkiti teman-teman atau ahli keluarga anda. Kalau boleh, jangan menziarahi orang sakit pada saat anda sedang sangat tertekan. Ia tidak membantu mereka yang sakit. Bahkan, menambahkan kerunsingan mereka.

Anda pernah alami 'contagion effects'? Atau sekarang ini anda sedang memindahkannya kepada orang lain? Sebagaimana yang sedang aku lakukan untuk memindahkan tekanan yang aku hadapi kepada orang lain melalui tulisan-tulisan minggu ini!

Tuesday, 27 October 2009

Tekanan - tonik kejayaan manusia

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku diminta menulis sesuatu oleh group Lingkaran Sahabat Sastera bagi tujuan penyediaan majalah mereka. Jadi sesuai dengan khalayak pembaca, aku menulis dari sudut yang lain. Agar anak-anak muda yang membacanya tidak patah semangat dan putus asa. Aku tidak menggunakan 'aku' dalam tulisan ini. Minggu ini, blog ini akan berkempen - "MINGGU TANPA STRES'.

Stres atau tekanan selalu dilihat sebagai negatif. Kajian-kajian yang dilakukan juga cenderung untuk menukilkan tekanan sebagai sesuatu yang tidak diinginkan. Realitinya, stres tidak hanya menjelma sebagai satu konotasi buruk yang merosakkan. Pandangan ini mula dijelmakan dengan munculnya aliran psikologi positif
(misalnya, Seligman & Csikszentmihalyi, 2000, Schaufeli, 2004).

Bagi kebanyakan pelajar universiti, mereka menanggapi bahawa tekanan belajar adalah pengalaman buruk yang perlu dilalui setiap hari. Ia bermula sejak hari pertama lagi apabila pensyarah mula mendedahkan mereka dengan konsep baru yang tidak difahami. Dalam keadaan kebanyakan perkara masih lagi kabur, mereka kemudiannya ditimbunkan pula dengan tugasan yang bermacam-macam.


Ada tugasan yang bersifat individu, ada yang bersifat berkumpulan. Kedua-dua tugasan ini ada bentuk tekanannya juga apabila tidak semua ahli kumpulan berkerjasama, dan ada yang hanya sekadar
curi tulang. Tugasan individu mungkin mampu menangani masalah ini. Bagaimana pun, ia ada kelemahannya. Tidak semua perkara mampu kita fikirkan seorang diri. Kita juga perlukan orang lain bagi membantu menghasilkan laporan yang baik.

Peperiksaan - adalah kosa kata yang sangat digeruni. Ia dianggap sebagai
kayu sula yang menentukan hidup mati para pelajar universiti. Tidak ramai yang cuba menafsirkan bahawa peperiksaan adalah peluang untuk mereka membuktikan kepada orang lain - bahawa inilah padang sebenar untuk mereka menguji diri dan menunjukkan keupayaan.

Tidak ramai yang cuba melihat peperiksaan dari sudut positif. Hakikatnya, tanpa peperiksaan pun mereka akan diuji juga dengan cara lain. Jadi - pelajar tidak ada pilihan. Universiti itu sendiri adalah padang ujian. Setiap hari, setiap masa. Itulah yang membezakan manusia yang memasuki universiti dengan yang tidak. Itulah yang menjadikan lulusan universiti dihormati. Semakin besar ujian yang ada dalam sistem universiti, semakin kagumlah orang dengan graduan. Sebab itu, graduan Harvard, Cambridge atau Oxford ditanggap dengan pandangan lain oleh masyarakat - sekalipun orang yang menanggap itu tidak pernah pun belajar di universiti
.

Tekanan belajar - sebenarnya diperlukan. Manusia tidak boleh hidup tanpa tekanan. Tekanan itulah yang memotivasikan seseorang untuk bergerak lebih baik. Istilah-istilah baru yang muncul seiring dengan konsep tekanan seperti
engagement, flow, vigour atau thrive adalah bukti bahawa manusia sebenarnya memerlukan tekanan.

Tekanan inilah yang membolehkan seseorang terus duduk mengulangkaji buku tanpa menghiraukan rakan sekelilingnya. Tekanan inilah yang memaksa manusia berfikir secara inovatif bagi mendapatkan keputusan yang paling baik. Tekanan inilah yang menyebabkan manusia menemui teknologi baru yang tidak pernah difikirkan sebelumnya
.

Tanpa tekanan - ia mungkin akan menjadikan dunia ini serba kosong
.

Bayangkan - kita ke bilik kuliah tanpa tekanan. Tugasan yang diberikan juga tidak dianggap sebagai tekanan. Peperiksaan dianggap sebagai majlis tidak formal untuk menulis dan mengira sahaja.


Jadi - apa yang kita dapatkan? Kita mungkin tidak melakukan apa-apa pun. Ini hanya bakal menjadikan universiti seperti taman bunga untuk kita berehat dan berhibur. Hakikatnya tidak. Universiti adalah makmal kehidupan sebelum kita melangkah ke alam pekerjaan dan realiti hidup yang lebih keras dan menakutkan
.

Sebab itu - apabila anda berasa tertekan - anggaplah ia sebagai satu cabaran. Jangan melihat tekanan dari sudut yang negatif. Manusia pada setiap masa telah membelanjakan wang yang banyak bagi mendapat cabaran. Ada yang melakukan pelayaran solo di tengah lautan, ada yang melakukan payung terjun beribu kaki dari udara, atau ada yang berani merentas dingin cuaca Kutub Selatan. Semuanya hanya kerana bagi memuaskan naluri kepuasan mendapatkan cabaran.


Jadi - tatkala orang lain membayar harga yang mahal - para pelajar juga semestinya melihat proses pengajian mereka sebagai satu bentuk cabaran - yang boleh didapatkan setiap hari. Tidak semua orang berpeluang mendapatnya.


Menjadi masalah - ialah kerana tekanan yang dihadapi itu dilihat sebagai beban yang sangat besar. Mereka melihatnya sebagai tidak ada jalan penyelesaiannya lagi. Inilah yang menjadikan tekanan itu tidak berguna lagi. Inilah yang menjadikan tekanan sebagai merosakkan. Ada orang yang pada akhirnya mengalami gejala penyakit psikologi - seperti kemurungan, kebimbangan, dan ada juga yang membunuh diri.


Penyakit fizikal seperti lemah jantung, kencing manis dan darah tinggi juga adalah simptom yang dihadapi oleh mereka yang tidak mampu menangani tekanan dengan baik
.

Paling utama - ialah bagaimana minda kita mampu melakukan proses penyaringan dan penafsiran secara positif. Itulah yang bakal menjadikan tekanan itu sama ada membantu manusia untuk mencapai cita-citanya, atau bakal menyebabkan mereka tersadung di tengah jalan. Ingat - tidak akan ada seorang pun pemandu Formula One yang akan menjadi juara jika mereka tidak melihat pesaingnya sebagai tekanan. Kalau bukan kerana kesanggupan menghadapi tekanan pengurusan kelab, penaja dan peminat, tidak ada pemain bolasepak yang akan dibayar gaji jutaan ringgit seminggu.


Tekanan -bukan sekadar racun negatif. Tekanan - juga adalah tonik kejayaan manusia.

Stress - bersiap sedialah untuk mati

10 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Stress boleh bawa mati ke? Budak-budak universiti bertanya. Kami selalu stress, tak mati pun. Stress exam, stress assignment, stress experiment tak menjadi. Hari-hari kami stress. Relaks jer. Hari-hari boleh ke Rundle Mall. Celah-celah tu sempat lagi ke Melbourne jalan-jalan. Boleh balik kampung pergi Sogo, singgah Reject Shop. Sempat lagi dapat awek baru di kampung. Tak mati pun.

Itu stress lain. Itu bukan stress sebenarnya. Cuma pening lalat. Dalam setahun, hanya berapa kali sahaja budak universiti stress. Hantar assignment, legalah stress. Experiment tak jadi, godek-godek wayar sikit, manipulate data sikit, stress dah hilang. Budak sekolah pun sama juga. Cuma dua tahun sekali baru stress. Itu bila ada exam besar.

Tetapi - orang berkerja lain. Orang bisnis lagi teruk. Di kilang, hari-hari bos Jepun tanya, apasal tak capai target. Lalu depan superintendent, dia tanya lagi - 'kau tidur ke, tak reti jaga budak-budak'. "Apasal kau tak capai target'. Lalu depan budak-budak operator - Hari ini kami tak larat la. Besok la, kami pulun bagi dapat target"

Ada orang kerja, tak habis di ofis bawa balik rumah. Kadang-kadang jam 1 pagi masih melangut depan komputer. Dia lupa ada anak bini di rumah. Bila balik rumah, tengok-tengok suami dah bawa balik orang baru. Atau isteri dah lari ikut Bangladesh jual karpet. Waktu itu baru bertambah stress. Baru tahu langit itu selalu tinggi.

Orang bisnis lagi teruk. Surat bank dah boleh buat kertas recycle. Surat along jangan tanya lagi. Itu belum tahap customer cari depan rumah. Ada kereta yang kena tarik. Rumah kena sita. Anak kena culik. Pasport kena tahan. CITOS black-list nama. Hutang dah banyak. Nak pinjam lagi dah tak boleh. Kontraktor dah lari. Pekerja pula dah bising-bising nak minta naik gaji.

Sampai satu tahap, nampak bangunan bank pun dah terlebih takut berbanding nampak hantu langsuir. Tiap-tiap hari mimpi yang sama - hutang, hutang, hutang. Itu baru betul-betul stress. Bukan pening lalat lagi.

Stress sebenarnya tidak bawa mati. Yang bawa mati ialah kerana stress mengaktifkan penyakit lain. Stress --> darah tinggi ---> stroke ---> mati. Stress --->sakit jantung --->mati. Stress --->depression ---> terjun bangunan --> mati.

Sebab itulah, dalam statistik, kena pakai Amos. Ini bagi memudahkan mengira kesan mediator. Apa hubungannya di antara X dan Y dalam hubungan Z.

Inilah yang sebabkan stress bawa mati. Sebab itulah, jangan ingat stress macam bisul. Bisul cepat hilang. Stress boleh terbawa-bawa dalam mimpi. Makan lauk daging pun kadang-kadang terasa macam makan ikan tamban.

Adakah hanya orang berkerja sahaja stress? Tidak juga. Orang yang sepatutnya sudah berkerja, tetapi tidak ada kerja juga stress. Begitu juga orang yang berkerja tiba-tiba hilang kerja, itu lagi stress.

Anda stress? Kalau begitu, bersiap sedialah untuk mati!

Monday, 28 September 2009

Ini bukan iklan pembantu penyelidik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu depan, kalau tidak ada aral - rencananya akan diadakan lagi kajian stress di negeri Selangor. Bagaimana pun, kali ini tidak ada lagi pengambilan pembantu penyelidik seperti kebiasaannya.

Hendak tahu mengapa?

Ada yang tanda sendiri. Ada yang mungkin tanda atas bonet kereta. Ada yang tolong tandatangan bagi pihak respondent. Macam-macam.

Macam mana aku tahu? Hah, ketika pembantu penyelidik ini baru belajar merangkak, aku sudah lama lahir ke bumi ini. Sebelum mereka berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah membuat survey, aku sudah berpuluh-puluh kali membuat survey. Aku pernah berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah di Siam, naik dari satu tangga ke satu tangga. Ada penduduk yang menyimpan pistol di atas para dapur, di belakang rumahnya pula ada ditanam beberapa pokok ganja. Ada ketikanya mereka mencincang daun ganja dengan pisau dapur, dan bukan lagi dengan gunting. Menunjukkan betapa banyaknya ganja yang mereka miliki. Menunjukkan betapa ganas dan bahayanya kita untuk mencari data.

Jadi - dunia penyelidikan bukan lagi baru untuk kami yang berumur 30-an ini. Kebanyakan kami bermula dari jejak yang sama.

Jadi - apabila kita membuka sahaja kertas soalselidik, melihat flow jawapan, melihat warna pen, melihat bentuk tulisan - kita sudah tahu bahawa kita sedang ditipu. Jadi - untuk pembantu penyelidik yang masih muda remaja - tak perlulah amalkan selalu budaya pecah amanah ini. Tidak mengapalah kalau dapat satu borang, asalkan betul. Lebih baik dari sejuta borang yang ditanda sendiri.

Aku tidak kisah pun dengan wang yang akan aku bayar, kalaupun aku tidak kaya raya. Cuma aku pantang, kalau ada manusia muda yang memulakan kisah hidup mereka dengan topeng kepuraan - hanya sekadar untuk mendapatkan RM10 satu borang!

Sebab itu aku tidak terkejut kalau Intan cuma mendapat beberapa borang sahaja - dan dia lebih banyak bercerita tentang susahnya membuat kajian. Itulah realiti melaksanakan kajian lapangan. Sebab dia telah melakukan kajian dengan cara yang betul dan tidak terpesona pun dengan wang upah aku yang kecil itu.

Terima kasih untuk Intan. Untuk Intan, kalau masih berminat - boleh tolong lagi.

Tidak terima kasih kepada yang mengisi sendiri soalselidik. Jangan hubungi lagi!

Wednesday, 9 September 2009

Maksud stress

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa sebenarnya stress? Ada orang tanya aku hal itu.

Stress ada 3 - sama ada bersifat stimulus, response atau interaksi di antara kedua-duanya.

Stimulus - stress dianggap sebagai sesuatu yang bersifat penekan, atau sebagai puncanya. Misalnya, kerja banyak dianggap sebagai punca stress. Stress ini kita kategorikan sebagai stimulus - atau perangsang. Ia seperti pisau. Kita anggap ia sebab yang melukakan.

Response - atau maklumbalas. Stress juga boleh jadi kegagalan atau kerana ketidakupayaan manusia itu sendiri untuk bertindakbalas dengan stress. Mialnya, ada orang yang kerja banyak sekalipun - ia tidak stress. Ada orang yang kerja banyak sedikit pun - sudah mula kacau bilau. Marah-marah. Gaduh-gaduh. Kerja manager dia komplain, kerja kerani pun dia tidak puas hati. Jika tadi dianggap pisau - stress yang ini dianggap sebagai kesan - atau luka sebab ditikam pisau.

Stress juga boleh jadi interaksi di antara kedua-duanya. Maksudnya - ia wujud bila salah satu perangsang atau maklumbalas - atau kedua-duanya.

Itulah stress.

Apa yang sebabkan anda stress sekarang. Ia mungkin sebab anda gagal, tetapi anda menyalahkan puncanya. Boleh jadi - anda memang boleh kawal stress, tetapi bos, tunang anda, kekasih baru anda tidak faham.

Untuk penyelidik yang ingin mendalami hal ini, sila rujuk:

Jex, S., Beehr, T. and Roberts, C. (1992), "The meaning of occupational stress items to survey respondents", Journal of Applied Psychology, Vol. 77, pp. 623-628.

Monday, 18 May 2009

Nota untuk para penyelidik

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota untuk para pembantu penyelidik.

Ada orang yang e-mel bertanyakan bila kajian akan dimulakan. Aku jangkakan paling cepat ialah awal Jun 2009 nanti. Sekarang ini pun, aku masih berada di bumi Australia. Jam 10 malam ini baru terbang ke Perth. Besok petang, jam 4 petang baru terbang ke Kuala Lumpur. Sampai di Kuala Lumpur jam 10 malam, tentu perlu balik kampung dahulu untuk bertemu sanak saudara dan membahagi cenderahati.

Itu pun kalau semuanya lancar. Passpot aku pun ada 7 hari nak mati. Aku harap tidak ada masalah yang berlaku.

Bila di Malaysia nanti, perlu pula cetak soalselidik dan bermacam-macam dokumen. Kemudiannya perlu pula cari rumah untuk duduk di Kuala Lumpur. Perlu juga singgah di universiti untuk tunjuk muka. Jadi macam-macam hal yang perlu diselesaikan. Hah, siapa kata buat PhD senang.

Jadi, untuk para pembantu penyelidik - harap bersabar. Aku juga tentu ada cenderahati untuk mereka.

Friday, 3 April 2009

Iklan: Kemasukan PhD

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda rakyat Malaysia yang sedang mencari tempat untuk pengajian PhD dalam bidang Psikologi Industri & Organisasi/Organisasi/Kerja?

Jika ya, anda digalakkan untuk memohon. Pengkhususan bidang haruslah dalam stress pekerjaan. Lebih menarik lagi jika kajian tersebut menfokuskan kepada pengujian model "Job Demands and Resources" (Bakker et al., 2002) atau kecenderungan mendalami model Organization of Work (Sauter & Murphy, 2003; 2002). Dengan memahami model ini, ia akan memudahkan anda merangka proposal kajian.

Kajian ini akan dilakukan di Centre for Applied Psychological Research, University of South Australia.

Idea untuk mengambil pelajar Malaysia ialah sebagai sebahagian daripada proses meneruskan kesinambungan kajian-kajian stress pekerjaan di Malaysia. Pada masa sekarang, terdapat 2 orang pelajar termasuk aku sedang dalam penyelidikan mengenai topik ini. Salah seorang daripadanya akan tamat penghujung tahun ini.

Jadi, sebagai persediaan mengisi kekosongan dan melanjutkan kajian, maka penyelia aku bercadang untuk mencari seorang lagi pelajar baru. Insyaallah, pada tahun 2010 atau 2011, setelah pengajian aku hampir tamat, maka akan diambil lagi pelajar baru lain bagi membolehkan ada 2 orang pelajar Malaysia pada satu-satu masa. Jadi pada masa hadapan, kita boleh membentuk satu kumpulan penyelidik di Malaysia dalam topik ini.

Bagi memudahkan proses, hubungi aku bagi melanjutkan perbincangan dengan penyelia berkenaan. Bagaimana pun, bagi urusan pentadbiran kemasukan lain (IELTS, syarat kemasukan dan sebagainya) haruslah dipenuhi. Aku hanya berurusan dalam hal-hal perbincangan dan sesi pembuka kata dengan penyelia.

Harap maklum.

Tuesday, 10 March 2009

Iklan! Iklan! Pembantu Penyelidik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
IKLAN! IKLAN!

Pada pertengahan May 2009 nanti, kajian berkaitan stress pekerjaan di kalangan penduduk negeri Selangor akan diadakan. Sebanyak 530 peserta kajian akan terlibat di setiap daerah yang merangkumi kumpulan berpendapatan tinggi dan rendah, bandar dan luar bandar.

Rumah-rumah kediaman bagi kumpulan sasaran ini telah ditetapkan (berdasarkan cabutan peta Jabatan Perangkaan Malaysia).

Sehubungan itu, pihak kami bercadang untuk mendapatkan pembantu penyelidik bagi mengedar soal selidik, dan mengutipnya semula selepas dua atau tiga hari dengan andaian borang berkenaan telah diisi oleh peserta kajian. Bayaran akan dibuat berpandukan jumlah borang selidik yang diisi dan dikutip semula. Buat masa ini, bayaran yang dicadangkan ialah RM 10 per soal selidik (Jumlahnya mungkin dinaikkan sedikit setelah saya melihat kawasan kajian dan cabaran yang ditempuh).

Sekiranya anda seorang pelajar universiti di kawasan Lembah Klang, atau graduan menganggur dari 3 universiti sekitar Adelaide anda digalakkan untuk memohon. Jumlah soal selidik yang ingin anda edar dan kutip semula bergantung kepada kemampuan masing-masing. Misalnya anda hanya merancang untuk mendapatkan RM100, maka anda boleh mengedar/kutip 10 soal selidik sahaja.

Kriteria lain:
1. Seorang yang jujur - jangan ada yang berangan-angan untuk mengisi sendiri borang tersebut. Follow-up dengan peserta kajian akan dibuat bagi memastikan kesahihan.
2. Berminat dengan kerja-kerja penyelidikan.
3. Berani, stamina tinggi dan kuat iman - kadang-kadang anda mungkin berhadapan dengan tuan rumah garang, anjing yang ganas, atau memanjat rumah flat tanpa 'lift'.
4. Tidak mudah patah semangat - mungkin ada tuan rumah yang melengah-lengahkan mengisi borang. Ini membuatkan anda berasa fed-up, marah dan stress.

Kelebihan lain
1. Anda mungkin dijemput minum free oleh tuan rumah. Bagaimana pun, ia tidak digalakkan.
2. Anda mungkin akan dapat pengetahuan berjalan kaki, naik motor dan sesat di dalam taman perumahan atau kampung. Semakin jauh anda sesat, semakin banyak anda belajar.

Berminat, hubungi aku.

Friday, 16 January 2009

Maksud stress dan burnout

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Esok, 17 Januari 2007 kajian aku berkaitan manusia yang stress di tempat kerja akan berlangsung lagi. Ia adalah kajian kali ke-2. Kajian kali pertama dilakukan bulan September 2008 lalu. Ada dua kali lagi kajian yang akan menyusul selepas ini. Ia kajian yang lebih besar.

Kajian yang besar itu akan berjalan dari satu rumah ke satu rumah. Jumlah semua peserta kajian nanti ialah 536 orang setiap kali kajian. Kalau anda orang Selangor, mungkin anda akan terlibat. Ia dipilih secara rambang. Mungkin bulan April atau May 2009 nanti. Jangan terkejut kalau tiba-tiba ada orang mengetuk pintu rumah anda dan bertanya: Encik, stress tak?

Terima kasih juga di atas respons yang diberikan pengunjung terhadap iklan dalam posting sebelum ini. Ada yang terpilih, ada yang tidak. Bagaimana pun terima kasih di atas minat yang diberikan. Memandangkan kajian ini perlu mengambil kira pelbagai faktor - khususnya jenis pekerjaan, jadi tidak semua orang dapat dirangkumkan bersama.

Mengapa stress. Penting sangat ke topik ini? Stress sepertinya hal biasa sahaja di negara kita. Ia juga hal biasa di negara sedang membangun yang lain. Tak ada orang ambil tahu pun. Bukan sekadar stress, kalau sakit fizikal pun majikan tak layan sangat. Silap haribulan, kita akan dibuang kerja. Orang putih lain. Stress pun boleh claim Work Cover. Boleh dapat cuti dan bergaji penuh.

Sebenarnya banyak orang yang mati sebab stress. Stress menyebabkan sakit jantung, darah tinggi, dan pelbagai penyakit kronik lain. Stress juga sebabkan rumahtangga kacau bilau. Tapi sebab kita tak begitu ambil peduli sangat, banyak yang tiba-tiba mati mengejut. Kita cuma berkata: Oh, si anu itu dah mati. Sakit jantung kata orang. Malangnya punca sakit jantung itu tak diambil peduli, maka kita tak layan sangat sama ada stress atau tidak. Stress belum menjadi sebahagian daripada perkara yang dianggap penyakit dalam budaya kita. Kita cuma salahkan rokok sebagai sebab sakit jantung. Belum tentu lagi hanya sebab rokok.

Stress yang sedikit memang diperlukan. Tapi jangan simpan stress lama sangat. Ia membawa kerosakan diri dan tubuh badan. Ibarat pegang botol air mineral 2 liter dengan dua jari. Seminit dua memang boleh pegang. Memang ringan. Cubalah pegang selama satu atau dua jam. Boleh pegang atau tidak? Itulah stress. Semasa botor air mineral itu jatuh, dan air di dalamnya tumpah - itu kita panggil burnout - simptom yang lebih bahaya lagi.

Budak-budak yang pernah mengaji dengan aku di UniKL tentu tahu hal ini. Aku bawa dua botol air mineral untuk mengajar!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails