Yang Ikut

Sunday, 28 February 2010

Mereka tidak mati kerana jin tanah

Reactions: 
Mengapa manusia stres?

Di Jepun - setiap tahun dianggarkan 10,000 orang mati kerana tekanan kerja. Ia dihuraikan dalam dua fenomena. Karoshi - kematian kerana kerja yang terlalu banyak. Karu-Jisatsu - manusia membunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan di tempat kerja.

Di Malaysia - kita tidak pasti berapa orang yang mati kerana kerja kerana tidak ada badan khusus bagi memantau situasi ini. Tidak ada agensi khusus bukanlah bermakna tidak ada situasi itu.

Sebab sekarang ini, kita melihat banyak orang muda yang sakit mental. Bagaimana pun, kerana kita sering menanggapinya sebagai 'disampuk hantu', dan bomoh pula menafsirkannya sebagai penyakit 'saka', maka punca sebenar tidak kita ketahui. Mereka mungkin sedang menjadi mangsa tekanan kerja.

Walaupun banyak data tekanan kerja dilaporkan di Barat, tetapi hakikatnya kita mungkin sedang mengalami keadaan yang lebih teruk dari kebanyakan negara lain. Kilang-kilang dari Jepun sangat memaksakan 'kuantiti' dan 'kualiti', tetapi tidak siapa pun yang cuba mengkaji gaji minima untuk para operator. Sesuaikah gaji RM 350.00 kalau mereka berkerja shift 12 jam sehari? Jangan sekadar melihat mereka ini tidak berpelajaran tinggi, maka gaji tidak harus besar. Gaji sepatutnya diberi melihat kepada jumlah kerja, dan bukannya kerana pendidikan mereka.

Tekanan kerja diburukkan lagi dalam situasi peluang pekerjaan semakin terbatas. Orang yang tertekan tidak ada pilihan lain. Mereka terpaksa berkerja juga. Kalau mereka berhenti, mereka mungkin tidak akan berkerja lagi buat selama-lamanya. Jadi, akhirnya mereka mungkin ditimpa sakit.

Kalau kita melihat teman-teman sekerja yang tiba-tiba prestasi kerjanya tidak konsisten, tidur sepanjang hari, murung, selalu naik angin - mereka ini mungkin sudah diserang penyakit stres. Itu simptom psikologikal. Simptom darah tinggi, sakit jantung, kencing manis - jugalah akibat daripada kerja. Semua ini juga membawa kematian.

Malang - di negara kita - tidak ada siapa pun yang ambil peduli. Tidak ada polisi yang memberikan peluang untuk orang tertekan berkerja bercuti. Tidak juga ada majikan bertanya kepada pekerja sama ada kita tertekan atau tidak. Tidak ada rakan-rakan yang memberikan ruang untuk kita mengurangkan tekanan, kerana mereka pun stres juga. Hasilnya, kita menjadi orang yang hilang punca dan tiada tempat mengadu.

Jangan terkejut - inilah juga punca anak-anak didera, penceraian atau pembunuhan. Orang yang tenang jiwanya tidak akan melakukan hal-hal yang pelik.

Setelah 20 tahun berkerja, seorang pekerja kilang zink di Tasmania, Australia membunuh diri kerana kemurungan. Dalam tempoh 10 tahun antara 1989-2000, terdapat 109 kes bunuh diri kerana tekanan kerja di Victoria.

Kita mungkin berkata bahawa mereka ini tidak ada agama. Kerana itu mereka membunuh diri. Kita anggap begitu kerana kita anggap hanya kita sahaja yang alim dan faham agama.

Realitinya, sama ada kita faham agama atau tidak, kita perlu ada polisi dalam hal stres kerja. Kita tidak boleh menggunakan isu agama untuk melakukan sesuatu yang baik untuk para pekerja. Sampai masanya, setiap organisasi tidak hanya mengupah pegawai sumber manusia untuk mencari bakat baru, atau pengurus yang bijak membuat untung - tetapi kaunselor dan ahli psikologi juga diperlukan.

Tidak selamanya kita boleh bergantung kepada andaian bomoh semata-mata apabila melihat ada orang yang bercakap seorang diri di tepi jalan. Mereka mungkin tidak disampuk jin tanah, atau kencing di atas busut. Mereka mungkin sedang menjadi mangsa tekanan kerja kerana berahi organisasi membuat untung.

4 comments:

ziarah76 said...

kesian... manusia semakin tertekan dan menekan.

ihsan_huhu said...

fuh aku kne jage2 nih.

Ahmad Al-Hadi said...

Negara menunggu kepulangan ahli jiwa yang berwibawa.....

zarzh said...

Kesian jin-jin itu yang selalu dituduh merasuk...hi..hi..hi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails