Yang Ikut

Monday, 22 February 2010

Mari kita bicara hal kerja

Reactions: 
Manusia sejak dilahirkan ke mukabumi - telah menjadikan pekerjaan sebagai satu rutin hidup. Sejak kita mula mengenal batang rokok - kita mula berfikir untuk mencari wang sendiri. Sejak tamat universiti atau sekolah - kita mula berfikir tentang kerja idaman yang memberikan kita banyak wang dan kesenangan. Setidak-tidaknya ada wang dalam poket untuk dibelanjakan.

Aku mula berkerja menebas kebun getah di Felda Laka Selatan tahun 1987 semasa menunggu keputusan Sijil Rendah Pelajaran. Gaji waktu itu tidak banyak. Cuma RM8 sehari - kerja menebas dari jam 8 pagi sampai 1 tengahari. Di celah-celah perdu getah itulah aku belajar membalut rokok daun dengan cara paling bagus. Waktu itu - aku masih tidak mampu membeli rokok kotak. Cuma aku beli beberapa batang. Harga sekitar 30 sen dua batang.

Tahun 1989 - menunggu Sijil Pelajaran Malaysia aku kerja di ladang tembakau Malaysia Tobbaco Company. Gajinya bergantung kepada berapa ban tembakau yang kami berjaya keringkan daunnya. Jadi upahnya bermula dari proses mengangkat daun tembakau hijau ke dalam ban, menjaga dan menyalainya, sehinggalah ke proses mengeluarkan daun dari ban yang telah kering. Aku terlupa gajinya.

Tahun 1990 - cuti sekolah - aku kerja mengecat paip bomba dalam kilang di Sungai Petani. Kerja jam 9 pagi sampai 5 petang. Gajinya cuma RM 25 sehari.

Selepas tamat STPM - sebelum ke Kuala Lumpur berkerja kilang sarung tangan - aku sempat kerja kontrak membina empangan sungai di kampung aku. Kerja kami membuat konkrit dan membancuh simen. Kadang-kadang mengikat besi. Kerja bermula jam 9 pagi. Jam pulang tidak penting - yang penting simen sempat keras. Gaji aku terlupa. Mungkin RM 19.00 sehari.

Banyak lagi kerja buruk lain yang pernah aku buat. Aku pernah menanam rumput di UUM. Pernah juga menebas kebun getah Risda, di Bukit Kayu Hitam. Semasa cuti semester universiti, aku pernah kerja kontrak di Merlimau Melaka.

Cuma selepas aku ada ijazah universiti - kerja aku bagus sedikit. Duduk dalam bangunan berhawa dingin, ada kerusi dan meja, juga ada komputer. Gaji pun bagus sedikit dari kerja kuli kontrak atau menebas hutan.

Bila aku berumur sedikit - mungkin sebab orang bosan - aku dinaikkan pangkat sedikit. Gaji naik lagi sedikit. Boleh claim handphone RM300 sebulan. Semasa di Jakarta, ada elaun tambahan separuh dari jumlah gaji. Sewa rumah ditanggung. Jadi hidup aku senang sedikit.

Sekarang ini - dalam persekitaran kami - ramai orang sedang complain tentang gaji tidak cukup. Ada juga yang tidak puas hati, sebaik sahaja kami tamat PhD - kami tidak dinaikkan pangkat secara automatik. Juga ada banyak isu lain yang selalu aku dengar. Semuanya berkisar hal kerja. Hal tidak persetujuan.

Beginilah - dalam dunia pekerjaan hanya ada dua perkara. Majikan dan kuli. Majikan dan kuli akan selalu berkonflik. Kuli selalu meminta lebih, majikan pula kurang memberi. Tidak boleh kuli meminta kurang, majikan ingin memberi lebih. Tidak akan pernah terjadi begitu.

Tetapi - kalau dulu-dulu aku selalu sebut dengan eksekutif yang baru lulus universiti - "kalau tidak suka, berhenti. Selagi kita berkerja, selagi itulah kita kuli'. Itu pesan aku untuk mereka. Pesan untuk aku juga. Sebab itu - aku pun akhirnya berhenti juga walaupun sudah lama kerja.

Jadi - kali ini, aku sebutkan lagi ayat itu. Kalau tidak suka berhenti. Habis cerita. Jangan bersusah payah berpolemik sampai sakit tekak. Dunia perkerjaan ini bukan milik kita. Kita hanya kuli.

Dalam dunia ini hanya agama yang tidak boleh kita buang. Selainnya, kalau kita tidak suka atau tidak berasa selesa, jangan tunggu lama-lama. Sebab itulah, aku tidak berminat berpolemik dengan hal ini.

Selamat berjuang untuk yang ingin.

2 comments:

Muhammad Teja said...

Selamat bekerja pada sesiapa yang sudah dan akan bekerja.

Moga orang LSS yang lama akan meneruskan kesinambungan kerja menyedarkan bangsa melalui Ketupat.

:D

Ahmad Al-Hadi said...

Hakikat nya.... konflik timbul sebab manusia tidak akan pernah puas....

Kita berangan jadi kaya ... Tapi bila dah kaya pun akan rasa tak cukup.....

Jawapan nya dalam shukur dan sabar....

Tapi seperti dalam apa-apa amal, mudah untuk cakap.....tapi nak hayati....hohoho......

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails