Yang Ikut

Sunday, 7 February 2010

Ini bukan salah John Terry!

Reactions: 
John Terry - ketua pasukan bolasepak telah kehilangan kapasitinya sebagai ketua pasukan bolasepak England - kerana skandal dan kesilapannya. Kelakuan songsang yang telah dilakukan oleh John Terry di luar padang boleh dibaca di sini.

Sebenarnya - banyak pihak di England bukan sekadar mahu John Terry dilucutkan tarafnya sebagai ketua pasukan, tetapi ada juga yang mahu beliau disingkirkan dari bermain dengan pasukan bolasepak ternama dunia itu.

Bagi aku - kesalahan yang dilakukan oleh John Terry tidaklah sebesar mana - kalau diikutkan dengan cara gaya masyarakat barat. Apalah sangat salahnya menjalinkan hubungan sulit dalam konteks masyarakat yang tidak kisah sangat pun dengan soal nikah kahwin. Apalah sangat dosanya menggugurkan anak dalam norma seks bebas boleh dilakukan oleh sesiapa pun.

Tetapi itulah tanggungjawab dan norma yang diletakkan oleh masyarakat yang mementingkan kualiti sebagai ketua. Ketua harus bersih dari kelakuan yang tidak bermoral. Mereka tidak beragama, tetapi mereka mengutamakan moral. Mereka tidak mempunyai hukum hakam - tetapi mereka ada nilai integriti. Kalau seorang ketua pasukan bola pun didesak oleh masyarakatnya meletakkan jawatan - apalah lagi kalau mereka yang ada kedudukan sebagai ketua masyarakat yang lebih besar tanggungjawabnya.

Dalam konteks kita - ada sesiapa yang mahu meletakkan jawatan? Kalau yang lebih besar dari seorang pemain bola pun tidak kisah dengan hal integriti - apalah sangat yang hendak didebatkan dengan isu moral penggiat sukan. Kita banyak mendengar kisah pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa, politik wang dan banyak lagi cerita 'moral' lain yang tidak sedap didengar.

Tetapi jarang pula kita mendengar mereka ini meletakkan jawatan. Jarang juga mereka merasa telah gagal menjadi ketua yang baik. Bahkan mereka akan bertekak dengan menyatakan kesalahan mereka itu bukan kesalahan - dengan permainan terminologi yang merumitkan. Misalnya rasuah dikatakan 'politik wang' atau arahan dikatakan 'sokongan'.

Ia sama juga dengan kurang prihatinnya kita. Kita pun tidak menganggap mereka ini perlu meninggalkan jawatannya. Kerana - kalau kita yang mendesak - kita mungkin akan dicerca oleh masyarakat. Kita dilihat orang yang sedang berakit menongkah arus deras ke hulu. Ia pelik. Ia janggal.

Bahkan - mungkin akan muncul lebih banyak suara yang mempertahankannya. Kita akhirnya akan dilihat orang salah, lagi tidak bermoral kerana mengkritik pemimpin.

Jadi - yang salahnya bukan John Terry. Yang salahnya ialah kerana John Terry berada dalam masyarakat yang salah. John Terry telah melakukan sesuatu yang dikatakan tidak bermoral dalam masyarakat yang tidak mementingkan moral. Kalaulah John Terry berada dalam masyarakat kita yang kononnya sangat taasub dengan isu moral - John Terry mungkin bakal terus menjadi ketua pasukan bola.

Bahkan - semakin banyak hal moral yang John Terry lakukan - ia semakin popular. Ia mungkin bakal menjadi wira dunia ketiga.

1 comment:

zarzh said...

Benar nukilan sdr...eemm..tak tahulah apa nak jadi dengan dunia kita ni.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails