Yang Ikut

Monday, 15 February 2010

Jangan berbahas hal lompat parti?

Reactions: 
Ketika aku mula mengenal subjek sains politik tahun 1992 - 18 tahun dahulu di Universiti Kebangsaan Malaysia - kami didedahkan dengan satu kajian. Antara isi kajiannya - selain penjual insuran, antara orang lain yang dianggap tidak jujur oleh masyarakat di Amerika ialah ahli politik. Salah seorang penyelia aku di sini - Prof Anthony Winefield - dalam satu tulisannya, menasihatkan pelajar agar tidak terlalu idealistik dalam mencari tajuk kajian. Antara tajuk yang dianggap tidak realistik ialah mencari ahli politik yang jujur.

Jadi - bila kita terserempak dengan budaya lompat parti di kalangan ahli politik kita, janganlah kita merasa marah atau tidak puas hati. Ia bukan hal pelik bagi kumpulan ini. Ia hanya pelik bagi manusia seperti kita.

Politik - ialah seni serba mungkin. Itulah ungkapan yang selalu diulang cetak dalam setiap buku sains politik. Politik ialah bisnis. Politik ialah kerjaya. Dalam erti kata yang lain - politik ialah ruang mencari makan.

Ucapan, rethorik atau apa saja pujuk rayu untuk menarik perhatian pengikut hanyalah medium untuk membolehkan ahli politik dipilih rakyat dalam pilihanraya. Orang yang bisu tidak akan mampu menjadi ahli politik biar sebijak mana pun dia. Dia tidak mempunyai peluang untuk mempengaruhi orang lain.

Sebab itu - setiap kali menjelangnya pilihanraya, setiap ahli politik akan turun padang. Mereka akan menerokai belukar dan kampung. Mereka akan masuk ke masjid berkhutbah. Mereka mampu bercakap apa sahaja topik yang sesuai dengan khalayaknya. Kalau ke sawah, mereka akan bercakap nada kampung.

Di hadapan korporat, mereka akan menunjukkan mereka fasih ekonomi dan tahu siapa Adam Smith. Di hadapan tok imam, mereka akan menunjukkan mereka tahu ajaran Imam Sayuthi atau setidak-tidaknya Yusuf Qardhawi. Di hadapan guru - mereka akan mengolah ucapan agar menyebut taxonomi Benjamin Bloom. Mereka juga mampu membahas segala dasar yang bakal dibuat. Mereka juga mampu meyakinkan orang ramai kemampuan mereka kerana dengan menyebut nama orang yang pelik-pelik ini, mereka kelihatan pintar.

Hakikatnya semua ini hanyalah medium untuk membolehkan mereka diangkat menjadi ahli politik. Semua sebutan mereka dalam ucapan yang membuatkan kita semua ternganga mungkin ditulis oleh manusia lain - yang selalunya tidak dikenal orang. Mereka ini ialah penulis teks ucapan.

Jadi - apabila ada ahli politik datang ke hadapan anda, mengucapkan sesuatu - ingat, ia hanyalah janji ahli politik. Mereka bukan seorang pendusta, tetapi itulah cara mereka. Mereka boleh beralih arah bila perlu. Mereka boleh melompat dari satu tempat ke tempat lain bagi memastikan mereka akan terus mempunyai tempat mencari makan. Sebab itu, dalam politik - hari ini seorang musuh boleh menjadi sahabat pada besok pagi. Sahabat pula bakal menjadi musuh durjana beberapa hari kemudian.

Ia bukan salah ahli politik. Inilah politik. Politik adalah seni permainan.

Jadi - jangan ada sesiapa pun mengharapkan akan ada ahli politik meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri. Itu hal mustahil. Ia sama mustahilnya seperti menyuruh gajah memanjat pohon kelapa.

Sebab - dengan meletakkan jawatan mereka akan kehilangan status. Mereka akan kehilangan gaji dan kemudahan. Mereka akan kehilangan populariti. Mereka kehilangan lubuk untuk mencari wang.

Mendesak ahli politik meletakkan jawatan sama seperti anjing menyalak bukit. Ia perkerjaan yang paling bodoh. Tetapi, anda boleh mendesak mereka melompat parti. Ia tidak menghilangkan apa-apa.

Jadi jangan membuang masa anda mengaitkan ahli politik dengan hal-hal yang berkiaitan prinsip, idealisme, perjuangan, rakyat atau kebajikan masyarakat. Semua itu tidak ada kena mengena dengan ahli politik. Bukan itu alasan sesorang menceburkan diri dalam dunia politik.

Lebih baik anda hanya membasuh seurat tali kasut anda dengan mesin basuh. Sekurang-kurangnya, sekalipun anda membazirkan air, elektrik dan sabun - ia masih tetap memberikan manfaat. Seurat tali kasut anda akan bersih juga akhirnya.

3 comments:

Ahmad Al-Hadi said...

Perhhhh.....
"Sekurang-kurangnya, sekalipun anda membazirkan air, elektrik dan sabun - ia masih tetap memberikan manfaat."
....Bisa seyhhhhhh

Yang pasti saya pasti orang politik takkan cari tuan untuk buat teks ucapan politik.....

Atau saya bercakap terlalu awal....kerna politik adalah seni serba mungkin.....hehehehe...

alien said...

politik penuh ngn lakonan..
yeah, jgn tertipu dgn mereka

Anonymous said...

Aku rasa bukan semua kot ahli politik begitu...mungkin ada segelintir yang ikhlas...Ari,Perlis

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails