Yang Ikut

Tuesday, 2 February 2010

Anwar kembali lagi

Reactions: 
Datuk Seri Anwar Ibrahim - mantan Timbalan Perdana Menteri kita akan kembali lagi ke pentas mahkamah. Tentu ia bakal mengambil masa yang panjang. Ia juga bakal menelanjangkan banyak cerita terbuka dan tersembunyi dunia politik kita - sesuai dengan karektor beliau sebagai ahli politik yang dikenali dalam dan luar negara.

Lebih sepuluh tahun dahulu - perbicaraan panjang beliau telah menyebabkan mata dunia memerhatikan Malaysia. Ia adalah promosi percuma nama negara. Kisah politiknya juga telah menyebabkan UMNO - parti Melayu terbesar berantakan. Ia menjadikan orang Melayu yang sememangnya sentiasa dalam keadaan 'retak menanti belah' terus berpecah. Kerana kisahnya juga, tiba-tiba orang mula mendengar istilah demokrasi, keadilan dan reformasi. Semua ini adalah terminologi baru dalam politik negara. Ia juga mungkin menjadikan silibus subjek "Politik Malaysia" terpaksa diubah.

Cerita Anwar tahun 1998 itu jugalah memunculkan pelbagai laman web baru yang ditulis dengan pelbagai sudut pandangan - ada yang sinikal, ada yang kesat dan ada yang liberal - semuanya ingin menyatakan resah gelisah mereka melihat pengalaman baru politik Malaysia. Malaysiakini mungkin tidak akan terkenal seperti sekarang kalau tidak ada cerita Anwar waktu itu. Orang Melayu juga mungkin tidak akan membaca The Star kalau bukan kerana cerita politik waktu itu yang sangat mengasyikkan.

Ribuan orang berarak di jalanraya adalah fenomena baru. Belum ada tradisi orang Malaysia yang setiap hujung minggunya telah siap diisi dengan jadual demontrasi. Segala anak muda dan orang tua, tanpa mengira warna kulit berarak panjang di Jalan Tunku Abdul Rahman, memenuhi ruang depan pintu masuk Sogo, berkerumunan di stesen LRT Masjid Jamek - dan sesekali menjadi soleh bersembahyang hajat di Masjid Negara. Malamnya manusia meraikan ceramah demi ceramah. Tiba-tiba sahaja mereka yang sebelum ini melihat politik sebagai kotor - menjadi manusia politik. Ada yang tulen, tentu juga ada yang opportunis. Mereka ini kemudiannya bertanding dalam pilihanraya.

Inilah keajaiban yang berlaku tahun 1998. Waktu itu aku masih muda. Aku melihat hampir semua cerita politik semasa waktu itu. Kuala Lumpur - setiap hari Sabtu adalah pesta politik orang muda. Masjid Negara, Jalan Masjid India, Dataran Merdeka dan Dayabumi adalah panggung baru menghiburkan manusia yang bosan.

Kini - setelah 12 tahun - Anwar kembali lagi ke dalam dewan mahkamah. Walaupun mungkin tidak akan ada lagi siri demontrasi seperti dulu, atau laman web baru yang tumbuh dengan bahasa yang memualkan - tetapi cerita Anwar akan tetap dinanti orang.

Kisah Anwar akan selalu menjadi Avatar bagi mereka yang pintar berpolitik. Cerita Anwar akan selamanya digunakan - baik yang menyokong, atau menentangnya. Kita - seperti biasa akan sekadar menjadi penontonnya.

Sepuluh tahun lagi - kita harap akan ada orang baru menggantikan beliau. Anwar sudah terlalu tua waktu itu untuk kita mendengar kisahnya.

2 comments:

ziarah76 said...

saya juga salah seorang penonton... harap tak terleka.

ihsan_huhu said...

masuk sotkaba advertiser sket nyer besar td

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails