Yang Ikut

Thursday, 11 February 2010

Selamat pulang tok.

Reactions: 
Nenek sebelah isteri aku -yang aku panggil sebagai tok- berusia 94 tahun sudah kembali ke pangkuan Allah beberapa jam tadi. Hujung usianya sebagai orang tua dan uzur melengkapkan perjalanannya di dunia yang tidak kekal ini. Umur sepertinya - yang melewati pelbagai pengalaman hidup - zaman aman dan zaman perang - tentu menghimpunkan pengalaman berbeza dan lebih baik dari kita. Kita tidak pernah di hidup di zaman perang - dan kita juga belum tentu hidup besok pagi.

Pada usianya - beliau masih mampu membaca. Sesekali beliau membaca kitab agama, sesekali pula dia membaca suratkhabar. Sebelum aku datang ke Australia dua tahun lalu, dia sudah sakit. Tetapi dia masih boleh berjalan dan mampu mengenal setiap orang dengan baik. Mungkin di zamannya dia seorang sarjana - kerana keupayaanya untuk membaca. Aku tidak tahu berapa puluh cucu dan cicit yang dia miliki. Sebab ahli keluarganya ada di mana-mana. Ada yang rapat, ada yang jauh.

Sepanjang mengenalinya sejak aku mula berkahwin 11 tahun lalu - dia seorang yang suka bercerita. Termasuklah cerita yang tidak disukai oleh para saintis yang mengkaji dunia empiri - kerana cerita orang tua bukan semuanya objektif. Ada cerita perkampungan bunian di atas bukit - tidak jauh dari kampung isteri aku. Sesekali dia bercerita tentang harimau dan gajah. Dia juga menceritakan pengalamannya menaiki perahu layar sampai ke Pulau Pinang. Tetapi - setiap orang tua ada rahsia tersendiri yang tidak ada dalam dunia cerita moden seperti kita.

Bagaimana pun - ketika usianya menjelang senja, dia sebenarnya tidak lagi sukakan dunia seperti kita. Aku selalu bertanya - "Tok, apa cita-cita tok pada usia seperti sekarang. Kalau kami mengimpikan rumah banglow - atau kereta besar, apa pula impian tok?'. "Tok cuma ingin kembali kepada Allah. Sekarang ini - di dunia ini, tidak ada lagi kawan-kawan. Semuanya sudah kembali". Itulah jawapannya.

Begitulah cerita sepi seorang tua seperti nenek. Kita juga - kalau dipanjangkan umur, akan melalui pengalaman sepertinya. Tidak lama. 20 atau 30 tahun dari sekarang - kita akan beransur-ansur menjadi manusia sepi. Ketika kita kecil - kita ramai rakan sepermainan. Bila remaja, kita mula memilih siapa yang patut dijadikan sahabat. Sebaik sahaja berkahwin - kita mula menjadi manusia lain. Kita hanya sibuk dengan keluarga sendiri.

Perlahan-lahan, kita mula kehilangan sahabat. Bila anak besar panjang - mereka mula meninggalkan kita seorang demi seorang - ada yang ke universiti, ada yang berkerja, ada yang berumahtangga. Kalau umur pasangan kita panjang - kita masih ada sahabat untuk berbual di rumah. Kalau tidak, kita bakal menjadi duda atau janda yang sepi - yang setiap petang menunggu di depan pintu mengharapkan anak pulang.

Dunia kita bertukar sepi dari hari ke hari. Dunia sibuk menjadi milik orang lain. Kita tahu kita semakin sepi apabila tajuk perbualan orang lain sudah tidak lagi memikat hati kita. Besarlah mana sekalipun jawatan kita - berapa banyak harta yang kita ada - kita tidak lagi mampu membeli sesuatu untuk menghindar kesepian. Radio, televisyen atau apa sahaja hiburan tidak lagi mampu menghiburkan. Tidak ada lagi orang yang mengharapkan kita. Sebaliknya, kita perlu mengharapkan orang lain.

Itulah sepi. Sepi adalah harta yang bakal kita miliki.

Tatkala kita menghadapi sakratul maut - itulah waktu yang sangat sepi untuk kita semua. Hanya kita seorang diri yang bertarung melawan ajal. Tidak ada lagi anak, tidak ada lagi sahabat. Tidak ada sesiapa mampu menolong. Yang ada hanya kita.

Tatkala semua orang mula meninggalkan tanah kubur - kesepian itu adalah kita. Moga amal baik menjadi sahabat. Moga sifat baik bakal menjadikan perjalanan hidup di dunia yang satu lagi lebih indah.

Selamat pulang tok. Moga-moga kita akan bertemu lagi pada alam yang lain. Moga-moga - kebaikan tok akan terus menjadi teman kami. Segala cerita pengalaman tok akan terus dikongsi oleh kami semua.

Al Fatihah.

4 comments:

ziarah76 said...

innalillah...
semoga ruhnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh...
amin

KiLaT said...

untuk datang ke dunia ini..Allah telah letakkan tertib. Tok datang dulu baru cucu. Bapak datang dulu baru anak. tapi untuk tinggalkan dunia.. Allah tak letak tertib. Ada cucu pulang dulu sebelum tok.

~KiLaT~ Al-Fatihah.

zarzh said...

Al Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat keatas ruhnya.

Anonymous said...

Panjang betoi umoq Tok hang...payah nak cari orang tua-tua yang sampai umoq 90 an mcm tu...hang sempat ka menuntut sikit sebanyak ilmu sihat sampai umoq cam tu??..Hang penah dengar org tua2 lepaih mandi tibai badan ngan kain basah...tu salah satu petua...apa pun Al;Fatihah..
Drp.Ari...Perlis, Msia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails