Yang Ikut

Tuesday, 2 February 2010

Coretan kenangan 2

Reactions: 
Tidak ada apa yang paling indah selain menjadi anak kampung.

Semasa aku masih muda dulu - puluhan tahun dahulu, kami sangat suka kehidupan hutan. Biasanya setiap kali cuti sekolah, kami akan masuk ke dalam hutan bagi melastik burung. Kami akan mengutip batu di sepanjang perjalanan bagi memastikan peluru yang cukup. Biasanya kami pergi berkumpulan.

Seingat aku salah seorang kawan aku yang pandai dalam melastik burung ialah Erri (pernah bermain drum untuk kumpulan Leon). Dia boleh melastik burung dari sudut mana pun. Sehingga sekarang, aku tidak tahu di mana Erri tinggal - kerana sudah puluhan tahun aku tidak berjumpa dengannya.

Ada juga saatnya - kami menjerat burung mandi. Ini biasanya dilakukan di musim kemarau ketika air di bendang sudah mula kekeringan. Sebenarnya, proses untuk menjerat burung itulah yang sangat 'thrill'. Kami perlu menyediakan senjata utama - iaitu getah pelekat burung. Ia boleh disediakan dengan memasak susu getah cair bersama madu kelulut. Tetapi, bila kami semakin pandai, kami tidak lagi menggunakan cara ini. Biasanya kami hanya membeli setin kecil getah tikus yang dijual di kedai.

Bermula waktu pagi lagi, kami akan memasuki hutan untuk mencari lopak air. Inilah port yang paling baik menjerat burung mandi. Pada lopak air itu, kita perlu memacakkan ranting kayu mati yang telah dilekatkan dengan getah tadi. Biasanya, apabila burung singgah mandi di lopak air tadi, dia akan hinggap di atas ranting kayu tadi untuk membersihkan bulunya. Sebaik sahaja hinggap di atas ranting kayu - maka akan melekatlah burung tadi di atas ranting tersebut.

Biasanya banyak juga juga burung yang kami dapat dengan menggunakan cara ini.

Aku tidak pasti - adakah anak-anak zaman sekarang tahu lagi dengan kehidupan kampung seperti ini. Mungkin lebih baik untuk mereka bermain video game di cyber cafe sahaja.

1 comment:

ihsan_huhu said...

sama macam cerita2 bapak aku

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails