Yang Ikut

Showing posts with label cerita abang. Show all posts
Showing posts with label cerita abang. Show all posts

Thursday, 11 February 2010

Selamat pulang tok.

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nenek sebelah isteri aku -yang aku panggil sebagai tok- berusia 94 tahun sudah kembali ke pangkuan Allah beberapa jam tadi. Hujung usianya sebagai orang tua dan uzur melengkapkan perjalanannya di dunia yang tidak kekal ini. Umur sepertinya - yang melewati pelbagai pengalaman hidup - zaman aman dan zaman perang - tentu menghimpunkan pengalaman berbeza dan lebih baik dari kita. Kita tidak pernah di hidup di zaman perang - dan kita juga belum tentu hidup besok pagi.

Pada usianya - beliau masih mampu membaca. Sesekali beliau membaca kitab agama, sesekali pula dia membaca suratkhabar. Sebelum aku datang ke Australia dua tahun lalu, dia sudah sakit. Tetapi dia masih boleh berjalan dan mampu mengenal setiap orang dengan baik. Mungkin di zamannya dia seorang sarjana - kerana keupayaanya untuk membaca. Aku tidak tahu berapa puluh cucu dan cicit yang dia miliki. Sebab ahli keluarganya ada di mana-mana. Ada yang rapat, ada yang jauh.

Sepanjang mengenalinya sejak aku mula berkahwin 11 tahun lalu - dia seorang yang suka bercerita. Termasuklah cerita yang tidak disukai oleh para saintis yang mengkaji dunia empiri - kerana cerita orang tua bukan semuanya objektif. Ada cerita perkampungan bunian di atas bukit - tidak jauh dari kampung isteri aku. Sesekali dia bercerita tentang harimau dan gajah. Dia juga menceritakan pengalamannya menaiki perahu layar sampai ke Pulau Pinang. Tetapi - setiap orang tua ada rahsia tersendiri yang tidak ada dalam dunia cerita moden seperti kita.

Bagaimana pun - ketika usianya menjelang senja, dia sebenarnya tidak lagi sukakan dunia seperti kita. Aku selalu bertanya - "Tok, apa cita-cita tok pada usia seperti sekarang. Kalau kami mengimpikan rumah banglow - atau kereta besar, apa pula impian tok?'. "Tok cuma ingin kembali kepada Allah. Sekarang ini - di dunia ini, tidak ada lagi kawan-kawan. Semuanya sudah kembali". Itulah jawapannya.

Begitulah cerita sepi seorang tua seperti nenek. Kita juga - kalau dipanjangkan umur, akan melalui pengalaman sepertinya. Tidak lama. 20 atau 30 tahun dari sekarang - kita akan beransur-ansur menjadi manusia sepi. Ketika kita kecil - kita ramai rakan sepermainan. Bila remaja, kita mula memilih siapa yang patut dijadikan sahabat. Sebaik sahaja berkahwin - kita mula menjadi manusia lain. Kita hanya sibuk dengan keluarga sendiri.

Perlahan-lahan, kita mula kehilangan sahabat. Bila anak besar panjang - mereka mula meninggalkan kita seorang demi seorang - ada yang ke universiti, ada yang berkerja, ada yang berumahtangga. Kalau umur pasangan kita panjang - kita masih ada sahabat untuk berbual di rumah. Kalau tidak, kita bakal menjadi duda atau janda yang sepi - yang setiap petang menunggu di depan pintu mengharapkan anak pulang.

Dunia kita bertukar sepi dari hari ke hari. Dunia sibuk menjadi milik orang lain. Kita tahu kita semakin sepi apabila tajuk perbualan orang lain sudah tidak lagi memikat hati kita. Besarlah mana sekalipun jawatan kita - berapa banyak harta yang kita ada - kita tidak lagi mampu membeli sesuatu untuk menghindar kesepian. Radio, televisyen atau apa sahaja hiburan tidak lagi mampu menghiburkan. Tidak ada lagi orang yang mengharapkan kita. Sebaliknya, kita perlu mengharapkan orang lain.

Itulah sepi. Sepi adalah harta yang bakal kita miliki.

Tatkala kita menghadapi sakratul maut - itulah waktu yang sangat sepi untuk kita semua. Hanya kita seorang diri yang bertarung melawan ajal. Tidak ada lagi anak, tidak ada lagi sahabat. Tidak ada sesiapa mampu menolong. Yang ada hanya kita.

Tatkala semua orang mula meninggalkan tanah kubur - kesepian itu adalah kita. Moga amal baik menjadi sahabat. Moga sifat baik bakal menjadikan perjalanan hidup di dunia yang satu lagi lebih indah.

Selamat pulang tok. Moga-moga kita akan bertemu lagi pada alam yang lain. Moga-moga - kebaikan tok akan terus menjadi teman kami. Segala cerita pengalaman tok akan terus dikongsi oleh kami semua.

Al Fatihah.

Saturday, 7 November 2009

Berjaya juga hang jadi adik ipar

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini cerita lama. Cerita silam. Cerita yang dekat 20 tahun dulu.

Dulu aku ada seorang kawan. Seorang gadis. Kami juga baik di antara satu sama lain. Tapi aku tidak pasti sama ada kami ini suka di antara satu sama lain atau tidak. Sebab kami berkawan baik, maka kami tidak dapat meluahkan perasaan kami. Atau hanya aku yang sukakan dia, tetapi tidak pun dia. Itu juga aku tidak tahu kerana kami tidak pernah bercakap hal itu.

Sebenarnya dia tinggal sekampung dengan aku. Adik lelakinya pula kawan baik aku. Jadi, kami semua membesar bersama, bermain bersama dan bersekolah bersama. Kecuali di sekolah menengah, kerana aku tinggal di asrama. Cuma di tingkatan 6, dia satu sekolah dengan aku.

Ketika tamat tingkatan 6, dia ada memberikan aku wang untuk membeli borang kemasukan ke universiti. Dia memang baik. Mungkin dia tahu aku tak ada wang. Ketika masuk universiti, dia ada hadiahkan aku sehelai baju.

Kemudiannya, aku ke universiti dan dia berkerja kilang.

Dia juga beberapa kali menghantarkan aku surat ketika di universiti. Aku menerima dan membacanya. Tetapi aku tidak membalasnya. Walaupun aku boleh menulis, tetapi aku tidak berminat menulis surat. Kerana ia akan menyebabkan banyak lagi proses lain. Kena ada sampul surat dan beratur panjang membeli stem. Semua ini membantutkan minat aku menghantar surat.

Hidup aku di universiti pun bukanlah teratur sangat. Macam cerita Aku Hidup Dalam Blues karya Aie itu. Selekeh dan tak tersusun.

Aku pun masih tak pasti sama ada dia suka aku, atau aku suka dia. Apa pun kami tetap kawan baik.

Aku cuma tersedak - pada tahun 1994 atau 1995 - aku mendapat kad jemputan kahwin. Dia tulis ringkas sahaja. Walaupun aku berkahwin, kita masih berkawan. Waktu itu sepatutnya cuti semester. Tetapi aku beri alasan peperiksaan untuk tidak pulang. Aku tidak begitu tergamak hendak makan kenduri waktu itu.

Setelah aku berkahwin - isteri aku ke rumahnya. Isteri aku ceritakan rahsia 'hubungan tidak pasti' kami kepada emaknya. Emaknya cuma berkata, 'patutlah'. Aku pun tak begitu tahu apa yang dimaksudkan dengan patutlah itu. Habis malu muka aku.

Enam atau tujuh tahun dulu, adik lelakinya yang juga kawan baik aku, sibuk mencari isteri. Merata tempat dicari, tak bertemu juga. Isteri aku minta tolong adiknya yang jadi jururawat untuk mencari isteri untuk kawan aku itu. Adik ipar aku jadi broker. Cari sana sini. Tetapi dia tak mahu juga dengan calon yang ditunjukkan. Gagal juga. Akhirnya, dia pula yang kahwin dengan adik isteri aku yang sepatutnya jadi broker cari jodoh. Jadilah dia adik ipar aku. Itulah jodoh.

Pada hari perkahwinan mereka - orang kampung aku berkata kepada adik lelaki kawan aku itu - 'berjaya juga hang jadi adik ipar!". Tetapi menjadi adik ipar dalam latar yang lain. Sebenarnya bukan adik ipar, dia menjadi biras.

Itu cuma cerita lama. Cerita ketika kita masih muda.

Sunday, 29 March 2009

Selamat pulang abang

9 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari lalu, aku menulis soal beberapa orang terdekat denganku pulang ke pangkuan Ilahi. Beberapa minit lalu - jam 4.13 pagi waktu Adelaide, ketika sedang tidur - aku menerima panggilan telefon. Ayatnya mengingatkan aku kepada ayat lama yang diucapkan abang sulungku kepada ibu 29 tahun lalu.

Ia mengisahkan kesedihan yang sama. Ia diucapkan dalam bahasa Siam. "Nya tok chai, bang mot bhun lew"(Jangan terkejut, abang tiada lagi). Kalau 29 tahun dulu - abang sulung yang mengucapkannya bagi menceritakan kehilangan bapa, kali ini ia disampaikan pula oleh abang kedua bagi mengkhabarkan perihal abang sulung kami. Dia kembali di usia 51 tahun.

Seingat aku, abangku berperilaku mulia. Dia tidak pernah bercakap-cakap hal orang. Tidak juga dia melakukan hal yang buruk. Bahkan, dia juga tidak pernah memakai seluar jeans, atau merokok. Hidupnya sangat biasa, simple dan seadanya sahaja.

Ketika kami masih kecil - setelah ketiadaan bapa, dialah menjadi pengganti menguruskan kami semua. Dia agak tegas. Ini menakutkan kami. Dia akan hanya mengejutkan kami dua kali untuk bangun subuh. Kali ketiga - dia tidak akan mengejut lagi. Dia akan menyimbahkan sebaldi air ke muka hingga basah semua tilam dan kain selimut. Jadi, kami tidak akan menunggu sehingga dia bersuara tiga kali. Kami tahu hal itu.

Dia jugalah yang akan melihat semua rekod pelajaran sekolahku. Dia menggerunkan. Dia tidak kisah berapa nombor dalam kelas. Dia akan bertanya nombor keseluruhan dalam sekolah. Dia akan menghitung markah satu demi satu. Itu caranya. Kata-katanya juga adalah hukum untuk kami semua.

Dia juga jarang minum di kedai kopi ketika mudanya. Aku tidak tahu dengan pasti sebabnya. Mungkin kerana dia perlu berjimat untuk membesarkan kami sekeluarga. Tapi yang pasti, dialah yang membiayai pendidikan sekolahku dari sekolah rendah hinggalah masuk universiti. Ketika aku melangkah masuk ke tingkatan 6 rendah, dia baru memulakan alam perkahwinan - pada umur yang agak lewat. Semuanya kerana dia perlu menyelesaikan tugasnya sebagai ketua keluarga.

Menurut ibu - ketika di tingkatan 2, dia berhenti sekolah kerana susahnya hidup kami pada waktu itu. Tetapi sebagai antara pelajar pintar, gurubesar pada waktu itu telah datang mencarinya agar dia kembali bersekolah. Tetapi dia sudah memutuskan untuk tidak lagi bersekolah.

Dia juga berkerja dan belajar dengan tekun. Dia melakukan kedua-duanya pada masa yang sama. Dia mengambil SRP dan SPM secara persendirian. Kemudiannya melangkah masuk ke Institut Kemahiran Mara. Kemudiannya berkerja dengan kerajaan.

Mungkin dia tidak memiliki ijazah universiti. Tetapi dia berjaya dalam banyak hal. Bahkan pernah ke Jepun untuk melanjutkan pendidikan teknikalnya tahun 1989. Dia memiliki segala jenis sijil profesional. Dia ada sijil jurupaip, wireman, chargeman dan boilerman. Ini menjadikan dia manusia yang boleh menjadi apa sahaja.

Dia juga adalah manusia yang luarbiasa. Seorang temannya pernah berkata kepadaku:"Aku tak hairan kalau hang (awak) masuk universiti. Tetapi aku lebih kagum dengan abang hang (awak) yang berjaya dalam hidupnya. Dia juga berjaya membesarkan hang (awak)". Itulah sebahagian daripada kekaguman orang kepada abangku. Dia menghabiskan sebahagian besar kehidupan remajanya menjadi 'bapa' kepada kami semua.

Dia tidak tahu apa-apa yang dikatakan keriangan zaman remaja - kerana dia memiliki tugas mengganti bapa yang pulang terlebih dahulu. Beban yang belum mampu ditanggung oleh kebanyakan orang. Ketika remajanya, dia berkerja kebun, menebas hutan, atau apa sahaja yang mendatangkan wang untuk kami. Dia menanggung tugas berat kerana dia anak lelaki paling tua dalam keluarga.

Kepulangan beliau hanya setelah beberapa minggu mendapat berita baik mengenai anak sulungnya dalam keputusan SPM.

Salam takziah untuk isteri dan anak-anaknya. Dia bukan hanya ketua keluarga untuk mereka sahaja, tetapi dia juga adalah ketua keluarga kami juga. Dia bukan hanya perlu menjadi teladan hidup untuk anak-anaknya, tetapi juga untuk aku dan anak-anak kami.

Tidak ada yang lebih hebat menjadi manusia sepertinya. Kehebatannya ialah rasa tanggungjawabnya. Pengorbanan hidupnya itulah menjadikan kami berasa begitu kerdil untuk menceritakan pengalaman kami. Mampukah kami semua menjaga anak-anakmu seperti mana kamu menjaga kami semua?

Selamat pulang abang. Kami akan sentiasa mendoaimu. Pasti kami semua akan merinduimu. Menjadi adik kepada dirimu menjadikan kami sangat istimewa. Secara jujur, aku menangis mendengar berita ini.

Al-Fatihah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails