Yang Ikut

Sunday, 29 March 2009

Selamat pulang abang

Reactions: 
Beberapa hari lalu, aku menulis soal beberapa orang terdekat denganku pulang ke pangkuan Ilahi. Beberapa minit lalu - jam 4.13 pagi waktu Adelaide, ketika sedang tidur - aku menerima panggilan telefon. Ayatnya mengingatkan aku kepada ayat lama yang diucapkan abang sulungku kepada ibu 29 tahun lalu.

Ia mengisahkan kesedihan yang sama. Ia diucapkan dalam bahasa Siam. "Nya tok chai, bang mot bhun lew"(Jangan terkejut, abang tiada lagi). Kalau 29 tahun dulu - abang sulung yang mengucapkannya bagi menceritakan kehilangan bapa, kali ini ia disampaikan pula oleh abang kedua bagi mengkhabarkan perihal abang sulung kami. Dia kembali di usia 51 tahun.

Seingat aku, abangku berperilaku mulia. Dia tidak pernah bercakap-cakap hal orang. Tidak juga dia melakukan hal yang buruk. Bahkan, dia juga tidak pernah memakai seluar jeans, atau merokok. Hidupnya sangat biasa, simple dan seadanya sahaja.

Ketika kami masih kecil - setelah ketiadaan bapa, dialah menjadi pengganti menguruskan kami semua. Dia agak tegas. Ini menakutkan kami. Dia akan hanya mengejutkan kami dua kali untuk bangun subuh. Kali ketiga - dia tidak akan mengejut lagi. Dia akan menyimbahkan sebaldi air ke muka hingga basah semua tilam dan kain selimut. Jadi, kami tidak akan menunggu sehingga dia bersuara tiga kali. Kami tahu hal itu.

Dia jugalah yang akan melihat semua rekod pelajaran sekolahku. Dia menggerunkan. Dia tidak kisah berapa nombor dalam kelas. Dia akan bertanya nombor keseluruhan dalam sekolah. Dia akan menghitung markah satu demi satu. Itu caranya. Kata-katanya juga adalah hukum untuk kami semua.

Dia juga jarang minum di kedai kopi ketika mudanya. Aku tidak tahu dengan pasti sebabnya. Mungkin kerana dia perlu berjimat untuk membesarkan kami sekeluarga. Tapi yang pasti, dialah yang membiayai pendidikan sekolahku dari sekolah rendah hinggalah masuk universiti. Ketika aku melangkah masuk ke tingkatan 6 rendah, dia baru memulakan alam perkahwinan - pada umur yang agak lewat. Semuanya kerana dia perlu menyelesaikan tugasnya sebagai ketua keluarga.

Menurut ibu - ketika di tingkatan 2, dia berhenti sekolah kerana susahnya hidup kami pada waktu itu. Tetapi sebagai antara pelajar pintar, gurubesar pada waktu itu telah datang mencarinya agar dia kembali bersekolah. Tetapi dia sudah memutuskan untuk tidak lagi bersekolah.

Dia juga berkerja dan belajar dengan tekun. Dia melakukan kedua-duanya pada masa yang sama. Dia mengambil SRP dan SPM secara persendirian. Kemudiannya melangkah masuk ke Institut Kemahiran Mara. Kemudiannya berkerja dengan kerajaan.

Mungkin dia tidak memiliki ijazah universiti. Tetapi dia berjaya dalam banyak hal. Bahkan pernah ke Jepun untuk melanjutkan pendidikan teknikalnya tahun 1989. Dia memiliki segala jenis sijil profesional. Dia ada sijil jurupaip, wireman, chargeman dan boilerman. Ini menjadikan dia manusia yang boleh menjadi apa sahaja.

Dia juga adalah manusia yang luarbiasa. Seorang temannya pernah berkata kepadaku:"Aku tak hairan kalau hang (awak) masuk universiti. Tetapi aku lebih kagum dengan abang hang (awak) yang berjaya dalam hidupnya. Dia juga berjaya membesarkan hang (awak)". Itulah sebahagian daripada kekaguman orang kepada abangku. Dia menghabiskan sebahagian besar kehidupan remajanya menjadi 'bapa' kepada kami semua.

Dia tidak tahu apa-apa yang dikatakan keriangan zaman remaja - kerana dia memiliki tugas mengganti bapa yang pulang terlebih dahulu. Beban yang belum mampu ditanggung oleh kebanyakan orang. Ketika remajanya, dia berkerja kebun, menebas hutan, atau apa sahaja yang mendatangkan wang untuk kami. Dia menanggung tugas berat kerana dia anak lelaki paling tua dalam keluarga.

Kepulangan beliau hanya setelah beberapa minggu mendapat berita baik mengenai anak sulungnya dalam keputusan SPM.

Salam takziah untuk isteri dan anak-anaknya. Dia bukan hanya ketua keluarga untuk mereka sahaja, tetapi dia juga adalah ketua keluarga kami juga. Dia bukan hanya perlu menjadi teladan hidup untuk anak-anaknya, tetapi juga untuk aku dan anak-anak kami.

Tidak ada yang lebih hebat menjadi manusia sepertinya. Kehebatannya ialah rasa tanggungjawabnya. Pengorbanan hidupnya itulah menjadikan kami berasa begitu kerdil untuk menceritakan pengalaman kami. Mampukah kami semua menjaga anak-anakmu seperti mana kamu menjaga kami semua?

Selamat pulang abang. Kami akan sentiasa mendoaimu. Pasti kami semua akan merinduimu. Menjadi adik kepada dirimu menjadikan kami sangat istimewa. Secara jujur, aku menangis mendengar berita ini.

Al-Fatihah.

9 comments:

Abang Ben said...

innalillah...

takziah dari aku. Semoga roh beliau mendapat tempat disisi orang-orang yang soleh.

muhriz rahmat said...

Takziah buat saudara sekeluarga. Apa pun kehidupan kita yang berbaki ini harus menjadi ingatan setiap saat. Moga kita bertemu lagi saudara-saudara yang sudah pergi ke negeri akhirat terlebih dahulu di satu tempat yang mulia iaitu syurga Allah Ta'ala.

kaamyl fauzi said...

takziah.. pengorbanan arwah turut menjadi teladan untuk kami juga. semoga roh arwah dilimpahi rahmat & keampunan Allah.. ameen

zarzh said...

Salam tahziah untuk sdr sekeluarga serta Al fatihah untuk Allahyarham abang sdr. Semoga Allah menempatkannya dikalangan solehan serta memelihara dan membimbing keluarga yang ditinggalkannya.

niesa.imana said...

salam takziah buat keluarga kalian.. insyaAllah, moga roh beliau ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman.. ameen..

Anonymous said...

takziah dari kami sekeluarga, setelah liza baca blog ni, menitis jugak air mata...tapi tabahkan hati ok. A
llah lebih menyayangi arwah dan hidupmu harus diteruskan seperti biasa.
innalillahiwainnalillahirojiun....
semoga diberkati Allah .
amin

liza n famili

Anonymous said...

Salam,

Innalillah...Takziah dari kami sekeluarga.

Hasni & Mala
Alia, Aimi, Adam
Brunei

FakirFikir said...

Terima kasih semua di atas komen dan salam takziah yang diberikan.

ihsan_huhu said...

takziah gk

ps: takziah dlm bahase siam ape r?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails