Yang Ikut

Wednesday, 3 March 2010

Review Blog

Reactions: 
Sejak aku mula menulis di blog ini 2 tahun lalu, banyak hal yang datang di fikiran - aku cuba catatkan. Aku mula membuka blog ini 1 Februari 2008. Kadang-kadang aku tulis hal aku, kadang-kadang aku tulis hal orang lain. Kadang-kadang aku tulis hal politik, kadang-kadang aku tulis hal psikologi. Tapi banyaknya aku tulis hal Melayu.

Kalau boleh aku cuba tulis semua hal yang aku boleh tulis.

Bagi aku - hal Melayu sepatutnya menjadi tema pemikiran aku. Dalam dunia ini, banyak bangsa yang sangat berbangga dengan identiti bangsanya. Mereka tidak cuba menjadi orang lain. Pergilah ke Indonesia, Thailand, Jepun, China atau negara lain sekalipun. Mereka bertutur dan bangga dengan kewujudan identiti mereka. Orang Greek, Jerman dan Itali di Australia ini misalnya, tetap menuturkan bahasa mereka. Mereka berbangga dengan kewujudan bangsa mereka.

Identiti itulah menjadikan mereka tidak mudah tergoda dan ternoda. Melayu - kita juga ada identiti yang unik. Kita bangsa yang baik dan peramah. Kita meraikan manusia lain. Sayangnya kita terlalu baik. Sudah terhantuk bagi tergadah. Sudah dipatuk baru meludah.

Kita banyak bercakap hal bangsa, tetapi kita tidak jujur memperbaiki bangsa. Kita mula sibuk memberikan bantuan pelajar cemerlang setelah pelajar berjaya mendapat keputusan terpuji. Kita mula membantu keluarga mereka yang miskin. Tetapi, sebelum itu kita diam sahaja. Kita tidak melihat bumbung rumah mereka yang bocor. Kita tidak lihat dinding rumah mereka yang retak.

Kita membantu setelah disiarkan berita di akhbar. Kita membantu untuk mendapat populariti. Setelah itu, kita diam lagi.

Kita juga tidak ikhlas dalam perjuangan. Dalam politik - kita takut apabila dikatakan chauvanist dan perkauman. Kita takut kita dianggap sebagai bangsa yang mendikriminasi orang lain. Tetapi kita tidak pernah memandang pun yang kita ini sebenarnya yang banyak ditindas. Tidak percaya? Berjalanlah di setiap bandar. Lihat. Lihat. Dan lihat dengan mata hati.

Berjalanlah juga ke setiap kuala. Lihat rumah siapa yang terpacak dengan tiang kayu reput dan atas zink berkarat. Lihat siapa yang sedang mengharungi lekit lumpur dan busuk air. Lihat siapa yang membuka kedai. Lihat siapa peraih. Lihat siapa tauke. Lihat siapa kuli.

Puas juga orang kita menoreh. Tetapi, yang menjadi tauke pembeli getah tetap bukan orang kita. Paling hebat pun, kita cuma menjadi pembeli di dalam kampung. Tetapi kita tetap perlu menghantar sekerap ke kilang orang lain. Merekalah yang mengawal turun naik harga. Mengapa tidak kita tubuhkan syarikat orang Melayu untuk hal ini? Kita banyak jutawan.

Berapa banyak juga peniaga warung kita di tepi jalan yang dirobohkan ruang hidupnya. Mereka dikejar dan berlari. Kita gembira melaksanakan polisi. Tetapi, mengapa tidak ada sesiapa melarang orang berniaga di atas jalan di Petaling Street. Kita bangunkan pintu gerbang lagi sebagai kononnya mampu menarik pelancong. Mengapa kita tidak adil terhadap bangsa kita sendiri.

Banyak lagi hal orang Melayu yang tidak mampu kita selesaikan. Semuanya bermula dengan sikap kita. Kalau kita mencintai bangsa, kita tidak rasuah. Kalau kita cintakan bangsa, kita tidak berjuang untuk perut sendiri. Kalau kita sayangkan bangsa, kita akan setiap hari berjalan-jalan dan mendengar jerit perih orang kampung.

Melayu - kian layu setiap hari.

1 comment:

Kalam Tintaku.... said...

bangsa kita ini telah ditusuk mindanya daripada 'di pijak kepala sendiri' telah menjadi maksud kepada 'menjaga hati'....... dengan alasan kompromi... dan sindrom 'tidak mengapa'.........

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails