Yang Ikut

Thursday, 25 March 2010

Datuk, ada bawa suara kami ke parlimen?

Reactions: 
Sidang Parlimen bergema lagi. Kali ini ahli-ahli parlimen kita sedang mengusung nasib lebih 25 juta rakyat Malaysia. Semoga mereka membahaskan hal kehidupan kita. Semoga mereka berbicara soal anak-anak kita. Semoga mereka merasa belas dengan penderitaan yang sedang dihadapi sebahagian daripada kita. Moga, mereka juga mampu merancang masa depan kita dengan bijaksana.

Sesekali cuba kita perhatikan. Perhatikan diri kita sendiri. Bukan orang lain. Kita sering sibuk setiap kali pilihanraya. Seolah-olah satu pesta besar dalam hidup kita. Kita sanggup berjaga sampai lewat pagi. Bermandikan embun menampal poster di sana sini. Kita juga sibuk menganalisis. Siapa yang akan bertanding. Siapa yang bakal memerintah negara. Akan kecundangkan si polan dan si polan.

Cuma sayang - kita hanya sibuk untuk berkempen pilihanraya. Selepasnya kita diam. Selepasnya kita tidak lagi hebat. Paling hebat pun, bertanya bila akan diadakan pilihanraya lagi.

Jarang kita ambil kisah pun parlimen yang bersidang. Jarang kita ambil tahu pun sama ada wakil rakyat yang kita pilih itu membahaskan hal kehidupan kita. Atau mereka cuma membahaskan hal mereka sendiri? Adakah mereka bercakaran di parlimen itu kerana ingin memastikan kebaikan untuk kita, atau hanya untuk menutup keburukan mereka?

Jika pilihanraya itu penting, sidang parlimen itu lebih utama. Pilihanraya hanya menentukan siapa yang memerintah. Persidangan di parlimen itulah yang bakal menentukan nasib kita. Itulah sidang yang bakal menentukan berapa kali lagi harga barang yang akan naik, atau berapa banyak pula peluang pekerjaan baru akan disediakan.

Jika secara tidak sengaja kita terserempak dengan wakil rakyat kita - kita lebih merasa bangga dapat mencium tangan mereka. Kita berasa semacam itu hal yang sangat luarbiasa. Kita mungkin jarang membayangkan pun, ada hal yang lebih hebat daripada itu. Kita tentu akan menjadi rakyat paling istimewa kalau dapat bertanya: "Datuk, ada bawa suara kami ke parlimen?".  

Sayang - kita kurang peka hal ini. Mungkin juga kerana kita memang sengaja tidak 'dipekakan' agar kita tidak begitu tahu hal ahli politik kita. Kita tidak perlu bimbang hal perdebatan di parlimen - kerana kita orang kampung yang tidak bijak.  Mungkin itu juga sebabnya kita tidak diberikan peluang menonton perbahasan secara langsung.

Kita tidak tahu. Jawapannya tidak ada pada kita.

Yang perlu kita tahu - jangan lupa mengundi. Sama ada suara kita akan dibawa ke dewan yang mulia itu atau tidak - yang pasti suara wakil rakyat kita akan tetap bergema di parlimen.


Suara yang sama akan bergema lebih lunak lagi setiap kali menjelangnya pilihanraya.

Tolong. Tolonglah bawakan suara kami!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails