Yang Ikut

Monday, 29 March 2010

Catatan 2 tahun setengah

Reactions: 
Enam bulan lagi - genaplah 3 tahun aku di bumi Adelaide.

Cepat sungguh masa berlalu. Musim berganti musim. Tidur dan bangun tidur. Matahari naik dan matahari jatuh.

Banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh itu. Ada yang mampu dilupakan. Ada yang menjadi kenangan.

Bekas pensyarah aku di UKM, Dr Aminuddin kembali menemui Allah beberapa bulan setelah aku berada di Australia. Beliau adalah 'sifu' aku dalam banyak hal berkaitan psikologi. Beliau menyelia tesis sarjana muda dan sarjana aku.

Banyak hal yang aku tulis dalam blog ini sebenarnya ialah bidang psikologi sosial - pengetahuan yang aku dapatkan daripada beliau. Dalam istilah akademiknya, kami mungkin tergolong dalam kelompok aliran Kurt Lewin. Aku akan coretkan nama beliau dalam tesis aku nanti sebagai penghargaan untuk guruku yang ulung itu.

Hari ini pula, genap setahun abang aku pulang ke Rahmatullah. Sepertinya hanya beberapa bulan lalu sahaja. Bapa dan emak saudara aku juga meninggal dunia semasa aku berada di sini. Nenek sebelah isteri aku juga. Semua mereka telah kembali.

Seorang lagi rakan baik - usianya sebaya arwah ayah aku - sekitar lewat 60-an atau awal 70-an, Haji Din juga kembali dua atau tiga bulan lalu. Semasa aku balik Malaysia tahun lalu, aku sempat bergurau dengannya di kedai kopi. Kami bercakap dalam bahasa Siam. Aku menyapanya: 'Hah, tak mati lagi?'. Haji Din menjawab: 'Hang jangan dok cakap lagu tu Dam'. (Adam ialah nama panggilan arwah ayah aku di kampung. Jadi, setelah ayah aku tiada, Haji Din memanggil aku dengan Adam. Katanya, aku membawa sifat ayah aku).

Setelah kami kutuk mengutuk, dia seperti biasa akan bercerita hal anak-anaknya. Hari itu dia dengan begitu beriya-iya ingin membelanjakan aku kopi ais. Aku yang melepak di kedai kopi itu tentu tidak menolaknya.

Rupanya - itulah sapaan aku yang terakhir kalinya dengan beliau.

Begitulah hubungan aku dengan Haji Din. Rasanya kami banyak mengutuk di antara satu sama lain. Tetapi, aku rasa itu adat di kampung kami juga. Cara orang Kedah memang banyak melawak dan berjenaka. Bagaimana pun, ia tidak pula membawa apa-apa perasaan marah. Bagi kami, itu sebahagian dari cara kami menegur dan berbual.

Sepanjang tempoh dua tahun setengah ini, banyak kenangan indah yang ditemui. Banyak juga kenangan indah yang hilang.

Ia mungkin sebahagian dari pengorbanan apabila kita memilih untuk belajar lagi. Pengalaman kehilangan ini tentu dirasakan oleh orang lain juga. Cuma jalan ceritanya yang berbeza.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails