Yang Ikut

Sunday, 21 March 2010

Siri kuliah psikologi 2 - Art of Persuasion - Bah 3

Reactions: 
Bagaimana mempengaruhi manusia?

Dalam psikologi - terdapat satu konsep yang dikenali sebagai "the foot-in-the-door phenomenon", atau 'fenomena kaki di pintu'. Orang awam yang jarang terbiasa dengan bidang psikologi mungkin jarang mendengar istilah ini. Bagaimana pun, kita selalu menghadapi situasi ini di banyak tempat dalam hidup kita.

Kita adakalanya mendapat panggilan telefon dari syarikat yang tidak diketahui yang menawarkan kita pakej percutian di sebuah pusat peranginan ternama selama beberapa hari. Kita mungkin berasa gembira dengan tawaran pelik ini. Sebaik sahaja kita menerima jemputan mereka itu - kita sebenarnya tahu bahawa ia bukanlah satu percutian.

Sebaliknya kita diberikan taklimat mengenai kebaikan program mereka, atau meminta kita menjadi ahli. Dalam banyak hal, orang tidak ada banyak pilihan. Sebaik sahaja kita 'melangkah masuk ke pintu', mereka boleh dengan mudahnya mempengaruhi kita selepasnya. Di Malaysia, strategi ini banyak digunakan oleh syarikat skim cepat kaya.

Begitu juga dengan penyertaan dalam persatuan tertentu. Kita pada mulanya kita mungkin tidak berhasrat pun menyertai persatuan mereka. Kita pada mulanya hanya dijemput untuk majlis makan-makan sahaja.

Beberapa hari kemudiannya mereka menjemput lagi dengan majlis yang lain pula. Mereka juga mungkin memberikan kita bantuan tertentu. Akhirnya, kerana 'malu muka', apabila diajak menganggotai kumpulan mereka - kita terpaksa mengikut dengan berat hati.

Kaedah ini juga -dalam bahasa yang mudah - "meminta yang kecil, mengharap yang besar". Dalam dunia moden kini, banyak orang tertipu dengan kaedah ini. Banyak manusia pembelit yang menghantarkan 'spam email' yang menawarkan pelbagai kekayaan. Sebagai kononnya akan memasukkan wang kepada kita. Sekiranya kita membalas respons mereka (sesuatu yang kecil), kemudiannya mereka akan meminta pula kita memberikan salinan pasport sebagai kononnya sebahagian dari proses memasukkan wang.

Setelah kita memberikan salinan pasport, kali ini mereka akan meminta lagi. Ia sedikit besar dari permulaannya. Mereka akan meminta kita memasukkan wang dalam jumlah tertentu kepada mereka, sebelum mereka akan memindahkan wang yang banyak ke akaun kita.

Semua ini adalah tipudaya 'fenomena kaki di pintu'. Sebab itu, jangan sesekali membuka pintu untuk segala permintaan yang dihantar melalui emel orang yang tidak dikenali.

Graduan muda yang baru mendapat pekerjaan - yang kemudiannya ditangkap kerana mengedar dadah di negara luar mungkin telah melalui langkah-langkah ini. Mereka pada mulanya mungkin hanya diberikan tugas yang kecil. Lama-lama kelamaan, ketua mereka ini meminta lagi - misalnya membawa beg ke luar negara. Sedangkan beg yang dibawa itu mungkin berisi dadah.

Banyak juga pasangan muda yang tertipu dengan pasangan mereka kerana kaedah ini. Pada mulanya mereka mungkin hanya akan meminta memegang tangan. Kalau mereka berjaya, bermakna mereka akan meminta lagi kemudiannya anggota yang lebih besar. Kita tidak sedar bahawa kita sudah terpengaruh, kerana kita membuka pintu untuk permulaan tadi. Kalau kita menutupnya lebih awal, hal yang buruk mungkin tidak bakal terjadi.

Jurujual yang datang ke rumah kita juga mungkin diajar dengan cara ini. Mereka pada mulanya mengetuk pintu rumah kita hanya untuk menilai keselamatan peralatan dapur kita. Kalau kita terpedaya, kita akan tergoda. Logiknya, kenapa harus ada orang yang ingin menilai tahap keselamatan dapur rumah. Jika jabatan kerajaan pun tidak pernah melakukannya, mengapa pula hanya syarikat swasta yang teringin melaksanakan tugas itu.

Sekiranya kita telah membenarkan orang tadi masuk, dia kemudiannya akan meminta lagi. Jadi untuk mengelak hal yang buruk, lebih baik jangan biarkan mereka masuk ke rumah. Melainkan kita orang bijak menafasir manipulasi dan teknik pengaruh mereka.

Begitulah sedikit sebanyak bagaimana orang memulakan langkah mempengaruhi manusia. Adakalanya kita tertipu. Jika kita pandai, kita juga boleh menggunakan kaedah ini untuk kebaikan. Misalnya untuk memimpin pekerja kita, atau mendidik anak murid kita di sekolah.

Sebagai permulaan - sekiranya anda seorang isteri, jika anda inginkan perhiasan, jangan meminta dibelikan rantai emas yang besar. Mintalah dibelikan cincin dahulu. Kemudian mintalah pula untuk membelikan gelang tangan. Anda mungkin tidak mendapat apa-apa kalau terus meminta dibelikan rantai emas yang besar dari suami anda!

Bagaimana pun, sekiranya anda hanya memerlukan cincin, lain pula caranya. Anda boleh sedikit sebanyak membaca hal ini dalam topik psikologi betis dan paha.

Tamat. Kalau ada masa, nanti kita sambung dengan tajuk lain.

1 comment:

ismadiyusuf said...

kaedah ini sesuai untuk digunakan dijalan kebaikan iaitu usaha agama..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails