Yang Ikut

Showing posts with label psychology. Show all posts
Showing posts with label psychology. Show all posts

Saturday, 22 September 2012

Isu matematik anak-anak

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang ibu mengirimkan saya email bertanyakan masalah anaknya yang tidak begitu berminat dengan matematik. Tidak hanya tidak berminat, tidak juga mampu menguasainya.

Ada beberapa isu yang patut difahami oleh ibu bapa, apabila mengulas mengenai penguasaan matematik di kalangan anak-anak mereka. Ia berlegar di antara otak kiri dan otak kanan manusia.


Malangnya, kerana dalam sistem pendidikan kita, matematik telah dianggap sebagai 'core subject' yang menentukan hidup mati peperiksaan seseorang, penguasaan matematik dianggap sebagai penentu kepintaran manusia. Hakikatnya tidak. Matematik hanyalah sekadar subjek. Ada orang yang bijak matematik, tetapi tidak bidang lain. Begitulah sebaliknya. Cuma apabila matematik telah menjadi subjek wajib, yang menentukan seseorang calon itu masuk universiti atau tidak, maka tidak banyak pintu harapan untuk mereka yang gagal matematik.


Seperti juga halnya dengan penguasaan bahasa Melayu. Adakah boleh dikatakan mereka yang gagal bahasa sebagai tidak bijak, kalau mereka cemerlang dalam subjek lain?


Manusia ini dikatakan mempunyai dua hamisfera otak. Mereka yang dominan otak kiri akan fasih matematik dan sains, dan lebih kepada logik. Sebaliknya, mereka yang otak kanannya lebih dominan, mereka ini mempunyai aspek pemikiran yang tajam, beremosi dan berada dalam dunianya sendiri.


Tidak begitu ramai mereka yang bijak matematik dan sains yang pandai dalam hal kebahasaan. Begitu juga sebaliknya. Manusia seperti saya, kalau perlu menghadiri peperiksaan matematik lagi sekali belum tentu lulus. Tetapi, saya tidak kisah kalau diminta untuk menghadiri peperiksaan geografi atau sejarah - kerana saya tahu saya boleh menghafalnya dalam masa beberapa hari. Ia mudah melekat di kepala saya, berbanding matematik.


Saya boleh mengarang dengan cepat. Tetapi saya tidak berminat mengira.


Saya tidak pasti bagaimana teman saya, misalnya Dr Ben. Dia pandai menulis juga walaupun dia seorang yang terlibat dalam dunia sains. Mungkin, agak beruntung bagi sesetengah manusia yang menguasai kedua-duanya. Prof Shahrir Mohd Zain, seorang pakar matematik terkenal negara misalnya, adalah seorang ahli bahasa yang hebat.


Bagaimana pun, tidak semua akan menjadi seperti mereka. Ada yang boleh menguasai sebelah hamisfera otak sahaja.


Teman saya, pakar sains komputer di sebuah syarikat minyak di Asia Timur tidak pandai dalam hal bahasa, walaupun saya tahu kami tidak akan mampu menandinginya dalam hal matematik di sekolah dulu. Saya agak malang kerana berada di kelas 5 Sains 1 di sekolah - sekolah paling depan, yang rata-ratanya adalah pelajar Cina. Saya rasa seperti menjadi manusia paling bodoh dalam kelas itu. Setiap kali subjek matematik tambahan diajar, saya ponteng dan duduk di wakaf. Sesekali merokok di belakang bangunan. Apa yang boleh saya buat?


Saya berjaya ke universiti kerana saya berpeluang mengikuti Tingkatan 6 - yang tidak ada satu pun subjek matematik dan sains. Saya masih merangkak ketika mengambil pelajaran Geografi 4 - kerana ada pengiraan di situ. Saya lulus cemerlang dalam semua subjek lain kerana saya tidak dipaksa mengira.


Jadi, sesekali apabila ada anak-anak yang tidak mampu menguasai matematik, kita perlu perhatikan juga. Adakah tidak mampu ini kerana fungsi otaknya, atau kerana sikapnya. Ada orang yang berusaha sangat teruk, tetapi gagal juga. Mereka yang otak kirinya lebih dominan, lebih mudah menangkap apa yang diajar oleh guru. Tanpa ulangkaji pun, mereka berjaya dengan markah yang tinggi.


Tetapi, ada orang yang gagal matematik bukan kerana otak kirinya. Mereka gagal kerana 'self fullfilling prophecy'. Saya sudah menulisnya dahulu. Mereka ini patut diubah tabiat belajar mereka.

 

Sunday, 25 March 2012

Psychosocial safety climate - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang kawan, memintakan aku menulis untuk dua hal. Satunya isu berkaitan dengan psychosocial safety climate (PSC) di Malaysia. Dan keduanya, kajian yang menggunakan diari.

Kali ini, aku cuma tulis hal PSC di Malaysia. PSC ialah satu teori baru berkaitan dengan persekitaran kerja yang memberikan keutamaan kepada aspek psikologikal dan kesejahteraan pekerja. Ia muncul tahun 2010. Tulisan pertama terbit ialah hasil karya Prof Maureen Dollard dan Prof Arnold Bakker. Tahun 2011 baru terbit 6 lagi kajian mengenainya, termasuk dua tulisan aku.

Tahun 2012, aku menerbitkan satu lagi kajian mengenainya.

Aku ada dua lagi artikel yang sedang dalam proses review bagi perkara ini. Satunya di sebuah jurnal besar dalam bidang kami, Personnel Psychology.

Sebenarnya, suasana pekerjaan di Asia ini adalah antara lubuk yang paling teruk - antara tempat yang banyak manusianya membunuh diri kerana kerja. Banyak faktor. Satunya, kita tidak mempunyai polisi pekerjaan yang baik seperti di Barat. Kesatuan sekerja kita juga tidaklah sebaik fungsinya seperti di negara maju. Majikan telah menjadi raja, dan pekerja menjadi hamba.

Bagaimana pun, apa pilihan yang pekerja ada? Dalam suasana ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, peluang untuk dibuang sangat tinggi, pengangguran yang ketara dan kemasukan pekerja asing yang banyak - sama ada kita kecewa dengan kerja atau tidak, kita terpaksa berkerja. Tidak ada banyak pilihan untuk kita.

Kalau kita lihat buruh binaan yang berkerja tanpa aspek keselamatan yang memadai, tanpa topi dan kasut keselamatan, berkerja juga walaupun tanpa adanya sijil kemahiran yang perlu, apalah sangat diharap dengan keselamatan psikologikal. Tidak ada siapa pun yang memandangnya. Lihat sahaja di lebuhraya, bagaimana masyarakat kita berkerja. Ada pekerja pemungut sampah melintas lebuhraya di celah-celah sibuk kenderaan. Mereka membersihkan rumput sambil menonggelkan pinggul ke arah jalan, tanpa ada papantanda.

Apa diharap dengan kesejahteraan psikologi?

Berapa banyak organisasi kita yang ada ahli psikologi atau kaunselor bagi membantu pekerja. Sangat sedikit. Kita hanya mementingkan kerjaya jurutera, akauntan, atau kerja-kerja lain yang boleh menghasilkan wang. Tidak ada siapa pun tahu apakah peranannya, ahli psikologi.

Sekiranya anda tertekan, bolehkah anda memberitahu majikan anda, anda sedang stress? Tidak boleh. Siapa mahu melayan anda. Mereka lebih bersimpati kalau anda diserang selsema, walaupun selsema tidak membawa mati. Bolehkah anda memberitahu mereka anda tertekan kerana konflik dengan rakan sekerja, atau kemurungan kerana memikirkan kemarahan pelanggan? Tidak. Anda cuma boleh memberitahu majikan anda satu perkara. Sama ada anda mahu terus berkerja atau berhenti.

Di agensi kerajaan, memang sesetengahnya ada kaunselor. Tetapi, menjadi satu masalah pula kalau pekerja bertemu dengan kaunselor. Mereka ini bakal di'cop' sebagai pekerja bermasalah. Lebih baik bertemu bomoh atau membeli MC. Orang tidak akan melabelkan anda apa-apa.

Sedangkan di Barat, sesiapa sahaja yang tertekan boleh merujuk kepada kaunselor. Malah pelajar juga boleh bertemu dengan kaunselor kalau tertekan.

Bagaimana di Malaysia? Apa yang anda tahu dengan peranan kaunselor. Tidak banyak. Orang lebih tahu kaunselor yang merancang hari kerjaya di sekolah, atau kaunselor yang melakukan kerja promosi kolej swasta. Itulah sahaja kerja yang kita tahu. Lebih teruk, sesiapa sahaja boleh menjadi kaunselor, asalkan pandai bercakap dan wajah sedikit tampan.

Jadi, apakah yang kita harapkan mengenai PSC di Malaysia? Adakah anda mengharapkan majikan akan melayan perasaan kerja anda?

Itulah jawapan aku untuk soalan si penanya tadi.

Friday, 30 December 2011

Update research

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kerja telah menggangu emosi manusia. Itu hakikat yang banyak dibincangkan dalam kajian-kajian akademik.

Bagaimana pun, realiti pekerjaan kita tidak ada sesiapa mengambil tahu mengenainya. Tidak ada sesiapa ambil peduli sama ada anda sakit atau tidak. Ia berlaku di setiap sudut negara sedang membangun. Punca utamanya lambakan pekerja dan kurangnya ruang pekerjaan.

Sama ada anda sakit atau tidak, masih banyak lagi orang yang sedang menunggu peluang.

Hari ini, aku mendapat email dari Ketua Editor - artikel aku terpilih dalam spotlight research untuk American Psychological Association.

Lihat di sini dan juga di sini.

Saturday, 19 November 2011

Psychosocial safety climate

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam aku menulis berkaitan hal 'safety climate'. Pada asasnya, bidang ini dipelopori oleh ahli akademik dari bidang kejuruteraan dan keselamatan pekerjaan. Sebab itu, bidang ini banyak mengkaji mereka yang berkerja di sektor pembinaan, keretapi dan pekerja off-shore.

Aku harap selepas ini aku dan Dr Ben dapat bergabung. Kalau tidak pun untuk penyelidikan, boleh bergabung bersembang di kedai kopi tajuk ini.

Dalam bidang psikologi, kami ada banyak konsep berkaitan 'climate'. Pada akhirnya, kajian mengenai climate ini boleh jadi - climate apa sahaja. kalau anda menggoogle, anda akan temui puluhan konsep climate. Ini adalah sebahagian dari bidang kajian aku.

Bidang spesifik aku ialah psychososial safety climate. Ia merujuk kepada sejauh mana organisasi memberikan keutamaan kepada kesejahteraan psikologi pekerja.

Kedengarannya agak pelik. Ia memang pelik dalam konteks kita. Sebab itu, di negara kita, kalau anda ingin meminta cuti sakit - kita perlu memberikan kesakitan sakit fizikal. Jarang kita diberi cuti sakit kalau kita mengadu stress atau murung.

Kita juga cenderung untuk mentertawakan orang yang memberitahu kesihatan mentalnya terjejas. Sebabnya, dalam definisi masyarakat kita - sakit hanya bersifat fizikal.

Kita juga jarang bertemu dengan pakar kalau dilanda kemurungan. Sebaliknya kita sanggup meredah kampung di pedalaman mencari bomoh Siam terbaik.

Dalam erti kata yang lain, tidak ada kesihatan psikologi dalam kamus hidup kita.

Di Barat, anda boleh meminta cuti sakit kalau dilanda stress. Anda juga boleh membuat tuntutan Work Cover (seperti Perkeso) kalau anda diserang sakit yang agak lama. Ini menunjukkan ciri-ciri psychososial safety climate. Budaya kerja yang memberikan keutamaan kepada hal-hal bersifat psikologi.

Di Malaysia tidak ada sesiapa pun yang peduli akan hal ini. Kita mungkin tidak tahu bahawa majoriti yang membunuh diri di Malaysia ialah para pekerja. Jarang orang yang sakit jantung akan bunuh diri, tetapi banyak mereka yang dilanda kemurungan.

Kita juga mungkin belum menyedari mengapa begitu banyak orang terlibat kemalangan di jalanraya semasa pergi dan balik kerja. Ia bukan semata-mata kerana jumlah kenderaan yang banyak atau jalan yang teruk.

Ia mungkin disebabkan oleh 'Cognitive failure'. Cognitive failure ini berlaku apabila kita hilang fokus kepada satu-satu perkara. Misalnya walaupun kita membaca, kita sebenarnya berfikir perkara lain. Ketika kita memandu, otak kita mungkin sedang berfikir hal kerja. Semua ini adalah hal-hal psikologi.

Puncanya mungkin dibawa dari tempat kerja.

Ini adalah antara bidang kajian aku sekarang.

Tulisan aku bagi hal ini antara yang banyak dibaca.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails