Yang Ikut

Showing posts with label depression. Show all posts
Showing posts with label depression. Show all posts

Friday, 29 October 2010

Mengapa remaja itu hilang?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebelum ini, aku telah menulis hal betapa masyarakat kita kian lama kian tidak senonoh. Kisah bagaimana orang Melayu begitu cepat percaya dengan hal aneh dan tidak masuk akal. Seorang anak gadis yang sakit - yang selalu hilang - telah dikatakan dilarikan oleh jin. Akhirnya, para bomoh yang hebat telah datang menolong menangkap jin yang jahat tadi.

Jin sudah tertangkap - tapi anak gadis tadi hilang lagi. Setelah bertahan selama 15 hari, kini anak gadis tadi dikatakan telah
dibawa lari jin ke Gunung Jerai. Penemuan anak gadis yang hilang itu di Negeri Sembilan menutup cerita jin tadi. Ia tidak dilarikan jin ke Gunung Jerai di Kedah, dia pergi dengan sendirinya ke Negeri Sembilan.

Sebenarnya itu sebahagian masalah orang kita - orang Melayu. Tatkala orang lain sudah lama ke bulan, kita masih berfikir dengan cara songsang. Tentu itu bukan kes tunggal anak remaja mengalami sakit kejiwaan. Mungkin ribuan lagi. Sayangnya, kita tidak pernah menganggap ia sebagai 'penyakit'. Sebaliknya, ia menjadi mangsa jin dan orang bunian yang jahat.

Bagi aku - anak gadis itu sebenarnya sakit. Pada hemat aku, dia sedang mengalami depression atau kemurungan.
Baca untuk tahu simptomnya. Puncanya mungkin pelbagai. Sebab itulah dia patut dibawa berjumpa dengan doktor, dan bukannya bomoh. Doktor akan menyelidik latarbelakangnya. Dia mungkin ada konflik dengan keluarga, atau ada hal yang berat yang tidak boleh diceritakan. Kita tidak tahu apa yang sudah berlaku dalam hidupnya. Mungkin juga ada trait personaliti tertentu - misalnya neuroticisme.

Semua ini akan hanya diketahui kalau dibawa berjumpa dengan pakar. Sayangnya, dalam masyarakat kita - kita ambil mudah banyak perkara tidak mudah. Kita tidak merawat apa yang patut diubat. Kita membuat kesimpulan dengan cara yang aneh - mungkin itulah cara paling mudah yang dapat kita lakukan. Kita juga takut bertemu dengan doktor, kerana nanti akan dilabelkan sebagai 'tidak betul'.

Mungkin juga - ada ahli keluarga atau sahabat anda yang mengalami simptom psikologi tertentu. Jangan cepat percaya dengan alasan karut yang selalu diberikan. Ingat, dalam dunia ini, setiap hari orang dilanda sakit psikologi - mungkin sama banyaknya dengan sakit fizikal.

Memang benar, kedatangan pakar tradisional telah menyebabkan anak gadis tadi tidak hilang selama 15 hari. Tetapi itu mungkin bukanlah kerana jin tadi sedang meronta di dalam botol. Anak gadis mungkin telah pulih semangatnya buat seketika apabila ada orang memberikan perhatian terhadapnya. Dia juga mungkin percaya bahawa rawatan itu kembali menguatkannya.

Tidak semestinya rawatan itu yang memulihkan semangatnya. Kepercayaannya itulah yang menyebabkan dia ceria buat seketika. Tetapi masalah utamanya belum selesai. Masalah utamanya ada dalam fikirannya. 'Masalah' utama itulah yang telah menghilangkan keceriaannya - yang menyebabkan dia selalu ingin mengasingkan diri dari orang ramai.

Apa masalahnya? Mungkin dia seorang yang tahu. Mungkin keluarga dan sahabat karibnya juga tahu. Kita tidak akan pernah tahu.

Anak gadis itu mesti diubati secara rasional.

Menangkap 1,000 ekor jin lagi pun belum menjamin dia tidak akan hilang lagi kalau lain yang sakit, lain yang diubat.

Wednesday, 28 October 2009

Contagion effects - ilmu baru yang patut anda tahu

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebagai menyambung Kempen MINGGU TANPA STRES


Anda pernah dengar istilah ini - "Contagion Effects"? Anda mungkin jarang mendengarnya, walaupun anda selalu melaluinya. Melainkan anda memang terdidik dalam bidang yang berkaitan dengannya.

Tahukah anda bahawa stres atau apa sahaja penyakit psikologi lain (misalnya kemurungan, kebimbangan) sebenarnya boleh dipindahkan kepada orang lain tanpa disedari. Seorang isteri yang tertekan di tempat kerjanya akan pulang ke rumah dengan muka masam, mulutnya bising-bising, dan tingkahlaku yang janggal. Hal ini dilihat oleh suami dan anak-anaknya. Mereka tidak berani untuk menegur melihat kepada wajah yang muram dan tingkahlaku yang pelik itu. Tanpa disedari, suami dan anak-anak di rumah juga menanggung stres.

Begitu juga - tatkala di pejabat. Ada rakan anda yang baru sahaja dimarahi pengurus. Mukanya masam. Mulutnya kumat kamit merungut. Dia menghentakkan fail. Dia bercakap dengan suara yang kasar. Anda di sebelahnya juga akan stres. Inilah yang kita namakan sebagai 'contagion effects'.

Kajian makmal yang dilakukan telah menempatkan seorang remaja normal dengan sekumpulan remaja yang ada kecenderungan membunuh diri. Selepas beberapa hari tinggal bersama, pelajar normal tadi diuji. Nampaknya dia juga akhirnya ada kecenderungan membunuh diri.

Ini hal pelik. Tapi kepelikan itulah yang menjadikan bidang psikologi itu muncul.

Jadi, sekiranya anda stres, cubalah sedaya mungkin yang boleh mengawal riak wajah dan perlakuan anda. Agar ia tidak menjangkiti teman-teman atau ahli keluarga anda. Kalau boleh, jangan menziarahi orang sakit pada saat anda sedang sangat tertekan. Ia tidak membantu mereka yang sakit. Bahkan, menambahkan kerunsingan mereka.

Anda pernah alami 'contagion effects'? Atau sekarang ini anda sedang memindahkannya kepada orang lain? Sebagaimana yang sedang aku lakukan untuk memindahkan tekanan yang aku hadapi kepada orang lain melalui tulisan-tulisan minggu ini!

Tuesday, 27 October 2009

Tekanan - tonik kejayaan manusia

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku diminta menulis sesuatu oleh group Lingkaran Sahabat Sastera bagi tujuan penyediaan majalah mereka. Jadi sesuai dengan khalayak pembaca, aku menulis dari sudut yang lain. Agar anak-anak muda yang membacanya tidak patah semangat dan putus asa. Aku tidak menggunakan 'aku' dalam tulisan ini. Minggu ini, blog ini akan berkempen - "MINGGU TANPA STRES'.

Stres atau tekanan selalu dilihat sebagai negatif. Kajian-kajian yang dilakukan juga cenderung untuk menukilkan tekanan sebagai sesuatu yang tidak diinginkan. Realitinya, stres tidak hanya menjelma sebagai satu konotasi buruk yang merosakkan. Pandangan ini mula dijelmakan dengan munculnya aliran psikologi positif
(misalnya, Seligman & Csikszentmihalyi, 2000, Schaufeli, 2004).

Bagi kebanyakan pelajar universiti, mereka menanggapi bahawa tekanan belajar adalah pengalaman buruk yang perlu dilalui setiap hari. Ia bermula sejak hari pertama lagi apabila pensyarah mula mendedahkan mereka dengan konsep baru yang tidak difahami. Dalam keadaan kebanyakan perkara masih lagi kabur, mereka kemudiannya ditimbunkan pula dengan tugasan yang bermacam-macam.


Ada tugasan yang bersifat individu, ada yang bersifat berkumpulan. Kedua-dua tugasan ini ada bentuk tekanannya juga apabila tidak semua ahli kumpulan berkerjasama, dan ada yang hanya sekadar
curi tulang. Tugasan individu mungkin mampu menangani masalah ini. Bagaimana pun, ia ada kelemahannya. Tidak semua perkara mampu kita fikirkan seorang diri. Kita juga perlukan orang lain bagi membantu menghasilkan laporan yang baik.

Peperiksaan - adalah kosa kata yang sangat digeruni. Ia dianggap sebagai
kayu sula yang menentukan hidup mati para pelajar universiti. Tidak ramai yang cuba menafsirkan bahawa peperiksaan adalah peluang untuk mereka membuktikan kepada orang lain - bahawa inilah padang sebenar untuk mereka menguji diri dan menunjukkan keupayaan.

Tidak ramai yang cuba melihat peperiksaan dari sudut positif. Hakikatnya, tanpa peperiksaan pun mereka akan diuji juga dengan cara lain. Jadi - pelajar tidak ada pilihan. Universiti itu sendiri adalah padang ujian. Setiap hari, setiap masa. Itulah yang membezakan manusia yang memasuki universiti dengan yang tidak. Itulah yang menjadikan lulusan universiti dihormati. Semakin besar ujian yang ada dalam sistem universiti, semakin kagumlah orang dengan graduan. Sebab itu, graduan Harvard, Cambridge atau Oxford ditanggap dengan pandangan lain oleh masyarakat - sekalipun orang yang menanggap itu tidak pernah pun belajar di universiti
.

Tekanan belajar - sebenarnya diperlukan. Manusia tidak boleh hidup tanpa tekanan. Tekanan itulah yang memotivasikan seseorang untuk bergerak lebih baik. Istilah-istilah baru yang muncul seiring dengan konsep tekanan seperti
engagement, flow, vigour atau thrive adalah bukti bahawa manusia sebenarnya memerlukan tekanan.

Tekanan inilah yang membolehkan seseorang terus duduk mengulangkaji buku tanpa menghiraukan rakan sekelilingnya. Tekanan inilah yang memaksa manusia berfikir secara inovatif bagi mendapatkan keputusan yang paling baik. Tekanan inilah yang menyebabkan manusia menemui teknologi baru yang tidak pernah difikirkan sebelumnya
.

Tanpa tekanan - ia mungkin akan menjadikan dunia ini serba kosong
.

Bayangkan - kita ke bilik kuliah tanpa tekanan. Tugasan yang diberikan juga tidak dianggap sebagai tekanan. Peperiksaan dianggap sebagai majlis tidak formal untuk menulis dan mengira sahaja.


Jadi - apa yang kita dapatkan? Kita mungkin tidak melakukan apa-apa pun. Ini hanya bakal menjadikan universiti seperti taman bunga untuk kita berehat dan berhibur. Hakikatnya tidak. Universiti adalah makmal kehidupan sebelum kita melangkah ke alam pekerjaan dan realiti hidup yang lebih keras dan menakutkan
.

Sebab itu - apabila anda berasa tertekan - anggaplah ia sebagai satu cabaran. Jangan melihat tekanan dari sudut yang negatif. Manusia pada setiap masa telah membelanjakan wang yang banyak bagi mendapat cabaran. Ada yang melakukan pelayaran solo di tengah lautan, ada yang melakukan payung terjun beribu kaki dari udara, atau ada yang berani merentas dingin cuaca Kutub Selatan. Semuanya hanya kerana bagi memuaskan naluri kepuasan mendapatkan cabaran.


Jadi - tatkala orang lain membayar harga yang mahal - para pelajar juga semestinya melihat proses pengajian mereka sebagai satu bentuk cabaran - yang boleh didapatkan setiap hari. Tidak semua orang berpeluang mendapatnya.


Menjadi masalah - ialah kerana tekanan yang dihadapi itu dilihat sebagai beban yang sangat besar. Mereka melihatnya sebagai tidak ada jalan penyelesaiannya lagi. Inilah yang menjadikan tekanan itu tidak berguna lagi. Inilah yang menjadikan tekanan sebagai merosakkan. Ada orang yang pada akhirnya mengalami gejala penyakit psikologi - seperti kemurungan, kebimbangan, dan ada juga yang membunuh diri.


Penyakit fizikal seperti lemah jantung, kencing manis dan darah tinggi juga adalah simptom yang dihadapi oleh mereka yang tidak mampu menangani tekanan dengan baik
.

Paling utama - ialah bagaimana minda kita mampu melakukan proses penyaringan dan penafsiran secara positif. Itulah yang bakal menjadikan tekanan itu sama ada membantu manusia untuk mencapai cita-citanya, atau bakal menyebabkan mereka tersadung di tengah jalan. Ingat - tidak akan ada seorang pun pemandu Formula One yang akan menjadi juara jika mereka tidak melihat pesaingnya sebagai tekanan. Kalau bukan kerana kesanggupan menghadapi tekanan pengurusan kelab, penaja dan peminat, tidak ada pemain bolasepak yang akan dibayar gaji jutaan ringgit seminggu.


Tekanan -bukan sekadar racun negatif. Tekanan - juga adalah tonik kejayaan manusia.

Stress - bersiap sedialah untuk mati

10 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Stress boleh bawa mati ke? Budak-budak universiti bertanya. Kami selalu stress, tak mati pun. Stress exam, stress assignment, stress experiment tak menjadi. Hari-hari kami stress. Relaks jer. Hari-hari boleh ke Rundle Mall. Celah-celah tu sempat lagi ke Melbourne jalan-jalan. Boleh balik kampung pergi Sogo, singgah Reject Shop. Sempat lagi dapat awek baru di kampung. Tak mati pun.

Itu stress lain. Itu bukan stress sebenarnya. Cuma pening lalat. Dalam setahun, hanya berapa kali sahaja budak universiti stress. Hantar assignment, legalah stress. Experiment tak jadi, godek-godek wayar sikit, manipulate data sikit, stress dah hilang. Budak sekolah pun sama juga. Cuma dua tahun sekali baru stress. Itu bila ada exam besar.

Tetapi - orang berkerja lain. Orang bisnis lagi teruk. Di kilang, hari-hari bos Jepun tanya, apasal tak capai target. Lalu depan superintendent, dia tanya lagi - 'kau tidur ke, tak reti jaga budak-budak'. "Apasal kau tak capai target'. Lalu depan budak-budak operator - Hari ini kami tak larat la. Besok la, kami pulun bagi dapat target"

Ada orang kerja, tak habis di ofis bawa balik rumah. Kadang-kadang jam 1 pagi masih melangut depan komputer. Dia lupa ada anak bini di rumah. Bila balik rumah, tengok-tengok suami dah bawa balik orang baru. Atau isteri dah lari ikut Bangladesh jual karpet. Waktu itu baru bertambah stress. Baru tahu langit itu selalu tinggi.

Orang bisnis lagi teruk. Surat bank dah boleh buat kertas recycle. Surat along jangan tanya lagi. Itu belum tahap customer cari depan rumah. Ada kereta yang kena tarik. Rumah kena sita. Anak kena culik. Pasport kena tahan. CITOS black-list nama. Hutang dah banyak. Nak pinjam lagi dah tak boleh. Kontraktor dah lari. Pekerja pula dah bising-bising nak minta naik gaji.

Sampai satu tahap, nampak bangunan bank pun dah terlebih takut berbanding nampak hantu langsuir. Tiap-tiap hari mimpi yang sama - hutang, hutang, hutang. Itu baru betul-betul stress. Bukan pening lalat lagi.

Stress sebenarnya tidak bawa mati. Yang bawa mati ialah kerana stress mengaktifkan penyakit lain. Stress --> darah tinggi ---> stroke ---> mati. Stress --->sakit jantung --->mati. Stress --->depression ---> terjun bangunan --> mati.

Sebab itulah, dalam statistik, kena pakai Amos. Ini bagi memudahkan mengira kesan mediator. Apa hubungannya di antara X dan Y dalam hubungan Z.

Inilah yang sebabkan stress bawa mati. Sebab itulah, jangan ingat stress macam bisul. Bisul cepat hilang. Stress boleh terbawa-bawa dalam mimpi. Makan lauk daging pun kadang-kadang terasa macam makan ikan tamban.

Adakah hanya orang berkerja sahaja stress? Tidak juga. Orang yang sepatutnya sudah berkerja, tetapi tidak ada kerja juga stress. Begitu juga orang yang berkerja tiba-tiba hilang kerja, itu lagi stress.

Anda stress? Kalau begitu, bersiap sedialah untuk mati!

Tuesday, 15 September 2009

Ini baru depression

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu yang stres.

Dua tiga hari ini mental tidak begitu stabil. Sejak Khamis lepas lagi. Ke universiti lewat, balik awal. Atau langsung tidak pergi. Sabtu dan Ahad lepas membungkus diri di rumah. Kelmarin pergi pejabat jam 11.30 pagi. Jam 1 tengah hari sudah ada di rumah. Hari ini langsung tidak. Terasa begitu meluat melihat kertas-kertas akademik yang banyak ini. Jadi, aku shiftkan pembacaan kepada perkara lain. Apa kata membelek cerita bola di www.goal.com atau www.uefa.com. Itu lebih baik waktu-waktu sebegini. Sekurang-kurangnya tahu juga yang Del Piero masih cedera, atau kenapa Diego Maradona hanya sesuai jadi penjual suratkhabar lama.

Sebenarnya ini simptom depression. Kita boleh rasa jika kadang-kadang kita terjaga di tengah malam, atau walaupun sudah siang kita sangat malas untuk bangun. Kita mungkin sudah terjaga. Tapi, rasanya tidak ada mood untuk melompat bangun dari katil. Terasa seperti diminta melancong ke Baghdad atau Kabul pula, walaupun sekadar diperlukan ke pejabat. Ini adalah simptom depression. Ia bukan burnout.

Aku harap, dalam sehari dua lagi mood aku akan datang balik. Hari ini sahaja aku sudah berselang-seli mundar mandir, membaca sehelai dua dan duduk di back-yard beberapa kali. Kemudiannya masuk balik ke dalam rumah.

Tapi aku tahu puncanya. Puncanya kerana aku kurang membaca untuk menulis artikel yang baru ini. Dan genapnya 2 tahun aku di sini pula sedang menakutkan aku betapa aku kian kekurangan waktu.

************************************************************
NOTA:

Depression dan burnout dapat dibezakan dengan melihat kepada tanda-tanda, atau simptom-simptom berikut:

Depression/kemurungan - hilangnya minat melakukan sesuatu, kurang atau bertambah berat badan, tidak dapat tidur (insomnia) atau terlalu banyak tidur, rasa gelisah, tidak mampu memberikan penumpuan terhadap sesuatu. Yang paling teruk - akan sampai ke peringkat berfikir untuk mati atau bunuh diri.

Burnout - hanya merujuk kepada kelesuan mental/emosi melampau, malas terhadap satu-satu pekerjaan, dan melihat sesuatu secara negatif.

Orang yang burnout masih boleh enjoy things (walaupun terasa sedikit letih), tetapi orang yang depression tidak. Dalam kata yang lain, orang yang depression berasa gagal, dan terasa sukar untuk membuat 'come-back'. Tetapi, tidak pula orang yang burnout.

Thursday, 13 November 2008

Psikologi orang gila

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda pernah gila? Tentu belum pernah dan harapnya jangan. Kita boleh memerhatikan orang gila, tetapi jangan suka-suka untuk jadi gila. Kalau begitu, bagaimana kalau kita ikuti kelas "Psikologi Lanjutan" di sini.

Gila' ini cuma istilah orang Melayu bagi menggarapkan semua jenis penyakit mental. 'Crazy' yang digunapakai oleh orang Barat tidak menggambarkan penyakit - ia hanya lebih kepada perangai yang kurang senonoh.

'Gila' yang kita tahu mungkin perlakuan aneh atau luar dari norma orang normal. Ayat yang paling mudah ialah tidak betul atau 'disorder'. Orang yang sakit sebenarnya mungkin mengalami 'depression disorder' - (murung, sedih, gelisah), 'obsessive compulsive' (berulang-ulang atau was-was), split personality, schizophrenia dan macam-macam lagi.

Apa agaknya soalan yang ditanya orang gila. Soalannya mungkin begini:-
a) Katakan satu 'ruang' dipindahkan ke tempat yang lain, apa akan berlaku kepada ruang yang asal tadi?
b)Tuhan menjadikan manusia baik dan buruk, kenapa pula ada orang yang jahat dihukum neraka, dan orang baik dimasukkan ke dalam syurga. Sedangkan semuanya Tuhan yang menjadikan.
c) Kita ada empat mazhab - manakah yang paling benar. Mustahil semuanya benar dan perlu hanya satu yang betul.

Hah. Jangan jawab semua soalan ini menggunakan akal (Nota: jawapannya ada di bawah). Nanti anda juga akan dilanda penyakit 'gila'. Soalan ini sebenarnya ialah soalan-soalan orang gila yang bukan dialami oleh mana-mana pesakit psikologi, tetapi yang telah menimpa aku sendiri pada tahun 2000. Selama hampir setahun juga keceramukan ini melanda diri. Dua bulan pertama paling serius, lama kelama-lamaan hilang sendiri.

Apa simptom orang gila ni? Macam-macam. Antaranya:-
a) Tidak mahu makan - bukan tidak lalu makan. Sebabnya mahu cepat mati agar mendapatkan semua jawapan tadi.
b) Susah untuk tidur malam - dan kalau tidur pun akan terjaga di tengah pagi. Biasanya tidur diganggu oleh mimpi ngeri atau 'mengilhamkan' soalan-soalan gila yang lain.
c) Suka untuk terus tidur di waktu pagi dan tak mahu bangun-bangun. Sebab utama, kalau kita bangun kemungkinan besar kita terpaksa berfikir dengan soalan-soalan yang gila tadi.
d) Dada berdebar-debar, gelisah - lebih teruk dari ketika berada di depan pintu dewan peperiksaan. Walaupun teori mengatakan kita berdebar-debar kerana gelisah, tetapi realitinya berdebar-debar itu datang dahulu sebelum gelisah. Jadi kita sudah tahu yang soalan-soalan pelik tadi akan datang sejurus selepas kita berdebar-debar. (Ini pasti kerja Syaitan - istilah yang tiada dalam psikologi Barat baik Carl Jung, Sigmund Frued, etc.)
e) Murung - sebab banyak sangat soalan yang hendak difokuskan. Biasanya kita tidak melayan soalan yang mudah. Kalau berbual dengan orang pun, ia hanya lakonan. Fikiran kita sebenarnya terus menaakul soalan 'besar' kita sendiri.
f) Menangis - sebabnya kecewa - berkemungkinan kita termasuk dalam kelompok orang berdosa dan akan dihukum Tuhan.
g) Berjalan sambil bercakap sendirian atau membuat satu pusingan - sebabnya kita cuba mencari sesuatu yang 'unexist'. Sebab itu banyak orang gila banyak berjalan-jalan - mungkin sebab tak menjumpai apa yang ingin dicari.

Ketika sakit tu sangat teruk - terasa ingin hendak mati - pukul 12 malam - aku pergi berjumpa dengan seorang alim di kampung aku. Ingin bertanya soalan-soalan pelik tadi. Umurnya dah 70-an masa tu. Dua tahun lalu sudah kembali ke Rahmatullah. Soalan pertama yang dia tanyakan dalam bahasa Kedah "hang mengaji apa?" Aku jawab, 'psikologi'. Masa tu badan aku dah jadi pucat lesi. Rasa berdosa sangat. Dia jawab balik , 'Oh. Baguihlah. Nak jadi doktor jantung, kena sakit jantung dulu... baru tau macam mana rasa'.

Dia pun jawab soalan-soalan tadi b) dan c). Soalan a) lebih merupakan soalan ahli fizik. Tak payah ditanya kepada beliau.

Soalan b)Sebagai pembeli ikan, adalah hak kita sama ada untuk menggoreng, memasak, membuang ke dalam tong sampah atau apa sahaja yang patut kita lakukan terhadap ikan. Ikan tiada hak untuk bertanya. Hak ikan hanya berenang di dalam air. Moralnya:-kerja seorang hamba (ikan) ialah membuat apa yang diperintahkan Tuhan. Bukan hak hamba untuk bertanya di mana tempatnya di akhirat nanti. Akan begitu, Tuhan sudah berjanji akan memberikan kebaikan kepada orang yang membuat baik.

Soalan c) Semua mazhab adalah betul. Pilihlah salah satu daripadanya dan beramal dengannya. Dan satu lagi pesannya, 'beritahu kepada Syaitan di sebelah kiri hang tu...semuanya betul."

Sebenarnya banyak lagi soalan-soalan lain yang tak sesuai dibincangkan di sini. Isu utama bagi semua sakit mental ialah soal 'jiwa'. Dan ubat utamanya juga ialah mengubat jiwa. Macam mana nak ubati jiwa ni?

Aku bersyukur sekurang-kurangnya 'sakit' itu menambah lagi korpus ilmu dunia psikologi. Sebagaimana sakit mental bukan satu permintaan untuk sesiapa pun, ia juga bukan satu bentuk pembelajaran praktik yang diinginkan di bilik kuliah psikologi bilazim.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails