Yang Ikut

Showing posts with label personaliti. Show all posts
Showing posts with label personaliti. Show all posts

Thursday, 28 October 2010

Siri Mengenal Diri - Part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Secara umumnya, manusia mempunyai sifat yang hampir sama dalam banyak hal. Ia adalah sesuatu yang bersifat sejagat. Senyum, ketawa, gembira, sedih dan sebagainya adalah milik semua manusia. Dalam setiap budaya, cara orang dewasa berinteraksi dengan kanak-kanak kecil sama sahaja. Jarang orang menunjuk wajah ngeri apabila berinteraksi dengan anak-anak kecil.

Jadi, apakah hal yang menjadikan kita ini berbeza. Kita gembira, orang lain juga ketawa. Kita bersedih, orang lain juga bersedih.


Yang membezakan kita dengan orang lain ialah - kita mempunyai 'teras' - core - sifat tertentu, dan orang lain mempunyai teras sifat yang lain. Ada orang yang cepat marah hanya kerana perkara yang kecil, ada orang yang tidak kisah pun sekalipun dicerca orang. Orang seperti Mbah Maridjan tidak juga berpindah sekalipun tahu gunung berapi akan meletus. Mbah Maridjan mungkin ketawa seperti kita. Juga mungkin bersedih seperti kita. Tetapi keberaniannya, atau mungkin juga tekal dengan pandangannya sendiri adalah personaliti yang menjadi teras miliknya. Itulah yang membezakan satu manusia dengan manusia lain. Ada sifat yang dimiliki semua orang, ada yang tidak.

Apakah 'core' personaliti anda? Anda mungkin tahu, tidak tahu bagaimana menghuraikannya. Tetapi, itulah diri anda. Orang lain mungkin tidak sebijak anda bagi menghuraikan siapa diri anda.

Siapakah pula yang dikatakan manusia? Ada dua pandangan utama dalam hal ini. Ada yang menyatakan bahawa manusia itu ialah makhluk yang rasional. Setiap tindakan dan perlakuan kita diasaskan kepada pertimbangan tertentu. Dalam kata lain - ada timbang tara yang menjadikan tidak semua perlakuan atau sifat yang kita zahirkan. Kita mungkin berasa ingin marah. Tetapi dalam keadaan tertentu, kita terpaksa melupakannya.

Pandangan yang lain - menyatakan manusia ini mempunyai naluri seperti binatang. Tindakannya sama seperti binatang - yakni untuk survival. Kita mungkin kurang bersetuju. Bagaimana pun, cuba kita perhatikan mengapa orang telah membunuh begitu banyak manusia dalam peperangan. Kalau orang bersifat rasional, orang tidak membunuh orang lain. Banyak juga para peragut yang sanggup membunuh pejalan kaki hanya untuk mendapatkan beberapa ringgit sahaja. Kes pembunuhan korporat wanita di ladang kelapa sawit - adalah antara berita terbaru membuktikan bahawa pandangan ini betul.

Tetapi apakah yang mendorong perlakuan kita. Adakah kerana faktor luaran, atau kerana apa yang sedia ada dalam diri kita? Adakah orang merompak kerana wang, atau orang yang menyamun itu mempunyai personaliti tertentu. Tidakkah personaliti boleh diubah?

Kita sambung.

Wednesday, 27 October 2010

Siri mengenal diri - Part 1

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita kembali dengan siri kuliah psikologi. Kali ini kita bincang berkaitan personaliti manusia.

Setiap hari kita melihat diri sendiri. Kita juga melihat orang lain. Begitu juga dengan orang lain. Mereka melihat diri mereka. Mereka juga memerhatikan gerak geri kita. Kita selalu bertanya, mengapa kita berbeza? Bukan sahaja kita dengan orang lain, di kalangan adik beradik kita pun, ibu atau ayah kita selalu berkata bahawa anak-anaknya itu berbeza. Setiap orang ada perbezaan tersendiri.

Ayat yang selalu digunapakai dalam psikologi - yang selalu anda dengar juga - nature vs., nurture. Adakah personaliti manusia ini terbentuk secara semulajadi atau disebabkan faktor persekitaran? Kalau begitu - siapakah yang patut kita persalahkan kalau ada personaliti kita yang tidak betul? Mungkin kedua-dua ibu bapa kita. Merekalah yang mewariskan genetik kepada personaliti kita itu. Mereka jugalah yang menyediakan persekitaran dalam kehidupan kita.

Dikatakan manusia berbeza dalam hal tertentu kerana fungsi otak (untuk pembaca yang ada asas fisiologi: baca frontal cortex dan limbic system) yang diwariskan melalui genetik. Sebab itu, ada orang yang mempunyai sifat takut, ada yang tidak. Begitu juga dengan sifat malu.

Persekitaran pula menyumbangkan sama ada meneguhkan atau mengurangkan hal ketakutan ini. Anak-anak yang diasuh di tadika misalnya, yang terdedah dengan banyak kanak-kanak lain didapati semakin berkurang rasa malunya, dibandingkan dengan anak yang diasuh di rumah. Ini cuba menunjukkan bahawa persekitaran juga menyediakan asas penting dalam pembinaan personaliti manusia.

Sebab itu - apabila anda mengasuh anak - jangan takutkan mereka dengan hantu puchong kalau mereka tidak mahu tidur malam. Carilah alasan lain yang lebih wajar. Sebab itu banyak cerita hantu lebih banyak muncul di kampung-kampung. Itulah modal yang selalu digunapakai bagi menidurkan anak. Apabila anak ini besar, cerita hantu ini terus dibawa dalam hidup sekalipun mereka hanya melihat plastik putih yang terbang dibawa angin di waktu malam. Di Australia ini - jarang orang bercakap fasal hantu. Di mana pun kita berjalan, kita tidak pernah membayangkan akan ada hantu muncul di depan kita.


Jangan juga malukan mereka. Misalnya kalau ada budak lelaki berkawan dengan budak perempuan - dan kita berkata: "oo..nak kahwin ya". Ini membuatkan mereka menjadi pemalu. Kita tidak tahu apa personaliti yang ada dalam genetik mereka. Cara kita mendidik mungkin akan memperteguhkan sifat yang tidak elok.

Bagaimana pun, dalam beberapa tahun terakhir ini - ada pandangan baru. Pandangan ini menyatakan kedua-dua fator genetik dan persekitaran saling bergantungan. Pengalaman yang kita lalui mengaktifkan mekanisme genetik yang sedia ada dalam diri.

Itulah yang membentuk diri kita.

Tuesday, 29 December 2009

Tahun berubah, adakah manusia berubah?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahun 2010 bakal mendatang. Umur anda akan bertambah. Umur kita semua akan berubah. Adakah kita akan berubah? Ini bukan persoalan sama ada anda akan berubah menjadi kaya, atau bertambah miskin. Juga bukan pertanyaan sama ada anda akan bertambah alim, atau bertambah jahil.

Kali ini kita berbincang hal psikologi personaliti. Kita mulakan soalan sama ada personaliti manusia akan berubah dengan perubahan umur?

Banyak pandangan mengenai hal ini. Ada yang berkata bahawa personaliti manusia kekal tidak berubah. Ada yang berkata bahawa dengan perubahan umur, personaliti manusia akan mengalami perubahan.

Salah satu pandangan yang masyur dalam personaliti manusia ialah Big Five Personality. Anda boleh menggogle kalau anda berminat dengannya. Dikatakan bahawa manusia itu dilahirkan dengan beberapa type personaliti. Kita akan dominan dengan salah satu daripadanya:

i) Neuroticism (N)- Orang yang tinggi dengan personaliti jenis ini biasanya mempunyai emosi yang tidak stabil, bimbang, rasa tidak selamat, celaru dan seumpamanya. Orang yang rendah personaliti ini pula lebih tenang, rasa selamat dan relaks.

ii) Extraversion (E) - Orang yang suka bersosial, suka bercakap, mementingkan manusia, optimis dan sebagainya. Sebaliknya, mereka yang rendah type ini lebih menyendiri, pendiam dan mementingkan tugas.

iii) Openess (O) - suka meneroka, kreatif, berimaginasi, minat yang pelbagai dan tidak tertutup. Sifat terbalik untuk personaliti ini ialah tertutup, konvensional, kurang analitikal, tidak mempunyai pandangan luas dan sebagainya.

iv) Agreeableness (A)- Orang jenis ini lebih berhati lembut, suka memaafkan, menolong, lebih dipercayai dan berterus terang. Ia berbeza dengan sifat yang terbalik dengannya, lebih sinikal, ragu-ragu (suspicious), tidak dapat memberikan kerjasama, suka memanipulasi dan sebagainya.

v) Conscientiousness (C) - manusia yang berorganisasi, kuat berkerja, disiplin diri yang kuatbercita-cita tinggi dan sebagainya. Sifat yang bertentangan dengannya ialah tiada matlamat hidup, malas, lalai, suka berfoya-foya dan sebagainya.

Apa sifat anda? Anda sendiri yang tahu mengenai diri anda. Anda mungkin memiliki beberapa personaliti ini. Bagaimana pun, ia akan bergantung kepada sama ada anda tinggi atau rendah bagi personaliti tertentu. Itu sahaja.

Walaupun sering dikatakan "the child is father of the man" - atau dalam erti kata lain, manusia dilahirkan dengan personaliti tertentu - yang dibawakan langsung oleh biologi, tetapi kelihatannya personaliti manusia berubah juga.

Mungkin ada trait tertentu yang dibawa sepanjang hayat, tetapi kajian menunjukkan bahawa personaliti manusia hanya kekal dalam jeda masa yang pendek, tetapi dalam tempoh yang panjang ia boleh mengalami perubahan.

Personaliti juga kelihatannya lebih stabil apabila kita semakin meningkat usia, berbanding ketika kita remaja. Kajian-kajian misalnya mendapati manusia berusia muda lebih cepat pemarah berbanding dengan orang yang berumur, yang lebih cool dan relaks. Remaja belasan tahun dan awal 20-an misalnya dikatakan lebih beremosi, memberontak dan sebagainya. Tetapi, dengan peningkatan umur, personaliti manusia kelihatannya beransur berubah.

Satu kajian ke atas kumpulan wanita telah dilakukan pada tahun 1960 di California, dan ia diulang lagi ke atas kumpulan yang sama pada tahun 2000. Didapati bahawa kumpulan ini mengalami perubahan pada personaliti A dan C. Ini membuktikan bahawa sifat manusia berubah dengan pertambahan umur.

Adakah anda sudah berubah? Adakah rakan-rakan anda juga sudah berubah?

Sebab itu, kadang-kadang apabila berjumpa dengan teman-teman lama, kita cuba menegur mereka dengan membuat lawak bodoh seperti zaman kita masih bersekolah. Malang sekali, mereka memandang kita dengan cara yang aneh sekali, menjadikan kita kelihatan sangat bodoh. Kita sangka mereka masih orang yang sama. Nampaknya tidak.

Ada pula yang sejak kita kenal mereka dari sekolah rendah, sampai kita dewasa dan beranak-pinak, cara mereka melayan kita masih seperti dulu. Masih menunjukkan sikap brutal dan tanpa skema. Kita anggap ini manusia hebat apabila masih boleh menyepak punggung mereka sekali dua walaupun mereka sudah menaiki BMW dan berbini cantik. Ini sahabat sepanjang zaman yang mungkin tidak banyak yang kita miliki lagi.

Ada pula sahabat kita yang tidak mengalami perubahan. Masih cool dan blues. Tetapi kita pula yang berubah menjadi sombong, berasa besar diri dan hebat sangat. Walaupun gaji bulanan yang kita perolehi hanya RM 1400 - tidak cukup pun untuk membeli seekor kerbau jantan.

Jadi jangan marahkan sahabat anda, atau diri anda - tetapi itu mungkin sebab perubahan personaliti. Kita harus bersangka baik.

Jadi kita tunggu tahun 2010. Adakah kita akan berubah. Adakah orang sekeliling kita juga berubah.

Aku? Aku tetap semacam ini.

Saturday, 7 November 2009

Mengapa aku memilih psikologi?

34 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya tidak ramai yang tahu mengapa seseorang itu menjadi psychologist, clinical psychologist atau kaunselor. Ketiga-tiga bidang ini sepertinya mirip, tetapi berbeza. Jadi aku ceritakan bagaimana semuanya bermula.

Aku tidak pernah berangan-angan untuk menjurus dalam bidang ini. Tamat tingkatan 5, aku sepatutnya memasuki politeknik. Tetapi waktu itu, kehidupan aku sangat susah. Memang susah. Hasni tahu hal itu. Aku sepatutnya memasuki bidang kejuruteraan awam di Poleknik Sultan Abdul Halim. Tetapi, kerana aku sangat pening untuk mencari wang RM 500 membayar yuran pendaftaran, aku tidak jadi mendaftar.

Aku teruskan memakai baju putih dan seluar hijau, memasuki Tingkatan 6. Sebenarnya tidak. Aku sebenarnya ingin berhenti sekolah waktu itu kerana ada seorang kawan cuba menggoda aku untuk kerja di Kuala Lumpur. Aku beritahu hasrat untuk berhenti. Emak aku tidak setuju. Jadi aku sambung juga Tingkatan 6 tanpa minat. Setiap Rabu, aku tidak pergi sekolah. Aku ingat sangat hari itu - kerana hari itu ada pasar malam di Changlun.

Aku malas banyak sebab. Satunya kerana wang tidak banyak. Masa itu pun aku sudah tegar hisap rokok. Sudah dapat lesen. Jadi susah juga kalau aku bersekolah lagi. Usia aku waktu itu pun bukanlah muda sangat. Tentu tak sesuai minta duit lagi dari orang tua. Nasib baik Bento ada kerja dan bantu aku. Banyak duit dia aku pakai (nanti aku update berita terkini Bento).

Habis tingkatan 6, aku masuk universiti. Aku pun tak sangka akan lulus. Itu memang rahmat Tuhan. Aku ditawarkan bidang Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan di UKM. Kami diberi 3 bidang pada tahun pertama. Aku belajar sejarah, sains politik dan psikologi. Sebab aku diberi bidang psikologi ialah kerana aku dari aliran sains ketika tingkatan 4 dan 5 dahulu. Aku juga diberikan bidang sejarah dan sains politik mungkin kerana ketika tingkatan 6, aku dapat A dalam sejarah, dan B dalam pengajian am.

Bagi mereka yang bukan dari aliran sains pada peringkat SPM, mereka tidak diberikan peluang untuk mengambil bidang psikologi. Waktu itu bidang psikologi masih lagi berteraskan aliran tingkahlaku. Masih bermain-main dengan tikus. Juga perlu membedah tikus sebagai asas fisiologi. Dalam bidang psikologi juga, terlalu banyak kertas statistik perlu diambil. 4 atau 5 kertas, aku sudah lupa. Mungkin kerana itu, universiti lebih cenderung dengan pelajar dari aliran sains.

Selama 4 tahun di universiti, kami belajar pelbagai subjek psikologi. Ada yang aku pandai, ada yang tidak. Aku mungkin agak bagus dalam psikologi sosial dan personaliti. Tetapi, aku tidak pernah sekalipun mengambil subjek kaunseling. Aku tidak berminat. Entah mengapa. Kelihatan agak wanita agaknya.

Pada tahun akhir, UKM sedang baru menawarkan bidang sarjana Psikologi Klinikal. Sesiapa yang memohon waktu itu, tentu akan ditawarkan - kerana jumlah pemohon masih kecil. Aku tidak tahu mengapa aku tidak memohon. Mungkin sebab aku sibuk dengan kerja teh tarik di Kajang, atau sibuk dengan kerja di Sony.

Tetapi, kemudiannya aku memohon bidang sarjana psikologi sosial. Aku memohon kerana minat. Aku tidak kisah pun sama ada bidang itu mempunyai permintaan kerja atau tidak. Aku tidak pernah belajar kerana untuk kerja.

Rupa-rupanya, aku ditawarkan bidang lain. Bidang psikologi industri dan organisasi (IO). Ada juga panggil Psikologi Pekerjaan. Sebab, yang memohon bidang psikologi sosial cuma beberapa orang sahaja. Aku tidak tahu siapa orang lain itu. Aku sebenarnya tidak berminat sangat dengan bidang IO ini kerana ia agak teknikal, bukan terlalu psikologi. Ia berkisar dengan latihan, temuduga, penilaian prestasi dan banyak berkaitan dengan sumber manusia. Bagaimana pun, beberapa subjek teras psikologi masih ada. Tetapi, sebab tidak ada pilihan lain, aku terima juga.

Adakah bidang-bidang ini berbeza? Sebenarnya banyak lagi bidang psikologi lain. Ada yang hanya mengkhusus dengan perkembangan manusia, ada pula yang menjurus dengan aspek klinikal. Ada juga psikologi pendidikan atau psikologi kognitif. Walaupun asasnya sama, tetapi jurusan itulah yang membezakan kami semua. Psikologi klinikal mungkin lebih mirip kepada bidang psikitiari, walaupun berbeza. Bidang IO mungkin bertindih sedikit di antara psikologi sosial dan sumber manusia, tetapi dari pendekatan berbeza.

Sebab itulah - sekarang ini aku di sini. Kerana aku dari aliran sains sekolah menengah, dan kemudiannya ada sarjana IO, maka aku perlu melakukan kajian stres di tempat kerja. Bidang aku sekarang sebenarnya lebih kepada psikologi kesihatan dan psikologi organisasi.

Di Barat - banyak lagi bidang psikologi lain yang tidak ada di Malaysia. Antaranya psikologi forensik dan psikologi politik. Apa pun, kalau aku ada pilihan, aku mungkin bergelar social psychologist, atau setidak-tidaknya mendalami bidang psikologi personaliti. Aku pernah mengajar sekejap di Fakulti Sains Kesihatan, UKM dalam bidang psikologi personaliti beberapa tahun dahulu.

Semua ini bermula hanya kerana emak aku tidak setuju kalau aku berhenti sekolah di Tingkatan 6. Benar kata orang, orang tua akan lebih jauh pandangannya dari mata kita yang muda. Terima kasih mak.

Friday, 24 April 2009

Membelek sejarah lama

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pagi ini awal-awal lagi aku dah sampai pejabat. Belum ada manusia lagi. Aku terfikir, apa yang sebenarnya membentuk personaliti manusia? Aku cuba telesuri balik sejarah silam aku 37 tahun lalu.

1972 - aku dilahirkan
Di antara tahun 1972-1980, tidak banyak lagi ingatan yang aku simpan.
Yang aku ingat, semasa aku kecil dulu, emak dan bapa aku selalu bawa aku pergi bendang atau masuk hutan. Kadang-kadang ikut emak cari rebung. Kadang-kadang ke sungai mencari ikan.

Kalau aku menangis, biasanya akan diusik dengan musang akan datang. Arwah abang aku lain pendekatannya. Pernah sekali, di tengah malam gelita, dia bawa aku di ke hujung bendang. Kemudian tinggalkan aku seorang diri. Tiada manusia di situ. Lepas itu, dia bekalkan aku dengan lampu 'torch light'. Memang aku berhenti menangis. Takut hantu. Lepas itu balik sekonyong-konyong ikut belakang abang aku dari jauh.

Personaliti yang aku wariskan - aku suka cari rebung sampai sekarang. Minat juga cari ikan sungai. Pernah ambil cuti semata-mata nak balik kampung cari rebung. Sifat lain, suka menakutkan budak-budak kecil. Dah jadi hobi sekarang ini.

1980-1990
Zaman sekolah. Jumpa kawan-kawan. Baik dan jahat. Mula membaca Dewan Sastera. Minat baca sajak. Novel kadang-kadang aku baca. Baca 'Hujan Pagi" - A. Samad Said. Sampai sekarang aku tak faham. Karya 'Keluarga Gerilya' - Promoedya Ananta Toer yang paling hebat. Orang lain pun patut baca juga. Jangan sekadar baca jurnal tikus (nota untuk Aini). Tapi kalau baca novel Tikus Rahmat - Hassan Ibrahim bagus juga. Minat lain - lagu rock kapak. Lagu-lagu Ebiet G.Ade.

Sekarang yang membentuk hidup aku - minat bahasa. Tapi membaca novel aku tidak minat lagi. Jangan juga mengupah aku membaca URTV, Mangga dan sealiran dengannya. Waktu muda pun aku tak baca, apatah ketika umur sekarang.

1991-2001
Masuk universiti.
Otak membuka sedikit. Tetapi masih serabut. Cuma ada sehelai seluar slack ketika baru masuk masuk universiti. Yang banyak ada cuma seluar jeans. Rambut pun tak pernah bersikat. Banyak panjang dari pendek. Ke universiti pakai selipar. Naik Honda 70 cabuk. Pernah staff aku terjumpa kad matrik dalam kereta aku, dia terkejut besar tengok gambar aku. Betul ke aku ni?

Bila aku kahwin, isteri aku ubah habis watak aku. Dia beli banyak baju dan seluar kemeja. Ada 5 tali leher. Ada blazer semua cukup. Lagi pun masa itu dah kerja. Tapi, semasa aku masih bujang, pergi kerja pun aku cuma pakai kasut tanpa stokin. Bila aku dah mula handsome, isteri aku pula mula bimbang!

Personaliti yang kekal - sama juga. Tetap serabut. Cuma bila aku jumpa orang-orang VIP sahaja aku pakai smart sikit.

2002-2009
Masa itu kerja pun sudah naik darjat sikit. Sudah jadi boss kecil. Tapi masih kuli. Sebab kerja dengan orang. (Azam Swinging Bowl baru boss betul). Banyak bersosial dengan manusia. Belajar bodek dan ampu. Kadang-kadang ada orang lain yang ampu kita juga. Bolehlah masuk kategori kuli, atau boss besar pun. Orang kampung pun boleh, orang bandar pun tak kisah sangat. Hujung 2007 - bila datang Adelaide, jadi student balik - personaliti lama muncul balik.
SERABUT

Jadi aku rasa, ada personaliti yang boleh kita ubah, ada yang tidak. Banyak personaliti kita ini hanyalah topeng pura-pura. Realitinya ialah apa yang ada dalam diri kita, dan siapa yang membesarkan kita. Yang lain-lain itu banyak dilakonkan. Kita jadi pelakon yang tak berbayar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails