Yang Ikut

Friday, 30 April 2010

Siri kuliah psikologi II - agressive shooting behaviour

Reactions: 
Kita telah mengetahui sedikit sebanyak berkaitan 'working memory' - WM dalam tulisan lalu. Hari ini kita bincang adakah WM mempengaruhi 'agressive shooting behaviour' - atau 'tingkahlaku langsang menembak'.

Sebenarnya - kejadian pihak penguatkuasa tersalah tembak orang awam bukanlah perkara baru. Ia dilaporkan dalam banyak laporan. Antaranya seorang kulit hitam yang tidak bersalah telah ditembak oleh polis kulit putih di Amerika tahun 1999. Juga dilaporkan bahawa ada kecenderungan untuk menembak banyak berlaku dalam situasi persekitaran budaya masyarakat yang tidak selamat dan banyak jenayah.

Dalam kes pemuda kulit hitam tertembak mati - ia berkemungkinan berlaku kerana otak menggelintar dengan teruk. Orang kulit hitam sering dikaitkan dengan jenayah. Otak mungkin perlu memproses banyak hal termasuk prejudis yang mengaitkan jenayah orang kulit hitam. Dalam persekitaran yang banyak jenayah - otak kita juga mungkin terpaksa memproses banyak maklumat lain. Ia memproses situasi bahaya yang terpaksa dihadapi.

Bahasa yang mudah untuk difahami orang awam - kalau anda ke masjid, anda berasa tenang kerana anda tahu tiada siapa yang akan memeras ugut anda. Ia berbeza kalau anda berjalan di Lorong Haji Taib - ada seolah-olahnya hal yang tidak kena. Ada ancaman di situ. Inilah pekerjaan WM memproses situasi.

Semua ini adalah proses membuat keputusan - yang diasaskan oleh WM. Dan semua kejadian tersalah tembak ini dimasukkan dalam kategori 'agressive shooting behaviour'.

Berasaskan kepada andaian ini Kleider & Parrot (2009) membuat satu kajian berkaitan dengan tindakan agressif menembak. Mereka membuat kajian makmal. Orang yang tinggi dan rendah WM diukur dengan satu ujian yang ditadbir komputer. Subjek kajian ditunjukkan slide menunjukkan orang yang memegang senjata - sebagai bahaya, dan orang yang tidak - sebagai tidak bahaya. Kerana slide ini diubah-ubah secara pantas, subjek kajian juga perlu membuat keputusan dengan cepat sama ada menekan butang 'tembak' atau 'tidak menembak'.

Apa hasilnya?

Didapati orang yang rendah keupayaan WM mengambil keputusan untuk menembak. Ia bukan berlaku secara automatik - tetapi pada peringkat kognitif. Keputusan untuk menembak juga tidak membezakan sama ada keadaan itu terancam atau tidak. Walaupun tidak terancam, mereka menembak juga.

Sebaliknya, ini tidak berlaku kepada orang yang tinggi WM.

Apa yang anda faham dari kajian ini? Apa yang cuba anda simpulkan dari kejadian-kejadian tersalah tembak.

Pada masa depan - bagi agensi yang berkaitan, selain lulus akademik atau ujian fizikal, seseorang yang akan diterima berkerja patut juga lulus ujian WM. Ia melibatkan hal dalam otak. Hal pemprosesan maklumat dan membuat keputusan.

Kerana tugas polis berbeza dengan pekerjaan lain, yang setiap hari berhadapan dengan bahaya, autoriti dan 'suspicious' - pemprosesan maklumat pada akhirnya ibu kepada segala tindakan.

Kuliah tamat. Sedikit sebanyak anda juga tentu faham apakah kerja ahli psikologi. Mereka bukan hanya ingin mendengar masalah rumahtangga, mereka juga berminat dengan banyak hal masyarakat lain.

Rujukan

Kleider, H.M & Parrott, D.J. 2009. Aggressive shooting behavior: How working memory and threat influence shoot decisions, Journal of Research in Personality, Vol. 43.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails