Yang Ikut

Monday, 26 April 2010

Berakhirnya satu perang

Reactions: 
Tahniah kepada calon MIC kerana menang pilihanraya Hulu Selangor. Jangan bersedih pula untuk calon PKR yang tewas.

Inilah politik. Anda boleh berkata apa sahaja. Sesiapa sahaja boleh menganalisis. Hakikatnya, begitulah hasilnya. Politik adalah seni tempur. Pilihanraya adalah medan peperangan. Segala taktik perlu digunakan - yang baik dan yang buruk - kerana dalam peperangan orang hanya inginkan kemenangan. Tidak ada orang mahu seri. Apatah lagi inginkan kekalahan.

Kemenangan ini mungkin sedikit sebanyak mengubat luka moral BN yang telah mengalami kemerosotan, khusus sokongan golongan muda. Sebagaimana rakyat dibelai penuh manja sebelum pilihanraya - dengan bantuan dan lawatan, dengan penyelesaian kaedah segera dan kebajikan - hendaknya itu juga yang akan diberikan selepas pilihanraya. Jangan tunggu 3 atau 4 tahun lagi.

Untuk PKR - inilah masanya memperbaiki diri. Terlalu banyak 'politiking' adakalanya merosakkan politik. Gejala melompat parti - menjadikan PKR parti diragui. Ahli politik PKR tidak dilihat sejujur dan seteguh ahli PAS atau DAP. Mereka mungkin sukakan PKR, tetapi ragu-ragu kalau ahli politik itu kemudiannya menjadi anggota bebas. Inilah waktunya menilai semula. Kalau seorang yang keluar parti, tentu ada yang tidak kena dengan orang itu. Kalau setiap hari ada wakil rakyat cabut lari - orang itu tentu tahu ada yang tidak kena dengan parti.

Rakyat - pada akhirnya hanya mengharapkan pilihanraya dan demokrasi yang baik. Sampai masanya sidang parlimen perlu disiar langsung. Setiap parti diberi ruang iklan kempen di media massa. Semua orang bebas bercakap dan menyuarakan pandangan. Semua orang ada peluang menyumbang dan menilai pemimpinnya.

1 comment:

ismadiyusuf said...

...ingin melihat kematangan politik di Malaysia, bila kah?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails