Yang Ikut

Wednesday, 21 April 2010

Nolstalgia malam Rabu

Reactions: 
Hari Rabu di Changlun adalah hari yang ditunggu-tunggu. Inilah harinya orang kampung keluar pekan mencari buah durian Siam, atau mencari laksa beras. Inilah juga waktunya anak-anak muda keluar mencuci mata. Inilah hari yang ada pasar malam terbaik dunia. Pasar malam Changlun.

20 tahun dulu - ketika aku masih remaja, kami menempuh gelap malam untuk sampai ke pekan Changlun dengan berbasikal. Hari Rabu adalah hari temasya untuk kami. Tidak ada duit pun tidak mengapa. Asalkan boleh turun ke Changlun melihat orang. Dulu-dulu, setiap hari Rabu adalah tempat kaki 'gocoh' bertembung. Anak-anak muda kampung aku antara yang juara dalam bab itu. Bab mengaji mungkin tidak.

20 tahun dulu, Universiti Utara Malaysia mungkin baru sahaja berdiri di situ. Aku tidak begitu pasti sejak bila universiti besar itu telah mencerahkan bukit bukau Sintok. Sebelum itu universiti itu ada di Bandar Darulaman. Setahu aku, tahun 1989 masih ada lori tanah keluar masuk. Ada buldozer bergigi tajam menebang hutan balak. Dulu, hutan Sintok sangat ditakuti. Sekarang ini hutan Sintok hanya ada seekor dua musang. Pelanduk, harimau, rusa dan gajah mungkin tidak ada lagi.

Sekarang ini, dengan adanya universiti itu, banyak orang baru datang ke pekan kami. Mereka ada duit yang lebih banyak dari orang kampung aku. Ada yang menaiki BMW, ada yang bergelar datuk. Ini telah menjadikan pekan Changlun lebih meriah. Ini juga menjadikan harga barang lebih mahal. Kami tidak mampu membeli, ada orang lain akan membelinya. Ini sebahagian kesan pembangunan. Kita tidak boleh berbuat apa-apa.

Pertengahan 80-an, malam Rabu juga ialah malam anak-anak muda 'mencakar rama-rama". Apa itu mencakar rama-rama. Itulah bercengkerama. Mereka bercengkerama di satu hutan di tepi jalan besar menuju ke kampung aku. Sekarang ini tidak ada lagi. Itu zaman rock kapak orang memakai baju Loudness dan berseluar ketat berbelang harimau bintang. Kasut boot Aliph yang dipakai anggota Lefthanded paling dicari orang.

Hari Rabu menjanjikan hidup yang sangat membahagiakan. Setelah penat mengayuh basikal sejauh 3 batu lebih, kami akan melepak lagi di kedai runcit di simpang jalan. Sampai jam 2 atau 3 pagi. Kedai itu letaknya di jalan masuk kampung aku. Kedai itu masih ada. Budak-budak lepak pun masih ada. Ia menjadi tempat semua anak muda kampung kami membesar. Yang tua pergi, yang muda datang.

Kedai itulah menjadi tempat kami berkuliah mendapat ilmu. Kini ramai di antara mereka yang sudah tua dan tidak bergigi. Mereka generasi yang lebih senior daripada aku. Ada juga yang mati.

Kedai itu lebih hebat dari universiti yang terbangun tidak jauh di kampung kami. Kedai itu mengajar kami makna hidup. Dia mengajar setiap orang di kampung kami, yang pandai dan yang tidak. Universiti hanya mengajar orang yang lulus periksa di bangku sekolah.

3 comments:

Othman Juliana said...

Bila dapat motor hari Rabu terus pecut pg PMC :D niat nak beli air satu, makanan satu tapi bila sampai memang perancangan hanya tinggal perancangan~ paling kurang rm10 terbang. ok, terus lari budget untuk seminggu (-_-')

yeah, changlun. tanpa UUM mungkin saya tak akan jejak bumi changlun. oh ya, mkn paling sedap gerai sebelah betul2 pintu nak masuk Taman U-pulut mangganya memang terbaik! rindunya!!!

mala said...

kat changlun la ni dah ramai pak arab dan pak itam

ismadiyusuf said...

persekitaran merupakan universiti yang tulen, yang mengajar erti kehidupan dan menghidupakan kehidupan..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails