Yang Ikut

Friday, 16 April 2010

Ini bukan khutbah Jumaat

Reactions: 
Ini pagi Jumaat.

Tidak ada bezanya hari Jumaat di mana-mana tempat pun. Ini hari untuk kita semua bersembahyang Jumaat.

Cuma yang berbeza, di Adelaide khutbahnya sama ada disampaikan dalam bahasa Inggeris atau Arab, tetapi di tempat kita khutbah dibacakan dalam bahasa Melayu.

Di tempat kita, khutbah bercampur baur dengan banyak hal. Ada berkait dengan kemalangan jalanraya, ada yang menceritakan tanam semula getah asli. Di kampung aku, khutbah akan diulang baca beberapa kali Jumaat. Membuatkan kita tidur lebih nyenyak dari kebiasaannya.

Di sini, khutbah banyak memperkatakan roh Islam. Itu yang banyaknya. Mereka bercakap hal yang benar sahaja. Tidak ada hal yang memuja atau memuji. Tidak juga menyuruh atau berkata orang itu dan ini. Tidak pernah pula aku mendengar mereka mengajak kita untuk menyokong atau menolak mana-mana parti.

Cuma ada juga masjid di sini - yang imamnya agak ekstrim - kalau dalam budaya kita. Beliau membacakan khutbah sambil menghentakkan kaki tanda marah. Waktu itu, hal yang diperkatakan ialah mengenai zionisme. Mereka menyenaraikan hampir kebanyakan syarikat yang ada kaitan dengan Israel yang ada di Australia - dengan kajian yang mendalam. Juga turut disebut jumlah kewangan syarikat berkaitan.

Agaknya ada tak tok imam kita yang berani menyenaraikan syarikat yang ada kaitan dengan Israel di negara kita?

Makmum yang datang lambat juga ditegur sebaik sahaja mereka melangkah masuk kaki ke dalam ruang sembahyang - sekalipun ketika itu dia sedang membaca khutbah. Makmum diminta datang awal untuk bersembahyang sunat.

Minggu lepas - semasa di masjid, ada seorang pelajar baru ijazah pertama bertanya aku: "Pakcik dah lama ke kat sini (Adelaide)". Terasa benar aku ini sudah kelihatan tua di mata orang yang masih muda. Aku rasa pertanyaan pelajar itu lebih memberi kesan dari puluhan kali mendengar khutbah Jumaat.

1 comment:

isuzu_aizu said...

nasib baik sy panggil abang. ekekeke

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails