Yang Ikut

Showing posts with label Adelaide. Show all posts
Showing posts with label Adelaide. Show all posts

Friday, 30 March 2012

Update 1 - Adelaide

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adelaide di waktu subuh.

Hening, bening dan dingin.

Semalam aku menerima anugerah. Terima kasih kepada semua teman yang datang menggantikan keluarga aku. Terima kasih buat Dr Kamarul, kak Nana, Sayuti, Syed, Shafizul dan Idris.

Terima kasih tidak terhingga tentulah untuk teman lama aku - Nizam yang mungkin telah menjadikan ini acara akademiknya yang pertama di luar negara. Tentu tidak seorang pun yang tahu siapakah Sdr Nizam ini. Beliau ialah seorang bekas kelasi yang hebat di zamannya.

Terima kasih kepada mereka semua yang tumpang berkongsi rasa gembira. Hakikatnya, anda semua telah bersama-sama berkongsi rasa payah sepanjang 4 tahun yang dulu. Walaupun aku sepatutnya perlu menjemput orang lain juga untuk hadir, tetapi pastilah ia hal yang sukar.

Beberapa hari ini, aku akan cuba menyiapkan tulisan aku yang lain.

Aku juga ada bengkel untuk dikendalikan.

Sebenarnya masih banyak hal yang patut aku lakukan di bumi kangaroo ini.

Sabtu depan, aku bercadang untuk singgah di Perth untuk bertemu teman lama - yang hanya sekali dan beberapa jam sahaja aku pernah berjumpa dengannya lama dahulu.

Petang ini, aku akan berjumpa teman lama - Gary Hall seorang pemandu lori yang juga merupakan teman PhD aku di sini. Lihatlah bagaimana orang lain. Mereka belajar walaupun mereka hanya pemandu truck. Teman aku ini juga sebenarnya merupakan antara penulis jurnal yang hebat.

Tuesday, 18 January 2011

Datanglah ke Adelaide - II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama dulu, aku menulis pesan untuk yang mahu sampai.

Semalam, ada seseorang mengirimkan email bertanya kehidupan di Adelaide. Mereka merancang untuk ke Adelaide bagi meneruskan kehidupan sebagai pelajar. Mereka akan datang tatkala jumlah pelajar Malaysia ke Adelaide semakin berkurangan. Tidak banyak pelajar baru dari Malaysia untuk dua tahun terakhir ini.

Adelaide bandar yang baik untuk menjadi manusia pelajar. Ia tidak sesibuk Melbourne dan Sydney, dan tidak seusang Darwin. Ia bandar yang cantik. Tidak sesak dengan manusia. Tidak sesak dengan kereta.

Di Adelaide - kami mengenal hampir semua pelajar lepasan ijazah yang lain. Kecuali beberapa kerat yang kurang bersosial, atau tidak mahu dikenali. Ia berbeza dengan situasi di Melbourne atau Sydney. Di sana terdapat banyak universiti. Kawasannya pula besar. Jadi, mustahil untuk kenal semua orang. Warga pelajar dari Malaysia juga banyak.

Untuk orang Islam - makanan halal bukan hal yang sukar. Terdapat banyak kedai membekalkan daging atau ayam yang disembelih. Di sepanjang Prospect Road, terdapat komuniti dari Afghanistan yang membuka kedai di sana. Terdapat juga kilang pemprosesan ayam halal di Adelaide. Di South Road - terdapat 2 kedai menjual daging halal.

Terdapat juga 4 buah masjid utama di Adelaide. Universitinya juga menyediakan surau untuk orang Islam bersembahyang.

Sewa rumah sudah naik sejak dua tahun kebelakangan ini. Rumah aku - dengan sewa $240/minggu mungkin antara yang terendah. Rumah di antara $250 hingga $290/minggu mungkin masih relevan untuk kita. Biasanya, penyewa tidak perlu membayar bil air. Ia ditanggung oleh tuan rumah.

Tiada salji di Adelaide. Tetapi di musim sejuknya, anda masih perlu membeli baju tebal. Jangan beli di Malaysia. Anda boleh membelinya di kedai Salvos, Sunday market di Gepp Cross atau di Brighton. Ia murah sahaja.

Apa lagi yang anda mesti tahu?

Oh, sesiapa pun kita - sesampai sahaja di Adelaide, kita akan bertukar menjadi orang lain. Sama ada kita doktor pakar, profesor besar, pegawai kanan negeri, pengurus besar, Timbalan Pengarah, pengetua sekolah - di Adelaide - semua itu tidak penting lagi. Tidak ada sesiapa pun memandang jawatan anda. Semua orang akan dilayan dengan cara yang sama.

Jadi bersedialah untuk hidup sebagai manusia biasa sahaja. Bersedialah untuk dipanggil kakak atau abang sahaja, itulah pangkat terbesar yang masih tinggal di pangkal nama anda. Selebihnya kami akan memanggil dengan nama sahaja.

Thursday, 30 December 2010

Datanglah ke Adelaide!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Banyak orang yang berhajat belajar di luar negeri. Di zaman dulu, orang yang boleh belajar di seberang laut dianggap manusia hebat. Mereka dianggap orang yang pandai dan bijak. Setiap kali gambar pelajar luar negara terpampang di dalam ruangan ucap selamat hari raya, banyak orang melihat mereka sebagai watak yang luar biasa. Aku salah seorang yang beranggapan begitu.

Satu waktu dulu - aku selalu berangan-angan menyambung pengajian ke luar negara. Aku sebenarnya terpengaruh dengan satu siri kartun yang dilukis oleh Ujang dalam majalah Gila-Gila. Aku terlupa nama siri kartun itu.

Pelajar di luar negara dianggap ada kelasnya yang tersendiri. Mungkin sebab waktu itu luar negara adalah bumi yang sangat jauh untuk dicecah.


Kini - dengan banyak pesawat tambang murah, aku tidak fikir orang menganggap belajar di luar negara itu satu yang hebat. Ia biasa sahaja.

Luar negara juga - adakalanya dianggap bumi kafir yang penuh dengan kejahatan. Orang bimbang anak-anak akan pulang bersubang di telinga dan berambut merah. Orang bimbang ada anak-anak akan pulang dengan isteri berambut blonde dan bermata biru. Itu adalah anasir-anasir negatif yang selalu dikaitkan dengan bumi orang Barat.

Hakikatnya - bumi asing orang kafir ini lebih baik dari bumi Islam. Kasut anda tidak akan hilang kalau diletakkan di pintu masjid. Kereta anda tidak semestinya perlu berkunci - aku sudah melakukannya sejak 3 tahun ini. Anda juga tidak perlu bimbang kalau ada pintu rumah yang lupa dikunci, atau ada tingkap yang lupa ditutup. Tidak juga ada orang yang akan meragut anda di jalanan. Tidak juga ada orang akan meminta anda $10 membeli dadah. Setiap kali anda mengeluar wang di mesin ATM - mata anda tidak perlu curiga menjeling ke kiri dan kanan.

Anda boleh berjalan jam 2 pagi seorang diri kalau anda mahu. Di bumi kafir ini, tidak ada orang yang peduli dengan anda.

Cuma pastikan anda tidak membuat bising ketika jam lebih dari 10 malam. Nanti ada polis akan menjenguk rumah anda. Pastikan anda tidak memandu lebih 50 km/jam di tengah bandar. Ada surat saman menanti di pintu. Jangan merokok di dalam kereta kalau ada budak-budak kecil bersama. Anda akan disaman polis atau dimaki masyarakat.

Hidup mereka mudah sahaja. Ikut peraturan dan berlaku jujur. Jangan mengganggu orang lain. Anda akan bahagia.

Kalau anda berasa ingin mabuk todi - pergi ke bar, dan bukan di tempat awam. Kalau anda berasa ingin mewarnakan rambut, lakukanlah. Tidak ada sesiapa yang menghalang. Jangan sesekali cuba merasuah, pintu penjara memang sentiasa terbuka.

Yang mengawal diri anda ialah diri anda sendiri.

Jadi - kalau ada sesiapa yang mampu - atau ditaja untuk belajar di luar negara - datanglah. Ia tidak akan mengubah iman anda, melainkan anda sendiri ingin mengubahnya. Tidak akan ada gadis berambut blonde dan bermata biru cuba menggoda anda, melainkan anda sendiri yang memulakannya. Tidak ada juga mubaligh Kristian menjemput anda ke gereja, melainkan anda sendiri sudah tidak yakin dengan agama sendiri.

Thursday, 9 September 2010

Beberapa minit sebelum Syawal

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekarang jam 5.45 petang waktu Adelaide. Lima belas minit lagi akan masuk waktu berbuka. Menutup cerita Ramdahan luar negara tahun ini. Membuka cerita beraya di luar negara pula. Semoga ia menjadi Ramadhan dan Syawal terakhir untuk aku di bumi Adelaide yang sepi ini.
(Ini gambar kenangan bersama budak-budak Lingkaran Sahabat Sastera setahun yang lalu yang datang untuk makan-makan di rumah aku. Gambar aku tidak pernah ada. Keterangannya baca di SINI, Berita Harian)

Lima belas minit lagi - kita akan menyambut malam raya.


Jalanraya penuh sesak. Ibu ayah menunggu di depan pintu. Anak-anak pulang dengan kereta baru. Yang kurang sedikit, mungkin dengan motosikal. Ada pula yang hanya menaiki bas. Ia mengimbau cerita aku 20 tahun dulu. Kadang-kadang membeli tiket bas sebulan lebih awal. Pada malam untuk menaiki bas, kaunter bas ditutup. Syarikat bas tiada lagi. Membeli pula tiket bas tambahan. Bas buruk, harga mahal.

Musim raya memang musim indah. Indah dapat berjumpa teman lama yang hilang. Dapat berkumpul dan berborak. Melihat budak-budak berlari dan bermain mercun. 20 tahun dulu, kitalah budak-budak itu. 20 tahun dulu kitalah kemeriahan itu. 20 tahun mendatang, raya pasti bukan milik kita lagi. Raya sudah menjadi milik orang lain.

Sekarang ini - hari raya sudah menjadi musim yang lain. Musim para peniaga membuat untung. Inilah waktunya harga tiba-tiba menjadi mahal. Inilah masanya tiba-tiba muncul bermacam kuih yang rasanya sama sahaja. Mungkin produksi dari kilang di China. Tiba-tiba ada baju Melayu yang bermacam fesyennya. Pengutip beras zakat juga tiba-tiba banyak di tengah bandar.

Raya di Adelaide - tiada apa. Kalau ada lemang pun, lemang tanpa buluh. Ketupat daun palas pasti sampai kiamat pun tak akan bertemu lagi. Kuih raya hanya beberapa jenis sahaja. Banyak yang membeli kek dari pasaraya. Takbirnya juga tidak bernada syahdu seperti di negara kita. Tidak ada kunjung mengunjung. Boleh berkunjung dengan syarat dijemput dulu. Tidak boleh sekadar singgah ke rumah orang di hari raya. Mungkin tidak ada sesiapa pun di rumah.

Di mana kami beraya tahun ini. Mungkin di padang.

Alangkah tidak indahnya.

Tapi pastinya, satu saat nanti inilah masa paling indah untuk diimbau. Yang terindah ialah yang tertinggal.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI - untuk semua yang ada waktu untuk beraya, dan juga untuk mereka yang tidak ada peluang untuk beraya. Pesanku - jangan menangis di pagi raya. Tidak ada sesiapa pun akan bersimpati dengan anda. Semua orang sedang sibuk berpesta.

Friday, 16 April 2010

Ini bukan khutbah Jumaat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini pagi Jumaat.

Tidak ada bezanya hari Jumaat di mana-mana tempat pun. Ini hari untuk kita semua bersembahyang Jumaat.

Cuma yang berbeza, di Adelaide khutbahnya sama ada disampaikan dalam bahasa Inggeris atau Arab, tetapi di tempat kita khutbah dibacakan dalam bahasa Melayu.

Di tempat kita, khutbah bercampur baur dengan banyak hal. Ada berkait dengan kemalangan jalanraya, ada yang menceritakan tanam semula getah asli. Di kampung aku, khutbah akan diulang baca beberapa kali Jumaat. Membuatkan kita tidur lebih nyenyak dari kebiasaannya.

Di sini, khutbah banyak memperkatakan roh Islam. Itu yang banyaknya. Mereka bercakap hal yang benar sahaja. Tidak ada hal yang memuja atau memuji. Tidak juga menyuruh atau berkata orang itu dan ini. Tidak pernah pula aku mendengar mereka mengajak kita untuk menyokong atau menolak mana-mana parti.

Cuma ada juga masjid di sini - yang imamnya agak ekstrim - kalau dalam budaya kita. Beliau membacakan khutbah sambil menghentakkan kaki tanda marah. Waktu itu, hal yang diperkatakan ialah mengenai zionisme. Mereka menyenaraikan hampir kebanyakan syarikat yang ada kaitan dengan Israel yang ada di Australia - dengan kajian yang mendalam. Juga turut disebut jumlah kewangan syarikat berkaitan.

Agaknya ada tak tok imam kita yang berani menyenaraikan syarikat yang ada kaitan dengan Israel di negara kita?

Makmum yang datang lambat juga ditegur sebaik sahaja mereka melangkah masuk kaki ke dalam ruang sembahyang - sekalipun ketika itu dia sedang membaca khutbah. Makmum diminta datang awal untuk bersembahyang sunat.

Minggu lepas - semasa di masjid, ada seorang pelajar baru ijazah pertama bertanya aku: "Pakcik dah lama ke kat sini (Adelaide)". Terasa benar aku ini sudah kelihatan tua di mata orang yang masih muda. Aku rasa pertanyaan pelajar itu lebih memberi kesan dari puluhan kali mendengar khutbah Jumaat.

Wednesday, 24 March 2010

Selamat pagi Malaysia!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 2.45 pagi. Mata belum mahu tidur lagi.

Jam 2.45 pagi. Kalau di tempat kita, Jalan Doraisamy masih penuh dengan manusia yang mencari sup kambing. Di Jalan Alor jenuh dengan wanita jelita seksi yang entah dari mana asalnya. Kedai mamak di Setiawangsa masih riuh dengan anak-anak muda menonton bola EPL. Mat rempit pun gamaknya masih belum tidur lagi.

Jam 2.45 pagi. Kutu-kutu dadah mungkin sedang sibuk menyuntik jarum di belakang bangunan usang Jalan Tunku Abdul Rahman. Kaum pondan pula mungkin masih ligat berurusniaga di Lorong Haji Taib.

Jam 2.45 pagi - Bandar Baru Bangi masih lagi cerah menyala. Pembuat teh tarik dan roti tempayan masih lagi berpeluh tak menang tangan mendengar jerit tukang order. Budak-budak universiti juga mungkin sedang sibuk menyelak satu dua muka surat buku - yang masih lagi belum dibaca. Banyaknya hanya duduk berborak dan bermain gitar.

Jam 2.45 pagi. Adelaide tidak ada apa-apa. Semuanya sudah mati. Sunyi dan sepi.

Tuesday, 9 March 2010

Nasihat untuk bloggers - Part II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengapa orang membaca apa yang kita tulis? Kita tidak tahu alasan mereka.

Mengapa orang setiap hari cuba meneroka laman web dan blog dan membaca sesuatu? Kita juga tidak tahu.

Apa yang ada di minda manusia apabila menghidupkan komputer mereka di waktu pagi. Apakah laman yang akan dibuka dahulu sebelum mereka minum kopi. Apakah pula perkara yang mereka baca sebelum menutup komputer dan tidur di atas tilam? Kita juga tidak tahu.

Setiap hari juga akan ada laman blog baru yang tumbuh - bagai cendawan - menulis dan merakamkan peristiwa dengan pelbagai cara. Ada orang yang mungkin bosan dengan cara mereka, ada yang menyukainya. Apa alasan orang menulisnya, kita juga tidak tahu. Seperti juga apa sebab orang membacanya.

Ada tajuk-tajuk atau topik-topik tertentu yang dicari orang. Dalam konteks blog aku, banyak orang secara tidak sengaja menemuinya apabila menaipkan ayat 'maksud stres'. Mengapa mereka ingin mencari maklumat berkaitan stres. Kita tidak tahu. Siapakah kumpulan peneroka ini? Kita juga tidak tahu. Mereka mungkin pelajar, pensyarah atau juga manusia yang sedang dilanda stres.

Italic
Sebenarnya - ini menunjukkan bahawa apa sahaja perkataan yang anda tulis, tentu ada manusia yang mencari maklumat mengenainya. Sekalipun anda cuma menceritakan hal berkaitan dengan 'pokok maman', lambat laun ada orang cuba menyelongkarnya.

Jadi - berhati-hatilah ketika menulis. Setiap blogger terdedah dengan membuka rahsia hidupnya kepada orang lain yang tidak diketahuinya. Orang boleh tahu siapa diri anda, sedangkan anda tidak tahu diri mereka. Ini telah aku ulas dalam satu kaedah di sini lama dahulu. Jangan menulis sewenang-wenangnya. Jangan hanya anggap hanya rakan dan saudara mara anda membaca blog anda.

Jangan menulis dengan patah yang buruk, lucah, kasar dan tidak bermoral. Ia akan menyebabkan orang melihat anda dengan imej yang tidak baik. Anda mungkin bukan orang baik - tetapi dengan menulis secara baik - sekurang-kurangnya orang tidak melihat anda dengan cara yang buruk.

Adalah lebih baik kalau anda menulis sesuatu yang memberi manfaat, sekalipun hanya memberitahu orang lain bagaimana caranya merebus telur ayam.

Friday, 5 March 2010

Selamat datang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak seminggu kebelakangan ini, ramai pelajar baru dari Malaysia datang. Aku kira, mereka tentulah orang yang pintar - yang lulus dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan mereka. Umur mereka tentulah masih belasan, atau awal 20-an. Selamat datang aku ucapkan.

Siapa pun mereka, dari mana latar belakang sekalipun - mereka akan menjadi manusia musafir seperti aku juga. Mereka terpaksa meninggalkan banyak kenangan indah di negara sendiri. Meninggalkan ibu dan ayah, sahabat handai dan saudara mara. Mereka akan menemui komuniti baru di sini.

Seperti aku juga - mereka akan diharapkan pulang dengan ijazah. Pulang dengan kejayaan.

Mereka ini sebenarnya kumpulan yang bernasib baik. Tidak semua anak muda mampu ke luar negara jika dihitung kepada usia mereka. Bahkan, belum tentu orang dewasa juga mampu memijak bumi asing seumur hayat mereka. Mereka juga akan dihadapkan dengan persekitaran ilmu yang lebih baik. Budaya asing yang tertib. Budaya menghormati undang-undang. Menjaga kebersihan. Inilah ilmu baru yang mereka pelajari nanti.

Sekalipun mereka akan merasa sepi - merasa bosan - dan sesekali ditimpa simptom 'separation anxiety', jangan bimbang. Ia dirasai semua orang. Semua orang akan tetap mengenang asal usulnya.

Selamat belajar. Ingat, anda adalah pelajar pintar. Tetapi jangan sesekali merasa besar diri dengan peluang itu. Jadilah diri anda sendiri. Anda tidak akan kehilangan apa pun. Sekiranya anda menjadi besar diri dan besar kepala, kelak ia bakal membakar diri anda.

Saturday, 16 May 2009

Malaysia - aku akan sampai nanti

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tinggal 3 hari lagi aku akan balik Malaysia. Sekarang baru aku terasa betapa Malaysia itu satu negara untuk dilawati dan diziarahi. Walaupun di sini pun segalanya ada, tetapi ada juga perkara yang tidak ada di sini.

Di sini ada Central Market - ia bukan Central Market seperti di Malaysia. Selain menjual barang cenderamata, Central Market juga adalah tempat menjual buah-buahan, sayur, ikan, daging, kedai makan dan segala macam perkara yang lain. Majoritinya dikuasai oleh masyarakat Cina dan Vietnam - menjadikan ia bandar asing di tengah Adelaide.

Selain Central Market, di bandar Adelaide ini terdapat sebuah muzium negeri, Art Gallery, perpustakaan, dan Rundle Mall yang menjadi lorong temasya warganya. Di Art Gallerry, tidak ada pelukis di situ seperti di Central Market di Malaysia. Ia hanya menempatkan lukisan-lukisan oleh pelukis ternama. Ada di antaranya yang dilukis lebih ratusan tahun dahulu. Ia memang hebat. Aku sudah berkali-kali singgah di situ - cuma aku tidak boleh mengambil gambar di dalamnya.

Perpustakaannya juga baik. Baik bukan kerana ia ada banyak buku. Ia baik kerana menawarkan banyak perkhidmatan lain. Ia menyediakan kelas belajar bahasa Inggeris, khidmat 'editing', bengkel kekeluargaan, kemudahan internet dan segala macam yang lain. Sebenarnya, di hampir setiap 'suburb' ada perpustakaannya sendiri. Ia bukan sekadar tempat meminjam buku dan vcd filem, tetapi tempat masyarakat mendapatkan pengetahuan dan ilmu. Kalau anda sakit, atau tidak mampu ke perpustakaan, anda boleh menghubungi pihak perpustakaan untuk datang mengambil anda di rumah, atau menghantarkan buku kepada anda. Begitulah mereka.

Perkhidmatan bas juga baik. Ia datang tepat waktu dan anda tidak perlu bimbangkan akan ada pemandu bas yang menengking tidak tentu fasal ke arah anda. Tidak juga akan ada penyeluk poket yang akan mencuri dompet anda yang tidak ada wang itu. Orang tua akan dilayan dengan begitu hormat. Mereka bukanlah pendokong gagasan Islam Hadhari, tetapi mereka lebih Islam daripada kebanyakan orang Islam.

Adelaide ini juga terdapat berpuluh-puluh atau beratus buah gereja. Aku tidak pernah menghitungnya. Tetapi, anda akan bertemu dengan gereja di setiap sudut kota dan jalan. Ada yang telah ratusan tahun dibangunkan, ada yang mungkin sekitar puluhan tahun. Sebenarnya, South Australia itu sendiri terkenal sebagai 'negeri gereja' sebelum beberapa tahun ini ditukar sebagai 'state of festival'.

Jadi, jangan hairan kalau Adelaide ini tidak seperti Sydney atau Melbourne. Ia tidak sesak dan padat. Menurut sejarahnya, pendiri kota ini ialah masyarakat Inggeris yang datang sebagai mubaligh atau cendekiawan. Mereka orang berada. Mereka bukanlah kumpulan banduan yang dibawa oleh Inggeris. Sebab itulah, pihak penjajah Inggeris tidak boleh mengerah mereka mendirikan kota seperti yang berlaku di Melbourne atau banyak tempat lain.

Anda boleh bertemu segalanya di Adelaide. Tetapi, ada satu perkara yang tidak akan anda temui di sini. Anda tidak ada ayah dan ibu di sini. Sebab itulah anda perlu berbangga dengan Malaysia.

Sunday, 10 May 2009

Jam 9.55 malam

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 9.55 malam waktu Adelaide.

Sekarang ini musim luruh, tapi bukan luruh yang biasa. Pohon masih belum kelihatan ranting. Cuaca seolah-olah musim sejuk. Malam gelap lebih awal, membuatkan mata juga mengantuk lebih awal dari biasa. Pergerakan manusia tiba-tiba jadi terbatas. Kedai dibuka seperti biasa, sampai jam 5 petang. Tetapi, seakan-akannya semuanya mati.

Jam 9.55 malam di pekan Changlun tentu lebih ceria dibandingkan dengan bandar Adealide. Di Changlun ada 3 buah kedai mamak yang beroperasi 24 jam, ada kedai DeLIMA dan 7-eleven yang lampunya tetap bernyala, dan pelanggannya tetap membeli. Itu belum termasuk kedai makan di bawah pokok yang menjual roti canai dan bee hun sup sehingga menjelang subuh.

Jam 9.55 malam, manusia penyamun, perasuah, pelencong dan pembayar cinta wanita akan pulang dari Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam. Ada yang mungkin tidak ada lagi wang membeli beras untuk anak isterinya di rumah kerana sudah habis diperas wanita jalang di bandar Dannork. Bandar yang lebih banyak rumah pelacuran dari masjid, walaupun dikelilingi masyarakat Islam. Pekan yang hidup kerana banyak manusia tidak lagi percaya adanya perhitungan di dunia akhirat. Pekan yang hidup kerana banyak manusia ingin merasa nikmat syurga lebih cepat. Bandar ini wangi kerana wanitanya, tetapi busuk kerana dosanya.

Jam 9.55 malam kalau di Kuala Lumpur sepertinya baru sahaja bermula. Orang yang baik akan singgah di masjid Kampung Baru sesudah membeli sayur dan daging di pasar Chow Kit. Atau mereka singgah di masjid di sekitar Setiawangsa untuk mendengar orang membaca kitab Munyatuh-Musholli atau Faridatul-Faraid. Yang baik juga mungkin akan makan nasi lemak antarabangsa di Kampung Baru, atau sesekali singgah makan nasi lemak yang dilayan oleh para pondan di belakang Hotel Brinsdale. Yang sekadar baik juga mungkin akan berhenti makan sup kambing mamak di Jalan Dooraisamy sambil matanya melihat seorang 'mat pit' menggorengkan gitar dan bernyanyi lagu blues.

Yang agak banyak duit akan berjalan-jalan menjamu mata melihat pelancong Cina dan Arab di Jalan Bukit Bintang yang bernyala sampai ke subuh. Ada yang mungkin sekadar mengurut kaki dengan harga jauh lebih mahal dari belanja sebulan sekolah anak. Yang liar sedikit akan berjalan perlahan-lahan mencelah ke Jalan Alor - tempat berkumpulnya wanita cantik dari China yang menggiurkan. Apa yang mereka buat. Pergi dan lihat sendiri. Mereka tentu tidak membilang berapa banyak wanita di situ.

Yang lebih teruk, akan ke Lorong Haji Taib melanggan lelaki pondan yang bersuara garuk tetapi bermuka cantik.

Jam 9.55 malam - di Jalan Melawai Raya di Blok M, Jakarta sudah riuh dengan manusia. Ada yang makan bakso, ada yang makan pecal lele, atau ada yang sekadar menjamu mata di GrandD. Para 'preman' berbadan besar juga berkeliaran di sana sini. Para pengamennya pula akan datang ke depan anda dengan pelbagai aksi dengan harapan anda menjadi manusia ikhlas memberikan mereka 1 ribu rupiah. Di sepanjang jalan itu akan bersatulah semua jenis manusia - pemandu bajai, penumpang bas, penjual vcd cetak rompak, pekerja kantor - berkejaran untuk terus mencari makan dalam bising deru teksi, bas, kereta dan segala macam kenderaan.

Jam 9.55 malam - aku belum mampu untuk tidur. Aku sedang berangan-angan untuk sekeping roti canai dan segelas teh tarik yang ada di mana-mana di tempat kita.

Jam 9.55 malam bukanlah waktu yang sesuai untuk anda datang ke Adelaide.

Friday, 17 April 2009

Adelaide di petang Jumaat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adelaide di petang Jumaat memang mengkhayalkan. Tidak ramai lagi manusia Australia yang akan bekerja sehingga lewat petang. Jam dua atau tiga petang mereka masing-masing akan cabut menghilangkan diri. Jumaat petang bukanlah waktunya untuk mereka berkerja.

Kedai-kedai minum (baca: mabuk) di sepanjang Frome Street atau di sepanjang lorong Rundle Mall akan dipenuhi oleh warga manusia. Mereka beratur panjang juga di kebanyakan lampu isyarat menunjukkan betapa gembiranya mereka menunggu hari Sabtu. Mereka mungkin akan berhibur malam ini di disko-disko di Hindley Street yang juga ada gadis-gadis 'stripper' yang memberahikan. Tidak jauh dari rumah aku di Henley Beach Road dan George St ada juga 3 buah disko seperti itu.

Adelaide di petang Jumaat adalah bandar yang sepi. Tidak ada keindahannya untuk manusia seperti kita yang tidak tahu jenama air mabuk yang dijual di sepanjang jalan. Tidak juga ada keindahannya kalau kita tidak tahu mengetuk pintu disko untuk sesekali bermain 'pookies'. Di sini semua keseronokan itu telah diciptakan dengan baik untuk dimanfaatkan.

Pagi tadi, jam 11, ketika di dalam bas aku sempat berbual dengan seorang manusia Australia asalnya dari Darwin yang tahu dengan jelas selok belok Malaysia. Dia adalah bekas jurulatih squasy di Malaysia tahun 1978. Dia kenal baik dengan dua putera raja dari Malaysia pada waktu itu kerana dia berkerja dengan mereka. Dia juga tahu kehebatan Malaysia dalam sukan itu sekarang ini. Tahu juga dia akan KLCC.

Tetapi, dari segi gayanya hidupnya kini - dia mungkin seorang gelandangan sahaja. Katanya dia sedang menuju ke panggung wayang untuk menonton. Dia juga katanya boleh meramal nombor judi yang bakal naik. Dia menang $70 dua minggu lepas, dan tahun lalu menang $5,000. Ketika melihat muka aku, dia berkata aku bernombor 35. Dia kata akan menunggu seseorang lagi untuk mendapatkan dua lagi angka. Hah. Ini angkara manusia mabuk judi. Tapi bagi dirinya, itulah kegembiraan.

Itulah cerita Adelaide di petang Jumaat. Tidak ada apa pun yang meriangkan bagi orang seperti kita. Ia hanya bandar untuk manusia berangan-angan. Dan aku - masih lagi terpacak merenung monitor di dalam pejabat yang tiada manusia. Entah apa yang aku harapkan.

Selamat malam Adelaide. Moga besok hari akan tetap berseri lagi.

Isnin nanti kita mulakan lagi.

Wednesday, 28 January 2009

Masih lagi cerita panas

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Masih lagi cerita panas.

Suhu di Adelaide siang tadi sudah mencecah 45 darjah celcius. Malam ini sahaja, jam 10.43 petunjuk dari komputer menunjukkan suhu 38 darjah celicius. Ini baru betul-betul panas. Orang Adelaide sudah jadi semacam cacing kepanasan. Di mana-mana orang bercakap hal suhu panas. Laporan rasmi ada di sini. Seorang kawan pun cerita pasal panas.

Ada mat salleh yang bawa kereta tanpa baju di Jalan Henly Beach. Di depan Hospital Royal Adelaide ada orang lelaki yang berjalan tanpa baju di tengah perangkap haba panas.

Cuma beberapa hari dulu, ternampak seorang remaja perempuan berjalan dengan hanya memakai seluar dalam di Rose Street. Hah. Ini barulah panas!

Biasanya tengahari aku akan melepak di bawah tangga untuk menghisap beberapa batang rokok Marlboro. Sekarang ini tidak boleh lagi. Jangan juga cuba-cuba tunjuk pandai pakai mentera panggil angin. Angin yang datang bukan angin sejuk, tetapi haba panas.

Tengahari tadi ingat hendak balik dari kampus Mawson Lake untuk kembali ke City. Tetapi nampaknya hasrat tidak boleh ditunaikan. Tidak ada orang yang berani tunggu bas. Di luar bangunan pun tidak ada orang yang berani tunjuk samseng berjalan kaki. Petang, setelah beberapa jam tidur di surau baru balik ke rumah. Naik bas yang berhawa dingin. Tetapi masih panas juga.

Beberapa tahun dahulu, teman aku lulusan dari pondok tradisional memberitahu aku yang matahari bukanlah panas. Yang panas ialah sifat bumi itu sendiri. Dia berhujah mudah. Semakin kita berada di tempat tinggi, kita akan berasa dingin. Sepatutnya semakin tinggi kita akan berasa panas sebab lebih dekat dengan matahari. Aku tak tahulah betul atau tidak hipotesisnya itu.

Tetapi sejak merasa dua kali musim panas di Adelaide ini aku mula menyangka baik dengan hipotesis tadi. Kadang-kadang matahari terik, tetapi kita berasa sejuk. Sekarang sudah malam dan matahari sudah pun bergerak ke dunia sebelah Barat, mungkin di India atau Afrika, tetapi suhu tetap panas. Duduk di luar rumah pun panas juga. Jadi yang panas bukan sebab matahari, tetapi sebab sifat bumi.

Apa pun ingat, ingat satu perkara. Ini baru panas di dunia. Belum lagi panas di neraka.

Tuesday, 27 January 2009

Berita paling panas dari Adelaide

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam sudah jam 11.17 malam. Tak boleh tidur. Panas sangat.

Panas di Australia tak sama dengan panas di Malaysia. Di Malaysia sekarang yang sedang panas ialah ahli politik PKR lompat parti. Tak tahulah apa tujuannya. Panas juga dengan berita seorang tahanan mati dalam lokap polis. Semua itu berita panas.

Tetapi panas di sini lain. Ini panas cuaca. Suhu tengah malam sekarang pun masih 35 darjah celcius. Siang tadi sudah mencecah 41 darjah celcius.

Di Malaysia pun kita panas juga. Terutama di negeri utara bila tiba musim kemarau. Tetapi panas kita masih boleh tahan. Ia panas lembap. Tetapi di Australia ini panas kering. Berpeluh tidak. Seperti duduk dalam rumah salai (ban) tembakau. Siapa yang biasa berkerja di rumah salai tembakau tentu tahu. Aku pernah kerja di ban tembakau tahun 1989 dahulu ketika tunggu Sijil Pelajaran Malaysia.

Kalau di Malaysia, biasanya musim panas ialah bila kemarau. Antara bulan Januari ke April. Ketika aku masih budak-budak, di musim kemarau biasanya ia musim yang sangat seronok. Inilah waktunya untuk kami mengelau ikan di sungai. Ini juga waktunya ikan haruan, puyu, selar dan lampam sedang berpesta makan kalau kita memancing. Biasanya kita akan pakai umpan kelkatu (Katu, kata orang Kedah) yang keluar dari busut sebelum Maghrib.

Petangnya kita akan main wau bulan di bendang yang baru dituai. Untuk budak-budak seperti kami, kami hanya tahu main wau lepek. Semua itu kita buat sendiri. Cuma ada kertas dan tulangnya dibuat dari kulit batang rumbia yang kering. Gam untuk tampal wau ambil dari batang daun rumbia yang masih hijau. Mudah sungguh. Tetapi sekarang lebih mudah, beli dari kedai.

Kadang-kadang kami main pondok-pondok (dangau) yang dibuat daripada jerami. Batang jerami itu juga boleh buat serunai. Zaman dahulu belum ada playstation atau komputer. Jadi semua benda boleh main. Sekarang dah jadi nolstalgia. Orang tak turun bendang lagi. Semuanya upah tauke mesin padi.

Malamnya kita duduk di beranda atau bersantai di bawah pokok. Ia sejuk dan nyaman. Sambil-sambil kita membalut rokok daun nipah dan tembakau original. Buatan orang kampung. Entah mengapa tembakau tradisional kita tak boleh dijual di negara lain.

Sebab rokok daun kita unik. Rasanya juga macam-macam. Ada tembakau cap tangan, ada yang cap naga. Ada yang tidak ada cap, tetapi dijual ikut tahil. Di Tunjang, Kedah ada sebuah kedai yang hanya menjual rokok daun dan tembakau. Boleh tanya orang di sana kedai Misai Bin Siang. Ini nama orang Cina. Bukan orang Melayu.

Musim kemarau juga orang kampung akan mula mencari telaga yang airnya tidak kering. Biasanya musim ini air telaga kering. Hanya ada beberapa buah telaga yang mata airnya baik dan tidak kering. Inilah masanya orang kampung beratur panjang untuk mendapatkan air. Itu dulu, sekarang semua pakai air paip.

Tetapi panas di sini, tidak boleh buat apa-apa. Dalam rumah panas, luar pun panas. Rasa dan mengeluh sahaja. Esok dan lusa ramalan cuaca kata akan lebih panas. Di sini ramalan cuaca boleh percaya. Walaupun kadang-kadang tak betul juga. Tetapi, di negara kita ramalan cuaca memang betul-betul meramal. Tak ramai pun ambil tahu pasal cuaca. Sebabnya mungkin tak betul sangat pun.

Kalau ada orang Malaysia yang berkira-kira nak datang Australia sekarang untuk bercuti, baik jangan dulu. Lebih baik baca berita panas di sana daripada menghirup udara panas di Adelaide.

Friday, 19 December 2008

Ini bukan update

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada berita hari ini. Tiada peristiwa hari ini. Aku sedang sangat sibuk. Entah apa yang disibukkan. Otak berputar-putar. Sedang mencari ilham. Kadang-kadang datang, selalunya hilang. Esok baru aku nak mulakan perjalanan ke satu tempat dalam jarak 180km dari Adelaide ini. Kemana tu?

Harap-harap aku berjumpa sesuatu. Nanti baru aku update apa yang aku jumpa dan aku rasa.

Ini berita yang baru diupdate

Petang tadi - selepas balik sembahyang Jumaat, lagi beberapa kali berpusing-pusing di dapur. Akhirnya aku keluar. Naik bas ke universiti jam 4.30 petang. Di Rundle Mall orang putih sedang sibuk bershopping. Banyak orang di situ.

Masuk universiti - dah lengang. Tak ada orang. Ingat nak ke ofis - berkunci pula. Semua dah pakat balik gamaknya. Aku singgah sekejap di computer pool. Cetak apa yang patut. Balik.


Tunggu bas J1. Entah apa gamaknya, hari ini bas begitu lambat. Tak tahu nak buat apa, sambil duduk aku sempat ambil gambar. Bolehlah kalau ada yang bercita-cita hendak ke Adelaide melihat bandar 'besar' ini.


Itu sahaja update yang bukan update hari ini. Tunggu aku balik Moonta Bay. Nanti aku lapor apa yang boleh dilapor.

Thursday, 3 April 2008

Musim yang satu lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Suasana di Adelaide yang panas sejak beberapa bulan yang lalu tiba-tiba sejuk. Musim bertukar. Masa berubah. Dahulu musim panas. Sekarang musim gugur. Seperti politik. Mulanya panas pilihanraya, kemudian ada yang gugur! Dulu, kita masih boleh melihat matahari turun jam 9 malam. Kini, matahari turun lebih awal. Jam 7.30, keadaan di Adelaide sudah jadi kelam dan sunyi. Menunggu bas di celah kedinginan menjadikan kita begitu bencikan bas yang berwarna kuning itu.

Selain kecekapan sistem pengangkutannya, yang membezakan Adelaide dengan Kuala Lumpur, ialah di sini tidak begitu banyak penyangak. Di Kuala Lumpur, belum sempat kita berdiri menunggu bas, ada sahaja mat-mat pet yang datang meminta wang. 

Malamnya pula bising dengan keriuhan mat rempet. Kuala Lumpur dan Adelaide, dua alam yang berbeza. Ada di antara kita mendakwa Islam kita lebih baik dari orang lain. Tapi, di Adelaide yang orang putihnya mungkin tidak faham pun agama mereka sendiri, bersikap lebih santun dan mesra manusia. Begitulah.

Jadual hidup aku juga banyak yang berubah. Tidak ada lagi roti canai, teh tarik dan lepak di kedai kopi. Tapi, yang masih tak berubah, aku tetap makan nasi. Lauknya pula mungkin lebih banyak dari yang pernah aku makan di Malaysia. Walaupun tidak banyak kedai daging dan ayam yang halal, tetapi banyak orang Pakistan di sini yang berjaya membuka kedai. 

Di Asian Grocery, banyak produk halal yang dihasilkan dari negara Thailand. Mereka tidak pernah pun membising pun mahu menjadi 'hub-halal', tetapi nampaknya banyak produk halal dari negara Buddha itu berbanding dengan Malaysia.

Bahkan ada produk halal dari Hong Kong. Nampaknya orang Islam perlu belajar dari negara bukan Islam untuk memasarkan produk halal. Kita perlu banyak belajar dari mereka. Mengekspot ikan masin dan buah petai pun boleh jadi permulaan yang baik. Sekarang ini, kami bergantung harap dari produk dari Thailand dan Vietnam.

Aku juga sudah memulakan aktiviti menghasilkan produk halal. Beberapa hari kebelakangan ini, entah mabuk apa, aku mendapat begitu banyak ikan bream yang dipancing di West Lake. Memandangkan aku dah meluat melihat ikan itu, selalunya aku berikan kepada abang Zul. Mungkin lepas ini aku boleh buka pasar ikan di Adelaide!

Isteri aku, yang dahulunya terkenal seantero Sungai Kerang sebagai satu-satunya tukang masak berijazah di warung pak mentua aku (tentulah aku juga satu-satunya pemegang ijazah master yang memancuh teh tarik!) kini kembali menyibukkan diri dengan masak-masak. Rumah aku sudah jadi sebahagian hub untuk makan-makan di hari Sabtu atau Ahad. Kadang-kadang ramai, kadang-kadang sedikit orangnya. Kalau tidak makan di rumah sewa buruk aku di Rose St, aku boleh juga makan-makan di rumah Jabar, Sidi, Abang Zul atau Abang Nizam. Yang paling penting, semua itu percuma!

Adelaide, bandar sepi yang dingin kini sedang dilanda musim yang satu lagi - musim buah epal. Dengan ladang-ladangnya yang besar di Adelaide Hill, setiap pengunjung boleh memetik sendiri buah epal dengan harga sekilo AUD 1.20. Murah. Buah-buah itu berguguran jatuh ke bumi, seperti mana tak berharganya buah macang di kampung kita. Tapi kalau semata-mata mahu makan buah epal, tak perlulah datang sampai ke Adelaide. Cukuplah di beli di pasar malam Changlun!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails