Yang Ikut

Showing posts with label pelajar baru. Show all posts
Showing posts with label pelajar baru. Show all posts

Wednesday, 9 February 2011

Selamat datang!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak akhir-akhir ini, ramai pelajar baru tahun pertama universiti datang ke Adelaide. Pastilah mereka ini orang bijak. Mereka juga tentu orang yang pandai. Tetapi belum tentu mereka orang yang bijak pandai.

Siapa orang yang bijak pandai?

Mereka juga seolah-olah menjadi anak-anak ikan yang sedang berenang di lautan luas. Banyak mata sedang memerhatikan mereka dari dasar laut. Banyak NGO dan persatuan melihat mereka manusia yang sangat sesuai untuk direkrutkan. Aku pun tidak begitu faham hal ini. Mengapa secara tiba-tiba mereka ini menjadi sasaran, sedangkan ketika di sekolah dulu, tidak ada orang pun yang ambil peduli.

Aku peduli.

Mereka juga lulus dengan begitu banyak peperiksaan di sekolah dan universiti. Tentulah mereka ini pandai dan cemerlang dibandingkan dengan banyak orang lain. Bagaimana pun, ada hal yang patut mereka ketahui. Dunia sekolah dan matrikulasi tidak sama dengan universiti. Universiti ialah sekolah pemikiran. Universiti ialah dunia orang dewasa, yang tidak pernah peduli dengan air mata.

Jangan merasa terlebih yakin. Kena berwaspada dan berusaha selalu. Titanic dan Chalengger hancur kerana simptom terlebih yakin.

Sikap juga perlu betul. Kemahiran matematik atau sains yang ada hanyalah alat. Kalau tidak hadir kuliah, atau selalu bertekak dengan pensyarah, ia tidak akan berguna juga.

Jangan juga cepat putus asa. Carilah orang yang betul untuk menolong anda. Banyak orang ingin menolong anda ketika anda tidak bermasalah. Tatkala masalah melanda anda, mereka akan meninggalkan anda begitu sahaja.

Ingat pesan ini. Jangan juga cepat lupa asal usul. Habis belajar, pulanglah ke Malaysia. Tidak mengapalah kalau gaji kecil sekalipun. Tidak mengapalah kalau banyak masalah di negara kita. Kita perlu memperbetulkannya. Kita dibayar oleh rakyat untuk membantu negara, bukan untuk mengumpul harta.

Sekalipun nanti bahasa Inggeris anda luar biasa hebatnya, jangan lupa bahawa kentut anda akan berbau petai juga akhirnya.

Aku tidak boleh menulis banyak. Kerana aku yang akan bercakap di hadapan mereka Sabtu ini.

Selamat datang!

Tuesday, 8 February 2011

Siapa sahabat anda - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapakah kawan kita. Cuba anda hitung berapa banyak sahabat yang anda ada. Hitung pula musuh anda. Berapa banyak musuh yang anda miliki.

Sekiranya anda mempunyai Facebook (aku tidak ada) - lihat pula mereka yang dihubungkan dengan anda.

Apa yang anda pelajari?

Sahabat kepada sahabat anda boleh jadi sahabat anda juga. Musuh kepada sahabat anda berpotensi menjadi musuh anda pula. Sahabat kepada musuh anda besar kemungkinannya adalah musuh anda. Musuh kepada musuh anda mungkin ialah sahabat anda.

Sebab itulah dalam ruang lingkup hidup kita - kita biasanya menemui orang yang sama sahaja. Kerana banyak dari sahabat kita ialah sahabat kepada sahabat kita yang lain. Di kalangan mereka, mungkin tidak semuanya akrab. Tetapi mereka ialah sahabat kita.

Musuh kita - adakalanya bukanlah musuh sebenar kita. Kita mungkin tidak pernah bertemu dengan mereka sama sekali. Tetapi, mereka telah menjadi musuh kerana mereka tidak berpandangan sama dengan sahabat kita. Mereka mungkin telah menyakitkan hati sahabat kita.

Atas alasan itu - anda jangan sesekali membuat 'honar' atau 'spoil' dengan seseorang. Kerana dengan cara itu, anda bukan sahaja susah untuk mendapat rakan baru, anda juga mungkin mempunyai banyak musuh yang tidak anda ketahui.

Konsep persahabatan ini banyak dibincangkan dalam bidang psikologi sosial. Bagaimana pun, dengan kewujudan Facebook dan banyak aplikasi online, definisi sahabat nampaknya telah berubah. Mereka mungkin teman-teman yang selalu membaca blog kita. Mereka mungkin teman yang selalu memberi komen di Facebook kita. Semua ini adalah definisi sahabat yang baru.

Sebenarnya telah banyak kajian psikologi dilakukan mengenai persahabatan Facebook. Kalau aku rajin, aku akan menulisnya.



-----------------
Petikan tulisan novel aku hari ini.

'Setiap hari terbangun dari tidur, aku tahu bahawa aku sedang menuju kematian. Kematian sedang mengejarku. Aku takut', Muhsin cuba menegaskan falsafah hidupnya. 'Tidak, bagi aku, bingkas sahaja aku turun dari katil itu, aku sedang menghadapi kehidupan yang baru. Ada peluang baru yang sedang menanti. Kita perlu bersiap sedia Muhsin', Joe mencelah.

'Kau lihat bunga itu, dari putik ia berkembang. Itulah kehidupan kita', Joe menegakkan prinsipnya.

'Mengapa tidak engkau lihat bunga yang gugur'. Setiap hari ada bunga yang layu. Tidak ada siapa ambil peduli'. Muhsin tetap dengan pendiriannya.

"Kau terlalu obsess, Sin. Kau terperangkap dengan prinsip yang salah. Kau sudah menjadi manusia neorosis' - Joe cuba menenangkan Muhsin.

Celaka. Dia datang lagi. Kedua-dua mereka memerhatikan pemuda berbaju kemeja putih yang sedang turun dari kereta BMW hitam itu.

Thursday, 3 February 2011

Meminta budi, menolak budi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita selalu mendengar pepatah ini - orang berbudi kita berbahasa. Tetapi, ia hanya pepatah yang mungkin sudah patah bagi sesetengah orang.

Ada orang yang meminta budi orang, tapi caranya sangat janggal. Dia mengirimkan email meminta budi. Tapi caranya menulis tidak sesuai dengan hajatnya. Misalnya, 'datang ambil saya'.

Siapa kita meminta tolong dari orang lain tanpa memperkenalkan diri terlebih dahulu? Ingat, orang lain bukan balaci kita. Orang lain ialah manusia juga. Sesekali rendahkan diri sedikit sebelum meminta budi dari orang lain. Mungkin benar kita orang besar, ada banyak wang. Tetapi orang yang bakal menolong kita tidak peduli semua itu.

Mereka tidak meminta apa-apa. Mereka cuma mengharapkan sedikit pengenalan diri sebagai salam perkenalan. Kalau kita yang mengharapkan budi orang, tidak tahu etika hidup ini, maka lebih baik jangan meminta apa-apa dari orang lain. Dalam dunia ini, manusia seperti ini ada dalam kelompoknya sendiri. Mereka tidak layak berurusan dengan orang lain.

Ada pula orang, yang dihulurkan budi baik. Tetapi mereka ini menolaknya dengan cara yang teruk. Tidak menerima pertolongan orang tidak mengapa. Tetapi menolak dengan cara yang kasar dan sombong - menjadi anda sebagai orang yang menjadi perhatian. Bukan menjadi perhatian seperti Ariel Peter Pan naik mahkamah.

Orang menanti untuk melihat siapakah manusia yang pelik ini? Orang sedang menanti melihat orang yang tidak bijak meminta budi, tidak cerdik menolak budi.

Aku juga tentunya.

Friday, 5 March 2010

Selamat datang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak seminggu kebelakangan ini, ramai pelajar baru dari Malaysia datang. Aku kira, mereka tentulah orang yang pintar - yang lulus dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan mereka. Umur mereka tentulah masih belasan, atau awal 20-an. Selamat datang aku ucapkan.

Siapa pun mereka, dari mana latar belakang sekalipun - mereka akan menjadi manusia musafir seperti aku juga. Mereka terpaksa meninggalkan banyak kenangan indah di negara sendiri. Meninggalkan ibu dan ayah, sahabat handai dan saudara mara. Mereka akan menemui komuniti baru di sini.

Seperti aku juga - mereka akan diharapkan pulang dengan ijazah. Pulang dengan kejayaan.

Mereka ini sebenarnya kumpulan yang bernasib baik. Tidak semua anak muda mampu ke luar negara jika dihitung kepada usia mereka. Bahkan, belum tentu orang dewasa juga mampu memijak bumi asing seumur hayat mereka. Mereka juga akan dihadapkan dengan persekitaran ilmu yang lebih baik. Budaya asing yang tertib. Budaya menghormati undang-undang. Menjaga kebersihan. Inilah ilmu baru yang mereka pelajari nanti.

Sekalipun mereka akan merasa sepi - merasa bosan - dan sesekali ditimpa simptom 'separation anxiety', jangan bimbang. Ia dirasai semua orang. Semua orang akan tetap mengenang asal usulnya.

Selamat belajar. Ingat, anda adalah pelajar pintar. Tetapi jangan sesekali merasa besar diri dengan peluang itu. Jadilah diri anda sendiri. Anda tidak akan kehilangan apa pun. Sekiranya anda menjadi besar diri dan besar kepala, kelak ia bakal membakar diri anda.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails