Yang Ikut

Showing posts with label psikologi sosial. Show all posts
Showing posts with label psikologi sosial. Show all posts

Monday, 14 February 2011

Ini cinta online

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Zaman berubah, dunia berubah. Cara manusia jatuh cinta dan patah hati juga berubah.

Dulu orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya. Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab - bernasib baik akan dijawab. Kini posmen tidak lagi menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta. Mereka lebih banyak menghantar surat saman dan bil tertunggak.

Dunia hari ini - semua jenis applikasi online - Facebook, Twitter, MySpace, email dan sms menjadi medium baru manusia jatuh cinta.

Pernahkah anda jatuh cinta kerana perangkap online? Tentu ada, dan ada yang tidak.

Tahun 2006 - Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh dirinya kerana teman lelakinya, Jose telah menyakiti hatinya, dan tiba-tiba memutuskan hubungan online. Dua minggu setelah Josh tidak pernah membalas mesejnya, Megan akhirnya membunuh diri. Malang sekali, 'Josh' sebenarnya tidak pernah ujud. Ia hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapa teruna palsu itu.

Kerana dunia online ialah dunia kita, dunia hari ini, kini banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan sahaja, lebih dari 20 juta pengunjung melakukan dating secara online sekurang-kurangnya sekali.

Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali manusia melakukan komunikasi secara online. Anda sebagai pengguna Facebook atau Yahoo Mesengger tentu pernah merasakannya walaupun anda tidak tahu bagaimana untuk menghuraikannya.

Dikatakan bahawa melalui komunikasi online - manusia akan mengalami 'disinhibition effect'. Dalam keadaan lebih bersifat anynomous - didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Ia lebih baik dibandingkan secara berhadapan.

Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan manusia befikir dahulu apa yang patut ditulis, dan bagaimana untuk mempersembahkan diri.

Dikatakan juga - komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar - true self. Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar, tetapi watak, sifat dan diri mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.

Sebab itulah, dalam banyak situasi - ada manusia baik yang boleh kita temui melalui online. Bagaimana pun, jangan juga terpedaya. Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini. Ada yang memanfaatkan kelemahan ini - menjadikan ada orang yang telah dijual ke Amerika Latin kerana terpedaya dengan cinta palsu.

Lain kali aku tulis lagi.

Wednesday, 9 February 2011

Bagaimana manusia melihat manusia?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari, apabila kita memerhatikan orang lain, termasuk mereka yang tidak dikenali, kita seolah-olahnya sudah boleh membaca perwatakan mereka. Seolah-olahnya kita tahu mereka ini manusia baik atau berhati buruk.

Kajian psikologi menemukan bahawa adakalanya orang luar mampu membaca perwatakan kita lebih baik dari apa yang kita sangkakan (penyelidik, baca Pronin, Kruger, Savitsky, & Ross, 2001; Vazire & Mehl, 2008). Sebab itulah, manusia ini adakalanya disifatkan seperti iceberg - yang sebahagiannya diketahui orang lain, dan sebahagiannya hanya kita yang ketahui. Tetapi, sejauh mana besarnya bahagian yang diketahui itu berbeza-beza dari seorang individu kepada orang lain.

Bagaimana pun, ada satu asas penting dalam hal ini. Kita mempunyai penilaian berbeza terhadap diri sendiri, berbanding menilai orang lain. Begitu juga dengan orang lain. Mereka menilai mereka dengan cara yang berbeza, berbanding apabila diminta menilai orang lain.

Kajian mendapati kita bias dalam menilai diri sendiri. Kita cenderung untuk menilai diri sendiri sebagai berubah-ubah mengikut keadaan, sebaliknya kita cenderung menilai orang lain sebagai bersifat tekal dalam apa keadaan sekalipun.

Misalnya, apabila kita bersifat cemas, kita akan berkata bahawa kita hanya cemas kerana diuji dengan ujian berat. Tetapi dalam waktu normal, kita tidak begitu. Sebaliknya, kalau kita menilai orang lain, kita akan berkata bahawa orang itu selalu sahaja bersifat cemas tidak kira masa.

Mengapa keadaan ini berlaku?

Ini diasaskan oleh beberapa faktor.

1) Ilusi positif - manusia cenderung untuk mempunyai ilusi positif terhadap diri sendiri. Misalnya kita tidak akan mati muda, walaupun kita tahu banyak orang lain yang mati muda. Kita juga tidak akan diserang kanser walaupun kita kuat merokok. Bagaimana pun, kalau diminta menilai orang lain yang merokok, kita cenderung berkata mereka akan diserang penyakit. Kita juga cenderung menilai kita sebagai orang baik, walaupun orang lain menilai kita sombong. Sebaliknya kita menilai orang lain sebagai sombong, walaupun orang itu menilai diri mereka baik.

2) Penolakan majmuk - Kita cenderung untuk tidak mahu berkawan dengan orang luar (walaupun orang luar mahu berkawan) kerana kita cenderung untuk menjangkakan bahawa mereka itu tidak berminat dengan persahabatan. Tetapi pada masa yang sama, kita pula berkata bahawa kita ini sebenarnya seorang yang ingin bersahabat, cuma terpaksa tidak memulakannya kerana kita bimbang akan ditolak.

Begitulah sebahagian dari bagaimana kita melihat dan menilai manusia.

Bersambung (kalau rajin).

Tuesday, 8 February 2011

Siapa sahabat anda - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapakah kawan kita. Cuba anda hitung berapa banyak sahabat yang anda ada. Hitung pula musuh anda. Berapa banyak musuh yang anda miliki.

Sekiranya anda mempunyai Facebook (aku tidak ada) - lihat pula mereka yang dihubungkan dengan anda.

Apa yang anda pelajari?

Sahabat kepada sahabat anda boleh jadi sahabat anda juga. Musuh kepada sahabat anda berpotensi menjadi musuh anda pula. Sahabat kepada musuh anda besar kemungkinannya adalah musuh anda. Musuh kepada musuh anda mungkin ialah sahabat anda.

Sebab itulah dalam ruang lingkup hidup kita - kita biasanya menemui orang yang sama sahaja. Kerana banyak dari sahabat kita ialah sahabat kepada sahabat kita yang lain. Di kalangan mereka, mungkin tidak semuanya akrab. Tetapi mereka ialah sahabat kita.

Musuh kita - adakalanya bukanlah musuh sebenar kita. Kita mungkin tidak pernah bertemu dengan mereka sama sekali. Tetapi, mereka telah menjadi musuh kerana mereka tidak berpandangan sama dengan sahabat kita. Mereka mungkin telah menyakitkan hati sahabat kita.

Atas alasan itu - anda jangan sesekali membuat 'honar' atau 'spoil' dengan seseorang. Kerana dengan cara itu, anda bukan sahaja susah untuk mendapat rakan baru, anda juga mungkin mempunyai banyak musuh yang tidak anda ketahui.

Konsep persahabatan ini banyak dibincangkan dalam bidang psikologi sosial. Bagaimana pun, dengan kewujudan Facebook dan banyak aplikasi online, definisi sahabat nampaknya telah berubah. Mereka mungkin teman-teman yang selalu membaca blog kita. Mereka mungkin teman yang selalu memberi komen di Facebook kita. Semua ini adalah definisi sahabat yang baru.

Sebenarnya telah banyak kajian psikologi dilakukan mengenai persahabatan Facebook. Kalau aku rajin, aku akan menulisnya.



-----------------
Petikan tulisan novel aku hari ini.

'Setiap hari terbangun dari tidur, aku tahu bahawa aku sedang menuju kematian. Kematian sedang mengejarku. Aku takut', Muhsin cuba menegaskan falsafah hidupnya. 'Tidak, bagi aku, bingkas sahaja aku turun dari katil itu, aku sedang menghadapi kehidupan yang baru. Ada peluang baru yang sedang menanti. Kita perlu bersiap sedia Muhsin', Joe mencelah.

'Kau lihat bunga itu, dari putik ia berkembang. Itulah kehidupan kita', Joe menegakkan prinsipnya.

'Mengapa tidak engkau lihat bunga yang gugur'. Setiap hari ada bunga yang layu. Tidak ada siapa ambil peduli'. Muhsin tetap dengan pendiriannya.

"Kau terlalu obsess, Sin. Kau terperangkap dengan prinsip yang salah. Kau sudah menjadi manusia neorosis' - Joe cuba menenangkan Muhsin.

Celaka. Dia datang lagi. Kedua-dua mereka memerhatikan pemuda berbaju kemeja putih yang sedang turun dari kereta BMW hitam itu.

Thursday, 4 November 2010

'Kasyaf' dalam psikologi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda tentu telah membaca berita bagaimana seorang bekas pemimpin masyarakat yang tidak mahu bersalam dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana kononnya dia melihat itu ialah tangan syaitan. Kononnya, ia melihat ini bersandarkan kepada kasyaf yang dia miliki. Kita tidak perlu mengulas hal kasyaf ini, kerana ia melibatkan hal agama. Dr Asri sudah mengulasnya di Malaysiakini.

Dalam psikologi - ada hal yang mirip dengan konsep kasyaf dalam Islam, tetapi ia tidaklah serupa. Ia dikenali intuisi. Dalam bahasa mudah, ia adalah gerak hati. Dalam bahasa psikologinya - 'The heart has its reasons which reason does not know'. Dalam bahasa yang kian sulit 'We know more than we know we know'. Atau kita rasa seperti kita tahu, tetapi kita tidak tahu bagaimana untuk memberitahunya.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi intuisi ini?

Adakalanya apabila barang kita hilang, gerak hati kita sepertinya memberitahu bahawa barang itu akan ditemui semula. Kita juga adakalanya terasa seperti peperiksaan yang bakal kita hadapi besok pagi boleh dijawab. Adakalanya ibu kita terasa seperti ada anak-anaknya yang tinggal berjauhan sedang sakit atau ditimpa musibah. Ada perasaan tertentu yang memberikan kita isyarat ini.

Kita tahu, tetapi tidak tahu apa alasan untuk kita berkata begitu. Itulah yang dikatakan intuisi. Bagaimana pun, ingat - ini bukan kasyaf. Ini hanya gerak hati.


Para penemuduga boleh menerima atau menolak seseorang bukan kerana jawapan yang diberikan oleh calon. Adakalanya ia hanya berdasarkan intuisi.

Lebih sepuluh tahun dulu, di Ladang Laka Temin, Bukit Kayu Hitam - seorang polis bantuan telah meminta isterinya membelikan beras dan bahan makanan untuk dibuat kenduri kerana katanya dia akan mati besok hari. Kebesokan harinya dia benar-benar mati. Ini juga mungkin berdasarkan konsep intuisi ini.

Orang yang biasa mencari ikan di musim kemarau - adakalanya ada kemahiran ini. Mereka seolahnya tahu ada ikan haruan di tempat tertentu. Ia berdasarkan 'petanda' tertentu. Tidak semua orang boleh tahu hal ini. Bagaimana pun, kalau ditanya bagaimana mereka tahu, mereka juga tidak tahu.

Para pemain catur, seolahnya tahu kalau mereka menggerakkan buah catur tertentu, lawan mereka akan menggerakkan buah catur tertentu yang menyebabkan mereka bakal kalah. Ini mungkin contoh paling mudah. Konsep intuisi ini dikatakan sebagai pembeza di antara pemain pakar dan novis.

Adakah gerak hati kita selalu betul?

Mungkin ya dan mungkin tidak.

Ada beberapa kajian dalam hal intuisi ini.

Pesakit prosopagnosia - atau mereka yang mengalami kerosakan otak yang tidak dapat dalam membezakan wajah manusia (penyakit buta wajah) , apabila ditunjukkan gambar orang tertentu, degupan jantung mereka didapati meningkat menunjukkan bahawa gerak hati mereka tahu orang yang ditunjukkan. Begitu juga dengan mereka yang mengalami buta blindsight - apabila ditunjukkan bilah kayu, mereka mengatakan mereka tidak nampak apa-apa. Bagaimana pun, apabila diminta meneka sama ada bilah kayu itu menegak atau baring - mereka boleh menjawabnya dengan tepat.

Semua ini menunjukkan gerak hati adakalanya benar. Bagaimana pun, dalam banyak keadaan tidaklah bermakna bahawa intuisi ini boleh selalu digunakan. Ia mungkin hanya berguna untuk diri sendiri, tetapi tidak wajar dimaklumkan kepada orang lain. Apatah lagi, dalam hal yang mungkin menyebabkan kerosakan kepada pihak yang satu lagi.

Ia mungkin hanya untuk diri kita sendiri. Simpan dan diam telahan hati kita itu di dalam hati. Kalau salah pun tidak mengapa.

Thursday, 22 April 2010

Sejak bila kita mula berbohong?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya apabila kita berbual dengan seseorang, atau mendengar ucapan - besar kemungkinan kita sedang ditipu bagi satu-satu perkara. Itu hakikat yang perlu kita hadapi setiap hari - setiap saat.

Thomas Jefferson - Presiden Amerika Syarikat ke-3 pernah berkata:
"He who permits himself to tell a lie once finds it much easier to do it a second and third time, till at length it becomes habitual; he tell lies without attending to it,.." .

Adakah apa yang diucapkan oleh Presiden itu juga berbohong. Mungkin tidak. Kajian psikologi selepasnya membuktikan bahawa manusia lebih mudah untuk berbohong ketika bercakap, berbanding ketika menulis.

Kenapa begitu?

Sebab apabila bercakap - kita cenderung mengubah perkataan kita bagi menyesuaikannya dengan orang yang mendengar. Kita cenderung bercakap apa yang ingin orang lain dengar. Kita telah memasukkan perkataan bohong didalamnya agar ia sedap didengar.

Kita mungkin telah memulakan kata-kata bohong ini lama dahulu. Dari sehari ke sehari, kita mungkin tidak sedar ada sahaja patah bohong dalam perbualan kita. Hingga akhirnya kita tidak sedar lagi bila waktunya kita berbohong.

Kalau orang biasa pun begitu - apatah lagi orang yang memang terpaksa bercakap atau berucap bagi memenangi hati orang lain. Sebab itu, anda jangan bimbang sangat kalau ahli politik tidak menunaikan janji mereka.

Wednesday, 17 March 2010

Siri kuliah psikologi 1: mengapa disukai

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengapa orang disukai? Terima kasih kepada yang memberikan respons bagi tajuk ini sebelumnya. Tulisan ini juga panjang. Sila ambil masa anda.
=======================================

Ramai orang bertanggapan bahawa orang disukai kerana penampilan/tarikan fizikal. Ia penting, tetapi bukan semestinya utama.

Faktor lain yang mempengaruhi orang menyukai orang lain ialah proximity (kedekatan), dan merasa disukai.

Kedekatan

Apakah yang dikatakan kedekatan?

Kedekatan merujuk kepada kekerapan interaksi di antara individu. Ia dikatakan faktor yang paling kuat. Orang yang menarik, tetapi tidak pernah bertemu dengan orang lain tidak akan disukai. Orang yang biasa-biasa sahaja, tetapi kerana kekerapan kita berjumpa, akan dilihat menarik juga akhirnya. Sebab itu, bukan semua sahabat baik kita mempunyai wajah tampan atau cantik. Tetapi mereka disukai kerana kita selalu berjumpa dan berbual dengan mereka.

Orang yang tinggal sebilik di asrama, atau sering melalui pintu masuk yang sama lebih cenderung untuk saling menyukai. Begitu juga jiran yang paling dekat dengan kita akan lebih disukai dibandingkan dengan jiran yang selang beberapa buah rumah.

Ini memudahkan peluang mereka disukai. Sebab itu, kita lihat banyak orang yang bercinta atau berkahwin - biasanya ialah mereka yang pernah kerja dalam satu pejabat, atau belajar di universiti yang sama. Sangat mustahil orang berkahwin dengan orang yang tidak pernah ditemui atau dikenali.

Sekiranya anda berpindah ke kawasan tempat tinggal yang baru - adalah wajar untuk anda selalu ke surau/masjid bagi memudahkan anda dilihat orang. Anda akan lebih disukai berbanding dengan orang yang tidak pernah ditemui orang.

Kedekatan dalam hal ini juga merujuk kepada kekerapan interaksi secara emosi. Bekas pelajar dari Universiti Adelaide misalnya akan merasa cepat mesra dengan mereka yang lulus dari universiti yang sama. Orang juga cepat mesra dengan orang yang datang dari negeri yang sama.

Kedekatan ini jugalah yang selalu dijadikan asas oleh ahli politik. Mereka yang selalu dilihat atau ditampilkan dalam akhbar menjadikan kita merasa mereka itu sebagai orang yang dekat dengan kita. Sebab itu, kalau anda cuba klik laman http://malaysia.msn.com/ anda akan dapati ada nama seorang ahli politik pada bahagian popular search. Kita tidak pasti adakah itu sebahagian dari strategi kedekatan ini, sedangkan logiknya tidaklah banyak isu yang berkait dengan ahli politik terbabit.

Jadi - salah satu cara untuk disukai - ialah menggunakan elemen kedekatan ini. Kita mungkin tidak ada banyak wang untuk mengiklan diri di akhbar, tetapi kita boleh menjadikan kita dekat dengan orang lain dengan cara yang murah. Menaiki bas yang sama pada masa yang sama dengan seseorang yang kita suka, memungkinkan menjadi mesra. Kalau tidak, boleh juga mencipta peluang dengan melalui lorong yang sama di pejabat juga memungkinkan ia membuahkan hasil.

Bagaimana pun, satu hal yang perlu anda tahu - sebagaimana kedekatan boleh menyebabkan kita disukai, ia jua boleh menyebabkan kita dibenci. Banyak orang yang ditembak atau menjadi mangsa keganasan ialah orang sering ditemui.

Untuk baca bahagian selanjutnya klik pautan di bawah.


Nota: tulisan ini boleh digunakan bagi tujuan kebaikan dengan syarat menyatakan sumber rujukan dari laman ini.

Mengapa seseorang disukai?

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengapa seseorang disukai dan kelihatan menarik?

Adakah kerana wajah yang tampan?
Pandai berkomunikasi?
Kelihatan cerdik dan bijak?
Cantik dan menarik?

Apakah jawapannya pada pendapat anda? Atau bagaimana anda merasakan mengapa seseorang itu disukai.

Ingat, orang mungkin sudah lama tahu "you can't judge a book by its cover" dan 'beauty is only skin deep'.

Sekiranya anda rajin, anda boleh memberikan pandangan anda. Besok baru kita mulakan kuliah bagi tajuk ini.

Tuesday, 16 March 2010

Jangan optimistik dalam semua hal

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari - ketika mula memandu di jalanraya, kita tidak pernah akan beranggapan bahawa ada kemungkinan kita akan terlibat dalam kemalangan. Kita akan selalu mengandaikan bahawa hanya orang lain yang akan terlibat dalam kemalangan. Kita mungkin tidak tahu bahawa kemalangan jalanraya berlaku setiap minit, dan salah seorang mangsanya ialah kita.

Apabila mendengar berita ada orang ditimpa sakit teruk, kita tidak pernah pun merasa yang kita juga akan terkena penyakit yang sama. Kita dengan yakin berkata bahawa bukan kita yang akan diserang penyakit kencing manis, walaupun setiap hari kita minum teh tarik. Kita juga mungkin tidak akan diserang penyakit barah walaupun setiap minit kita menyalakan rokok.

Setiap hari -apabila ada berita ragut di kaca televisyen, kita juga selalu menyalahkan mangsa. Kita menyalahkan mereka kerana tidak membawa beg tangan dengan betul, atau sangat suka menunjukkan perhiasan. Kita tidak pernah beranggapan bahawa kita juga ada kemungkinan akan diragut pada satu hari nanti.

Apakah simptom ini? Di dalam psikologi, hal ini kita namakan sebagai "Unrealistic Optimism". Walaupun kita perlu optimistik dalam banyak hal, tetapi adakalanya optimistik inilah yang telah membunuh kita dan banyak manusia di dunia. Tentera Amerika kalah perang di Cuba, Vietnam dan yang terakhir di Iraq ialah kerana sifat ini. Barisan Nasional juga mungkin mengalami kemerosotan pilihanraya lalu kerana terlalu optimistik. Beberapa hari lepas, setelah mendahului 3-0 dalam 20 minit pertama, pasukan gergasi Juventus akhirnya terpaksa seri 3-3 dengan pasukan tercorot, Siena dalam liga Serie A.

Jadi, hal optimistik ini bukanlah hal pelik. Ia menimpa sesiapa sahaja.

Kajian-kajian menunjukkan walaupun separuh dari warga muda Amerika tahu yang sebahagian besar perkahwinan di negara tersebut berakhir dengan penceraian, mereka yakin bahawa ia tidak berlaku terhadap mereka. Gadis-gadis mudanya yang hanya kadang-kadang sahaja memakai kondom, juga percaya bahawa kemungkinan mereka akan terdedah untuk mengandung adalah kecil.

Semua ini adalah gejala unrealistic optimistic. Sebab itu jangan terkejut kalau ramai anak muda kita yang suka merempit di jalanraya, kerana mereka percaya mereka tidak akan mati. Yang menagih dadah juga percaya bahawa hanya orang lain yang akan mengidap HIV. Yang melakukan rasuah pula percaya bukan mereka yang akan ditangkap. Pasangan yang memadu kasih di taman bunga juga percaya bahawa bukan mereka yang akan ditangkap basah.

Semua ini adalah hal optimistik. Jadi, bukan semua hal kita patut optimistik.

Yang berminat membaca buku, sila cari kajian-kajian oleh Lehman & Nisbet.

Nanti kita bincang hal Hitler pula.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails