Yang Ikut

Friday, 17 April 2009

Adelaide di petang Jumaat

Reactions: 
Adelaide di petang Jumaat memang mengkhayalkan. Tidak ramai lagi manusia Australia yang akan bekerja sehingga lewat petang. Jam dua atau tiga petang mereka masing-masing akan cabut menghilangkan diri. Jumaat petang bukanlah waktunya untuk mereka berkerja.

Kedai-kedai minum (baca: mabuk) di sepanjang Frome Street atau di sepanjang lorong Rundle Mall akan dipenuhi oleh warga manusia. Mereka beratur panjang juga di kebanyakan lampu isyarat menunjukkan betapa gembiranya mereka menunggu hari Sabtu. Mereka mungkin akan berhibur malam ini di disko-disko di Hindley Street yang juga ada gadis-gadis 'stripper' yang memberahikan. Tidak jauh dari rumah aku di Henley Beach Road dan George St ada juga 3 buah disko seperti itu.

Adelaide di petang Jumaat adalah bandar yang sepi. Tidak ada keindahannya untuk manusia seperti kita yang tidak tahu jenama air mabuk yang dijual di sepanjang jalan. Tidak juga ada keindahannya kalau kita tidak tahu mengetuk pintu disko untuk sesekali bermain 'pookies'. Di sini semua keseronokan itu telah diciptakan dengan baik untuk dimanfaatkan.

Pagi tadi, jam 11, ketika di dalam bas aku sempat berbual dengan seorang manusia Australia asalnya dari Darwin yang tahu dengan jelas selok belok Malaysia. Dia adalah bekas jurulatih squasy di Malaysia tahun 1978. Dia kenal baik dengan dua putera raja dari Malaysia pada waktu itu kerana dia berkerja dengan mereka. Dia juga tahu kehebatan Malaysia dalam sukan itu sekarang ini. Tahu juga dia akan KLCC.

Tetapi, dari segi gayanya hidupnya kini - dia mungkin seorang gelandangan sahaja. Katanya dia sedang menuju ke panggung wayang untuk menonton. Dia juga katanya boleh meramal nombor judi yang bakal naik. Dia menang $70 dua minggu lepas, dan tahun lalu menang $5,000. Ketika melihat muka aku, dia berkata aku bernombor 35. Dia kata akan menunggu seseorang lagi untuk mendapatkan dua lagi angka. Hah. Ini angkara manusia mabuk judi. Tapi bagi dirinya, itulah kegembiraan.

Itulah cerita Adelaide di petang Jumaat. Tidak ada apa pun yang meriangkan bagi orang seperti kita. Ia hanya bandar untuk manusia berangan-angan. Dan aku - masih lagi terpacak merenung monitor di dalam pejabat yang tiada manusia. Entah apa yang aku harapkan.

Selamat malam Adelaide. Moga besok hari akan tetap berseri lagi.

Isnin nanti kita mulakan lagi.

1 comment:

ihsan_huhu said...

Judi & clubbing; abes duit kat situ je diorg yg kaki nih

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails