Yang Ikut

Monday, 20 April 2009

Psikologi cinta: siri 1

Reactions: 
Sesekali bagaimana sekiranya jika kita berbincang hal yang berkaitan psikologi cinta pula.

Ini cerita lama. Cerita sekitar tahun 2006.

Ceritanya, gadis ini menghadapi masalah cinta yang menyebabkan dia tenggelam punca. Hubungannya dengan seorang remaja lelaki, pelajar juga - sudah diputuskan. Malangnya pelajar lelaki tadi masih tetap ingin menjalinkan hubungan dengannya walaupun dia tidak suka lagi. Menjadi masalah kepada pelajar wanita tadi kerana bekas teman lelakinya mengugut untuk membunuh diri. Ini menjadikan dia rasa bersalah kalau perkara itu benar-benar terjadi.

Dalam keadaan seperti ini, jikalah anda gadis tadi, apa yang patut anda lakukan. Patutkah anda kembali kepada lelaki tadi semata-mata untuk tidak membiarkannya membunuh diri?

Sebagai seorang lelaki - aku menjangkakan ugutan untuk membunuh diri tadi hanyalah helah sahaja. Kalau benar sekalipun, apa yang boleh kita lakukan?

Jadi - dalam perbincangan itu aku menyatakan betapa sebagai manusia, kita tidak mampu mengawal apa yang akan berlaku terhadap orang lain. Ibaratnya, ketika kita berada di tepi jalan, tiba-tiba ada kemalangan yang menyebabkan kematian yang berlaku di depan mata, adakah kita yang bersalah?

Kita bersalah kalau kita menolak orang tadi sehingga dilanggar kenderaan. Tetapi, kalau secara tiba-tiba orang yang berakal tadi mengambil tindakan menerkam ke arah kereta yang sedang bergerak, itu bukan salah kita. Kita tidak mampu mengawal apa yang bakal berlaku ke atas orang lain. Orang tadi - yang dikurniakan akal - sepatutnya bijak untuk menjaga dirinya sendiri. Kita hanya sekadar melakukan apa yang terdaya sahaja. Selebihnya bukan kuasa kita.

Memang, sebagai manusia kalau boleh kita inginkan semua perkara berjalan secara teratur. Tidak ada perang, pembunuhan, jenayah atau apa sahaja. Tetapi, adakah cukup dengan hanya 2 tangan kita untuk mengawal semua itu? Kita hanya boleh mengawal apa yang boleh kita kawal, selebihnya bukan hak kita. Yang boleh kita lakukan ialah mengawal diri kita.

Jadi - dalam soal putus cinta, itu satu hal. Hal bekas teman lelaki ingin membunuh diri, itu bukan hal kita. Kita tidak bercinta semata-mata dipaksa atau diberikan satu-satu syarat. Kita bercinta kerana menyayangi seseorang. Kalau kita tidak lagi saling menyayangi, atau tidak lagi sehaluan - kita tidak lagi boleh dianggap sebagai manusia bercinta. Sama ada kita berhasrat ingin menjalin semula hubungan atau tidak, itu hak kita. Tentu ada banyak pertimbangan yang telah diberikan.

Jadi - apabila lelaki itu mengugut untuk membunuh diri - kita tidak boleh menganggap bahawa kitalah punca kepada kejadian tadi. Lelaki tadi juga mempunyai akal. Dia juga ada tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan agamanya. Sekiranya lelaki yang kecewa bercinta sanggup untuk membunuh diri, adakah dia sanggup menghadapi cabaran lain yang lebih besar bila berkahwin nanti.

Lelaki tadi patut memberikan alasan lain untuk menjalin hubungan. Alasan akan membunuh diri adalah sesuatu yang tidak rasional dan tidak bersifat gentleman. Sebab itulah, aku katakan ia hanya satu helah lelaki. Lelaki yang hebat tidak mudah putus asa. Dia akan terus berusaha mendapatkan semula kepercayaan.

Banyak gadis-gadis yang sebenarnya tergoda atau terpedaya dengan helah kaum lelaki. Mereka kadang-kadang dijanjikan dengan kebahagiaan, dan kadang-kadang diancam dengan kesulitan. Dalam kedua-dua keadaan ini, adakalanya mereka terperangkap dan tertipu. Banyak yang terjual dan tergadai hanya kerana kata-kata lelaki - yang kadang-kadang tidak masuk akal.

Menggunakan alasan membunuh diri samalah seperti seorang laki-laki yang menjanjikan bulan untuk pasangannya. Ia sangat sukar berlaku, apatah dalam dunia ketika jumlah wanita lebih banyak daripada lelaki. Apakah mereka benar-benar kecewa dengan kehilangan seorang wanita, sedangkan ada 1,000 lagi wanita di hadapannya?

Nanti kita sambung. Ini baru pengenalan. Kita bercakap berkaitan psikologi cinta dari perspektif akademik. Kita akan membincangkan teori cinta.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails