Yang Ikut

Tuesday, 7 April 2009

Beza sikap dan tabiat

Reactions: 
Sebenarnya dua atau tiga hari ini agak malas untuk menulis. Bila Sdr Zarzh minta aku tulis fasal beza antara sikap dan tabiat, maka aku rasa aku patut tulis sedikit. Bagaimana pun, untuk yang teringin mendalami hal-hal ini, bolehlah menggoogle di internet dengan nama 3 manusia ini: i) BJ Watson, ii) Ivan Pavlov dan iii) BF Skinner.

Ketiga-tiga manusia ini antara kumpulan awal dalam pengkajian psikologi. Mereka ini menggunakan binatang dalam membuat kesimpulan terhadap tingkahlaku manusia. Sebab itu, dahulu zaman aku mengaji, kami juga kadang-kadang kena masuk makmal untuk bedah dan buli tikus seperti yang banyak dibuat oleh Cik Aini sekarang. Walaupun aku tidak berapa setuju sangat dengan aliran menggunakan binatang untuk menafsir tingkahlaku manusia, tetapi dalam konteks tulisan ini aku patut bagi contoh binatang juga.

Bagaimana yang dikatakan tabiat? Tabiat boleh berlaku apabila perbuatan itu diulang-ulang. Selalunya ia bermula dengan adanya rangsangan (stimulus). Misalnya ayam yang diberi makan. Hari pertama kita tabur beras. Jadi, semua ayam satu reban datang makan sebab beras mungkin sedap. Bila setiap hari kita tabur beras, dan ayam akan datang makan. Dalam hal ini, beras akan jadi stimulus dan perbuatan ayam lari keseronokan datang makan kita panggil tingkahlaku (dalam kes ini, tabiat).

Adakah ayam hanya akan seronok dengan beras? Mungkin tidak juga. Katakan begini. Setelah seminggu, kita taburkan pula pasir. Ayam akan datang berlari keseronokan juga walaupun kemudiannya baru ia tahu telah ditipu. Kerana dia telah dilazimkan dengan melihat butir-butir putih. Kalau setiap hari kemudiannya kita tabur pasir, lama-lama ayam tidak akan datang lagi walaupun kita taburkan beras pula. Sebab tabiat itu tidak ada lagi sebarang makna. Mengapa lari keseronokan untuk benda yang tiada makna?

Mak kita di kampung, bila memberi makan ayam misalnya, akan membunyikan "Kruuk". Bunyi 'kruuk' ini tidak ada makna. Katakan ayam yang baru menetas, atau yang baru dibawa dari Australia, apabila kita membunyikan "kruuk', ia mungkin tidak datang. Sebab mereka tidak pernah mendengar bunyi kruuk sebelum ini.

Bagaimana pun, apabila setiap hari apabila bunyi kruuk itu disertakan dengan menabur beras, maka lama-kelamaan, dengan hanya membunyikan 'kruuk' sahaja ayam akan datang juga. Pada peringkat ini, bunyi tadi sudah menjadi stimulus juga.

Apa kaitannya dengan tingkahlaku manusia.

Tingkahlaku manusia juga banyak berkait dengan stimulus yang ada disekelilingnya. Perokok misalnya, bukan hanya merokok disebabkan oleh desakan nikotin dalam badan. Banyak juga hal-hal lain yang menggangu.

Misalnya, setiap kali selepas makan, kita perlu merokok. Jadi, selepas makan itu juga sudah jadi sebahagian perangsang untuk merokok. Ia seperti bunyi kruuk juga. Ia mungkin bukan sesuatu yang ada apa-apa pun. Yang sedapnya ialah merokok, bukannya selepas makan. Tetapi disebabkan dua perkara ini ada kaitan, maka ia meneguhkan lagi tabiat.

Bila perbuatan ini diulang-ulang bertahun-tahun (dah 20 tahun lebih dalam kes aku), maka ia akan jadi tabiat. Jadi, setiap kali selepas makan, kita merasa perlu ada sesuatu untuk dihisap. Ini adalah tabiat. Dalam istilah psikologi, ia kadang-kadang dipanggil pelaziman operan (operant conditioning). Perangsang untuk merokok bukan hanya selepas makan sahaja, bahkan apabila kita duduk bersembang pun kita merasa perlu merokok. Jadi inilah antara faktor yang membentuk tabiat. Jadi yang membentuk tabiat itu banyak.

Tabiat ini biasanya berlaku secara automatik akibat pelaziman itu tadi. Misalnya dahulu, apabila para pengundi melihat sahaja lambang dacing misalnya, mereka akan terus mengundi. Atau kita juga, setiap kali anak-anak berdiri di depan pintu di hari raya, kita terus tergesa-gesa mencari wang siling. Ini semua adalah tabiat. Ia bukan sikap. Ia berlaku secara spontan.

Mungkin nanti aku akan ulas lagi hal ini.

1 comment:

zarzh said...

Jazakallah Fakirfikir kerana sudi menjelaskannya. Masyaallah, banyak info yang baik saya dapat dari sdr.

Pernah saya dengar, para ulamak menyatakan kekuatan 1 tabiat untuk kejahatan adalah seperti 10 ekor syaitan. Syaitan adalah hanya desakan dari luar manakala tabiat itu adalah sebati dengan insan dan dari dalaman dirinya.

Sebagaimana contohnya bila sesebuah negara luar menyerang, mereka kenal musuh itu penjajah tetapi bila dalam sesebuah negara itu sendiri, rakyatnya menyerang antara satu sama lain, payah dibuatnya.

Semoga kita dapat mengambil tabiat-tabiat para anbiya dan para sahaba r.anhum yang sentiasa mengajak insan lain kepada kebaikan dan kepada Penciptanya dengan berdakwah dan beramal solehan lagi dan lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails