Yang Ikut

Friday, 3 April 2009

Selamat berjumpa lagi Pak Lah

Reactions: 
Selamat berjumpa lagi Datuk Seri Abdullah.

Hari ini, Jumaat 3 April 2009 adalah hari terakhir beliau sebagai Perdana Menteri. Selamat berjumpa lagi kita ucapkan kepada beliau. Mengucapkan selamat jalan adalah ucapan yang tidak kena, seolah-olah kita tidak mungkin bertemu lagi dengan beliau. Jadi, ayat terbaik ialah mengucapkan selamat berjumpa lagi. Ia lebih positif, walaupun maknanya sama sahaja.

Tentu, menjadi pemimpin tertinggi negara - beliau disukai dan tentu juga tidak disukai. Mustahil semua orang menyanjung kita, sebagaimana mustahil setiap orang membenci diri kita. Manusia - tidak pernah sempurna. Akan ada salah dan silapnya juga. Bagaimana pun, kita perlu memuji kebaikan yang beliau lakukan.

Beliau dilihat sederhana. Tidak terlalu rakus dan tidak dilihat begitu teruja dengan kuasa. Mungkin itulah sebabnya beliau tidak bertahan lama. Atau itu jugalah rahsia kekuatannya membolehkan beliau terpilih sebagai Perdana Menteri kelima. Sosok Anwar Ibrahim dilihat lebih meyakinkan sebagai pemimpin utama negara. Ia disukai banyak orang. Tetapi itulah yang menyebabkan beliau tersungkur lebih awal. Apabila anda mempunyai ramai pengikut, bermakna anda juga dihadapkan dengan banyak musuh.

Banyak ruang diberikan kepada media bersuara oleh Abdullah sepanjang kerjayanya. Itulah kejayaan besarnya. Tetapi itulah juga kelemahannya. Ruang itu telah digunapakai sebagai saluran untuk mengkritik pentadbiran dan peribadinya. Tetapi pada akhirnya, orang akan tetap mengingati - itulah jalan terbaik dalam menangani dunia hari ini. Sekalipun anda mungkin menutup semua pintu - akan ada usaha untuk menceritakan keburukan anda juga. Ini adat politik.

Jadi terima kasih kepada Abdullah di atas usahanya.

Mungkin salah satu kesilapannya - sebenarnya bukan kesilapan - ialah kerana beliau mempunyai menantu yang cerdik dalam politik. Tanpa menantunya sekalipun, orang akan tetap berusaha untuk mencari sesuatu untuk diburukkan. Jadi, sebagai manusia politik, beliau tidak ada pilihan lain.

Mahathir, tidak mempunyai menantu yang berpolitik. Tetapi beliau tetap berhadapan dengan situasi sukar juga. Itulah juga yang bakal dihadapi oleh Najib, Perdana Menteri ke-6 negara. Keluarga anda akan tetap dikaitkan dengan kerjaya anda.

Jadi - apa pun yang telah dilakukan oleh Abdullah, dan apa pun yang akan diperkatakan orang, kita perlu mengucapkan terima kasih. Sekurang-kurangnya beliau telah menghadirkan diri sebagai Perdana Menteri kita. Selamat berjumpa lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails