Yang Ikut

Wednesday, 28 January 2009

Masih lagi cerita panas

Reactions: 
Masih lagi cerita panas.

Suhu di Adelaide siang tadi sudah mencecah 45 darjah celcius. Malam ini sahaja, jam 10.43 petunjuk dari komputer menunjukkan suhu 38 darjah celicius. Ini baru betul-betul panas. Orang Adelaide sudah jadi semacam cacing kepanasan. Di mana-mana orang bercakap hal suhu panas. Laporan rasmi ada di sini. Seorang kawan pun cerita pasal panas.

Ada mat salleh yang bawa kereta tanpa baju di Jalan Henly Beach. Di depan Hospital Royal Adelaide ada orang lelaki yang berjalan tanpa baju di tengah perangkap haba panas.

Cuma beberapa hari dulu, ternampak seorang remaja perempuan berjalan dengan hanya memakai seluar dalam di Rose Street. Hah. Ini barulah panas!

Biasanya tengahari aku akan melepak di bawah tangga untuk menghisap beberapa batang rokok Marlboro. Sekarang ini tidak boleh lagi. Jangan juga cuba-cuba tunjuk pandai pakai mentera panggil angin. Angin yang datang bukan angin sejuk, tetapi haba panas.

Tengahari tadi ingat hendak balik dari kampus Mawson Lake untuk kembali ke City. Tetapi nampaknya hasrat tidak boleh ditunaikan. Tidak ada orang yang berani tunggu bas. Di luar bangunan pun tidak ada orang yang berani tunjuk samseng berjalan kaki. Petang, setelah beberapa jam tidur di surau baru balik ke rumah. Naik bas yang berhawa dingin. Tetapi masih panas juga.

Beberapa tahun dahulu, teman aku lulusan dari pondok tradisional memberitahu aku yang matahari bukanlah panas. Yang panas ialah sifat bumi itu sendiri. Dia berhujah mudah. Semakin kita berada di tempat tinggi, kita akan berasa dingin. Sepatutnya semakin tinggi kita akan berasa panas sebab lebih dekat dengan matahari. Aku tak tahulah betul atau tidak hipotesisnya itu.

Tetapi sejak merasa dua kali musim panas di Adelaide ini aku mula menyangka baik dengan hipotesis tadi. Kadang-kadang matahari terik, tetapi kita berasa sejuk. Sekarang sudah malam dan matahari sudah pun bergerak ke dunia sebelah Barat, mungkin di India atau Afrika, tetapi suhu tetap panas. Duduk di luar rumah pun panas juga. Jadi yang panas bukan sebab matahari, tetapi sebab sifat bumi.

Apa pun ingat, ingat satu perkara. Ini baru panas di dunia. Belum lagi panas di neraka.

1 comment:

Abang Ben said...

Lagi satu yang kena fikir ialah sifat panas itu sendiri. Yang boleh bagi panas/sejuk itu Allah s.w.t. Refer balik kisah Nabi Ibrahim a.s. dicampak ke dalam api tetapi jadi sejuk sejahtera pulak Baginda.

Tapi nampaknya bila kita terbayang api neraka ketika panas macam ni menunjukkan hidayah Allah s.w.t. itu masih ada pada kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails