Yang Ikut

Wednesday, 14 January 2009

Jakarta - Satu cerita ketabahan manusia

Reactions: 
Sekitar tahun 2003-2005 aku tinggal di Jakarta. Penduduknya lebih 20 juta pada waktu siang - kehidupannya sangat berat. Separuh daripada penduduknya berkurangan di waktu malam. Mencabar. Mereka bukan hanya sekadar bersaing dengan pelbagai keperluan ekonomi, tetapi untuk mendapatkan rumah tempat tinggal pun tidak begitu mudah.

Banyak yang hidup di bawah kolong. Malah, ada sekolah untuk mengajar anak-anak orang susah di bawah kolong. Yang ada hanya beberapa kerusi, meja dan papan hitam. Bumbungnya ialah jambatan jalanraya. Di bawah kolong itulah anak-anak itu tinggal siang dan malam. Tetapi mereka hidup juga.

Jauh di hadapan apartment yang kami diami di Pos Pengumben, terdapat satu padang lapang tempat pembuangan sampah. Dari tingkat tujuh itulah, kita akan melihat berpuluh-puluh lori akan singgah untuk membuang sampah.

Sampah bukan hanya lebihan nafsu manusia. Sampah juga nadi kehidupan. Berpuluh-puluh orang susah yang hidupnya bergantung kepada sampah itu. Mereka berjalan kaki di atas lendir busuk dan memungut buangan yang masih boleh digunapakai dan dijualnya kembali - barangkali untuk orang yang lebih susah.

Ketika anda masuk ke Bandara Soekarno Hatta, jangan terkejut kalau anda diminta 'uang kopi'. Ia bukan wang untuk membeli secawan atau sebungkus kopi. Ia wang bagi memudahkan pekerja imigresen mengecop paspot antarabangsa anda. Sekiranya anda sudah biasa, anda boleh terus memasukkan wang kopi sebanyak Rp50,000 ke dalam paspot anda. Pasti akan memudahkan urusan dan anda tidak akan ditanya lagi.

Di Muara Angke - lokasi untuk kami mendapatkan bot sebelum berlayar ke tengah laut di Kepulauan Seribu untuk memancing - kita akan melihat begitu banyak pondok-pondok kecil didirikan di atas jeti.

Ia bukan hanya tempat penginapan untuk manusia, tetapi juga digunakan sebagai 'port' untuk tidur dengan pelacur. Jangan terkejut, jam 4 pagi ketika masih belum Subuh, banyak pasangan anak muda sudah berpeleseran di atas jeti dengan pasangan segera itu. Begitulah kerasnya hidup.

Pak Rudi - pengemudi bot memancing kami akan sentiasa ada di atas bot itu. Di situlah rumahnya. Bot itu jugalah yang memberikan dia sumber ekonomi untuk hidup.

Di kawasan lain yang jauh dari Jakarta, ada satu tempat yang dinamakan Subang. Di kawasan ini anda boleh berkahwin dengan wanita untuk beberapa minggu, atau beberapa bulan. Wanita ini memerlukan suami bukan untuk berumahtangga.

Tetapi mereka perlukan suami untuk terus hidup. Mereka akan mencari pasangan lain setelah pasangan lelakinya meninggalkan mereka. Anak yang dikandung boleh jadi anak sesiapa sahaja. Itu tidak penting. Tidak ada istilah 'edah' dalam hal ini. Yang utama ialah survival hidup.

Hari hujan akan membimbangkan orang Jakarta. Ia akan menyebabkan jalanraya sesak. Adakalanya banjir. Ia melumpuhkan kota.

Tetapi, bagi orang yang lain, hujan sangat ditunggu. Akan ada orang yang membawa payung dan membantu anda berteduh ketika melintas jalan atau ke kedai. Mereka sendiri akan kebasahan. Ia bukanlah percuma. Anda perlu membayar Rp 1,000 atau 30 sen di atas khidmat segera itu. Para pembajai (motor 3 roda) pula akan mendapat manfaat apabila banjir dan lumpuhnya pengangkutan. Begitulah hidup.

Pak Hamim - pekerja pencuci di pejabat kami hanya diupah gaji Rp500,000 sebulan. Ia menyamai RM250 sahaja. Ia berbasikal sejauh 10km setiap hari ke tempat kerja. Itu bukan masalah untuknya. Dia tetap tabah menghadapi hidup. Dia tetap terus gagah bertarung dalam peritnya hidup kota Jakarta bersama isteri dan anak-anaknya.

Pak Warto - seorang satpam (pengawal keselamatan) di pejabat kami gajinya juga tidaklah seberapa. Untuk menampung hidupnya, dia sanggup berbuat apa sahaja. Mereka rajin bekerja. Cuma pertarungan ekonomi di kota Jakarta sangat keras.

Untuk mendapat wang tambahan, kita boleh mengupahnya Rp 2,000 untuk mendapatkan teksi yang lalu lalang. Jadi dia akan berjalan kaki jauh ke hadapan untuk memotong giliran manusia yang beratur panjang untuk mendapatkan teksi.

Kebanyakan teman-teman kerjaku lulusan universiti. Mereka pintar dan hebat. Tetapi walaupun lulusan universiti gaji mereka cuma sekitar Rp1.5 juta. Atau RM700. Tetapi begitulah hakikat hidup. Mereka terus bergerak dan menelusuri kota Jakarta yang rakus itu dengan tabah. Gaji mereka kecil. Kos hidup kota yang tinggi dan mahal itu tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka.

Bayangkan kalau kita sebagai lulusan universiti - hidup di kota sebesar itu dengan hanya gaji RM700. Mampukah kita terus hidup. Sewa rumah apartmen di Jakarta dalam lingkungan RM 1500-RM2000 sebulan. Ia dibayar sekaligus untuk tempoh setahun. Pusat membeli belahnya lebih besar dari apa yang ada di Kuala Lumpur. Ini bermakna godaan membeli akan lebih besar dari yang kita jangkakan.

Jadi jangan salahkan mereka kalau ada yang terpaksa dibunuh, ditipu atau diperdayakan. Anda mungkin akan dilarikan pemandu teksi yang segak ke tempat yang jauh. Anda juga mungkin akan diperas setiap kali berurusan dengan kantor pemerintah. Jangan juga terlupa memberikan tip anda ketika makan di restoran atau menaiki teksi. Itu hal biasa.

Tetapi - pada akhirnya mampu atau tidak menghadapi survival hidup - bergantung kepada persepsi kita sendiri. Kitalah yang menentukannya.

2 comments:

najmi said...

Saudaraku Mohd Awang Idris,pengalaman tinggal di Kota Jakarta amatlah mengharukan,aku baru 2kali ke kota Jakarta.tahun2007dan2008,aku menginap di redtop hotel dan di alia cikini.. apa yg ku lihat hanyalah di permukaan shj begitu kontras dgn kehidupan disini.apa yg tuan katakan dan alami adalah benar belaka...teruskan tulisan dan celoteh tuan yang mengegar jiwa menembusi citarasa membangkit selera untuk org marhain spt saya untuk terus membaca&baca&baca... mungkin ptghan bulan 3 aku pi melbourne ada msyuarat dan kursus insyaalah.jauh ka dari tempat tuan....dari kawan lama

FakirFikir said...

Tak jauh. Dalam 800km!. Naik kereta dengan speed maksimum 100km di Victoria, campur dengan slow masuk pekan kecil, dalam 10 jam boleh sampai dah. Naik kapalterbang 2 jam boleh sampai. Naik BlueVirgin murah sikit. Macam AirAsia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails