Yang Ikut

Wednesday, 14 April 2010

Pilihanraya - peluang kita semua berubah

Reactions: 
Gendang pilihanraya dipalu lagi. Kali ini di Hulu Selangor.

Pilihanraya bukan sekadar meminta perubahan kuasa, tetapi juga adalah ruang perubahan parti bertanding.

Sejak kita masih kecil, kita lihat trend memancing pengundian tidak pernah berubah. Ia berlaku sepanjang zaman.

Menjelangnya pilihanraya, ahli politik masuk kampung. Dijanjikan peruntukan pembangunan untuk rakyat. Balairaya dicat semula dan jalan baru diturap. Rakyat dijanjikan dengan pembinaan sekolah atau masjid.

Sebenarnya - bukan ini yang diminta rakyat. Rakyat tidak meminta ia dibangunkan dengan projek 'segera' atau janji pembangunan. Bayangkan, dengan tempoh tidak sampai sebulan - apabila jalanraya diturap baru - tanpa perancangan yang kemas - pada akhirnya ia akan menyebabkan jalan tersebut rosak di sana sini. Belum pun tamat pengiraan undi, jalan berlubang semula.

Apa tidaknya. Kontraktor segera dipilih. Mereka juga ditugaskan dengan misi segera. Kita tentu tidak mahu ini berlaku. Rakyat tentu mahukan sesuatu yang berkualiti untuk kehidupan mereka. Bukan sekadar projek segera. Bagi rakyat - siapa yang memerintah tidak penting. Yang penting ialah sejauh mana nasib mereka terbela. Jangan jadikan pembangunan sebagai 'gula-gula getah' - yang pada akhirnya ia melekat kotor di sana sini.

Parti yang bertanding juga perlu berubah. Isyarat telah diberikan kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya lalu. Mereka tidak mahukan lagi pemimpin yang hanya bijak berniaga, atau bijak bercakap - tetapi moralnya sangat rendah. Pemimpin yang lama juga harus memberikan peluang kepada orang baru. Negara hak kita semua. Bukan tanah pusaka yang harus diberikan kepada 'anak sulong' semata-mata. Negara juga bukan hak mana-mana individu - yang menjadikan ia peluang untuk mereka cepat kaya dan membolot harta.

Kontrak tidak masuk akal juga tidak harus lagi ada. Gunalah peluang mentadbir wang rakyat dengan bijaksana. Ia bukan milik mana-mana ahli politik.

Parti Keadilan Rakyat pula harus memilih calon yang berintegriti. Tidak lagi harus ada pemimpin yang hanya pandai bercakap - tetapi hujungnya sama juga. Mereka kemudiannya menjadi katak yang melompat ke tasik yang lebih cantik dan lebih luas.

Jangan hanya berkata parti kami memperjuangkan itu dan ini setiap kali menjelangnya pilihanraya. Sebaliknya, apabila mereka berubah haluan, mereka berkata mereka dipilih oleh rakyat, jadi bertukar parti bukan alasan mereka meletak jawatan. Ini juga perangai manusia tamak. Rakyat memilih wakil mereka kerana kedua-duanya - parti dan individu. Itu hakikatnya di Malaysia.

Pilihanraya. Peluang untuk kita semua berubah. Peluang untuk kita semua mengubah. Rakyat perlu menjadi lebih cerdik. Ahli politik perlu menjadi lebih baik.

Kalau tidak - kita tidak ubah seperti filem Bollywood.

Sesekali kita ketawa. Pada akhirnya, kita merasa kita patut menangis. Kerana kita tahu kita bukanlah penontonya, tetapi kitalah sebenarnya watak filem itu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails