Yang Ikut

Showing posts with label psikologi bilazim. Show all posts
Showing posts with label psikologi bilazim. Show all posts

Thursday, 20 December 2012

Apa indahnya menjadi ahli psikologi?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa indahnya menjadi ahli psikologi?

Kelihatannya macam indah bukan? 

Ada masanya mungkin begitu. Tetapi tidak pada setiap waktunya.

Melibatkan dengan pekerjaan ini, kita terlibat dengan masalah manusia. Masalah orang lain. Masalah orang lain ini bermacam-macam. Ada yang biasa sahaja, ada yang sangat peribadi.

Setiap kali orang lain mengajukan masalah, kita perlu mendengarnya. Kita perlu mencadangkan caranya.

Orang yang dilanda masalah psikologi ini pula tidak sama dengan mereka yang demam atau sakit fizikal. Fikiran mereka bercelaru. Setiap hari, otak mereka berdebat dengan hal tidak rasional. Mereka berperang di antara hal yang nyata dan tidak. Mereka berperang untuk terus berlawan, atau merasa kecewa dan putus asa.

Biasanya, tahap mereka yang diserang isu psikologikal ini berbagai. Ada tahap pasang dan tahap surut. Pertama sekali apabila dilanda musibah, mereka akan cuba menafikannya. Mereka akan bertanya, 'mengapa aku, dan kenapa bukan orang lain'. Mereka bertanya 'mengapa aku dilahirkan menjadi manusia, dan bukan burung'. 'Mengapa aku dipilih dengan beban ini". Syurga, neraka, dosa dan pahala semua ada di sini. 

Itu soalan putus asa dan kecewa. Ia pertikaian yang sangat teruk.

Inilah masa yang paling kritikal. Tidak banyak yang kami boleh lakukan waktu ini. Hanya bercakap dan mendegar. Itu pun kalau mampu. Sebabnya, mereka yang dilanda masalah akan menolak apa juga yang kita sarankan. Mereka berperang dengan diri mereka sendiri. Banyak daripada mereka yang mengambil jalan singkat mencederakan diri, atau melakukan tindakan yang tidak terduga akal berlaku di tahap ini.

Tahap kedua ialah penerimaan. Ketika ini, mereka sudah mampu menerima hakikat. Inilah kenyataan yang perlu mereka lalui. Mereka tidak boleh mengalah. Bagaimana pun, sesekali akan datang isu yang sulit ketika tahap pertama tadi. Ia datang menerawang.

Lama atau pendek bergantung sejauh mana pesakit bertahan dan berlawan. 

Lama kelamaan, kalau pesakit mengambil jalan yang betul, masalah akan selesai dan hilang. Ia keluar dari kotak minda yang kacau. Mereka akan rasional kembali.

Apa yang ahli psikologi lakukan?

Tidak. Kami hanya mendengar dan memberikan pandangan. Itupun kalau mereka mendengar. Masalah diselesaikan oleh mereka yang sakit.

Ia tidak sama dengan sakit fizikal. Masalah psikologikal berada di minda. 

Hanya pesakitlah yang tahu apa yang ada di minda mereka.

Tetapi, kami yang mendengar ini pun sebenarnya terdorong untuk menyerap dan berfikir hal yang difikirkan pesakit. Kita berfikir untuk mematahkan hujah tidak rasional pesakit. Ia membuatkan kita menyerap masalah pesakit. Kami, adakalanya tidak tidur malam juga. Menjadi manusia resah. Menjadi manusia tidak normal.

Sebab itu - dari segi profesionalismenya, kami dididik untuk tidak terlalu 'get involved'. Maksudnya, kami tidak boleh meletakkan diri sebagai pesakit juga. Kami tidak boleh memikul semua beban pesakit. 

Bagaimana pun, kami pun manusia juga. Hujah mengatakan bahawa emosi manusia berpindah kepada manusia lain mungkin selalu benar kepada mereka yang terlibat dalam bidang seperti ini.

Ia menyakitkan. Ia memeritkan. Ia tidak indah. Ia adalah kehidupan ahli psikologi. 

Kami juga berperang dengan diri kami sendiri. 

Saturday, 28 January 2012

Calon pesakit mental

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya, dalam hidup kita sehari-harian, kita dikelilingi banyak pesakit mental. Kejadian menculik seorang budak di Kampung Baru yang lalu adalah petanda orang yang sakit mental. Seorang pelajar Pakistan ingin membunuh diri kerana tertekan dengan belajar. Semuanya adalah istilah yang kita rujuk kepada kesihatan psikologi.

Malangnya, kita tidak tahu siapa yang sakit mental ini. Ia boleh jadi ahli keluarga kita, sahabat baik, atau diri kita sendiri. Tidak seperti sakit fizikal, sakit mental tidak kelihatan.

Bagaimana simptomnya. Adakalanya kita merasa was-was bagi satu-satu perkara. Kita berfikir panjang bagi satu-satu topik. Misalnya, orang yang sudah berkahwin, mula bertanya kepada diri perkahwinanya sah atau tidak. Ia kemudiannya menghalakan pula, kalau tidak sah tentulah berlaku perzinaan. Kalau berzina, bagaimana dengan anak yang lahir. Matinya pula tentu sedang dinanti oleh neraka.

Ini antara perkara tidak masuk akal yang selalu difikirkan. Topik yang difokuskan bergantung kepada seseorang. Ia mungkin bersifat agama. Ada yang bersifat perhubungan. Semuanya adalah halusinasi yang diciptakan sendiri yang membawa kepada kehancuran.

Kekerapan berfikir juga semakin tinggi dari satu hari ke satu hari. Ini akhirnya menjadikan badan berasa lemah, dada berdebar-debar, gelisah dan seumpamanya. Ia datang secara lintasan hati. Tetapi datang dengan semakin kerap.

Akhirnya menyendiri ke dalam bilik kerana mahu berdebat dengan persoalan mental tadi. Ia tidak ada jawapan. Kerana soalannya juga tidak memerlukan jawapan. Ia hanya ingin memusnahkan diri.

Akhirnya, dicarilah sesiapa yang kononnya pandai untuk mengubat. Mengubat tidak juga hilang. Paling mudah, mula mencari sesiapa yang berkemungkinan membuat guna-guna.

Dituduh si A atau B.

Masalah utama yang berlingkar di dalam minda tidak selesai. Sebab ia bukan buatan orang, ia sakit mental yang dihadapi banyak orang.

Anda ada tanda-tanda ini?

Inilah sebenarnya kecelaruan. Ia bukan buatan sesiapa. Ia sakit yang boleh dirawat. Sekiranya baru bermula, jangan malu bertanya. Carilah seseorang yang boleh membantu anda. Jangan membawa diri dan lari. Ia tidak menyelesaikan apa-apa.

Jangan pula bertanya kepada yang tidak tahu. Setiap soalan yang ada dalam otak itu hanyalah ilusi.

Ada orang yang boleh menjawabnya bagi pihak anda, bagi menghentikan debat mental itu.

Misalnya, ada orang mula gelisah ke mana mahu lari kerana 2012 ini ialah tahun kiamat. Apa yang akan terjadi. Keluarga bagaimana? Semua soalan 'gila' ini menusuk minda setiap saat. Ia datang secara lintasan hati.

Jawapan kepada soalan tadi sangatlah mudah. Kiamat ialah pekerjaan Tuhan, bukan kerja manusia. Siapalah kita yang merasa lebih hebat dari Maha Pencipta.

Kalau anda ada terasa perasaan seperti ini, gelisah dan tidak boleh tidur, berfikir hal yang bukan kepakaran anda, terlalu dalam - anda mungkin salah seorang daripada calon sakit mental yang baru.

Thursday, 24 February 2011

Autism - hal yang patut anda tahu

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Topik kali ini, autisme.

Apakah autisme? Ketika melihat anak-anak bermain, ada ketikanya ada sesetengah kanak-kanak berada dalam dunianya sendiri. Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak yang lain. Tanda yang mungkin mudah dilihat ialah gelagat mereka yang sangat cepat mengamuk, dan kebanyakannya ada masalah pertuturan.

Misalnya, pada umur anak-anak tertentu, mereka sepatutnya sudah boleh bercakap - tetapi mereka tidak. Apabila berbual, mereka tidak mahu merenung mata kita - itu pun antara tandanya. Mereka boleh mengajuk patah perkataan, tetapi tidak semestinya mereka tahu maknanya.

Mereka juga bermain dengan cara yang janggal. Mereka seolah-olahnya sedang bermain dalam dunianya sendiri. Ada ketikanya, mereka juga sangat 'hyperactive'.

Autisme bukanlah penyakit yang berjangkit. Tetapi ia banyak berkait dengan personaliti. Di usia dewasa, mereka ini pula mempunyai hubungkait dengan pesakit schizophrenia dan kemurungan. Ia juga mempunyai pelbagai jenis, bergantung kepada sifatnya. Kita tidak bincang dalam topik ini.

Walaupun dikatakan ia tidak boleh diubati, tetapi pengetahuan awal ibu bapa mampu memberikan mereka harapan yang lain. Mereka patut didedahkan dengan spesikasi keupayaan tertentu.

Dalam dunia ini - autisme ujud dalam semua budaya. Tidak orang tahu apa puncanya. Di UK, kira-kira setengah juta orang mengalami autisme. Bagaimana pun, asalkan mereka ada keupayaan intelektual - mereka boleh menjadi manusia yang sangat berjaya. Keupayaan mereka ini pula sangat spesifik sifatnya, selalunya dalam bidang sains. Sebab itulah, ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal, agar mereka dapat dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkahlaku dan keupayaan mereka. Kalau dibiarkan bersama dengan anak-anak normal, ia akan menyusahkan kaedah pembelajaran yang menyebabkan mereka ketinggalan.

Dalam matematik - kajian menunjukkan keupayaan mereka ini umumnya pada tahap bawah purata. Bagi mereka yang hanya mempunyai simptom autisme sederhana, mereka berupaya dalam matematik. Bagaimana pun, mereka sukar dalam banyak subjek lain. Mereka juga selalunya sukar dalam hal temuduga.

Bagaimana pun, ada kes kecil - kumpulan ini juga ialah 'mathematic gifted'. Ia seperti yang dilakonkan oleh Dustin Hoffman dalam Rain Man. Sungguhpun begitu, ia kes yang sangat jarang. Ia sebenarnya juga adalah disebabkan kesalahfahaman kerana orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini manusia yang genius. Ingat, ia hanya sedikit. Ini pun kalau mereka ini tergolong dalam autime Asperger. (Nanti kita kuliah perbezaan jenis autism ini)

Hakikat yang perlu diketahui, majoriti daripada anak-anak ini - kalau tidak dirawat lebih awal, akan mengalami masalah ketika dewasa.

Sebab itu - ibu bapa perlu cenderung untuk memerhatikan anak-anak mereka. Kalau dilihat anak-anak kita seperti dalam 'dunianya' sendiri, gagal berkomunikasi dan mempunyai tingkahlaku yang agak di luar kelakuan normal kanak-kanak - bawalah berjumpa pakar. Jangan anggap ia hal normal. Ia boleh dirawat - dengan pendidikan dan terapi khas tertentu. Asalkan kita menyedari hal ini terlebih awal.

Tidak ada salahnya mempunyai anak-anak autism. Yang salahnya ialah kita yang selalu melihat semua perkara sebagai normal - kerana kononnya anak orang lain boleh dilanda autism dan bukan anak kita. Jangan anggap juga kerana tidak ada keturunan kita yang terkena, atau kita mempunyai pendidikan yang baik - anak kita tidak terkena.

Autism tidak ada kena mengena dengan keturunan. Tidak ada siapa yang tahu puncanya.

Sunday, 10 October 2010

Dunia kian tidak senonoh

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak beberapa hari ini aku tidak begitu merasa untuk menulis.

Bagaimana pun, membaca berita suratkhabar hari ini, yang antara lain melaporkan satu berita pelik di Jertih.

Rumah gadis yang mengalami gangguan misteri yang menyebabkannya sering ghaib di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, diserbu ratusan penduduk selepas dua lelaki datang menawarkan diri merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan makhluk halus malam kelmarin.

Berita ini mendorong aku menulis. Bagi aku ini satu kejayaan besar.

Kejayaan menangkap 'makhluk halus' ini yang tidak kita ketahui sama ada ia ialah jin atau iblis, sesuatu yang jarang dilaporkan dalam buku akademik. Kejayaan luarbiasa ini hanya berlaku di Malaysia. Jarang saintis Barat yang terkenal dengan kehebatan mencipta peluru nuklear, atau kejayaan menerokai bulan, mampu menangkap makhluk halus.

Memang banyak dilaporkan tentang kewujudan hidupan lain, termasuk juga penemuan planet baru yang hampir mirip dengan bumi. Bagaimana pun, ia tidaklah begitu halus, kerana ada gambar-gambar yang ditunjukkan.

Kisah kejayaan bomoh ini menyebabkan cerita penyakit sebenar yang dialami gadis tadi dilupai begitu sahaja. Gadis tadi - yang seringkali hilang ketika senja dan dinihari tentu mengalami gangguan psikologikal. Inilah yang patut diselami. Menangkap 99 makhluk halus belum tentu menyelesaikan masalah.

Menjadi kerja wartawan pula, bukanlah melaporkan berita seperti ini. Ini alaf 21. Kalau ingin dilaporkan juga berita yang tidak membangun daya fikir ini, ada baiknya juga dilaporkan pandangan pakar apakah nama penyakit hilang di waktu senja dan dinihari ini. Sekurang-kurangnya masyarakat tidak disuapkan dengan berita aneh yang tidak ada hujung pangkalnya.

Mengapa gadis itu hilang pada waktu itu? Inilah waktunya manusia merasa sunyi akibat perubahan waktu. Kesunyian itu telah menikam jiwanya yang sakit. Sakitnya itulah yang patut diubati. Ada banyak doktor jiwa yang boleh menganalisis simptom seperti ini.

Kejayaan bomoh menangkap 9 makhluk halus bukan jawapannya. Kalau semua penyakit psikologikal ada kaitannya dengan 'makhluk halus' yang tidak kita tahu bentuk dan rupanya, bayangkan berapa banyak lagi makhluk halus yang harus ditangkap. Di seluruh dunia, ada beribu macam penyakit seperti ini. Bayangkan, makhluk halus yang hebat itu, yang tidak dapat dilihat dengan mata - yang mampu melarikan anak gadis di waktu senja dan dinihari - dengan begitu mudahnya dikurung di dalam bekas plastik.

Banyak cerita di negara kita semakin tidak senonoh. Dulu cerita sejadah sembahyang. Ada juga cerita pelepah pinang berwajah manusia. Sebab itu gamaknya, jangankan mencipta roket untuk ke bulan, mencipta enjin kereta pun kita tidak boleh.

Thursday, 16 September 2010

Serial Killer- Part 2: waras atau tidak?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selama ini, kita menyangka bahawa pembunuhan bersiri hanya berlaku dalam filem. Bagaimana pun, melihat kepada pelbagai kejadian pembunuhan kejam yang berlaku dalam budaya kita - ada baiknya kita juga perlu sedikit sebanyak mengetahui apakah sebenarnya yang dikatakan pembunuh bersiri.

Melihat kepada beberapa kes terbaru, pelbagai teori muncul. Teori semata-mata tanpa sedikit asas pengetahuan tidak berguna.

Terdapat beberapa jenis kategori pembunuhan bersiri yang patut anda tahu.

Visionary type - pembunuh melakukan siri pembunuhan kerana dorongan halusinasi atau bisikan halus. Ia sama ada menyifatkan pembunuhan itu sebagai sesuatu yang diyakininya sebagai betul, atau menganggap mangsa sebagai manusia jahat yang patut dibunuh.

Mission-Oriented type - menggunakan kelopok sasaran tertentu. Jack the Ripper hanya menumpukan kepada manusia pelacur. Bagi pembunuh seperti ini, mereka menganggap mangsanya sebagai manusia durjana. Sabai pula hanya menyasarkan wanita tua berusia 70 tahun ke atas.

Hedonistic type - pembunuh membunuh mangsa untuk mendapatkan keseronokan, sama ada yang bersifat lust killer, atau thrill killer. Lust killer membunuh untuk mendapatkan keseronokan seks, walaupun tidak semestinya hubungan seks berlaku. Sebagai orang awam, lust killer ini dapat difahami dengan menonton filem Draculla atau
Cannibal Holocaust. Ini adalah bentuk keseronokan.

Thrill killer pula lebih kepada pembunuh yang suka melihat mangsa menderita sebelum mati. Mereka akan menyiksa dahulu mangsa. Sebaik sahaja mangsa terbunuh, keseronokan tadi berakhir. Mangsa baru perlu dicari.

Dalam kebanyakan kes pembunuhan bersiri, kebanyakan pembunuh adalah manusia yang sakit jiwa. Mereka walaupun melakukan kejahatan, tetapi sebenarnya mental mereka tidak betul lagi.

Bagaimana dengan kes pembunuhan yang sekarang hangat diperbualkan? Adakah pelakunya waras. Menurut pakar psikitiari seperti yang dilaporkan di
akhbar, pelakunya adalah manusia waras. Aku sependapat dengan pakar tersebut. Ia bukan dorongan halusinasi, atau seperti kecenderungan oleh Sabai dalam siri sebelumnya.

Kalau begitu, apakah kategori yang sesuai dengan kes tadi. Mungkin tidak ada satu pun kategori yang sesuai. Bagaimana pun, ahli psikologi mengkelaskan beberapa kategori lain. Antaranya ialah crime spree killer - membunuh untuk keseronokan dan manfaat kewangan.

Nanti kita sambung dengan profil pembunuh bersiri. Itu pun kalau ada masa.

Semoga anda boleh tahu siapa mereka.

Wednesday, 15 September 2010

Serial killer - Part 1

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
“I am down on whores and shan’t quit ripping them",
(Jack the Ripper, dalam suratnya kepada media).


Sejak beberapa tahun ini, kita mendengar begitu banyak kes pembunuhan tragis di Malaysia. Terbaru ialah pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawija dan 3 orang yang lain. Pembunuhan ini dikatakan dilakukan oleh suspek yang dikaitkan dengan beberapa siri pembunuhan lain. Aku tidak berminat mengulas hal ini.

Kita ulas hal lain. Kita ulas personaliti pembunuh bersiri.

Salah satu kes besar pembunuhan bersiri berlaku di Itali pada tahun 1995-1997 oleh Ben Mohammed Ezzedine Sabai, seorang pendatang Tunisia. Dia dikatakan telah membunuh 15 wanita, kesemuanya berusia 70 tahun ke atas. Kecuali tiga mangsa, kebanyakan mangsa ditikam di bahagian leher, terutamanya pada bahagian kiri.

Mengapa membunuh wanita tua yang tidak ada hubungan dengannya?

Sabai dikatakan mempunyai kecelaruan anti sosial, dan sexual sadisme. Atau dalam kata lain, ia mempunyai rangsangan seks yang pelik iaitu ingin melihat mangsa meronta-ronta. Kebanyakan perogol dikatakan mempunyai personaliti ini - mereka suka melihat mangsa meminta simpati mereka. Inilah yang dikatakan sadisme. Begitu juga dengan pembunuh.

Mengapa dia menikam leher pada bahagian kiri? Ini bermaksud pembunuh mungkin menggunakan tangan kanannya.

Sekitar lewat tahun 1950-an, Garvey Glatman, dikatakan sebagai pembunuh bersiri pertama yang suka mengambil gambar mangsanya. Ini juga satu pengalaman yang pelik bagi manusia normal seperti kita.

Walaupun banyak sebab yang boleh menyebabkan terjadinya pembunuhan bersiri ini - termasuk faktor mendapatkan wang - bagaimana pun kajian psikologi mendapati bahawa kepuasan utama bagi pembunuh bersiri ini bukanlah ganjaran luaran.

Sebaliknya ia didorong oleh kepuasan dalaman yang ada dalam minda manusia itu sendiri. Mereka merasa lega dengan membunuh manusia. Motif utama bukanlah wang, sebaliknya bagi memuaskan kehendak psikologinya. Kalau wang adalah motifnya, orang yang sudah kaya tidak akan membunuh. Penjenayah mungkin perlu merompak sahaja. Mereka juga tidak akan membunuh berkali-kali.

Pembunuhan bersiri juga didapati mempunyai modus operandi yang sama oleh pelaku yang sama. Ini bermaksud ia berlaku secara terancang. Jarang pembunuhan bersiri ini berlaku secara tidak sengaja.

Bagaimana dengan kes yang sedang hangat di Malaysia sekarang ini? Kita tidak tahu.

Kita sambung. Ini baru pengenalan. Kita akan sambung dengan tajuk kategori atau jenis pembunuhan bersiri. Kalau sempat, kita juga perlu tahu siapa Jack the Ripper.

Friday, 27 August 2010

Jangan katakan aku gila - Part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda di tanahair tentu sudah mendengar berita bagaimana seorang bapa menyembelih anaknya yang berusia 3 tahun. Anda boleh baca berita itu di sini.

Pastilah - dari sudut mana sekalipun, berdasarkan kepada kenyataan isteri lelaki tersebut, perbuatan itu bukanlah sesuatu yang normal. Ia dilakukan dalam keadaan sama ada separuh sedar, atau hilang kewarasan. Mustahil dilakukan oleh manusia normal, yang sanggup menyembelih anak kesayangannya sendiri.

Tentulah pandangan pakar diperlukan bagi menilai watak lelaki tadi. Pada tanggapan awal aku - ia mungkin diakibatkan oleh simptom schizophrenia. Anda boleh membaca simptomnya di sini, walaupun dalam pengistilahan orang Melayu, kita banyak percaya bahawa ia adalah kerasukan hantu.

Pesakit-pesakit ini, dalam banyak waktu adalah manusia normal seperti kita. Tetapi, adakalanya mereka tiba-tiba berubah. Ia adalah diakibatkan oleh gangguan mental. Pesakit ini akan mengalami delusi - 'false beliefs of persecution' yang menyebabkan tindakannya tidak masuk akal. Adakalanya pula mereka dikatakan terdengar bisikan-bisikan dari luar yang menyuruh mereka melakukan sesuatu. Ini kita namakan halusinasi.

Walaupun banyak juga kejadian keganasan rumahtangga yang berlaku misalnya perbuatan mencurah cuka atau memukul anak dengan kuat, tetapi itu tidak semestinya disebabkan oleh schizophrenia. Ia mungkin disebabkan oleh perasaan yang marah, yang kemudiannya melepaskan geram sama ada kepada objek yang dimarahinya, atau kepada orang lain sebagai gantinya.

Tetapi dalam konteks pesakit mental seperti ini, menyembelih merupakan perbuatan yang memerlukan usaha yang lebih. Dalam kata lain, ia tidak seperti perbuatan mencurah cuka. Mungkin ada bisikan yang menyuruh pesakit melakukan korban dan sebagainya.

Kita sebagai orang normal tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan ini. Bagaimana pun, penagih dadah adakalanya mempunyai fantasi luar biasa ini yang menyebabkan mereka juga boleh bertindak agresif. Dalam hal itu - ia bukan lagi disebabkan oleh kesakitan mental, tetapi disebabkan oleh perubahan mental yang berlaku oleh pengaruh dadah.

Aku - satu saat dahulu, di tahun 2000, ketika aku sakit, pernah mengalami halusinasi ini. Bernasib baik ia hanya sekali sahaja. Suara itu berkata - Nasib baik Jesus selamatkan awak. Aku terkejut dan menoleh ke belakang. Aku tidak pasti bagaimana aku boleh mendengar suara ini - sedangkan aku tidaklah pernah membaca buku atau mencari sebarang maklumat berkaitan Jesus. Pastilah, ini adalah simptom halusinasi - sesuatu yang dirasakan ada, walaupun sebenarnya tiada.

Syukur kepada Allah - mentakdirkan aku menjadi pelajar psikologi. Walaupun tidaklah pandai, tetapi sedikit sebanyak aku pernah belajar mengenainya.

Sebab itu - sebagai orang awam - sekiranya anda mempunyai saudara mara, atau anda sendiri mengalami gangguan pelik seumpama ini, jangan cepat mencari bomoh. Mereka akan memberitahu anda bahawa anda mungkin sudah kencing di atas busut atau telah melalui rumah orang bunian. Walaupun itu juga bukanlah hal mustahil, tetapi banyak penyakit yang berlaku hari ini adalah disebabkan proses mental. Bukan semestinya anda diganggu makhluk halus.

Jadi, bertanyalah pakar. Kita tidak tahu apakah kita sebenarnya sedang dilanda sakit mental. Ingat, sakit mental bukanlah hal pelik. Seorang daripada seratus manusia berkemungkinan dilanda simptom schizophrenia. Kalau hari ini orang lain, besok mungkin kita pula.

Penyakit-penyakit mental ini sebenarnya banyak. Ia sama banyaknya dengan penyakit fizikal seperti kencing manis, buah pinggang dan sebagainya. Malangnya kerana kita tidak pernah ambil peduli dengan hal penyakit yang satu lagi ini, dan kita juga takut dikatakan sebagai manusia gila - maka kita jarang mahu bertemu doktor apabila kita mula dilanda simptom yang pelik.

Bukan juga budaya kita untuk mempercayai pakar psikitiari atau ahli psikologi. Sebaliknya bomoh dan dukun telah mengambil alih peranan ini.

Kita berdoa - moga-moga kita dijauhkan dengan penyakit-penyakit seperti ini.

Untuk keluarga mangsa - kita doakan semoga mereka bersabar. Ia sebahagian dari ujian yang dihadapkan kepada manusia bagi tujuan mempertinggikan darjat.

Semoga Allah mempermudahkan jalan untuk mereka semua.

Saturday, 7 August 2010

Mengapa kita ketawa?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa bezanya orang yang dikatakan gila dengan orang normal?

Setiap bulan - kita akan melalui beberapa jenis emosi. Adakalanya kita bersedih. Kita juga ketawa. Kita juga menangis. Sesekali kita juga mungkin murung, marah, bersemangat, ceria dan sebagainya. Semua ini adalah emosi yang ada dalam hidup manusia. Ia kitaran hidup kita sama ada kita ditakdirkan normal atau tidak.

Adakah ada emosi yang negatif? Asalnya tidak ada. Tidak ada emosi yang bersifat positif atau negatif. Marah dan murung mungkin seringkali dikaitkan dengan negatif. Tetapi, kemarahan itu perlu untuk survival hidup. Mustahil kita tidak marah kalau ada orang cuba mengganggu keluarga atau diri kita. Mustahil pula kita tidak murung kalau ditimpa bencana. Kita juga akan berasa begitu gembira kalau berjaya. Semua ini adalah emosi.

Bagaimana pun, untuk memudahkan pengkelasan, marah, murung atau tertekan itu dikatakan sebagai negatif atau positif.

Bagaimana orang yang sakit mental? Mengapa ada di antara mereka yang ketawa seorang diri. Adakah mereka gembira. Ada pula yang murung sepanjang hari. Adakah mereka sedang bersedih. Emosi yang mereka jelmakan itu - sama juga seperti orang normal yang lain. Bezanya orang normal tidak ketawa seorang diri setiap saat, walaupun ada waktunya kita ketawa juga.

Mengapa semua ini muncul? Mengapa orang sakit mental?

Nanti kita sambung.

Friday, 6 August 2010

Jangan katakan aku gila.

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siri kuliah psikologi kembali lagi.

Kali ini kita bincang penyakit-penyakit psikologi.

Sebenarnya, adakah orang gila di dalam dunia ini?

Bagaimana jawapan anda.

Di zaman silam - di Eropah, manusia yang dianggap gila telah dimasukkan ke dalam bot khas, yang dinamai 'ships of fools' dan kemudiannya diletakkan jauh di tengah lautan.

Sekarang ini pun - orang yang dianggap gila tetap diasingkan dari manusia. Kalau anda ke Hospital Taiping atau Alor Setar, akan ada wad orang gila. Hospital Tampoi dan Tanjung Rambutan antara yang popular. Mereka yang dirawat di hospital ini ialah manusia yang tidak normal.

Yang banyak masuk ke hospital ini biasanya bukanlah mereka yang datang secara sukarela. Misalnya, kalau kita berasa kita seperti manusia yang gila, patutkah kita ke hospital menawarkan diri untuk duduk di sana. Pasti tidak. Kita mungkin tidak gila kalau begitu. Jadi yang banyak masuk ke sana biasanya setelah kes mereka dirujukkan ke pakar atau pihak autoriti tertentu.

Di kampung aku - ada seorang kakak, namanya disamarkan sebagai Kak H - mungkin 20 tahun lebih tua dari aku. Dia selalu berbasikal keliling kampung. Singgah ke sana sini. Dia wanita yang agak cantik ketika mudanya. Bergincu. Kadang-kadang bertopi. Sejak aku mula kenal dunia, dia sudah begitu. Dia singgah ke rumah orang kampung yang baik dengannya. Dia singgah berbual. Beberapa topiknya yang awal mungkin betul. Apabila berbual lebih panjang, ia akan jadi keliru.

Kata orang kampung - dia sakit akibat buatan orang. Sejak remaja lagi.

Dia agak baik dengan aku. Dia selalu bercerita yang dia kerap mendukung aku ketika aku kecil dulu. Aku percaya katanya, kerana ibuku juga berkata begitu. Sampai sekarang, kalau aku balik kampung dia akan singgah. Katanya ingin melihat aku bagaimana rupanya sekarang.

Dia agak normal sedikit sekarang ini.

Agak malang, dalam budaya kita, dalam budaya mana pun jua - orang gila dianggap sebagai manusia pariah. Tiada harga. Seolah-olahnya mereka ini tidak wujud. Seolah-olahnya mereka ini tidak tahu apa-apa.

Berbalik kepada soalan awal tadi, adakah ada manusia gila di dunia ini?

Pandangannya yang paling masyur - yang paling kontroversial dan aku sealiran dengan pandangan ini, datangnya dari Scheff (1966) - mereka ini bukan gila. Mereka ini ialah manusia yang sakit.

Jadi, sama ada seseorang itu kita anggap sebagai gila atau tidak, bukan letaknya pada pesakit. Letaknya pada pandangan dan tanggapan kita sendiri. Seperti kita melihat seseorang itu cantik atau tidak. Ia tidak bergantung kepada empunya diri, tetapi siapa yang melihatnya.

Hakikatnya, tidak ada orang gila. Mereka hanya pesakit. Mereka menjadi mangsa penafsiran orang yang melihatnya, dengan menyatakan mereka gila. Mereka menjadi mangsa kerana kelakuan mereka yang bertentangan dengan budaya setempat.

Orang yang berkaki ayam berjalan di tengah kota Kuala Lumpur pasti akan dianggap gila. Ia tidak pernah berlaku. Bagaimana pun, di kebanyakan kota Barat, warganya selalu sahaja berkaki ayam berjalan keliling bandar. Mereka tidak dianggap gila. Kerana ia tidak bertentangan dengan norma setempat.

Gila atau tidak seseorang - letaknya pada penafsiran kita. Itu sahaja.

Monday, 15 March 2010

Pedophilia - Simptom yang perlu anda tahu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Tulisan ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu atau kumpulan. Ia hanya menjelaskan simptom psikologi.

Satu hari anda didatangi oleh seseorang yang mungkin kelihatan warak. Dia meminang anak gadis anda yang masih di bawah umur. Berhati-hatilah. Kelihatan warak belum tentu sempurna. Kelihatan alim belum tentu mereka tidak sakit.

Adalah tidak masuk akal untuk kita - ada orang yang tertarik dengan anak gadis kita yang masih di bawah umur. Ia mungkin hal pelik bagi orang normal. Hakikatnya, hal yang jarang-jarang berlaku ini adalah satu penyakit psikologikal. Ada kemungkinan apa yang berlaku itu bersabit dengan simptom yang selalu dibincang dalam bidang psikologi.

Ia mungkin berkait dengan simptom Pedophilia. Anda boleh membaca di wikipedia hal ini. Aku tidak akan mengulas apa yang telah ditulis di dalam wikipedia itu. Sila baca agar anda faham.

Secara umumnya - pedophilia -ialah kecenderungan manusia tertarik secara seksualnya dengan kanak-kanak, atau dalam bahasa mudah 'ingin menjadikan kanak-kanak sebagai sahabat'. Walaupun penyakit ini boleh jadi menimpa sesiapa sahaja, tetapi ia biasanya merujuk kepada kesukaan orang dewasa terhadap kanak-kanak.

Bagaimana pun, simptom ini tidak semestinya seksual, walaupun banyak dari kecenderungan ini berasas kepada seksual. Ada juga perlakuan yang mungkin untuk menyakiti kanak-kanak misalnya merosakkan barang permainan mereka.

Secara puratanya penyakit ini selalu menimpa lelaki pertengahan umur, walaupun ada kajian menunjukkan wanita juga mungkin ada gejala ini.

Kajian-kajian yang dilakukan (misalnya Gebhard, 1965) menunjukkan pelaku atau pesakit pedophilia ini biasanya kenal dengan mangsa, misalnya mengenali keluarga mereka, hidup sebagai jiran atau sahabat keluarga. Kajian-kajian juga menunjukkan 10-15 peratus kanak-kanak terdedah dengan perlakuan sumbang ini.

Aku tidak begitu pasti dengan isu ini di Malaysia. Ia bukan bidang kepakaran aku. Bagaimana pun, isu-isu penderaan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak ada kemungkinan bersabit dengan masalah pedophilia ini.

Sebenarnya, yang patut kita utamakan ialah bagaimana kita dapat mengubati atau menghindar gejala pedophilia ini. Ini bukan masalah mana-mana kumpulan agama. Lainlah, kalau semua ahli jemaah itu tertarik dengan perkara yang sama, yakni mengahwini gadis bawah umur. Bagi aku, apa yang berlaku ini lebih merupakan masalah personaliti manusia. Ia penyakit psikologi yang perlu disedari oleh masyarakat dan ditangani bersama.

Sudah tiba masanya juga - pihak berkuasa khususnya memberikan juga kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit-penyakit psikologikal dan mental yang ada dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya kita dapat menghindar dan mengambil langkah yang patut.

Jadi aku harap - dengan penjelasan ini - sedikit sebanyak membantu Ziarah76 dalam cuba memberikan isyaratnya dalam topik nila setitik di laman blog beliau.

Takut nanti akan ada orang awam cuba mencadangkan agar kumpulan tertentu diharamkan, sedangkan isu utama bukanlah kumpulan ini. Takut nanti lain yang sakit, lain yang diubat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails