Yang Ikut

Showing posts with label pesan untuk anak muda. Show all posts
Showing posts with label pesan untuk anak muda. Show all posts

Tuesday, 2 October 2012

PhD: Kalau anda bagaimana?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku menerima email daripada seorang pembaca. 

Assalamualaikum, 

Encik FakirFikir. Saya merupakan pelajar PHD. Saya baru je beberapa minggu memulakan pengajian. Saya ada sedikit kecelaruan kerana saya dapat buat PHD ni secara ekspres dimana saya tidak perlu buat master. Masalahnya ialah, saya adalah jugak bertanya dengan pensyarah saya tentang PHD ni. Patut ke saya buat master dulu atau teruskan sahaja PHD saya ni. Ada yang tak bagi dan ada yang bagi, jadi saya nak bertanya lah En.Fikir. Kalau En. Fikir jadi saya la, En Fikir buat PHD terus atau bagaimana. Cuma nak pendapat sahaja. Semoga pendapat En.Fikir akan beri sesuatu yang positif untuk saya.

------------------------------

Kalau anda bagaimana?

Sebenarnya trend terus melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD bukanlah hal baru. Ia biasanya ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang. Bagaimana pun,mengikut pengamatan aku,  isu ini muncul kerana trend mutakhir ini juga menunjukkan pelajar ijazah sarjana muda sebenarnya tidak begitu banyak membaca. Ada pula yang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Walaupun ada yang mendapat CGPA yang baik, aku tidak pernah percaya itu kayu ukur yang sempurna. Banyak yang mempunyai CGPA yang baik sebenarnya tidaklah semestinya mereka itu manusia terbijak yang terhasil oleh universiti.

Jadi, ada pandangan yang meminta mereka mendapatkan ijazah sarjana dahulu. Sekurang-kurangnya mematangkan mereka. Mereka yang memiliki ijazah sarjana sekalipun, malah yang sudah ada PhD juga adakalanya masih ada kelompangan kersarjanaan. Mereka ada masalah di sana sini. Ada yang gagal menguasai pengetahuan, ada pula yang gagal menguasai metodologi. Ada yang tidak memiliki kedua-duanya. Apatah pula kalau sekadar ada ijazah sarjana muda.

Aku tidak berminat berdebat mengenainya. Sekarang ini ia menjadi tugas kami para akademik muda untuk mengubah semua ini. Kerana akhirnya, kamilah juga yang menjadi guru mereka.

Menjawab soalan pembaca ini, bagi aku ia bergantung kepada dirinya sendiri. Kemampuan yang kita miliki, kitalah yang mampu mengukurnya. Pelajar-pelajar muda ini mungkin akan lebih bijak daripada mereka yang lain, kalau kena caranya. Mereka juga mungkin akan menjadi bertambah buruk kalau tersalah jalannya.

Tidak semua pelajar dewasa yang menyambung PhD yang bijak. Jadi, adakalanya usia bukanlah penentu. Orang muda juga ada kelemahan, tetapi ada kekuatan lain. Tetapi kerja keras dan 'nasib' itulah kriteria yang selalu bersangkutan dalam pengajian PhD.

Idealnya, mereka yang bijak ini sepatutnya diselia oleh manusia yang bijak juga. Katakanlah mereka ini yang sebenarnya masih tersangat muda, diselia oleh mereka yang sebenarnya lebih mementingkan 'CV' demi untuk mendapatkan jumlah pelajar yang ramai, tetapi hakikatnya 'tidak' menyelia, mereka akan menghadapi masalah yang besar.

Apatah kalau penyelia mereka ini datangnya dari aliran pelajar PhD ialah mereka yang bebas terbang di langitnya sendiri, berenang di lautan ilmu yang terbuka. 

Bagaimana pun, biasanya untuk mendapatkan penyelia yang serba sempurna tidaklah selalunya berlaku. Dalam kelok normal hidup manusia, ada yang baik, ada yang kurang. Ia bukan salah sistem. Ia hal yang semulajadi.

Sebaliknya, kalau pelajar tadi memang mampu menerobos dunia PhD, sekalipun tanpa perlu penyeliaan yang ketat, itu memang hebat. PhD ialah pemikiran. Adakalanya tidak bergantung kepada siapa yang menyelia, dan apa yang diselia. Tidak ramai pelajar seperti ini sebenarnya. Apatah dalam budaya pendidikan 'spoon feeding' yang bermula di sekolah dan kini menular di universiti. Sampai ke peringkat PhD pun, nampaknya 'spoon feeding' ini terus berlaku. 

Aku sendiri sebenarnya memiliki pelajar 'genius' yang menyambung PhD tanpa perlu melakukan ijazah sarjana ini. Aku akui mereka melalui jalan yang sedikit mencabar berbanding pelajar yang lebih 'dewasa'. Mereka kekurangan idea dan pemikiran tidak begitu tajam.

Bagaimana pun, aku berpandangan mereka perlu didewasakan. Aku telah merancang agar mereka menjadi dewasa. Mereka perlu menjadi tutor agar mereka terdedah dengan pembacaan. Aku juga bercadang agar merekalah yang mengendalikan bengkel latihan aku selepas ini, dan aku hanya sekadar menjadi jurutunjuk sahaja. Mereka juga 'wajib' mengikuti siri latihan akademik yang aku kendalikan. Mereka juga bakal menjadi 'penyelia' untuk pelajar ijazah sarjana muda.

Ia sedikit teruk dan memenatkan. Sekurang-kurangnya itulah jalan yang mampu menjadikan mereka dewasa. 

Bagaimana pun, tidak semestinya itulah caranya. Setiap orang ada jalannya sendiri. 

Ada yang tidak perlu didewasakan. Tetapi mereka perlu banyak membaca. Membaca lebih banyak dari orang lain. Sebab mereka ini tidak ada pengalaman dalam hidup. Dengan hanya membaca, mereka mendapat pengalaman baru.

Kepada pembaca tadi, kalau dia tidak mendapat penyelia yang membantunya menjadi dewasa, dia perlu berkerja lebih kuat. Tidak ada sesiapa yang akan menolongnya. 

Bagaimana pun, jangan ditakutkan akan kekurangannya. Mereka yang ada ijazah sarjana pun tidak sesempurna mana. Aku tahu. Aku telah bertemu dengan bermacam jenis pelajar. 

Cuma, apabila kita telah melangkah - jangan berpatah balik. Teruskan. Peluang hanya datang sekali. Tetapi ubahlah cara kita mengharunginya. Kalau dahulu berjalan, sekarang berlari. Kalau dahulu membaca tanpa ambil tahu maknanya, sekarang mulalah belajar dari mereka yang pakar bagi satu-satu hal yang anda tidak tahu.

Keterukan itulah yang menjadikan anda seseorang.


Wednesday, 6 June 2012

Forum kerjaya UKM

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya dijemput oleh mahasiswa tahun akhir di UKM untuk menjadi panel forum persediaan menghadapi alam kerja. Saya kira pengangguran sudah menjadi kebimbangan semua anak muda. 20 tahun dulu saya juga membimbangi hal yang sama. Apatah lagi di era di mana manusia luar menjadi kegilaan majikan.

Zaman ini, warga dari Nepal, India, Bangladesh dan Indonesia sudah menjadi pekerja yang diminati. Bukan sebab wajah yang tampan. Tapi mereka sanggup dibayar gaji yang murah dan kerja lebih masa. Orang kita belum tentu.

Swasta atau kerajaan lebih baik? Bagi saya ia sama sahaja. Kita berkerja untuk makan sahaja. Apa yang datang dahulu itu yang lebih baik. Siapa yang sudi ambil kita itu hal pokoknya. Ini bukan zaman memilih. Ini zaman manusia dipilih. Kalau kita baik dan cemerlang, orang akan sukakan kita.

Tapi di zaman gawat kerja ini, kita tidak ada hak untuk memilih. Kita hanya dipilih. Kita adalah buruh. Kita adalah kuli. Suka atau tidak, kita terpaksa membiarkan orang lain menilai diri kita. Mereka membayar gaji. Siapa yang sanggup membayar gaji kita, kita senang hati menjadi kulinya.

Di mana pelajar psikologi akan berkerja?

Saya jawab mereka patut menjadi bomoh, bukan ahli psikologi. Orang lebih percaya bomoh, dan bukan ahli psikologi. Jadi, terlebih baik mereka juga menjadi bomoh. Sekurang-kurangnya orang lebih percaya apa kata bomoh. Ahli psikologi perlu belajar selama 3 atau 4 tahun. Bomoh mungkin tidak perlu belajar banyak.

Mereka tanya saya tips mencari kerja.

Saya katakan mereka tidak perlu bimbang. Tamat sahaja belajar mereka terpaksa cari kerja. Tidak ada siapa menanggung makan minum mereka lagi. Ibubapa akan membebel. Kerjalah apa sahaja pun.

Bagaimana persepsi pasaran dengan graduan psikologi UKM?

Saya katakan antara yang terbaik. Saya berkata jujur. Sudah 3 tahun berturut-turut saya dikirimkan email soal selidik reputasi universiti oleh Times Higher Education, badan yang bertanyakan pandangan ahli akademik dan majikan tentang reputasi graduan. Saya selalu menilai graduan psikologi UKM sebagai antara yang terbaik. Saya tidak peduli apa kata orang lain. Saya yakin begitu.

Saya beritahu juga jual laksa anda akan jadi kaya. Boleh dapat RM 60 ribu sebulan. Kerja kerajaan atau swasta belum tentu.

Saturday, 24 March 2012

Pesan untuk anak muda - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak beberapa hari terakhir ini, begitu banyak berita mengenai anak gadis kita. Ada yang diculik, dijual dan ada yang melarikan diri. Apa yang tidak kena dengan anak gadis kita ini?

Di celah-celah keributan itu, ada pula berita lain. Beberapa anak muda kita yang masih lagi belajar di sebuah kolej swasta membunuh teman wanita dan bapanya. Menjadi orang bujang, hidup sebagai anak muda sepatutnya dihabiskan dengan banyak kesukaan. Sayang, ia kini perlu dihabiskan di dalam lokap dan kemungkinan dihukum mati.

Mengapa memilih jalan yang salah dan berliku? Adakah mereka gagal berfikir dengan waras?

Sebenarnya, itulah cubaan hidup bagi kebanyakan orang. Usia muda inilah usia yang penuh tragis. Tersalah jalan, tersilap langkah - adakalanya tidak ada lagi peluang kedua.

Bagi sesetengah orang, memang ada satu personaliti yang pelik. Personaliti yang dikenali sebagai 'impulsive sensation seekers". Mereka ini memang ingin mencuba yang baru, kerana bagi mereka risiko itu satu cabaran yang menyeronokkan. Mereka ingin melakukan keajaiban. Apabila orang berkata bahawa dadah itu bahaya, mereka ingin mencubanya. Apabila dilihat lari dari rumah dan mengikut lelaki lain, akan menimbulkan berita hangat, mereka merasakan mereka mampu menjadi 'heroin' wanita kalau melakukannya. Semua orang lain akan memberikan perhatian kepada mereka. Rakan sebaya melihat mereka manusia yang hebat.

Apa yang hebatnya? Kalau ada yang terjual sebagai pelacur di negara orang, atau hayat berakhir di tali gantung? Tidak ada apa yang hebat.

Kehebatan manusia ini ialah sejauh mana kita mampu meneruskan survival hidup. Tidak mengapalah kalau kita tidak menjadi wira sekalipun. Tidak mengapalah kalau sekadar ada RM5 yang hanya mampu membolehkan kita makan sekeping roti canai dan secawan kopi. Asalkan, kita masih ada banyak ruang untuk bangkit lagi. Kita tidak menjadi hero, tetapi kita juga tidak terjual dan tercela. Itu terlebih baik bagi kita, daripada menjadi wira yang dicela, dihina dan memalukan keluarga.


Thursday, 2 December 2010

Tidak semuanya indah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketika kecil - kita suka berebut barang permainan kanak-kanak lain. Kita akan bersusah payah mendapatkannya. Kalau tidak mampu mendapatkannya, kita akan meminta orang tua kita membelikannya untuk kita. Sesudah mendapatkan barang yang direbutkan itu - beberapa minit kita membuangnya begitu sahaja. Kita mencari barang lain pula.

Di masa remaja - kita terbeliak melihat model telefon bimbit baru. Kita perlu memilikinya. Kita berusaha dengan segala macam untuk mendapatkannya. Kalau tidak ada wang, kita sanggup berhutang. Asalkan apa yang kita hajati itu akan dapat digenggam. Beberapa hari setelah itu, kita tahu telefon kita itu tidaklah sebagus mana. Walaupun cantik, tetapi ia biasa sahaja. Ia hanya sekadar sebuah telefon. Sama seperti model yang lain juga.

Setelah dewasa, kita berasa alangkah indahnya menaiki kereta besar. Ia seolah-olah menjadikan kita raja di jalanraya. Semua orang akan memerhatikan kita. Setelah membeli kereta besar, dan duduk di dalamnya beberapa kali - kita sedari ia seperti kereta yang lain juga. Tidak ada sesiapa pun memerhatikan kita. Ada kereta lain yang lebih baik. Ada milik orang lain yang lebih hebat.

Apakah yang ingin aku ceritakan?

Anda tentu telah membaca berita seorang pelajar IPTA cuba membuang bayi di Perlis. Ia hanya satu cerita daripada ribuan cerita seks sebelum nikah remaja kita. Ada yang dilapor, ada yang tidak.

Bagi aku - seks bebas ini seperti cerita merebut barang mainan tadi juga. Ia seperti halnya kita ingin memiliki telefon bimbit model terbaru. Tidak ubahnya seperti berahi kita ingin memiliki kereta baru.

Setelah mendapatkannya, kita tahu ia tidak ada apa-apa pun. Ia hanya indah semasa kita belum mendapatkannya.

Bagaimana pun, ia tidak sama seperti barang mainan. Barang mainan boleh ditukarganti. Tetapi tidak apabila kehilangan 'hal' itu - khususnya untuk remaja wanita, ia tidak berganti lagi. Ia hilang buat selamanya. Kegembiraan yang didongengkan itu hanyalah cerita nafsu sahaja. Keseronokan beberapa minit membuatkan kita merana seumur hayat. Banyak yang kemudiannya menanggung malu - membuang anak di sana sini. Kita mungkin dihukum mati kerana menjadi pembunuh pula. Sanak saudara membuang kita. Mereka juga menanggung malu. Tambah buruk - teman lelaki pergi mencari 'barang mainan' yang lain. Tinggallah diri sendiri berfikir masa depan yang kelam, dan masa silam yang muram. Yang hilang tak berganti. Yang mendatang belumlah pasti.

Kerana itu - untuk semua anak remaja, berhati-hatilah. Dalam hidup - setiap hari kita belajar dari apa yang kita alami. Kita hanya mengejar sesuatu sebelum kita mendapatkannya. Setelah mendapatkannya, kita tahu tidak ada satu pun yang benar-benar indah. Yang menjadikan ia indah hanyalah kerana nafsu kita menutup penglihatan akal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails