Yang Ikut

Showing posts with label journal writing. Show all posts
Showing posts with label journal writing. Show all posts

Sunday, 8 January 2012

Jurnal - apa yang selalu dilihat?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekarang ini, salah satu usaha untuk menaikkan nama universiti di Malaysia, salah satu keperluannya ialah menulis jurnal. Dengan menulis jurnal, apabila ada penerbitan, bermakna secara tidak langsung nama universiti akan tertera bersama. Semakin banyak citation, semakin terkenal nama universiti di persada antarabangsa.

Trend menulis jurnal ini telah lama berlaku dalam tradisi universiti Barat. Hanya kita agak ketinggalan.

Ada universiti di Malaysia yang mengupah ahli akademik dari luar untuk menulis jurnal. Gajinya tentulah besar. Walaupun, saya adakalanya tidak bersetuju dengan cara ini kerana tidak ada pemindahan ilmu yang dilakukan.

Kini di Malaysia, pelajar pasca ijazah khususnya, turut dipaksa untuk menulis jurnal. Bagi saya ia hal yang baik, walaupun daripada segi yang lain, kita masih kekurangan. Khususnya, tidak ada orang yang mengajar kita bagaimana sepatutnya menulis jurnal bagi membolehkan peluang untuk diterbitkan itu tinggi.

Pada masa depan, saya mungkin akan membuat bengkel menulis jurnal.

Biasanya, apa yang menyebabkan jurnal diterima/tidak ditolak?

Pertama sekali dinilai ialah apakah sumbangan kajian/originality?

Kajian yang tiada originality akan ditolak begitu sahaja. Saya selalu melakukannya juga apabila saya menilai jurnal.

Apakah originality?

Ada kajian mengenai kesan beban kerja dengan kepuasan kerja yang telah dilakukan di Jepun. Kita mengkajinya pula di Kota Bahru? Bagaimana peluangnya? Besar kemungkinan akan ditolak juga. Sebabnya, diandaikan orang Asia ini sama sahaja. Jadi, kajilah di mana tempat sekalipun, hasilnya akan sama. Orang sudah sedia maklum.

Originality ialah menambah pengetahuan baru. Misalnya, kita sedia tahu bahawa beban kerja memberi kesan kepada kepuasan kerja yang rendah. Yang mungkin belum diketahui, adakah kesan ini pula bergantung kepada sifat kerja yang berstruktur atau tidak berstruktur. Ia mungkin ada originality di situ. Tambahan inilah dikatakan originality.

Semua hal ini berkait rapat dengan gap of research, limitation previous studies dan contributions of the present study.

Kedua yang dinilai ialah metodologi. Adakah cara kita melakukan kajian itu sesuai dengan topik. Katakanlah anda melakukan observation untuk melihat jumlah tidur dan kesan terhadap prestasi pelajaran. Ia akan ditolak sebab metodologinya tidak sesuai. Mustahil untuk melakukan observation, takut-takut penyelidik yang tertidur dahulu semasa memerhatikan subjek kajian tidur.

Ketiganya ialah statistik yang digunakan. Biasanya, kajian-kajian yang menggunakan statistik yang simple akan ditolak juga misalnya, korelasi, t-test, anova dan sebagainya. Alasannya mudah sahaja. Sebab ia tidak memberikan sumbangan apa-apa. Apa masalahnya kalau berbeza di antara sample A dan B, atau terdapat hubungan A dan B.

Tapi, saya lihat banyak juga kajian yang diterbitkan dalam jurnal. Ingat, itu ialah jurnal kelas ayam. Banyak juga penulis kita memilih jurnal kelas ayam. Jangan terpaku dengan gelar Dr atau Prof. Ini patut diperhatikan. Lihat di mana jurnal ini diindexkan. Biasanya jurnal yang baik disenaraikan di Scopus atau ISI. Jurnal yang buruk tidak disenaraikan di mana-mana kerana kualitinya yang teruk.

Apa lagi yang dilihat?

Tulisan dan struktur penulisan akan diperhatikan. Bagaimana pun, reviewer yang baik biasanya tidak akan menolak hanya kerana hal ini, melainkan tulisannya sangat jelek. Orang akan meminta diperbaiki 3 hal tadi dahulu sebelum meminta pengkaji memperbaiki hal yang ini. Ini biasanya akan dilakukan dalam revision kali kedua. Sebabnya mudah sahaja, kalau ketiga-tiga perkara di atas betul dan relevan, hal-hal lain boleh diperbaiki. Kalau ketiga-tiganya salah, ia tidak berguna apa pun.

Ia seperti rukun menulis jurnal.

Bagaimana pun, ia tidak bermakna hal ini sudah cukup untuk melayakkan manuskrip anda diterima.

Wednesday, 11 May 2011

Bagaimana mulanya aku menulis jurnal?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
*Tulisan ini mungkin hanya relevan untuk pelajar dan penyelidik.

Setelah beberapa hari - akhirnya pagi ini siap juga first draft manuskrip aku. Setakat ini, sudah tujuh kertas yang aku tulis. Tiga daripadanya sudah terbit. Dua daripadanya sudah beberapa kali direview. Satunya belum mendapat apa-apa maklumat.

Kalau para pembantu penyelidik aku di Malaysia sempat mengirimkan data survey sebelum bulan Julai ini, aku harap aku mampu menulis satu lagi kertas. Ia akan melengkapkan catatan pengajian aku.


Sebenarnya aku selalu menjadikan profesor aku sebagai idola. Setiap tahun, dia menerbitkan 4 atau 5 kertas jurnal. Adakalanya, ada 10 kertas tertera namanya dalam tempoh setahun. Untuk menerbitkan 5 kertas, sekurang-kurangnya 10 kertas perlu dihantar. Ini kerana peluang ditolak sama besar dengan peluang diterima. Sekurang-kurangnya juga, perlu ada 10 kali proses kutipan data.

Proses reviewnya pula panjang. Ada yang sampai 2 tahun. Semua ini halangan menulis jurnal. Ada pula jurnal besar, ada jurnal kecil. Yang besar biasanya panjang prosesnya.

Orang selalu bertanya, mengapa aku memilih 'thesis by publications". Mengapa tidak tulis tesis biasa sahaja. Tidak perlu banyak kajian.

Aku pun tidak tahu. Ia sebenarnya bermula apabila aku menghantar makalah untuk satu persidangan. Mereka meminta aku memotong lebih 2,000 patah perkataan. Aku tidak mahu. Jadi, aku tidak merasa perlu dihantar ke persidangan. Lebih baik dihantar untuk jurnal sahaja.

Penyelia aku berkata - You must brave enough. Mungkin sebab masa itu aku masih baru. Kertas pertama yang dihantar itu diterima dengan 'major correction'. Itulah kali pertama aku menulis jurnal. Dulu aku kerja di sektor swasta, jurnal pun aku tidak tahu apa maksudnya.

Selepas bermula yang pertama itu, aku menghantar lagi tulisan yang kedua untuk jurnal "special issues'. Sekali lagi, major correction. Makan masa berbulan-bulan. Tapi itulah yang menyalakan semangat menulis. "Every ending is a new beginning".

Cuma kertas yang ketiga dan keempat ini yang hanya 'minor correction'. Mungkin sebab sudah lama dan terbiasa, menyebabkan tulisan selanjutnya menjadi lebih mudah.

Kalau dulu, penyelia aku selalu menyemak tulisan aku, kini dia pula selalu menyuruh aku menyemak makalahnya. Kami sudah menjadi dua rakan penulis yang bersama-sama menulis bagi topik pengkhususan kami.

Apakah yang diperlukan untuk menulis jurnal?

Banyakkan membaca dan lakukan kajian yang tidak dilakukan orang lain. Dengan membaca, kita tahu kelemahan kajian lain. Dari kelemahan itulah, kita membina kajian baru. Pertama sekali yang akan direview ialah -
Innovative of the current study.

Nanti kita bincang perbezaan jurnal yang baik dan kurang baik.

Wednesday, 24 November 2010

Update PhD - versi hujung tahun II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kajian aku yang terakhir - yang ke 7 sedang berjalan. Aku harap tidak ada lagi kutipan data selepas ini. Banyak masa yang telah digunakan. Wang juga tentunya tidak sedikit. Begitulah mungkin sedikit sebanyak cerita panjang untuk mendapatkan PhD. Kalau satu hari nanti, anda terasa untuk membeli PhD ini - mungkin cerita dari blog ini boleh digunakan untuk menutup rahsia anda itu.

Orang boleh beli PhD? Banyak caranya. Anda boleh menggoogle. Membuat PhD secara online, tanpa tahu di mana lokasi universiti - dan siapa pula penyelianya, itu mungkin sebahagian caranya. Ijazahnya pula boleh dikeluarkan oleh mana-mana universiti. Kalau orang pun boleh dijual beli, apa sangat dengan sekeping ijazah PhD.

Pagi tadi, aku membuka email. Satu kertas aku yang dihantar ke satu jurnal, sudah siap dibaca. Aku ingat, dalam sehari dua ini aku akan tahu keputusannya. Aku tidak lagi mengharapkan apa-apa. Kalau diterima, aku bersyukur. Kalau ditolak, ia sebahagian dari kehidupan orang yang sedang belajar seperti aku.

Untuk anda yang mungkin tidak perlu menulis jurnal, yang tidak ada kena mengena dengan pekerjaan atau kehidupan anda, tidak perlulah menulis jurnal. Ia memakan masa, dan menuntut kekuatan emosi yang tinggi.

Tapi, kalau anda orang awam - yang sesekali terasa ingin menulis sesuatu yang anda rasa ada manfaatnya, ia sesuatu yang sangat baik. Menulis jurnal tidak semestinya anda perlu berkerja di universiti. Asalkan anda tahu sedikit sebanyak hal metodologi, statistik dan latar teori - atau dalam kata lain, anda berjiwa penyelidik - tetapi berada di luar universiti - mungkin sesekali boleh mencuba.

Setiap kali menghantar makalah - kertas kita lazimnya akan dinilai oleh 3 orang - editor dan dua orang penilai yang tidak kita kenali. Kecuali editor, dua orang penilai itu juga tidak tahu siapa kita. Adakalanya ada 3 penilai. Ia seperti sistem juri. Jika seorang menolak, dan seorang menerima, maka editor yang akan membuat 'check-mate' di situ. Kalau kedua-duanya menolak, maka berakhirlah cerita jurnal tadi. Boleh mencuba lagi di tempat lain, walaupun biasanya keputusan tidak begitu banyak berubah - sebab kemungkinannya orang yang sama juga akan menilai kertas kita. Dalam satu-satu bidang, biasanya hanya beberapa orang sahaja yang pakar. Mereka ini jugalah akan diminta menilai kertas, walaupun mungkin untuk jurnal yang lain.


*********************************

The history of manuscript number XXXX, submitted to International Journal of Stress Management, is as follows:

Date
Action
11/23/2010
Reviews Returned
10/26/2010
Review Reminder Sent
10/01/2010
Assigned to Action Editor (Glazer)
10/08/2010
Reviews Requested
10/08/2010
Desired Reviewers Identified
09/20/2010
Assigned to Action Editor, Needs Desired Reviewers (VandenBos)
09/13/2010
Manuscript File Created
09/11/2010
Manuscript Submitted

Wednesday, 17 November 2010

Menulis jurnal psikologi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku menulis sesuatu yang mungkin tidak relevan bagi kebanyakan pengunjung. Aku menulis ini atas pengalaman aku menulis jurnal - ada yang diterima, ada juga ditolak. Ia mungkin hanya relevan untuk disiplin psikologi sahaja.

Anda ingin menulis manuskrip untuk jurnal psikologi?

Apa isu yang patut anda selesaikan dahulu sebelum ada hasrat menghantar makalah anda.

1. Selidiki dahulu jurnal yang menjadi sasaran. Ada kalanya makalah anda ditolak bukan kerana kualiti, tetapi bidang anda tidak relevan dengan sasaran jurnal. Misalnya anda menulis stres pekerjaan, tetapi dihantar untuk jurnal psikologi perkembangan. Peluang untuk artikel anda ditolak ialah 98%.

2. Lihat juga metodologi penyelidikan anda. Banyak jurnal memberikan keutamaan kepada hal ini. Ada jurnal yang hanya menerima penyelidikan longitudinal, dan tidak sama sekali untuk cross-sectional. Ada pula jurnal yang hanya memberikan keutamaan kepada penyelidikan menggunakan metodologi yang kompleks - diari, penghujahan teori baru atau kaedah multi-level analysis. Jurnal seperti ini biasanya jurnal yang besar dalam bidang psikologi - misalnya
Human Relations.

3. Pastikan anda mempunyai pembolehubah yang mencukupi. Kajian yang hanya mengunakan beberapa pembolehubah mungkin tidak lagi relevan dalam penyelidikan moden. Misalnya hubungan di antara kemurungan (pembolehubah A) dan marah (pembolehubah B). Mengapa mereka menolak? Sebabnya kajian itu tidak menyumbangkan apa-apa pengetahuan baru dalam dunia penyelidikan. Dunia sudah tahu hal itu.

4. Pastikan kelompangan kajian cukup kuat. Misalnya ada dapatan kajian antara A dan B ialah C. Banyak kajian menunjukkan hal ini di negara Barat. Sekiranya anda menggunakan pendekatan yang sama, dengan melakukan kajian yang sama di Barat, besar kemungkinan kertas anda ditolak. Mengapa? Sebabnya orang sudah tahu. Jadi, anda perlu berhujah bahawa sebab itulah anda perlu melakukan kajian di Asia. Dengan alasan bahawa banyak kajian lalu hanya di negara Barat. Sekiranya sudah ada kajian di Asia, anda boleh menggunakan alasan bahawa kajian anda dilakukan di negara Asia yang beragama Islam - sedangkan kajian lain dilakukan di negara Asia yang majoriti penduduknya ialah Kristian atau Buddha.

5. Gunakan analisis statistik yang sedikit kompleks. Dalam disiplin psikologi, analisis seperti t test atau korelasi kini hanya dianggap sebagai analisis sokongan, dan bukan lagi analisis utama. Ia tidak mampu menunjukkan apa-apa yang signifikan. Tetapi pensyarah saya kata ia tidak mengapa? Memang tidak mengapa - tetapi FakirFikir kata ia sudah tidak lagi digunakan dalam banyak kajian moden. Ia hanya analisis sampingan atau analisis pemula sahaja.

6. Kalau boleh, elakkan kajian cross-sectional. Mengapa tidak boleh kajian cross-sectional? Banyak kawan-kawan saya melakukannya. Pensyarah saya juga melakukannya. Dengan adanya software moden hari ini, banyak hal statistik sudah dipermudahkan. Kajian cross sectional terdedah dengan banyak kelemahan - bias diri, type 1 and type 2 error dan banyak lagi. Misalnya hubungan gaya pengajaran guru dan pencapaian pelajar. Dengan kajian cross-sectional, kita dengan mudah berkata gaya pengajaran guru akan membawa kepada pencapaian pelajar yang tertentu. Tetapi mungkin juga pencapaian pelajar itulah yang menyebabkan guru menggunakan gaya yang berbeza. Kajian cross-sectional tidak mampu membuktikannya.

7. Gunakan struktur penulisan yang betul. Saya tidak pandai bahasa Inggeris, bagaimana? Isu utama dalam penulisan bukanlah bahasa apa yang anda gunakan. Isu utama ialah cara anda menulis dengan cara yang tidak betul. Sekalipun anda pandai Bahasa Melayu, tetapi kalau struktur penulisan anda bercampur baur - tidak ada sesiapa pun berminat membacanya. Pengenalan bercampur aduk dengan metodologi, atau tiada kesinambungan di antara satu para dengan para yang lain, atau antara ayat dengan ayat yang lain. Isu bahasa boleh diselesaikan dengan mengupah editor menyemak tatabahasa, atau meminta seseorang menterjemahkan makalah anda. Bagaimana pun, kalau struktur penulisan anda tidak betul - tidak sesiapa mampu menolongnya.

8. Gunakan rujukan terkini. Jangan gunakan rujukan yang terlalu lama - misalnya tahun 1990-an, kecuali bagi hal penjelasan teori yang masyur. Mengapa? Sebab dalam tempoh 10 tahun, banyak hal yang sudah berubah. Dengan menggunakan rujukan lama - kita mungkin sedang mengkaji sesuatu yang sudah dilakukan oleh 100 orang lain selepasnya.

Sunday, 13 June 2010

Update PhD - versi tahun akhir

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tidak ada apa yang hendak ditulis.

Dua bulan lalu, aku ada hantar satu artikel ke jurnal. Nampaknya begitu panjang prosesnya. Sampai sekarang aku tidak tahu apa jawapannya. Semoga tidak ditolak, walaupun aku percaya ia tidak mudah untuk diterima. Ini salah satu jurnal kategori A, jurnal yang dianggap besar dalam bidang psikologi. Aku harap sehari dua lagi aku boleh dapat jawapannya.

Sebenarnya, aku tidak kisah sangat kategori jurnal. Tetapi sesekali aku ingin mencuba nasib sahaja bermain di padang yang lebih besar. Kalau tidak ditolak, walaupun dengan banyak pembetulan, itu dianggap baik. Kalau tidak ada pembetulan - itu paling hebat, dan mustahil akan berlaku begitu.

Sesiapa yang ingin tahu bagaimana prosesnya, aku tunjukkan proses di bawah. Ini baru peringkat pertama. Belum lagi termasuk setelah kita diperlukan melakukan pembetulan. Ia memakan masa berbulan-bulan.


The history of manuscript number XXXX submitted to Journal of Occupational Health Psychology, is as follows:

Date
Action
06/12/2010
Decision Letter Approved
06/11/2010
Decision Letter Drafted
06/11/2010
Reviews Returned
06/11/2010
Decision Letter Drafted
05/18/2010
Reviews Returned
05/07/2010
Review Reminder Sent
05/01/2010
Review Reminder Sent
05/01/2010
Review Reminder Sent
04/15/2010
Reviews Requested
04/08/2010
Desired Reviewers Identified
04/06/2010
Assigned to Action Editor
03/29/2010
Manuscript File Created
03/29/2010
Manuscript Submitted

Monday, 29 March 2010

Update 11.45 malam

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 11.45 malam waktu Australia Selatan.

Setelah beberapa bulan - seingat aku sejak penghujung Disember 2009 lagi aku mula menulis satu artikel untuk dihantar ke jurnal. Seperti biasa, aku akan memaksa diri untuk menyiapkan dalam tempoh 10 hari sahaja untuk draf pertama. Biasanya matlamat aku ini berjaya.

Selepasnya, aku hantar kepada penyelia aku untuk menyemaknya. Ada komen di sana sini, khususnya hal statistik dan konseptual. Setelah itu, aku hantar pula kepada seorang kawan aku berbangsa Jerman di Guternberg University. Artikel yang panjangnya 5,000 patah perkataan dikomen sana sini. Kemudian aku semak, baca dan tulis lagi.

Sepanjang 3 bulan ini, rasanya itulah perkerjaan aku. Menghantar artikel kepada penyelia aku. Dia komen dan tulis semula. Pulang semula kepada aku. Aku baca dan tulis semula. Aku hantar balik. Proses ulang alik ini berlaku sama ada seminggu sekali atau 3 hari sekali. Tergantung kesibukan kami.

Malam ini - artikel aku yang kini panjangnya 10,000 patah perkataan akhirnya selamat di upload ke Journal of Occupational Health Psychology.

Proses ulang alik itu juga menjadikan tulisan aku hanya tinggal beberapa kerat. Selebihnya ia sudah menjadi karangan penyelia aku. Baki tulisan aku yang tinggal mungkin hanya Malaysia.

Ah. Ada satu lagi artikel sedang menunggu. Data baru pun sedang menunggu juga.

Thursday, 25 March 2010

Mari menulis jurnal

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Budaya menulis jurnal bukan lagi budaya bagi kebanyakan pelajar institusi pengajian tinggi di negara kita. Kita tidak dilatih untuk menulis dan menerbitkan hasil kajian.

Walaupun kita banyak menjalankan kajian akademik, tetapi tidak banyak pendedahan untuk pelajar kita menghasilkan karya berkualiti yang dapat dibaca oleh khalayak akademik lain. Ia bukan sahaja berlaku bagi kebanyakan pelajar ijazah pertama, malah di kalangan pelajar lepasan ijazah juga. Kebanyakan tesis kita tidak ditulis semula dalam bentuk penulisan jurnal.

Tidak tahu apa sebabnya.

Mungkin sebab pensyarah kita juga tidak begitu menulis dalam jurnal berkualiti. Atau mungkin menulis jurnal adalah sesuatu yang meremehkan - memerlukan pembetulan demi pembetulan. Juga mungkin kerana kita banyak menghasilkan laporan dalam bahasa Melayu menyebabkan ia mustahil untuk dihantar ke jurnal antarabangsa yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Sebab itu - adakalanya apabila kita cuba mencari rujukan kajian bagi bidang tertentu khusus bagi kajian Malaysia dalam jurnal antarabangsa, kita tidak mampu menemuinya. Logiknya kita mempunyai universiti di setiap negeri, sekurang-kurangnya pengkaji kita telah menjalankan kajian akademiknya sendiri.

Sekiranya anda pelajar yang sedang membaca blog ini - ada baiknya kita mulakan sesuatu. Tentu ada kajian tertentu yang boleh diterbitkan. Anda boleh menggunakan laman google dengan menaipkan nama jurnal yang spesifik dalam bidang anda. Misalnya "Journal of Cross-Cultural Psychology". Di situ anda akan menjumpai laman web bagi jurnal tersebut, dan ikut arahannya bagaimana untuk menghantar makalah anda.

Ada juga jurnal tertentu yang menerbitkan Edisi Khas bagi topik tertentu. Misalnya, bagi kajian dalam topik prejudis, ia boleh dicari melalui "Call for paper + prejudice" di laman google. Jurnal terbitan isu khas ini biasanya lebih menonjol berbanding dengan jurnal penerbitan berkala. Ini kerana semua penyelidik dalam satu-satu bidang akan menulis bagi topik yang sama dengan menggunakan pendekatan berbeza.

Kualiti jurnal pula biasanya ditentukan oleh impacts yang biasanya diukur berdasarkan jumlah pembacanya dan berapa banyak ia dipetik oleh orang lain. Kategori yang biasa digunapakai ialah A*, A, B dan C. Ada juga jurnal yang dikategorikan sebagai "unranked" - biasanya jurnal-jurnal yang baru muncul.

Sekiranya anda seorang pengkaji baru, anda boleh melayari laman scientific.thomson.com bagi melihat ranking satu-satu jurnal. Kerajaan Australia juga ada menawarkan rankingnya sendiri. Ia boleh dilihat di laman ERA ini.

Selamat mencuba dan menulis.

Sunday, 16 August 2009

Penulisan makalah akademik - Part III

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bagaimana menulis artikel akademik?

Menulis artikel akademik tidak sama seperti menulis surat cinta atau menulis blog.

Biasanya, seperti kebanyakan penulisan ilmiah lain, ia akan dimulai dengan bahagian pengenalan, metodologi kajian, keputusan kajian, perbincangan, kesimpulan dan batasan kajian. Semua ini perlu dimasukkan.

Aku tidak berhasrat menghuraikan di sini. Aku cuma ingin menulis beberapa hal yang patut sahaja.

Dalam bidang sains sosial, biasanya terdapat kelonggaran dalam penulisan tajuk artikel. Jadi, kita boleh memilih tajuk yang sesuai. Lebih penting - ia kelihatan menarik walaupun isi kandungan artikel mungkin tidak. Misalnya 'Ma(lay)sia theory of job stress'. Kelihatannya seolah-olah kita mahu mengemukakan teori baru. Sebenarnya tidak. Ia hanya ingin membentangkan persoalan 'lay theory' sahaja.

Bahagian pengenalan juga wajar dimulakan dengan kenyataan yang boleh memukau pembaca. Misalnya, 'Di seluruh dunia terdapat laporan yang membimbangkan mengenai gejala penagihan dadah'. Kenyataan seperti ini boleh menarik minat pembaca. Berbanding jika kita tulis dengan ayat begini 'Penagihan dadah adalah perkara lazim di kebanyakan negara'.

Dalam penulisan Barat, mereka biasanya begitu menitik berat kesinambungan di antara satu ayat dengan satu ayat, di antara satu perenggan dengan perenggan lain. Jadi ini juga patut diambil kira dalam penulisan. Kita tidak boleh mengandaikan mereka akan faham dengan apa yang kita tulis.

Ayat-ayat seperti 'Interestingly, unfortunately, luckily' biasanya boleh digunakan dalam penulisan sains sosial, tetapi tidak penulisan laras sains. Bidang sains biasanya tidak menggalakkan penggunaan ayat sebegini, dan penulisannya juga perlu ringkas dan berfakta. Tidak boleh dimasukkan terlalu banyak ayat-ayat berbentuk pengadilan penulis dalam laras sains.

Untuk bidang sains, ada baiknya anda tanyakan hal ini kepada Sdr Ben Krenmaut yang khabarnya akan membuang huruf "S" di depan ayat "Sdr" tidak berapa lama lagi. Tahniah Bro!

Bergantung kepada bidang anda, kita juga biasanya boleh menggunakan istilah "I" atau 'We' dalam penulisan akademik Barat. Bagaimana pun, dalam konteks Malaysia - kita tidak boleh menggunakan istilah "Saya" kerana ia akan menyebabkan tulisan itu menjadi bentuk pandangan pribadi, dan bukan lagi akademik. Hal ini hanyalah disebabkan percanggahan budaya.

Selain penggunaan ayat, panjang artikel juga diambil kira. Penulisan kertas persidangan biasanya lebih pendek berbanding dengan tulisan jurnal. Jadi, dalam hal ini - kita juga perlu mempertimbangkan untuk menghadkan penggunaan petikan (citation). Semakin banyak petikan, bermaksud ruang kita menulis semakin pendek kerana terdapat halaman yang perlu digunakan bagi memuatkan bibliografi.

Setelah siap menulis, anda sewajarnya menghantarkannya kepada dua orang teman baik anda untuk membacanya. Biarkan mereka memberikan kritikan yang pedas dan bernas terhadap tulisan tadi.

Saturday, 15 August 2009

Penulisan makalah akademik II - komen penilai

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saat yang paling suspens setelah menghantar artikel untuk persidangan atau jurnal ialah menunggu maklumbalas daripada pihak berkenaan. Peluang untuk artikel ditolak biasanya lebih tinggi daripada diterima.

Sekiranya diterima, ia akan disertai dengan komen-komen yang adakalanya menyebabkan kita terasa lemah longlai. Kita berasa seolah-olah diri kita ini tidak berguna. Apa yang ditulis yang kita rasa sangat hebat, bersekang mata selama beberapa hari - rupanya tidaklah sebagus mana.

Apa komen penilai yang kita tidak kenal itu. Lihat bentuknya dibawah ini.

Comments

Introduction: Does it adequately justify the research and frame the research question? Does it end with information about the goal of the study?

Reviewer 1: The introduction does not make a convincing argument for the study. It is disjointed and difficult to follow. In addition it has quite a few grammatical and typographical errors. Some specific comments: First paragraph: Political what? Also proof read the paragraph.

Apa yang dipaparkan di atas hanyalah sebahagian daripada banyak lagi lembar komen dari penilai. Ia hanyalah untuk persidangan yang biasa sahaja. Komen sedemikian akan lebih banyak dalam konteks penulisan jurnal.

Perlukah kita patah semangat dan kecewa dengan komen sedemikian?

Tidak perlu bimbang atau patah hati. Ia hanya sebahagian daripada masalah kecil yang ada dalam sejarah hidup kita sebagai manusia. Banyak lagi masalah berat lain yang perlu kita risaukan.

Jadi - apa kata sesekali kita mencuba menulis sesuatu untuk disumbangkan.

Bagaimana untuk menulis. Nanti kita sambung.

Menulis makalah akademik - Part I

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bagaimana menulis artikel akademik?

Terdapat 3 jenis artikel dalam dunia akademik - satu penulisan jurnal, dan keduanya penulisan kertas persidangan. Penulisan tesis juga sebahagian daripadanya.

Tetapi yang pertama dan kedua boleh ditulis oleh sesiapa sahaja, asalkan ada data kajian yang dilakukan. Pelajar-pelajar universiti di Malaysia khususnya patut menggunakan peluang ini dengan menulis semula tesis mereka ke dalam bahasa Inggeris dalam laporan yang lebih pendek, dan cuba muatkan ke dalam jurnal. Di Malaysia, kita tidak begitu dibuka mata untuk hal-hal seperti ini. Sama ada penyelia kita tidak berminat, atau kita juga seperti penyelia juga.

Orang awam yang ada sesuatu yang menarik juga boleh menghantar sumbangan mereka. Bagaimana pun, tulisan mestilah bersifat akademik.

Untuk mengetahui sama ada terdapat isu tertentu yang akan dimuatkan di dalam jurnal atau persidangan, biasanya penganjur atau penerbit akan melakukan pengumuman. Sekarang ini, dengan adanya internet, cukuplah kita menggoogle dengan menaipkan "Call for paper + bidang".

Penulisan jurnal dan persidangan antarabangsa akan melibatkan penilaian oleh dua atau lebih penilai lain yang bersifat anynomous. Penilai ini biasanya orang yang pakar dalam bidang tersebut dan ahli akademik dari universiti di seluruh dunia. Setelah kita menghantar makalah, dalam tempoh 3 bulan kita akan mendapat semula maklumbalas. Komen-komen bergantung kepada 'major correction' atau 'minor correction'. Major biasanya memerlukan pembetulan yang banyak, dan kadangkala artikel kita terus ditolak.

Apa yang mereka komen?

Nanti kita bincang kemudian.

Kebanyakan persidangan di Malaysia tidak menggunakan kaedah anynomous reviews ini. Aku tidak tahu mengapa. Kertas yang dihantar biasanya diterima. Dalam kes seperti ini, makalah yang kita bentangkan tidaklah boleh kita muatkan ke dalam penulisan tesis kerana masih dianggap sebagai belum menepati kriteria akademik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails