Yang Ikut

Wednesday, 17 November 2010

Menulis jurnal psikologi

Reactions: 
Hari ini aku menulis sesuatu yang mungkin tidak relevan bagi kebanyakan pengunjung. Aku menulis ini atas pengalaman aku menulis jurnal - ada yang diterima, ada juga ditolak. Ia mungkin hanya relevan untuk disiplin psikologi sahaja.

Anda ingin menulis manuskrip untuk jurnal psikologi?

Apa isu yang patut anda selesaikan dahulu sebelum ada hasrat menghantar makalah anda.

1. Selidiki dahulu jurnal yang menjadi sasaran. Ada kalanya makalah anda ditolak bukan kerana kualiti, tetapi bidang anda tidak relevan dengan sasaran jurnal. Misalnya anda menulis stres pekerjaan, tetapi dihantar untuk jurnal psikologi perkembangan. Peluang untuk artikel anda ditolak ialah 98%.

2. Lihat juga metodologi penyelidikan anda. Banyak jurnal memberikan keutamaan kepada hal ini. Ada jurnal yang hanya menerima penyelidikan longitudinal, dan tidak sama sekali untuk cross-sectional. Ada pula jurnal yang hanya memberikan keutamaan kepada penyelidikan menggunakan metodologi yang kompleks - diari, penghujahan teori baru atau kaedah multi-level analysis. Jurnal seperti ini biasanya jurnal yang besar dalam bidang psikologi - misalnya
Human Relations.

3. Pastikan anda mempunyai pembolehubah yang mencukupi. Kajian yang hanya mengunakan beberapa pembolehubah mungkin tidak lagi relevan dalam penyelidikan moden. Misalnya hubungan di antara kemurungan (pembolehubah A) dan marah (pembolehubah B). Mengapa mereka menolak? Sebabnya kajian itu tidak menyumbangkan apa-apa pengetahuan baru dalam dunia penyelidikan. Dunia sudah tahu hal itu.

4. Pastikan kelompangan kajian cukup kuat. Misalnya ada dapatan kajian antara A dan B ialah C. Banyak kajian menunjukkan hal ini di negara Barat. Sekiranya anda menggunakan pendekatan yang sama, dengan melakukan kajian yang sama di Barat, besar kemungkinan kertas anda ditolak. Mengapa? Sebabnya orang sudah tahu. Jadi, anda perlu berhujah bahawa sebab itulah anda perlu melakukan kajian di Asia. Dengan alasan bahawa banyak kajian lalu hanya di negara Barat. Sekiranya sudah ada kajian di Asia, anda boleh menggunakan alasan bahawa kajian anda dilakukan di negara Asia yang beragama Islam - sedangkan kajian lain dilakukan di negara Asia yang majoriti penduduknya ialah Kristian atau Buddha.

5. Gunakan analisis statistik yang sedikit kompleks. Dalam disiplin psikologi, analisis seperti t test atau korelasi kini hanya dianggap sebagai analisis sokongan, dan bukan lagi analisis utama. Ia tidak mampu menunjukkan apa-apa yang signifikan. Tetapi pensyarah saya kata ia tidak mengapa? Memang tidak mengapa - tetapi FakirFikir kata ia sudah tidak lagi digunakan dalam banyak kajian moden. Ia hanya analisis sampingan atau analisis pemula sahaja.

6. Kalau boleh, elakkan kajian cross-sectional. Mengapa tidak boleh kajian cross-sectional? Banyak kawan-kawan saya melakukannya. Pensyarah saya juga melakukannya. Dengan adanya software moden hari ini, banyak hal statistik sudah dipermudahkan. Kajian cross sectional terdedah dengan banyak kelemahan - bias diri, type 1 and type 2 error dan banyak lagi. Misalnya hubungan gaya pengajaran guru dan pencapaian pelajar. Dengan kajian cross-sectional, kita dengan mudah berkata gaya pengajaran guru akan membawa kepada pencapaian pelajar yang tertentu. Tetapi mungkin juga pencapaian pelajar itulah yang menyebabkan guru menggunakan gaya yang berbeza. Kajian cross-sectional tidak mampu membuktikannya.

7. Gunakan struktur penulisan yang betul. Saya tidak pandai bahasa Inggeris, bagaimana? Isu utama dalam penulisan bukanlah bahasa apa yang anda gunakan. Isu utama ialah cara anda menulis dengan cara yang tidak betul. Sekalipun anda pandai Bahasa Melayu, tetapi kalau struktur penulisan anda bercampur baur - tidak ada sesiapa pun berminat membacanya. Pengenalan bercampur aduk dengan metodologi, atau tiada kesinambungan di antara satu para dengan para yang lain, atau antara ayat dengan ayat yang lain. Isu bahasa boleh diselesaikan dengan mengupah editor menyemak tatabahasa, atau meminta seseorang menterjemahkan makalah anda. Bagaimana pun, kalau struktur penulisan anda tidak betul - tidak sesiapa mampu menolongnya.

8. Gunakan rujukan terkini. Jangan gunakan rujukan yang terlalu lama - misalnya tahun 1990-an, kecuali bagi hal penjelasan teori yang masyur. Mengapa? Sebab dalam tempoh 10 tahun, banyak hal yang sudah berubah. Dengan menggunakan rujukan lama - kita mungkin sedang mengkaji sesuatu yang sudah dilakukan oleh 100 orang lain selepasnya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails