Yang Ikut

Wednesday, 10 November 2010

Betulkah dia ada PhD?

Reactions: 
Di internet, sekarang ini bising mengenai berita seorang artis ternama sebagai kononnya memiliki ijazah doktor falsafah palsu dari universiti di UK. Kita tidak tahulah sama ada ijazahnya itu tulen atau tidak.

Kalau orang bertanya aku - aku akan katakan untuk mendapatkan PhD itu tidaklah senang. Masalahnya bukan kerana gagal. Masalahnya ialah tidak cukup masa. Itulah masalah utamanya. Ada yang gagal kerana tidak sempat menulis proposal. Gagal bukan kerana tidak pandai. Gagal kerana tidak cukup masa. Ada pula yang sudah menjalankan beberapa siri kajian - baik di makmal atau di lapangan - keputusan yang diperolehi seolahnya sangat janggal. Jadi perlukan kajian lagi untuk menutup kejanggalan atau mencari jawapan kenapa janggal. Masa diambil lagi. Akhirnya selesai di situ. PhD tidak siap juga.

Ada orang yang jam 2 atau 3 pagi masih termenung seorang diri di pejabat. Kalau di Malaysia, mungkin tidak begitu sayu. Banyak kedai mamak untuk melepas lelah. Kalau di bumi asing seperti Australia, UK atau Jerman - tanpa kedai mamak - yang jam 5 petang bandar sudah menjadi sunyi - kehidupan sibuk di pejabat jam 2 atau 3 pagi sangat menyiksakan. Ditambah pula dengan suasana di musim sejuk yang jari kita semuanya terasa kebas. Semua ini menyiksakan. Semua ini tidaklah menggembirakan.

Ada orang yang terpaksa bertempur dengan banyak hal untuk bertemu penyelia. Ada penyelia yang terlalu sibuk. Susah untuk ditemui. Ada yang tidak sibuk, tetapi tidak berminat menyelia. Ada yang selalu bertemu, tetapi dia juga mungkin seperti kita. Ada pula yang bertemu dengan penyelia yang berasa diri seperti Tuhan. Semuanya ingin sempurna. Semua ini cerita balik tabir yang menjadikan PhD kadang-kadang seperti menjolok buah mangga di tepi sarang tebuan. Mangga tidak dapat, sarang tebuan jatuh ke bahu.

Jadi - kalau kita melihat banyak orang memberitahu dia ada PhD - termasuk orang politik - kita ada alasan untuk merasa curiga. Waktu mana dia menyelidik. Waktu mana pula dia menganalisa. Sempatkah dia menulis. Sedangkan setiap hari kita lihat dia berada di atas pentas politik memberi ceramah, sibuk ke sana ke mari, berjalan ke luar negeri dan bermacam lagi. Kita yang terperap sampai jam 4 pagi tidak selesai juga, tetapi mereka ini nampaknya seperti cepat pula menyiapkan tesis.

Atau sememangnya kita ini malas, dan asyik mencari buruk orang lain? Boleh jadi juga. Jadi kalau begitu jangan dengar desas desus itu. Kita memang tidak sebijak orang lain. Kalau anda dengar ada cerita seorang VIP yang mengupah orang menulis tesis PhD, abaikan khabar ini. Kita tidak sebijak orang lain!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails